Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 8 Kajian Kes

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB LAPAN
KAJIAN KES

8.0 Pengenalan
Untuk mendalami bidang pemuliharaan bangunan bersejarah dengan lebih mendalam, seseorang individu itu perlu sama ada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan bidang berkenaan dalam usaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan. Secara umumnya projek pemuliharaan bangunan bersejarah terbahagi kepada 2 bentuk iaitu projek yang dibiayai dan dikawal selia oleh pihak kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan serta projek pemuliharaan yang dilaksanakan oleh pihak swasta. Selain daripada itu, didapati bahawa projek pemuliharaan bangunan bersejarah sebagaimana yang dilaksanakan di bawah pengawasan Jabatan Warisan Negara telah dipantau dengan baik sekali dari segi perlaksanaan kerja pemuliharaannya dengan menekankan agar setiap kontraktor bangunan yang dipertanggungjawabkan pada projek pemuliharaaan berkenaan sentiasa mengamalkan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

Namun begitu, masih terdapat beberapa masalah yang sering dihadapi dalam perlaksanaan projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini seperti kekurangan kontraktor bangunan dan tenaga buruh atau tukang yang mahir dan berpengalaman dalam bidang pemuliharaan serta kekurangan pemulihara bangunan bagi pihak kontraktor untuk menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaaan yang boleh dianggap baik dan lengkap. Masalah ini hendaklah diberi penekanan yang khusus kerana sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan keaslian reka bentuk seni bina dan bahan binaan yang terdapat pada kebanyakan bangunan bersejarah ini sekiranya kerja yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan tidak menepati prinsip asas pemuliharaan seperti mana yang dikehendaki.

8.1 Tujuan Utama Kajian Kes
Tujuan utama kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dijalankan ialah untuk mengenal pasti tahap penyediaannya mengikut elemen kerja yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Ia akan menyentuh aspek kelemahan dan kekurangan yang terdapat padanya seperti mana ia disediakan selama ini sama ada lengkap atau sebaliknya. Selain daripada itu, melalui kajian kes ini ianya dapat menghasilkan penemuan penyelidikan dan seterusnya memenuhi objektif penyelidikan kedua yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu menyemak tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Seterusnya segala kelemahan dan kekurangan yang dikenal pasti berlaku pada peringkat penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dapat diperbaiki dan diperkemaskini. Kemudian dicadangkan satu bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang lebih baik dan lengkap seperti mana yang disediakan dalam Bab Sepuluh (cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharan) bagi memenuhi objektif penyelidikan yang ketiga iaitu mencadangkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

8.2 Perkara Utama yang Diberi Perhatian dalam Kajian Kes
Antara perkara utama yang diberi perhatian dalam kajian kes ini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkaitan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia yang merangkumi 6 butiran seperti berikut:
i. Latar belakang sejarah bangunan.
ii. Maklumat ringkas projek pemuliharaan bangunan bersejarah.
iii. Pendekatan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan.
iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan.
v. Kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan.
vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah.

8.3 Gaya Penyelidikan Kajian Kes
Gaya penyelidikan kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan dibuat dengan menggunakan pendekatan kaedah secara pemerhatian terhadap sampel yang dikaji. Selain daripada itu, temu bual bentuk terbuka tanpa struktur ke atas pihak responden yang terlibat secara langsung dengan kerja pemuliharaan seperti pihak kontraktor bangunan, pemulihara bangunan, arkitek dan para pekerja turut diadakan untuk mendapatkan data dan maklumat tambahan. Seterusnya kajian dokumentasi turut dilakukan ke atas dokumen yang disediakan iaitu penyataan kaedah kerja pemuliharaan itu sendiri dalam usaha untuk mendapatkan data yang diperlukan bagi penyelidikan berbentuk diskriptif ini.

8.4 Jenis Sampel Kajian Kes
Terdapat 4 buah projek pemuliharaan bangunan bersejarah telah dipilih sebagai sampel kajian kes dan projek pemuliharaan berkenaan adalah seperti berikut:
i. Kajian kes 1 iaitu Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya Blok A, B dan C di Batu Gajah, Perak yang merupakan sebuah projek kerajaan yang dikawal selia oleh Jabatan Kerja Raya.
ii. Kajian kes 2 iaitu Projek Pemuliharaan Stesen Keretapi Ipoh di Ipoh, Perak yang merupakan sebuah projek swasta yang dikawal selia oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.
iii. Kajian kes 3 iaitu Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister di George Town, Pulau Pinang yang merupakan sebuah projek kerajaan yang dikawal selia oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
iv. Kajian kes 4 iaitu Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang yang merupakan sebuah projek kerajaan yang dikawal selia oleh Jabatan Kerja Raya.

8.5 Jangka Masa dan Kriteria Pemilihan Kajian Kes
Jangka masa kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dijalankan selama 9 bulan bermula dari 15hb. Ogos 2006 hingga 15hb. Mei 2007. Manakala pemilihan keempat-empat projek pemuliharaan bangunan bersejarah sebagai sampel kajian kes dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan seperti berikut:
i. Projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dipilih adalah berdasarkan kepada faktor lokasi projek pemuliharaan dari segi kesesuaian penyelidik untuk melawatnya iaitu di Perak dan Pulau Pinang serta faktor jangka masa projek pemuliharaan itu sedang dilaksanakan iaitu hendaklah selari dengan tempoh masa penyelidikan saintifik ini dijalankan.
ii. Projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dipilih hendaklah melibatkan kerja pemuliharaan yang melebihi 75% ke atas elemen bangunan bersejarah dan bukannya kerja pembaikan atau pengubahsuaian kecil agar penilaian ke atas tahap penyediaaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan dapat dilakukan secara menyeluruh kerana ia melibatkan sebahagian besar elemen utama bangunan bersejarah.
iii. Projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dipilih hendaklah merangkumi bangunan milik kerajaan dan pihak swasta agar penilaian dari segi perlaksanaan dan pendekatan kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek pemuliharaan ini dapat dinilai sepenuhnya dan dibuat perbandingan sekiranya ada.

