Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 2 Kajian Literatur

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB DUA
KAJIAN LITERATUR

2.0 Pengenalan
Pemuliharaan adalah merupakan suatu tindakan kerja yang dilakukan ke atas sesebuah bangunan bersejarah bertujuan untuk memulihara dan melindungi serta mengelak kerosakan dari berlaku melalui pelbagai cara dan seterusnya memanjangkan usia bangunan bersejarah berkenaan. Terdapat persoalan yang sering ditimbulkan apabila berbicara mengenai bangunan bersejarah iaitu mengapa ia perlu dipulihara? Bukankah lebih elok sekiranya ia dirobohkan dan digantikan dengan bangunan moden (Macdonald et al., 2007). Bagi menjawab persoalan seumpama ini, Orbasli (2008) ada memberi pendapat bahawa bangunan bersejarah adalah merupakan sebahagian daripada alam bina yang wajar dikekalkan.

Sehubungan dengan itu bangunan bersejarah wajar dipulihara dalam apa cara sekalipun kerana ia dapat memperlihatkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa di samping menjadi bukti kepada sejarah ketamadunnya pada masa lampau. Tanpa peninggalan bangunan bersejarah, sesuatu budaya, adat resam dan cara hidup zaman lampau tidak dapat dibuktikan dengan jelas hanya melalui cerita lisan mahupun catatan dalam buku sejarah. Kerja pemuliharaan juga melibatkan peninggalan dan runtuhan tapak arkeologi, monumen, istana, kota, bangunan, sekumpulan bangunan, penempatan dan kawasan bandar. Dalam skop yang lebih luas, ia turut melibatkan pemuliharaan warisan semula jadi, lanskap dan budaya yang penting kepada sesuatu kumpulan masyarakat.

2.1 Definisi Pemuliharaan
Merujuk kepada ICOMOS (1999) (Piagam Burra), ada mendefinisikan pemuliharaan sebagai proses memulihara sesuatu tempat supaya kepentingan kebudayaan dapat dikekalkan. Prosesnya termasuklah penyelenggaraan dan kadang kala termasuk juga proses pemulihan, restorasi dan pembinaan semula serta adaptasi. Pada kebiasaannya ia adalah kombinasi di antara proses-proses ini. Sementara itu, merujuk kepada Perbadanan Muzium Melaka (2006b), telah mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja-kerja baik pulih monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan kaedah mengekalkan seni bina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Penekanan kerja pemuliharaan adalah terhadap seni bina iaitu rupa bentuk yang terawal atau mula-mula dibina, bahan-bahan binaan iaitu mengekalkan bahan-bahan binaan yang asal sama ada peneguhan atau pembuatan semula dan penggunaan seperti asal pembinaan sesuatu bangunan atau monumen.

Selain daripada itu, terdapat beberapa individu lain yang telah memberikan tafsiran mereka sendiri mengenai istilah pemuliharaan. Antaranya ialah seperti Fielden (1999) yang telah mendefinisikan pemuliharaan sebagai tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambil kira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan warisan semula jadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan bersejarah itu agar berasa kagum terhadap nilai artistik dan gambaran yang boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Manakala Burden (2004) pula telah mendefinisikan pemuliharaan sebagai pengurusan sesebuah bangunan untuk mengelakkan kereputan, kemusnahan, penyalah gunaan atau diabaikan, dan ia merangkumi perekodan sejarah bangunan dan pendekatan pemuliharaan yang telah dijalankan sebelumnya. Antara contoh pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia iaitu ke atas Bangunan Jabatan Kerja Raya Batu Gajah dan Stesen Keretapi Ipoh di Perak, Bangunan No. 57, Jalan Macalister dan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Pulau Pinang seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2.1.

Gambar 2.1: Kerja pemuliharaan Bangunan Jabatan Kerja Raya Batu Gajah di Perak (1); kerja pemuliharaan Stesen Keretapi Ipoh di Perak (2); kerja pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister di Pulau Pinang (3); dan kerja pemuliharaan Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di Pulau Pinang (4).

2.2 Usaha Pemuliharaan
Usaha pemuliharaan warisan yang melibatkan bangunan bersejarah di Malaysia telah mula berkembang dan diberi perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan sejak kebelakangan ini yang mana pihak kerajaan telah banyak memberi peruntukan kewangan. Sebagai contohnya, pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 pada 2006 di Bangunan Parlimen oleh Y.A.B. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, pihak kerajaan telah menyediakan peruntukan kewangan sebanyak RM442.40 juta Ringgit untuk kegiatan berbentuk kebudayaan, kesenian dan warisan di seluruh negara. Sebanyak 63 peratus atau RM278.71 juta Ringgit daripadanya adalah untuk kerja pengekalan dan pemuliharaan warisan budaya manakala sebanyak 37 peratus lagi atau RM163.68 juta Ringgit adalah untuk aktiviti kesenian.

Jumlah peruntukan kali ini adalah jauh lebih tinggi berbanding peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-8 dahulu iaitu sebanyak RM85.20 juta Ringgit. Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan begitu prihatin terhadap usaha pemuliharaan bangunan bersejarah sebagai salah satu aset penting bagi warisan negara (Badan Warisan Malaysia, 2006). Sejumlah RM100 juta Ringgit daripada jumlah keseluruhan peruntukan khusus untuk kerja pengekalan bangunan bersejarah sahaja dan antara keutamaanya ialah projek pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2.2.

Gambar 2.2: Kerja pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada 2008 iaitu kerja membaiki kerosakan pada bahagian luar bangunan (1); dan kerja membaiki kerosakan pada bahagian dalam bangunan (2).

Antara agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksana dan memantau projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia ialah Jabatan Warisan Negara yang bernaung di bawah Kementerian Perpaduan, Komunikasi dan Kebudayaan. Pada 2009 sahaja, projek pemuliharaan bangunan bersejarah telah tertumpu kepada 11 buah bangunan bersejarah dalam usaha untuk memastikan warisan negara dari terus terpulihara dalam keadaaan yang baik dan tidak musnah ditelan zaman. Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Dato' Dr. Siti Zuraina bt. Abdul Majid berkata pelaksanaan projek pemuliharaan yang dilaksanakan adalah untuk memulihara bangunan warisan negara yang mempunyai sejarah tersendiri. Projek pemuliharaan ini adalah bertujuan untuk menjaga bangunan dan juga monumen warisan negara agar tidak hilang di telan zaman. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar projek-projek pemuliharaan bangunan bersejarah kelolaan Jabatan Warisan Negara (Utusan Malaysia, 2009).

Antara contoh bangunan bersejarah yang terlibat ialah seperti Rumah No. 138, Jalan Hutton dan Gereja St. George di Pulau Pinang; Bangunan Sanitary Board, Bangunan Lama Ibu Pejabat Pos Ipoh dan Masjid Lama Kampung Dal di Perak. Selain daripada itu, bangunan bersejarah lain yang turut terlibat dalam projek pemuliharaan ini ialah Gedung Raja Abdullah di Selangor; Bangunan Lama Hong Kong dan Shanghai Bank di Melaka; Muzium Sultan Abu Bakar di Pahang; Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia di Terengganu dan Masjid Mulong di Kelantan seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2.3.

Gambar 2.3: Bangunan bersejarah di Malaysia yang dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara pada 2009 seperti Projek Pemuliharaan Rumah No. 138, Jalan Hutton di Pulau Pinang (1); Projek Pemuliharaan Bangunan Sanitary Board di Perak (2); Projek Pemuliharaan Ibu Pejabat Pos Lama di Perak (3); dan Projek Pemuliharaan Bangunan Persatuan Sejarah Malaysia di Terengganu (4).

