Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 6 Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB ENAM
PENYATAAN KAEDAH KERJA PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

6.0 Pengenalan
Secara umumnya banyak projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia telah dilaksanakan dengan baik terutama sekali pada reka bentuk seni bina dan pengekalan bahan binaanya. Namun begitu, masih terdapat lagi beberapa kelemahan telah dikenal pasti pada peringkat perlaksanaan kerja projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini terutama sekali ketika penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perkara ini perlu diperhalusi dan diperbaiki. Ini adalah kerana pendekatan kerja pemuliharaan yang sering menjadi amalan di tapak projek dilaksanakan tanpa merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang betul. Dalam erti kata lain, pendekatannya tidak bersesuaian kerana terdapat keunikan serta keaslian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaan pada bangunan bersejarah yang sewajarnya perlu dipulihara dan dikekalkan telah dimusnah atau digantikan.

Keadaan seumpama ini berlaku tanpa disedari kerana pihak-pihak yang terlibat dalam kerja pemuliharaan itu sendiri kurang arif tentang prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Dalam sesetengah keadaan, pendekatan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan didapati tidak bersesuaian dengan jenis kerosakan bangunan serta pemilihan bahan binaannya pula dianggap kurang praktikal sehinggakan pendekatan yang dipraktikkan bukan sahaja salah malah berlawanan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul serta turut merosakkan keaslian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaan sedia ada. Oleh yang demikian, salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah melaui penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang bersesuaian dengan jenis kerosakan bangunan serta pendekatan kerja pemuliharaan yang dicadangkan hendaklah disediakan oleh pemulihara bangunan yang berpengalaman.

6.1 Definisi Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Penyataan kaedah kerja pemuliharaan didefinisikan sebagai tatacara kerja yang menerangkan secara terperinci segala langkah dan kaedah yang perlu diikuti sewaktu melakukan sebarang kerja pemuliharaan bagi memastikan perlaksanaan kerja dapat dibuat secara teratur dan sistematik mengikut turutan kerja yang telah ditetapkan. Ia adalah merupakan sebuah dokumen yang lazimnya disediakan oleh pemulihara bangunan pada setiap kerja pemuliharaan yang dilaksanakan dari awal sehingga akhir. Di dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini, kelazimannya ada disediakan tatacara kerja pemuliharaan beserta dengan pelan, lakaran, rajah dan gambar yang menunjukkan butiran tentang lokasi, bentuk elemen dan bahan binaan yang hendak dipulihara secara terperinci bagi membantu dan memudahkan kerja pemuliharaan dilakukan. Secara umumnya setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik perlulah disediakan dengan berpandukan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

6.2 Kepentingan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan adalah wajib dan sering menjadi amalan dalam kebanyakan projek pemuliharaan baik yang dikawal selia oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta (Akmal Niswani Abdul Jalil et.al., 2005). Kepentingan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini pada bangunan bersejarah, antara lainnya ialah ianya dapat:
i. Dijadikan sebagai asas kerja pemuliharaan yang menerangkan secara terperinci tatacara kerja pemuliharaan yang dirasakan sesuai dan terbukti keberkesanannya.
ii. Dijadikan sebagai garis panduan dan rujukan oleh pihak kontraktor bangunan ketika melakukan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah.
iii. Membantu pihak kontraktor bangunan melakukan kerja pemuliharaan dengan cara yang lebih teratur dan sistematik.
iv. Dijadikan sebagai bukti dokumen tentang perlaksanaan kerja yang dilakukan di tapak bina sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti untuk merekod dan menyemak kerja terdahulu dan sebagai rujukan pada masa yang akan datang.
v. Mengelakkan sebarang kerja pemuliharaan bangunan bersejarah dilakukan dengan pendekatan yang salah serta bertentangan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

