Monday, March 05, 2007

Pendekatan dalam Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia: Satu Tinjauan Umum

CD PROCEEDINGS: POST GRADUATE RESEARCH COLLOQUIUM 2007, 30-31 JANUARY 2007, PENANG, MALAYSIA (IN BAHASA MALAYSIA)


Melalui kajian literatur ini, penyelidik ingin menyingkap secara ringkas pendekatan yang sering digunakan dalam kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Ia adalah berikutan dari hasil tinjauan penyelidik ke atas beberapa projek pemuliharaan yang telah dan sedang dijalankan. Didapati bahawa terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan ketika kerja pemuliharaan sedang dijalankan. Ada pendekatan yang bergantung kepada keadaan bagaimana kerja itu hendak dilakukan seperti pendekatan samaada untuk membina semula, mengeluarkan semula atau mengembalikan semula. Ada pendekatan yang merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan seperti pengekalan dalam bentuk sediaada dan meminimakan gangguan terhadap sesuatu struktur dan fabrik bangunan bersejarah. Antara isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah berkaitan dengan pendekatan yang dirasakan kurang sesuai digunakan dalam kerja pemuliharaan. Secara tidak langsung dan tanpa disedari pendekatan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keaslian sesuatu struktur dan fabrik yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah. Adalah menjadi satu kerugian yang amat besar dari nilai sejarah dan senibina sekiranya perkara seumpama ini terus berlaku dan tidak dihentikan segera. Penyelidik merasakan bahawa pemahaman terhadap pendekatan dalam kerja pemuliharaan adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa kerja pemuliharaan sedang dijalankan pada masa hadapan kerana sekali kesilapan berlaku, maka ia tidak akan dapat dikembalikan semula dalam bentuknya yang asal.

Kata kunci: Bangunan Bersejarah, Garispanduan, Pendekatan Pemuliharaan, Piagam Antarabangsa, Projek Pemuliharaan.

1.0 PENGENALAN KEPENTINGAN PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

Sebagaimana yang kita semua maklum, keunikan senibina bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad (1897) dan Stesen Keretapi (1911) di Kuala Lumpur, Bangunan Stadthuys (1641-1660) dan Christ Church (1753) di Melaka serta bangunan-bangunan bersejarah lain di seluruh negara menampakkan bahawa negara kita Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya. (Ahmad, 1997). Merujuk kepada hasil Kajian Inventori Bangunan-bangunan Warisan Malaysia yang telah dilakukan oleh Muzium Negara pada tahun 1992, terdapat lebih daripada 35,000 bangunan sebelum perang di dalam 265 buah bandar yang dikaji di seluruh negara yang wajar dipulihara. (Idid, 1995:6). Kesedaran mengenai kepentingan memulihara bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat. Ini adalah kerana bangunan bersejarah memiliki elemen estetik dan ciri senibina yang unik serta harus diwarisi hingga ke generasi yang akan datang. Jesteru itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah perlu dilakukan agar generasi yang akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya. Menurut pendapat (Ahmad, 1997; Fileden, 1997), antara kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah ialah:
1. Bangunan bersejarah mempunyai nilai nostalgia, senibina, estetik, simbolik, sejarah, dokumentari, arkeologi, ekonomik, sosial dan juga politik serta rohani.
2. Bangunan bersejarah berupaya memberi imej dan identiti pada rupabentuk bandar dan budaya setempat.
3. Lokasi dan kawasan persekitaran bangunan bersejarah berupaya untuk menarik minat para pelancong seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan.
4. Bangunan bersejarah sedikit sebanyak akan mengingatkan kita kepada sejarah penjajahan masa lampau seterusnya memberi iktibar kepada generasi akan datang tentang sejarah silam tanahair serta meningkatkan semangat patriotisma.