Sehingga kini, terdapat 4 buah bangunan bersejarah yang telah siap dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara dan bangunan tersebut adalah Rumah Penghulu Abdul Ghani (Natar) di Melaka; Muzium Perak di Perak; Balai Polis Lama Raub di Pahang dan Rumah Kelahiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Pahang (Mat Nasir Baba; 2009). Selain daripada projek pemuliharaan yang telah diterangkan di atas, Jabatan Warisan Negara juga telah melaksanakan banyak projek pemuliharaan di seluruh Negara sejak 2006 hingga kini.

2.3 Kepentingan Pemuliharaan
Sebagaimana yang kita semua maklum, Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya. Kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan di Malaysia adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat baik dalam bentuk sedia ada mahupun dalam bentuk seperti lukisan terukur (Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin et.al., 2005c). Ini adalah kerana bangunan bersejarah memiliki ciri-ciri reka bentuk seni bina yang menarik, elemen yang unik dan nilai estetik yang sememangnya harus diwarisi hingga ke generasi yang akan datang. Jesteru itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah adalah amat perlu dilakukan agar generasi yang akan datang berpeluang untuk mewarisi, melihat dan menikmatinya.

Dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah, A Ghafar Ahmad (2006a) ada menegaskan bahawa segala usaha pemuliharaan bangunan bersejarah perlu dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor seperti nilai sejarah, warisan, seni bina, usia, fungsi, bahan binaan dan penyelenggaraan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan. Merujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1996a), antara kepentingan utama pemuliharaan bangunan bersejarah ialah untuk:
i. Mengekalkan nilai-nilai warisan budaya sebagai langkah ke arah pembentukan identiti reka bentuk tempatan.
ii. Memulihara dan mengekalkan elemen karektor, sejarah dan reka bentuk seni bina yang unik dan menarik.
iii. Mengekalkan nilai-nilai sejarah dan kenangan tentang kewujudan sesebuah bandaraya.
iv. Meningkatkan taraf bangunan bersejarah dari masalah seperti kadar keusangan yang tinggi dan kurang penyelenggaraan.
v. Menyeimbangkan integrasi pembangunan antara bangunan lama dengan yang baru.
vi. Menyimpan rekod seni bina silam sebagai rujukan pada masa yang akan datang.

Selain daripada itu, Paiman Keromo, (2006a) dan Resali Muda (2006) telah mengeluarkan pendapat berhubung kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.1. Manakala antara contoh kepentingan pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia yang dikekalkan iaitu kepentingan nilai sejarah, seni bina, nostalgia silam dan lain lain lagi seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2.4.

Rajah 2.1: Kepentingan pemuliharaan.
Sumber: Diubah suai daripada Paiman Keromo (2006a) dan Resali Muda (2006).

Gambar 2.4: Reka bentuk seni bina bangunan bersejarah yang diancam kemusnahan tetapi telah berjaya dipulihara seperti Rumah Agam Syed Al-Attas di Pulau Pinang sebelum (1); dan selepas kerja pemuliharaan (2); Suffolk House di Pulau Pinang sebelum (3); dan selepas kerja pemuliharaan (4).

2.4 Prinsip Pemuliharaan
Bagi memastikan kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah terus terpulihara, A Ghafar Ahmad (2009) berpendapat bahawa adalah amat penting untuk menekankan prinsip pemuliharaan bagi memastikan sebarang usaha pemuliharaan yang dilaksanakan dapat menepati kehendak dan piawaian antarabangsa. Prinsip pemuliharaan adalah penting dalam setiap kerja pemuliharaan kerana tanpa prinsip pemuliharaan yang betul maka sebarang kerja pemuliharaan adalah sia-sia (Jokiletho, 1986; Orbasli, 2000; Pasley, 2001; Watt, 2002; Richmond dan Bracker, 2009).

Fielden (2000) pula berpendapat bahawa prinsip paling asas dalam usaha pemuliharaan adalah melalui 3 cara iaitu undang-undang, pemeriksaan dan pendokumentasian serta perancangan bandar seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.2.

Rajah 2.2: Prinsip asas pemuliharaan.
Sumber: Diubah suai daripada Fielden (2000).

Paiman Keromo (2006a) pula berpendapat bahawa prinsip utama pemuliharaan adalah keaslian dan beliau telah mengenal pasti dan membahagikan keaslian kepada 4 elemen utama iaitu keaslian dari segi reka bentuk, bahan binaan, teknik pemasangan atau pembuatan dan pembinaan atau pencipta seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.3.

Rajah 2.3: Prinsip utama pemuliharaan iaitu keaslian.
Sumber: Diubah suai daripada Paiman Keromo (2006a).

Seterusnya Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2006a) menegaskan bahawa kerja pemuliharaan yang berteraskan keaslian hendaklah dipraktikkan yang mana pengekalan haruslah dibuat terhadap bahan binaan berdasarkan kepada jenis bahan, warna dan tekstur. Pengekalan seni bina dari perspektif kaedah binaan dan mengekalkan penggunaan asal bahan binaan ialah dengan mengekalkan fungsi asal (Assi, 2000; Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, 2005d). Antara contoh prinsip utama pemuliharaan iaitu keaslian yang terdapat pada bangunan bersejarah di Malaysia seperti keaslian seni bina, bahan binaan, teknik pembuatan dan pencipta ada ditunjukkan dalam Gambar 2.5.

Gambar 2.5: Bangunan No. 31, Station Road di Perak yang mengekalkan keaslian reka bentuk seni bina Straits Electric (1); keaslian bahan-bahan binaan seperti jubin dinding (2); keaslian teknik pembuatan seperti seni ukiran kayu pintu luar (3); dan keaslian pencipta seperti kerja pertukangan dari China (4).

Manakala Marks (1996), Vinas (2004) dan Henry (2006) telah menggariskan beberapa prinsip pemuliharaan yang berasaskan kepada falsafah dan aplikasi praktikal. Antaranya adalah seperti berikut:
i. Merekod dan menyelidik secara berhati-hati sebelum menjalankan sebarang kerja pemuliharaan.
ii. Melakukan pengubahsuaian yang paling minimum ke atas fabrik bersejarah.
iii. Meminimakan risiko ke atas kehilangan, kerosakan dan ketidakpastian hasil kerja pemuliharaan yang dilakukan.
iv. Memastikan hasil kerja pemuliharaan dapat memanjangkan usia fabrik bersejarah.
v. Memberi keutamaan ke atas kebolehbalikan kerja pemuliharaan.
vi. Mengekalkan semaksimum mungkin struktur yang asli.
vii. Mengutamakan bahan binaan dan kerja pertukangan yang asli.
viii. Membezakan penggunaan bahan tambahan dan bahan binaan baru.
ix. Melahirkan rasa simpati ketika melakukan sebarang kerja pemuliharaan.
x. Menunjukkan rasa hormat pada kawasan persekitaran.

A Ghafar Ahmad (2006a) pula menyatakan bahawa adalah penting untuk mengenalpasti kandungan bahan binaan asal sebelum sebarang kerja pemuliharaan itu dijalankan. Sekiranya bahan binaan baru digunakan bagi menggantikan bahan binaan asli yang telah rosak, maka bahan binaan baru perlu diambil dari spesis atau bahan yang serupa sifatnya dengan bahan yang asli. Penggunaan bahan yang diselamatkan juga adalah digalakkan. Kejayaan sesuatu projek pemuliharaan hendaklah berlandaskan kepada prinsip asas pemuliharaan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja pemuliharan dijalankan dengan kaedah pemuliharaan yang betul, maka pemahaman terhadap prinsip asas pemuliharaan adalah amat penting dan perlu diketahui dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dengan kerja pemuliharaan.

