Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 5 Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB LIMA
KERJA PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

5.0 Pengenalan
Kerja pemuliharaan bangunan adalah merupakan satu bidang yang melibatkan pengekalan dan penjagaan ke atas bangunan bersejarah daripada dimusnahkan dengan mengambil kira kepentingannya kepada sesebuah negara dan masyarakat. Selain daripada itu, kerja pemuliharaan bangunan juga turut melibatkan kerja membaiki kerosakan yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah dan seterusnya menyelenggara dan melindunginya daripada terus mengalami masalah kerosakan. Istilah kerja pemuliharaan membawa maksud kerja-kerja baik pulih bangunan bersejarah dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian seperti pencegahan, pengekalan, pengukuhan, pemulihan dan lain-lain lagi.

Kesedaran untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul perlu difahami oleh masyarakat umum khususnya mereka yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pemuliharaan seperti pihak kontraktor bangunan, juru perunding dan sebagainya. Ini adalah kerana pendekatan kerja pemuliharaan yang pelbagai ini memerlukan tahap pengetahuan yang mendalam disamping pengalaman yang luas untuk melaksanakannya. Sehingga kini masih lagi terdapat beberapa pendekatan kerja pemuliharaan yang dirasakan kurang sesuai masih lagi di amalkan di kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah. Pendekatan seumpama ini yang tidak mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul sedikit sebanyak boleh menjejaskan keaslian reka bentuk dan seni bina yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah itu sendiri. Sehubungan dengan itu, masalah seumpama ini perlulah diatasi dengan segera oleh pihak yang bertanggungjawab.

5.1 Definisi Kerja Pemuliharaan
Fielden (2000) mendefinisikan kerja pemuliharaan sebagai sesuatu kerja yang secara umumnya melibatkan pendekatan memulihara dan membaik pulih kerosakan yang dibuat ke atas sesebuah bangunan bersejarah dalam skala yang pelbagai sama ada kecil atau besar dan tahap kesungguhannya pula banyak bergantung kepada keadaan fizikal bangunan, punca kerosakan dan jangkaan persekitaran bangunan pada masa hadapan serta kaedah rawatannya. Setiap satu masalah hendaklah diambil kira secara menyeluruh, atau secara individu dengan mengambil kira faktor persekitaran. Menurut Croci (2000), kerja pemuliharaan yang boleh digunakan dalam setiap projek pemuliharaan adalah terdiri dari pebagai kaedah dan teknik rawatan sama ada secara tradisional atau moden dengan menggunakan pelbagai jenis peralatan yang lama atau terkini.

Selain daripada itu, kerja pemuliharaan juga banyak bergantung kepada tahap kerosakan bangunan yang berlaku pada sesebuah bangunan bersejarah, faktor alam sekitar dan persekitarannya serta kaedah bagaimana sesebuah bangunan bersejarah itu hendak dibaiki dan dipulihara dalam bentuk yang dikehendaki. Kesemua faktor tersebut perlu diambil kira sebelum memutuskan pendekatan kerja pemuliharaan yang hendak dijalankan. Contoh kaedah kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia seperti kerja mengecat dinding luar, mencuci dinding luar, memulihara genting bumbung, merawat daun pintu dan sebagainya ditunjukkan dalam Gambar 5.1.

Gambar 5.1: Kerja mengecat dinding luar Stesen Keretapi Ipoh di Perak (1); kerja mencuci dinding luar Stesen Keretapi Ipoh di Perak (2); kerja memulihara genting bumbung Suffolk House di Pulau Pinang (3); dan kerja merawat daun pintu Bangunan Seri Mutiara di Pulau Pinang (4).

5.2 Pendekatan Kerja Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, terdapat pelbagai pendekatan kerja pemuliharaan yang boleh dan sering digunakan dan setiap satunya membawa maksud yang tersendiri. Lazimnya pendekatan kerja pemuliharaan ini banyak bergantung kepada keadaan bagaimana sesuatu kerja itu hendak dilakukan terhadap sesebuah bangunan bersejarah seperti pendekatan sama ada untuk membina semula, mengeluarkan semula atau mengembalikan semula. Sehubungan dengan itu, pemahaman terhadap maksud setiap pendekatan kerja pemuliharaan ini oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dengan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa kerja pemuliharaan sedang dijalankan (Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, 2003).