6.3 Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Penyataan kaedah kerja pemuliharaan adalah merupakan dokumen bertulis atau bercetak yang lazimnya disediakan oleh pemulihara bangunan yang dilantik oleh pihak kontraktor bangunan pada setiap projek pemuliharaan. Antara salah satu tugas utama pemulihara bangunan ialah untuk menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bagi setiap kerja pemuliharaan yang dijalankan mengikut jadual perlaksanaan kerja. Penyediaannya juga banyak bergantung kepada skop kerja pemuliharaan yang akan dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan beserta jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada sesebuah bangunan bersejarah yang hendak dipulihara. Penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan oleh pemulihara bangunan akan diserahkan kepada wakil pihak klien untuk disemak dan diteliti dari segi pendekatan, teknik dan kaedah pemuliharaan yang dicadangkan sama ada bersesuaian dan boleh diterima pakai atau sebaliknya. Kelazimannya setelah disemak penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini barulah ia diperakui untuk kelulusan dan seterusnya kerja pemuliharaan boleh dilaksanakan sebagaimana yang dipersetujui oleh semua pihak (Muhammad Ismail Othman, 2006; Paiman Keromo, 2006c).

Selain daripada perlu mematuhi segala prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang dikehendaki dalam penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini, ia juga hendaklah disediakan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti berikut:
i. Lokasi kerosakan pada bangunan bersejarah.
ii. Punca dan agen kerosakan bangunan.
iii. Jenis kerosakan bangunan.
iv. Bentuk dan tahap kerosakan bangunan.
v. Kesan kerosakan bangunan ke atas elemen bangunan bersejarah.
vi. Kaedah dan keputusan uji kaji bahan.
vii. Keputusan ujian makmal terhadap sampel bahan.
viii. Kaedah tatacara kerja pemuliharaan yang telah terbukti keberkesanannya.
ix. Alternatif terhadap kaedah kerja pemuliharaan sedia ada.
x. Penggunaan bahan dan teknologi baru serta terkini dalam merawat kerosakan bangunan.

6.4 Rangka Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Secara umumnya terdapat pelbagai pendekatan kerja pemuliharaan yang telah diperkenalkan dari masa ke semasa sejak dari dahulu lagi tentang kaedah yang sering diguna pakai dalam setiap kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan bangunan. Terdapat kaedah yang boleh dianggap lama tetapi masih digunakan kerana keberkesanannya dan terdapat juga yang menggunakan kaedah teknologi terkini selaras dengan perkembangan semasa (Bankart, 2002). Menurut Latham (2000) dan A Ghafar Ahmad (2006a), kerja pemuliharaan bangunan bersejarah perlu mengaplikasikan kaedah yang telah terbukti berkesan bagi memastikan setiap kaedah yang dipraktikkan semasa kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan masalah kepada struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang dipulihara. Setiap cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pemulihara bangunan perlulah mengambil kira pelbagai faktor seperti yang telah diterangkan sebelum ini dalam usaha untuk memastikan agar pendekatan yang dilaksanakan betul-betul bekesan dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan pada elemen dan bahan binaan yang hendak dipulihara. Sehubungan itu, sebelum sesuatu penyataan kaedah kerja pemuliharaan disediakan oleh pemulihara bangunan maka perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah dengan menyediakan rangka penyediaan penyataan kaedah terlebih dahulu. Antara lain tujuannya ialah untuk:
i. Menentukan jenis bahan binaan yang akan dipulihara.
ii. Menentukan jenis bahan rawatan yang akan digunakan.
iii. Menentukan kaedah atau pendekatan pemuliharaan yang dicadangkan.

Berikut diterangkan secara ringkas 3 contoh rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan sebagai rujukan dan panduan dalam membuat keputusan mengenai cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai untuk kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pencucian bahan binaan.
ii. Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bumbung.
iii. Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan cat dinding.