2.0 PRINSIP, FALSAFAH DAN ETIKA PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

Prinsip asas pemuliharaan bangunan bersejarah sepertimana yang terkandung dalam pelbagai piagam antarabangsa adalah amat penting sekali untuk diketahui oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pemuliharaan. Prinsip ini mempunyai latarbelakang falsafah dan etika yang boleh dianggap praktikal ke atas pendekatan yang akan digunakan dalam kerja pemuliharaan. Antara sebahagian prinsip asas pemuliharaan yang terkandung dalam piagam antarabangsa ialah:
1. Gangguan paling minima (minimal intervention) seperti yang terkandung dalam (Piagam Burra Artikel 3, 1979; Piagam New Zealand Artikel 4iii, 1992) ada menggariskan bahawa “pemuliharaan merupakan kerja-kerja yang mengganggu bangunan dari segi kedudukan dan fabrik bangunan. Oleh itu sebarang gangguan untuk penyelidikan dan kerja awalan mestilah paling minima”.
2. Kehilangan fabrik paling minima (minimal loss of fabric) seperti yang terkandung dalam (Deklarasi Deschambault Artikel V-C, 1982; Piagam New Zealand Artikel 4ii, 1992) ada menggariskan bahawa “sebarang usaha memulihara mestilah memastikan kehilangan yang paling minima ke atas fabrik bangunan”.
3. Diterbalikkan (reversibility) seperti yang terkandung dalam (Piagam Burra Artikel 1.10, 1979; Piagam Appleton Artikel D, 1983) ada menggariskan bahawa “sebarang gangguan ke atas bahan binaan hendaklah diterbalikkan semula sama ada semasa proses pemuliharaan ataupun untuk tujuan penyelidikan semula pada masa akan datang”.
4. Kejelasan (legibility) seperti yang terkandung dalam (Piagam Venice Artikel 12, 1964; Piagam Burra Artikel 19-3, 1979) ada menggariskan bahawa “sebarang penggantian baru ke atas bahagian yang hilang pada bangunan bersejarah mestilah dapat dibezakan dengan yang asal bagi mengelakkan sebarang pemalsuan ke atas bukti sejarah”.

Menurut pendapat Fielden (1994:6), antara falsafah dan etika yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam sebarang kerja pemuliharaan ialah:
1. Keadaan bangunan hendaklah direkodkan sebelum kerja dijalankan.
2. Bukti sejarah tidak boleh dimusnahkan, dipalsukan atau dialihkan.
3. Sebarang kerja hendaklah seminima yang mungkin.
4. Sebarang kerja hendaklah dikawal oleh rasa hormat terhadap estetik, sejarah dan integriti fizikal oleh pemilikan budaya.
5. Semua kaedah dan bahan yang digunakan semasa rawatan hendaklah didokumenkan sepenuhnya.

