Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 7 Metodologi Penyelidikan

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB TUJUH
METODOLOGI PENYELIDIKAN

7.0 Pengenalan
Penyelidikan adalah merupakan satu bidang yang sangat luas dan semakin berkembang selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Malah dalam kehidupan seharian manusia banyak dipengaruhi oleh hasil penyelidikan yang dilakukan dalam pelbagai bidang seperti sains, teknologi, perubatan dan sebagainya. Secara umumnya terdapat terlalu banyak penyelidikan telah dijalankan sejak zaman dahulu lagi sehingga kini dalam usaha untuk mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku terhadap kehidupan manusia (Yin, 2003). Sebagai contohnya ahli antropologi dan arkeologi telah menjalankan penyelidikan untuk mengkaji kesan peninggalan tamadun silam bagi mengetahui corak kehidupan manusia yang hidup pada zaman dahulu kala dari segi sosio budaya dan adat resam kehidupan mereka.

Manakala dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah pula, antara bentuk penyelidikan yang telah dijalankan adalah seperti ke atas bahan binaan, struktur bangunan, kerosakan bangunan, kaedah rawatan, kaedah pemuliharaan dan lain-lain lagi. Kesemua penyelidikan ini telah dijalankan menggunakan kaedah atau metodologi yang tertentu dengan satu matlamat iaitu untuk menambah ilmu pengetahuan, meneroka bidang baru dan seterusnya menghasilkan penemuan baru. Sehubungan dengan itu, pemahaman terhadap metodologi penyelidikan adalah amat penting dan boleh dijadikan sebagai rujukan oleh para penyelidik. Antara kepentingan metodologi penyelidikan ialah ia dapat dijadikan sebagai garis panduan kepada penyelidikan yang dijalankan dari segi bentuk, gaya, proses dan kaedah penyelidikan yang dijalankan.


7.1 Definisi Penyelidikan
Fellows dan Liu (2003) mendefinisikan penyelidikan sebagai satu bentuk pencarian secara teliti dan berhati-hati yang perlu dilakukan secara sistematik dalam usaha untuk mendapat pengetahuan baru dan menambah tahap pengetahuan berkaitan sesuatu perkara. Manakala Hawkins (ed). (2004) pula telah mendefinisikan penyelidikan sebagai penyiasatan secara sistematik ke atas bahan atau sumber baru dalam usaha untuk mendapatkan fakta dan mencapai kesimpulan baru. Penyelidikan adalah merupakan satu alat yang berkesan yang boleh digunakan untuk menambah pengetahuan, menambah kecekapan, memberi penerangan, membuat ramalan, mengkaji permasalahan dan mencari kebenaran mengenai isu atau perkara yang dikaji. Penyelidikan berbentuk saintifik lazimnya dilakukan dengan menjalankan kajian secara teratur dan teliti mengenai semua aspek yang berkaitan dengan sesuatu masalah dan seterusnya mengemukakan keputusan atau kenyataan mengenainya. Dalam erti kata yang lain, penyelidikan adalah merupakan satu kaedah untuk mencari kebenaran.

7.2 Keperluan Penyelidikan
Keperluan utama penyelidikan ialah untuk mendapatkan kebenaran secara logik mengenai sesuatu fenomena atau isu. Namun begitu, ia tidak bererti kebenaran yang diperolehi hasil penyelidikan yang dijalankan merupakan kebenaran yang muktamad. Ini adalah kerana mungkin terdapat fakta baru atau tambahan serta yang tidak diperolehi sewaktu penyelidikan dijalankan sebelum ini akan timbul dan akan mengubah keputusan sedia ada (Brimblecombe dan Grossi, 2006; Crowther dan Lanccaster, 2008). Di peringkat pengajian Doktor Falsafah (PhD) sebagai contohnya, keperluan utama penyelidikan ialah untuk menjalankan sesuatu kerja yang asli dan seterusnya menambah ilmu pengetahuan dan menghasilkan penemuan ilmu yang baru dalam sesuatu bidang dengan menggunakan teknik atau kaedah penyelidikan yang pelbagai (Rea dan Parker, 2005).

7.3 Klasifikasi dan Bentuk Penyelidikan
Merujuk kepada Fellows dan Liu (2003), penyelidikan secara umumnya bolehlah dikalsifikasikan kepada 2 bentuk seperti berikut:
i. Penyelidikan tulin dan gunaan (pure and applied research).
ii. Penyelidikan kuantitatif dan kualitatif (quantitative and qualitative research).

7.3.1 Penyelidikan Tulin dan Gunaan
Penyelidikan tulin (pure research) lazimnya dijalankan untuk menghasikan pengetahuan baru (new knowledge) dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan teori yang wujud untuk mencari kebenaran. Manakala penyelidikan gunaan (applied research) lebih kepada penyuaraan isu aplikasi dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berbentuk praktikal. Kedua-dua bentuk penyelidikan ini menjurus kepada kaedah untuk menyelesaikan masalah seperti berikut:
i. Masalah tertutup (closed ended problems) iaitu masalah yang mudah untuk diselesaikan dengan satu kaedah yang betul.
ii. Masalah terbuka (open ended problems) iaitu masalah yang lebih kompleks dan agak sukar untuk dikenalpasti serta boleh diselesaikan dengan pelbagai cara.

7.3.2 Penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif
Penyelidikan kuantitatif (quantitative research) pula lebih bersifat saintifik. Ia lazimnya dilakukan dengan cara mempelajari teori dan kesusasteraan (literature) terlebih dahulu dalam usaha untuk membentuk matlamat serta objektif penyelidikan dan seterusnya perlu menguji hipotesis untuk mendapatkan penemuan penyelidikan. Manakala dalam kaedah penyelidikan kualitatif (qualitative research) pula, ia lazimnya dilakukan secara eksplorasi ke atas sesuatu subjek serta dilakukan tanpa menggunakan sebarang formula dalam usaha untuk memahami dan mengumpul data serta maklumat yang akhirnya akan menghasilkan sebuah teori atau penemuan penyelidikan baru. Penyelidikan kualitatif ini lazimnya bersifat lebih mudah untuk dilakukan berbanding penyelidikan kuantitatif kerana pendekatannya tidak memerlukan sebarang analisa statistik.