8.5.1 Kajian Kes 1: Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya Blok A, B dan C, Batu Gajah, Perak
Maklumat berkaitan projek pemuliharaan bangunan bersejarah untuk kajian kes yang pertama ini adalah seperti berikut:
i. Dari segi latar belakang sejarah, bangunan ini telah siap dibina pada 1892 dan dirasmikan oleh Sultan Idris Shah Ibni Sultan Iskandar iaitu Sultan Perak dan diiringi oleh Frank A. Swettenham selaku Residen British pada ketika itu. Reka bentuk seni binanya telah diilhamkan oleh Francis St. G. Caulifield selaku Jurutera Negeri dengan reka bentuk mengikut ciri-ciri Classical yang dapat dilihat dengan jelas pada elemen fasad, tiang, pintu dan tingkapnya. Bangunan setinggi 2 tingkat ini terdiri daripada 3 buah blok bangunan dalam satu kompleks yang disambungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung dan telah didiami oleh beberapa buah jabatan kerajaan sejak ia mula dibina dahulu termasuklah Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya dan Mahkamah sebelum ianya dipindahkan ke Ipoh pada 1930an. Memandangkan Mahkamah Tinggi telah berpindah ke Ipoh maka Mahkamah Batu Gajah telah dijadikan sebagai Mahkamah Daerah dan seterusnya Mahkamah Majistret sehingga 1994 sebelum ia dipindahkan ke bangunan baru yang terletak berhampiran dengannya. Sejak itu ruang mahkamah ini telah tidak digunakan lagi sehingga kini manakala ruang lain digunakan oleh Pejabat Tanah (Raja Nazrin Shah, 2006).
ii. Latar belakang projek pemuliharaan ini dan gambar bangunan bersejarah berkenaan sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan dijalankan adalah seperti berikut:

Nama projek: Kerja-kerja Cadangan Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya 107A (Blok A), 107B (Blok B) dan 107C (Blok C) dan lain-lain Bangunan dalam Kawasan Pejabat Daerah Lama di Jalan Changkat, Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan.
Harga kontrak: RM X,XXX,XXX.XX* (tidak dinyatakan).
Tarikh milik tapak: 29hb. Ogos 2005.
Tarikh siap asal: 28hb. Ogos 2006.
Tempoh kontrak: 12 bulan.
Pemilik bangunan: Pejabat Daerah Batu Gajah.
Pegawai penguasa: Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Kinta.
Arkitek: Jabatan Kerja Raya Bahagian Arkitek.
Jurutera M & E: Jabatan Kerja Raya Bahagian Mekanikal dan Elektrikal.
Jurutera C & S: ABC Perunding Sdn. Bhd*.
Kontraktor utama: ABC Sdn. Bhd*.
Sub kontraktor M & E: ABC Enterprise Sdn. Bhd*.
Perunding dilapidasi: ABC Consulting Engineers*.
Perunding pemuliharaan: Tiada (bagi pihak kontraktor).
* Nama sebenar syarikat terlibat tidak dinyatakan.

Gambar 8.1: Bangunan Jabatan Kerja Raya Batu Gajah Blok A, B dan C sebelum projek pemuliharaan (1); semasa projek pemuliharaan (2); dan selepas projek pemuliharaan dilaksanakan (3); dan (4).

iii. Perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan ini ialah sebelum kerja pemuliharaan dijalankan, kajian dilapidasi bangunan telah dilaksanakan terlebih dahulu oleh pihak perunding ke atas bangunan bersejarah ini dalam usaha untuk mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen utama bangunan bersejarah berkenaan dan seterusnya mencadangkan pendekatan kerja pemuliharaan yang perlu dilakukan oleh pihak kontraktor bangunan. Beberapa siri ujian telah dilakukan ke atas bahan binaan yang terdapat pada bangunan bersejarah ini seperti rebound hammer test, windsor probe test, carbonation test, timber strength test dan lain-lain. Hasil daripada kajian dilapidasi bangunan, didapati bahawa bangunan bersejarah ini mengalami banyak kesan kerosakan terutama sekali pada komponen kayu, lepa dinding, masalah kelembapan dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu, bangunan bersejarah ini juga kelihatan amat usang dan tidak sesuai untuk didiami lagi. Antara sebahagian daripada kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah ini adalah keusangan pada papan lantai dan gelegar kayu tingkat atas, serangan anai-anai pada gelegar siling, serangan garam pada dinding luar dan kemasan cat menggelupas pada dinding dalam seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.2.

Gambar 8.2: Kerosakan bangunan seperti keusangan pada papan lantai dan gelegar kayu (1); serangan anai-anai (2); serangan garam (3); dan kemasan cat menggelupas (4).

iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ialah dengan merujuk kepada laporan kajian dilapidasi bangunan yang telah dikemukakan. Setelah mengambil kira cadangan pendekatan kerja pemuliharaan seperti yang telah dicadangkan oleh pihak perunding iaitu kerja pengekalan, pencegahan, pengembalian semula, pemulihan dan pengeluaran semula maka pihak kontraktor bangunan seterusnya telah menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk membaiki setiap kerosakan bangunan yang belaku.

Memandangkan untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini tiada perunding pemuliharaan dilantik bagi pihak kontraktor bangunan untuk megawasi kerja yang dilaksanakan, maka bagi setiap kerja yang melibatkan kerja pemuliharaan, pihak kontraktor bangunan telah dikehendaki oleh pihak Jabatan Kerja Raya untuk melantik kontraktor pakar yang pernah menjalankan kerja pemuliharaan dengan Jabatan Muzium dan Antikuiti dan diperakui mutu kerjanya untuk menjalankan setiap kerja pemuliharaan yang ada. Selain daripada itu, untuk semua penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak kontraktor bangunan juga hendaklah disertakan dengan surat perakuan dari Jabatan Muzium dan Antikuiti. Senarai lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak kontraktor bangunan untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini adalah sebagaimana yang ditujukkan dalam Jadual 8.1.

Jadual 8.1: Senarai penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan untuk projek pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya Batu Gajah Blok A, B dan C.

Bil. Tajuk Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
1 Kerja-kerja meroboh dinding sekatan dalaman.
2 Kerja-kerja meroboh siling gantung.
3 Kerja-kerja menanggal kepingan papan lantai tingkat atas.
4 Restorasi broken edges dan cornice.
5 Restorasi lepa dinding menggunakan heritage plaster.
6 Restorasi façade bangunan.
7 Rawatan lantai menggunakan cement grout.
8 Membuang fungi dan algae pada dinding bangunan.
9 Aplikasi cocoon pada dinding bangunan.
10 Aplikasi rawatan rising damp pada dinding bangunan.
11 Membaik pulih dan membaiki dinding retak.
12 Mengikat dinding batu-bata.
13 Kerja-kerja membuka dan membuang jubin bumbung.
14 Membaik pulih dan mengganti tiang kayu di tingkat bawah.
15 Membaik pulih dan membaiki rasuk besi.
16 Mengecat dinding dalam dan luar menggunakan heritage painting.
17 Pemasangan gelegar siling baru.
18 Pembinaan siling gantung baru.
19 Pemasangan lepa siling bercorak.
20 Pemasangan papan berlidah dan beralur untuk gelegar siling.
21 Pemasangan dinding sekatan baru.
22 Pemasangan dinding kaca baru.
23 Pemasangan blok kaca bercorak.
24 Pemasangan jubin lantai bercorak baru dengan satu lapisan kalis lembab.
25 Pemasangan papan berlidah dan beralur untuk lantai tingkat atas.
26 Pemasangan papan lapis waterproof di bawah vinyl dan permaidani baru.
27 Pemasangan vinyl.
28 Pemasangan hamparan permaidani.
29 Pembinaan tandas baru termasuk kemasan jubin lantai dan dinding seramik.
30 Pemasangan kelengkapan tandas baru termasuk saluran paip air, saluran paip air kumbahan dan tangki air.
31 Pemasangan tingkap panel kasemen baru dengan rangka kayu keras termasuk semua kelengkapan.
32 Pemasangan tingkap panel kasemen baru dengan rangka aluminium.
33 Pemasangan tingkap bentuk arch dari kayu keras separuh bulat.
34 Pemasangan jeriji aluminium pada pertengahan semua tingkap.
35 Pemasangan pintu panel baru berkotak termasuk semua kelengkapan.
36 Pemasangan pintu panel baru dengan papan lapis termasuk semua kelengkapan.
37 Pemasangan pintu berlipat termasuk semua kelengkapan.
38 Pemasangan jeriji aluminium pada semua pintu masuk tingkat bawah.
39 Mengganti semua papan lantai baru untuk tangga.
40 Membaiki keseluruhan tangga kayu yang rosak.
41 Membina tangga konkrit baru.
42 Pembinaan lantai apron baru.
43 Pembinaan kerangka bumbung baru dari kayu keras.
44 Pemasangan flashing dan penggantian kemasan jubin bumbung baru.
45 Menjalankan kerja-kerja mencegah anai-anai untuk bingkai pintu, tingkap, kerangka bumbung, siling dan lantai serta bahagian lain yang terdapat kesan anai-anai.

Untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, pihak kontraktor bangunan telah menyediakan sebanyak 45 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara berperingkat mengikut jadual perlaksanaan kerja di tapak projek pemuliharaan. Manakala dari segi bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan pula adalah seperti yang ditunjukkan pada Lampiran O.

v. Dari segi kelebihan atau kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan, didapati kerja pemuliharaan ini telah dijalankan dengan penuh teliti oleh pihak kontraktor bangunan dengan pengawasan daripada Pegawai Penguasa projek. Antara sebahagian daripada kerja pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini adalah kerja mengecat dinding luar, kerja pemasangan daun pintu kayu, kerja memasang jubin lantai dan kerja melepa rasuk seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.3.

Gambar 8.3: Kerja mengecat dinding luar (1); kerja pemasangan daun pintu kayu (2); kerja memasang jubin lantai (3); dan kerja melepa rasuk (4).

Antara kelemahan yang telah dikenal pasti hasil tinjauan yang dilakukan ke atas projek pemuliharaan ini dari segi perlaksanaan kerja dan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan adalah seperti berikut:
a. Pihak kontraktor bangunan tidak melantik pemulihara bangunan sepenuh masa untuk mengawasi kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek.
b. Pihak kerajaan tidak melantik Jabatan Muzium dan Antikuiti untuk mengawasi kerja pemuliharaan yang dijalankan sebaliknya hanya bergantung kepada Pegawai Penguasa projek dari Jabatan Kerja Raya yang tiada pengalaman luas dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah.
c. Terdapat penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang tidak disediakan oleh pemulihara bangunan dan tidak diperakui oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagaimana yang dikehendaki seperti untuk kerja pemuliharaan dinding, tangga dan lain-lain lagi.
d. Terdapat kerja pemuliharaan yang dijalankan tanpa merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerana ia tidak disediakan oleh pihak kontraktor bangunan seperti untuk kerja pemuliharaan saluran air hujan, longkang dan lain-lain lagi.
e. Terdapat penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan untuk membaiki kerosakan bangunan tidak merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan seperti kerja penggantian keseluruhan genting bumbung lama dengan genting bumbung baru, penggunaan lepa simen pada rasuk dan tiang yang tidak digalakkan dan lain-lain lagi.
f. Kerja pemuliharaan yang dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini didapati lebih bersifat kosmetik berbanding kerja pemuliharaan yang berteraskan prinsip keaslian ke atas bahan binaan dan teknik pemasangan kerana terlalu banyak kerja penggantian bahan binaan telah dilakukan berbanding kerja pengekalan bahan binaan seperti pada elemen siling, lantai dan lain-lain lagi.

vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan ini adalah sederhana memuaskan. Ia adalah kerana sebahagian besar keaslian bahan binaan dan teknik pembinaannya tidak banyak dikekalkan terutama sekali pada ruang dalam bangunan bersejarah ini. Walau bagaimanapun pihak kontraktor bangunan telah berjaya untuk mengekalkan sebahagian besar keaslian reka bentuk seni bina bangunan bersejarah ini terutama sekali pada bahagian fasad hadapan bangunan dan ruang dalam mahkamah yang telah dipulihara dengan baik sebagaimana asal seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 8.4.

Gambar 8.4: Pengekalan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah sebagaimana asal seperti pada bahagian fasad hadapan (1); ruang dalam mahkamah (2); plaster siling (3); dan kemasan papan lantai (4).

8.5.2 Kajian Kes 2: Projek Pemuliharaan Stesen Keretapi Ipoh, Ipoh, Perak
Maklumat berkaitan projek pemuliharaan bangunan bersejarah untuk kajian kes yang kedua ini adalah seperti berikut:
i. Dari segi latar belakang sejarah, ianya bermula pada 1894 setelah Sultan Idris Shah Ibni Sultan Iskandar telah mencadangkan kepada Residen Perak pada ketika itu iaitu Frank A. Swettenham untuk membina sebuah stesen keretapi di Ipoh. Kemudian sebuah stesen keretapi kecil telah dibina di tapak yang ada sekarang. Pada 1911, disebabkan oleh keperluan aktiviti perlombongan bijih timah yang semakin pesat di sepanjang landasan keretapi Lembah Kinta ini, maka stesen keretapi yang sedia ada dirasakan sudah tidak sesuai lagi untuk menampung keperluan penumpang dan hasil perlombongan.

