Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 4 Pemeriksaan dan Kerosakan Bangunan Bersejarah

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB EMPAT
PEMERIKSAAN DAN KEROSAKAN BANGUNAN BERSEJARAH

4.0 Pengenalan
Kerja-kerja pemeriksaan bangunan adalah merupakan suatu bidang tugas khusus yang telah sekian lama diamalkan di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan kebanyakan negara Eropah lain (Marshall dan Dann, 2005). Di United Kingdom sebagai contohnya, profesyen khusus yang dipertanggungjawabkan bagi kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan bangunan ialah Juru Ukur Bangunan dan profesyen ini sedang berkembang di Malaysia. Kerja pemeriksaan bangunan terutama sekali ke atas bangunan bersejarah adalah penting kerana kebanyakan bangunan bersejarah ini telah berusia lebih ratusan tahun dan sudah semestinya ia mengalami banyak masalah kerosakan bangunan. Bagi menjamin sesebuah bangunan bersejarah itu selamat untuk diduduki dan sentiasa berada dalam keadaan baik maka sewajarnya pemeriksaaan berkala dilakukan ke atasnya dalam usaha untuk mengenal pasti jenis kerosakan bangunan yang berlaku dan seterusnya menjalankan kerja tindakan susulan untuk merawat kerosakan serta menyelenggara bangunan bersejarah berkenaan (Atkinson, 2000).

Selain daripada itu, sebelum sebarang projek pemuliharaan dilakukan ke atas sesebuah bangunan bersejarah, kerja pemeriksaan bangunan perlu dilakukan terlebih dahulu. Pada kelazimannya satu bentuk laporan pemeriksaan bangunan perlu disediakan setelah selesai kerja pemeriksaaan bangunan ini dilaksanakan dalam usaha untuk mengenal pasti jenis, bentuk dan tahap kerosakan bangunan yang berlaku. Tugasan ini lazimnya dilakukan oleh pelbagai pihak seperti Arkitek, Pemulihara Bangunan, Juru Ukur Bangunan, Jurutera Awam dan Struktur serta lain-lain pihak yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang kerja pemuliharaan bangunan bersejarah.

4.1 Definisi Pemeriksaan Bangunan
Spada (2002) mendefinisikan pemeriksaan bangunan sebagai pemeriksaan dan pemerhatian ke atas ruang luaran dan dalaman sesebuah bangunan termasuklah asas, struktur dan sistem mekanikal untuk mengenal pasti terdapatnya sebarang kerosakan pada struktur dan komponen sama ada usang atau patah, serta kerosakan berpunca daripada kesan tindakan air, cuaca dan lain-lain keadaan. Sementara itu, Hollis (2004) pula telah mendefinisikan pemeriksan bangunan sebagai pemeriksaan dan penyiasatan terhadap pembinaan dan kemudahan bangunan yang ada pada sesebuah hartanah dengan cukup terperinci bagi membolehkan juru ukur memberi khidmat nasihat berkaitan pelbagai masalah yang berlaku pada komponen bangunan berkenaan. Antara contoh kerja pemeriksaan bangunan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia iaitu kerja pemeriksaan struktur kemasan bumbung, kerja pemeriksaan struktur kerangka bumbung, kerja pemeriksaan struktur kemasan lantai, kerja pemeriksaan struktur dinding dalam dan lain-lain lagi seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 4.1.

Gambar 4.1: Kerja pemeriksaan struktur kemasan bumbung pada Bangunan Stesen Keretapi Ipoh di Perak (1); kerja pemeriksaan struktur kerangka bumbung pada Suffolk House di Pulau Pinang (2); kerja pemeriksaan struktur kemasan lantai pada St. Joseph’s Novitiate and National Shrine of the Boy Jesus di Pulau Pinang (3); dan kerja pemeriksaan struktur dinding dalam pada Bangunan Suluh Budiman (Universiti Pendidikan Sultan Ibrahim) di Perak (4).

4.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Bangunan
Secara umumnya terdapat pelbagai jenis pemeriksaan bangunan yang sering diamalkan dan ia banyak bergantung kepada tujuan dan objektif pemeriksaan itu hendak dijalankan. Antara jenis-jenis pemeriksaan bangunan merujuk kepada Hollis (2004) serta Beckmann dan Bowles (2004) adalah untuk tujuan seperti berikut:
i. Jual beli har tanah (sale of property).
ii. Pertukaran hakmilik har tanah (change in ownership).
iii. Penilaian dan audit (valuation and audits).
iv. Pengurusan penyelenggaraan (maintenance management).
v. Penyelenggaraan terlebih dahulu (pre-emptive maintenance).
vi. Pembaikan kegagalan (repair of failures).
vii. Pemeriksaan sebahagian (partial inspection).
viii. Laporan diagnostik (diagnostic report).
ix. Pemeriksaan keadaan (condition surveys).
x. Pemeriksaan dilapidasi atau keusangan (dilapidations survey).

4.3 Tujuan Pemeriksaan Bangunan
Tujuan pemeriksaan bangunan secara umumnya ada pelbagai dan ianya bergantung kepada kehendak dan matlamat yang ingin diperolehi hasil daripada kerja pemeriksaan berkenaan. Antara tujuan utama pemeriksaan bangunan dijalankan merujuk kepada Ahmad Ramly (2004) dan Hollis (2004) adalah untuk:
i. Memenuhi keperluan bangunan itu sendiri yang tidak dapat lari dari mengalami sebarang masalah kerosakan bangunan.
ii. Mengenal pasti jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada sesebuah bangunan dan memberikan khidmat nasihat mengenai kesan akibatnya.
iii. Mengurus dan menyelaras kerja yang berkaitan dengan pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan.
iv. Mengesahkan keupayaan sesuatu peralatan kemudahan bangunan sama ada ianya berfungsi dengan baik atau sebaliknya.
v. Menentukan sama ada bangunan itu mematuhi mengikut piawai perundangan seperti undang-undang dan garis panduan yang dikuat kuasakan oleh pihak berkuasa.
vi. Membuat anggaran keadaan semasa bangunan untuk tujuan penilaian dan audit.

4.4 Skop Kerja Pemeriksaan Bangunan
Kerja-kerja pemeriksaan bangunan hendaklah dibuat secara menyeluruh dan paling penting memenuhi kehendak pemeriksaan bangunan itu sendiri. Sehubungan dengan itu, skop kerja pemeriksaan bangunan yang dibuat hendaklah mencapai matlamat yang dikehendaki dengan memperoleh data yang lengkap dan menyeluruh. Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, antara skop kerja pemeriksaan bangunan merujuk kepada Croci (2000), Dallas (2003) dan Ahmad Ramly (2004) ialah untuk:
i. Melenyapkan rasa tidak puas hati dan keraguan tentang keadaan fizikal, fabrik dan struktur bangunan bersejarah yang tersembunyi.
ii. Menentukan luas kawasan fizikal pada bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan bangunan dan yang perlu diperbaiki atau dipulihara.
iii. Menjalankan pelbagai uji kaji di tapak dan makmal untuk mengetahui punca dan jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada bangunan bersejarah.
iv. Meramalkan keadaan semasa dan kekuatan sesuatu elemen atau struktur bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan bangunan.
v. Mengetahui sama ada bangunan bersejarah berkenaan telah melalui kerja-kerja pengubahsuaian, penambahan, penyambungan atau perobohan pada masa lampau.
vi. Menyediakan asas maklumat dalam bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah berkaitan kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan.
vii. Mencadangkan asas reka bentuk pemuliharaan bangunan bersejarah dalam bentuk lukisan pelan bangunan untuk kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan.
viii. Membuat asas belanjawan dan perician dalam bentuk anggaran kos pemuliharaan bangunan bersejarah untuk kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan.