Selain daripada 2 klasifikasi penyelidikan yang lazim digunakan oleh para penyelidik, Naoum (2001) berpendapat bahawa terdapat beberapa lagi bentuk penyelidikan yang boleh dikategorikan berdasarkan kepada sebab sesuatu penyelidikan itu dijalankan seperti berikut:
i. Penyelidikan berbentuk peralatan yang mana ia dijalankan untuk membina, mencipta atau menentu ukur peralatan seperti peralatan untuk tujuan pengukuran, pengujian atau pengumpulan data. Penilaiannya pula boleh dibuat berdasarkan kepada teori.
ii. Penyelidikan berbentuk deskriptif yang mana ia dijalankan untuk mengenal pasti dan merekod secara sistematik semua elemen berbentuk fenomena, proses atau sistem. Penyelidikan ini boleh dilakukan secara tinjauan atau kajian kes dan hasilnya adalah untuk membolehkan bahan kajian yang diselidik itu dapat dikategorikan.
iii. Penyelidikan berbentuk tinjauan yang mana ia dijalankan untuk menguji atau meneroka aspek sesuatu teori. Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah dengan membentuk hipotesis dan kemudiannya diuji dengan merujuk kepada data yang diambil, data yang dianalisa dan keputusan yang diinterpretasikan.
iv. Penyelidikan berbentuk keterangan yang mana ia dijalankan untuk menjawab persoalan yang timbul atau menjelaskan sesuatu perkara atau fenomena. Kaedah ini juga memerlukan hipotesis untuk dibentuk dan seterusnya diuji dalam situasi yang lebih jelas untuk menghasilkan sesuatu teori.
v. Penyelidikan berbentuk tafsiran yang mana ia dijalankan untuk memenuhi atau melengkapkan penemuan atau pengalaman tentang sesuatu rangka kerja, model atau teori. Ia lazimnya digunakan apabila formula empirik atau kaedah statistik tidak boleh digunakan untuk manganalisa dan menguji data.

7.4 Gaya Penyelidikan
Dalam usaha untuk menentukan kaedah penyelidikan yang paling sesuai untuk dijalankan, Crowther dan Lancaster (2008) telah menyarankan agar para penyelidik menyediakan gaya penyelidikan yang tersendiri. Matlamat utamanya ialah untuk memastikan agar penyelidikan dilakukan secara maksimum dan berupaya untuk merealisasikan objektifnya agar tercapai. Oleh itu, gaya penyelidikan hendaklah mengambil kira beberapa faktor seperti berikut:
i. Bentuk soalan penyelidikan.
ii. Bentuk data atau maklumat yang hendak diambil.
iii. Kaedah bagaimana data atau maklumat itu diambil.
iv. Kaedah bagaimana data atau maklumat itu dianalisa.

Sehubungan dengan itu, beberapa gaya penyelidikan boleh digunakan untuk memenuhi kriteria yang telah disenaraikan dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Penyelidikan tindakan yang mana untuk mendapatkan data atau maklumat melalui kaedah ini, para penyelidik perlu terlibat sama ketika proses penyelidikan sedang dijalankan.
ii. Penyelidikan etnografi yang mana untuk mendapatkan data atau maklumat melalui kaedah ini, para penyelidik bukan sahaja terlibat sama tetapi perlu menjadi sebahagian daripada kumpulan kajian yang diselidik atau ditinjau.
iii. Penyelidikan tinjauan atau banci yang mana untuk mendapatkan data atau maklumat melalui kaedah ini, para penyelidik boleh menjalankan tinjauan atau bancian melalui borang soal selidik sama ada terbuka atau tertutup, atau melalui temu duga sama ada berstruktur atau tidak berstruktur.
iv. Penyelidikan kajian kes yang mana untuk mendapatkan data atau maklumat melalui kaedah ini, para penyelidik perlu melakukan penyiasatan secara mendalam ke atas subjek penyelidikan.
v. Penyelidikan ujikaji yang mana untuk mendapatkan data atau maklumat melalui kaedah ini, para penyelidik perlu menjalankan eksperimen di makmal untuk menguji hubung kait antara subjek penyelidikan dengan variasi yang ada.

7.5 Proses Penyelidikan
Merujuk kepada Mohd Sheffie Abu Bakar (1987), terdapat beberapa langkah yang perlu dilalui oleh setiap penyelidik dalam proses penyelidikan dan ianya terbahagi kepada 6 peringkat seperti berikut:
i. Mengenal pasti masalah dan tajuk penyelidikan.
ii. Membentuk hipotesis.
iii. Memungut data.
iv. Memproses dan menganalisa data.
v. Mengemuka kesimpulan.
vi. Menulis laporan disertasi.

7.5.1 Mengenal Pasti Masalah dan Tajuk Penyelidikan
Pada peringkat yang pertama ini, para penyelidik perlu mewujudkan masalah dalam bidang yang hendak dikaji dan seterusnya mengemukakan tajuk penyelidikan dengan mengambil kira 4 faktor penting seperti berikut:
i. Adakah masalah itu menarik?
ii. Adakah masalah itu masalah baru?
iii. Adakah penyelidikan ini dapat menambah pengetahuan dan sesuatu yang baru?
iv. Adakah penyelidik lain telahpun terlebih dahulu membuat penyelidikan yang akan dikemukakan oleh penyelidik?

7.5.2 Membentuk Hipotesis
Pada peringkat yang kedua ini, para penyelidik perlu membentuk hipotesis yang merupakan kesimpulan atau teori sementara bagi masalah yang hendak diselidik. Hipotesis adalah satu telahan yang munasabah serta mengandungi teori mengenai data dan penerangan yang sama ada betul atau tidak bergantung kepada bukti yang yang akan diperolehi melalui penyelidikan yang dibuat nanti. Setelah semua bukti diperolehi maka hipotesis ini akan diuji sama ada untuk diterima atau tidak. Hipotesis yang diterima adalah merupakan penyelesaian kepada masalah yang diselidik.

