Monday, March 05, 2007

Rumah Kutai: Warisan Senibina Melayu Negeri Perak yang Semakin Pupus

PROCEEDINGS: 2nd ASEAN POST GRADUATE SEMINAR IN BUILT ENVIRONMENT, 4-6 DECEMBER 2006, KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Pp. 157-166 (IN BAHASA MALAYSIA)

Organised by: University Of Malaya, Malaysia

Lilawati Bte Ab. Wahab1, Prof. Madya Dr. A. Ghafar Bin Ahmad2, Kamarul Syahril Bin Kamal1 dan Syed Abdul Haris Bin Syed Mustafa1
¹Universiti Teknologi MARA, Malaysia
²Universiti Sains Malaysia

ABSTRAK

Rumah Kutai merupakan senibina warisan yang hanya boleh didapati di negeri Perak Darul Rizuan. ‘Kutai’ dalam bahasa masyarakat tempatan Perak bermaksud tua. Adalah sukar bagi kita pada generasi hari ini, untuk menikmati keistemewaan senibina Rumah Kutai ini memandangkan ianya semakin pupus ditelan zaman. Faktor utama yang menyebabkan kepupusan rumah kutai ini adalah mungkin disebabkan oleh ketidakpekaan masyarakat tentang kekayaan khazanah warisan kita samada dari segi sejarah mahupun warisan senibina rumah itu sendiri. Dengan kemajuan arus teknologi dan pemodenan, pembinaan Rumah Melayu Tradisional sudah dilupakan dan yang adapun sudah tidak berpenghuni lagi atas faktor kematian dan penghijrahan. Sehubungan dengan itu, sebuah Rumah Kutai yang terletak di Kampung Aji Bota Perak telah dijadikan sebagai bahan kajian dan penyelidikan dalam usaha untuk menyingkap kembali keistimewaan serta keunikan senibinanya yang tidak terdapat pada kebanyakan Rumah Melayu Tradisional yang lain. Rumah Kutai yang berusia lebih seratus dua puluh tahun ini mempunyai keunikan dari segi kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai. Ia diperkuat lagi dengan cerita-cerita lama yang tersimpan sejak turun temurun lamanya berkaitan dengan sejarah pembinaan dan penghuni rumah berkenaan. Dirasakan adalah amat merugikan sekiranya rupabentuk senibina Rumah Kutai ini tidak didokumentasikan sebagai bahan rujukan pada generasi yang akan datang. Kepupusan Rumah Kutai secara umumnya boleh berlaku atas banyak sebab. Antaranya ialah tiada penjagaan yang baik ke atas Rumah Kutai berkenaan menyebabkan rumah ini mudah rosak. Bahan pembinaan yang digunakan seperti kayu membolehkan ia mudah diserang oleh serangga pemakan kayu seperti kumbang perosak dan anai-anai. Selain daripada itu, faktor cuaca di negara ini juga boleh menyebabkan struktur kayu sesebuah Rumah Kutai mudah mereput dan dilitupi oleh cendawan dan kulat. Sehubungan dengan itu, sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan dengan kadar segera, nescaya Rumah Kutai yang amat bernilai dari kesan sejarah dan senibinanya ini akan musnah menyembah bumi. Seterusnya jika ia tidak dipulihara dari sekarang, adalah tidak mustahil pada suatu hari nanti Rumah Kutai yang sedia ada ini dan Rumah Kutai yang lain akan terus pupus dan lenyap selamanya.

Kata kunci: pemuliharaan, pupus, rumah kutai, warisan, senibina.