3.0 ISU DAN PENYATAAN MASALAH DALAM PENDEKATAN KERJA PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH DI MALAYSIA

Merujuk kepada Kerja-Kerja Konservasi dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di Bangunan Atlas Ice, Jalan Hang Jebat , Banda Hilir, Melaka. Hasil dari pemerhatian yang telah dibuat oleh penyelidik pada tahun 2004 ke atas kerja pemuliharaan pada bangunan tersebut, didapati bahawa terdapat beberapa pendekatan dalam kerja pemuliharaan bangunan ini yang tidak merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan sebagaimana yang dikehendaki seperti penggantian daun tingkap, jubin kemasan bumbung dan kepingan kemasan lantai luar bangunan yang tidak mengikut rekabentuk serta bahan binaan asal. Begitu juga dengan kemasan lantai atas dan dinding bangunan yang dicatkan dengan warna yang tidak mengikut warna asal bangunan berkenaan. Ia jelas menunjukkan bahawa pendekatan pemuliharaan ini berlawanan dengan salah satu daripada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan iaitu bukti sejarah tidak boleh dimusnahkan, dipalsukan atau dialihkan. Pendekatan pemuliharaan yang lebih sesuai sepatutnya ialah jika perlu digantikan dengan bahan binaan baru, kepingan jubin bumbung dan kepingan lantai berkenaan hendaklah dari jenis bahan binaan dan rupabentuk yang sama. Isu ini diperkuatkan lagi dengan hasil pemerhatian penyelidik ke atas satu lagi projek pemuliharaan iaitu Cadangan Kerja-Kerja Konservasi Bangunan Muzium Lama di Jalan Kota, Melaka juga pada tahun 2004. Hasil dari pemerhatian penyelidik, didapati bahawa daun tingkap, kemasan jubin lantai dan jubin bumbung bangunan ini juga telah digantikan dengan bahan binaan yang baru dan tidak mengikut rupabentuk yang asal. Begitu juga pendekatan dalam kerja pemuliharaan yang dijalankan ke atas kerja-kerja pemasangan jubin lantai yang menggunakan bancuhan mortar simen sebagai lepa yang sepatutnya berkehendakkan penggunaan bancuhan mortar kapur sebagai lepanya. Ia jelas menunjukkan bahawa pendekatan pemuliharaan ini berlawanan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan iaitu sebarang perubahan hendaklah dilakukan secara sederhana dan tidak melampau. Ini baru beberapa contoh pendekatan dalam kerja pemuliharaan di Malaysia yang didapati tidak mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan sebagaimana yang sepatutnya. Permasalahannya sekarang ialah bagaimana dengan kaedah pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang banyak lagi terdapat di seluruh negara? Apakah punca sebenarnya masalah seumpama ini boleh berlaku? Adakah kerana pihak yang terbabit secara langsung dengan kerja pemuliharaan baik dipihak kontraktor mahupun perunding tidak tahu tentang prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan? Tidak terdapatkah satu garispanduan yang lengkap tentang aspek kerja pemuliharaan yang perlu dipatuhi seperti penyataan kaedah atau spesifikasi kerja pemuliharaan dalam setiap projek pemuliharaan yang dijalankan? Berikutan dari persoalan dan permasalahan yang timbul sejak sekian lama ini baik di dalam negara mahupun luar negara maka terhasillah pelbagai piawai, garispanduan dan piagam seperti Garispanduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia oleh Jabatan Muzium Malaysia (2002), Garispanduan Pemuliharaan untuk Jurukur Bangunan oleh ICOMOS Australia (2002), Piawaian dalam Pencegahan Pemuliharaan oleh ICCROM Itali (2002), Piawaian dan Garispanduan untuk Pemuliharaan Kawasan Bersejarah di Kanada oleh Parks Canada (2003), Garispanduan Historic American Building Survey oleh National Park Service Amerika Syarikat (2005) serta pelbagai piagam yang dihasilkan oleh ICOMOS seperti Piagam Venice (1964), Piagam Burra (1979), Deklarasi Deschambault (1982), Piagam Aplleton (1983), Piagam Washington (1987), Piagam New Zealand (1992) dan lain-lain lagi. Kesemuanya dihasilkan dengan harapan pihak yang berkenaan dapat menggunakannya sebagai asas rujukan dalam kerja pemuliharaan mereka. Namun begitu, persoalan seterusnya ialah sejauhmanakah pihak yang terlibat dalam kerja pemuliharaan di Malaysia ini peka mengenai kewujudannya dan adakah pendekatan yang digunakan dalam kerja pemuliharaan berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan sebagaimana yang terkandung dalam piawai, garispanduan dan piagam sediaada ini?