4.5 Persediaan Awalan Pemeriksaan Bangunan
Menurut Glover (2009) dan Ingham (2009), kerja pemeriksaan bangunan perlu dilakukan dalam 3 peringkat iaitu kerja awalan, pemeriksaan fizikal dan penyediaan laporan pemeriksaan kerosakan bangunan. Sehubungan dengan itu dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, Oxley (2003) ada menggariskan sebanyak 6 perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pemeriksaan bangunan dilakukan. Ia adalah sebagai persediaan awalan untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan bangunan agar dapat dijalankan dengan lancar. 6 perkara khusus tersebut adalah seperti berikut:
i. Melakukan kaji selidik bangunan.
ii. Menjalankan tinjauan awalan seperti lawatan tapak.
iii. Mengatur jadual pemeriksaan.
iv. Mengatur jumlah tenaga kerja yang diperlukan.
v. Mengatur khidmat pakar yang diperlukan.
vi. Menyediakan senarai peralatan yang bersesuaian.

4.5.1 Melakukan Kaji Selidik Bangunan
Kaji selidik bangunan dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berkenaan latar belakang sejarah bangunan dalam bentuk laporan bertulis, foto dan pelan bangunan serta maklumat berkaitan tahun pembinaan, kegunaan dahulu dan semasa, kerja pengubahsuai yang pernah dilakukan seperti penambahan dan perobohan serta lain-lain lagi maklumat yang boleh membantu kerja pemeriksaan bangunan.

4.5.2 Menjalankan Tinjauan Awalan seperti Lawatan Tapak
Tinjauan awalan seperti lawatan tapak pula dijalankan adalah bertujuan untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung keadaan semasa bangunan bersejarah yang hendak diperiksa seperti alamat dan lokasi bangunan yang tepat, jalan masuk ke tapak bangunan, meninjau keadaan fizikal bangunan sama ada telah usang atau sebaliknya dan keadaan bangunan sama ada sudah lama ditinggalkan kosong atau sebaliknya bagi membolehkan perancangan kerja pemeriksaan bangunan selanjutnya dilakukan.

4.5.3 Mengatur Jadual Pemeriksaan
Mengatur jadual pemeriksaan adalah bertujuan untuk memaklumkan kepada pemilik bangunan bersejarah tentang tarikh dan jangka masa pemeriksaan bangunan hendak dilakukan agar kerja pemeriksaan bangunan yang akan dijalankan tidak mengangggu pengguna dan penghuni bangunan berkenaaan sekiranya ada.

4.5.4 Mengatur Jumlah Tenaga Kerja yang Diperlukan
Manakala mengatur jumlah tenaga kerja yang diperlukan adalah bertujuan untuk mengenal pasti keperluan menjalankan kerja pemeriksaan bangunan kerana terdapat sesetengah bangunan bersejarah yang hendak diperiksa adalah besar, pelbagai tingkat serta kadang dari beberapa buah kompleks bangunan. Sehubungan dengan itu, jumlah tenaga kerja perlulah bersesuaian dengan jumlah kerja yang perlu dilaksanakan.

4.5.5 Mengatur Khidmat Pakar yang Diperlukan
Seterusnya mengatur khidmat pakar yang diperlukan adalah bertujuan untuk mendapatkan khidmat pakar yang perlu turut sama menjalankan kerja pemeriksaan bangunan. Ini adalah kerana dalam sesetengah keadaan, khidmat pakar dalam bidang kemahiran tertentu seperti untuk mengenal pasti jenis kayu, tumbuhan mikrobiologi dan sebagainya adalah amat diperlukan dalam usaha untuk mendapatkan hasil laporan pemeriksaan kerosakan bangunan yang lengkap dan menyeluruh.

4.5.6 Menyediakan Senarai Peralatan yang Bersesuaian
Penyediaan senarai peralatan yang bersesuaian adalah bertujuan untuk memudahkan kerja pemeriksaan bangunan ke atas bangunan bersejarah dapat dijalankan dengan selamat, tepat dan menyeluruh. Peralatan ini termasuklah peralatan untuk perlindungan diri, kerja merekod, kerja pemeriksaan, kerja pengukuran, kerja uji kaji dan lain-lain peralatan sokongan tambahan.

4.6 Peralatan Pemeriksaan Bangunan
Kerja pemeriksaan bangunan adalah merupakan suatu bidang kerja yang perlu dilakukan secara menyeluruh dan komprehensif. Selain daripada itu, ia lazimnya dilakukan dalam keadaan persekitaran kerja yang kurang kondusif terutama sekali apabila melibatkan bangunan bersejarah yang telah lama ditinggalkan. Kerja pemeriksaan bangunan juga melibatkan beberapa bidang tugas yang berbeza seperti kerja memeriksa, merekod, mengukur, menganalisis dan menyediakan laporan kerosakan (Swallow et al., 2004).

Sementara itu, data yang ingin diperolehi hasil pemeriksaan bangunan pula hendaklah tepat dan menyeluruh. Oleh yang demikian, kerja pemeriksaan bangunan memerlukan peralatan yang lengkap, bersesuaian dan terkini untuk mendapatkan hasil yang memuaskan sebagaimana dikehendaki. Ini adalah kerana peralatan yang lengkap memainkan peranan yang penting bagi menghasilkan laporan kerosakan yang baik (Mohamad Ridzuan Othman, 2009). Secara umumnya terdapat banyak peralatan yang diperlukan untuk menjalankan kerja pemeriksaan bangunan seperti yang tedapat di pasaran.

Merujuk kepada Spada (2002) dan Hollis (2004), peralatan pemeriksaan bangunan ini terbahagi kepada 5 kategori berdasarkan kepada kepelbagaian kegunaannya seperti berikut:
i. Peralatan perlindungan diri untuk tujuan keselamatan.
ii. Peralatan perekodan untuk tujuan catatan, lakaran dan rakaman.
iii. Peralatan pemeriksaan untuk tujuan akses dan penglihatan.
iv. Peralatan pengukuran untuk mendapatkan dimensi, lokasi dan arah.
v. Peralatan pengujian untuk menjalankan pemeriksaan, uji kaji dan persampelan.

Antara contoh beberapa peralatan pemeriksaan bangunan seperti yang diterangkan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 4.2.

Gambar 4.2: Peralatan pemeriksaan bangunan seperti pen, buku nota, pelakat label berwarna dan kamera digital/video untuk tujuan perekodan (1); pita ukur, kayu pembaris dan pembaris siku untuk tujuan pengukuran (2); moisture meter (3); dan dampness kit untuk tujuan pengujian kelembapan (4).