LATARBELAKANG PENEMPATAN RUMAH KUTAI

Penulisan ini dihasilkan bertujuan untuk memperkenalkan semula dan melihat secara ringkas salah satu bentuk Rumah Melayu Tradisional di Negeri Perak iaitu Rumah Kutai yang kian dilupakan oleh generasi baru dan sedang mengalami kepupusan. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa penduduk tempatan Perak sendiri tidak mengetahui adanya Rumah Kutai iaitu rumah yang berusia tua di Negeri Perak, apatah lagi bagi orang-orang luar dari Negeri Perak. Secara umumnya, Rumah Kutai atau ‘Kotai’ adalah nama sebutan yang diberikan oleh penduduk tempatan di mana terdapatnya senibina rumah tersebut. Perkataan Kutai atau Kotai bererti lama atau tua, jadi Rumah Kutai adalah rumah yang telah berusia tua. Tidak dapat dinafikan bahawa Rumah Kutai adalah merupakan satu-satunya jenis Rumah Melayu Tradisional di Negeri Perak yang masih didiami oleh penduduk tempatan sejak lebih 200 tahun dahulu dan sehingga kini ia masih berdiri megah di atas muka bumi. Kewujudannya sejak tahun 1800 dengan yang paling tua merupakan Rumah Penghulu Anjang Padam Pelita di Pasir Salak sewajarnya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Rumah Kutai secara umumnya tidak begitu dikenali jika dibandingkan dengan Rumah Melayu Tradisional lain di Semenanjung Malaysia seperti Rumah Limas di Johor dan Rumah Minangkabau di Negeri Sembilan serta Rumah Kedah, Pahang dan Melaka. Ini adalah kerana petempatan Rumah Kutai adalah terhad di kawasan-kawasan yang tertentu, iaitu di sekitar tebing Sungai Perak, terutama di Perak Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar sahaja. Selain daripada itu, sebab utama ia tidak begitu dikenali adalah kerana jumlahnya yang begitu sedikit berbanding dengan rumah lain. Di Perak Tengah dan Hilir Perak, terdapat tidak melebihi dari 50 buah rumah yang masih wujud. Manakala di Kuala Kangsar pula, terutamanya di Sayong, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri dan Menora, jumlahnya tidak melebihi 15 buah. Dengan jumlah yang sangat kecil dan petempatannya pula di kawasan-kawasan yang tertentu, menyebabkan Rumah Kutai tidak begitu dikenali lagi kini dan bilangannya semakin berkurangan. (A.H.Nasir, 1988).

SEJARAH PERKEMBANGAN SENIBINA RUMAH KUTAI

Kabanyakan Rumah Kutai yang ada sekarang telah berumur lebih sekurun atau dalam sekitar 100 hingga 200 tahun. Ini dikirakan sudah cukup tua. Menurut catatan-catatan yang diperolehi, selepas tamatnya Perang Dunia Pertama (1918), Rumah Kutai tidak dibina lagi di Perak. Menjelang awal kurun ke-20, senibina Rumah Kutai tidak lagi menarik perhatian rakyat tempatan Negeri Perak. Ini disebabkan oleh pengaruh senibina Rumah Limas mula diperkenalkan di Negeri Perak dan rekabentuk Rumah Limas ini nampaknya dapat memberi keselesaan dan beberapa kemudahan tertentu memandangkan saiznya yang lebih besar. Jika ditinjau dari segi sistem pembinaan rumah berbentuk ini, ternyata ia lebih mudah berbanding dengan Rumah Kutai. Maka tidak hairanlah dalam waktu yang singkat sahaja pengaruh senibina Rumah Limas seperti Rumah Bumbung Limas Perak, Rumah Limas Moden dan Rumah Limas Bungkus telah berjaya menambat hati penduduk tempatan pada ketika itu. Perkembangan pembinaan senibina Rumah Limas yang tidak dapat dibendung ini seterusnya menyebabkan senibina Rumah Kutai tidak lagi diminati malah terus dipinggir oleh penduduk tempatan di Negeri Perak. Antara sebab lain mengapa senibina Rumah Kutai tidak dapat berkembang ke seluruh Negeri Perak adalah kerana hubungannya dengan sistem pemerintahan beraja pada ketika itu di mana senibina Rumah Kutai adalah hanya untuk kediaman anggota keluarga raja pemerintah dan orang-orang besar yang mempunyai kaitan dan hubungan yang rapat dengan istana sahaja. Dengan itu petempatannya hanya terdapat tidak jauh dari pusat kerajaan yang terletak di pinggir Sungai Perak, terutamanya di daerah Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar. Selain daripada itu juga, Undang-undang 99 yang dikuatkuasakan oleh sistem pemerintahan beraja pada ketika itu turut mensyaratkan agar semua Rumah Kutai yang dibina, susunatur pandangan hadapannya hendaklah mengadap ke tebing sungai yang merupakan nadi perhubungan utama masyarakat tempatan pada ketika itu. Disamping itu juga, peraturan-peraturan di zaman tradisional yang bersifat ‘kasta’ dan darjat adalah salah satu sebab mengapa Rumah Kutai tidak dapat berkembang dengan baik bahkan jika ditinjau dari segi penempatannya pula, jelas sekali ia mempunyai kaitan dengan soal ini dan dengan itu ia hanya terdapat di sekitar pusat-pusat kerajaan saja. (A.H.Nasir, 1988).