A Ghafar Ahmad (2006a) berpendapat bahawa pendekatan kerja pemuliharaan adalah amat penting bagi memastikan keaslian dan kepentingan sesebuah bangunan bersejarah itu terpelihara dan tidak terjejas. Memandangkan bangunan bersejarah di Malaysia didapati berbeza antara satu sama lain dari segi aspek gaya seni bina, fungsi, struktur bangunan dan juga kecacatan bangunan yang berlaku ke atasnya maka sudah pasti ianya memerlukan pendekatan kerja pemuliharaan yang pelbagai. Manakala Fielden (2000) pula berpendapat bahawa pendekatan kerja pemuliharaan yang paling berkesan dan yang terbaik ialah melalui tindakan yang minimum (minimum effective action) dan tindakannya hendaklah boleh diterbalikkan (reversible) tanpa sebarang gangguan pada masa akan datang. Beliau telah mengenal pasti sebanyak 7 pendekatan kerja pemuliharan yang sering digunakan dan pendekatan ini ada yang dilaksanakan secara berasingan atau serentak. Antara pendekatan kerja pemuliharaan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
i. Pencegahan dari kemerosotan (prevention of deterioration).
ii. Pengekalan dalam bentuk sedia ada (preservation of the existing state).
iii. Pengukuhan ke atas bahan (consolidation of the fabric).
iv. Pengembalian semula (restoration).
v. Pemulihan (rehabilitation).
vi. Pengeluaran semula (reproduction).
vii. Pembinaan semula (reconstruction).

Selain daripada itu, secara umumnya terdapat sebanyak 10 pendekatan kerja pemuliharaan yang lazim dilakukan ke atas bangunan bersejarah telah dikenal pasti oleh Fielden (2000), Fee (2003), Burden (2004), Erne Hamsah (2006), Muhammad Ismail Othman (2006) dan Paiman Keromo (2006a dan 2006b) seperti berikut:
i. Pengekalan (preservation).
ii. Pencegahan (prevention).
iii. Pengukuhan (consolidation).
iv. Pengembalian semula (restoration).
v. Pemulihan (rehabilitation).
vi. Pengeluaran semula (reproduction).
vii. Pembinaan semula (reconstruction).
viii. Ubah suai semula (adaptive re-use).
ix. Kegunaan sepadan (compatible use).
x. Penyelenggaraan (maintenance).

5.2.1 Pengekalan
Fielden (2000) mendefinisikan pengekalan (preservation) sebagai kerja pembaikan untuk mengekalkan sesuatu dalam keadaan asal dan ianya hendaklah dijalankan jika perlu dalam usaha untuk mencegah pereputan dari berlaku pada masa akan datang. Manakala Muhammad Ismail Othman (2006) pula mendefinisikan pengekalan sebagai usaha untuk memastikan fabrik pada sesuatu tempat itu berada dalam keadaan asalnya dan mencegah dari berlakunya keusangan. Seterusnya Paiman Keromo (2006a) telah mendefinisikan pengekalan sebagai kerja-kerja pengawasan dan penjagaan sesebuah monumen dan tapak tanah bersejarah agar ianya tidak mengalami kerosakan dengan menggunakan kaedah saintifik dan sitematik. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pengekalan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan kepada mempertahankan kewujudan reka bentuk seni bina dan bahan binaan pada struktur bangunan bersejarah sebagai mana asal.
ii. Ia melibatkan kerja pencegahan kerosakan daripada terus berlaku ke atas bangunan bersejarah.
iii. Ia melibatkan kerja pemeriksaan dan pembaikan secara tetap dan teratur ke atas bangunan bersejarah.

5.2.2 Pencegahan
Fielden (2000) mendefinisikan pencegahan (prevention) sebagai usaha melindungi bangunan bersejarah dengan mengawal alam persekitaran yang secara tidak langsung mencegah agen kereputan dan kerosakan dari menjadi aktif. Pencegahan ini merangkumi kawalan ke atas kelembapan dalaman, suhu dan cahaya termasuklah tindakan untuk mengelakkan kebakaran, khianat, kecurian dan vandalisma dengan menyediakan kaedah pengurusan bangunan yang baik. Ia dapat dilakukan melalui pemeriksaan berkala, penyelenggaraan dan jadual pencucian untuk mencegah kemerosotan serta kerosakan bangunan dari berlaku. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pencegahan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan kerja pemeriksaan, penyelenggaraan dan pencucian tanpa menjejaskan integriti fabrik bahan binaannya.
ii. Ia berupaya untuk menghalang agen kerosakan daripada menjadi aktif dan seterusnya merosakkan bangunan bersejarah.
iii. Ia dapat menghalang kerosakan bangunan daripada berlaku ke atas bangunan bersejarah.