4.0 PENDEKATAN DALAM KERJA PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH

Fielden (1994:8) berpendapat bahawa pendekatan dalam pemuliharaan lazimnya tidak dapat lari dari kehilangan nilai dalam sesebuah bangunan bersejarah. Walaupun kecil dan ia tidak dapat dielakkan tetapi kerja pemuliharaan tetap perlu dilakukan dalam usaha untuk mengekalkan keseluruhan objek untuk masa hadapan. Pemuliharaan secara umumnya melibatkan pendekatan dibuat ke atas sesebuah bangunan bersejarah dalam skala yang pelbagai samaada kecil atau besar dan tahap kesungguhannya pula banyak bergantung kepada keadaan fizikal bangunan, punca kerosakan dan jangkaan persekitaran bangunan pada masa hadapan serta kaedah rawatannya. Setiap satu masalah hendaklah diambilkira secara menyeluruh atau secara individu dengan mengambilkira faktor persekitaran. Sehubungan dengan itu, Fielden (1994:8) telah mengenalpasti sebanyak tujuk pendekatan yang sering digunakan dalam kerja pemuliharaan dan pendekatan ini ada yang boleh dilaksanakan serentak dalam satu-satu kerja pemuliharaan.

4.1 Pemuliharaan (Conservation)

Kamus Oxford-Fajar (2004:79) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja memulihara dalam bentuk yang sedia wujud. Burden (2004:62) mendefinisikan pemuliharaan sebagai pengurusan bangunan untuk mengelakkan kereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan, dan ia merangkumi perekodan sejarah bangunan dan pendekatan pemuliharaan yang telah dijalankan sebelumnya. Fielden (1994:3) pula berpendapat bahawa pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambilkira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan semulajadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan bersejarah itu agar berasa kagum terhadap nilai artistiknya. Contoh pendekatan pemuliharaan ialah seperti pada Projek Pemuliharaan Rumah Kedai Era Belanda yang terletak di No. 8, Heeren Street, di Zon Warisan Melaka oleh Badan Warisan Malaysia. Kerja pemuliharaan yang bermula pada 3hb. Ogos 2001 ini telah siap pada 21hb. Mac 2005. Bangunan rumah kedai dua tingkat ini telah berjaya dipulihara dengan mengekalkan ciri-ciri rekabentuk senibinanya yang asli sebagai bukti bahawa bangunan lama boleh dipulihara ke satu tahap yang tinggi seterusnya memanjangkan lagi usia dan keperluan fungsinya. (Badan Warisan Malaysia, 2006a).

4.2 Pencegahan (Prevention)

Kamus Oxford-Fajar (2004:310) mendefinisikan pencegahan sebagai mengelakkan sesuatu daripada terjadi atau menghalang daripada membuat sesuatu. Manakala ‘DK Illustrated Oxford Dictionary’ (1998:649) mendefinisikan pencegahan sebagai menghalang dari berlakunya sesuatu atau perbuatan melakukan sesuatu. Fielden (1994:9) pula berpendapat bahawa pencegahan melibatkan usaha melindungi bangunan bersejarah dengan mengawal alam persekitaran yang secara tidak langsung mencegah agen kereputan dan kerosakan dari menjadi aktif. Pencegahan merangkumi kawalan ke atas kelembapan dalaman, suhu dan cahaya dengan menyediakan kaedah pengurusan bangunan yang baik melalui pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan untuk mencegah kecacatan dan kemerosotan bangunan dari berlaku. Contoh pendekatan pencegahan ialah seperti pada Projek Membaikpulih Stesen Keretapi Ipoh yang bermula pada tahun 2002 dan siap sepenuhnya pada tahun 2007. Kerja-kerja pencegahan melibatkan kerja pencucian dilakukan ke atas kepingan genting bumbung bangunan yang telah mengalami kecacatan dan kemerosotan dalam usaha untuk terus mengekalkan keadaannya dalam bentuk asal.