A Ghafar Ahmad (2006b) ada menyediakan 4 prinsip utama yang perlu diamalkan dalam setiap kerja pemuliharaan seperti berikut:
i. Prinsip meminimakan gangguan seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan keasliannya.
ii. Prinsip menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenal pasti kandungan dan sifat bahan binaan serta tahap kecacatannya. Keputusan kajian saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan dilakukan kelak.
iii. Prinsip mendokumentasikan kerja pemuliharaan yang menjadi amalan penting kerja pemuliharaan kerana ia dapat digunakan sebagai bahan rujukan terhadap kerja penyelenggaran bangunan bersejarah pada masa akan datang.
iv. Prinsip mengaplikasikan kaedah pemuliharaan yang terbukti berkesan bagi memastikan setiap pendekatan pemuliharaan yang digunakan semasa kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada bangunan bersejarah yang dipulihara.

Selain daripada itu, prinsip asas pemuliharaan bangunan bersejarah yang terkandung dalam pelbagai piagam antarabangsa juga adalah amat penting sekali untuk diketahui oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pemuliharaan. Ini adalah kerana ia mempunyai latar belakang falsafah dan etika yang boleh dianggap praktikal ke atas pendekatan yang akan digunakan dalam sebarang kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Antara sebahagian daripada prinsip asas pemuliharaan yang terkandung dalam piagam antarabangsa adalah seperti berikut:
i. Prinsip gangguan paling minima (minimal intervention) seperti yang terkandung dalam ICOMOS (1992) (Piagam New Zealand), Artikel 4iii dan ICOMOS (1999) (Piagam Burra), Artikel 3 yang mana ia ada menggariskan bahawa pemuliharaan merupakan kerja-kerja yang mengganggu bangunan bersejarah dari segi kedudukan dan fabrik bangunan. Oleh itu sebarang gangguan untuk penyelidikan dan kerja awalan mestilah paling minima.
ii. Prinsip kehilangan fabrik paling minima (minimal loss of fabric) seperti yang terkandung dalam ICOMOS (1982) (Deklarasi Deschambault), Artikel V-C dan ICOMOS (1992) (Piagam New Zealand), Artikel 4ii yang mana ia ada menggariskan bahawa sebarang usaha memulihara mestilah memastikan kehilangan yang paling minima ke atas fabrik bangunan.
iii. Prinsip diterbalikkan (reversibility) seperti yang terkandung dalam ICOMOS (1999) (Piagam Burra), Artikel 1.10 dan ICOMOS (1983) (Piagam Appleton), Artikel D yang mana ia ada menggariskan bahawa sebarang gangguan ke atas bahan binaan hendaklah diterbalikkan semula sama ada semasa proses pemuliharaan ataupun untuk tujuan penyelidikan semula pada masa akan datang.
iv. Prinsip kejelasan (legibility) seperti yang terkandung dalam ICOMOS (1964) (Piagam Venice), Artikel 12 dan ICOMOS (1999) (Piagam Burra), Artikel 19-3 yang mana ia ada menggariskan bahawa sebarang penggantian baru ke atas bahagian yang hilang pada bangunan bersejarah mestilah dapat dibezakan dengan yang asal bagi mengelakkan sebarang pemalsuan ke atas bukti sejarah.

2.5 Falsafah Pemuliharaan
Selain daripada prinsip pemuliharaan, pengetahuan terhadap falsafah pemuliharaan juga adalah penting untuk diketahui. Ini adalah kerana falsafah pemuliharaan adalah merupakan dasar utama yang menjurus kepada pembentukan prinsip pemuliharaan. Falsafah pemuliharaan ini lazimnya akan membawa dan menjurus kepada pembentukan prinsip pemuliharaan yang lebih spesifik serta jelas seperti yang dikehendaki. Secara dasarnya semua falsafah pemuliharaan mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk melindungi, memulihara, mengekal dan menghargai peninggalan bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah negara (Tyler, 2000; Pickard, 2000b; A Ghafar Ahmad, 2002; Earl, 2003). Sebagai contohnya falsafah pemuliharaan menurut pendapat Paiman Keromo (2000) adalah merupakan usaha untuk:
i. Menyelamat dan mengekalkan warisan budaya negara sebagaimana keadaan asal iaitu dari segi keaslian bahan, seni bina dan penggunaannya yang asal.
ii. Membangun dan memanfaatkan tinggalan warisan budaya negara sebagai salah satu prasarana untuk memberikan pulangan ekonomi tanpa mengabaikan matlamat utamanya sebagai pengekalan bukti sejarah kepada negara.

2.6 Etika Pemuliharaan
Setelah diketahui tentang prinsip dan falsafah pemuliharaan, maka sewajarnya kerja pemuliharaan dilaksanakan mengikut etika pemuliharaan yang betul. Etika pemuliharaan adalah merupakan pelengkap kepada prinsip dan falsafah pemuliharaan. Terdapat banyak pihak yang telah memberikan tafsiran berkaitan etika pemuliharaan seperti Bell (1997), Caple (2000) dan Keene (2002) yang menjelaskan bahawa etika pemuliharaan adalah amat penting untuk dipatuhi kerana etika pemuliharaan adalah merupakan pelengkap kepada kerja pemuliharaan. Tanpa etika pemuliharaan, dikhuatiri kerja pemuliharaan yang dilaksanakan akan mengalami kegagalan dari segi prinsip dan falsafahnya. Sehubungan dengan itu, antara etika pemuliharaan yang perlu dipatuhi ketika kerja pemuliharaan sedang dijalankan menurut Fielden (2000) adalah seperti berikut:
i. Keadaan bangunan bersejarah hendaklah direkodkan sebelum sebarang kerja pemuliharaan dijalankan.
ii. Sebarang bukti sejarah tidak boleh dimusnahkan, dipalsukan atau dialihkan.
iii. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah seminima yang mungkin.
iv. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah dikawal oleh rasa hormat terhadap estetik, sejarah dan integriti fizikal oleh pemilikan budaya.
v. Semua kaedah dan bahan yang digunakan semasa rawatan hendaklah didokumenkan sepenuhnya.

Manakala Mat Nasir Baba (2000) menegaskan bahawa sebahagian daripada prinsip asas kerja pemuliharaan ialah mematuhi etika pemuliharaan yang telah ditetapkan. Antara etika pemuliharaan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
i. Semua kerja pemuliharaan bangunan bersejarah hendaklah mengikut keadaan asal pembinaannya, sama ada dari segi gaya binaan, reka bentuk seni bina mahupun bahan binaan yang digunakan.
ii. Sebarang perubahan adalah tidak dibenarkan pada sebarang elemen kecuali pada bahagian yang tidak kelihatan seperti di bawah lantai dan bahagian dalam bumbung.
iii. Penambahan dan penggunaan bahan baru adalah dibenarkan hanya untuk tujuan pengukuhan dan sokongan.
iv. Bangunan bersejarah yang telah musnah tidak dibenarkan sama sekali untuk dibina semula di tempat yang baru.
v. Bangunan bersejarah yang telah mengalami perubahan semasa digunakan hendaklah dikekalkan pada tahap terakhir ia digunakan. Namun begitu jika terdapat bukti kukuh keadaan asal bangunan bersejarah seperti pelan asal atau bukti-bukti lain maka segala penambahan atau perubahan hendaklah dikembalikan dalam bentuk asal.
vi. Semua skema warna sama ada di luar mahupun di dalam bangunan bersejarah mestilah dikekalkan sebagaimana asal.