7.5.3 Memungut Data
Pada peringkat yang ketiga ini, para penyelidik perlu memilih bentuk penyelidikan yang sesuai dengan kehendak penyelidikan serta memilih gaya penyelidikan yang sesuai untuk mendapatkan data. Data ini boleh diperolehi melalui 8 kaedah seperti berikut:
i. Melalui kaedah penyelidikan perpustakaan yang boleh dilakukan dengan cara menjalankan penyelidikan ke atas dokumen dan rekod yang sedia ada.
ii. Melalui kaedah temuduga yang boleh dilakukan dengan cara bersemuka dan menemuduga sendiri responden di lokasi yang ditetapkan.
iii. Melalui kaedah telefon yang boleh dilakukan dengan cara menemuduga tanpa perlu berdepan dengan responden melalui kemudahan telefon.
iv. Melalui kaedah pos yang boleh dilakukan dengan cara menghantar borang soal selidik kepada responden melalui perkhidmatan pos.
v. Melalui kaedah uji kaji yang boleh dilakukan dengan cara menjalankan ujian tertentu di makmal dengan menggunakan peralatan saintifik ke atas sampel yang diselidik.
vi. Melalui kaedah pencerapan yang boleh dilakukan dengan cara memerhati peristiwa yang menjadi bahan sesuatu kajian.
vii. Melalui kaedah kajian kes yang boleh dilakukan dengan cara pengeksplorasian ke atas sampel kajian secara lebih spesifik.
viii. Melalui kaedah kaji selidik atau banci yang boleh dilakukan dengan cara menggunakan borang soal selidik dalam skala yang lebih besar ke atas sampel kajian.

Soal selidik ini pula terbahagi kepada 2 kategori iaitu:
a. Soal selidik bentuk terbuka yang memerlukan responden menjawab dengan menggunakan perkataan mereka sendiri.
b. Soal selidik bentuk tertutup atau berstruktur yang lebih senang dikendalikan kerana jawapan telah disediakan dan ia berupaya untuk mengurangkan bias.

Manakala bentuk-bentuk sampel kajian pula terbahagi kepada 3 kategori seperti berikut:
i. Sampel rawak mudah yang mana sampel kajian dipilih secara rambang tanpa had dalam populasi. Kaedah ini digunakan apabila senarai unit populasi tidak diperolehi walaupun jumlah unitnya diketahui.
ii. Sampel rawak berstrata yang mana sampel kajian dipilih secara rambang tetapi berstrata dalam populasi. Kaedah ini digunakan apabila senarai unit populasi diperolehi dan ia berupaya menambah ketepatan keputusan kajian.
iii. Sampel rawak kawasan dan berkelompok yang mana sampel kawasan memerlukan populasi dibahagikan kepada kawasan dan sebilangan kawasan ini dipilih sama ada secara rambang atau berstrata. Kaedah ini digunakan banyak bergantung kepada ciri populasi yang hendak dikaji serta kos untuk menjalankan penyelidikan kerana ia berupaya untuk menjimatkan kos di samping menambah ketepatan keputusan kajian.

Antara faktor yang dipertimbangkan dalam pemilihan sampel kajian ialah seperti berikut:
i. Faktor kos yang mana ia perlu mengambil kira sumber kewangan yang dinilai dari segi jumlah sampel yang dipilih dengan populasi keseluruhan sampel yang ada agar penyelidikan yang dijalankan tidak akan melibatkan perbelanjaan yang besar atau terlebih belanjawan kerana ia mungkin akan mempengaruhi dan menjejaskan perancangan penyelidikan.
ii. Faktor masa yang mana ia perlu mengambil kira peruntukan masa untuk kerja pengumpulan data yang bersesuaian dengan jangka masa penyelidikan yang diperuntukkan agar data dapat dianalisa dengan cepat.
iii. Faktor keputusan yang mana ia perlu mengambil kira penentuan kaedah penyelidikan yang bersesuaian dengan bentuk sampel yang dipilih bagi memastikan ketepatan data dan kulaiti data yang diperolehi nanti adalah jitu dan tepat.

7.5.4 Memproses dan Menganalisa Data
Pada peringkat yang keempat ini, para penyelidik perlu memproses data menggunakan sama ada jadual atau perisian komputer seperti SPSS for Windows, UNISTAT for Exel, ANOVA, NCSS, GenStat dan lain-lain lagi kaedah (Mohd Salleh Abu dan Zaidatun Tasir, 2001; Coakes dan Steed, 2003; Kirkpatrick dan Feeney, 2005). Seterusnya para penyelidik perlu memilih teknik statistik yang sesuai untuk menganalisa data bagi membolehkan interpretasi data dibuat mengenai fenomena atau masalah yang dikaji.
Antara kaedah statistik yang ada menurut Mohamad Abdullah (1996) adalah seperti berikut:
i. Taburan frekuensi adalah merupakan teknik yang mudah untuk menganalisis data secara frekuensi sebenar atau frekuensi relatif. Melalui teknik ini, taburan frekuensi boleh ditunjukkan dengan mudah dalam bentuk geraf, keluk, carta dan lain-lain.
ii. Klasifikasi silang adalah merupakan teknik untuk menunjukkan hubungan sedia ada atau kaitan antara hubungan dengan hipotesis dan pada kebiasaannya ia melibatkan satu atau lebih pemboleh ubah.
iii. Analisis varians adalah merupakan teknik untuk menentukan sama ada sesuatu faktor mempengaruhi faktor lain dan ia boleh mewujudkan anggaran kepentingan relatif bagi setiap pemboleh ubah yang signifikan.
iv. Analisis regresi adalah merupakan teknik untuk menganalisa data bagi tujuan melihat serta mengukur hubungan antara pemboleh ubah dan seterusnya menentukan sejauh mana pembolehubah ini mempengaruhi ciri yang dikaji.
v. Lain-lain lagi kaedah yang boleh digunakan untuk menganalisa data dan seterusnya membuat interpretasi mengenai fenomena atau masalah yang dikaji.