6.4.1 Rangka Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pencucian Bahan Binaan
Elemen bangunan bersejarah seperti bumbung, dinding dan lantai sering terdedah kepada pelbagai faktor dan agen kerosakan. Seterusnya ia tidak dapat lari dari mengalami pelbagai jenis kerosakan bangunan. Menurut Normandin dan Slaton (2005), kerja pencucian bahan binaan adalah merupakan perkara utama yang perlu dilakukan sebelum melaksanakan sebarang kaedah kerja pemuliharaan ke atas elemen bangunan bersejarah. Melalui kerja pencucian, berkemungkinan besar keadaan struktur yang berbeza akan dapat ditemui seperti struktur sebenar atau asal yang tersembunyi di bawah lapisan cat, kekotoran dan sebagainya. Secara umumnya rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pencucian bahan binaan terbahagi kepada 3 peringkat. Peringkat yang pertama ialah mengenal pasti kategori jenis bahan binaan yang perlu dicuci. Antara bahan binaan yang perlu dicuci terdiri dari 2 jenis iaitu bahan bukan organik dan bahan organik seperti ditunjukkan dalam Rajah 6.1.

Rajah 6.1: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pencucian bahan binaan peringkat pertama.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

Secara umunya, setiap jenis bahan binaan memerlukan kaedah pencucian dan rawatan yang berbeza kerana sifat bahan binaan itu sendiri yang berbeza. Selain daripada itu, kajian saintifik dan uji kaji makmal hendaklah dilakukan terlebih dahulu sebelum perlaksanaan sebarang kerja pencucian bahan binaan diputuskan kerana menurut Paiman Keromo (2006c), ia dapat:
i. Menentukan jenis kekotoran yang terdapat pada permukaan bahan binaan sama ada dari jenis yang melekat atau meresap pada bahan binaan.
ii. Menentukan kesan kehadiran kekotoran ke atas bahan binaan sama ada ia membawa kerosakan atau kerapuhan serta menukar kadar porositi dan kelembapan pada bahan binaan.
iii. Menentukan bahan pencuci sama ada ia bertindak sebagai bahan pembunuh, pelekang atau pelarut dan menentukan kaedah penggunaan yang dirasakan sesuai agar ianya tidak menambah kerosakan atau kehilangan mineral bahan binaan.

Peringkat kedua ialah mengenal pasti kategori bahan pencucian yang digunakan. Secara umumnya terdapat 2 kategori bahan pencucian yang sering digunakan ketika kerja pencucian dilakukan iaitu bahan pencucian kering dan basah seperti ditunjukkan dalam Rajah 6.2.

Rajah 6.2: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pencucian bahan binaan peringkat kedua.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

Peringkat ketiga ialah mengenal pasti kaedah pencucian yang digunakan. Secara umumnya terdapat 5 kaedah pencucian yang sering digunakan ketika kerja pencucian iaitu pencucian secara mekanikal, pencucian menggunakan bahan pencuci, bahan pelarut, bahan pembunuh dan bahan pembakar seperti ditunjukkan dalam Rajah 6.3.

Rajah 6.3: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pencucian bahan binaan peringkat ketiga.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

Penerangan ringkas mengenai kaedah pencucian, peralatan yang digunakan dan kekotoran yang hendak ditanggalkan seperti diterangkan sebelum ini merujuk kepada Schaffer (2004), Smith dan Turkington (2004), Slaton dan Normandin (2005), Muhammad Ismail Othman (2006) dan Abdul Hakim Abdul Rahman (2009) adalah seperti berikut:
i. Kaedah pencucian secara mekanikal merupakan kaedah pencucian yang tidak menggunakan bahan pencuci, penanggal, pelarut dan pembunuh. Terdapat 2 kaedah pencucian secara mekanikal yang boleh digunakan iaitu secara lembut dan kasar seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.1.

Jadual 6.1: Kaedah pencucian secara mekanikal.