4.3 Pengekalan (Preservation)

Kamus Oxford-Fajar (2004:309) mendefinisikan pengekalan sebagai usaha untuk memelihara, mengekalkan atau menjaga untuk menghindarinya daripada menjadi rosak. Merujuk kepada Burden (2004:199), pengekalan didefinisikan sebagai penjagaan kewujudan, tidak berubah pada sumber semulajadi dan bangunan yang telah didiami sejak sekian lama. Ia termasuklah mempertahankan dalam bentuk asal integriti, bahan binaan pada struktur bangunan dan bentuk kewujudannya termasuklah tumbuhan di tapak persekitarannya. Fielden (1994:9) pula berpendapat bahawa objektif pengekalan ialah untuk mengekalkan sesuatu dalam keadaan asal. Kerja pembaikan hendaklah dijalankan jika perlu dalam usaha untuk mencegah pereputan dari berlaku pada masa akan datang. Contoh pendekatan pengekalan ialah seperti pada Projek Cadangan Kerja-kerja Pemuliharaan Bangunan JKR (Blok A,B & C) dan Lain-lain Bangunan dalam kawasan Pejabat Daerah Lama Batu Gajah, Perak yang bermula pada tahun 2005 dan dijangka tamat pada tahun 2007. (Rujuk Gambarfoto 4). Dalam pendekatan ini, kerja-kerja pengekalan telah dilakukan ke atas fasad bangunan Mahkamah Batu Gajah ini dalam usaha untuk mengekalkan ciri rekabentuk senibina bangunannya yang asal tanpa melakukan sebarang pengubahsuaian atau perobohan.

4.4 Pengukuhan (Consolidation)

Kamus Oxford-Fajar (2004:79) mendefinisikan pengukuhan sebagai menjadi kukuh secara cantuman atau mencantumkan sesuatu agar kuat. Merujuk kepada Burden (2004:62), pengukuhan didefinisikan sebagai komponen tambahan seperti kuda-kuda yang digunakan untuk memberi sokongan tambahan kepada sesuatu penyambungan. Fielden (1994:9) pula berpendapat bahawa pengukuhan ialah tambahan dalam bentuk fizikal atau aplikasi menggunakan bahan tambahan atau bahan sokongan ke atas struktur asal, bertujuan untuk meneruskan ketahanan dan integritinya. Contoh pendekatan pengukuhan ialah seperti pada Projek Pemuliharaan Fort Cornwallis, Georgetown, Pulau Pinang. Kota yang berusia lebih 200 tahun ini terdiri daripada tembok penahan batu-bata dan batu, sebuah chapel, stor, bilik tahanan dan stor simpanan peluru yang kini dijadikan sebagai ruang galeri pemeran. Projek pemuliharaan yang bermula pada 20hb. Januari 2000 dan siap pada 16hb. April 2001 ini dijalankan dengan tujuan untuk menyelamatkannya dari kemusnahan dan membangunkan semula runtuhan kota yang telah tertanam. Kerja pengukuhan telah dilakukan ke atas struktur dindingnya yang banyak mengalami kerosakan seperti retak, condong, malah ada yang telah runtuh. (Ahmad, 2006a).

4.5 Pengembalian Semula (Restoration)

Kamus Oxford-Fajar (2004:337) mendefinisikan pengembalian semula sebagai pemulihan, pembentukan semula atau pengembalian sesuatu. Merujuk kepada Burden (2004:214), pengembalian semula didefinisikan sebagai usaha untuk mendapatkan bentuk dan butiran secara tepat sesuatu benda sewaktu ia wujud melalui penanggalan atau penggantian bahan yang telah hilang dengan yang baru. Fielden (1994:9) pula berpendapat bahawa objektif pengembalian semula ialah untuk menghidupkan semula konsep ketulinan yang terdapat pada bangunan bersejarah. Ia mengambilkira ketulinan bahan, bukti arkeologi, rekabentuk asli dan dokumentasi rujukan dari sumber tulen. Contoh pendekatan pengembalian semula ialah seperti pada Projek Pengembalian Semula Rumah Penghulu Abu Seman yang terletak di No. 2 Jalan Stonor, Kuala Lumpur. Lokasi asalnya terletak di Kampung Sungai Kecil, Kedah. Rumah ini telah terbiar dalam keadaan usang dan kerja penanggalannya dimulakan pada May 1996 dan siap dibina semula pada November 1997. Projek ini dilihat telah berjaya mengembalikan semula keperluan dan fungsi rumah melayu tradisional suatu ketika dahulu. (Badan Warisan Malaysia, 2006b).