TABURAN PENEMPATAN DAN KEPUPUSAN RUMAH KUTAI

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, Rumah Kutai hanya terdapat di tiga daerah sahaja, iaitu Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar dan penempatannya pula tidak jauh dari tebing Sungai Perak. Dengan merujuk kepada hasil kajian yang telah dilakukan pada 1977 oleh Abdul Halim Nasir, jumlah Rumah Kutai yang ditemui setelah melawat lebih 18 buah kampung di sekitar Daerah Perak Tengah ialah sebanyak 37 buah sahaja sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Jadual 1: Jumlah Rumah Kutai di Daerah Perak Tengah. (A.H.Nasir, 1988).

Perkampungan yang dilawati & Jumlah Rumah Kutai yang ditemui
1. Kampung Pasir Putih -
2. Kampung Geronggang -
3. Kampung Kota 1
4. Kampung Kepala Pulau -
5. Kampung Selat Pulau 5
6. Kampung Pisang (Atas Jeti) 2
7. Kampung Bawah Banggul 3
8. Kampung Takir Pecah 4
9. Kampung Pasir Salak 4
10. Kampung Biak Hulu 10
11. Kampung Biak Hilir -
12. Kampung Bandar Tua 1
13. Kampung Pasir Panjang 1
14. Kampung Kuala Parit -
15. Kampung Air Mati 2
16. Kampung Cina 1
17. Kampung Bandar 2
18. Kampung Tabian (Bayan) 1
Jumlah keseluruhan Rumah Kutai 37

Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa tidak banyak Rumah Kutai yang tinggal sepanjang perjalanannya menyususuri tebing Sungai Perak dan Rumah Kutai yang adapun kebanyakannya ditinggalkan begitu sahaja tanpa berpenghuni mungkin kerana pemiliknya telah meninggal dunia manakala warisnya telah berhijrah ke tempat lain. Jumlah Rumah Kutai yang tinggal hanya kira-kira 37 buah sahaja. Ini memperlihatkan satu petanda buruk mengenai masa hadapan Rumah Kutai yang sedang mengalami kepupusan. Jumlah sebenar Rumah Kutai kini tidaklah diketahui tetapi yang pasti jumlahnya semakin berkurangan dari masa ke semasa. Petempatan Rumah Kutai juga terdapat di sepanjang jalanraya dari Bota Kanan hingga ke Parit, iaitu dalam jarak 15 km dari tebing Sungai Perak. Begitu juga di tebing kiri yang bertentangannya, iaitu dari Bota Kiri ke Jambatan Nordin. Sementara itu di daerah Kuala Kangsar pula, Rumah Kutai hanya terdapat dibeberapa buah kampung sahaja seperti di Kampung Sayong, Kampung Menora, Kota Lama Kanan dan Kota Lama Kiri. Rumah-rumah tersebut juga terbina tidak jauh dari tebing Sungai Perak. Rumah Kutai yang terletak berhampiran dengan tebing sungai Perak juga merupakan salah satu faktor utama mengapa kemusnahan mudah berlaku kepadanya. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 juga telah memusnahkan begitu banyak Rumah Kutai yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Perak. (A.H.Nasir, 1988).