4.7 Lokasi Pemeriksaan Bangunan
Penentuan lokasi bangunan yang hendak diperiksa hendaklah ditentukan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pemeriksaan dijalankan kerana ia dapat menjimatkan masa disamping dapat mengenal pasti peralatan bersesuaian yang perlu dibawa dan hendak digunakan. Namun begitu, pada kelazimannya keseluruhan elemen bangunan bersejarah akan diperiksa untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang tahap kerosakan yang berlaku di samping bagi memastikan agar tiada elemen yang terlepas dari diperiksa.

Keutamaan pemeriksaan bangunan pula adalah pada elemen utama bangunan bersejarah serta elemen yang telah dikenal pasti terdapat banyak kerosakan bangunan berlaku seperti pada elemen dinding, pintu, tingkap, lantai dan bumbung. Menurut Hollis (2004), lokasi pemeriksaan bangunan boleh ditentukan dengan mudah mengikut elemen bangunan sedia ada sekiranya pemeriksa bangunan mempunyai data atau borang senarai semak kerosakan bangunan yang lengkap dan menyeluruh.

4.8 Kaedah dan Etika Pemeriksaan Bangunan
Setelah dikenal pasti lokasi kerosakan bangunan yang perlu ditinjau sewaktu menjalankan kerja pemeriksaan bangunan, maka sewajarnya kerosakan itu dinilai berdasarkan keadaan semula jadinya di lokasi pemeriksaan dan bukan dibuat secara rambang dan berdasarkan andaian. Ini adalah kerana menurut Rodwell (2003), punca dan jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada sesuatu elemen bangunan bersejarah adalah tidak sama. Jika sesuatu kerja pemeriksaan bangunan itu tidak dilakukan dengan teliti dan menyeluruh, berkemungkinan besar hasil dan laporan kerosakan bangunan yang disediakan nanti akan menimbulkan banyak kekeliruan sewaktu kerja pemuliharaan bangunan bersejarah akan dilaksanakan kelak.

Ini adalah kerana jenis kerosakan bangunan yang dilaporkan tidak bersesuaian dengan kaedah pemuliharaan yang dicadangkan seterusnya membolehkan kerosakan itu berlaku kembali walaupun setelah dibaik pulih. Berkemungkinan juga pendekatan pemuliharaan yang digunakan adalah tidak sesuai (Modena et al., 2004). Menurut Ahmad Ramly (2004), dalam kerja pemuliharaan bangunan bersejarah, kaedah dan etika pemeriksaan bangunan yang betul hendaklah dipatuhi dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Dapatkan seberapa banyak maklumat daripada pemilik atau penghuni bangunan bersejarah yang diperiksa tentang masalah kerosakan bangunan yang alami serta kaedah penyelenggaraan bangunan yang dijalankan sebelum ini.
ii. Semak dan teliti pelan tapak, lukisan seni bina dan lukisan kemudahan bangunan jika ada untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang lokasi pemeriksaan bangunan serta merancang kerja pemeriksaan yang dijalankan.
iii. Semak dan teliti spesifikasi bangunan jika ada untuk membantu perician kerja dan penyediaan laporan kerosakan bangunan yang disediakan.
iv. Sedia dan periksa peralatan pemeriksaan bangunan yang digunakan adalah lengkap dan bersesuaian dengan objektif pemeriksaan bangunan serta berada dalam keadaan yang baik agar kerja pemeriksaan bangunan dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
v. Jalankan kerja pemeriksaan bangunan mengikut objektif pemeriksaan dengan teliti dan cermat serta menyeluruh ke atas keseluruhan elemen bangunan bersejarah yang diperiksa.
vi. Jangan jalankan kerja pemeriksaan bangunan ke atas sebahagian elemen bangunan bersejarah dengan mengabaikan elemen bangunan yang selebihnya tanpa diperiksa.
vii. Jangan sesekali membuat andaian tentang punca dan jenis kerosakan bangunan tanpa memeriksa sesuatu elemen bangunan bersejarah itu terlebih dahulu dengan terperinci.
viii. Periksa dengan teliti keadaan pembinaan di sekeliling kerosakan bangunan yang ditemui untuk mengenal pasti dan mencari bukti serta tanda punca berlakunya sesuatu jenis kerosakan bangunan.
ix. Periksa bukan hanya bahagian luar yang jelas kelihatan sebaliknya turut periksa bahagian dalam, lapisan serta bahagian yang telindung untuk mencari punca dan jenis kerosakan bangunan yang berlaku.
x. Catat dan rekod kaedah kerja pemeriksaan bangunan serta hasil kerja pemeriksaan bangunan yang diperolehi dengan segera dan tepat di lokasi pemeriksaan dan bukannya di pejabat setelah selesai kerja pemeriksaan bangunan dijalankan bagi mengelakkan sebarang maklumat tertinggal daripada dicatat.
xi. Catat dan rakam penemuan kerosakan yang ditemui di lokasi pemeriksaan bangunan dengan menggunakan borang dan peralatan tertentu agar kesemua jenis kerosakan itu direkod satu persatu tanpa ada yang terlepas pandang.
xii. Sediakan sedikit penerangan berkaitan kerosakan bangunan yang ditemui di lokasi pemeriksaan bangunan dengan diambil ukuran, dirakam gambar dan dibuat lakaran berkaitan kerosakan bangunan berkenaan.
xiii. Lakukan ujian dan diambil bacaan ke atas kerosakan bangunan yang ditemui di lokasi pemeriksaan bangunan dengan menggunakan peralatan pemeriksaan bangunan yang bersesuaian.
xiv. Ambil sampel bahan binaan untuk dibuat uji kaji makmal untuk mendapatkan hasil pemeriksaan bangunan yang lebih jitu dan tepat jika perlu.
xv. Dapatkan khidmat pakar yang mahir dalam sesuatu bidang tertentu berkaitan kerosakan bangunan sewaktu menjalankan kerja pemeriksaan bangunan jika perlu.

4.9 Definisi Kerosakan Bangunan
Warren (2004) mendefinisikan kerosakan bangunan sebagai kekurangan dalam pencapaian yang berlaku pada bila-bila masa dalam satu jangka masa hayat sesebuah produk dan elemen di mana ia berlaku. Sementara itu Imaduddin Abdul Halim dan Brit Kayan (2007) pula mendefinisikan kerosakan bangunan sebagai kemerosotan atau ketidaksempurnaan bangunan pada sebahagian atau keseluruhan elemen atau komponennya yang mana keadaan seumpama ini boleh menyebabkan fungsi, kegunaan dan prestasi sesebuah bangunan itu terjejas. Manakala Burden (2004) mendefinisikan kerosakan bangunan sebagai keadaan yang tidak sama atau tidak teratur yang berlaku sehingga merosakkan atau melemahkan kekuatan sesuatu struktur, ketahanlasakan atau nilai kegunaan yang terdapat pada sesebuah bangunan terutama sekali bangunan bersejarah yang telah berusia ratusan tahun.