5.2.3 Pengukuhan
Fielden (2000) mendefinisikan pengukuhan (consolidation) sebagai tambahan dalam bentuk fizikal atau aplikasi menggunakan bahan tambahan atau bahan sokongan ke atas struktur asal pada sesebuah bangunan bersejarah bertujuan untuk meneruskan ketahanan dan integritinya dalam usaha untuk mengekalkan ketulinan bahan dan rupa bentuknya. Dalam erti kata lain, tiada satupun bahan sejarah boleh dialih dan dilupuskan. Manakala Burden (2004) pula mendefinisikan pengukuhan sebagai komponen tambahan seperti kuda-kuda atau arca yang digunakan untuk memberi sokongan tambahan kepada sesuatu penyambungan atau kedudukan sesuatu binaan. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pengukuhan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan keaslian bahan binaan dan rupa bentuknya walaupun dengan mengaplikasikan bahan tambahan dan bahan sokongan baru ke atas struktur binaan asal.
ii. Ia dapat mengekalkan ketulinan bahan binaan dan rupa bentuk struktur binannya yang telah runtuh atau musnah.
iii. Ia dapat mengukuh, menguat serta meneruskan ketahanan dan integriti struktur bangunannya untuk suatu tempoh masa yang panjang.

5.2.4 Pengembalian Semula
Fielden (2000) mendifinisikan pengembalian semula (restoration) sebagai usaha untuk mengembalikan atau menghidupkan semula konsep ketulinan yang terdapat pada bangunan bersejarah. Ia lazimnya melibatkan perincian dan rupa bentuk bahan itu dilakukan dengan mengambil kira ketulenan bahan, bukti arkeologi, reka bentuk asli dan dokumentasi rujukan dari sumber tulen. Manakala Burden (2004) pula mendefinisikan pengembalian semula sebagai usaha untuk mendapatkan bentuk dan butiran secara tepat sesuatu benda sewaktu ia wujud dalam satu tempoh masa yang tertentu dahulu melalui penanggalan atau penggantian bahan yang telah hilang dengan yang baru. Seterusnya Paiman Keromo (2006b) telah mendefinisikan pengembalian semula sebagai kerja-kerja baik pulih dengan mengekalkan keaslian seni bina dan bahan binaannya kepada suatu masa atau era tertentu yang difikirkan sesuai atau sebaik mungkin ke tahap ianya mula didirikan dan hinggalah kegunaannya yang asal. Ia mungkin melibatkan kerja-kerja pembinaan semula terutama kepada bahagian-bahagian asal yang telah musnah supaya ianya dapat berfungsi sebagaimana asal. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pengembalian semula ini ialah:
i. Ia amat mementingkan ketulinan serta keaslian reka bentuk seni bina, bahan binaan dan kerja pertukangannya.
ii. Ia dapat mengembalikan semula bahagian komponen bangunan bersejarah yang telah hilang atau musnah dengan yang asli.
iii. Ia berupaya untuk memastikan komponen bangunan bersejarah yang digantikan dapat berfungsi sebagaimana asal.

5.2.5 Pemulihan
Fielden (2000) mendefinisikan pemulihan (rehabilitation) sebagai usaha untuk mengekalkan bangunan bersejarah dengan memastikan ianya terus digunakan secara berterusan dengan melakukan sedikit pengubahsuaian ke atas fungsi bangunan tanpa menjejaskan reka bentuk dan struktur bangunan secara menyeluruh. Manakala Fee (2003) pula mendefinisikan pemulihan sebagai mengembalikan fungsi sesebuah bangunan bersejarah yang agak mati dari segi ekonominya kepada satu tahap yang boleh digunakan dalam usaha untuk melanjutkan kewujudannya sambil mengekalkan sebahagian signifikasi dan cirinya dalam pada masa yang sama. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pemulihan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan pengekalan sebahagian ciri-ciri dan sifat bangunan bersejarah sama ada dalaman atau luaran yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan seni bina.
ii. Ia berupaya untuk mengubah suai fungsi bangunan bersejarah yang lama tanpa menjejaskan reka bentuk seni bina asal ke suatu tahap yang lebih moden.
iii. Ia dapat mengembalikan fungsi bangunan bersejarah yang telah mati dan seterusnya meningkatkan mutu kehidupan, taraf ekonomi dan meneruskan kelangsungan kewujudannya.

5.2.6 Pengeluaran Semula
Fielden (2000) mendefinisikan pengeluaran semula (reproduction) sebagai penyalinan sesebuah artifak yang lazimnya bertujuan untuk menggantikan bahagian komponen yang hilang atau reput agar nilai estetik secara keseluruhannya terpelihara. Manakala Fee (2003) pula mendefinisikan pengeluaran semula sebagai menyalin artifak dan bahan hiasan yang diancam kerosakan dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian estetiknya. Seterusnya Burden (2004) telah mendefinisikan pengeluaran semula sebagai penghasilan salinan, imej atau pendua daripada bahan yang asli. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pengeluaran semula ini ialah:
i. Ia amat mementingkan nilai estetika asli sebagaimana ia dihasilkan dahulu melalui kerja salinan yang dibuat ke atas komponen bahan binaan yang telah musnah.
ii. Ia dapat meyelamatkan artifak, arca, monumen dan komponen bahan binaan yang asli daripada terus diancam kemusnahan.
iii. Ia berupaya untuk mengekalkan keharmonian dari segi keadaan reka bentuk seni bina dan persekitaran bangunan bersejarah yang asal.

