Monday, March 05, 2007

Pemuliharaan Bandar Warisan di Malaysia sebagai Warisan Dunia

CD PROCEEDINGS: POST GRADUATE RESEARCH COLLOQUIUM 2007, 30-31 JANUARY 2007, PENANG, MALAYSIA (IN BAHASA MALAYSIA)



Thailand, Indonesia dan Myanmar merupakan antara negara di Asia Tenggara yang telah berjaya meletakkan diri mereka di bawah senarai ‘World Heritage Site’ dan ini menjadikan mereka antara pusat tumpuan pelancongan utama dunia. Malaysia telah mensasarkan pengiktirafan status ‘World Heritage Site’ ini bagi dua bandar warisan iaitu Melaka dan Pulau Pinang daripada UNESCO sejak dulu lagi, namun sehingga hari ini, ia masih belum berjaya. Pengiktirafan ini dirasakan amat penting oleh Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan kerana ia dapat membantu menjana industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong dunia gemar melancong ke bandar warisan dunia kerana ia dapat menjanjikan pengalaman bukan sahaja dari segi akitektur dan sejarah malah kebudayaan tempatan yang tidak mungkin diperolehi di tempat lain. Pemuliharaan bandar warisan di Malaysia hari ini tidak dilakukan dengan baik, dimana ia telah diabaikan dan merugikan banyak pihak. Objektif kajian ini dijalankan ialah bagi mengenalpasti bandar-bandar lain yang berpotensi dipulihara sebagai bandar warisan. Disamping menyediakan garispanduan pemuliharaan bandar warisan dan pengurusan pelancongan bagi bandar warisan di Malaysia. Selain daripada itu kajian ini juga diharapkan dapat membantu bandar warisan di Malaysia mendapatkan pengiktirafan sebagai Warisan Dunia yang mana ia merupakan pengiktirafan yang dapat membantu didalam menjana ekonomi negara.

Kata kunci: World Heritage Site, Bandar Warisan, Pelancongan, Warisan Dunia, Ekonomi.