Sehubungan dengan itu, kerosakan bangunan bolehlah disimpulkan sebagai keadaan sesebuah elemen atau struktur serta fabrik bahan binaan yang telah melalui proses kemerosotan atau keusangan dalam satu jangka masa yang tertentu disebabkan oleh sifat fizikal ia sendiri atau dipengaruhi oleh faktor luaran seperti cuaca dan persekitaran sehingga ia telah menjejaskan rupa bentuk dan sifat fizikal asalnya. Keadaan ini seterusnya boleh menyebabkan fungsi dan kegunaan asal serta prestasi sesebuah elemen atau struktur serta fabrik bahan binaan itu terjejas dan seterusnya gagal memenuhi kendak dan fungsi asalnya.

4.10 Punca dan Agen Kerosakan Bangunan
Kerosakan bangunan adalah merupakan satu fenomena yang sering berlaku pada setiap bangunan terutama sekali bangunan bersejarah. Ini adalah kerana semua bangunan adalah terdedah kepada masalah kerosakan. Kerosakan bangunan yang berlaku pada kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia adalah berbeza-beza dari segi jenis kerosakan dan kadar lambat atau cepatnya kerosakan itu dari berlaku. Pada sesetengah bangunan bersejarah, ia mungkin berlaku pada kadar yang cepat, sebaliknya pada bangunan lain, ia mungkin berlaku pada kadar agak lambat. Walau bagaimanapun kadarnya, yang pasti kerosakan ini akan terus berlaku pada kebanyakan elemen utama bangunan bersejarah atas pelbagai faktor yang mempengaruhi keadaan fizikal bangunan bersejarah itu sendiri (Brimblecombe, 2000; Keefe, 2005).

Secara umumnya terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan kerosakan bangunan itu daripada berlaku. Menurut Fielden (2000), dalam pelbagai punca kerosakan pada bangunan bersejarah, punca yang paling utama ialah graviti; diikuti oleh tindakan perbuatan manusia; dan akhir sekali pengaruh cuaca serta kesan persekitaran seperti botani, biologi, kimia dan serangga. Namun begitu, menurut beliau lagi, punca disebabkan oleh perbuatan manusia sekarang ini sudah menjadi faktor utama terhadap punca utama kerosakan bangunan. Sementara itu, menurut Fee (2003), punca kerosakan bangunan pada bangunan bersejarah adalah seperti berikut:
i. Kelemahan struktur iaitu kerosakan dan keruntuhan berpunca daripada tarikan semulajadi graviti dalam tempoh masa yang panjang.
ii. Perbuatan manusia iaitu kerosakan disebabkan oleh kecuaian, vandalisma, kebakaran dan kerja pembinaan yang berhampiran.
iii. Cuaca iaitu kerosakan disebabkan oleh pancaran sinar radiasi, kelembapan udara, angin, hujan, kandungan air bawah tanah dan kandungan garam dalam tanah yang tinggi.
iv. Bencana alam iaitu kerosakan dan kemusnahan yang disebabkan oleh banjir, ribut dan gempa bumi.
v. Botani iaitu kerosakan dan kehancuran struktur batu atau dinding batu-bata disebabkan oleh akar pokok yang menjalar dan tumbuhan lain.
vi. Biologi iaitu kerosakan kesan daripada tindakan asid yang dihasilkan daripada bakteria dan tumbuhan berwarna hijau seperti lumut yang tumbuh di atas batu yang bertindak balas secara kimia dengan struktur bahan binaan.
vii. Kulat dan cendawan iaitu kerosakan terhadap bahan binaan organik seperti kayu oleh kulat, cendawan, kulapuk dan ragi yang tidak memerlukan apa-apa pancaran sinaran matahari untuk terus hidup.
viii. Serangga dan haiwan perosak iaitu kerosakan dan kelemahan struktur kayu disebabkan oleh serangga seperti anai-anai dan kumbang perosak serta haiwan perosak seperti sarang burung dan tindak balas hakisan dari tahi kelawar.
ix. Ekonomi iaitu kerosakan dan kemusnahan disebabkan oleh kerja perobohan bangunan untuk memberi laluan kepada pembangunan baru.

Antara contoh 9 punca kerosakan bangunan pada bangunan bersejarah di Malaysia seperti yang telah diterangkan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 4.4. Manakala Ahmad Ramly (2004) pula telah mengenal pasti 2 kategori agen perosak yang menjadi penyebab kepada kerosakan bangunan bersejarah di Malaysia iaitu:
i. Agen semula jadi (natural agent).
ii. Agen tiruan (artificial agent).

(1) Kelemahan struktur.
(2) Perbuatan manusia.
(3) Cuaca.
(4) Bencana alam.
(5) Botani.
(6) Biologi.
(7) Kulat dan cendawan.
(8) Serangga dan haiwan perosak.
(9) Ekonomi.

Gambar 4.3: 9 punca kerosakan bangunan pada bangunan bersejarah di Malaysia.

4.10.1 Agen Semula Jadi
Agen semula jadi (natural agent) merupakan agen kerosakan bangunan yang boleh berlaku tanpa mendapat bantuan agen luaran dan lazimnya terjadi ke atas bangunan bersejarah yang telah lama ditinggalkan tanpa mendapat sebarang bentuk penyelenggaraan. Dalam keadaan semula jadi ini, sifat fizikal seperti struktur dan fabrik bahan binaan yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah itu akan terus luntur dan menjadi usang dengan adanya bantuan agen semula jadi seperti berikut:
i. Air yang bertindak melalui hujan, resapan air bawah tanah dan persekitaran udara yang lembab.
ii. Angin yang bertindak melalui tiupan udara yang panas, ribut, berdebu dan kotor.
iii. Cahaya matahari yang bertindak melalui pancaran terus sinar radiasi, bahang haba, ultraviolet dan perubahan suhu panas sejuk.
iv. Biologikal yang bertindak melalui kehadiran fungus, kulat, lumut, pokok, serangga, kumbang, burung, kelawar dan lain-lain haiwan.
v. Kimia yang bertindak melalui kehadiran kandungan asid sulfat, nitrat, alkali, soda dan lain-lain asid semula jadi pada kawasan persekitaran dan dalam bahan binaan itu sendiri.
vi. Mekanikal yang bertindak melalui tekanan ke atas beban mati dan beban hidup pada struktur dan fabrik bahan binaan.

4.10.2 Agen Tiruan
Agen tiruan (artificial agent) merupakan agen kerosakan bangunan yang boleh berlaku disebabkan oleh hasil tindak balas bahan luaran yang boleh memberi kesan tambahan kepada faktor kerosakan semula jadi. Lazimnya terjadi ke atas semua bangunan bersejarah baik yang masih digunakan dan juga yang telah lama ditinggalkan. Dalam keadaan tertentu, sifat fizikal seperti struktur dan fabrik bahan binaan yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah akan mengalami kerosakan dengan adanya bantuan agen tiruan seperti berikut:
i. Air yang bertindak melalui pemeluwapan, kebocoran, limpahan dan hakisan.
ii. Pemanasan yang bertindak melalui pengembangan haba, kenaikan suhu dan pengeringan bahan.
iii. Kimia yang bertindak melalui pembasuhan, pelunturan, pengasidan, pengikisan dan peleraian.
iv. Mekanikal yang bertindak melalui gegaran, geseran, hentakan dan perletakan beban mati tambahan.
v. Manusia yang bertindak melalui aktiviti vandalisma, pengotoran, penyalahgunaan, perobohan, pembakaran, kecuaian dan ketiadaan penyelenggaraan.