WARISAN SENIBINA RUMAH KUTAI

Secara umumnya Rumah Kutai terdiri daripada dua jenis, iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16. Kedua-duanya mempunyai struktur yang sama. Bagi Rumah Kutai Tiang 12, rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik. Jika dipandang dari arah hadapan rumah, tiang-tiangnya tersusun dalam tiga baris, dan masing-masingnya mempunyai empat batang tiang, iaitu dua tiang panjang dan dua tiang serambi sama naik. Dengan itu Rumah Kutai Tiang 12 ini juga disebut ‘Rumah Dua Ruang’. Biasanya Rumah Kutai Tiang 12 mempunyai tapak ibu rumahnya dalam bentuk empat persegi tepat, iaitu dalam keluasan 30’ x 30’ persegi. Manakala Rumah Kutai Tiang 16 masih banyak terdapat di Negeri Perak, sepertimana di kampung-kampung yang telah disebutkan sebelumnya. Struktur bangunan Rumah Kutai Tiang 16 ini masih lagi menggunakan 16 tiang utama, iaitu lapan tiang panjang dan 8 tiang serambi sama naik. Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar, tetapi keluasan tapaknya tidak berbentuk empat segi bujur sebaliknya empat segi sama. (A.H.Nasir, 1988).

KOMPONEN DAN KEGUNAAN RUANG RUMAH KUTAI

Secara umumnya, rekabentuk sesebuah Ruah Kutai banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor, di mana ruang lingkupnya juga menentukan komponen bangunan dan susunan ruang-ruang yang terdapat di dalam sesebuah rumah. Antara komponen ruang yang lazim terdapat pada Rumah Kutai ialah seperti ruang serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur sebagaimana yang ditunjukkan dalam gambarajah berikutnya:

Jadual 2: Komponen dan Kegunaan Ruang pada Rumah Kutai. (K.S.Kamal, L.A.Wahab & M.F.Majid, 2005).

Komponen Ruang & Kegunaan Ruang pada Rumah Kutai
1. Serambi
-Dikhaskan untuk kaum lelaki dan di situlah tetamu lelaki duduk semasa kenduri-kendara dan untuk menjalankan pelbagai aktiviti lain. Di waktu malam ruang ini digunakan sebagai tempat tidur anak teruna.
2. Rumah Ibu
-Pada rumah ibunya terdapat ruang serambi dan kadangkala sebuah bilik kecil, tetapi ruang bilik hanya wujud kemudian dan dikhaskan untuk bilik anak dara. Di zaman dahulu seluruh bangunan rumah ibu tidak mempunyai sekatan dan untuk membuat sempadan di antara ruang serambi dengan ruang tengah yang di khaskan untuk kaum perempuan, hanya dibataskan oleh sebuah bendul dengan ketinggian 5cm. Kedudukan lantai pula tidak sama paras antara serambi dengan ruang tengah.
3. Selang
-Selain menjadi lorong atau tempat laluan di antara kedua bangunan, ia merupakan tempat berbual atau menjalankan pelbagai aktiviti bagi kaum perempuan. Pada zaman dahulu ruang ini tidak berbumbung dan berdinding, jadi ruang tersebut dapat digunakan sebagai tempat penjemuran kain, juga sebagai tempat menakung air hujan. Anak-anak gadis di zaman dahulu menggunakannya sebagai tempat membasuh. Ruang seperti ini biasanya disebut pelantar selang atau jemuran selang setelah beratap dan berdinding, dikenali sebagai selang atau selasar.
4. Rumah Dapur
-Rumah dapur pula lebih kecil daripada rumah ibu, biasanya berbentuk rumah bujang, yakni tidak memakai serambi. Ia digunakan sebagai tempat memasak dan dengan itu apa jua alat keperluan dapur disimpan di situ. Sebuah tangga dan pelantar terdapat di tepinya dari pintu dapur yang berpelantar dan ia sering digunakan oleh kaum ibu untuk ke sungai atau ke perigi bagi tujuan mengambil air, mandi-manda dan sebagainya.

