Monday, June 01, 2009

Bangunan 150 Tahun Jadi Pusat Seni Reka, Melaka, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 28/09/2009.

MELAKA 27 Sept. - Dua buah bangunan yang dianggarkan berusia 150 tahun di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini, kini berubah wajah menjadi pusat sumber seni reka dan rujukan pendidikan dalam pemuliharaan bangunan warisan di negara ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, bangunan itu yang dibaik pulih oleh National University Of Singapore (NUS) juga dikenali sebagai Pusat Seni Reka dan Pemuliharan Tun Tan Cheng Lock dan bakal memainkan peranan penting dalam pemuliharaan warisan serta reka bentuk bangunan peranakan. Menurutnya, usaha dan komitmen NUS itu diharap dapat menarik minat pelbagai pihak lain dalam membantu kerajaan negeri meningkatkan kegiatan memulihara bangunan lama terutama yang berkaitan sejarah negara. ''Namun perlu diingatkan sekiranya usaha pemuliharaan bangunan lama ini dilakukan dengan mengorbankan nilai sejarah lama yang lain maka warisan lama yang terdapat di dalamnya juga akan musnah buat selamanya," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada majlis pembukaan Pusat Seni Reka dan Pemuliharaan Tun Tan Cheng Lock yang disempurnakan oleh Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow dan Presiden NUS, Profesor Tan Chorh Chuan.

Dua bangunan lama terbabit pernah berfungsi sebagai hospital bersalin sekitar tahun 1930-an sebelum bertukar menjadi klinik dan juga pernah dijadikan rumah tumpangan selain menjadi stor menyimpan barang. Kerja-kerja membaik pulih bangunan itu dijalankan oleh sepasukan arkitek dan kontraktor tempatan dengan kerjasama enam tenaga pengajar NUS serta sekumpulan pelajar Jabatan Reka Bentuk NUS.
Kata Mohd. Ali, dalam usaha memulihara bangunan warisan sejarah, masih terdapat sangkaan setengah pihak bahawa bangunan lama yang bersaiz kecil dianggap tidak bernilai dan diabaikan begitu sahaja. Selain itu, katanya, usaha NUS mengekalkan warisan sejarah dengan menaik taraf dua bangunan lama di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini mampu mewujudkan kerjasama kerajaan negeri dalam bidang pemuliharaan bangunan sejarah. Usaha itu, katanya, mampu membantu kerajaan negeri merancakkan usaha dalam meningkatkan kegiatan pemuliharaan sejarah dan warisan negeri.
Sementara itu menurut Chorh Chuan, pembukaan Pusat Seni Reka dan Pemuliharaan berperanan sebagai pusat rujukan untuk reka bentuk Asia khususnya golongan peranakan. ''Usaha membaik pulih dua bangunan ini telah meningkatkan kesedaran mengenai keindahan reka bentuk dan warisan bandar Asia," katanya.

Mengekalkan Warisan Sejarah, Terengganu, Malaysia

Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Terengganu yang terletak di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu kini dalam proses pemuliharaan bagi mengekalkan sejarah warisan negara.

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 06/08/2009.
Oleh RADHUAN HUSSAIN utusanterengganu@utusan.com.my
.
KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Kebanyakan bandar raya di negara ini mempunyai tarikan unik dengan kewujudan premis kediaman atau bangunan peninggalan sejarah sejak turun-temurun lagi. Ia termasuk Bandaraya Pulau Pinang, Ipoh yang selain dikelilingi 'hutan batu' bercirikan reka bentuk moden, terdapat juga premis yang kaya dengan nilai warisan sejarah sekali gus menjadi tumpuan pelancong.

Senario seumpama itu turut terdapat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu termasuk bangunan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Terengganu yang terletak di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, mengikut sejarah, bangunan berbentuk Rumah Limas berbungkus dua tingkat itu mula beroperasi sebagai Pejabat Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Terengganu pada April 1986.