4.11 Jenis-jenis Kerosakan Bangunan
Secara umumnya terdapat pelbagai jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada kebanyakan elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Antara contoh kerosakan bangunan yang dimaksudkan ialah seperti daun tingkap tertanggal, kesan kelembapan, genting bumbung hilang, kerangka bumbung melendut dan lain-lain lagi seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 4.4.

Gambar 4.4: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia.

Secara umumnya, pelbagai jenis kerosakan bangunan telah dikenal pasti sering berlaku pada hampir keseluruhan elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia seperti pada elemen dinding luar, elemen siling, elemen pintu dan kelengkapan, elemen dinding dalam dan lain-lain lagi (Esakkimuthu, 2009; Loo, 2009; Mohamad Omar Mohamad Khaidzir; 2009). Sehubungan itu, jenis kerosakan bangunan ini boleh dibahagikan mengikut 10 elemen utama bangunan dan setiap elemen ini diterangkan sebanyak 10 jenis kerosakan bangunan yang berbeza beserta dengan gambar yang diambil pada kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia. Kesemua elemen berkenaan ada ditunjukkan dalam Gambar 4.5.

Gambar 4.5: 10 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia yang sering mengalami masalah kerosakan bangunan.

Berikut diterangkan secara ringkas 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah seperti:
i. Kerosakan bangunan pada elemen dinding luar.
ii. Kerosakan bangunan pada elemen dinding dalam.
iii. Kerosakan bangunan pada elemen pintu dan kelengkapan.
iv. Kerosakan bangunan pada elemen tingkap dan kelengkapan.
v. Kerosakan bangunan pada elemen lantai bawah dan atas.
vi. Kerosakan bangunan pada elemen tangga.
vii. Kerosakan bangunan pada elemen siling.
viii. Kerosakan bangunan pada elemen bumbung.
ix. Kerosakan bangunan pada elemen kemudahan bangunan.
x. Kerosakan bangunan pada lain-lain elemen.

4.11.1 Kerosakan Bangunan pada Elemen Dinding Luar
Kebanyakan daripada elemen dinding luar bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti cuaca dan alam semula jadi, kesilapan pembinaan, kelemahan dan kegagalan struktur dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen dinding luar bangunan bersejarah ini ialah seperti permukaan lembap dari bawah, permukaan lembap dari atas, batu-bata retak, lepa tertanggal dan lain-lain lagi (Selwitz dan Doehne, 2002; Starzes et al., 2003; Lubelli dan Rob, 2007; Kamaruddin Md. Said, 2009; Siti Norlizaiha Harun, 2009). Rujuk Gambar 4.6.

(1) Permukaan lembap dari bawah.
(2) Permukaan lembap dari atas.
(3) Batu-bata retak.
(4) Lepa tertanggal.
(5) Lepa mengelupas.
(6) Lepa retak.
(7) Kemasan cat menggelupas.
(8) Serangan garam.
(9) Permukaan berlumut.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti tumbuhan liar.

Gambar 4.6: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen dinding luar bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.2 Kerosakan Bangunan pada Elemen Dinding Dalam
Kebanyakan daripada elemen dinding dalam bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti cuaca dan alam semula jadi, kelemahan dan kegagalan struktur, biologikal dan kemikal dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen dinding dalam bangunan bersejarah ini ialah seperti permukaan lembap dari bawah, batu-bata retak, komponen kayu rosak, lepa tertanggal dan lain-lain lagi (Tsui et al., 2003; Robson, 2005; Ann, 2009; Rodiah Zawawi, 2009). Rujuk Gambar 4.7.

(1) Permukaan lembap dari bawah.
(2) Batu-bata retak.
(3) Komponen kayu rosak.
(4) Lepa tertanggal.
(5) Kemasan cat menggelupas.
(6) Kemasan cat pudar.
(7) Jubin retak.
(8) Jubin tertanggal.
(9) Permukaan berlumut.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti permukaan lembap dari atas.

Gambar 4.7: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen dinding dalam bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.3 Kerosakan Bangunan pada Elemen Pintu dan Kelengkapan
Kebanyakan daripada elemen pintu dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kelemahan dan kegagalan struktur, serangga dan haiwan perosak, perbuatan manusia dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen pintu dan kelengkapan bangunan bersejarah ialah seperti kerangka kayu mereput, serangan serangga, bentuk berubah, panel tertanggal dan lain-lain lagi (Marshall et al., 2003; Paiman Keromo, 2006c; Rusdi Baharan, 2009). Rujuk Gambar 4.8.

(1) Kerangka kayu mereput.
(2) Serangan serangga.
(3) Bentuk berubah.
(4) Panel tertanggal.
(5) Kemasan cat menggelupas.
(6) Kemasan cat pudar.
(7) Besi berkarat.
(8) Kaca pecah.
(9) Kelengkapan rosak.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti kelengkapan tertanggal.

Gambar 4.8: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen pintu dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.4 Kerosakan Bangunan pada Elemen Tingkap dan Kelengkapan
Kebanyakan daripada elemen tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kelemahan dan kegagalan struktur, serangga dan haiwan perosak, perbuatan manusia dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah ialah seperti kerangka kayu mereput, serangan serangga, bentuk berubah, panel tertanggal dan lain-lain lagi (Hughes, 2002; Tutton dan Hirst, 2007; Mohamad Azahar Jamaludin, 2009). Rujuk Gambar 4.9.

(1) Kerangka kayu mereput.
(2) Serangan serangga.
(3) Bentuk berubah.
(4) Panel tertanggal.
(5) Kemasan cat menggelupas.
(6) Kemasan cat pudar.
(7) Besi berkarat.
(8) Kaca pecah.
(9) Kelengkapan rosak.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti kelengkapan tertanggal.
Gambar 4.9: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.5 Kerosakan Bangunan pada Elemen Lantai Bawah dan Atas
Kebanyakan daripada elemen lantai bawah dan atas bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kesilapan pembinaan, kelemahan dan kegagalan struktur, serangga dan haiwan perosak dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen lantai bawah dan atas bangunan bersejarah ialah seperti permukaan lembap, kemasan retak, kemasan berlubang, jubin retak dan lain-lain lagi (Abdul Kadir Ishak dan Lakam anak Mijus, 2004; Durbin, 2005; Purchase, 2009). Rujuk Gambar 4.10.

(1) Permukaan lembap.
(2) Kemasan retak.
(3) Kemasan berlubang.
(4) Jubin retak.
(5) Jubin tertanggal.
(6) Lantai kayu rosak.
(7) Kerangka kayu melendut.
(8) Kerangka kayu mereput.
(9) Serangan serangga.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti tumbuhan liar.