Seterusnya merujuk kepada ICOMOS (1987) (Piagam Washington), tersenarai beberapa etika pemuliharaan yang sewajarnya dipatuhi ketika menjalankan sebarang kerja pemuliharaan dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Tidak dibenarkan dibuat sebarang pengubahsuaian pada susun atur dan hiasan pada sesebuah bangunan bersejarah.
ii. Tidak dibenarkan membina, meroboh, dan mengubahsuai mana-mana bahagian bangunan bersejarah yang boleh mengubah bentuk dan warna sesebuah bangunan bersejarah.
iii. Tidak dibenarkan mengalih sebahagian atau keseluruhan bangunan bersejarah kecuali dengan tujuan untuk melindunginya.
iv. Bahan binaan yang digantikan pada bahagian yang hilang atau rosak hendaklah dipilih atau dibuat supaya ianya dapat mengekalkan keharmonian bentuk dan warna asalnya.
v. Sebarang penambahan yang dilakukan hendaklah tidak begitu menonjol sehinggakan ianya boleh menukar kepentingan asal sesebuah bangunan bersejarah dan seterusnya mencemar keharmoniannya dengan alam sekitar.
vi. Di mana perlu, penggalian arkeologi yang sistematik hendaklah dilakukan sebelum kerja pemuliharaan dilakukan ke atas sesebuah tapak atau bangunan bersejarah.
vii. Sewaktu dan selepas kerja pemuliharaan, alam sekitar hendaklah turut dipelihara dan dikekalkan.

2.7 Sejarah Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, pengetahuan asas berkaitan sejarah pemuliharaan adalah amat penting untuk diketahui oleh semua pihak yang terlibat dengannya. Pengetahuan terhadap sejarah pemuliharaan ini adalah amat penting kerana ia dapat memberitahu mengenai asal usul tercetus atau bermulanya kerja dan pendekatan berkaitan pemuliharaan, pelopor yang terlibat dalam bidang pemuliharaan dan kepentingan pemuliharaan pada sesebuah negara. Selain daripada itu, ia juga dapat memberitahu tentang amalan dan pendekatan pemuliharaan yang telah dilakukan sejak dahulu lagi hingga kini disamping mengetahui sejarah latar belakang bangunan bersejarah yang telah dipulihara. Berikut diterangkan secara ringkas mengenai sejarah pemuliharaan pada 2 peringkat iaitu:
i. Sejarah pemuliharaan di peringkat antarabangsa.
ii. Sejarah pemuliharaan di peringkat kebangsaan.

2.7.1 Sejarah Pemuliharaan di Peringkat Antarabangsa
Merujuk kepada hasil penyelidikan yang telah dilakukan oleh Jokilehto (2002), antara usaha terawal berkaitan pemuliharaan yang telah direkodkan oleh tamadun manusia bermula sejak abad ke-3 sebelum Masihi di Mesir apabila tangan pada salah satu patung monumen Ramses ke-II (1304 hingga 1237) yang terdapat di Kuil Agung Abu Simel telah dimusnahkan oleh tentera Parsi sewaktu perperangan dan ianya telah dibaik pulih oleh Sethi ke-II (1216 hingga 1210).

Manakala usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Eropah pula telah dicetuskan oleh Francesco Petrarch (1307 hingga 1374) iaitu seorang pensyair, penyajak dan cendekiawan yang terkenal di Itali pada abad ke-14 selepas Masihi. Beliau berasa amat sedih dan terkejut setelah melihat keadaan runtuhan kuil, istana dan bangunan lama sewaktu kunjungan beliau ke Rome pada 1337. Hasil daripada insiden berkenaan, beliau telah melakukan pelbagai usaha untuk meyakinkan supaya kotaraya Rome perlu dijadikan sebagai pusat penyebaran agama Kristian seterusnya mengembalikan kegemilangan pemerintahan Rome yang terkenal suatu ketika dahulu. Usaha beliau telah berjaya menarik ramai cendekiawan lain seperti Filippo Brunelleschi, Donatello dan Masaccio berhijrah ke Rome pada penghujung abad ke-14 selepas Masihi untuk berkarya dan seterusnya menjadi pelopor kepada kebangkitan zaman pembaharuan atau Renaissance di Itali (1450 hingga 1550) dan di Eropah (1500 hingga 1700), seterusnya membawa Eropah keluar daripada zaman kegelapan atau dark ages (5 hingga 1000) yang panjang sebelumnya.

Antara usaha yang telah dilakukan sebagai contohnya, Filippo Brunelleschi (1377 hingga 1446) telah menjalankan kerja pengukuran dan penggalian ke atas semua bangunan penting yang terdapat di kotaraya Rome termasuklah temple, basilicas, aqueducts, baths, arch, theatres dan amphitheatres dalam usaha untuk memuliharanya. Rujuk Gambar 2.6 untuk melihat sebahagian daripada peninggalan bangunan bersejarah yang terdapat di kotaraya Rome yang telah dipulihara dan masih kekal sehingga kini.

Gambar 2.6: Sebahagian daripada peninggalan bangunan bersejarah yang telah dipulihara dengan baik di kotaraya Rome seperti Roman Forum (1); Colosseum (2); Pantheon (3); dan Castel Sant’ Angelo (4).
Sumber: Maklumat diperolehi dari Metcalf dan Thompson (ed). (2008).

Sejak daripada itu, kesedaran terhadap kepentingan usaha pemuliharaan telah berkembang dengan pesat di seluruh dunia sejak ia bermula di Itali dan diikuti oleh negara Eropah lain seperti Greek, Perancis, Portugal, Sepanyol, Jerman dan England dalam zaman yang dikenali sebagai Boroque (1600 hingga 1725), Rococo (1725 hingga 1775) dan Neo-Classical (1750 hingga 1850) dengan terbinanya lebih banyak bangunan baru. Dalam pada masa yang sama kerja pembinaan semula dan pemuliharaan ke atas bangunan, monumen, arca dan lukisan bersejarah yang telah musnah atau rosak kesan akibat pengabaian, peperangan dan gempa bumi turut dilakukan ke atas kebanyakan kuil purba yang telah diubah suai semula untuk dijadikan gereja.

Antara nama-nama artis, arkeologis, arkitek, jurutera dan saintis terkenal yang menjadi pelopor dan terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan dan pengekalan bangunan dan monumen bersejarah di Eropah ialah seperti Leon Battista Alberti (1404 hingga 1472) yang terkenal dengan hasil karya beliau iaitu Ten Books on Architecture dan pembinaan Santa Maria Novella di Florence, Itali; Francesco di Giorgio Martini (1439 hingga 1501) yang terkenal dengan gelaran restorer of ancient ruins; dan Leonardo da Vinci (1452 hingga 1519) yang telan menjalankan banyak kajian berkaitan masalah kegagalan struktur dan asas bangunan, pembentukan keretakan di dinding, masalah kelembapan kayu dan beliau juga telah mencadangkan beberapa contoh kaedah pembaikan dan rawatan kayu dan batu serta langkah pencegahan daripada kerosakan ke atas bangunan dan monumen bersejarah di Itali.

Manakala nama-nama lain ialah seperti Johann James Wyatt (1746 hingga 1813) yang menjadi pelopor kepada kerja pengekalan gereja besar seperti Durham Cathedral pada 1795 dan diikuti oleh William Atkinson (1773 hingga 1839) yang telah menyambung kerja-kerja beliau; Sir George Gilbert Scott (1811 hingga 1878) yang telah memperkenalkan prinsip pemuliharaan dan pengekalan bangunan bersejarah iaitu Scott’s Principles of Faithful Restoration; John Ruskin (1819 hingga 1900) yang telah mempelopori kumpulan anti restorationists dan memperkenalkan teori The Seven Lamps of Architecture; dan William Morris (1834 hingga 1896) yang telah mengasaskan The Society for the Protection of Ancient Buildings atau SPAB pada 1877 serta menghasilkan SPAB Manifesto sebagai asas kepada polisi pemuliharaan di England (Orbasli, 2008). Sejak itu, ide yang telah diperkenalkan oleh William Morris ini telah menjadi dasar kepada perkembangan prinsip, garis panduan dan polisi berkaitan pemuliharaan bangunan dan monumen bersejarah di seluruh dunia hingga ke hari ini.