Kaedah Pencucian Peralatan yang Digunakan Kekotoran yang Hendak Ditanggalkan
i. Kaedah yang lembut seperti mengelap. a. Kain lap. a. Habuk dan kekotoran yang tidak melekat pada permukaan bahan organik/bukan organik yang rapuh.
ii. Kaedah yang lembut seperti memberus. a. Berus sabut.
b. Berus dawai.
c. Berus tembaga halus. a. Habuk dan kekotoran yang tidak melekat pada rongga lubang bahan organik/bukan organik yang rapuh.
iii. Kaedah yang lembut seperti menyedut. a. Penyedut hampagas atau vaccum cleaner. a. Habuk dan kekotoran yang tidak melekat pada rongga lubang bahan organik/bukan organik yang rapuh.
iv. Kaedah yang lembut seperti mengerudi. a. Gerudi halus atau dentist drill. a. Habuk dan kekotoran yang tidak melekat pada permukaan bahan logam yang rapuh.
v. Kaedah yang kasar seperti memberus dan mengikis. a. Berus sabut.
b. Berus dawai.
c. Berus tembaga halus.
d. Pengikis atau scrapper. a. Kekotoran yang melekat pada permukaan bahan organik dan bukan organik yang tidak rapuh.
vi. Kaedah yang kasar seperti menyembur. a. Semburan air atau water jet. a. Kekotoran yang melekat pada permukaan luar bangunan bagi bahan organik/bukan organik yang tidak rapuh.
vii. Kaedah yang kasar seperti menyembur. a. Semburan pasir atau sand blasting. a. Kekotoran yang melekat pada permukaan dalam bangunan bagi bahan organik/bukan organik yang tidak rapuh.

ii. Kaedah pencucian menggunakan bahan pencuci adalah sesuai untuk mencuci kekotoran yang terdapat pada bahan bukan organik. Terdapat 4 kaedah yang boleh digunakan iaitu secara menyapu, memberus, menyembur dan merendam seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.2.

Jadual 6.2: Kaedah pencucian menggunakan bahan pencuci.

Kaedah Pencucian Bahan Pencucian yang Digunakan Kekotoran yang Hendak Ditanggalkan
i. Kaedah menyapu menggunakan berus cat.
ii. Kaedah memberus menggunakan berus kasar.
iii. Kaedah menyembur menggunakan semburan air atau water jet. a. Bahan pencuci beralkali atau sabun. a. Kekotoran yang melekat pada bahan bukan organik yang tidak rapuh.
iv. Kaedah merendam menggunakan bekas takungan. a. Bahan pencuci beralkali atau sabun. a. Kekotoran yang melekat pada bahan bukan organik yang rapuh.

iii. Kaedah pencucian menggunakan bahan pelarut digunakan bergantung kepada jenis bahan dan kekotoran yang hendak ditanggalkan kerana terdapat banyak jenis bahan pelarut yang ada dipasaran yang boleh digunakan. Terdapat 5 kaedah yang boleh digunakan iaitu secara mengelap, menyembur, menyapu, memberus dan mengikis seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.3.

Jadual 6.3: Kaedah pencucian menggunakan bahan pelarut.

Kaedah Pencucian Bahan Pelarut yang Digunakan Kekotoran yang Hendak Ditanggalkan
i. Kedah mengelap menggunakan kain lap.
ii. Kaedah menyembur menggunakan penyembur silikon atau silicon spray. a. Penanggal cat atau paint remover seperti air dan silikon. a. Lapisan cat air yang terdapat pada permukaan bahan bukan organik.
iii. Kedah menyapu menggunakan berus cat.
iv. Kaedah memberus menggunakan berus kasar.
v. Kaedah mengikis menggunakan pengikis atau scrapper. a. Penanggal cat atau paint remover seperti tupertine. a. Lapisan cat minyak yang terdapat pada permukaan bahan organik.
vi. Kedah menyapu menggunakan berus cat.
vii. Kaedah memberus menggunakan berus kasar. a. Penanggal cat atau paint remover seperti tupertine. a. Lapisan minyak hitam atau wax untuk mengelakkan pereputan dan pengoksidaan pada permukaan bahan organik dan bukan organik.
viii. Kedah menyapu menggunakan berus cat.
ix. Kaedah memberus menggunakan berus kasar.
x. Kaedah mengikis menggunakan pengikis atau scrapper. a. Penanggal cat atau paint remover seperti asid hidroklorik. a. Pepejal karbonat kesan daripada penggunaan cat air bermutu rendah yang terdapat pada permukaan bahan bukan organik.
xi. Kedah menyapu menggunakan berus cat.
xii. Kaedah memberus menggunakan berus kasar.
xiii. Kaedah mengikis menggunakan pengikis atau scrapper. a. Penanggal kerak atau rust remover. a. Lapisan kerak kesan pengaratan atau pengoksidaan yang terdapat pada permukaan bahan logam.