Gambar 4.10: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen lantai bawah dan atas bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.6 Kerosakan Bangunan pada Elemen Tangga
Kebanyakan daripada elemen tangga bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kelemahan dan kegagalan struktur, kulat dan cendawan, serangga dan haiwan perosak dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen tangga bangunan bersejarah ialah seperti kerangka kayu mereput, serangan serangga, bentuk berubah, jejak rosak dan lain-lain (Faulding dan Thomas, 2000; Siti Norlizaiha Harun, 2002a; Rusdi Baharan, 2009). Rujuk Gambar 4.11.

(1) Kerangka kayu mereput.
(2) Serangan serangga.
(3) Bentuk berubah.
(4) Jejak rosak.
(5) Penaik rosak.
(6) Kekisi rosak.
(7) Susur tangan rosak.
(8) Lepa mengelupas.
(9) Kemasan cat.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti jubin rosak.

Gambar 4.11: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen tangga bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.7 Kerosakan Bangunan pada Elemen Siling
Kebanyakan daripada elemen siling bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kesilapan pembinaan, cuaca dan alam semula jadi, kelemahan dan kegagalan struktur dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen siling bangunan bersejarah di Malaysia ialah seperti kesan kelembapan, kerangka kayu mereput, kepingan pecah, kepingan hilang dan lain-lain lagi (Abdul Hakim Abdul Rahman, 2009; Boon, 2009; Hock, 2009). Rujuk Gambar 4.12.

(1) Kesan kelembapan.
(2) Kerangka kayu mereput.
(3) Kepingan pecah.
(4) Kepingan hilang.
(5) Lepa berlubang.
(6) Lepa tertanggal.
(7) Kemasan cat menggelupas.
(8) Kemasan cat pudar.
(9) Permukaan berlumut.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti kepingan gipsum rosak.

Gambar 4.12: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen siling bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.8 Kerosakan Bangunan pada Elemen Bumbung
Kebanyakan daripada elemen bumbung bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kelemahan dan kegagalan struktur, kulat dan cendawan, serangga dan haiwan perosak dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen bumbung bangunan bersejarah ini ialah seperti kerangka kayu mereput, genting pecah, genting hilang, permukaan merosot dan lain-lain lagi (Rahmah Enche’ Yusop, 2009; Shaari Saud, 2009; Shahruddin Shabri, 2009). Rujuk Gambar 4.13.

(1) Kerangka kayu mereput.
(2) Genting pecah.
(3) Genting hilang.
(4) Permukaan merosot.
(5) Permukaan berlumut.
(6) Tumbuhan liar.
(7) Papan bumbung rosak.
(8) Talang rosak.
(9) Paip turun rosak.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti hiasan seni bina rosak.
Gambar 4.13: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen bumbung dan kemudahan bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.9 Kerosakan Bangunan pada Elemen Kemudahan Bangunan
Kebanyakan daripada elemen kemudahan bangunan bersejarah di Malaysia sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti biologikal dan kemikal, kelemahan dan kegagalan struktur, kesilapan pembinaan dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen kemudahan bangunan bersejarah ialah seperti tangki air bocor, penyambungan paip bocor, paip bekalan air rosak, perkakasan pencegahan kebakaran tidak berfungsi dan lain-lain lagi (Richardson, 2000; Hafizah Yakub, 2003; A Ghafar Ahmad, 2008). Rujuk Gambar 4.14.

(1) Tangki air bocor.
(2) Penyambungan paip bocor.
(3) Paip bekalan air rosak.
(4) Perkakasan pencegah kebakaran tidak berfungsi.
(5) Paip kumbahan tersumbat.
(6) Penyambungan sesalur bocor.
(7) Paip kumbahan rosak.
(8) Perkakasan pendawaian tidak berfungsi.
(9) Perkakasan elektrik tidak berfungsi.
(10) Lain-lain jenis kecacatan bangunan seperti kemudahan bangunan rosak.
Gambar 4.14: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen kemudahan bangunan bersejarah di Malaysia.

4.11.10 Kerosakan Bangunan pada Lain-lain Elemen
Kebanyakan daripada lain-lain elemen yang terdapat pada bangunan bersejarah di Malaysia seperti elemen asas, tangga, tiang, rasuk, gerbang, bumbung rata, kubah, hiasan seni bina, longkang dan lain-lain lagi sering mengalami masalah kerosakan bangunan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kelemahan dan kegagalan struktur, cuaca dan alam semula jadi, botani dan lain-lain lagi. Antara jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada lain-lain elemen bangunan bersejarah ialah seperti asas rosak, tangga luar rosak, tiang rosak, rasuk rosak dan lain-lain lagi (Young, 1998; Singh, 2000; Mohd Zobir Hussein et al., 2004). Rujuk Gambar 4.15.

(1) Asas rosak.
(2) Tangga luar rosak.
(3) Tiang rosak.
(4) Rasuk rosak.
(5) Gerbang rosak.
(6) Bumbung rata rosak.
(7) Kubah rosak.
(8) Hiasan seni bina rosak.
(9) Longkang rosak.
(10) Lain-lain jenis kerosakan bangunan seperti lukisan dinding pudar.
Gambar 4.15: 10 jenis kerosakan bangunan yang sering berlaku pada lain-lain elemen bangunan bersejarah di Malaysia.

4.12 Diagnosis Kerosakan Bangunan
Salah satu perkara yang paling penting yang perlu diketahui oleh pemeriksa bangunan ialah kaedah untuk mendiagnosis kerosakan bangunan dengan mengenali tanda dan jenis sesuatu kerosakan bangunan tersebut. Antara sifat pemeriksaan bangunan yang baik menurut Wordsworth (2001), Watt (2002) dan Ingham (2009) ialah seseorang pemeriksa itu mestilah tahu membuat analisis tentang perkara-perkara asas seperti mengenal pasti:
i. Kesan bagaimana kerosakan bangunan itu boleh menonjolkan sifat fizikalnya seperti perubahan dari segi bentuk, warna dan kekuatan.
ii. Tanda bagaimana sesuatu kerosakan bangunan itu boleh berlaku seperti perubahan dari segi bentuk, warna dan kekuatan.
iii. Kaedah bagaimana sesuatu kerosakan bangunan itu boleh merebak dan memburukkan lagi keadaan persekitaran.
iv. Sifat bagaimana sesuatu kerosakan bangunan itu boleh mempengaruhi lain-lain elemen bangunan.
v. Punca bagaimana sesuatu kerosakan bangunan itu datang sama ada dari satu sumber atau pelbagai sumber penyumbang.

