Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 1 Pendahuluan

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB SATU
PENDAHULUAN

1.0 Pengenalan
Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya. Merujuk kepada hasil kajian inventori bangunan-bangunan warisan Malaysia yang telah dilakukan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1992, dianggarkan terdapat lebih kurang 35,000 buah bangunan sebelum perang yang berada di 265 buah bandar yang dikaji di seluruh negara wajar dipulihara (Syed Zainol Abidin Idid, 1995). Namun begitu, sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini menurut A Ghafar Ahmad (2009) tidak dipulihara dengan sebaik mungkin dan sebahagian daripadanya berada dalam keadaan usang disebabkan oleh faktor kerosakan bangunan. Lebih malang lagi ada di antara bangunan bersejarah ini sedang diancam kemusnahan kerana diabaikan oleh pemilik asal dan dirobohkan atas desakan pembangunan serta kurangnya keperihatinan masyarakat dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah berkenaan (Hamilton dan Zuraini Md Ali, 2002; Hobson, 2003; Imaduddin Abdul Halim dan Brit Kayan Kayan, 2007). Nasib bangunan bersejarah seperti binaan rumah Melayu tradisional, deretan rumah kedai, rumah banglo Kolonial dan lain-lain lagi juga sedang mengalami masalah kepupusan kerana tidak dipulihara dengan baik (Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin et.al., 2004).

Namun begitu, dengan pengiktirafan dan penyenaraian Bandaraya Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO yang juga dikenali sebagai The Historic Cities of the Straits of Malacca di bawah kategori Tapak Warisan Budaya pada 7hb. Julai 2008 (Jabatan Warisan Negara, 2008), telah sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat umum di Malaysia tentang kepentingan untuk memulihara dan menghargai warisan yang terdapat di negara ini terutama sekali bangunan bersejarah. Sehubungan itu sudah tiba masanya usaha pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah yang banyak terdapat di negara ini dilakukan dalam skala yang besar dan menyeluruh serta terancang demi untuk memanjangkan usia dan seterusnya menyelamatkannya daripada terus diancam kemusnahan (Cohen, 2001; Greffe, 2004; Leask dan Fyall, 2006).

Secara umumnya kesedaran terhadap kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat dan bukannya dibebankan ke atas pihak kerajaan semata-mata (Macdonald, 2001). Menurut Miele (2005), ia perlu dimulakan dari tahap pendidikan rendah lagi di peringkat sekolah seperti mana yang telah dan sedang dilakukan kini hinggalah ke peringkat universiti dan peringkat kebangsaaan. Pelbagai program berbentuk pameran, penerangan, kempen dan galakan kepada orang ramai hendaklah dilakukan secara berterusan dari masa ke semasa oleh pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk menerangkan tentang betapa pentingnya usaha pemuliharaan warisan khususnya bangunan bersejarah di Malaysia dalam menempuh era globalisasi (Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin et.al., 2005b). Selain daripada itu, penglibatan generasi muda juga dalam usaha pemuliharaan adalah penting kerana merekalah yang akan mewarisi segala peninggalan khazanah warisan negara ini pada masa akan datang.

Bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah negara menurut A Ghafar Ahmad (1994), Fielden (1995) dan Yahaya Ahmad (2006b) wajar dipulihara kerana ia memiliki nilai emosi, budaya dan kegunaan yang tidak ternilai harganya. Tanpa usaha pemuliharaan yang berterusan, dikhuatiri bangunan bersejarah ini akan terus lenyap ditelan zaman (Fladmark, 2002; Hobson, 2004; Ashurst, 2006). Jesteru itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia perlu dilakukan dalam apa cara sekalipun dari masa ke semasa agar generasi yang akan datang dapat berpeluang untuk melihat dan menikmatinya dalam bentuk sedia ada sebagaimana ia dibina ratusan tahun dahulu atau sekurang-kurangnya dalam bentuk yang telah disuai guna semula seperti muzium, galeri, hotel dan lain-lain lagi, dan bukannya dalam lipatan sejarah, buku rujukan yang terdapat di perpustakaan atau gambaran dalam poskad kenangan (Harvey, 2001; Bridgwood et al., 2008; Highfield dan Gorse, 2009).

Antara contoh bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia yang wajar dipulihara dengan baik bagi mengekalkan ciri-ciri reka bentuk seni binanya iaitu Bangunan Stadthuys di Melaka, Balai Besar di Kedah, Dewan Bandaraya di Pulau Pinang dan Restoran Warisan di Kuala Lumpur seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.1.

Gambar 1.1: Bangunan Stadthuys di Melaka (1641) (1); Balai Besar di Kedah (1735) (2); Dewan Bandaraya di Pulau Pinang (1883) (3); dan Restoran Warisan di Kuala Lumpur (1888) (4).