5.2.7 Pembinaan Semula
Burden (2004) mendefinisikan pembinaan semula (reconstruction) sebagai pembinaan melalui kaedah pembinaan yang baru terhadap apa yang telah hilang atau musnah, dalam bentuk keadaan yang asal dari segi bahan binaan dan perinciannya juga hendaklah asli. Manakala Muhammad Ismail Othman (2006) pula mendefinisikan pembinaan semula sebagai mengembalikan sesuatu tempat itu sedekat yang mungkin dengan keadaan awalnya dan boleh dibezakan dengan menggunakan bahan-bahan lama dan baru. Walau bagaimanapun, ianya tidak harus dikelirukan dengan pembentukan semula atau pengeluaran semula secara andaian. Seterusnya Paiman Keromo (2006a) telah mendefinisikan pembinaan semula sebagai kerja yang hanya dilakukan ke atas monumen dan tapak bersejarah yang telah musnah sama sekali yang mempunyai rekod seni bina dan bahan binaan asalnya, di samping tu ianya hendaklah mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang tinggi. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja pembinaan semula ini ialah:
i. Ia amat mementingkan perincian dari segi penggunaan bahan binaan dan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah yang asli.
ii. Ia berupaya untuk mengembalikan semula bangunan bersejarah yang telah musnah dalam keadaan seperti asal.
iii. Ia dapat memberikan gambaran visual tentang sejarah latar belakang dan budaya masyarakat tempatan suatu ketika dahulu.

5.2.8 Ubah Suai Semula
Muhammad Ismail Othman (2006) mendefinisikan ubah suai semula (adaptive re-use) sebagai mengubah suaikan sesuatu tempat supaya selaras dengan jenis kegunaan yang sepadan seperti yang dicadangkan. Manakala Erne Hamsah (2006) pula mendefinisikan ubah suai semula sebagai satu proses perubahan fungsi bangunan untuk menempatkan keperluan atau permintaan baru penghuni. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja ubah suai semula ini ialah:
i. Ia amat mementingkan pengekalan struktur dan reka bentuk bangunan bersejarah asal.
ii. Ia hanya melibatkan kerja mengubah suai fungsi dan kegunaan bangunan bersejarah untuk kegunaan baru lain daripada fungsi dan kegunaan asal.
iii. Ia berupaya untuk meningkatkan taraf ekonomi dan nilai bangunan bersejarah selaras dengan keperluan dan keadaan semasa di kawasan persekitaran.

5.2.9 Kegunaan Sepadan
Muhammad Ismail Othman (2006) mendefinisikan kegunaan sepadan (compatible use) sebagai sesuatu kegunaan yang tidak melibatkan sebarang penukaran ke atas fabrik yang mempunyai kepentingan budaya atau, sebarang penukaran yang tidak boleh dikembalikan semula atau, penukaran yang mempunyai kesan yang minimum. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja kegunaan sepadan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan pengekalan nilai budaya tanpa mengubah suai kegunaan asal bangunan bersejarah.
ii. Ia hendaklah dilakukan dengan kadar dan kesan yang paling minimum ke atas bangunan bersejarah.
iii. Ia tidak melibatkan sebarang penukaran ke atas fabrik bangunan bersejarah yang asli.

5.2.10 Penyelenggaraan
Burden (2004) mendefinisikan penyelenggaraan (maintenance) sebagai membekalkan kerja, membaiki dan penjagaan ke atas struktur bangunan bersejarah dan kemunculannya selepas pembinaan atau selepas pengembalian semula pada suatu tahap yang memuaskan dalam usaha untuk memenuhi keperluan fungsinya mengikut sesuatu tempoh masa dan untuk mengelakkan kemerosotan. Sehubungan dengan itu, antara perkara penting yang ditekankan dalam pendekatan kerja penyelenggaraan ini ialah:
i. Ia amat mementingkan keadaan fizikal dan kawasan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan baik, memuaskan dan bebas daripada sebarang kerosakan.
ii. Ia hendaklah dilakukan secara berterusan mengikut jadual berkala dan bukannya mengikut keadaan atau keperluan.
iii. Ia dapat memanjangkan jangka hayat penggunaan bangunan bersejarah ke suatu tempoh masa yang lebih lama.

Contoh 10 pendekatan kerja pemuliharaan yang melibatkan bangunan bersejarah di Malaysia iaitu pengekalan, pencegahan, pengukuhan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula, ubah suai semula, kegunaan sepadan dan penyelenggaraan ditunjukkan dalam Gambar 5.2.