4.6 Pemulihan (Rehabilitation)

Kamus Oxford-Fajar (2004:333) mendefinisikan pemulihan sebagai usaha memulihkan sesuatu. Merujuk kepada Burden (2004:212), pemulihan didefinisikan sebagai bangunan yang belum menepati kualiti tertentu ditingkatkan hingga mencapai mutu kehidupan yang tinggi sebagaimana yang dikehendaki. Ia merangkumi pengembalian keadaan bangunan ke suatu tahap yang boleh digunakan melalui kerja pembaikan dan pengubahsuaian, dalam pada masa yang sama mengekalkan sebahagian ciri dan sifat bangunan berkenaan yang berkaitan dengan nilai sejarah, akitektur dan budayanya. Fielden (1994:10) pula berpendapat bahawa pemulihan boleh dilakukan melalui sedikit pengubahsuaian ke atas fungsi bangunan tanpa menjejaskan rekabentuk dan struktur bangunan secara menyeluruh. Contoh pendekatan pemulihan ialah seperti pada Projek Pemulihan Pasar Seni yang dahulunya adalah sebuah Pasar Borong di Kuala Lumpur. Bangunan pasar ini telah berjaya diselamatkan sebelum dirobohkan pada tahun 1980. Kerja pemulihan bermula pada tahun 1985 dengan mengekalkan keseluruhan fasad ‘Art Deco’ luarannya manakala kerja pengubahsuaaian menyeluruh telah dilakukan di dalam bangunan berkenaan. Sejak dibuka pada April 1986, projek pemulihan ini dikatakan antara yang paling Berjaya di Malaysia kerana telah dikunjungi jutaan pelancong. (Central Market Kuala Lumpur, 2006).

4.7 Pengeluaran Semula (Reproduction)

Kamus Oxford-Fajar (2004:336) mendefinisikan pengeluaran semula sebagai mengeluarkan semula atau menyalin. Merujuk kepada Burden (2004:214), pengeluaran semula didefinisikan sebagai penghasilan salinan, imej atau pendua daripada bahan yang asli. Fielden (1994:11) pula berpendapat bahawa pengeluaran semula merangkumi penyalinan sesebuah artifak lazimnya bertujuan untuk menggantikan bahagian komponen yang hilang atau reput agar nilai estetik secara keseluruhannya terpelihara. Contoh pendekatan pengeluaran semula di Malaysia ialah seperti pada Projek Cadangan Kerja-Kerja Konservasi Bangunan Muzium Lama, Jalan Kota, Melaka. Melalui pendekatan pengeluaran semula ini, kesemua bahan binaan yang telah mengalami kecacatan atau kemerosotan telah dikenalpasti terlebih dahulu bahan binaan asalnya melalui ujikaji makmal. Seterusnya bahan binaan yang tidak mengalami sebarang kecacatan dan kemerosotan telah dikekalkan manakala yang rosak telah digantikan dengan yang baru. Dalam pendekatan ini juga, sebarang penggantian ke atas bahan binaan yang baru telah dibezakan dengan yang lama.