Sekiranya seseorang pemeriksa bangunan itu mampu untuk mengenal pasti perkara-perkara asas sebagaimana yang telah disenaraikan di atas, maka ia merupakan satu kelebihan kepadanya. Ini adalah kerana kerja-kerja untuk mendiagnosis kerosakan bangunan adalah merupakan satu kerja yang sukar dan perlu dilakukan dengan teliti (ICCROM, 1982). Secara umumnya kerja untuk mendiagnosis kerosakan bangunan ini menurut Ahmad Ramly (2004) boleh dilakukan melalui 5 kaedah seperti berikut:
i. Pemeriksaan secara visual dengan menggunakan deria semula jadi seperti penglihatan, bau, pendengaran dan sentuhan untuk menyiasat kerosakan bangunan di tempat yang mudah untuk dilihat dan diaksess.
ii. Pemeriksaan secara visual dengan bantuan peralatan khas untuk menyiasat kerosakan bangunan di tempat yang sukar untuk dilihat dan tersembunyi.
iii. Pemeriksaan secara visual dengan bantuan peralatan khas untuk menyiasat kerosakan bangunan yang terlindung atau yang dilapisi oleh bahan lain di atasnya.
iv. Pemeriksaan secara visual dengan bantuan peralatan khas untuk tujuan pengukuran seperti mengukur kelembapan dan sebagainya.
v. Pemeriksaan secara visual dengan bantuan peralatan khas untuk tujuan uji kaji makmal seperti menguji tahap kekuatan bahan dan sebagainya.

Dalam sesetengan keadaan untuk mendiagnosis kerosakan bangunan, sampel bahan binaan dari bangunan bersejarah yang diperiksa terpaksa diambil dan dibawa ke makmal untuk dilakukan uji kaji dengan lebih lanjut. Antara jenis-jenis uji kaji makmal yang lazim dilakukan untuk mendiagnosis kerosakan bangunan merujuk kepada (Siti Norlizaiha Harun, 2001; Stewart et al., 2001; Jaafar Abdullah et al., 2004; Mohd Zobir Hussein et al., 2004; Weritz et al., 2009) terbahagi kepada 2 keadaan seperti berikut:
i. Uji kaji yang boleh dijalankan di tapak bangunan bersejarah.
ii. Uji kaji yang boleh dijalankan di makmal bahan.

Jenis uji kaji yang kerap dilakukan sama ada di tapak bangunan bersejarah atau di makmal bahan adalah pelbagai seperti moisture and humidity test, schmidt hammer rebound test, paint colour scheme test, salt content level test dan objektifnya adalah bergantung kepada keperluan dan keputusan yang dikehendaki. Senarai uji kaji seperti yang disebutkan di atas beserta objektifnya ada ditunjukkan dalam Jadual 4.1 dan Jadual 4.2.

Jadual 4.1: Senarai uji kaji yang boleh dijalankan di tapak bangunan bersejarah.

Jenis Uji Kaji Objektif Uji Kaji
i. Moisture and humidity test. Untuk menyukat suhu tempatan dan peratus kelembapan relatif dalam udara di kawasan persekitaran.
ii. NIPGAT test. Untuk mengetahui lokasi air dan tahap kandungan garam yang terdapat dalam lepa mortar dan batu-bata pada dinding dan tiang bangunan bersejarah.
iii. Schmidt hammer rebound test. Untuk mengetahui tahap kekuatan permukaan lepa mortar sedia ada.
iv. Mackintosh probe test. Untuk mengenal pasti kekuatan tanah.
v. Timber species test. Untuk mengenal pasti spesis dan kumpulan kayu.
vi. Paint colour scheme test. Untuk mengenal pasti jumlah lapisan, warna asal dan jenis cat yang digunakan pada bahan binaan.

Jadual 4.2: Senarai uji kaji yang boleh dijalankan di makmal bahan.

Jenis Uji Kaji Objektif Uji Kaji
i. Salt content level test. Untuk mengenal pasti tahap kandungan garam yang terdapat dalam batu-bata pada dinding dan tiang bangunan bersejarah.
ii. Chemical test. Untuk mengetahui kandungan sulfat dan komposisi bahan yang membentuk lepa mortar.
iii. Compressive test. Untuk mengetahui tahap kekuatan mampatan batu-bata.
iv. Windsor probe test. Untuk mengetahui tahap kekuatan tegasan batu-bata.
v. Core test. Untuk megenal pasti kekuatan mampatan, tahap keporosan dan kebolehtelapan lepa mortar.
vi. X-Ray fluorescence test (XRF). Untuk mengenal pasti komposisi dan nisbah bahan yang membentuk sambungan mortar dan lepa mortar pada dinding batu-bata.
vii. X-Ray diffraction test (XRD). Untuk menentukan jenis mineral yang hadir dalam sampel bahan binaan seperti jubin lantai berdasarkan sifat kekisi unsur yang membentuk mineral tersebut.
viii. Petrografi test. Untuk mengenal pasti komponen, warna, saiz purata, julat saiz, bentuk butiran dan peratusan bahan binaan seperti jubin lantai.
ix. Carbonation test. Untuk mengetahui tahap pengkarbonatan bahan binaan seperti batu-bata dan kayu.
x. Timber strength test. Untuk megetahui tahap kelenturan, kekuatan mampatan menegak, kekuatan selari ira dan kandungan garam dalam struktur kayu.
xi. Covermeter survey. Untuk mengenal pasti komposisi bahan binaan yang diperbuat daripada logam seperti besi tetulang dan rasuk besi.
xii. Half cell survey. Untuk mengetahui tahap pengaratan yang telah berlaku pada logam seperti besi tetulang dan rasuk besi.
xiii. Laboratory organic plat and microbiology analysis. Untuk mengenal pasti jenis tumbuhan organik dan mikrobiologi yang tumbuh dan hidup pada elemen bangunan.

Antara contoh beberapa kaedah untuk mendiagnosis bahan binaan dan kerosakan bangunan sewaktu kerja pemeriksaan bangunan sedang dijalankan di tapak bangunan bersejarah ialah seperti ujian kelembapan menggunakan alat pengukur kelembapan untuk mengenal pasti tahap kelembapan pada struktur dinding bangunan; ujian kekuatan bahan menggunakan alat rebound hammer untuk mengenal pasti tahap kekuatan bahan pada struktur lepa dinding bangunan; ujian pengenal pastian spesis kayu menggunakan alat kanta pembesar untuk mengenal pasti spesis kayu pada komponen tangga bangunan dan lain-lain lagi. Rujuk Gambar 4.16.

Gambar 4.16: Ujian kelembapan pada Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang (1); ujian kelembapan pada Bangunan Suluh Budiman di Perak (2); ujian kekuatan bahan pada Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang (3); dan ujian pengenalpastian spesis kayu pada Bangunan St. Joseph's Novitiate and National Shrine of the Boy Jesus di Pulau Pinang (4).

4.13 Laporan Kerosakan Bangunan
Setelah kerja pemeriksaan bangunan dibuat secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah dan setelah hasil kerja diagnosis kerosakan bangunan diperolehi maka proses yang seterusnya ialah penyediaan laporan kerosakan bangunan atau laporan kajian dilapidasi bangunan bersejarah. Secara umumnya, penyediaan laporan kerosakan bangunan ini adalah merupakan satu amalan yang sering dipraktikkan dalam kebanyakan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dalam usaha untuk mengenal pasti dan merekodkan kerosakan bangunan yang berlaku melalui pendekatan bergambar dan dokumentasi berbentuk digital.