KEISTIMEWAAN DAN KEUNIKAN SENIBINA RUMAH KUTAI


Rumah Kutai adalah satu bentuk senibina tertua di Negeri Perak, di mana ianya telah wujud lebih dari 100 tahun yang lalu. Jika dilihat kepada keunikan senibinanya, ternyata ia tidak dapat dipisahkan dari beberapa pengaruh senibina luar, terutama sekali pengaruh senibina Rumah Aceh dan Rumah Adat Bugis dari Sumatera. Namun begitu, beberapa ciri tertentu dalam senibina dan bahan-bahan strukturnya masih tetap dengan identitinya yang tersendiri, iaitu sebagai senibina penduduk tempatan Negeri Perak. Ciri-ciri khas ini terutamanya dapat dilihat pada ragam hias lebah bergantung dan penggunaan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya. Selain daripada itu, penggunaan lantai jeria, struktur bumbung dengan sistem teknologi yang unik, bentuk pintu gelangsar dan bentuk tingkapnya yang tersendiri memang tidak pernah terdapat pada lain-lain unsur senibina Rumah Melayu Tradisional baik di Malaysia ataupun di kawasan serantau sebagaimana berikutnya:

Tunjuk langit
Titi tikus
Lebah bergantung
Kucing berlari
Papan cantik
Tanggam tebuk
Tingkap bulat bermotif bunga
Tingkap jenguk berkerawang dan berjeriji
Papan kembung berukir
Kaki gajah