Katanya, bangunan yang mencecah usia hampir 100 tahun itu memiliki keunikan tersendiri, malah turut dikenali sebagai bangunan lama Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) suatu ketika dulu. ''Asalnya, bangunan itu adalah kepunyaan Tengku Teh Dungun membabitkan keluasan 0.070 hektar di atas lot bernombor 437, Mukim Bandar Kuala Terengganu. ''Tengku Teh Dungun ialah isteri kepada Allahyarham Tengku Seri Bijaya Raja (Tengku Chik Ahmad Abdul Rahman) iaitu bekas Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu yang memegang jawatan pada 1924-1929," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, bangunan tersebut juga pernah dijadikan Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Terengganu (1937- 1938). Katanya, bangunan berbentuk memanjang kemudian menjadi pejabat MPKT bagi tempoh yang lama, bermula pada 1946 hingga 1979 sebelum dijadikan pejabat Persatuan Sejarah serta pejabat Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita). Rumah itu kemudian dijual pula kepada Tengku Bijaya Wangsa Tengku Hitam Ali dan sejurus kematian beliau, bangunan tersebut kemudian dijadikan pejabat sementara MPKT.

Pada tahun 1986, kerajaan Terengganu telah bersetuju menyerahkan rumah itu kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu untuk dijadikan pejabat dan pusat kegiatan persatuan. Upacara penyerahan bangunan itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu pada waktu itu, Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad pada 10 April 1986. Selesai majlis penyerahannya, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu menempatkan seorang kerani untuk membantu menjalankan kerja-kerja pengurusan pentadbiran persatuan.

Premis itu menempatkan bilik mesyuarat, bilik perpustakaan, bilik penginapan, bilik pentadbiran dan ruang niaga yang disewakan kepada penyewa bagi tujuan menambah dana persatuan sebagai tambahan. Selain itu pihak persatuan juga bersetuju menyerahkan satu ruang kepada Persatuan Penulis-Penulis Terengganu (Pelita) bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan.

Tidak disangkal lagi, bangunan itu cukup istimewa dengan seni bina yang unik apabila diperbuat daripada konkrit kapur dan bahan pelekat putih telur. Malah, turut terserlah ukiran timbul daripada konkrit dan ukiran kayu pada bahagian atas pintu, jendela dan tangga. Namun, setelah mengambil kira kesesuaian semasa, bangunan itu terus dikekalkan dan kini dalam proses membaik pulih tanpa menjejaskan nilai sejarah dan warisannya di bawah tanggungjawab Jabatan Warisan Negara.

Atas keprihatinan itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mat Nasir Baba sempat meluangkan masa meninjau kerja membaik pulih bangunan tersebut di Kuala Terengganu baru-baru ini. Kunjungan beliau turut disertai rombongan media dari Kuala Lumpur bagi meninjau perkembangan bangunan itu yang sedang giat dibaik pulih yang dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini.