1. PENGENALAN

“Warisan budaya dan alam semulajadi semakin terancam oleh kemusnahan, bukan sahaja disebabkan kerosakan secara tradisional, tetapi juga oleh sebab perubahan keadaan sosial dan ekonomi. Kemusnahan atau kehilangan budaya atau alam semulajadi ini akan mengakibatkan kepupusan warisan bagi semua bangsa di dunia.” (Persidangan Warisan Dunia UNESCO 1972). Bagi mengelakkan kepupusan daripada berlaku, dan kita kehilangan warisan kita, maka kita perlulah mengambil langkah memulihara segala warisan yang ada hari ini. Pemuliharaan merupakan satu bidang berbagai disiplin dimana ia merangkumi pemuliharaan bangunan bersejarah, monumen, kawasan bandar, aspek sosio-ekonomi, budaya dan tapak sejarah. Ia memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang luas dalam bidang ini. Secara praktiknya, ia melibatkan berbagai pakar dalam berbagai bidang dan professional termasuklah akitek, jurukur bahan, kontraktor bangunan, perancang bandar, ahli sejarah, pakar barangan antik, tukang ukir dan lain-lain. Warisan seperti mana yang dimaksudkan di dalam kamus Oxford adalah sesuatu yang akan atau telah diwarisi yang mana akan melibatkan dua pihak iaitu generasi lepas dan akan datang. Produk warisan termasuk bangunan dan monumen yang mempunyai nilai sejarah dan senibina, tapak warisan dan juga keunikan budaya masyarakat tempatan. Di dalam kontek ini, bandar warisan yang dimaksudkan ialah sebuah bandar yang masih mengekalkan segala yang ada pada satu masa dahulu sehinggalah apa yang ada pada hari ini. Bandar warisan merupakan sebuah bandar yang telah dipulihara. Ia merupakan bandar yang menghubungkan dua generasi iatu generasi dahulu dan kini. Mengikut Masser (1994) bandar warisan adalah kuasa yang menghubungkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, ia bukan setakat hanya sesuatu yang kita wariskan kepada generasi masa hadapan tetapi sesuatu yang kita ingin hargai dan rasai untuk satu jangkamasa yang panjang. Bagi memastikan bandar warisan di Malaysia disenaraikan di dalam warisan dunia, ia perlulah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh sebuah badan yang diiktiraf dunia iaitu UNESCO. Kriteria ini bermaksud ia perlulah mempunyai nilai kecemerlangan alam sejagat. Kriteria ini ada di terangkan di dalam Garispanduan Operasi yang mana ia merupakan sebahagian daripada teks konvensyen di dalam dokumen utama Pertubuhan Warisan Dunia. Ianya sering disemak semula bagi memastikan ia menepati konsep warisan dunia. Ia dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu budaya dan alam semulajadi, 1978- 1997. Bagi memastikan sesebuah bandar tersenarai sebagai bandar warisan, ia perlulah memenuhi kriteria di dalam kumpulan budaya. Setakat ini kita telah cuba mencadangkan dua buah bandar di negara ini iaitu Melaka dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada warisan dunia. Namun sehingga kini masih belum menampakkan hasil yang sepatutnya. Kelemahan kita di dalam hal ini mungkin disebabkan penyediaan ‘dossier’ yang kurang kukuh atau bandar warisan kita masih tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Warisan Dunia. Selain menjadikan bandar warisan ini sebagai warisan negara, elemen warisan ini perlulah dipromosikan sebagai salah satu produk utama pelancongan negara. Malaysia mensasarkan sebanyak 24.6 juta pelancong bagi tahun 2010. Ini akan mendatangkan banyak keuntungan kepada negara. Selama ini industri pelancongan telah menyumbang kepada pendapatan negara dengan menjadi penyumbang kedua tertinggi sepanjang tahun 1999-2001. Pada tahun 2002, kira-kira 3 juta pelancong telah melancong ke negara kita dan industri pelancongan telah memperolehi RM930 juta. Namun begitu, tarikan kedatangan pelancong ke negara kita selama ini adalah disebabkan eko-pelancongan negara dan karnival membeli belah yang dijalankan oleh kerajaan. Kita telah lupa sumber sediada yang banyak terdapat di negara kita iaitu bandar warisan. Dimana mengikut analisa industri pelancongan dunia, kebanyakan pusat tarikan pelancongan utama dunia ialah bandar warisan yang disenaraikan sebagai warisan dunia. Malaysia sebenarnya tidak kurang hebat. Kita mempunyai banyak bandar warisan yang boleh dipulihara dan disenaraikan sebagai warisan dunia dan menjadi tarikan pelancong contohnya bandar Melaka, Georgetown, Taiping, Kota Bahru dan Kuching. Pemuliharaan bandar warisan ini akan memberikan banyak kelebihan kepada bandar tersebut seperti pulangan ekonomi yang tinggi kepada berbagai sektor termasuklah kepada agen pelancongan, operator pelancongan dan pemilik premis. Kementerian Pelancongan Malaysia telah mengenalpasti 12 destinasi pelancongan utama di Malaysia. Ia adalah Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Kuala Lumpur, Melaka, Tasik Bera, Taman Negara, Sarawak, Lembah Danum , Gunung Kinabalu, Tasik Kenyir dan Johor Bahru. Namun begitu kebanyakan tempat tarikan pelancong ini adalah eko-pelancongan. Pemuliharaan bandar warisan ini perlulah diikuti dengan sasaran kita untuk menyenaraikan bandar-bandar warisan ini sebagai warisan dunia. Pengiktirafan sebagai warisan dunia amat penting dan bernilai, bukan sahaja kepada masyarakat komuniti dan negara, tetapi juga kepada masyarakat dunia itu sendiri dimana kita boleh berkongsi dengan semua, warisan dunia yang tinggal. Disamping itu yang lebih penting lagi, pengiktirafan ini akan membuka mata masyarakat dunia untuk datang melancong dan melawat bandar warisan di Malaysia dan ini akan menyumbang menambah ekonomi negara dari industri pelancongan. Kebanyakan bandar warisan yang menjadi pusat tarikan pelancongan dunia adalah bandar yang mempunyai tarikan tersendiri samada dari segi sejarah, pembangunan, rekabentuk senibina, budaya dan sebagainya. Namun begitu yang menjadi minat dan ikutan pelancong hari ini ialah melancong ke bandar yang tersenarai sebagai warisan dunia. Pelancong ingin melihat sendiri warisan dunia yang sukar didapati di tempat lain. Bandar warisan seperti York, Bath, Cambridge dan Oxford di England, Paris di Perancis, Venice, Pisa dan Florence di Italy dan Amsterdam di Belanda amat dikenali oleh pelancong dunia. Kesemua bandar warisan ini berjaya memulihara dan mengekalkan bangunan, kawasan dan budaya masyarakatnya bagi tujuan pelancongan dan mereka berbangga dengan kejayaannya. Bandar yang membangun dan maju boleh didapati dimana-mana, namun bandar warisan terhad bilangannya. Kebanyakan pelancong ingin merasai sendiri pengalaman senibinanya, mendalami sejarah dan budaya masyarakatnya yang mana tidak boleh diperolehi dimana-mana di dunia ini lagi. Jika diperhatikan secara kasar, United Kingdom merupakan sebuah negara maju, namun ia juga dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai berbagai pilihan tapak dan bandar warisan untuk dilawati. Ia berjaya menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia terutama pelancong yang cintakan sejarah. Walaupun ia merupakan sebuah negara maju, namun masyarakatnya begitu menghargai warisan yang dipusakai. Frank McAveety MSP, Menteri Pelancongan dan Budaya dan Sukan United Kingdom melaporkan bahawa suasana alam sejarah adalah penyumbang besar kepada ekonomi UK hari ini. Tidak dapat disangkal bahawa kedatangan pelancong ke negara mereka bagi melawat tapak bersejarah seperti Stonehenge dan bandar warisan seperti Oxford dan Bath amat membantu di dalam menjana ekonomi negara mereka. PPG15 mendapati, bukannya sukar untuk melihat pemuliharaan dan pembangunan ekonomi berada seiring, malah saling memerlukan. Kebanyakan bangunan bersejarah boleh digunakan bagi tujuan ekonomi, sebagai contohnya, komersil atau penempatan dan pelancongan. Ianya adalah sumber material yang berharga dan menyumbang ke arah perkembangan ekonomi sekiranya ia benar-benar diuruskan dengan baik. Sebagai pulangannya, perkembangan ekonomi akan memastikan pemuliharaan kawasan dan bangunan bersejarah berlaku berterusan.