2.7.2 Sejarah Pemuliharaan di Peringkat Kebangsaan
Merujuk kepada A Ghafar Ahmad (2006a), amalan kerja pemuliharaan telah lama dipraktikkan sejak Akta Benda Purba, 1976 (Akta 168) mula diperkenalkan di Malaysia. Namun begitu skalanya adalah kecil dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan masih ditahap sederhana. Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai contohnya pada ketika itu lebih memfokuskan kepada usaha mewarta bangunan dan monumen bersejarah di samping menumpukan usaha terhadap aktiviti pemuziuman dan arkeologi berbanding usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

Manakala merujuk kepada Erne Hamsah (2006), kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan telah dikenal pasti bermula pada 1979 di Melaka. Seterusnya pada 1988 sekumpulan pakar melalui satu seminar telah mengenal pasti kepentingan kawasan Banda Hilir sebagai sumber budaya yang dirasakan dapat menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Sehubungan dengan itu pada tahun yang sama, Ketua Menteri Melaka telah mengambil inisiatif dengan mengarahkan Jabatan Kerja Raya untuk mengecat dan menukar warna Bangunan Stadhuys dan bangunan-bangunan lain yang terletak berhampiran dengannya yang dahulunya berwarna putih ke warna merah dalam usaha untuk memulihara bangunan berkenaan dan menarik perhatian umum di samping membezakan kawasan bersejarah berkenaan dengan kawasan lain. Sehingga kini warna merah ini telah menjadi sinonim dan sebahagian daripada warna bangunan bersejarah yang terdapat di Dataran Bandaraya Melaka ini sehingga ada pihak yang mengelar kawasan ini sebagai The Red Square.

Seterusnya pada 1989, Melaka telah diisytiharkan sebagai Melaka Bandaraya Bersejarah dan sejak itu usaha pemuliharaan telah diberi perhatian yang khusus oleh ramai pihak di Malaysia. Walaupun pendekatan pemuliharaan yang digunakan adalah bertentangan dengan prinsip asas pemuliharaan namun pada ketika itu penekanan dan pemahaman terhadap prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul masih kabur dan kurang difahami sehinggalah pada 1980an yang mana persepsi masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah telah mula diberi perhatian yang serius dan terus berkembang sehingga kini (Hamilton dan Zuraini Md Ali, 2002; Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 2006a; ICOMOS 2008b).

Pada 1981, pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti telah membentuk 1 kumpulan yang digelar sebagai Pewarta Bangunan-bangunan Lama di Wilayah Persekutuan. Aktiviti kumpulan ini pada mulanya ialah menyenarai dan mewarta bangunan-bangunan lama yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur (Jabatan Muzium Malaysia; 2006). Manakala merujuk kepada A Ghafar Ahmad (2006a), pencetus kepada perkembangan aktiviti pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia ialah melalui projek pemuliharaan Pasar Basah Kuala Lumpur pada 1986 yang telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan untuk membaik pulih dan mengubah suai fungsi asal sesebuah bangunan sehingga ia mampu meningkatkan industri pelancongan warisan negara. Rujuk Gambar 2.7 untuk maksud usaha pemuliharaan yang telah dilakukan di Malaysia.

Gambar 2.7: Lukisan bangunan di sekitar Banda Hilir di Melaka pada 1845 (1); Banda Hilir di Melaka pada 2009 setelah dipulihara (2); Pasar Basah di Kuala Lumpur pada awal 1937 (3); dan Pasar Seni di Kuala Lumpur pada 1986 setelah dipulihara (4).
Sumber: Gambar 1 dan 3 daripada Wendy Khadijah Moore (2004).

2.8 Pihak yang Berkaitan dengan Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, pengetahuan asas berkaitan pihak yang terlibat dengan pemuliharaan dan sejarah penubuhannya adalah amat penting untuk diketahui. Pengetahuan terhadap latar belakang pihak yang berkaitan dengan pemuliharaan ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran jelas tentang visi, misi, objektif, fungsi dan peranan yang telah dimainkan oleh mereka dalam usaha untuk memulihara bangunan besejarah baik di luar negara mahupun di dalam negara. Berikut diterangkan secara ringkas mengenai sejarah pihak yang berkaitan dengan pemuliharaan pada 2 peringkat iaitu:
i. Pihak yang berkaitan dengan pemuliharaan di peringkat antarabangsa.
ii. Pihak yang berkaitan dengan pemuliharaan di peringkat kebangsaan.

2.8.1 Pihak yang Berkaitan dengan Pemuliharaan di Peringkat Antarabangsa
Di peringkat antarabangsa, terdapat terlalu banyak pihak yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha pemuliharaan khususnya bangunan bersejarah baik di pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Senarai penuh pihak-pihak berkenaan ada dilampirkan pada Lampiran A. Ia adalah merupakan sebahagian daripada institusi, kumpulan, organisasi kebajikan, persatuan dan pertubuhan amal yang telah dikenal pasti bergerak secara aktif di peringkat antarabangsa atau kebangsaan di negara masing-masing khususnya dalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah. Disebabkan oleh jumlahnya yang terlalu banyak, maka diterangkan secara ringkas 3 pertubuhan antarabangsa yang dianggap begitu penting dalam usaha pemuliharaan warisan beserta dengan misi, objektif dan peranan mereka seperti berikut:
i. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
ii. International Council on Monument and Site (ICOMOS).
iii. International Centre for the Study of the Preservation and Restoration of Cultural Heritage (ICCROM).

2.8.1.1 United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)
UNESCO adalah merupakan badan dunia yang ditubuhkan pada 1945 bagi mempromosi inisiatif kerjasama antarabangsa bagi hal ehwal berkaitan pendidikan, sosial dan sains semula jadi serta budaya dan komunikasi (UNESCO, 2008). Antara misi utama UNESCO ialah untuk:
i. Menggalakkan semua negara untuk menandatangani Konvensyen Warisan Dunia bagi memastikan warisan semula jadi dan warisan budaya dilindungi.
ii. Menggalakkan ahli peserta dalam konvensyen untuk mencalonkan tapak yang terdapat dalam negara masing-masing untuk disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia.
iii. Menggalakkan ahli peserta untuk mewujudkan pelan pengurusan dan menubuhkan sistem laporan berkaitan dengan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia.
iv. Membantu ahli peserta dalam menyelamatkan Tapak Warisan Dunia dengan menyediakan bantuan teknikal dan latihan profesional.
v. Menyediakan bantuan kecemasan untuk Tapak Warisan Dunia yang berada dalam keadaan bahaya.
vi. Menyokong ahli peserta terhadap kesedaran awam bagi aktiviti pemuliharaan bangunan untuk Tapak Warisan.
vii. Menggalakkan penyertaan penduduk setempat atau tempatan dalam usaha pemuliharaan warisan budaya dan warisan semula jadi.
viii. Menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam pemuliharaan warisan budaya dan warisan semula jadi dunia.

2.8.1.2 International Council on Monument and Site (ICOMOS)
ICOMOS adalah merupakan badan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa yang memberi nasihat kepada UNESCO berkenaan pemuliharaan dan pengurusan warisan budaya. Ia ditubuhkan pada 1964 sewaktu The Second Congress of Architects and Specialists of Historic Buildings bersidang di Venice, Itali (ICOMOS, 2008a). Antara objektif utama ICOMOS ialah untuk:
i. Mengumpul semua pakar pemuliharaan dari seluruh dunia dan bertindak melalui forum untuk dialog profesional dan bertukar pendapat.
ii. Mengumpul, menilai dan menghebahkan maklumat berkaitan prinsip, teknik dan polisi pemuliharaan.
iii. Bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa di peringkat negara dan antarabangsa dalam mewujudkan pusat dokumentasi khusus berkaitan pemuliharaan.
iv. Berusaha untuk mengguna dan mengimplimentasi konvensyen antarabangsa dalam pemuliharaan dan peningkatan warisan seni bina.
v. Terlibat dengan organisasi berkaitan program latihan untuk pakar pemuliharaan dalam skala yang lebih meluas.
vi. Meletakkan ahli profesional terlatih berkelayakan tinggi dan pakar untuk berkhidmat pada komuniti diperingkat antarabangsa.