(1) Pengekalan: Mahkamah Majistret Batu Gajah, Batu Gajah, Perak.
(2) Pencegahan: Stesen Keretapi Ipoh, Ipoh, Perak.
(3) Pengukuhan: Fort Cornwallis, George Town, Pulau Pinang.
(4) Pengembalian semula: Rumah Penghulu Abu Seman, Kuala Lumpur.
(5) Pemulihan: Pasar Seni, Kuala Lumpur.
(6) Pengeluaran semula: Rumah Kedai No. 8 Heeren Street, Banda Hilir, Melaka.
(7) Pembinaan semula: Muzium Istana Kesultanan Melaka, Banda Hilir, Melaka.
(8) Ubah suai semula: Cheong Fatt Tzee Mansion, George Town, Pulau Pinang.
(9) Kegunaan sepadan: Masjid Kampung Kling, Banda Hilir, Melaka.
(10) Penyelenggaraan: Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Gambar 5.2: 10 pendekatan kerja pemuliharaan yang melibatkan bangunan bersejarah di Malaysia.

Sementara itu pula, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2006b) ada menyediakan garis panduan yang menerangkan secara terperinci pelbagai pendekatan kerja pemuliharaan atau tindakan yang sepatutnya dilakukan dan tindakan yang perlu dielak sewaktu memulihara elemen dan komponen bangunan bersejarah di Bandaraya Melaka. Contoh sebahagian daripada pendekatan kerja pemuliharaan yang dimaksudkan meliputi elemen dan komponen bangunan bersejarah seperti sistem struktur keseluruhan, fasad luaran, kerja kayu, bahan bumbung dan lain-lain lagi ditunjukkan dalam Jadual 5.1.

Jadual 5.1: Pendekatan kerja memulihara elemen dan komponen bangunan bersejarah.

Elemen dan Komponen Bangunan Bersejarah Tindakan yang Sepatutnya Dilakukan Tindakan yang Perlu Dielakan
i. Sistem struktur keseluruhan:
a. Mengelakkan sebanyak mungkin bentuk dan corak struktur/kerektor.
b. Merawat dan mengukuhkan kerosakan yang nyata seperti menampal retak, membaiki alang, penyokong dan sebagainya.
c. Membaiki bahagian sistem struktur apabila hanya diperlukan. a. Memusnah dan mengacau-ganggu struktur penyokong terutama asas bangunan.
b. Kegagalan merawat struktur penyokong dengan baik akan mengakibatkan kemerosotan di kemudian kelak.

ii. Fasad luaran (hiasan batu atau hiasa plaster):
a. Kerja hiasan batu/lepa perlu dibersihkan dengan berhati-hati dengan menggunakan tekanan air yang rendah dan berus yang lembut.
b. Segala perhatian dibuat bagi mengekalkan hiasan batu/lepa yang asli.
c. Penggantian elemen-elemen yang musnah seperti cornices, pendakap dan lain-lain hendaklah mengikut ciri-ciri asli sebaik mungkin.
d. Mengekalkan dengan sebaik mungkin tekstur dan warna hiasan batu/lepa yang asli.
a. Menggunakan cara pencucian yang agresif seperti sandblasting perlu dielakkan begitu juga dengan produk pencucian kimia.
b. Elakkan dari menggunakan jenis-jenis alat kalis air (water proofing) kecuali pada masalah yang spesifik.
c. Tidak digalakkan penggunaan keterlaluan cat di atas hiasan batu/lepa.

iii. Kerja kayu (ukiran dan sebagainya):
a. Membaiki dan mengganti corak kerja kayu sebaik mungkin dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur.
b. Bagi penggantian kepada bahan struktur kayu yang dibuat, penyambungannya mestilah mengikut corak yang asli.
a. Tidak dibenarkan penggantian kayu penyokong struktur dengan bahan yang tidak sesuai seperti besi dan aluminium.

iv. Bahan bumbung:
a. Kekalkan curaman dan bahan bumbung mengikut keadaan yang asal.
b. Pastikan tiada ketulusan air.
c. Apabila menggantikan bumbung, gunakan bahan bumbung yang selaras dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur asli.
a. Tidak digalakkan menggunakan bahan kalis air di bumbung yang tidak selaras dengan warna dan tekstur asli seperti bahan tar.

v. Pintu dan tingkap:
a. Baiki kerosakan yang ada pada pintu, tingkap, ambang antara, bingkai tingkap dan sebagainya.
b. Gantikan di mana yang tidak dapat dibaiki pintu dan tingkap dengan menitik beratkan dari segi saiz dan butiran yang terdapat pada yang asli.
a. Mengubah perletakan ruang pembukaan pintu dan tingkap.
b. Memasang tingkap dan pintu baru dengan penggunaan bahan yang tidak sesuai dan selaras.
c. Memasang alat penghawa dingin di bahagian rangka/bingkai tingkap.
d. Menutup pintu dan tingkap dengan bidai dan jeriji keselamatan yang tidak sesuai.