2. PENYATAAN MASALAH

Sepertimana negara-negara lain yang amat perihatin mengenai bandar warisan yang merangkumi pemuliharaan bangunan, kawasan dan budaya, Malaysia juga mengalami masalah dalam menangani masalah tersebut, dan empat masalah utama adalah seperti berikut:
1. Di bawah Akta Antikuiti 1976, bangunan bersejarah atau monumen hendaklah berumur sekurang-kurangnya 100 tahun untuk disenaraikan atau digazet oleh kerajaan di bawah Jabatan Muzium bagi memberi perlindungan dan galakan untuk dikekalkan dan dipulihara. Namun begitu, kebanyakan bangunan bersejarah yang mana merupakan salah satu elemen penting di dalam sebuah bandar warisan masih tidak mencapai umur tersebut atau jika ia mencapai pun ianya tidak dilindungi dan kebanyakannya diabaikan dan telah musnah. Masyarakat kita kurang kesedaran untuk menghargai dan memulihara bandar warisan, yang mana pembangunan telah menghapuskan semua warisan sedia ada.
2. Kita masih kekurangan pakar teknikal dan pekerja mahir di dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bandar warisan. Selain daripada itu kita juga kekurangan tenaga profesional didalam pengurusan bandar warisan mahupun pengurusan pelancongan bandar warisan itu sendiri.
3. Dokumentasi dan sistem merekod bagi bandar warisan di Malaysia tidak sesuai dan tidak lengkap.Ini menyukarkan langkah mengenalpasti kaedah pemuliharaan yang perlu dijalankan dan menentukan dana peruntukan untuk kerja pemuliharaan.