iv. Kaedah pencucian menggunakan bahan pembunuh digunakan untuk mencuci dan seterusnya membunuh kekotoran dari jenis mikro organik yang tumbuh pada permukaan bahan organik. Terdapat banyak jenis bahan pembunuh yang selamat ada dipasaran dan penggunaannya adalah bergantung kepada jenis tumbuhan mikro organik yang hendak dicuci dan dibunuh. Kaedah yang boleh digunakan ialah secara semburan dan diikuti dengan cara memberus, mengikis, mencuci, mencabut atau memotong seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.4.

Jadual 6.4: Kaedah pencucian menggunakan bahan pembunuh.

Kaedah Pencucian Bahan Pembunuh yang Digunakan Kekotoran yang Hendak Ditanggalkan
i. Kaedah semburan bertujuan untuk membunuh akarnya terlebih dahulu diikuti dengan kaedah memberus, mengikis atau mencuci yang mana difikirkan sesuai. a. Bahan pembunuh seperti larutan amonia. a. Tumbuhan seni halus dan kecil yang terdapat pada permukaan bahan organik.
ii. Kaedah semburan bertujuan untuk membunuhnya terlebih dahulu diikuti dengan kaedah mencuci, mencabut atau memotong yang mana difikirkan sesuai. a. Bahan pembunuh seperti racun rumpai. a. Tumbuhan parasit dan pokok besar yang terdapat pada permukaan bahan organik dan buhkan organik.

v. Kaedah pencucian menggunakan bahan pembakar adalah merupakan kaedah yang amat sukar dilakukan. Ianya dilakukan untuk menanggalkan lapisan cat yang telah disapu secara berlapis-lapis dan telah menjadi terlalu keras serta sukar untuk ditanggalkan menggunakan kaedah pencucian lain. Kaedah yang boleh digunakan ialah secara membakar dan diikuti dengan cara mengikis seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.5.

Jadual 6.5: Kaedah pencucian menggunakan bahan pembakar.

Kaedah Pencucian Bahan Pembakar yang Digunakan Kekotoran yang Hendak Ditanggalkan
i. Kaedah membakar dengan keadaan api berwarna biru agar tidak hangus diikuti dengan dengan kaedah mengikis menggunakan pengikis atau scrapper. a. Bahan pembakar atau burner. a. Lapisan cat minyak yang berlapis-lapis dan sudah menjadi keras yang terdapat pada permukaan bahan organik.

6.4.2 Rangka Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bumbung
Elemen bumbung bangunan bersejarah terbahagi kepada 2 komponen utama iaitu kemasan bumbung dan kerangka bumbung. Kedua-dua komponen bumbung ini sering kali mengalami pelbagai jenis kerosakan bangunan. Secara umumnya terdapat beberapa jenis genting bumbung yang digunakan pada kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia seperti atap Belian, jubin Marseilles, jubin Terracotta, jubin Singgora dan lain-lain lagi (Boon, 2009; Hock, 2009; Rahmah Enche’ Yusop, 2009; Shaari Saud, 2009; Shahruddin Shabri, 2009).