vi. Pintu masuk anjung, balkoni dan tangga:
a. Kekalkan dan baiki pintu masuk, anjung, balkoni dan tangga yang sedia ada.
b. Sekiranya perlu ditukar, pastikan kerektor dan skalanya dikekalkan.
a. Menutup balkoni dengan tingkap berbingkai aluminium dan kaca.
b. Penambahan anjung yang tidak sesuai dan janggal.

vii. Struktur dalaman (organisasi ruang dan butiran dalaman):
a. Mengekalkan dengan sebaik mungkin pelan dan susunatur yang asli.
b. Tingkat-tingkat tambahan adalah tidak digalakkan, sekiranya diperlukan juga, tingkat tambahan ini perlu dianjakkan ke belakang supaya tidak merosakkan skala struktur sedia ada.
c. Kekalkan ketinggian asal setiap bilik dan elakkan seberapa yang boleh membentuk false ceilings di dalam ruang dalaman.
d. Kekalkan tangga-tangga asal kecuali kepada yang mempunyai struktur yang tidak kukuh.
e. Kekalkan ciri-ciri keaslian kepada hiasan-hiasan lepa, cornices, balustrades dan sebagainya.
a. Penambahan tingkat di dalam bangunan yang terlindung di sebalik fasad asal.
b. Penambahan ruang dan bahan-bahan yang mengagihkan ruang dalaman sering memberi tekanan yang berlebihan kepada struktur bangunan.

viii. Sistem kejuruteraan:
a. Unit-unit penyaman udara dan antenna televisyen mestilah diletakkan secara terselindung.
a. Kabel dan ductings yang terdedah.
Sumber: MBMB (2006b).

5.3 Rangka Kerja Pemuliharaan
Rangka kerja pemuliharaan adalah merupakan satu kerangka kerja yang menggariskan peringkat yang terlibat dalam sesuatu kerja pemuliharaan bermula dari awal hingga akhir. Rangka kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah merujuk kepada A Ghafar Ahmad (2006a) adalah penting bertujuan untuk menjamin bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dapat dirancang secara menyeluruh dan sistematik dari segi perlaksaan kerja pemuliharaannya. Sehubungan dengan itu, A Ghafar Ahmad (2006a; 2006b) telah menyediakan satu rangka kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah yang boleh dianggap lengkap. Rangka kerja pemuliharaan yang disediakan ini perlu diteliti dan diamalkan oleh semua pihak yang terlibat dengan kerja pemuliharaan baik di pihak klien, kumpulan perunding projek, kontraktor dan pemulihara bangunan. Secara umumnya, rangka kerja pemuliharaan yang dicadangkan bolehlah diringkaskan dan dibahagikan kepada 5 peringkat utama seperti berikut:
i. Penyelidikan awal.
ii. Kajian dilapidasi.
iii. Penyediaan dokumen tender.
iv. Kerja pemuliharaan bangunan.
v. Pengurusan warisan.

5.3.1 Penyelidikan Awal
Peringkat pertama ini bermula sebaik sahaja sesebuah bangunan bersejarah itu telah dikenal pasti untuk dipulihara. Ia merupakan peringkat permulaan yang penting bagi pihak klien dan kumpulan perunding projek yang dilantiknya seperti arkitek dan pemulihara bangunan untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkaitan bangunan bersejarah yang hendak dipulihara. Antara maklumat penting yang perlu diperolehi terdiri dari maklumat berkaitan aspek latar belakang sejarah pembinaan, arkitek dan juru bina bangunan, reka bentuk seni bina dan pelan bangunan asal, pemilik atau penghuni bangunan dan juga sebarang bukti berkaitan kerja pengubah suaian yang melibatkan penambahan dan perobohan termasuklah rekod kerja penyelenggaraan yang telah dilakukan.

Semua maklumat ini boleh diperolehi dari pelbagai cara dan sumber seperti melalui temu ramah dengan individu yang tahu mengenai latar belakang sejarah bangunan, melalui penyelidikan ke atas dokumen, lukisan dan laporan yang berkaitan dengan bangunan bersejarah yang terdapat di arkib, muzium, perpustakaan dan persatuan warisan tempatan dan lain-lain lagi. Pengumpulan maklumat melalui penyelidikan awal ini adalah amat penting kerana ia dapat membantu kumpulan perunding untuk merangka kerja pemuliharaan dan seterusnya memastikan projek pemuliharaan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan baik. Seterusnya semua sumber maklumat yang diperolehi akan didokumentasikan dalam satu bentuk laporan yang lengkap untuk tujuan rujukan pada peringkat kerja pemuliharaan yang seterusnya (Siti Norlizaiha Harun, 2004; A Ghafar Ahmad, 2009; Najmudeen Kader, 2009).