Sehubungan dengan itu pada 1914, Arthur Benson Hubback selaku akitek negeri yang turut mereka bentuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur telah menyediakan reka bentuk untuk Stesen Keretapi Ipoh dengan melakukan sedikit pengubah suaian pada bahagian kubah bumbungnya agar tidak sama antara keduanya tetapi masih mengekalkan reka bentuk seni bina yang lainnya. Antara pengubah suaian yang dibuat ialah dengan membina kubah separuh bulat berbentuk empat segi bagi menggantikan reka bentuk kubah Pavilion dengan gaya seni bina Mogul sebagaimana yang terdapat pada Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Pengubah suaian ini telah menjadikan Stesen Keretapi Ipoh lebih mirip kepada reka bentuk Neoclassical dengan mencampur adukkan pengaruh reka bentuk seni bina India dan Eropah sehinggakan ada penduduk tempatan yang memberinya gelaran Taj Mahal Ipoh. Stesen keretapi ini telah siap sepenuhnya pada 1917 dan masih digunakan sehingga kini serta turut menempatkan Hotel Majestic di tingkat satunya (Raja Nazrin Shah, 2006).
ii. Latar belakang projek pemuliharaan ini dan gambar bangunan bersejarah berkenaan sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan dijalankan adalah seperti berikut:

Nama projek:
Cadangan Pengubahsuaian Stesen Keretapi Sediada untuk Projek Landasan Elektrik Berkembar (Rawang-Ipoh) di atas Tanah Rezab Persekutuan, Mukim Ipoh, Majlis Bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Harga kontrak: RM X,XXX,XXX.XX* (kerja pemuliharaan bangunan) (tidak dinyatakan).
RM X,XXX,XXX.XX* (kerja infrastruktur dan sistem) (tidak dinyatakan).
Tarikh milik tapak: 1hb. Jun 2005.
Tarikh siap asal: 31hb. Mac 2007.
Tempoh kontrak: 22 bulan.
Pemilik bangunan: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Pegawai penguasa: Timbalan Setiausaha, Kementerian Pengangkutan.
Perunding projek: ABC Consortium*.
Kontraktor asal: ABC Berhad* (telah ditamatkan kontrak) (dari 1hb. Julai 2000-31hb. May 2005).
Kontraktor utama: ABC Construction Sdn. Bhd.* (kerja infrastruktur).
Kontraktor utama: ABC Consortium* (kerja sistem).
Perunding dilapidasi: ABC Consultants (Asia) Sdn. Bhd.*
Perunding pemuliharaan: Tiada (bagi pihak kontraktor).
Penasihat pemuliharaan: Jabatan Muzium dan Antikuiti (bagi pihak KTMB).
* Nama sebenar syarikat terlibat tidak dinyatakan.

Gambar 8.5: Stesen Keretapi Ipoh sebelum projek pemuliharaan (1); semasa projek pemuliharaan (2); dan selepas projek pemuliharaan dilaksanakan (3); dan (4).

iii. Perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan ini ialah projek ini secara umumnya terbahagi kepada 3 komponen yang berasingan iaitu kerja pembinaan landasan keretapi berkembar baru, kerja pembinaan jejantas dan bumbung baru untuk ruang platform dan kerja pemuliharaan ke atas bangunan stesen keretapi. Sehubungan dengan itu penyelidik hanya memberi penumpuan ke atas kerja pemuliharaan bangunan stesen keretapi ini sahaja. Dari segi perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan ini, kajian dilapidasi bangunan telah dilaksanakan terlebih dahulu oleh pihak perunding ke atas bangunan bersejarah ini dalam usaha untuk mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen utama bangunan bersejarah berkenaan dan seterusnya mencadangkan pendekatan kerja pemuliharaan yang perlu dilakukan oleh pihak kontraktor bangunan.

Kajian dilapidasi ini merangkumi penyiasatan menyeluruh ke atas kekuatan struktur bangunan bersejarah yang terdiri dari elemen seperti asas, tiang, rasuk, lantai, dinding, bumbung dan kubah serta keadaan semasa kemudahan bangunan seperti sistem bekalan elektrik dan sistem bekalan air yang telah usang. Hasil daripada kajian dilapidasi bangunan, didapati bahawa bangunan bersejarah ini mengalami banyak kesan kerosakan seperti pada elemen bumbung, kubah, siling, dinding dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, bangunan bersejarah ini juga kelihatan amat usang dan suram serta tidak sesuai untuk digunakan sebagai kemudahan awam. Antara sebahagian daripada kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah ini adalah keretakan pada kubah bumbung, genting bumbung yang telah hilang dan pecah pada kemasan bumbung, lumut yang telah tumbuh pada permukaan siling dan dinding dalam dan lapisan kemasan cat yang telah menggelupas serta tertanggal pada daun pintu kayu seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.6.

Gambar 8.6: Kerosakan bangunan seperti keretakan pada kubah bumbung (1); genting bumbung yang telah hilang dan pecah pada kemasan bumbung (2); lumut yang telah tumbuh pada permukaan siling dan dinding dalam (3); dan lapisan kemasan cat yang telah menggelupas dan tertanggal pada daun pintu kayu (4).

iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ialah dengan merujuk kepada laporan kajian dilapidasi bangunan yang telah dikemukakan. Setelah mengambil kira cadangan pendekatan kerja pemuliharaan seperti yang telah dicadangkan oleh pihak perunding iaitu kerja pengekalan, pencegahan, pemulihan, pengembalian semula dan pembinaan semula maka pihak kontraktor bangunan seterusnya telah menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk membaiki setiap kerosakan bangunan yang berlaku. Memandangkan untuk projek pemuliharaan ini tiada perunding pemuliharaan dilantik bagi pihak kontraktor bangunan untuk mengawasi kerja pemuliharaan yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan, maka bagi setiap kerja yang melibatkan kerja pemuliharaan, semua penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak kontraktor bangunan hendaklah mendapat perakuan daripada Jabatan Muzium dan Antikuiti terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pemuliharaan dapat dijalankan. Senarai lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak kontraktor bangunan untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini adalah sebagaimana yang ditujukkan dalam Jadual 8.2 seperti berikut:

Jadual 8.2: Senarai penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan untuk projek pemuliharaan Stesen Keretapi Ipoh.

Bil. Tajuk Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
1 Meroboh dinding dalam.
2 Meroboh dinding sekat.
3 Meroboh pelantar kanopi.
4 Menanggal kerusi kayu.
5 Penanggalan genting bumbung.
6 Penyimpanan genting bumbung.
7 Penanggalan dan penggantian kayu bumbung.
8 Rawatan anti kulat pada kayu bumbung.
9 Penggantian genting bumbung baru.
10 Rawatan anti kulat pada genting bumbung baru.
11 Pengekalan ventilation tile pada bumbung baru.
12 Penanggalan lepa pada kubah bumbung.
13 Epoxy grouting pada kubah bumbung.
14 Melepa permukaan kubah bumbung.
15 Membersih dan menanggal kekotoran pada kemasan siling.
16 Mengecat kemasan siling.
17 Menanggal wall paper.
18 Menanggal kekotoran pada permukaan dinding.
19 Menanggal cendawan dan kulat pada permukaan dinding.
20 Mengecat permukaan dinding.
21 Membaik pulih façade bangunan.
22 Pembinaan dinding batu-bata baru termasuk lepa dan kemasan.
23 Pembinaan lantai baru termasuk kemasan.
24 Pembinaan plaster siling baru.
25 Menanggal kekotoran pada pintu dan tingkap.
26 Mengecat pintu dan tingkap.
27 Penanggalan dan penggantian kelengkapan sanitari.
28 Penanggalan dan penggantian paip saluran kumbahan.
29 Penanggalan dan penggantian paip bekalan air.
30 Penanggalan dan penggantian jubin tandas.
31 Water proofing lantai tandas.
32 Penanggalan tangki air kedua dalam setiap bilik hotel.
33 Pembersihan longkang dari kekotoran.
34 Penggantian culvert yang pecah.
35 Penanggalan dan penggantian grill baru.
36 Memasang penghadang sementara.
37 Membaik pulih tangga bangunan.
38 Penanggalan dan pendawaian sistem elektrik baru.
39 Memasang sistem penyaman udara pada ruang menunggu.