Kebanyakan daripada genting bumbung yang terdapat pada bangunan bersejarah di Malaysia telah mengalami pelbagai rintangan cuaca serta perubahan zaman. Oleh yang demikian, sebahagian besar daripadanya telah mengalami kerosakan seperti berubah dari kedudukan atau susunan asal, hilang, pecah, retak, pudar warna dan menggalami masalah kulat yang serius. Sehubungan itu ia perlu dibaik pulih dan dirawat bagi mengambalikan keadaannya sebagaimana asal (Bennet dan Pinion, 2000; Cash, 2003; Molloy, 2009). Antara faktor yang diambil kira dalam rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bumbung ialah mengenal pasti jenis dan tahap kerosakan genting serta kerangka bumbung terlebih dahulu seperti ditunjukkan dalam Rajah 6.4 dan Rajah 6.5.

Rajah 6.4: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

Rajah 6.5: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka bumbung.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

6.4.3 Rangka Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Dinding
Elemen dinding bangunan bersejarah terbahagi kepada 2 komponen utama iaitu struktur dinding dan kemasan dinding. Kedua-dua komponen dinding ini sering kali mengalami pelbagai jenis kerosakan bangunan. Kebanyakan dinding bangunan bersejarah di Malaysia dibina daripada susunan batu-bata tanah liat dan dilepa dengan lepa kapur atau lime plaster (Burns, 2001; Allen et al., 2003; Eckel, 2005; Rodiah Zawawi, 2007; Jenkins; 2009). Antara kawasan yang menggunakan lepa kapur ini ialah seperti pada kawasan dinding, tiang decorative, molding dan cornices (Howe, 2001; Hughes et al., 2007; Millar dan Bankart, 2009).

Selain daripada itu, lepaan kapur mempunyai pelbagai nisbah bancuhan. Sebagai contohnya, bancuhan untuk lepaan dinding luar tidak sama dengan bancuhan untuk lepaan dinding dalam. Ini adalah kerana lepaan dinding luar lebih banyak terdedah kepada hujan dan cahaya matahari dan kemungkinan kerosakan bangunan berlaku ke atasnya adalah lebih tinggi berbanding lepaan pada dinding dalam. Sekiranya kerosakan bangunan berlaku maka lepaan semula perlu dilakukan dengan memberikan perhatian yang serius kepada masalah kerosakan bangunan ini (Fassina, et al, 2002; Livesey, 2002; Faria et al., 2008). Sehubungan dengan itu lepaan dinding ini sewajarnya dipulihara demi untuk mengekalkan keperluan fungsi dan reka bentuk seni binanya sebagaimana asal (Verrall, 2000; Elert et al., 2003; Lynch, 2006; Sawyer, 2007). Antara faktor yang diambil kira dalam rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dan cat dinding adalah jenis dan tahap kerosakan yang terdapat pada permukaan dinding itu sendiri seperti ditunjukkan dalam Rajah 6.6 dan Rajah 6.7.

Rajah 6.6: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

Rajah 6.7: Rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan cat dinding.
Sumber: Diubah suai daripada Muhammad Ismail Othman (2006).

6.5 Contoh Laporan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Setelah mengambil kira pelbagai faktor yang telah diterangkan dan dengan merujuk kepada rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan sebelum ini, maka peringkat yang seterusnya ialah penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan itu sendiri. Penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lazimnya disediakan berperingkat bergantung kepada peringkat kerja pemuliharaan yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah. Berikut adalah contoh laporan penyataan kaedah kerja pemuliharaan atau tatacara kerja (work method statement) yang disediakan oleh pihak perunding pemuliharaan untuk Restorasi Bangunan No. 57, Jalan Macalister dan Cadangan Pengubahsuaian dan Pindaan Bangunan Mahkamah 2 Tingkat sedia ada di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Pulau Pinang seperti ditunjukkan dalam Gambar 6.1.

Gambar 6.1: Laporan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan atau Tatacara Kerja (Work Method Statement) untuk Cadangan Membaik Pulih Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang (1); dan Cadangan Pengubahsuaian dan Pindaan Bangunan Mahkamah 2 Tingkat sedia ada di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Pulau Pinang (2).