4.8 Pembinaan Semula (Reconstruction)

Kamus Oxford-Fajar (2004:330) mendefinisikan pembinaan semula sebagai suatu usaha atau perbuatan untuk membina. Merujuk kepada Burden (2004:211), pembinaan semula didefinisikan sebagai pembinaan baru terhadap apa yang telah hilang atau musnah, dalam bentuk keadaan yang asal dari segi bahan binaan dan perician yang asli. Fielden (1994:12) pula berpendapat bahawa pembinaan semula adalah perlu hanya jika ia telah musnah disebabkan oleh malapetaka seperti kebakaran atau bencana alam seperti gempa bumi dan perbuatan manusia seperti perperangan. Selain daripada faktor itu, pembinaan semula adalah tidak digalakkan. Pembinaan semula juga tidak terikat dengan faktor usia tetapi perlulah merujuk kepada kerja dokumentasi dari bahan sejarah yang sah dan bukan melalui tekaan semata-mata. Contoh pendekatan pembinaan semula ialah seperti pada Projek Pembinaan Semula Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka di Banda Hilir, Melaka yang telah musnah dibakar semasa penjajahan Portugis pada kurun ke-15 dahulu. Replika istana ini dibina semula pada tahun 1984 berdasarkan kepada catatan sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina istana Melayu dan dijadikan sebagai Muzium Budaya pada 17hb. Julai 1986. Pembinaan semula replika muzium ini dapat memperlihatkan fungsi dan peranan istana suatu ketika dahulu serta melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu. (Wikipedia, 2006).

5.0 PENDEKATAN PEMULIHARAAN YANG PERLU DICONTOHI

Contoh pendekatan pemuliharaan yang boleh dianggap berjaya di Malaysia ialah seperti pada Projek Pemuliharaan ‘Syed Alatas Mansion’ pada tahun 1993. Pemuliharaan rumah hasil campuran senibina Eropah, India dan Arab ini dianggap begitu penting sekali bukan sahaja dari nilai senibina malah sejarahnya kerana ia merupakan kediaman Syed Mohamed Alatas, seorang rakyat Acheh yang berketurunan Arab dan telah menjadi ketua masyarakat Melayu di Pulau Pinang yang sangat berpengaruh. Pemuliharaan rumah ini dilihat dapat mencerminkan corak kehidupan terbaik keluarga bangsawan Islam di Pulau Pinang pada abad ke-19 dahulu. (Ahmad, 2006b). Badan Warisan Malaysia telah mengiktiraf ‘Syed Alatas Mansion’ sebagai “the Most Excellent Project” bagi kategori pengembalian semula (restoration) dan telah menganugerahkan Anugerah Kebangsaan Pertama untuk Pemuliharaan dan Pembangunan Warisan pada 18hb. September 1999. Pemilihannya dibuat kerana kerja pemuliharaan yang dijalankan telah dilakukan dengan tahap kepekaan yang tinggi dan gangguan yang paling minima ke atas bahan binaan asalnya.

6.0 KESIMPULAN DAN CADANGAN PENYEYELIDIKAN

Berikutan dari isu yang telah dibangkitkan oleh penyelidik sebelum ini dan merujuk kepada hasil tinjauan dan pemerhatian yang telah dijalankan ke atas beberapa projek pemuliharaan yang telah dan sedang dijalankan di seluruh negara maka adalah dirasakan sudah tiba masanya satu penyelidikan perlu dilakukan ke atas pendekatan kaedah pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Ini adalah kerana sesetengah pendekatan pemuliharaan sebagaimana yang dipraktikkan dirasakan tidak bersesuaian kerana terdapat ciri-ciri keunikan dan keaslian senibina serta bahan binaan yang terdapat pada bangunan bersejarah yang sewajarnya perlu dipulihara dan dikekalkan telah dimusnahkan atas nama pemuliharaan itu sendiri tanpa disedari. Dalam ertikata yang lain, pendekatan yang dilakukan semasa kerja pemuliharaan dilihat sebagai tidak bersesuaian dengan jenis kecacatan dan kerosakan serta pemilihan bahan binaannya pula dianggap kurang praktikal sehinggakan pendekatan yang dipraktikkan bukan sahaja salah walaupun nampak cantik tetapi berlawanan dengan prinsip asas, falsafah dan etika pemuliharaan. Oleh yang demikian, melalui penyelidikan yang akan dilakukan oleh penyelidik kelak, adalah diharapkan satu penemuan baru dalam bentuk Penyataan Kaedah Pemuliharaan Bangunan Bersejarah dapat dihasilkan. Penyelidikan ini akan meninjau dengan lebih mendalam berkaitan dengan pendekatan kaedah yang bersesuaian dengan jenis kecacatan umum yang sering berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan sediaada. Ia dilihat sebagai suatu usaha dan penemuan yang boleh dijadikan sebagai asas rujukan dan garispanduan kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja pemuliharaan bangunan bersejarah seterusnya memberi sumbangan yang positif kepada negara secara umumnya.