7.5.5 Mengemuka Kesimpulan
Pada peringkat yang kelima ini, para penyelidik perlu mengemuka atau membuat kesimpulan dan penyelesaian kepada masalah yang dikaji berasaskan bukti atau data yang telah dianalisis dan diinterpretasi dengan cara sama ada untuk menerima hipotesis atau menolak hipotesis penyelidikan yang telah ditetapkan sebelum ini.

7.5.6 Menulis Laporan Disertasi
Pada peringkat yang keenam dan terakhir ini, para penyelidik perlu menyedia dan melaporkan proses penyelidikan yang telah dijalankan dalam bentuk penulisan atau karya sebagai bukti yang penyelidikan telah dilakukan. Ringkasan kepada proses penyelidikan seperti yang telah diterangkan sebelum ini ditunjukkan dalam Rajah 7.1.

Rajah 7.1: Proses penyelidikan.
Sumber: Diubah suai daripada Mohd Sheffie Abu Bakar (1987).

7.6 Kaedah Penyelidikan yang Digunakan
Dalam penyelidikan ini, kaedah yang digunakan ialah kombinasi antara penyelidikan kuantitatif dan kualitatif. Kedah penyelidikan kuantitatif digunakan pada peringkat kajian lapangan dan peringkat kaji selidik. Manakala penyelidikan berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif pula digunakan pada peringkat kajian kes. Kesesuaian penggunaan kedua-dua kaedah ini adalah berdasarkan kepada gaya penyelidikan yang hendak dijalankan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia sebagai sampel kajian.

Dengan berpandukan kepada proses penyelidikan, penyelidikan ini telah dibahagi dan dijalankan dalam 3 peringkat seperti berikut:
i. Penyelidikan peringkat pertama merupakan penyelidikan berbentuk kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah.
ii. Penyelidikan peringkat kedua merupakan penyelidikan berbentuk kaji selidik ke atas kerosakan bangunan.
iii. Penyelidikan peringkat ketiga merupakan penyelidikan berbentuk kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

Ringkasan mengenai kaedah penyelidikan yang digunakan beserta dengan tujuan, perkara yang diberi perhatian, gaya dan jenis sampel yang dipilih ditunjukkan dalam Rajah 7.2.

Rajah 7.2: Kaedah penyelidikan yang digunakan.

Penerangan mengenai kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah dan kaji selidik ke atas kerosakan bangunan seperti dimaksudkan dalam Rajah 7.2 diterangkan pada bahagian yang berikutnya. Manakala penerangan terperinci mengenai kajian kes ke atas penyatan kaedah kerja pemuliharaan diterangkan pada Bab Lapan (kajian kes) dalam disertasi ini.

7.6.1 Kajian Lapangan ke atas Bangunan Bersejarah
Penerangan mengenai kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah yang dijalankan adalah seperti berikut:
i. Tujuan utama penyelidikan kajian lapangan ini dijalankan ialah untuk mendapatkan gambaran awal tentang keadaan semasa bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia dan seterusnya mengenal pasti sama ada skop penyelidikan yang hendak dijalankan adalah bersesuaian dengan penyataan isu dan masalah. Selain daripada itu, hasil penemuan yang diperolehi melalui kajian lapangan ini dapat dijadikan sebagai bukti sokongan dan seterusnya membantu dalam menyokong pembentukan objektif penyelidikan yang pertama iaitu untuk menyenaraikan jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia.
ii. Perkara utama yang diberi perhatian dalam kajian lapangan ini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkenaan bangunan bersejarah di Malaysia yang merangkumi 10 butiran seperti berikut:
a. Lokasi bangunan bersejarah.
b. Tahun bangunan bersejarah dibina.
c. Kategori bangunan bersejarah.
d. Kegunaan semasa bangunan bersejarah.
e. Keadaan semasa bangunan bersejarah.
f. Tahap pemuliharaan bangunan bersejarah.
g. Kerosakan yang berlaku pada bangunan bersejarah.
h. Elemen bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan.
i. Keperluan usaha pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah.
j. Kesesuaian pendekatan pemuliharaan yang telah digunakan ke atas bangunan bersejarah.

iii. Gaya penyelidikan kajian lapangan ini dibuat dengan menggunakan kaedah tinjauan atau banci. Kaedah ini dipilih kerana kesesuaiannya dengan jenis sampel bangunan bersejarah sedia ada. Manakala kaedah memungut datanya pula ialah secara banci dengan menggunakan borang soal selidik berbentuk tertutup kerana ia lebih senang untuk dikendalikan dan jawapan yang disediakan berupaya untuk mengurangkan bias berbanding soal selidik bentuk terbuka tanpa struktur. Pengisian borang soal selidiknya telah dilakukan tanpa melibatkan sebarang responden melalui kaedah pemeriksaan secara pemerhatian visual ke atas setiap sampel bangunan bersejarah yang telah dipilih.
iv. Jenis sampel kajian lapangan ialah dengan menggunakan sampel kawasan dan berkelompok. Kaedah ini dipilih kerana kesesuaiannya dengan kelompok bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah kawasan sedia ada. Sehubungan dengan itu, terdapat 4 buah kawasan kajian telah dipilih sebagai lokasi kajian lapangan dan kawasan kajian berkenaan beserta jumlah sampel bangunan bersejarahnya adalah seperti berikut:
a. Kawasan kajian 1 iaitu Jejak Warisan Kuala Lumpur yang terbahagi kepada 4 zon utama iaitu:
1. Zon Dataran Merdeka yang merangkumi 14 buah sampel bangunan bersejarah.
2. Zon Lebuh Pasar yang merangkumi 35 buah sampel bangunan bersejarah.
3. Zon Chinatown yang merangkumi 12 buah sampel bangunan bersejarah.
4. Zon Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merangkumi 40 buah sampel bangunan bersejarah.
b. Kawasan kajian 2 iaitu Jejak Warisan Ipoh yang merangkumi 67 buah sampel bangunan bersejarah.
c. Kawasan kajian 3 iaitu Jejak Warisan Pulau Pinang (George Town) yang terbahagi kepada 2 kawasan utama iaitu:
1. Jejak Warisan Pulau Pinang 1 yang merangkumi 21 buah sampel bangunan bersejarah.
2. Jejak Warisan Pulau Pinang 2 yang merangkumi 13 buah sampel bangunan bersejarah.
d. Kawasan kajian 4 iaitu Jejak Warisan Melaka (Banda Hilir) yang merangkumi 7 buah sampel bangunan bersejarah.