6.6 Contoh Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan pada kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia adalah pelbagai dan tidak seragam. Pada kelazimanya, kandungan dan format yang disediakan banyak bergantung kepada kehendak pemulihara bangunan itu sendiri yang menyediakannya. Namun begitu, antara 10 perkara yang perlu diambil kira dan dinyatakan dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan adalah seperti berikut:
i. Maklumat ringkas projek pemuliharaan.
ii. Tajuk dan nombor bilangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
iii. Prinsip pemuliharaan.
iv. Objektif pemuliharaan.
v. Lokasi kerosakan bangunan.
vi. Jenis kerosakan bangunan.
vii. Kaedah pemuliharaan yang dicadangkan.
viii. Bahan binaan yang dicadangkan.
ix. Lakaran kerja pemuliharaan.
x. Nama pihak yang menyedia dan menyemak penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

Berikut ditunjukkan beberapa contoh cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan dengan baik oleh pemulihara bangunan beserta dengan penerangan dan ianya boleh dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Ketiga-tiga contoh cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini mengandungi sebahagian daripada 10 perkara seperti yang disenaraikan di atas dan ditunjukkan dalam Rajah 6.8 hingga Rajah 6.14. Antara projek pemuliharaan yang dimaksudkan ialah:
i. Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya, Batu Gajah, Perak.
ii. Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang.
iii. Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang.

6.6.1 Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya, Batu Gajah, Perak

Rajah 6.8: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan broken edges dan cornice untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya, Batu Gajah, Perak (muka surat 1).

Rajah 6.9: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan broken edges dan cornice untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya, Batu Gajah, Perak (muka surat 2).

Contoh cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya, Batu Gajah, Perak telah disediakan untuk merawat kerosakan bangunan seperti lepa dinding tertanggal dan pecah yang berlaku pada bahagian edges dan cornice. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini telah disediakan dengan menyatakan beberapa maklumat penting seperti berikut:
i. Nombor bilangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
ii. Tajuk projek pemuliharaan.
iii. Penerangan skop kerja pemuliharaan.
iv. Nombor rujukan.
v. Tarikh disediakan.
vi. Prinsip pemuliharaan.
vii. Maklumat am kerja pemuliharaan.
viii. Kaedah pemuliharaan yang dicadangkan.
xi. Bahan binaan yang dicadangkan.
xii. Lakaran kerja pemuliharaan.

6.6.2 Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang

Rajah 6.10: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan jubin Marseilles untuk Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang (muka surat 1).

Rajah 6.11: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan jubin Marseilles untuk Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang (muka surat 2).

Rajah 6.12: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan jubin Marseilles untuk Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang (muka surat 3).

Contoh cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk Projek Pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang telah disediakan untuk merawat kerosakan jubin Marseilles seperti kekotoran dan kulat yang berlaku pada bahagian kemasan bumbung. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini telah disediakan dengan menyatakan beberapa maklumat penting seperti berikut:
i. Tarikh disediakan.
ii. Nombor rujukan.
iii. Tajuk projek pemuliharaan.
iv. Tajuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
v. Maklumat konsultan pemuliharaan yang menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
vi. Pengenalan berkaitan maklumat am kerja pemuliharaan.
vii. Dokumentasi dan perancangan kerja pemuliharaan.
viii. Kaedah pemasangan atau pemuliharaan yang dicadangkan.
ix. Bahan binaan yang dicadangkan.
xiii. Lakaran kerja pemuliharaan.
xiv. Kesimpulan.
xv. Maklumat pihak yang menyedia dan menyemak penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

6.6.3 Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang

Rajah 6.13: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan balustrade untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang (muka surat 1).

Rajah 6.14: Penyataan kaedah kerja pemuliharaan balustrade untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang (muka surat 2).