2.8.1.3 International Centre for the Study of the Preservation and Restoration of Cultural Heritage (ICCROM)
ICCROM adalah merupakan organisasi antara kerajaan yang bertanggungjawab dalam usaha pemuliharaan warisan budaya di seluruh dunia. Pembentukannya telah dicadangkan sewaktu persidangan umum UNESCO ke-9 di New Delhi, India pada 1956 dan telah ditubuhkan secara rasmi pada 1959 di Rome, Itali (ICCROM, 2008). Antara peranan utama ICCROM ialah untuk:
i. Menyokong mana-mana institusi peringkat kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan warisan dalam usaha ahlinya untuk mencapai objektif yang dikehendaki.
ii. Menggalakkan pendekatan integrasi bersiap sedia menghadapi risiko, pemuliharaan pencegahan dan strategi penyelenggaraan dalam polisi pemuliharaan di peringkat kebangsaan.
iii. Mempromosikan polisi yang mengintegrsikan semua jenis warisan sama ada ketara atau tidak ketara, bergerak atau statik, budaya atau semula jadi serta warisan hidup.
iv. Bekerjasama dengan rakan kongsi dan rangkaian untuk memaksimakan impak dan mengurangkan perbezaan antara agensi.
v. Memastikan program kerjasama yang telah dijalankan bersama rakan kongsi berterusan untuk jangka masa yang panjang.
vi. Menggabungkan antara teori dan amalan pemuliharaan warisan budaya pada kurikulum pendidikan di peringkat universiti.
vii. Memastikan segala maklumat mengenai pemuliharaan dan kepentingannya mendapat liputan yang meluas melalui pelbagai media, pendekatan dan dalam pelbagai bahasa.

2.8.2 Pihak yang Berkaitan dengan Pemuliharaan di Peringkat Kebangsaan
Di peringkat kebangsaan, antara pihak yang bertanggungjawab dalam usaha pemuliharaan warisan khususnya bangunan bersejarah sudah semestinya pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan tertentu serta badan berkanun. Selain daripada itu, terdapat beberapa badan bukan kerajaan atau lebih dikenali sebagai pertubuhan warisan yang turut menyumbang dalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Tidak dilupakan juga ialah peranan yang dimainkan oleh pihak swasta dalam membantu pihak kerajaan dan pertubuhan warisan dalam melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Berikut adalah antara sebahagian daripada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia beserta dengan peranan, fungsi dan objektif mereka:
i. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK).
ii. Jabatan Warisan Negara (JWN).
iii. Badan Warisan Malaysia (BWM).
iv. Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT).

2.8.2.1 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK)
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia adalah merupakan kementerian yang bertanggungjawab untuk memartabat, mempromosi di samping memulihara 3 elemen utama iaitu budaya, seni dan warisan negara (Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, 2009). Dengan berlandaskan kepada misi ‘Mengekalkan Warisan Negara’, antara peranan utama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ialah untuk:
i. Menggubal dasar dan perundangan mengenai warisan.
ii. Merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti berkaitan warisan.
iii. Memelihara dan memulihara warisan negara.
iv. Menyediakan kemudahan prasarana serta merancang dan melaksanakan pembangunan sumber manusia dalam bidang warisan.
v. Menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta mendokumentasi dan menerbitkan hasil kajian serta bahan rujukan berkaitan warisan.
vi. Mengadakan jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang warisan.

2.8.2.2 Jabatan Warisan Negara (JWN)
Jabatan Warisan Negara adalah merupakan salah satu jabatan di bawah naungan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan bertanggungjawab untuk memulih, memelihara dan mengekalkan warisan negara seperti yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) (Jabatan Warisan Negara, 2007c). Dengan visi untuk ‘Memartabatkan dan Memperkasakan Warisan Negara’, antara fungsi utama Jabatan Warisan Negara ialah untuk:
i. Menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
ii. Mendaftarkan warisan negara ke dalam Daftar Warisan Kebangsaan.
iii. Memelihara dan memulihara warisan negara.
iv. Menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan warisan.
v. Mendokumentasi dan menerbitkan hasil kajian serta bahan-bahan rujukan berkaitan warisan.
vi. Merancang, melaksana dan menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan warisan.
vii. Mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi dari dalam dan luar negara berkaitan warisan.

2.8.2.3 Badan Warisan Malaysia (BWM)
Badan Warisan Malaysia adalah merupakan pertubuhan warisan yang pertama ditubuhkan di Malaysia iaitu pada 1983 sebagai sebuah badan bukan kerajaan. Sejak awal penubuhannya sehingga kini, pertubuhan ini telah terlibat secara langsung dengan pelbagai projek pengekalan dan pemuliharaan di seluruh negara (Badan Warisan Malaysia, 2006). Antara objektif utama Badan Warisan Malaysia ialah untuk:
i. Memberi kesedaran dan sokongan kepada orang awam untuk memulihara bangunan warisan.
ii. Membantu pihak kerajaan dalam membuat polisi berkaitan hal yang membabitkan warisan negara.
iii. Mompromosi pemuliharaan melalui pendidikan pada peringkat awal di sekolah.
iv. Sebagai pusat sumber teknikal negara berkaitan kemahiran pemuliharaan.

2.8.2.4 Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT)
Persatuan Warisan Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Penang Heritage Trust adalah merupakan persatuan warisan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 1986 (Penang Heritage Trust, 2006a). Antara objektif utama Penang Heritage Trust ialah untuk:
i. Menyelamatkan bangunan warisan di Pulau Pinang daripada tekanan arus pembangunan moden.
ii. Mempromosi dan memberi nafas baru kepada bandaraya George Town sebagai bandaraya warisan.
iii. Mempromosi ciri dan peninggalan sejarah, cara hidup komuniti penduduk setempat dan industri perniagaan serta pertukangan yang telah wujud sejak zaman ke zaman di dalam kawasan bandar.
iv. Membantu dalam usaha untuk mengenal pasti tapak warisan yang terdapat di Pulau Pinang dan seterusnya mengumpul bahan sejarah yang berkaitan dengannya.
v. Memberi khidmat nasihat dalam pelbagai aspek berkaitan kerja pengekalan dan pemuliharaan warisan kepada pemilik rumah kediaman, pemaju dan lain-lain pihak yang berhasrat untuk mengekal atau mengubah suai kediaman mereka.
vi. Menganjurkan program berkaitan kesedaran pemuliharaan warisan kepada orang awam melalui taklimat, ceramah, bengkel dan lawatan.
vii. Menjalankan aktiviti berbentuk pendidikan berkaitan budaya dan warisan kepada orang awam.

Rajah 2.4 menerangkan secara ringkas pihak yang terlibat dalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

Rajah 2.4: Pihak yang terlibat dalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.
Sumber: Diperolehi dari laman sesawang Badan Warisan Malaysia (2006), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2006), Yayasan Warisan Johor (2006), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2006a), Perbadanan Muzium Melaka (2006a), Pusat Warisan Pulau Pinang (2006a & 2006b), Penang Heritage Trust (2006a), Kementerian Perpaduan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (2009) dan Jabatan Warisan Negara (2009a).

2.9 Sejarah Peraturan dan Perundangan Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, pengetahuan asas berkaitan peraturan pemuliharaan adalah amat penting untuk diketahui oleh semua pihak yang terlibat dengannya. Secara umumnya terdapat terlalu banyak peraturan yang telah disediakan, dikuatkuasakan dan diwartakan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan serta disediakan dalam pelbagai bentuk seperti deklarasi, garis panduan, manifesto, piagam, piawai, polisi, prinsip dan resolusi oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang pemuliharaan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
Pada dasarnya, kesemua peraturan ini disediakan dengan satu tujuan dan matlamat iaitu untuk memastikan agar bangunan bersejarah terus terpulihara dan dilindungi berlandaskan kepada keperluan dan kehendak peraturan itu sendiri (Pickard, 2002). Berikut diterangkan secara ringkas mengenai sejarah perturan yang berkaitan dengan pemuliharaan pada 2 peringkat iaitu:
i. Sejarah peraturan di peringkat antarabangsa.
ii. Sejarah perundangan di peringkat kebangsaan.