5.3.2 Kajian Dilapidasi
Peringkat kedua ini bermula sebaik sahaja pihak klien menerima laporan penyelidikan awal yang telah disediakan oleh kumpulan perunding projek. Peringkat ini melibatkan kerja kajian dilapidasi dilakukan ke atas bangunan bersejarah yang hendak dipulihara. Antara lain matlamat utama kajian dilapidasi ini ialah untuk mengenal pasti keadaan semasa bangunan bersejarah terutama sekali dari segi tahap kerosakan dan keusangan yang dialaminya. Kajian dilapidasi ini merupakan satu amalan yang wajib dilakukan sebelum sesebuah bangunan bersejarah itu dipulihara melalui kaedah dokumentasi bergambar yang akan menunjukkan keadaan sebenar semua jenis kerosakan bangunan yang dialaminya serta agen penyebab berlakunya kerosakan bangunan berkenaan.
Pada kelazimannya kajian dilapidasi ini akan dilakukan oleh kumpulan perunding mahir yang diketuai oleh pemulihara bangunan dengan dibantu oleh pakar dalam bidang lain seperti arkitek, arkeologi, mikro biologi, geologi, kejuruteraan, kimia dan sebagainya dalam usaha untuk mendapatkan satu bentuk laporan teknikal dan saintifik yang lengkap lagi terperinci. Laporan akhir ini dipersembahkan dalam bentuk laporan bergambar beserta dengan cadangan kaedah kerja pemuliharaan dan diserahkan kepada pihak klien untuk tujuan penilaian anggaran kos projek pemuliharaan pada peringkat yang seterusnya (Ahmad Ramly, 2007; A Ghafar Ahmad, 2009; Kamaruddin Md. Said, 2009).

5.3.3 Penyediaan Dokumen Tender
Peringkat ketiga ini bermula sebaik sahaja pihak klien menerima laporan kajian dilapidasi yang telah disediakan dan membentangkannya kepada pihak jawatan kuasa pemandu projek pemuliharaan. Laporan tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak perunding juru ukur bahan untuk tujuan penilaian anggaran kos sebenar projek pemuliharaan dengan mempertimbangkan jenis kerosakan bangunan yang dilaporkan beserta kaedah kerja pemuliharaan yang dicadangkan. Peringkat penyediaan dokumen tender ini adalah merupakan peringkat yang amat penting bagi pihak juru ukur bahan untuk bekerja sama dengan pasukan perunding projek lain seperti pihak arkitek dan pemulihara bangunan dalam menentukan skop kerja, spesifikasi kerja dan kesesuaian pendekatan kerja pemuliharaan yang diguna pakai. Ia adalah kerana pendekatan kerja pemuliharaan ini akan menentukan jumlah sebenar anggaran kos projek pemuliharaan dan kesesuaiannya dengan belanjawan pihak klien. Seterusnya dengan persetujuan pihak klien, juru ukur bahan akan menyediakan satu Dokumen Senarai Kuantiti yang mengandungi senarai kuantiti bahan, spesifikasi kerja dan skop kerja pemuliharaan termasuklah keperluan oleh pihak kontraktor bangunan untuk menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal serta dokumentasi Historic Architecture Building Survey pada peringkat yang seterusnya (Khairuddin Sulaiman, 2007; A Ghafar Ahmad, 2009; Macey, 2009).

5.3.4 Kerja Pemuliharaan Bangunan
Peringkat keempat ini bermula sebaik sahaja pihak klien dan pasukan perunding projek melalui jawatan kuasa pemandu projek pemuliharaan berjaya melantik pihak kontraktor bangunan yang berkelayakan untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang ditetapkan. Sebaik sahaja pihak kontraktor menandatangani Dokumen Kontrak dan menerima Surat Setuju Terima Tender maka kerja pemuliharaan boleh dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui. Pada kelazimannya pihak kontraktor bangunan yang dipilih ini perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, berupaya melaksana dan menyiapkan projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang lepas-lepas di samping berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu projek pemuliharaan dalam satu-satu masa.

Selain daripada itu, pihak kontraktor bangunan juga diwajibkan untuk melantik pemulihara bangunan bagi tujuan membantu dan memberi cadangan berkaitan aspek teknikal sewaktu kerja pemuliharaan sedang dijalankan bagi memastikan kerja pemuliharan yang dijalankan adalah mengikut kehendak dan spesifikasi yang ditetapkan serta berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Ini adalah kerana peringkat ini memerlukan kepakaran dan kemahiran teknikal yang amat tinggi dan sebarang kesilapan berkaitan pendekatan kerja pemuliharaan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana dikhuatiri ia akan merosakkan keaslian dan ketulinan bahan beserta nilai sejarah yang terdapat pada bangunan bersejarah berkenaan. Pada peringkat ini, pemulihara bangunan diwajibkan untuk menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan, rekod maklumat, laporan teknikal hasil kajian saintifik dan ujian makmal.