RUJUKAN

Ahmad, A.G. (1997). British Colonial Architecture in Malaysia 1800-1930. Museums Association of Malaysia, Kuala Lumpur.
Ahmad, A.G. (2006a). Restoration of the Fort Cornwallis. http://wwwhbp.usm.my/conservation/ConsProject/Fortarticle.htm, September 2006.
Ahmad, A.G. (2006b). Syed Alatas Mansion. http://www.hbp.usm.my/townplng/heritage/alatas.htm, September 2006.
Asiaexplorers (2006). http://www.asiaexplorers.com/malaysia.htm, September 2006.
Badan Warisan Malaysia (2006a). No. 8, Heereen Street. http://www.badanwarisan.org.my/conservation/8heeren.php, September 2006.
Badan Warisan Malaysia (2006b). Rumah Penghulu Abu Seman. http://www.badanwarisan.org.my/conservation/rumah_penghulu.php, September 2006.
Badan Warisan Malaysia (2006c). The 1999 Annual Report Awards for Conservations and Heritage Development. http://www.badanwarisan.org.my/publications/1999_2000/awards.php, September 2006.
Bell, D. (1997). Guide to International Conservation Charters. Historic Scotland, Edinburgh.
Burden, E. (2004). Illustrated Dictionary of Architectural Preservation. McGraw-Hill, New York.
Central Market Kuala Lumpur (2006). Central Market Kuala Lumpur. http://www.centralmarket.com.my/, September 2006.
Dorling Kindersley (1988). DK Illustrated Oxford Dictionary. Dorling Kindersley Limited and Oxford University Press, London.
Fielden, B.M. (1994). Conservation of Historic Buildings. Architectural Press, Oxford.
Hawkins, J.M. (2004). Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar. Penerbit Fajar Bakti, Selangor.
ICCROM (2002). Standards in Preventive Conservation: Meanings and Applications. ICCROM, Rome.
ICOMOS (2002). Conservation Guidelines for Building Surveyors. Australia ICOMOS, Victoria.
ICOMOS (2006). International Charters for Conservtion and Restoration. http://www.international,icomos.org/, September 2006.
Idid, S.Z. (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
Keromo, P. (2002). Garispanduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, Hotel Century Mahkota, Melaka, 7-12 Oktober 2002.
Materials Consultants (Asia) Sdn. Bhd. (2000). Structural Assessment and Re-Measurement Survey for Ipoh Railway Station. Petaling Jaya, Selangor.
Parks Canada (2003). Standards and Guidelines for the Conservation of Historic Places in Canada. http://www.pc.gc.ca/, September 2006.
U.S. Department of the Interior National Park Service (2005). Historic American Building Survey Guideline. http://www.cr.nps.gov/habshaer, September 2006.
Virtual Malaysia (2006). Heritage Buildings. http://www.virtualmalaysia.com/search/search_result.cfm, September 2006.
Wikipedia (2006). Istana Melaka. http://ms.wikipedia.org/wiki/Imej:Istanamelaka91.jpg, September 2006.

3 comments:

Nicole said...

slmt sjhtra... boleh mintak x maklumat tentang bangunan stadthuys??? (cth:latar belakang & keistimewaan bangunan)Please... sbab nak buat kerja khusus sejarah tingkatan tiga.........

nilea said...

assalamualaikum..
nak mntak jgak maklumat tentang bangunan stadthuys mcm nicole ni..also for form 3 asgment..tq

Anonymous said...

slm sjhtera..boleh x mintak maklumat tentang muzium negara malaysia?ini untuk folio sejarah tingkatan 3...tq

Powered By Blogger