Hari ini, banyak badan dan organisasi yang amat prihatin di dalam memulihara warisan negara seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa), Badan Warisan Malaysia; Penang Heritage Trust; Perak Heritage Society; Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM); Jabatan Muzium dan Antikuiti dan lain-lain. Pemuliharaan bandar warisan bukan sahaja cara untuk menarik kedatangan pelancong, tetapi ia mempunyai impak yang besar yang lebih luas dan lebih penting. Kelebihannya termasuklah:
1. Menjaga warisan bangsa daripada pupus.
2. Menambah pendapatan negara.
3. Memperkenalkan Malaysia dimata dunia.
4. Menaiktaraf kedudukan sebuah bandar.
5. Mendapat lambang prestij antarabangsa.

Penyelidikan ini akan tertumpu kepada bandar warisan sebagai warisan yang perlu dilindungi dan dipulihara. Bandar warisan termasuklah bangunan, kawasan dan budaya sesuatu tempat itu. Penumpuan ke atas bandar warisan ini akan mengecilkan lagi skop penyelidikan agar tumpuan dapat diberikan berbanding warisan secara amnya. Penyelidikan ini juga diharap dapat memberikan gambaran dan pemahaman yang lebih luas di dalam isu pemuliharaan bandar warisan sebagai warisan dunia dan industri pelancongan di Malaysia. Penyelidikan ini akan menitikberatkan perkara-perkara berikut:
1. Bagaimana untuk menyedarkan masyarakat tempatan tentang kepentingan bandar warisan.
2. Mengenalpasti bandar yang berpotensi dijadikan bandar warisan negara.
3. Bagaimana menjadikan bandar warisan sebagai aset utama industri pelancongan negara.
4. Bagaimana untuk menyenaraikan bandar warisan di Malaysia sebagai Warisan Dunia.
5. Bagaimana pengurusan industi pelancongan warisan dapat dijalankan dengan efektif.