Untuk projek pemuliharaan ini, pihak kontraktor bangunan telah menyediakan sebanyak 39 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara berperingkat mengikut jadual perlaksanaan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan. Manakala dari segi bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan pula adalah seperti yang ditunjukkan dalam Lampiran P.

v. Dari segi kelebihan atau kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan, didapati kerja pemuliharaan ini telah dijalankan dengan penuh teliti oleh pihak kontraktor bangunan dengan pengawasan daripada Pegawai Penguasa projek. Namun begitu terdapat sedikit masalah dari segi kelewatan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan berikutan penamatan kontrak kontraktor utama yang didapati bermasalah dan digantikan dengan kontraktor baru untuk kerja infrstruktur dan bangunan yang sedikit sebanyak turut menjejaskan perlaksanaan kerja pemuliharaan ini. Antara sebahagian daripada kerja pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini adalah kerja penggantian kerangka dan kemasan bumbung, kerja mengecat permukaan dinding luar, kerja membaiki kerangka dan daun tingkap kayu dan kerja memasang jubin lantai seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.7.

Gambar 8.7: Kerja penggantian kerangka dan kemasan bumbung (1); kerja mengecat permukaan dinding luar (2); kerja membaiki kerangka dan daun tingkap kayu (3); dan kerja memasang jubin lantai (4).

Antara kelemahan yang telah dikenal pasti hasil tinjauan sebagaimana yang telah dilakukan ke atas projek pemuliharaan ini dari segi perlaksanaan kerja pemuliharaan dan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan adalah seperti berikut:
a. Penamatan kontrak kontraktor bangunan asal telah menyebabkan jadual perlaksanaan kerja telah terganggu di samping masalah kelewatan menyiapkan projek pemuliharaan serta masalah ketidakjelasan kerja yang telah dan akan dilakukan oleh kontraktor bangunan baru yang dilantik.
b. Pihak kontraktor bangunan tidak melantik pemulihara bangunan sepenuh masa untuk mengawasi kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek.
c. Terdapat kerja pemuliharaan yang dijalankan tanpa merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerana ia tidak disediakan oleh pihak kontraktor bangunan seperti untuk kerja pemuliharaan pintu, tingkap dan lain-lain lagi.
d. Terdapat kerja perobohan dilakukan ke atas elemen dinding luar dan dalam bangunan bersejarah ini dan perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebarang projek pemuliharaan bangunan bersejarah.
e. Terdapat penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan untuk membaiki kerosakan bangunan tidak merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan seperti kerja penggantian keseluruhan genting bumbung lama dengan genting bumbung baru, kerja penggantian keseluruhan siling lama dengan siling baru, kerja penggantian sebahagian kerangka dan daun pintu kayu dengan pintu aluminium berkaca dan lain-lain lagi.
f. Kerja pemuliharaan yang dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini didapati lebih bersifat pengubahsuaian berbanding kerja pemuliharaan yang berteraskan prinsip keaslian ke atas bahan binaan kerana terlalu banyak kerja penggantian bahan binaan telah dilakukan berbanding kerja pengekalan bahan binaan seperti pada elemen bumbung, siling, pintu, lantai dan lain-lain lagi.

vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas projek ini adalah kurang memuaskan dari segi mutu kerja dan pengawasan kerja pemuliharaan di tapak projek. Selain daripada itu, hampir sebahagian besar daripada keaslian bahan binaan dan rupa bentuk ruang dalam bangunan bersejarah ini telah ditukar sehinggakan identiti dan ciri-ciri seni bina yang asli telah tidak kelihatan. Walau bagaimanapun pihak kontraktor bangunan telah berjaya untuk mengekalkan sebahagian besar keaslian reka bentuk seni bina bangunan bersejarah ini terutama sekali pada bahagian fasad hadapan bangunan yang telah dipulihara dengan baik sebagaimana asal seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 8.8.

Gambar 8.8: Pengekalan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah sebagaimana asal seperti pada fasad hadapan (1); ruang kaki lima bangunan (2); reka bentuk gerbang dan komponen tingkap (3); dan ruang platform (4).

8.5.3 Kajian Kes 3: Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang
Maklumat berkaitan projek pemuliharaan bangunan bersejarah untuk kajian kes ketiga ini adalah seperti berikut:
i. Dari segi latar belakang sejarah, bangunan ini telah dibina pada 1912 dan siap pada 1915 atas usaha William Evans dan Willaim Peel. Ia adalah merupakan sebuah hospital yang dikenali sebagai King Edward Memorial Maternity Hospital sempena memperingati King Edward VII. Ia telah digunakan sebagai hospital dari 1915 hingga 1955. Antara 1955 hingga 1980an, ia telah didiami oleh pelbagai persatuan dan pertubuhan kebajikan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John Ambulance dan lain-lain lagi.

Bangunan 2 tingkat ini terdiri dari 5 buah blok dalam 1 kompleks yang disambungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung. Dari segi reka bentuk seni binanya, bangunan ini berkonsepkan bangunan Kolonial yang dapat dilihat dengan jelas pada elemen fasad, bumbung, tiang, pintu dan tingkapnya (Penang Heritage Trust, 2008).
ii. Latar belakang projek pemuliharaan ini dan gambar bangunan bersejarah berkenaan sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan dijalankan adalah seperti berikut:

Nama projek: Cadangan Membaik Pulih dan Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, Lot 1730, George Town, Pulau Pinang.
Harga kontrak: RM X,XXX,XXX.XX* (tidak dinyatakan).
Tarikh milik tapak: 16hb. Mei 2005.
Tarikh siap asal: 15hb. Mei 2007.
Tempoh kontrak: 24 bulan.
Pemilik bangunan: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Pegawai penguasa: Jabatan Bangunan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Arkitek: ABC Associate Architects*.
Jurutera C & S: ABC Runding Sdn. Bhd.*
Jurutera M & E: ABC Konsultant Sdn. Bhd.*
Jurukur bahan: ABC Quantity Surveyors Sdn. Bhd.*
Kontraktor utama: ABC Engineering Sdn. Bhd.*
Perunding dilapidasi: ABC Consultant*.
Perunding pemuliharaan: ABC Consultant*.
* Nama sebenar syarikat terlibat tidak dinyatakan.