2.9.1 Sejarah Peraturan di Peringkat Antarabangsa
Secara umumnya tidak dapat dikenalpasti secara terperinci tentang tarikh sebenar sesebuah peraturan yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan bersejarah telah disediakan. Namun begitu, hasil kajian literatur yang telah dijalankan didapati bahawa antara peraturan terawal yang berkaitan pemuliharaan telah disediakan di England oleh William Morris yang dikenali sebagai The Ancient Monument Protection Act 1882. Ia menerangkan secara ringkas beberapa prinsip pemuliharaan yang perlu ditekankan ketika kerja pemuliharaan sebagaimana yang dikehendaki oleh The Society for the Protection of Ancient Building dan dalam masa yang sama akta ini memberi perlindungan undang-undang ke atas 29 monumen di England dan Wales serta 21 lagi di Scotland (Jokiletho, 2002).

Seterusnya pada awal 1900 lahirlah beberapa lagi buah peraturan yang berkaitan dengan pemuliharaan seperti Recommendations of the Madrid Conference pada 1904 melalui Sixth International Congress of Architects, General Conclusions of the Athens Conference pada 1931 melalui First International Congress of Architects and Technicians of Historic Monuments dan lain-lain lagi peraturan yang berkaitan pada tahun yang berikutnya (Bell, 1997; Orbasli, 2008).

Manakala merujuk kepada Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2006b), peraturan yang berkaitan dengan pemuliharaan di peringkat antarabangsa telah berkembang dengan tertubuhnya UNESCO pada 1945. Peraturan pertama UNESCO berkaitan pemuliharaan ialah The Hague Convention: Convention for the Protection of Cultural Property in the Event of Armed Conflict pada 1954. Setelah diadakan beberapa konvensyen lain pada tahun yang berikutnya maka pada 1959, UNESCO telah mewujudkan ICCROM di bandar Rom, Itali. Kemudian ketika berlangsungnya Second International Congress of Architects and Technicians of Historic Buildings, terhasillah Piagam Venice atau lebih dikenali sebagai The Venice Charter: International Charter for the Conservation and Restoration of Monuments and Sites pada 1964 yang mengandungi prinsip asas pemuliharaan dan telah dijadikan sebagai rujukan utama oleh kebanyakan negara yang terlibat dengan aktiviti pemuliharaan di seluruh dunia.

Ekoran daripada penghasilan piagam berkenaan maka lahir pula ICOMOS di bandar Warsaw, Poland pada 1965. Peranannya adalah untuk menasihatkan UNESCO tentang pemuliharaan monumen dan tapak bersejarah dari perspektif prinsip, teori, kaedah dan teknologi. Melalui ICOMOS pula terhasillah beberapa piagam, perakuan, resolusi, deklarasi, garis panduan dan prinsip yang berkaitan secara khusus dengan pemuliharaan monumen, tapak warisan, tapak sejarah, tapak arkeologi, kumpulan bangunan purba, bandar bersejarah, pelancongan budaya dan lain-lain lagi (Siang, 2004; ICOMOS, 2006).

Selain daripada itu, terdapat beberapa buah negara yang telah menyediakan piagam mereka sendiri seperti Kanada dengan Deschambault Charter for the Preservation of Quebec's Heritage pada 1982 dan Appleton Charter for the Protection and Enhancement of the Built Environment pada 1983; Brazil dengan Charter of Brasilia: First Brazilian Seminar about the Preservation and Revitalization of Historic Centers pada 1987; New Zealand dengan New Zealand Charter: Charter for the Conservation of Places of Cultural Heritage Value pada 1992; Amerika Syarikat dengan A Preservation Charter for the Historic Towns and Areas of the United States of America pada 1992; Australia dengan The Burra Charter: The Australia ICOMOS Charter for the Conservation of Places of Cultural Significance pada 1999; dan Indonesia dengan Indonesia Charter for Heritage Conservation pada 2003.

Antara piagam yang paling banyak dirujuk serta diguna pakai di seluruh negara ialah Piagam Burra (1999) kerana kandungannya yang jelas serta meliputi 4 bahagian utama iaitu definisi, prinsip, proses dan tatacara kerja pemuliharaan (Badan Warisan Malaysia, 1990b; Timothy dan Boyd, 2003; ICOMOS, 2006; The Getty, 2009). Merujuk kepada Yahaya Ahmad (2006a), peraturan yang berkaitan dengan pemuliharaan di peringkat antarabangsa ini telah berkembang dalam 3 peringkat seperti berikut iaitu pada era 1960an hingga 1970an, penekanan diberikan terhadap konsep dan prinsip utama dalam pemuliharaan bangunan dan tapak tanah bersejarah. Seterusnya era 1970an hingga era 1980an, beberapa negara mula mewujud dan memperhalusi konsep dan prinsip pemuliharaan bersesuaian dengan negara berkenaan. Akhir sekali era 1990an hingga kini, ianya lebih tertumpu kepada usaha untuk memperkemaskan kaedah untuk menangani isu-isu berkaitan pemuliharaan dari aspek pendidikan, latihan, dokumentasi dan lain-lain lagi. Senarai penuh peraturan antarabangsa yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan budaya yang telah diterangkan ada disenaraikan dalam Lampiran B.

2.9.2 Sejarah Perundangan di Peringkat Kebangsaan
Secara umumnya undang-undang di Malaysia adalah berteraskan sistem perundangan common law sebagai hasil langsung penjajahan Tanah Melayu, Sarawak, dan Borneo Utara oleh British sejak awal 1800an hingga 1960an. Perundangan yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan di Malaysia telah diperkenal dan diwartakan bertujuan untuk memelihara, melindungi, memperkembang dan menjaga warisan kebangsaan. Sebelum Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) diwartakan pada 31hb. Disember 2005 dan dikuat kuasakan pada 1hb. Mac 2006, hanya terdapat Akta Benda Purba, 1976 (Akta 168) yang diguna pakai bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan warisan negara berkaitan barang purba, monumen, bangunan warisan dan tinggalan kebudayaan di peringkat negara. Di peringkat negeri pula, ada beberapa akta lain yang diguna pakai di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti Perak Treasure Trade Ordinance, 1888 di Perak, Treasure Trade State of Johore No. 28, 1826 di Johor, Kedah Treasure Trade Ordinance, 1826 di Kedah dan Sarawak Antiquities Ordinance, 1954 di Sarawak (Jabatan Warisan Negara, 2009a).

Kini Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang bersifat saling melengkapi tetapi tidak menghapuskan perundangan sedia ada berkaitan warisan termasuk kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan negeri telah diguna pakai di Malaysia (Syed Zainol Abidin Idid, 1995; Ayob Tamrin, 2000; Ismail Ibrahim, 2003; Mohd Nadzri Ariffin et al., 2007; Rasyikah Khalid et al., 2007). Secara umumnya Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) adalah merupakan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan warisan kebangsaan, warisan semula jadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun (Khalid Syed Ali, 2007).