v. Jenis sampel bangunan bersejarah yang telah dipilih dalam kajian lapangan ini adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 7.1 hingga Jadual 7.9. Manakala kriteria pemilihannya dibuat berdasarkan kepada senarai bangunan bersejarah yang telah disediakan dalam Jejak Warisan Kuala Lumpur, Jejak Warisan Ipoh, Jejak Warisan Pulau Pinang dan Jejak Warisan Melaka. Manakala gambar 209 buah sampel bangunan bersejarah yang telah diperolehi ketika kajian lapangan ini dijalankan adalah seperti ditunjukkan pada Lampiran F hingga Lampiran M.

Jadual 7.1: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Kuala Lumpur (Zon Dataran Merdeka).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Masjid Jamek Kuala Lumpur. 1909 Kuala Lumpur
2 Jabatan Ukur Lama. 1910 Kuala Lumpur
3 Dewan Bandaran Lama. 1904 Kuala Lumpur
4 Mahkamah Tinggi Lama. 1915 Kuala Lumpur
5 Bangunan Sultan Abdul Samad. 1897 Kuala Lumpur
6 Pejabat Pos Lama. 1907 Kuala Lumpur
7 Mahkamah Industri. 1905 Kuala Lumpur
8 Muzium Tekstil. 1905 Kuala Lumpur
9 Muzium Sejarah Nasional. 1888 Kuala Lumpur
10 Perpustakaan Memorial Kuala Lumpur. 1899 Kuala Lumpur
11 Kelab DiRaja Selangor. 1890 Kuala Lumpur
12 Gereja St. Mary. 1895 Kuala Lumpur
13 Bangunan PAM. 1903 Kuala Lumpur
14 Wisma EKRAN. 1937 Kuala Lumpur
Sumber: Kementerian Pelancongan (1998a).

Jadual 7.2: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Kuala Lumpur (Zon Lebuh Pasar).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Pasar Seni. 1936 Kuala Lumpur
2 Bangunan No. 32, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
3 Bangunan No. 34, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
4 Bangunan No. 36, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
5 Bangunan No. 38, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
6 Bangunan No. 40, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
7 Bangunan No. 42, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
8 Bangunan No. 44, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
9 Bangunan No. 46, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
10 Bangunan No. 48, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
11 Bangunan No. 50, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
12 Bangunan No. 52, Jalan Hang Kasturi. 1909 Kuala Lumpur
13 Bangunan OCBC. 1938 Kuala Lumpur
14 Medan Pasar. 1937 Kuala Lumpur
15 Bangunan No. 2, Medan Pasar. 1906 Kuala Lumpur
16 Bangunan No. 4, Medan Pasar. 1906 Kuala Lumpur
17 Bangunan No. 6, Medan Pasar. 1906 Kuala Lumpur
18 Bangunan Gian Singh. 1909 Kuala Lumpur
19 Bank Bumiputra. 1930 Kuala Lumpur
20 Bangunan No. 16, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
21 Bangunan No. 18, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
22 Bangunan No. 24, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
23 Bangunan No. 26, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
24 Bangunan No. 28, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
25 Bangunan No. 30, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
26 Bangunan No. 32, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
27 Bangunan No. 85, Lebuh Ampang. 1930 Kuala Lumpur
28 Bangunan No. 34, Jalan Tun HS Lee. 1880 Kuala Lumpur
29 Bangunan No. 36, Jalan Tun HS Lee. 1880 Kuala Lumpur
30 Bangunan No. 38, Jalan Tun HS Lee. 1880 Kuala Lumpur
31 Bangunan No. 40, Jalan Tun HS Lee. 1880 Kuala Lumpur
32 Bangunan Gudang Persekutuan Lama. 1905 Kuala Lumpur
33 Syarikat MS Ally. 1907 Kuala Lumpur
34 Bank Simpanan Lama. 1914 Kuala Lumpur
35 Tokong Sze Ya. 1864 Kuala Lumpur
Sumber: Kementerian Pelancongan (1998b).

Jadual 7.3: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Kuala Lumpur (Zon Chinatown).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Bangunan Lee Rubber. 1930 Kuala Lumpur
2 Persatuan Kwong Siew. 1888 Kuala Lumpur
3 Kuil Sri Mahamariamman. 1920 Kuala Lumpur
4 Balai Polis Lama Jalan Tun HS Lee. 1895 Kuala Lumpur
5 Victoria Institution. 1893 Kuala Lumpur
6 Pejabat Pos Lama Jalan Panggung. 1886 Kuala Lumpur
7 Cafe Cina Lama. 1930 Kuala Lumpur
8 Persatuan Chan See Shu Yuen. 1906 Kuala Lumpur
9 Kedai Peralatan Sembahyang & Pengebumian. 1900 Kuala Lumpur
10 Bekas Colonial Hotel. 1930 Kuala Lumpur
11 Persatuan Drama Kebajikan Yan Keng. 1920 Kuala Lumpur
12 Persatuan Tukang Pekedai Runcit Selangor. 1920 Kuala Lumpur
Sumber: Kementerian Pelancongan (1998c).