Gambar 8.9: Bangunan No. 57, Jalan Macalister sebelum projek pemuliharaan (1); semasa projek pemuliharaan (2); dan selepas projek pemuliharaan dilaksanakan (3); dan (4).

iii. Perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan ini ialah sebelum kerja pemuliharaan dijalankan, kajian dilapidasi bangunan telah dijalankan terlebih dahulu oleh pihak perunding ke atas bangunan bersejarah ini dalam usaha untuk mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen utama bangunan bersejarah berkenaan dan seterusnya mencadangkan pendekatan kerja pemuliharaan yang perlu dilakukan oleh pihak kontraktor bangunan. Hasil daripada kajian dilapidasi bangunan, didapati bahawa bangunan bersejarah ini mengalami banyak kesan kerosakan terutamanya pada elemen bumbung, siling, tangga, dinding, pintu, tingkap dan lain-lain lagi.

Selain daripada itu, bangunan bersejarah ini juga telah dilitupi dengan banyak tumbuhan organik. Antara sebahagian daripada kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah ini adalah serangan anai-anai pada kerangka bumbung dan kehilangan jubin kemasan bumbung, komponen daun tingkap yang telah tertanggal, komponen tangga kayu yang telah usang dan lepa tangga luar yang telah tertanggal seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.10.

Gambar 8.10: Serangan anai-anai pada kerangka bumbung dan kehilangan jubin kemasan bumbung (1); komponen daun tingkap yang telah tertanggal (2); komponen tangga kayu yang telah usang (3); dan lepa tangga luar yang telah tertanggal (4).

iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ialah dengan merujuk kepada laporan kajian dilapidasi bangunan yang telah dikemukakan. Setelah mengambil kira cadangan pendekatan kerja pemuliharaan seperti yang telah dicadangkan oleh pihak perunding iaitu kerja pengekalan, pencegahan, pengukuhan, pengembalian semula dan pemulihan maka pihak kontraktor bangunan seterusnya melalui perunding pemuliharaan yang dilantik telah menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk membaiki setiap kerosakan bangunan yang berlaku.

Perunding pemuliharaan telah memberi khidmat nasihat dalam bentuk teknikal dan juga mengawasi setiap kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek agar ianya mengikut garis panduan dan menepati spesifikasi sebagaimana yang dikehendaki selaras dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Semua penyataan kaedah yang disediakan untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini juga telah disediakan dan disemak oleh pemulihara bangunan yang berpengalaman dan pakar serta diiktiraf dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Senarai lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh perunding pemuliharaan bagi pihak kontraktor bangunan untuk projek pemuliharaan ini adalah sebagaimana yang ditujukkan dalam Jadual 8.3.

Jadual 8.3: Senarai penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan untuk projek pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister.

Bil. Tajuk Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
1 Menanggal unit penghawa dingin.
2 Penggalian arkeologi.
3 Peningkatan kelembapan atau rising damp.
4 Tumbuhan organik.
5 Bumbung sementara.
6 Rawatan anai-anai.
7 Papan tanda.
8 Menanggal cat sedia ada.
9 Baik pulih kayu.
10 Pencegahan anti kulat.
11 Penjagaan lockset.
12 Penjagaan tembaga.
13 Penukaran gelegar lantai.
14 Plat penanda.
15 Penanggalan dinding sesekat.
16 Penanggalan siling gantung.
17 Penanggalan peralatan elektrik.
18 Penanggalan kelengkapan sanitari.
19 Sukatan suhu tempatan dan kelembapan relative.
20 Penjagaan lantai bangunan.
21 Bancuhan lepaan dinding.
22 Marseilles Tile.
23 Pemasangan Marseilles Tile.
24 Membaiki lepaan.
25 Pencegahan masalah burung.
26 Panel dinding.
27 Pertukangan kayu.
28 Penyediaan external cornice.
29 Pembinaan semula tiang pagar utama.

Untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, pihak perunding pemuliharaan telah menyediakan sebanyak 29 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara berperingkat mengikut jadual perlaksanaan kerja di tapak projek pemuliharaan. Manakala dari segi bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan pula adalah seperti yang ditunjukkan pada Lampiran Q.

v. Dari segi kelebihan atau kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan, didapati kerja pemuliharaan ini telah dijalankan dengan penuh teliti oleh pihak perunding pemuliharaan dengan pengawasan daripada Pegawai Penguasa projek. Antara sebahagian daripada kerja pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini adalah kerja mengikis lapisan cat pada permukaan tiang, kerja rawatan anai-anai pada kerangka pintu kayu, kerja mengecat daun tingkap kayu dan kerja membaik pulih dinding bata seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.11.

Gambar 8.11: Kerja mengikis lapisan cat pada permukaan tiang (1); kerja rawatan anai-anai pada kerangka pintu kayu (2); kerja mengecat daun tingkap kayu (3); dan kerja membaik pulih dinding bata (4).

Untuk projek pemuliharaan ini, tidak banyak kelemahan telah dikenal pasti hasil tinjauan sebagaimana yang telah dilakukan berikutan kebijaksanaan pihak kontraktor bangunan yang telah melantik perunding pemuliharaan untuk mengawasi perlaksanaan kerja dan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan. Di samping itu juga, pihak klien juga telah melantik konsultan pemuliharaan untuk memantau kerja yang telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor bangunan agar kerja pemuliharaan yang dilaksanakan adalah mengikut spesifikasi sebagaimana yang telah dipersetujui dan ditetapkan. Namun begitu masih terdapat beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dari segi penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan seperti berikut:
a. Terdapat kerja pemuliharaan yang dijalankan tanpa merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerana ia tidak disediakan oleh pihak perunding konservasi seperti untuk kerja pemuliharaan tangga luar, tangga dalam, siling dan lantai bangunan bersejarah.
b. Terdapat penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan sekali dalam satu bahagian seperti kerja baik pulih kayu dan kerja pertukangan kayu yang mana ia melibatkan elemen bangunan yang berbeza serta skop kerja yang berlainan di mana penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini sepatutnya perlu disediakan secara berasingan mengikut pecahan elemen bangunan dan bidang tugas kerja yang berbeza agar ia lebih mudah untuk dilaksanakan disamping bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sewaktu perlaksanannya.

vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan ini adalah memuaskan. Ia adalah kerana kerja pemuliharaannya telah dilakukan mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dari segi format dan dokumentasinya yang tidak seragam namun begitu dari segi perlaksanaan kerja pemuliharaannya adalah baik berikutan daripada penyeliaan oleh pihak perunding pemuliharaan di kedua belah pihak. Selain daripada itu, sebahagian besar daripada keaslian reka bentuk seni bina, bahan binaan dan teknik pembinaannya telah dapat dipulihara dan dikekalkan pada bangunan bersejarah ini dengan baik sebagaimana asal seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 8.12.

Gambar 8.12: Pengekalan reka bentuk seni bina bangunan sebagaimana asal seperti pada fasad hadapan bangunan (1); kemasan siling (2); komponen pintu (3); dan komponen tingkap (4).