3. ULASAN DARI PENYELIDIKAN TERDAHULU BERHUBUNGKAIT DENGAN PENYELIDIKAN

Secara umumnya, penyelidikan berhubung bandar warisan di Malaysia sebagai warisan dunia dan pengurusan pelancongannya belum lagi dijalankan secara mendalam oleh mana-mana penyelidik. Sekiranya ada, namun fokusnya adalah berlainan.Namun begitu, terdapat beberapa penulis buku dari luar yang telah menjalankan kajian untuk buku mereka dan ini juga banyak membantu dalam penyelidikan ini. Antara penyelidikan yang telah dijalankan dan juga memberi fokus kepada bandar warisan adalah Yahya Ahmad (2005). Di dalam tesis penyelidikan PhDnya, beliau telah mendalami bandar warisan di Asia dan memfokus kepada pengurusan bandar warisan. Penyelidikan beliau berbeza dengan fokus penyelidikan yang akan dijalankan dimana penyelidikan ini akan memberi fokus kepada pengurusan pelancongan. Orbasli (2000) penyelidik PhD dari University of York juga ada membuat penyelidikan berkenaan pemuliharaan bandar warisan dan pengurusannya, namun pendekatan yang diambil oleh beliau lebih kepada bandar-bandar di Eropah yang mana masyarakatnya memang menghargai warisan mereka. Ini berbeza dengan penyelidikan yang akan dibuat memandangkan penyelidikan ini akan tertumpu kepada Malaysia yang masih baru di dalam bidang pemuliharaan bandar warisan dan cuba untuk menjadikan bandar warisan sebagai salah satu sumber utama didalam industri pelancongan negara. A Ghafar Ahmad (1998) di dalam penyelidikan jangka pendek bergerannya telah melakukan penyelidikan tentang bandar warisan sediada seperti Melaka, Pulau Pinang dan Kota Bharu. Di dalam kertas kerja ini beliau mendalami tentang bangunan, tapak dan budaya warisan yang ada di bandar tersebut. Manakala A Ghafar Ahmad (2004) telah menyambung penyelidikan tersebut dengan membuat penyelidikan bagaimana untuk memaksimakan tapak warisan sediaada sebagai pusat pelancongan. Terdapat perbezaan nyata disini mengenai tapak dan bandar warisan iaitu tapak hanyalah satu kawasan manakala bandar merangkumi bangunan, kawasan dan budaya. Larkham (1996) telah membincangkan tentang pemuliharaan bandar. Beliau mendapati bahawa sekiranya perubahan ingin dilakukan ke atas sesebuah bandar warisan, maka pengurusan yang tersusun perlulah dilakukan bagi memastikan sesebuah bandar warisan itu tidak terus pupus ditutupi oleh pembangunan. Di dalam bukunya ada dinyatakan, bahawa jika anda mempunyai bangunan lama yang terbiar, jadikan ia muzium. Salah satu fungsi utamanya adalah bagi menarik pelawat. Ada antaranya yang berjaya,dan tersenarai di dalam senarai antara sepuluh pusat tarikan warisan. Hanna (1999) di dalam bukunya ada membuat analisis bahawa dianggarkan lebih kurang 70 juta pelancong telah melancong ke kawasan bersejarah pada tahun 1998, yang mana kebanyakannya adalah gereja, 12.4 juta melawat taman, 63.3 pelancong melawat muzium dan galeri dan 21 juta telah ke tempat hidupan liar. Setiap tahun pertambahan pelancong naik sebanyak lebih kurang 4%. Purata keuntungan yang diperolehi daripada industri pelancongan sejarah di England sahaja adalah 270 juta pound. Ia telah membuktikan bahawa industri pelancongan warisan boleh memberikan pulangan yang baik sekiranya diuruskan dengan baik. Lain-lain penyelidikan berkaitan pemuliharaan ada dijalankan tetapi ia lebih memfokus kepada pemuliharaan dari aspek lain, terutamanya pemuliharaan bangunan bersejarah. Sepertimana Siti Norlizaiha Harun (2004) di dalam tesis PhD “Amalan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia”. Beliau telah membuat penyelidikan yang mana lebih tertumpu kepada amalan praktis kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Hasil penyelidikannya, beliau telah menggariskan panduan kepada pengamal-pengamal praktis pemuliharaan, amalan yang terbaik dijalankan bagi kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Penyelidikan beliau ini akan membantu pengamal praktis pemuliharaan di dalam menjalankan kerja pemuliharaan yang teratur dan berkesan. A Ghafar Ahmad (1993) pula telah menjalankan penyelidikan yang lebih memberi tumpuan kepada pemuliharaan Bangunan Kolonial yang dibina sekitar tahun 1800-1930. Di dalam tesis PhD ini beliau lebih melihat dari segi teknikal kaedah pemuliharaan bangunan dan menyelidik kerosakan yang berlaku pada bangunan-bangunan tersebut. Terdapat juga kajian yang telah dijalankan oleh Syed Zainol Abidin Idid (1995) dengan kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia. Ia merupakan kajian inventori bangunan warisan di Malaysia. Kajian beliau lebih kepada mengenalpasti identiti setiap bandar berdasarkan rupabentuk bangunan yang terdapat di bandar-bandar tersebut. Beliau menyediakan panduan mengenali warisan rupabandar disamping memberikan bilangan bangunan warisan yang terdapat disesebuah negeri di Malaysia. Begitu juga dengan kajian yang telah dijalankan oleh beberapa individu bagi tesis sarjana. Antara penyelidikan tersebut adalah penyelidikan yang dijalankan oleh Kamarul Syahril Kamal (2001). Beliau telah menyelidik mengenai kerosakan yang sering berlaku pada bangunan bersejarah. Lilawati Ab Wahab (2001) pula telah menjalankan penyelidikan berkenaan sistem pencegah kebakaran di bangunan bersejarah dan Kartina Alaudin (2001) pula membincangkan faktor-faktor kejayaan kritikal dalam projek pemuliharaan.

4. OBJEKTIF PENYELIDIKAN

Objektif penyelidikan ini adalah bagi mengatasi isu semasa yang berhubung kait dengan kepentingan bandar warisan di dalam industri pelancongan negara. Tujuan utama penyelidikan ini adalah bagi:
1. Mengkaji kepentingan pemuliharaan bandar warisan sebagai warisan negara.
2. Mengkaji Bandar Warisan Dunia sebagai pusat tarikan pelancong.
3. Menghasilkan satu garispanduan pengurusan pelancongan bandar warisan bagi mengelakkan dan menyelesaikan masalah pengurusan pelancongan warisan di dalam industri pelancongan hari ini.
4. Mengoptimakan kaedah pengurusan industri pelancongan dari negara luar ke Malaysia.