Mahkamah Berwajah Baru, George Town, Pulau Pinang, Malaysia

Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum dan selepas pemuliharaan.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 28/05/2009.
Oleh ROKIAH ABDULLAH utusanpenang@utusan.com.my
.
PULAU PINANG 27 Mei – Bangunan lama Mahkamah Pulau Pinang di Lebuh Light yang berusia lebih 100 tahun dan menjadi tinggalan sejarah, kini bertukar wajah dengan suasana baru. Bukan hanya struktur bangunannya yang sudah dipulihara dan diubahsuai, malahan kompleks mahkamah baru turut dibina berdekatan bangunan tersebut sebagai tambahan kepada bangunan yang sedia ada. Ia bagi menjamin, mahkamah yang sudah beroperasi semula penghujung bulan Februari tahun lalu itu bukan sahaja selesa untuk semua pihak tetapi juga mampu menampung keperluan kes yang semakin meningkat.
.
Wajah baru hasil gabungan Arkitek Urbanisma Sdn. Bhd., sebuah syarikat perunding jurubina dan dua syarikat kontraktor dilantik, Konsortium Fadzill Conctruction Sdn. Bhd dan Inisiatif Usaha Sdn. Bhd. (JV) pasti memukau sesiapa sahaja yang memandangnya. Ini kerana hampir tiga tahun bangunan lama mahkamah tersebut ‘disorok dan dikepung’ dengan zink bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dilakukan dengan lancar. Kerja-kerja pemuliharaan dan pengubahsuaian bangunan lama itu yang berusia 100 tahun serta pembinaan bangunan tambahan di kawasan berhampiran kini telah siap sepenuhnya.
.
Peringkat awal kerja-kerja pemuliharaan bahagian dalaman bangunan mahkamah lama tahun 1905 itu dimulakan 17 Jun 2005 dan keseluruhan kompleks dibangunkan dengan kos RM84.5 juta. Ia dijadualkan siap sepenuhnya pada 12 Februari 2007, namun akibat beberapa masalah antaranya penemuan artifak dan masalah utiliti, bangunan itu hanya disiapkan pada 15 Disember tahun lalu. ‘‘Walaupun tertangguh hampir setahun kerana beberapa masalah, kami berjaya menyiapkannya dan kini ia telah bersedia untuk memulakan operasinya,” kata salah seorang kontraktor. Setelah kerja-kerja pengubahsuaian dan pemuliharaan dimulakan kira-kira dua minggu, pihak kontraktor telah menjumpai sejumlah artifak abad ke-19 termasuk serpihan-serpihan seramik zaman Dinasti Ching serta porselin dan tembikar tanah dari England dan Belanda di tapak lama bangunan Mahkamah Pulau Pinang itu. Artifak berkenaan yang turut melibatkan sejumlah wang syiling ditemui tertanam berhampiran sebuah perigi lama yang masih berair di kawasan tempat meletak kenderaan bangunan lama itu oleh sepasukan pencari gali. Hasil penemuan artifak tersebut, sedikit sebanyak telah melambatkan sedikit kerja-kerja pembinaan kompleks baru di kawasan tersebut walaupun ia termasuk dalam skop kerja dan telah dirancang dengan teliti.
.
Perancangan pembinaan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang telah dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti mengenai keperluan menjalankan kerja-kerja mencari gali di kawasan tersebut. Kerja-kerja tersebut telah dijalankan oleh syarikat perunding dan kontraktor pemuliharaan bangunan warisan serta kajian arkeologi, Najcom Sdn. Bhd. dan diselia oleh pensyarah dan penyelidik dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Asyaari Muhamad. Ketika kerja-kerja mencari gali itu dijalankan, Jabatan Kerja Raya negeri mendapati wujud struktur lain di luar kawasan asal menyebabkan pihak tersebut membuat keputusan untuk menambah kawasan seluas 60 peratus lagi untuk pengekalan sejarah.
.
Kerja-kerja pemuliharaan bahagian dalam mahkamah lama sedia ada setinggi dua tingkat itu dijalankan dengan amat berhati-hati bagi mengekalkan ciri-ciri kolonial sebagai bangunan warisan dan ia menempatkan lima kamar Mahkamah Tinggi. Ia diikuti pembinaan sebuah lagi bangunan tiga tingkat bersebelah bangunan asal yang menempatkan lapan buah Mahkamah Rendah, manakala sebuah lagi bangunan setinggi tujuh tingkat dibina bersebelahan jalan untuk Mahkamah Sivil. Tapak kompleks mahkamah asal seluas dua hektar itu merangkumi tiga bangunan berasingan termasuk sebuah bangunan sedia ada yang memuatkan sejumlah 19 kamar perbicaraan. Sebelum ini, bangunan lama tahun 1905 itu menempatkan sembilan kamar bicara, ruang pejabat dan lokap. Kini, bangunan warisan itu hanya dikhaskan untuk operasi lima kamar Mahkamah Tinggi, kaunter pendaftaran dan ruang pejabat. Ruang meletak kenderaan yang terletak bersebelahan pula dibangunkan blok Mahkamah Sesyen manakala Mahkamah Majistret setinggi tujuh tingkat beroperasi di bangunan lain yang didirikan di ruang kosong di seberang jalan yang turut mengandungi pelbagai kemudahan termasuk lif dan tempat meletak kenderaan setinggi dua tingkat.
.
Sebelum ini, Kompleks Mahkamah Pulau Pinang beroperasi secara sementara di Menara Northam, Jalan Sultan Ahmad Shah bermula 8 Oktober 2005. Bangunan mahkamah itu dilihat amat selesa kerana orang ramai tidak perlu lagi berpanas atau berhujan mahupun bersesak-sesak atau tercari-cari tempat duduk untuk menunggu kes di luar kerana kemudahan kerusi banyak disediakan dalam bangunan.