8.5.4 Kajian Kes 4: Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang
Maklumat berkaitan projek pemuliharaan bangunan bersejarah untuk kajian kes keempat ini adalah seperti berikut:
i. Dari segi latar belakang sejarah, bangunan ini telah mula dibina pada 1901 dan telah siap pada 1905. Ia terletak pada persimpangan Lebuh Light dan Lebuh Farquhar. Bangunan Kolonial setinggi 2 tingkat ini telah digezetkan sebagai monumen bersejarah pada 2001. Reka bentuk seni binannya adalah bercirikan seni bina Paladian sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas pada elemen tiang utamanya.
Sebuah tugu yang dikenali sebagai Logan Memorial bagi memperingati seorang peguam terkenal bernama James Richardson Logan yang telah meninggal dunia pada 1869 telah ditempatkan di halaman bangunan ini. Bangunan bersejarah ini yang telah berusia lebih 100 tahun masih kekal sehingga kini sebagaimana fungsi asalnya ia mula dibina. Disebabkan oleh masalah kesesakan ruang dalam bangunan mahkamah ini, sebanyak 2 buah bangunan tambahan setinggi 3 tingkat telah siap dibina bersebelahan bangunan bersejarah ini untuk menempatkan mahkamah majistret dan mahkamah sivil pada 2008 (Najmudeen Kader, 2009).
ii. Latar belakang projek pemuliharaan ini dan gambar bangunan bersejarah berkenaan sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan dijalankan adalah seperti berikut:

Nama projek: Cadangan Pengubahsuaian dan Pindaan Bangunan Mahkamah 2 Tingkat Sediada di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di atas Lot 758 & 336, Seksyen 19, Daerah Timur Laut, George Town, Pulau Pinang.
Harga kontrak: RM X,XXX,XXX.XX* (tidak dinyatakan).
Tarikh milik tapak: 7hb. Jun 2005.
Tarikh siap asal: 12hb. Febuari 2007.
Tempoh kontrak: 22 bulan.
Pemilik bangunan: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Agensi pelaksana: Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Pegawai penguasa: Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang.
Arkitek: ABC Sdn. Bhd.*
Kontraktor utama: ABC Konsortium Sdn. Bhd.*
Kontraktor pemuliharaan: ABC Sdn. Bhd.*
Perunding dilapidasi: ABC Sdn. Bhd.
* Nama sebenar syarikat terlibat tidak dinyatakan.

Gambar 8.13: Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum projek pemuliharaan (1); semasa projek pemuliharaan (2); dan selepas projek pemuliharaan dijalankan (3); dan (4).

iii. Perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan ini ialah sebelum kerja pemuliharaan dijalankan, kajian dilapidasi bangunan telah dilaksanakan terlebih dahulu oleh pihak perunding ke atas bangunan bersejarah ini dalam usaha untuk mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen utama bangunan bersejarah berkenaan dan seterusnya mencadangkan pendekatan kerja pemuliharaan yang dirasakan perlu dilakukan oleh pihak kontraktor bangunan. Hasil daripada kajian dilapidasi bangunan, didapati bahawa bangunan bersejarah ini mengalami banyak kesan kerosakan terutama sekali pada elemen lantai, tangga, dinding, pintu, tingkap dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, bangunan bersejarah ini juga kelihatan amat usang dan perlu dibaikpulih dengan kadar segera untuk keselesaan penggunanya.
Antara sebahagian daripada kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah ini adalah kemasan cat dan lepa yang telah tertanggal pada tiang bangunan, keretakan pada dinding luar bangunan, kemasan papan lantai kayu yang telah usang dan komponen tangga kayu yang telah diserang anai-anai seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.14.

Gambar 8.14: Kemasan cat dan lepa yang telah tertanggal pada tiang bangunan (1); keretakan pada dinding luar bangunan (2); kemasan papan lantai kayu yang telah usang (3); dan komponen tangga kayu yang telah diserang anai-anai (4).

iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ialah dengan merujuk kepada laporan kajian dilapidasi bangunan yang telah dikemukakan. Setelah mengambil kira cadangan pendekatan kerja pemuliharaan seperti yang telah dicadangkan oleh pihak perunding pemuliharaan iaitu kerja pengekalan, pencegahan, pengukuhan, pemulihaan dan pengeluaran semula maka pihak kontraktor bangunan seterusnya melalui kontraktor pemuliharaan yang dilantik telah menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk membaiki setiap kerosakan bangunan yang berlaku.

Kontraktor pemuliharaan ini telah memberi khidmat nasihat dalam bentuk teknikal dan juga mengawasi setiap kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek agar ianya mengikut garis panduan pemuliharaan dan menepati spesifikasi sebagaimana yang dikehendaki selaras dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan. Semua penyataan kaedah yang disediakan untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini juga telah disediakan dan disemak oleh pemulihara bangunan yang berpengalaman. Senarai lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak kontraktor pemuliharaan untuk projek ini adalah sebagaimana yang ditujukkan dalam Jadual 8.4.

Jadual 8.4: Senarai penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan untuk projek pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Bil. Tajuk Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
1 Cadangan lokasi kotak dan kaedah penyelidikan ekskavasi arkeologi.
2 Medokumentasi Historic American Building Survey (HABS).
3 Kajian skima warna tingkat atas dan bawah.
4 Mengikis lapisan cat dinding bangunan tingkat bawah, atas, bahagian luar dan dalam.
5 Mencuci dinding bahagian dinding luar.
6 Membaik pulih lantai kayu tingkat atas.
7 Melupus dinding bata dan lantai konkrit tingkat bawah.
8 Pemasangan lintol besi tingkat atas.
9 Konservasi dinding tingkat bawah dan atas.
10 Menanggal tingkap tingkat atas.
11 Rising damp treatment tingkat bawah.
12 Aplikasi cocoon tingkat atas dan bawah.
13 Membaik pulih kayu siling tingkat atas.
14 Rawatan anai-anai dan kulat tingkat atas dan bawah.
15 Membaik pulih balustrade tingkat atas dan bawah.
16 Water proofing tandas baru.
17 Water proofing bumbung rata.
18 Pembinaan bumbung sementara.
19 Rawatan Peter Cox tingkat atas dan bawah.
20 Melupus dinding tanggung beban tingkat atas dan bawah.
21 Melepa dinding tingkat atas dan bawah.
22 Mengikat bata tingkat atas dan bawah.
23 Membaik pulih lantai tandas, bilik persalinan dan pantry tingkat atas.
24 Melupus pokok tumpang dan mikrobiologi.
25 Menanggal bumbung asbestos sedia ada.
26 Membaik pulih kerangka pintu, tingkap dan kekisi angin tingkat atas dan bawah.
27 Membaik pulih lapisan zink pada bahagian bawah bumbung rata.
28 Memasang gelegar dan papan siling.
29 Memasang genting bumbung China bentuk V.
30 Membaik pulih tangga kayu.
31 Membaik pulih kerangka bumbung.
32 Membina tandas baru.
33 Mezzanine floor.
34 Sanitary, plumbing dan cold water pipe.
35 Pemasangan water storage tank.
36 Keretakan pada bangunan lama akibat ketidak stabilan tanah.
37 Restorasi jubin geometrik.
38 Penempatan Logan Memorial ke Promenade Area.
39 Kerja-kerja restorasi pembinaan dan pemasangan cast iron dan ukiran kubah mengikut reka bentuk asal.

Untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, pihak kontraktor pemuliharaan telah menyediakan sebanyak 39 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara berperingkat mengikut jadual perlaksanaan kerja di tapak projek pemuliharaan. Manakala dari segi bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan pula adalah seperti yang ditunjukkan pada Lampiran R.

v. Dari segi kelebihan atau kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan, didapati kerja pemuliharaan ini telah dijalankan dengan penuh teliti oleh pihak kontraktor pemuliharaan dengan pengawasan daripada Pegawai Penguasa projek. Antara sebahagian daripada kerja pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas bangunan bersejarah ini adalah kerja pemuliharaan Logan Memorial, kerja pemuliharaan tangga kayu, kerja pemuliharaan kubah dan kerja pemuliharaan jubin lantai seperti ditunjukkan dalam Gambar 8.15.

Gambar 8.15: Kerja pemuliharaan Logan Memorial (1); kerja pemuliharaan tangga kayu (2); kerja pemuliharaan kubah (3); dan kerja pemuliharaan jubin lantai (4).

Untuk projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, tidak banyak kelemahan telah dikenal pasti hasil tinjauan sebagaimana yang telah dilakukan ke atas projek pemuliharaan ini berikutan kebijaksanaan pihak kontraktor bangunan yang telah melantik kontraktor pemuliharaan yang berpengalaman luas untuk melaksanakan kerja dan menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan. Namun begitu masih terdapat beberapa kelemahan yang telah diikenal pasti dari segi penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan seperti berikut:
a. Terdapat kerja pemuliharaan yang dijalankan tidak merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerana tidak disediakan oleh pihak kontraktor pemuliharaan seperti untuk kerja pemuliharaan kemudahan bangunan dan kerja-kerja luar bangunan.
b. Terdapat penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan sekali dalam satu bahagian seperti kerja melupus dinding batu-bata dan lantai konkrit tingkat bawah yang mana ia melibatkan elemen bangunan yang berbeza serta skop kerja yang berlainan. Penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini sepatutnya perlu disediakan secara berasingan mengikut pecahan elemen bangunan dan bidang tugas kerja yang berbeza agar ia lebih mudah untuk dilaksanakan di samping bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sewaktu perlaksanannya.

vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan ini adalah sangat memuaskan. Ia adalah kerana kerja pemuliharaannya telah dilakukan mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Walaupun dilakukan beberapa penambahan seperti pemasangan cermin kaca sebagai wall cladding di sekeliling koridor luar tingkat atas bangunan terpaksa dibuat bagi memenuhi keperluan semasa bangunan yang memerlukan penyaman udara pada ruangnya namun penambahan ia tidak menjejaskan keaslian reka bentuk seni bina bangunan bersejarah berkenaan secara keseluruhan. Selain daripada itu, sebahagian besar daripada keaslian reka bentuk seni bina, bahan binaan dan teknik pembinaannya telah dapat dipulihara dan dikekalkan pada bangunan bersejarah ini dengan sebaik mungkin terutama sekali pada fasad hadapan bangunan dan ruang dalam bangunan seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 8.16.

Gambar 8.16: Pengekalan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah sebagaimana asal seperti pada fasad hadapan (1); butiran tiang dan rasuk (2); komponan tangga (3); dan dinding dalam (4).

8.6 Senarai Lengkap Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan yang Telah Dikenal Pasti dalam Kajian Kes
Hasil daripada kajian kes yang telah dijalankan ke atas 4 buah projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, telah dikenal pasti terdapat sebanyak 11 elemen utama kerja pemuliharaan yang perlu ada dalam setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dilaksanakan dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Kerja awalan.
ii. Kerja meroboh, menanggal dan memecah.
iii. Kerja pemuliharaan dinding luar dan dalam.
iv. Kerja pemuliharaan pintu dan kelengkapan.
v. Kerja pemuliharaan tingkap dan kelengkapan.
vi. Kerja pemuliharaan lantai bawah dan atas.
vii. Kerja pemuliharaan tangga luar dan dalam.
viii. Kerja pemuliharaan siling.
ix. Kerja pemuliharaan bumbung.
x. Kerja pemuliharaan kemudahan bangunan.
xi. Kerja pemuliharaan lain-lain elemen.

Senarai lengkap 120 penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah dikenal pasti dari 11 elemen utama seperti mana yang disenaraikan ini untuk kesemua sampel projek pemuliharaan yang telah dipilih dalam kajian kes adalah sebagaimana yang dilampirkan pada Lampiran O di bahagian lampiran.

8.7 Kesimpulan
Secara umumnya terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia yang telah dan sedang dipulihara baik kecil mahupun besar dan menyeluruh bergantung kepada tahap kerosakan bangunan yang dialaminya. Untuk kerja pemuliharaan yang kecil dan lebih kepada kerja penyelenggaraan dan pembaikan ke atas bangunan bersejarah, pada kebiasaannya tiada penyataan kaedah kerja perlu disediakan untuk menyelenggara dan membaiki kerosakan yang berlaku pada bangunan bersejarah berkenaan. Namun begitu, dalam kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang melibatkan hampir sebahagian besar eleman bangunannya, pada kebiasaannya penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini wajib dan perlu disediakan oleh pihak kontraktor bangunan atau pihak perunding pemuliharaan serta kontraktor pemuliharaan yang dilantik sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak klien.

Selain daripada itu, kesemua penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini disediakan bertujuan untuk memudahkan pihak kontraktor bangunan menjalankan kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Penyediaannya juga secara tidak langsung berupaya untuk mengekalkan keaslian pada reka bentuk, seni bina dan bahan binaaan yang hendak dipulihara daripada dimusnahkan. Dalam usaha untuk mengenal pasti sejauh mana tahap penyediaan dan perlaksanaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dalam kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia beserta mengenal pasti bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang selama ini disediakan oleh pihak kontraktor bangunan, maka kajian kes ke atas 4 buah projek pemuliharaan telah dijalankan. Semua penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan pada projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini telah diperhalusi dari segi bentuk dan tahap penyediaannya.

Adalah diharapkan agar melalui kajian kes yang dijalankan ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini, segala kelemahan dan kekurangan yang telah dikenal pasti terdapat pada peringkat penyediaan dan perlaksanaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dapat diatasi dan diperbaiki pada masa yang akan datang melalui cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

No comments:

Powered By Blogger