Jadual 7.4: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Kuala Lumpur (Zon Jalan Tuanku Abdul Rahman).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Masjid India. 1863 Kuala Lumpur
2 Bangunan No. 23, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
3 Bangunan No. 25, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
4 Bangunan No. 27, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
5 Bangunan No. 29, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
6 Bangunan No. 31, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
7 Bangunan No. 33, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
8 Bangunan No. 35, Jalan Melayu. 1870 Kuala Lumpur
9 Bangunan No. 1, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
10 Bangunan No. 3, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
11 Bangunan No. 5, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
12 Bangunan No. 7, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
13 Bangunan No. 9, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
14 Bangunan No. 11, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
15 Bangunan No. 13, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
16 Bangunan No. 15, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
17 Bangunan No. 17, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
18 Bangunan No. 19, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1915 Kuala Lumpur
19 PH Hendry. 1920 Kuala Lumpur
20 Bangunan No. 8, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1900 Kuala Lumpur
21 Bangunan No. 32, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1900 Kuala Lumpur
22 Bangunan No. 42, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1900 Kuala Lumpur
23 Bangunan No. 106, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1900 Kuala Lumpur
24 Pawagam Coliseum. 1921 Kuala Lumpur
25 Rex & Tivoli Hotel. 1930 Kuala Lumpur
26 Bangunan No. 150, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
27 Bangunan No. 152, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
28 Bangunan No. 154, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
29 Bangunan No. 156, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
30 Bangunan No. 158, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
31 Bangunan No. 160, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
32 Bangunan No. 162, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
33 Bangunan No. 164, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
34 Pawagam Odeon. 1936 Kuala Lumpur
35 Bekas Tapak Lee Wong Kee (sudah dirobohkan). 1926 Kuala Lumpur
36 Bangunan No. 233, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
37 Bangunan No. 235, Jalan Tuanku Abdul Rahman. 1939 Kuala Lumpur
38 Globe. 1930 Kuala Lumpur
39 P Lal. 1930 Kuala Lumpur
40 Chotirmall. 1930 Kuala Lumpur
Sumber: Kementerian Pelancongan (1999d).

Jadual 7.5: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Ipoh.

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Bangunan Dewan Bandaran. 1916 Ipoh
2 Stesen Keretapi Ipoh. 1917 Ipoh
3 Bangunan Chung Thye Pin. 1907 Ipoh
4 Mahkamah Tinggi Ipoh. 1928 Ipoh
5 Bangunan Perdagangan Selat. 1907 Ipoh
6 SPH De Silva. 1950 Ipoh
7 Firma Peguam Leong Yew. 1913 Ipoh
8 Pejabat Kesihatan dan Perubatan Negeri Perak. 1920 Ipoh
9 Tempat Letak Kenderaan MBI. 1962 Ipoh
10 Bangunan Perak Hydro. 1930 Ipoh
11 Merchantile Bank. 1931 Ipoh
12 Chartered Bank. 1924 Ipoh
13 Balai Polis Central. 1911 Ipoh
14 Gereja St. John. 1912 Ipoh
15 Asrama Dramatis. 1920 Ipoh
16 Hong Kong & Shanghai Bank. 1931 Ipoh
17 Persatuan Ku Kong Chow Kung Wu Perak. 1928 Ipoh
18 Kian Aik Chan. 1930 Ipoh
19 Masjid Pakistan. 1930 Ipoh
20 Pejabat dan Kediaman Peguam Seenivasagam. 1900 Ipoh
21 Rumah Bandar Ali Pitchay. 1940 Ipoh
22 Akhbar Harian Kin Kwok. 1930 Ipoh
23 Pejabat Jan Sahib. 1930 Ipoh
24 Jaya Villa. 1930 Ipoh
25 Kedai Gambar Mikasa. 1908 Ipoh
26 Kelab dan Padang DiRaja Ipoh. 1898 Ipoh
27 Lorong Panglima. 1890 Ipoh
28 Sekolah Perdagangan Kinta. 1950 Ipoh
29 Kelab Yat Loo dan Persatuan Perlombongan. 1935 Ipoh
30 Kinta Aerated Water. 1930 Ipoh
31 Kerja Percetakan Star. 1930 Ipoh
32 Gudang Syarikat Perdagangan Selat. 1930 Ipoh
33 Pejabat Hartanah Ambika. 1930 Ipoh
34 St. Michael Institution. 1923 Ipoh
35 FMS Bar & Restaurant. 1923 Ipoh
36 Eu Tong Seng. 1907 Ipoh
37 Masjid Padang Bandar. 1908 Ipoh
38 Bangunan Oversea. 1930 Ipoh
39 Tokong Guan Yin. 1878 Ipoh
40 Foong Seong Villa. 1931 Ipoh
41 Sinhalese Bar. 1930 Ipoh
42 Rumah Melayu Kampung Jawa (sudah dirobohkan). 1886 Ipoh
43 Han Chin Pet Soo. 1929 Ipoh
44 Lam Look Ing Bazaar. 1933 Ipoh
45 Masjid Kampung Paloh. 1912 Ipoh
46 Jabatan Bomba Kinta Lama. 1913 Ipoh
47 Singapore Cold Storage. 1930 Ipoh
48 Rumah Kelab Rotary King George ke V. 1935 Ipoh
49 Bangunan Chua Cheng Bok. 1930 Ipoh
50 Tokong Pa Lo Ku Miao. 1872 Ipoh
51 Pejabat Warta Kinta. 1940 Ipoh
52 Pusat Maklumat. 1940 Ipoh
53 Bangunan Times of Malaya. 1930 Ipoh
54 Oriental Hotel. 1930 Ipoh
55 Rumah Mo Ching. 1930 Ipoh
56 Rumah Dato' Sri Adika Raja. 1910 Ipoh
57 Rumah Syabil Kathigasu. 1930 Ipoh
58 Masjid Dato' Panglima Kinta. 1898 Ipoh
59 Persatuan Drama Amatur Cina Perak. 1939 Ipoh
60 Yau Tet Shin Bazaar (sudah dirobohkan). 1961 Ipoh
61 Gereja St. Michael. 1924 Ipoh
62 Sekolah Convent. 1927 Ipoh
63 Sekolah Perempuan Melayu. 1920 Ipoh
64 Lam Look Ing Villa (sudah dirobohkan). 1930 Ipoh
65 Bangunan Persatuan Cina. 1930 Ipoh
66 Rumah Melayu Kampung Kuchai. 1903 Ipoh
67 Bekas Ibu Pejabat Perisikan Jepun. 1930 Ipoh
Sumber: Khoo Salma Nasution dan Abdur Razzaq Lubis (1999).