11 Bangunan Bersejarah di Seluruh Negara Akan Dipulihara, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 17/03/2009.

KUALA LUMPUR 16 Mac - Projek pemuliharaan bangunan warisan negara tahun ini akan tertumpu kepada 11 bangunan bersejarah untuk memastikan monumen warisan tidak hilang ditelan zaman. Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Datin Paduka Zuraina Majid berkata, pelaksanaan projek tersebut adalah bagi memulihara bangunan warisan negara yang mempunyai sejarah tersendiri. ''Projek itu bertujuan menjaga bangunan dan juga monumen warisan negara agar tidak hilang di telan zaman. "Sayang jika kita tidak menjaga keaslian tempat bersejarah itu. Setiap bangunan mengandungi nilai cerita menarik yang mungkin tidak diketahui oleh umum,'' katanya.
.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar projek-projek pemuliharaan bangunan bersejarah JWN di sini hari ini. Bangunan-bangunan bersejarah yang terlibat ialah rumah No. 138 di Jalan Hatin Georgetown dan Gereja St. George (Pulau Pinang), bangunan Sanitary Board (Perak), bangunan lama Ibu Pejabat Pos Ipoh dan masjid lama Kampung Dal (Perak). Selain itu, Gedung Raja Abdullah (Selangor), bangunan lama Hong Kong dan Shanghai Bank (Melaka), Muzium Sultan Abu Bakar (Pahang), bangunan Persatuan Sejarah Malaysia (Terengganu) dan Masjid Mulong (Kelantan). "Penjagaan bangunan bersejarah ini penting sebagai khazanah negara untuk tatapan generasi akan datang. "Ciri-ciri reka bentuk dan unsur kebudayaan yang unik pada bangunan bersejarah itu sudah pasti akan menarik perhatian masyarakat khususnya para pelancong dari luar negara,'' katanya.
.
Sementara itu, Zuraina berkata, terdapat empat bangunan bersejarah yang telah disiap dipulihkan melalui projek itu. Bangunan tersebut adalah rumah Penghulu Abdul Ghani/Natar di Merlimau (Melaka), Muzium Perak, Balai Polis Lama Raub (Pahang) dan rumah kelahiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kuala Lipis (Pahang).

Bangunan Warisan Dibaik Pulih, Ipoh, Perak, Malaysia

Bangunan Dewan Bandaraya Ipoh, Perak.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 03/02/2009.
.
IPOH 2 Feb. - Bangunan warisan Dewan Bandaran Ipoh yang terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini, dibaik pulih membabitkan kos sebanyak RM1.6 juta bagi tujuan pelancongan. Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim berkata, kerja-kerja pemuliharaan bangunan itu telah dibuat sejak tiga minggu lalu dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini. ''Kita mendapat peruntukan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KKKWA) bagi kerja pemuliharaan kerana ia merupakan bangunan warisan," katanya selepas merasmikan pertandingan orkid dan promosi sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.
.
Bangunan tersebut adalah bangunan stesen kereta api yang telah dibina oleh penjajah British dengan menggunakan reka bentuk klasik oleh arkitek A.B. Hubback. Sebelum ini, ia menempatkan pejabat pos selain ibu pejabat polis daerah pada tahun 1948 dan Pejabat Pelancongan Negeri Perak. Sebahagian bangunan itu kini telah dikosongkan sejak 10 tahun lalu manakala sebahagian lagi digunakan sebagai dewan. Roshidi berkata, beliau yakin dengan usaha pemuliharaan bangunan itu akan membantu menjadikan bandar raya ini bertambah unik dan menarik kepada pelancong untuk datang ke negeri ini.