PEMULIHARAAN DAN MASA HADAPAN RUMAH KUTAI

Kebanyakan Rumah Kutai yang masih terdapat di Negeri Perak telah diberikan wajah baru hingga sangat kurang Rumah Kutai yang kekal dalam bentuk asalnya. Di sana sini, komponen struktur Rumah Kutai telah ditokok tambah dan dibuat pengubahsuaian tanpa mengekalkan ciri-ciri utama Rumah Kutai. Sehubungan dengan itu, kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan dirasakan amat perlu dalam usaha untuk mengekalkan warisan senibinanya serta memanjangkan jangka hayat Rumah Kutai berkenaan. Mana-mana komponen struktur yang telah reput hendaklah digantikan dengan bahan yang baru bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa. Antara pengubahsuaian yang sering dilakukan ke atas Rumah Kutai ini ialah seperti penggantian atap rumbia atau nipahnya kepada zink; lantai-lantai bilah jeria kepada lantai papan begitu juga dengan anyaman dinding tepasnya digantikan dengan kepingan dinding papan. Bahkan tambahan ruang seperti ruang anjung juga ada yang telah dilakukan. Walaupun terdapat penggantian dan penambahan sebagaimana yang diterangkan tadi, namun struktur asal senibinanya masih mampu mengekalkan identitinya yang tersendiri seperti struktur tiang, rasuk, alang, gelegar bumbung, daun pintu dan tingkap serta tangganya yang masih berada dalam keadaan asal. Di Kampung Kuala Sayong contohnya, adalah sukar bagi kita melihat sebuah Rumah Kutai yang benar-benar asli, yakni strukturnya masih berbentuk asal. Begitu juga di Kampung Menora, ke hilir sedikit dari Sayong, terdapat sebuah Rumah Kutai yang berdinding kulit kayu. Pemuliharaan dan pengubahsuaian ini sememangnya tidak dapat dielakkan daripada berlaku mungkin kerana atas faktor perkembangan bilangan ahli dalam sesebuah keluarga yang memerlukan kepada penambahan ruang dalam rumah, faktor bahan binaan yang tidak tahan cuaca, masalah pereputan kayu, cendawan, kulat, serangan serangga perosak dan anai-anai yang boleh merosakkan struktur utama Rumah Kutai ini. Sehubungan dengan itu, sesuatu perlu dilakukan segera dalam usaha untuk mengekalkan peninggalan warisan senibina Rumah Kutai yang unik ini di Negeri Perak dari pupus selamanya.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa Rumah Kutai di Negeri Perak sedang diancam kepupusan. Saki baki Rumah Kutai yang masih ada kini tidak sampai 100 buah dan semuanya berusia tua antara 100 hingga 150 tahun dan ada yang telah menjangkau lebih dari 200 tahun. Umur yang setua ini pada hakikatnya sukar untuk bertahan lebih lama, sekurang-kurangnya antara 50 atau 100 tahun lagi. Jikalau tidak musnah oleh ketuaannya, mungkin ada sebab lain pula ia akan musnah seperti mungkin disebabkan oleh arus pembangunan yang menghimpitkan kawasan persekitarannya. Sehubungan dengan itu satu langkah segera dan berkesan haruslah diambil dalam usaha untuk menyelamatkan senibina Rumah Kutai yang masih kekal ini. Jika tidak, generasi akan datang akan kehilangan satu warisan senibina Rumah Melayu Tradisional yang tiada gantinya. Oleh yang demikian, sesuatu perlu dilakukan segera dalam usaha untuk mengekalkan peninggalan warisan senibina Rumah Kutai yang unik ini di Negeri Perak dari pupus selamanya. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah seperti melakukan kerja-kerja pemuliharaan dan pengekalan ke atas Rumah Kutai yang sedia ada dan dijadikan rumah angkat atau galeri kesenian oleh pihak bertanggungjawab sebagai bahan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara serta bahan kajian sejarah oleh para penyelidik yang berminat untuk mengkaji mengenainya. Kawasan-kawasan yang terdapat penempatan Rumah Kutai, terutama sekali di Daerah Perak Tengah yang terkenal dengan kesan-kesan sejarah seperti di Pasir Salak, sepatutnya hendaklah dimajukan sebagai pusat pelancongan. Rumah Kutai merupakan salah satu daya penarik yang difikirkan sesuai untuk dijadikan pusat tumpuan pelancong. Perlu diingatkan di sini bahawa kerja-kerja pemuliharaan dan pengekalan bangunan seringkali melibatkan kos yang tingi disamping ia adalah merupakan satu kerja yang perlu dilakukan dengan teliti oleh pihak yang pakar dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah. Kerja yang berhati-hati ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya dalam usaha untuk mengekalkan keaslian, kesenian binaan, ukiran serta semua struktur yang dianggap unik seperti yang terdapat pada butiran dinding, pintu dan tingkap. Usaha gigih ini juga perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui Jabatan Warisan dan Jabatan Muzium Negara dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti pertubuhan-pertubuhan warisan seperti Badan Warisan Malaysia atau pihak-pihak lain seperti Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi sendiri dalam usaha untuk menyelamatkan peninggalan warisan senibina negara yang tak ternilai harganya ini sebelum ianya pupus dari tatapan generasi yang akan datang.