Contoh cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk Projek Pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang telah disediakan untuk merawat kerosakan tangga bangunan pada bahagian balustrade di tingkat atas dan bawah. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini telah disediakan dengan menyatakan beberapa maklumat penting seperti berikut:
i. Tajuk projek pemuliharaan.
ii. Nombor bilangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
iii. Tajuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
iv. Maklumat konsultan pemuliharaan yang menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
x. Tarikh disediakan.
xi. Nombor rujukan.
xii. Pengenalan berkaitan maklumat am kerja pemuliharaan.
xiii. Objektif kerja pemuliharaan.
xiv. Kaedah kerja pemuliharaan yang dicadangkan.
xv. Kesimpulan.
xvi. Maklumat pihak yang menyedia dan menyemak penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

6.7 Kelemahan dan Cadangan Penambahbaikan
Daripada ketiga-tiga contoh penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang ditunjukkan sebelum ini, secara umumnya kesemua penyataan kaedah kerja pemuliharaan berkenaan telah disediakan dengan baik dan dianggap lengkap kerana sebahagian besarnya mengandungi 10 perkara yang perlu diambil kira dan dinyatakan seperti maklumat ringkas projek pemuliharaan; tajuk dan nombor bilangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan; prinsip pemuliharaan; objektif pemuliharaan; lokasi kerosakan bangunan; jenis kerosakan bangunan; kaedah pemuliharaan yang dicadangkan; bahan binaan yang dicadangkan; serta akhir sekali nama pihak yang menyedia dan menyemak penyataan kaedah kerja pemuliharaan berkenaan. Namun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu dan boleh diperbaiki dalam setiap contoh penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ini dan berikut disenaraikan beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Tatacara kerja pemuliharaan sebolehnya disediakan dengan lebih terperinci mengikut turutan kerja bermula dari peringkat awal seperti perobohan dan penanggalan bahan binaan hinggalah kepada kerja pemuliharaan sehingga selesai.
ii. Setiap pendekatan kerja pemuliharaan yang melibatkan elemen yang sama tetapi memerlukan pendekatan kerja pemuliharaan yang bebeza maka cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaannya perlulah disediakan secara berasingan.
iii. Setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan seeloknya disertakan dengan lakaran kerja pemuliharaan bagi membantu pihak kontraktor untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkaitan kerja pemuliharaan yang akan dilaksanakan.

6.8 Kesimpulan
Salah satu elemen penting yang perlu ada pada setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah ialah penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik lazimnya perlu disediakan terlebih dahulu dengan merujuk kepada laporan kerosakan bangunan yang telah disediakan dan setelah mengambil kira segala faktor yang perlu diberi pertimbangan seperti kaedah pemuliharaan dan bahan binaan yang dicadangkan. Kemudian setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini perlulah disemak terlebih dahulu oleh pihak perunding projek yang dilantik sebelum diluluskan untuk dilaksanakan bagi memastikan pendekatan kerja pemuliharaan dibuat secara teratur dan sistematik mengikut turutan kerja yang telah ditetapkan oleh pengurus projek. Adalah menjadi lebih efektif sekiranya penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini disediakan oleh pemulihara bangunan yang berpengalaman jika dibandingkan dengan profesyen lain kerana mereka lebih memahami perkara asas yang berkaitan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

Pada peringkat penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini, dokumentasinya perlulah disediakan dengan lengkap dan sitematik mengikut turutan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan. Selain daripada itu, penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini juga perlulah disediakan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti lokasi, jenis dan tahap kerosakan bangunan; kesan kerosakan bangunan ke atas elemen bangunan bersejarah; kaedah pemuliharaan yang telah terbukti keberkesanannya; alternatif terhadap kaedah kerja pemuliharaan sedia ada dan sebagainya. Dengan adanya penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini secara tidak langsung bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia dapat dipulihara pada tahap dan kualiti yang lebih baik berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul selaras dengan piawaian di peringkat antarabangsa. Tanpa penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik, dikhuatiri pendekatan kerja pemuliharaan yang salah akan diaplikasikan di tapak projek pemuliharaan sehingga ia boleh menjejaskan keaslian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaaan yang digunakan.

No comments:

Powered By Blogger