5. PERSOALAN PENYELIDIKAN

1. Mengapa pemuliharaan bandar warisan di Malaysia diabaikan?
2. Bandar manakah yang berpotensi dijadikan bandar warisan di Malaysia?
3. Bagaimanakah untuk menyenaraikan bandar warisan ini sebagai Warisan Dunia?
4. Mengapakah industri pelancongan bandar warisan di Malaysia tidak maju?

6. METADOLOGI PENYELIDIKAN

Metadologi yang akan digunakan bagi penyelidikan ini adalah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif dimana ia dirasakan akan dapat memberikan hasil yang lebih baik. Ia terdiri daripada beberapa peringkat iaitu bermula dengankerja teori, melakukan temubual dan soalselidik, menjalankan kajian kes, menjalankan kerja penyelidikan, mengumpul data utama dan sekunder dan seterusnya menganalisa kesemua data yang telah dikumpulkan untuk mendapatkan hasil penyelidikan yang telah dibuat.

6.1 KERJA TEORI

Kerja teori merupakan satu bahagian yang amat penting dijalankan oleh penyelidik bagi mendapatkan pemahaman yang jelas dan menambah maklumat sediaada penyelidik. Penyelidik perlulah sekurang-kurangnya mendapatkan maklumat teori tidak melebihi sepuluh tahun lepas bagi memastikan maklumat tersebut adalah maklumat semasa dan terkini. Kerja teori ini tidak terhad kepada buku sahaja malahan meluas kepada jurnal, kertas kerja seminar, laman web, akhbar dan lain-lain bahan cetak.

6.2 TEMUBUAL DAN SOAL SELIDIK

Bagi memastikan penyelidikan ini lebih realistik dan mendapatkan hasil penyelidikan yang lebih baik, temubual perlulah dijalankan terutamanya dengan pihak-pihak yang terbabit dalam pengurusan sesebuah bandar warisan, masyarakat tempatan dan pelancong. Temubual perlulah merangkumi semua aspeka seperti penyebab kegagalan pemuliharaan bandar warisan, kerjasama masyarakat tempatan dan prospek pelancongan bandar tersebut. Selain daripada itu, borang soal selidik juga akan diedarkan bagi memudahkan kerja analisa secara kuantitatif dijalankan. Soal selidik juga selalunya didapati lebih efektif kerana responden dapat melahirkan pendapat tanpa perlu berhadapan dengan penyelidik. Disamping ianya tidak mengambil masa responden yang lama sekiranya borang soal selidik tersebut disediakan dengan baik.

6.3 KAJIAN KES

Kajian kes akan dilakukan sekurang-kurangnya ke atas dua bandar warisan di dunia yang telah berjaya disenaraikan sebagai Warisan Dunia contohnya Luang Prabang di Laos dan Macau di China. Kajian kes ini akan merangkumi kaedah pemuliharaan yang telah dijalankan dan kaedah pengurusan pelancongan di bandar-bandar tersebut.

6.4 KERJA PENYELIDIKAN

Penyelidikan tapak akan dilakukan ke atas bandar warisan di Malaysia seperti Melaka dan Pulau Pinang. Ia juga akan dijalankan ke atas bandar yang berpotensi disenaraikan sebagai bandar warisan seperti Taiping, Kota Bharu dan Kuching.

6.5 PENGUMPULAN DATA DAN DOKUMENTASI UTAMA

Data primer terdiri temubual, kajiselidik, kajian kes dan kerja penyelidikan manakala data sekunder adalah kajian teori. Kesemuanya akan dikumpul dan didokumentasikan bagi tujuan analisa.

6.6 ANALISIS PENYELIDIKAN

Data yang telah dikumpulkan, akan dianalisa. Data teoritikal akan dianalisa secara pemikiran literal manakala bagi data kuantitatif seperti kajiselidik, maka penggunaan perisian komputer tertentu akan digunakan untuk menjalankan analisa.