RUJUKAN DAN BIBLIOGRAFI

1. Abdul Halim Nasir (1985) Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia. Darulfikir, Kuala Lumpur.
2. Abdul Halim Nasir (1988) Rumah Kutai : Satu Warisan Senibina Tertua Di Perak. Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
3. Abdur Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasution (2003) Raja Bilah And The Mandalings In Perak : 1875 – 1911 Monograph No. 35. MBRAS, Kuala Lumpur.
4. Ahmad Nizam Radzi (1998) Modern Architecture : The Encyclopedia Of Malaysia Architecture Volume 5. Archipelago Press, Singapore.
5. Azizi Muda (1988) Sifat Pemilikan Dan Masalah Tanah Di Kampung Titi Gantung Dalam Daerah Perak Tengah. Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
6. Badan Warisan Malaysia (1990) Handbook Malaysian Architectural Heritage Survey. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
7. Chen Voon Fee (1998) Introduction : The Encyclopedia Of Malaysia Architecture Volume 5. Archipelago Press, Singapore.
8. Dr. Zulkifli Hanafi (1996) Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu. Amber Solara Publication, Kedah.
9. Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah (2001) Spesis-Spesis Kayu Dalam Seni Ukiran Melayu. Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
10. Jabatan Rekabentuk Dalaman (1997) Projek Rumah Angkat. ITM Cawangan Perak, Perak.
11. Jacques Dumarchy (1987) Images of Asia : The House in South-East Asia. Oxford University Press, New York.
12. Kamarul Syahril Kamal, Lilawati Ab Wahab & Mohd Fareh Majid (2005). Projek Dokumentasi Rumah Kutai, Rumah Angkat UiTM Cawangan Perak. Institut Penyelidikan, Pembangunan Dan Pengkomersilan UiTM, Shah Alam.
13. Mokhtar Haji Ismail (1992) Rumah Tradisional Melayu Melaka. Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
14. Muhamad Tajuddin Mohamad Rasdi, Kamaruddin Mohd Ali, Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, Ra’alah Mohamad & Gurupiah Mursib (2004) Warisan Seni Bina Dunia Melayu Rumah-Rumah Tradisional. Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
15. Wulf Killmann, Tom Sickinger & Hong Lay Thong (1994) Restoring & Reconstructing The Malay Timber House. Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kuala Lumpur.

6 comments:

Anonymous said...

Saya merupakan pelajar Msc. Housing (USM)sedang mencari tajuk untuk thesis yang berkenaan dengan rumah melayu, di harap blogger site ini dapat membangkitkan isu yang menyebabkan mengapa rumah melayu tidak lagi menjadi pilihan pada zaman sekarang.

zubin said...

Kayu mahal dan semakin berkurangan, ada bahan lain yang murah, mudah dan tahan lama. Apa yang ada pada rumah Melayu, kalau kita boleh jelaskan itu, maka itulah jawapannya.

Apakah kita sudah ada tulisan-tulisan sejarah atau sastera yang menerangkan rupa bentuk rumah melayu dan istana-istana Melayu di zaman dahulu seperti di zaman kesultanan melayu Melaka. Bagaimana pula dengan bangunan di zaman Melayu Pattani? Langkasuka atau Kataha/ Kadaram/ Kedah Tua

zubin said...

Kayu mahal dan semakin berkurangan, ada bahan lain yang murah, mudah dan tahan lama. Apa yang ada pada rumah Melayu, kalau kita boleh jelaskan itu, maka itulah jawapannya.

Apakah kita sudah ada tulisan-tulisan sejarah atau sastera yang menerangkan rupa bentuk rumah melayu dan istana-istana Melayu di zaman dahulu seperti di zaman kesultanan melayu Melaka. Bagaimana pula dengan bangunan di zaman Melayu Pattani? Langkasuka atau Kataha/ Kadaram/ Kedah Tua

Anonymous said...

saya student seni bina...
mencari rumah tradisiOnal untuk case study....
artikel yg menarik...
masih berdiri teguh ke rumah kutai nie...???

Anonymous said...

saya student seni bina...
mencari rumah tradisiOnal untuk case study....
artikel yg menarik...
masih berdiri teguh ke rumah kutai nie...???

jimi said...

we strive to serve as a comprehensive directory. Our listing rates are kept low enough to suit the budget of any quality accommodation provider.
phoenix corporate housing