Jadual 7.6: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Pulau Pinang 1 (George Town).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Fort Cornwallis. 1808 George Town
2 Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang . 1874 George Town
3 Dewan Bandaran. 1906 George Town
4 Dewan Bandaraya. 1883 George Town
5 Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. 1905 George Town
6 Sekolah Convent. 1852 George Town
7 Muzium Negeri Pulau Pinang. 1821 George Town
8 Gereja St. George Anglican. 1818 George Town
9 Pinang Peranakan Mansion. 1890 George Town
10 Tokong Tua Pek Kong. 1900 George Town
11 Tokong Goddess of Mercy. 1800 George Town
12 Rumah Kedai Little India. 1900 George Town
13 Kuil Mahamariamman. 1833 George Town
14 Tokong Teochew. 1870 George Town
15 Masjid Kapitan Kling. 1801 George Town
16 Tokong Kongsi Yap. 1924 George Town
17 Markas Dr. Sun Yat Sen. 1880 George Town
18 Kediaman Syed Al-Attas. 1850 George Town
19 Masjid Melayu Lebuh Acheh. 1808 George Town
20 Khoo Kongsi. 1906 George Town
21 Cheah Kongsi. 1900 George Town
Sumber: Penang Heritage Trust (1996a, 2006b).

Jadual 7.7: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Pulau Pinang 2 (George Town).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Gereja Assumption. 1861 George Town
2 St. Xavier Institution. 1954 George Town
3 Rumah Penginapan Pelaut Keturunan Hainan. 1900 George Town
4 Tokong Persatuan Sekerja Tukang Kayu. 1850 George Town
5 Tokong Persatuan Sekerja Tukang Emas. 1903 George Town
6 Rumah Chan Kim Boon. 1900 George Town
7 Persatuan King Wan. 1900 George Town
8 Tokong Hainan. 1895 George Town
9 Masjid Benggali. 1803 George Town
10 Cheong Fatt Tze Mansion. 1890 George Town
11 Kediaman Leong Fee. 1907 George Town
12 Kediaman Ku Din Ku Meh. 1900 George Town
13 Gereja St. Francis Xavier. 1867 George Town
Sumber: Penang Heritage Trust (1996b, 2006b).

Jadual 7.8: Senarai sampel kaji selidik kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah untuk Jejak Warisan Melaka (Banda Hilir).

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Warisan Baba dan Nyonya. 1896 Bandar Hilir
2 Tokong Cheng Hoon Teng. 1646 Bandar Hilir
3 Masjid Kampung Kling. 1748 Bandar Hilir
4 Kuil Sri Poyyatha Vinayagar. 1781 Bandar Hilir
5 Gereja Christ. 1753 Bandar Hilir
6 Gereja St. Paul. 1553 Bandar Hilir
7 Memorial Kemerdekaan Malaya. 1911 Bandar Hilir
Sumber: Kerajaan Negeri Melaka (1996).

7.6.2 Kaji Selidik ke atas Kerosakan Bangunan
Penerangan mengenai kaji selidik ke atas bangunan bersejarah yang dijalankan adalah seperti berikut:
i. Tujuan utama penyelidikan kaji selidik ini dijalankan ialah untuk mendapatkan data semasa lokasi, jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada kebanyakan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Selain daripada itu, hasil penemuan yang diperolehi melalui kaji selidik ini dapat dijadikan panduan untuk menguji hipotesis penyelidikan sama ada menepati atau tidak menepati objektif penyelidikan seterusnya menghasilkan penemuan penyelidikan bagi memenuhi objektif penyelidikan yang pertama iaitu untuk menyenaraikan jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia.
ii. Perkara utama yang diberi perhatian dalam kaji selidik ini ialah untuk mengenal pasti lokasi, jenis dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah seperti berikut:
a. Elemen dinding luar.
b. Elemen dinding dalam.
c. Elemen pintu dan kelengkapan.
d. Elemen tingkap dan kelengkapan.
e. Elemen lantai bawah dan atas.
f. Elemen tangga.
g. Elemen siling.
h. Elemen bumbung.
i. Elemen kemudahan bangunan.
j. Lain-lain elemen.

iii. Gaya penyelidikan kaji selidik ini dibuat dengan menggunakan kaedah tinjauan atau banci. Manakala kaedah memungut datanya pula ialah secara banci dengan menggunakan borang soal selidik senarai semak kerosakan bangunan (building defects checklist form) bentuk tertutup. Sebanyak 100 jenis kerosakan bangunan pada 10 elemen utama bangunan bersejarah telah dikenal pasti melalui kajian perpustakaan dan kajian lapangan disenaraikan dalam borang soal selidik berkenaan. Pengisian borang soal selidiknya dilakukan melalui kaedah pemeriksaan secara pemerhatian visual ke atas setiap sampel bangunan bersejarah yang telah dipilih kerana ia memerlukan tahap pengetahuan yang mendalam berkaitan elemen dan kerosakan pada bangunan bersejarah. Setiap jenis kerosakan bangunan yang telah dikenal pasti berlaku direkod pada ruang butiran yang disediakan dalam borang soal selidik senarai semak kerosakan bangunan dan diambil gambarnya sebagai bahan bukti untuk tujuan rujukan pada masa akan datang.
iv. Jenis sampel kaji selidik ialah dengan menggunakan sampel rambang berstrata. Persampelan rambang berstrata ini dipilih kerana kesesuaiannya dengan kedudukan lokasi bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah kawasan bandar yang dipilih. Sehubungan dengan itu, terdapat 10 buah kawasan kajian (bandar) telah dipilih sebagai lokasi kaji selidik ini dan kriteria pemilihannya dibuat berdasarkan kepada faktor geografi dan jumlah bangunan bersejarah yang terdapat di bandar berkenaan. 10 kawasan kajian berkenaan beserta jumlah sampel bangunan bersejarahnya adalah seperti berikut:
a. Bandar Batu Gajah yang merangkumi 1 sampel bangunan bersejarah.
b. Bandar Tanjung Malim yang merangkumi 5 buah sampel bangunan bersejarah.
c. Bandaraya Ipoh yang merangkumi 7 buah sampel bangunan bersejarah.
d. Bandar Taiping yang merangkumi 4 buah sampel bangunan bersejarah.
e. Bandar Kuala Kangsar yang merangkumi 4 buah sampel bangunan bersejarah.
f. Banda Hilir yang merangkumi 5 buah sampel bangunan bersejarah.
g. Bandaraya Kuala Lumpur yang merangkumi 7 buah sampel bangunan bersejarah.
h. Bandar George Town yang merangkumi 7 buah sampel bangunan bersejarah.
i. Bandar Alor Setar yang merangkumi 5 buah sampel bangunan bersejarah.
j. Bandaraya Johor Bahru yang merangkumi 5 buah sampel bangunan bersejarah.

v. Jenis sampel bangunan bersejarah yang telah dipilih dalam kaji selidik ini adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 7.9. Manakala gambar 50 buah sampel bangunan bersejarah yang telah diperolehi ketika kaji selidik ini dijalankan adalah seperti ditunjukkan pada Lampiran N.