7. SUMBANGAN PENYELIDIKAN KEPADA PENGETAHUAN YANG BARU

Penyelidikan ini diharap dapat membina satu platform kepada pengamal dan masyarakat dalam mengubah sikap di dalam menilai dan menghargai bandar warisan sebagai aset didalam industri pelancongan negara. Namun begitu yang paling penting ialah penyelidikan ini diharap dapat menambah dan membaiki garispanduan berkenaan industri pelancongan warisan di Malaysia:
1. Memberi kesedaran kepada masyarakat dan mengurangkan kehilangan warisan seperti bangunan, kawasan dan budaya yang mana amat berguna untuk generasi akan datang dan industri pelancongan negara.
2. Mengenalpasti dan mencadangkan bandar warisan di Malaysia yang mempunyai prospek untuk disenaraikan sebagai warisan dunia agar menjadi salah satu pusat pelancongan dunia.
3. Mencadangkan garispanduan kepada Kementerian Pelancongan kaedah pengurusan pelancongan bandar warisan di Malaysia.
4. Mencadangkan kaedah penyelesaian bagi masalah yang dihadapi didalam pengurusan pelancongan warisan di Malaysia.

8. KEBAIKAN KEPADA NEGARA/ MASYARAKAT/ ORGANISASI

Diharapkan penyelidikan ini dapat memberi faedah dan manfaat kepada banyak pihak terutama pihak Kerajaan, Badan Berkanun, kontraktor, Konsultan dan Organisasi yang terlibat di dalam industri pelancongan dan kerja-kerja pemuliharaan seperti:
1. Kementerian Pelancongan Malaysia – Menguruskan pelancongan, kebudayaan dan warisan di Malaysia.
2. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa) – Menguruskan pelancongan, kebudayaan dan warisan di Malaysia.
3. PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) – Menjalankan kerja-kerja pengekalan, pemuliharaan dan menguruskan bangunan dan monumen warisan dibawah Enakmen Pengekalan dan Pemuliharaan Budaya Warisan Negeri Melaka 1988 (Pindaan 1993).
4. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Perancang bandar dan Wilayah – menkoordinasi, menyediakan pelan, arahan dan peraturan yang berkenaan bagi menjaga bangunan dan kawasan warisan dibawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, (Akta 172) dan Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta267).
5. Universiti dan Institut Pengajian Tinggi Tempatan – Menyediakan pengetahuan dan kaedah latihan yang terbaik di dalam bidang pemuliharaan bandar warisan.
6. Kontraktor Kerja Pemuliharaan – Menyediakan kaedah kerja yang terbaik dan lengkap bagi kerja-kerja pemuliharaan.
7. Konsultan Kerja pemuliharaan – Menyediakan garis panduan yang lengkap bagi pengurusan kerja pemuliharaan.
8. Organisasi lain yang terlibat seperti Badan Warisan Malaysia, Malaysia Heritage Trust, Penang Heritage Trust, Perak Heritage Society dan lain-lain badan. – Mempromosikan kerja-kerja pemuliharaan, pengekalan dan pemulihan warisan negara dengan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan bandar warisan dan menjalankan demonstrasi projek pemuliharaan disamping menjadi pusat rujukan bagi kerja pemuliharaan di Malaysia.