Objektif utama penyediaan laporan kerosakan bangunan ini merujuk kepada A Ghafar Ahmad (2003; 2007b) ialah untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung sebarang kerja pengubahsuaian yang telah dilakukan ke atas bangunan yang dikaji serta tahap kerja yang telah dilakukan. Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti pelbagai jenis bahan binaan yang telah digunakan dan status ketulenan bahan itu sama ada bahan asal sewaktu ia mula dibina atau bahan tambahan baru. Laporan kerosakan bangunan yang disediakan secara prinsipnya mestilah ditulis secara cermat, tepat, jelas dan mengikut susunan yang betul.

Antara perkara-perkara umum yang perlu ada dalam setiap laporan kerosakan bangunan ini merujuk kepada Siti Norlizaiha Harun (2002b), Akmal Niswani Abdul Jalil et al. (2005), Kamaruddin Md. Said (2006), Ahmad Ramly (2007) dan A Ghafar Ahmad (2009) ialah:
i. Muka hadapan yang terdiri daripada tajuk laporan, nama bangunan, tajuk projek (jika ada), nama pihak yang menyediakan laporan, nama pihak klien dan tarikh laporan disediakan.
ii. Isi kandungan yang terdiri daripada senarai kandungan laporan, senarai gambar, senarai rajah, senarai jadual, senarai lukisan terukur, senarai lampiran dan nombor bilangan muka surat.
iii. Pengenalan dan latar belakang sejarah bangunan yang menerangkan serba sedikit mengenai sejarah latar belakang bangunan dari aspek tahun pembinaan, pengaruh reka bentuk seni bina, elemen dan bahan binaan serta kegunaan bangunan dan ruang.
iv. Pelan, lukisan terukur dan gambar bangunan yang menunjukkan pelan tapak lokasi, pelan lantai, pandangan hadapan, pandangan belakang, pandangan sisi kanan, pandangan sisi kiri, lukisan perspektif dan butiran terperinci serta gambar bangunan terdahulu dan semasa.
v. Matlamat dan objektif pemeriksaan bangunan serta kaedah diagnosis kerosakan bangunan dijalankan yang menerangkan secara bertulis tentang jenis bahan binaan dan jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen bangunan yang telah diperiksa seperti pada elemen dinding, pintu, tingkap, lantai, tangga, bumbung dan lain-lain lagi disokong dengan gambar dan lukisan butiran terperinci yang menunjukkan lokasi kerosakan bangunan itu berlaku.
vi. Dokumentasi bergambar kerosakan bangunan yang menunjukkan secara terperinci lokasi segala butiran kerosakan bangunan yang berlaku pada keseluruhan elemen bangunan yang telah diperiksa disokong dengan gambar dan lukisan butiran terperinci.
vii. Data maklumat yang menerangkan secara terperinci punca kerosakan bangunan, jenis kerosakan bangunan, tahap kerosakan bangunan, lokasi kerosakan bangunan dan cadangan penyataan kaedah pemuliharaan untuk merawat kerosakan bangunan berkenaan.
viii. Prinsip pemuliharaan bangunan yang menerangkan secara ringkas megenai prinsip asas pemuliharaan, etika kerja dan amalan kerja pemuliharaan yang perlu diikuti dan dipatuhi ketika kerja pemuliharaan sedang dijalankan.
ix. Kesimpulan, rujukan dan bibliografi yang menyenaraikan bahan rujukan yang digunakan dalam membantu penyediaan laporan kerosakan bangunan yang disediakan.
x. Kajian dilapidasi dan lukisan terukur bangunan yang menunjukkan secara terperinci petunjuk segala butiran kecacatan yang berlaku pada keseluruhan elemen bangunan yang telah diperiksa pada pelan lantai, pandangan hadapan, pandangan belakang, pandangan sisi kanan, pandangan sisi kiri, keratan dan perician bangunan.

Antara contoh beberapa laporan kerosakan bangunan yang telah disediakan oleh pelbagai pihak ialah seperti Laporan Kajian Dilapidasi untuk Cadangan Menaik Taraf Pasar Awam, Lebuh Campbell di Pulau Pinang yang telah disediakan pada 2003; Laporan Kerja Pemuliharaan untuk Cadangan Membaik Pulih Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang yang telah disediakan pada tahun 2003; Laporan Kajian Dilapidasi untuk St. Joseph's Novitiate and National Shrine of the Boy Jesus di Gurney yang telah disediakan pada 2007; dan Laporan Kajian Dilapidasi untuk Bangunan Suluh Budiman di Perak yang telah disediakan pada tahun 2008. Rujuk Gambar 4.17.

Gambar 4.17: Laporan Kajian Dilapidasi untuk Cadangan Menaik Taraf Pasar Awam, Lebuh Campbell di Pulau Pinang (1); Laporan Kerja Pemuliharaan untuk Cadangan Membaik Pulih Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang (2); Laporan Kajian Dilapidasi untuk St. Joseph's Novitiate and National Shrine of the Boy Jesus di Pulau Pinang (3); dan Laporan Kajian Dilapidasi untuk Bangunan Suluh Budiman di Perak (4).
Sumber: ANON (2003), A Ghafar Ahmad (2003, 2007b dan 2008).

4.14 Kesimpulan
Kerja pemeriksaan bangunan sewajarnya dilakukan oleh pihak yang pakar, berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah. Ini adalah kerana ia perlu dilakukan dengan terperinci serta menyeluruh ke atas keseluruhan elemen yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah. Sekiranya kerja pemeriksaan bangunan itu dilakukan oleh pihak yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan latar belakang berkaitan bidang pemuliharaan yang secukupnya maka dikhuatiri hasil kerja dan laporan pemeriksaan bangunan yang dihasilkan adalah tidak tepat dan lengkap. Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk mendapatkan laporan pemeriksaan bangunan yang baik, segala persediaan awalan hendaklah diberi perhatian khusus dan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pemeriksaan bangunan dilakukan dengan memastikan segala peralatan pemeriksaan bangunan adalah lengkap, bersesuaian dan terkini. Seterusnya penentuan lokasi pemeriksaan bangunan yang hendak diperiksa juga perlu ditentukan terlebih dahulu di samping kerja pemeriksaaan bangunan itu perlu dilakukan mengikut prinsip dan etika pemeriksaan yang betul.

Amalan kerja pemeriksaan bangunan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia perlu dilakukan sebelum sebarang kerja pemuliharaan dijalankan. Ia adalah bertujuan untuk menilai tahap kerosakan bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah seperti kesan kelembapan, masalah anai-anai, permukaan berlumut, kemasan cat pudar dan lain-lain lagi. Kerosakan bangunan ini berlaku adalah disebabkan oleh pelbagai jenis punca dan agen kerosakan. Ia perlulah didiagnosis terlebih dahulu secara teliti dan terperinci dalam usaha untuk mengenal pasti punca dan jenis sesuatu kerosakan bangunan tersebut. Seterusnya cadangan kaedah pemuliharaan bangunan yang terbaik dan paling berkesan akan disediakan dalam laporan kerosakan bangunan dalam usaha untuk merawat kerosakan bangunan yang berlaku serta memulihara bangunan bersejarah berkenaan ke tahap yang lebih baik.

No comments:

Powered By Blogger