Jadual 7.9: Senarai sampel bangunan bersejarah untuk kaji selidik kajian kes ke atas kerosakan bangunan mengikut lokasi kajian.

Bil. Nama Bangunan Tahun Dibina Lokasi Kajian
1 Bangunan JKR. 1892 Batu Gajah
2 Bangunan Suluh Budiman. 1922 Tanjung Malim
3 Bangunan Tadahan Utara dan Selatan. 1922 Tanjung Malim
4 Rumah Pengetua. 1922 Tanjung Malim
5 Rumah Tamu. 1922 Tanjung Malim
6 Rumah ZA'BA. 1900an Tanjung Malim
7 Stesen Keretapi Ipoh. 1917 Ipoh
8 Jabatan Pelajaran Perak. 1929 Ipoh
9 Bangunan Bulan Bintang. 1940 Ipoh
10 Pejabat Pos Lama. 1916 Ipoh
11 Masjid Dato' Panglima Kinta. 1898 Ipoh
12 Muzium Darul Ridzuan. 1926 Ipoh
13 FMS Bar & Restaurant. 1906 Ipoh
14 Muzium Perak. 1883 Taiping
15 Stesen Keretapi Taiping. 1873 Taiping
16 Pejabat Tiket Stesen Keretapi Taiping. 1883 Taiping
17 Pejabat Daerah Larut, Matang dan Selama. 1895 Taiping
18 Masjid Ubudiah. 1917 Kuala Kangsar
19 Istana Kenangan. 1933 Kuala Kangsar
20 Galeri Sultan Azlan Shah. 1900an Kuala Kangsar
21 Stesen Keretapi Kuala Kangsar. 1800an Kuala Kangsar
22 Rumah Baba. 1800an Banda Hilir
23 Masjid Kampung Hulu. 1728 Banda Hilir
24 Hotel Puri. 1822 Banda Hilir
25 Masjid Kampung Keling. 1748 Banda Hilir
26 Tokong Cheng Hoong Teng. 1704 Banda Hilir
27 Restoran Sin Seng Nam. 1906 Kuala Lumpur
28 Muzium Sejarah Nasional. 1888 Kuala Lumpur
29 Perpustakaan Memorial Kuala Lumpur. 1899 Kuala Lumpur
30 Muzium Negara. 1963 Kuala Lumpur
31 Stesen Keretapi Kuala Lumpur. 1911 Kuala Lumpur
32 Mahkamah Industri. 1905 Kuala Lumpur
33 Bangunan Sultan Abdul Samad. 1897 Kuala Lumpur
34 Bangunan Boustead. 1895 George Town
35 Muzium dan Galeri Seni Pulau Pinang. 1821 George Town
36 Gereja St. George Anglican. 1817 George Town
37 Dewan Bandaraya. 1883 George Town
38 Al-Madrasah. 1900an George Town
39 Pusat Warisan Pulau Pinang. 1900an George Town
40 Muzium Kesenian Islam. 1860 George Town
41 Balai Besar. 1735 Alor Setar
42 Balai Seni. 1893 Alor Setar
43 Pejabat Pos Besar. 1900an Alor Setar
44 Balai Polis Alor Setar. 1900an Alor Setar
45 Bangunan Mahkamah Rendah Lama. 1931 Alor Setar
46 Masjid Sultan Abu Bakar. 1900 Johor Bahru
47 Muzium Diraja. 1886 Johor Bahru
48 Istana Bukit Zaharah. 1858 Johor Bahru
49 Bangunan Sultan Ibrahim. 1942 Johor Bahru
50 Rumah Gabenor Lama. 1950an Johor Bahru

7.7 Kesimpulan
Kajian ke atas bangunan bersejarah di Malaysia adalah merupakan satu bidang penyelidikan yang penting terutama sekali dalam hal yang berkaitan dengan pemuliharaan. Secara umumnya terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dan masih belum diterokai dalam bidang penyelidikan berkaitan bangunan bersejarah di Malaysia yang melibatkan pelbagai topik khusus seperti reka bentuk seni bina, bahan binaan, kerosakan bangunan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, penyelidikan secara khusus ke atas bangunan bersejarah di Malaysia dari aspek kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan telah dilakukan dengan menggunakan kaedah penyelidikan berbentuk kuantitatif dan kualitatif.

Penyelidikan ini dijalankan dengan melalui beberapa proses asas seperti mengenal pasti masalah dan tajuk penyelidikan, membentuk hipotesis, memungut, memproses dan menganalisa data, mengemukakan kesimpulan dan menghasilkan penemuan bagi memenuhi objektif seperti yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu berkaitan dengan jenis kerosakan umum bangunan, tahap penyediaan dan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang bersesuaian. Pelbagai gaya penyelidikan telah dijalankan dalam penyelidikan ini seperti kaedah tinjauan dan bancian dengan menggunakan borang soal selidik serta kaedah kajian kes dengan menggunakan pendekatan pemerhatian dan temu bual bergantung kepada bentuk data maklumat yang hendak diperolehi. Tujuannya ialah untuk memastikan agar penyelidikan ini dibuat dengan lebih teratur dan terancang di samping memastikan agar perkara utama yang diselidik dapat diberi perhatian yang sewajarnya.

No comments:

Powered By Blogger