RUJUKAN

A Ghafar Ahmad. (1993). Conservation of British Colonial Buildings Built Between 1800- 1930 in Malaysia, Tesis PhD, University of Sheffield, United Kingdom.
A Ghafar Ahmad. (1997). Pemuliharaan Bandar Warisan Untuk Pembangunan pelancongan: Kajian Kes Melaka dan Kota Bahru. Geran Penyelidikan IRPA Jangka Pendek. USM.
A Ghafar Ahmad. (1998). Urban Tourism in Malaysia: Heritage Cities of Georgetown, Malacca and Kota Bharu. Kertas Kerja dibentangkan di 2nd Seminar on European Architecture and Town Planning Outside Europe (Dutch Period): Melaka.
A Ghafar Ahmad and Badarulzaman, N. (2003). Adaptive Re-use For Sustainable Heritage Tourism in Malaysia. An international interdisciplinary journal.
A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman. (2004). Perancangan dan Pengurusan Pelancongan Berteraskan Warisan Sejarah dan Seni Bina di Malaysia. Geran Penyelidikan USM Jangka Pendek. USM.
Ashworth, G.J and Howard, P (1999). European Heritage Planning and Management. Intelect Book. Exeter.
Ashworth, G.J and Larkham P.J (1994). Building a New Heritage: Tourism, Culture and Identity in the New Europe. London: Routledge.
Bell, D. (1997). The Historic Scotland Guide to International Conservation Charters, Historic Scotland.
Burns, P. (1999). An Introduction to tourism and Anthropology. London: Routledge.
Fee, C.V. (1998). The Encyclopedia of Malaysia Architecture; Volume 5. Singapore: Archipelago Press.
Fielden, B.M. (1996). Conservation of Historic Buildings. Oxford: Butterworth Architecture.
Fladmark, J.M (1993). Cultural Tourism: Paper Presented at the Robert Gordon University Heritage Convention. London. Donhead.
Goodal, B. and Ashwoth, G. Marketing in the Tourism Industry: The Promotion of Destination Regions. London: Routledge.
Gravari-Barbas, M. (2003). The challenge of Le Havre: Developing Tourism in a Reconstructed City. An international interdisciplinary journal.
Hanna, M. (1999). A Yearly Analysis of Trends Affecting England’s Architectural Heritage – a Vital Tourism Asset. English Tourism Council.
Haskell, T. (1993). Caring for our Built Heritage: Conservation in Practice. London: E. & F.N. Spon.
Herbert, D. (1995). Heritage, Tourism and Society. London: Mansell.
Hewison, R. (1987). The Heritage Industry: Britain in a Climate of Decline. London: Methuen.
IIC-CG (International Institute for Conservation – Canadian Group) (1989). Code of Ethics and Standards of Practice. IIC-CG, Ottawa.
Kamarul Syahril Kamal (2001). Defect in Historic Buildings, Tesis MSc, University of Portsmouth.
Kartina Alaudin (2001). Faktor-faktor Kejayaan Kritikal dalam Projek Pemuliharaan, Tesis Sarjana Sains Pengurusan Projek, Universiti Sains Malaysia.
Larkham, P.J (1996). Conservation and the City. London and New York: Routledge.
Law, C. (1992). “Urban tourism and Its Contribution to economics Regeneration.” Urban Studies, Vol. 29, No.3/4.

Law, C (1993) Urban Tourism: Attracting Visitors to Large Cities, New York: Mansell.
Lilawati Ab Wahab (2001). Fire Resistance in Historic Building, Tesis MSc, University of Portsmouth.
Nuryanti, W. (1997) Tourism and Heritage Management, Yogyakarta: Gadja Mada University Press.
Orbasli, A (2000). Tourist in Historic Towns. London and New York: E & FN Spon.
Pickard, R (2000). Management of Historic Centres. London and New York: Spon Press.
Pickard, R (2001). Policy and Law in Heritage Conservation. London and New York: Spon Press.
Prentice, R.C (1993). Tourism and Heritage Attractions. London: Routledge.
Sedyawati, E (1997). Potentials and Challenges of Tourism: Managing the Natural Cultural Heritage of Indonesia. Yogyakarta: Gadja Mada University Press.
Siti Norlizaiha Harun (2004). Amalan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah Di Malaysia, Tesis PhD, Universiti Sains Malaysia.
Syed Zainol Abidin Idid (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.
Timothy, D.J and Boyd, S.W (2003). Heritage Tourism. England: Prentice Hall.
Timur, S (2003). Sustainable urban tourism: a stakeholder theory perspective. An international interdisciplinary journal.
http://www.badanwarisan.org.my/
http://www.english-heritage.org.uk/
http://www.hbp.usm.my/conservation
http://www.iccrom.org/
http://www.icomos.org/
http://www.jma.gov.my/
http://www.nationaltrust.org.uk/
http://www.unesco.org/

2 comments:

Anonymous said...

Suatu penyelidikan yang memberikan banyak manafaat kepada masyarakat khususnya dalam mengekalkan cbandar warisan di Malaysia. Saya berpendapat bandar-bandar lain juga wajar ditonjolkan ke peringkat dunia dan diwartakan sebagai bandar warisan dunia. Kota Bharu berpotensi sebagai salah satu tapak warisan sama ada di Malaysia atau dunia.

Anonymous said...

Kota Bharu berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai bandar warisan dunia..banyak tapak2 warisan yang belum diterokai dan sejarahnya masih lagi tersimpan.