Antara lain peruntukan akta ini memperuntukkan 4 perkara utama iaitu perlantikan seorang Pesuruhjaya Warisan, penubuhan Majlis Warisan Kebangsaan, penubuhan Kumpulan Wang Warisan dan mewujudkan Daftar Warisan Kebangsaan (Yahaya Ahmad, 2006b). Antara perundangan di peringkat negara yang berkaitan dengan pemuliharaan merujuk kepada Mohd Khairudin Mohd Yusof (2003) dan Paiman Keromo (2006a) adalah seperti berikut:
i. Akta Harta Karun, 1957.
ii. Kanun Tanah Negara, 1960.
iii. Akta Pengambilan Tanah, 1960.
iv. Akta Perancangan Bandaraya Kuala Lumpur, 1973.
v. Akta Benda Purba, 1976 (Akta 168) (telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Warisan Kebangsaan, 2005 (Akta 645).
vi. Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta171).
vii. Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172) (telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan), 2001 (Akta A1129).
viii. Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982 (Akta 267).
ix. Enakmen Pemulihan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka, 1988.
x. Enakmen Pemulihan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Johor, 1988.
xi. Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan), 2001 (Akta A1129).
xii. Akta Warisan Kebangsaan, 2005 (Akta 645).

2.10 Garis Panduan Pemuliharaan
Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, pengetahuan asas berkaitan garis panduan pemuliharaan adalah amat penting untuk diketahui oleh semua pihak yang terlibat dengannya. Pengetahuan terhadap garis panduan pemuliharaan ini adalah amat penting kerana ia dapat memberitahu mengenai peraturan, kaedah dan pendekatan yang perlu dipatuhi mengenai bagaimana sesuatu kerja pemuliharaan itu perlu dilakukan mengikut spesifikasi dan piawaian yang telah ditetapkan. Antara perkara asas yang lazim disediakan dalam garis panduan pemuliharaan ialah seperti kaedah dokumentasi, pengukuran, latihan, pemeriksaan, pengekalan, reka bentuk, pengurusan dan penyelenggaraan bangunan bersejarah. Berikut diterangkan secara ringkas mengenai garis panduan pemuliharaan pada 2 peringkat iaitu:
i. Garis panduan pemuliharaan di peringkat antarabangsa.
ii. Garis panduan pemuliharaan di peringkat kebangsaan.

2.10.1 Garis Panduan Pemuliharaan di Peringkat Antarabangsa
Di peringkat antarabangsa, garis panduan berkaitan pemuliharaan adalah amat penting untuk diketahui dan diamalkan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dengan kerja pemuliharaan. Tanpa garis panduan yang betul, kesilapan baik kecil mahupun besar boleh terjadi dan sekiranya berlaku, sudah pasti ia tidak dapat diperbetulkan lagi. Sehubungan dengan itu, semua kerja pemuliharaan hendaklah mematuhi garis panduan pemuliharaan bagi memastikan ianya menepati kehendak perundangan sedia ada (Hamilton dan Zuraini Md Ali, 2002; Penna dan Allaria, 2004). Antara sebahagian daripada garis panduan di peringkat antarabangsa yang telah dikenal pasti berkaitan dengan pemuliharaan ialah seperti berikut:
i. Secretary of the Interior's Standards and Guidelines for Architectural and Engineering Documentation: HABS/HAER Standards di Amerika Syarikat (ANON, 1990).
ii. Conservation Guidelines for Geylang Conservation Area di Singapura (Urban Redevelopment Authority, 1991).
iii. Guidelines for Education and Training in the Conservation of Monuments, Ensembles and Sites di peringkat antarabangsa (ICOMOS, 1993).
iv. The Guidelines for Preserving, Rehabilitating, Restoring & Reconstructing Historic Buildings di Amerika Syarikat (Weeks dan Grimmer (ed)., 1995).
v. Memorandum of Guidance on Listed Buildings and Conservation Areas di Scotland (Historic Scotland, 1998).
vi. HABS Historical Reports di Amerika Syarikat (Burns (ed)., 2000).
vii. HABS/HAER Photographs: Specifications and Guidelines di Amerika Syarikat (Boucher (ed)., 2001).
viii. Australia ICOMOS Conservation Guidelines for Building Surveyors di Australia (Philips & Truman (ed)., 2002).
ix. Standard and Guidelines for the Conservation of Historic Places in Canada di Kanada (Parks Canada, 2003).
x. HALS Guidelines for Drawings di Amerika Syarikat (ANON, 2005b).
xi. HALS Guidelines for Historical Reports di Amerika Syarikat (Robinson et al. (ed)., 2005).
xii. HALS Guidelines for Photography di Amerika Syarikat (Lamb (ed)., 2005).
xiii. HAER Guidelines for Historical Reports, Large Format Photography and Measured Drawings di Amerika Syarikat (ANON, 2005a).
xiv. Recording Structures and Sites with HABS Measured Drawings di Amerika Syarikat (Balachowski (ed)., 2005).

2.10.2 Garis Panduan Pemuliharaan di Peringkat Kebangsaan
Di peringkat kebangsaan, terdapat beberapa garis panduan berkaitan pemuliharaan telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab khususnya pihak berkuasa tempatan (Raiha Mohd Saud, 2003; Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 2006a; Yahya Ahmad, 2006b; Siti Sarah Sulaiman, 2007). Antara garis panduan yang berkaitan dengan pemuliharaan di peringkat kebangsaan adalah seperti berikut:
i. Garis Panduan Pengekalan Bangunan di dalam Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 1996a).
ii. Garis Panduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia (Jabatan Muzium dan Antikuiti, 2000).
iii. Asas Rujukan Kajian Pengekalan dan Pemuliharaan Warisan-warisan Bersejarah Bandaraya Ipoh (Majlis Bandaraya Ipoh, 2002).
iv. Guidelines for Conservation Areas and Heritage Buildings (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2005).
v. Garis Panduan Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2006b).
vi. Konservasi Bangunan MBMB: Kawalan Pembangunan Melalui Proses Kebenaran Merancang (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007a).
vii. Konservasi Bangunan MBMB: Garis Panduan Pembangunan dan Perobohan Bangunan Pemeliharaan (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007b).
viii. Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 1 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007c).
ix. Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 2 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007d).
x. Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 3 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007e).
xi. Conservation Management Plan for the Historic City of Melaka (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2008).

2.11 Kesimpulan
Usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia kini telah berkembang dan mula diberi perhatian yang sewajarnya oleh pelbagai pihak. Usaha pemuliharaan bangunan bersejarah juga perlulah mengambil kira pelbagai faktor yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah itu sendiri kerana selain daripada memiliki kepentingan sejarah, ia turut memiliki pelbagai kepentingan lain yang amat berharga terhadap sesebuah negara. Usaha pemuliharaan bangunan bersejarah adalah merupakan satu bidang kerja yang melibatkan pelbagai disiplin dan ianya bermula dari peringkat penyelidikan sejarah hinggalah kepada peringkat pembaikan kerosakan dan diakhiri dengan peringkat penyelenggaraan dan pengurusan.

Selain daripada itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah juga perlulah dilakukan secara berterusan bagi memastikan ianya terus terpulihara dalam keadaan baik dan bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan. Dalam melaksanakan sebarang kerja pemuliharaan, penekanan terhadap prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul perlulah diberi penekanan dan dilaksanakan dengan sewajarnya oleh semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Sekiranya prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya sewaktu kerja pemuliharaan bangunan bersejarah sedang dijalankan, maka dikhuatiri kerja pemuliharaan tersebut adalah sia-sia dan merugikan lebih-lebih lagi sekiranya kesilapan telah dilakukan ke atas sebahagian atau keseluruhan elemen dan fabrik bangunan bersejarah berkenaaan.

Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar setiap kerja pemuliharaan bangunan bersejarah perlulah dilaksanakan oleh pihak yang mahir dan pakar dalam bidang pemuliharaan seperti oleh pemulihara bangunan bagi memastikan bangunan bersejarah yang dipulihara betul-betul merujuk dan berpandukan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Pemantauan oleh pihak berkuasa juga perlulah dilakukan dengan lebih kerap terutama sekali ke atas projek milik swasta bagi memastikan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan mematuhi segala garis panduan pemuliharaan sedia ada.

No comments:

Powered By Blogger