Manakala dokumentasi Historic Architecture Building Survey juga akan dilaksanakan pada peringkat ini yang terdiri daripada kerja merekod keadaan bangunan bersejarah sebelum kerja pemuliharaan Historic Architecture Building Survey (HABS 1), semasa kerja pemuliharaan Historic Architecture Building Survey (HABS 2) dan selepas kerja pemuliharaan Historic Architecture Building Survey (HABS 3). Sebarang masalah berkaitan kerosakan bangunan yang dilaporkan dalam laporan teknikal sebelum ini akan ditangani oleh pihak kontraktor bangunan dan dipantau oleh pasukan perunding projek. Mesyuarat teknikal dan mesyuarat tapak juga perlu diadakan dengan kerap bagi memantau perkembangan projek pemuliharaan dan menyelesaikan sebarang masalah teknikal sehinggalah kerja pemuliharaan siap sepenuhnya. Setelah penyerahan bangunan bersejarah kepada pihak klien dan pihak klien juga berpuas hati dengan hasil kerja pihak kontraktor bangunan maka kerja-kerja penyelenggaraan akan dijalankan pada peringkat yang seterusnya (Akmal Niswani Abdul Jalil et.al., 2005; A Ghafar Ahmad, 2009; Rusdi Baharan, 2009).

5.3.5 Pengurusan Warisan
Peringkat kelima dan yang terakhir ini bermula sebaik sahaja tempoh tanggungan kerosakan oleh pihak kontraktor bangunan ke atas bangunan bersejarah tamat. Pada peringkat ini, adalah menjadi tanggungjawab pemilik bangunan untuk memastikan bangunan bersejarah yang telah dipulihara sentiasa berada dalam keadaan baik dan bebas dari sebarang masalah kerosakan bangunan. Peringkat ini adalah merupakan satu langkah pengawalan ke atas pelbagai sumber sama ada dalam bentuk fizikal, sosial dan ekonomikal yang terdapat di sekitar bangunan bersejarah berkenaan dengan tujuan untuk menghindari atau mengurangkan kesan kemusnahan akibat dari pendedahannya kepada masyarakat umum selain daripada faktor alam semula jadi.

Pelan pengurusan warisan yang baik dan lengkap merujuk kepada Pickard (2000a) lazimnya akan merangkumi usaha pencegahan dan kawalan kerosakan bangunan daripada berlaku termasuklah kerja penjagaan, penyelenggaraan dan pembaikan ke atas bangunan bersejarah dari masa ke semasa. Bagi memastikan bangunan bersejarah ini terus dijaga dan dipulihara dengan baik maka sewajarnya aspek pengurusan warisan ini diberi perhatian yang khusus dan dirancang dengan sebaik mungkin. Bagi bangunan milik individu dan swasta, usaha pengurusan warisan ini lazimnya akan dilakukan oleh pemilik bangunan itu sendiri. Manakala bagi bangunan milik kerajaan, usaha pengurusan warisan ini akan dipertanggungjawabkan kepada kontraktor penyelenggaraan bangunan yang akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut manual dan jadual kerja yang spesisifik selaras dengan piawaian antarabangsa. Melalui pendekatan pengurusan warisan ini, secara tidak langsung ia akan dapat memastikan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia akan terus terpulihara dan dapat bertahan untuk ratusan tahun akan datang (A Ghafar Ahmad, 2009). Ringkasan rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang telah diterangkan sebelum ini beserta pihak yang terlibat dan dokumen yang disediakan dalam setiap peringkat ditunjukkan dalam Rajah 5.1.

Rajah 5.1: Rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah.
Sumber: Diubah suai daripada A Ghafar Ahmad (2006a dan 2006b).

5.4 Kesimpulan
Kerja pemuliharaan bangunan bersejarah adalah merupakan satu pendekatan kerja untuk memulihara dan membaik pulih kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah. Pendekatan kerja pemuliharaan boleh dilaksanakan dalam pelbagai kaedah dan teknik baik secara tradisional hinggalah menggunakan pendekatan yang moden. Pendekatan kerja pemuliharaan yang pelbagai seperti pengekalan, pencegahan, pengukuhan, pemulihan dan sebagainya secara dasarnya mempunyai objektif dan matlamat yang sama iaitu bertujuan untuk memastikan bangunan bersejarah terus terpulihara dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan.

Dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah, penyediaan rangka kerja pemuliharaan adalah penting kerana ia dapat menggariskan peringkat yang terlibat dalam sesuatu kerja pemuliharaan dari mula hingga akhir. Sekiranya bangunan bersejarah itu dipulihara dengan merujuk dan berpandukan kepada rangka kerja pemuliharaan maka secara tidak langsung ia telah berjaya dipulihara dalam kaedah yang betul kerana dalam rangka kerja pemuliharaan itu sendiri telah menggambil kira segala perkara utama yang perlu dipatuhi dalam setiap peringkat kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

No comments:

Powered By Blogger