Namun begitu, didapati segala usaha yang telah dan sedang dilakukan sehingga kini masih belum terlaksana sepenuhnya untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah. Ini adalah kerana masih kelihatan banyak lagi bangunan bersejarah di Malaysia yang berada dalam keadaan usang dengan terdapat pelbagai jenis kerosakan bangunan berlaku ke atasnya. Selain daripada itu, terdapat juga di antara bangunan bersejarah ini yang pada dasarnya tidak dipulihara dengan baik dan diabaikan oleh pemiliknya kerana tiada usaha yang berterusan dilakukan untuk memuliharanya (Paiman Keromo, 2002; Siti Norlizaiha Harun et al., 2007).

Isu pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia bukan sahaja berlaku ke atas bangunan milik swasta atau orang perseorangan malah ia turut melibatkan bangunan milik kerajaan. Mungkin disebabkan oleh masalah kelemahan dari segi perancangan, kekurangan sumber kewangan, kekurangan kepakaran dan kefahaman terhadap pendekatan kerja pemuliharaan yang betul, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah ini masih belum boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan usaha pemuliharaan di kebanyakan negara di Eropah (Watt dan Colston; 2003, Dann dan Cantell, 2005). Keadaan menjadi bertambah buruk apabila ada di antara pemilik dan pengguna bangunan bersejarah itu sendiri yang telah mengabaikan aspek pemuliharaan dan penyelenggaraan kerana tahap kesedaran mereka yang masih terlalu rendah terhadap betapa pentingnya nilai bangunan bersejarah pada sesebuah negara (Mohamad Shawali Badi, 2000; A Ghafar Ahmad, 2007a).

Di kebanyakan negara Eropah sebagai contohnya, bangunan bersejarah telah dipulihara dengan sebaik mungkin kerana keperihatinan dan kepekaan masyarakat di sana terhadap kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah. Selain daripada menjadi ikon dan mercu tanda pada sesebuah bandar atau negara, bangunan bersejarah ini telah berupaya untuk menarik kehadiran jutaan pelancong untuk melawatnya dan memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada negara berkenaan dari segi tukaran mata wang asing dan terhadap sektor pelancongan. Boleh dikatakan bahawa sebahagian besar daripada bangunan bersejarah yang terdapat di kebanyakan negara berkenaan telah dipulihara dengan baik dan bebas dari sebarang masalah kerosakan bangunan yang serius. Walaupun kerosakan bengunan tetap berlaku tetapi skalanya adalah kecil dan ia seringkali dibaik pulih dengan baik dan sempurna. Selain daripada itu, keaslian yang terdapat pada reka bentuk seni bina dan bahan binaannya juga telah berjaya dipulihara seperti mana asal sejak ia dibina ratusan tahun dahulu (Jokilehto, 1999; Croci, 2000; Shacklock, 2006; Orbasli; 2008).

Sebaliknya di Malaysia, masih kelihatan lagi bangunan bersejarah yang berada dalam keadaan usang, tidak dipulihara dengan baik dan hilang ciri-ciri keaslian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaannya kerana tidak dipulihara dan diselenggara dengan baik dan telah diubah suai pada skala yang menyeluruh (Mohd Syahril Said, 2007; Mohd Azami Idris, 2009). Keadaan seumpama ini secara tidak langsung akan mempercepatkan lagi proses kerosakan bangunan dari berlaku ke atas sesebuah bangunan bersejarah di samping memusnahkan identitinya yang asli. Antara contoh bangunan bersejarah yang sedang mengalami banyak masalah kerosakan bangunan iaitu Pejabat Pos Lama di Kuala Lumpur, Istana Bukit Zaharah di Johor, Istana Bendahara dan Rumah Dato’ Seri Adika Raja di Perak seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.2.

Gambar 1.2: Pejabat Pos Lama di Kuala Lumpur (1); Istana Bukit Zaharah di Johor (2); Istana Bendahara di Perak (3); dan Rumah Dato’ Seri Adika Raja di Perak (4).

Secara umumnya terdapat banyak lagi isu dan masalah yang sedang dihadapi oleh bangunan bersejarah di Malaysia sebagaimana yang telah diutarakan sebelum ini oleh pelbagai pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (1996b), Japan International Cooperation Agency (JICA) (2002), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (2005) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) (2008) seperti berikut:
i. Bangunan bersejarah dirobohkan untuk tujuan pembangunan.
ii. Bangunan bersejarah musnah disebabkan oleh kebakaran.
iii. Bangunan bersejarah tidak dipulihara dan diselenggara dengan baik.
iv. Bangunan bersejarah banyak mengalami masalah kerosakan bangunan.
v. Bangunan bersejarah dipulihara dengan pendekatan kerja pemuliharaan yang salah dan lain-lain lagi.

Antara contoh beberapa isu dan masalah yang berkaitan dengan bangunan bersejarah di Malaysia iaitu isu perobohan bangunan, kebakaran, kerosakan dan penyelenggaraan seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.3.

Gambar 1.3: Isu perobohan Bok House di Kuala Lumpur (1); isu kebakaran Ibu Pejabat KTMB di Kuala Lumpur (2); isu kerosakan Loke Mansion di Pulau Pinang (3); dan isu penyelenggaran menara Masjid Tengkera di Melaka (4).

Namun di sebalik pelbagai isu dan masalah yang telah diutarakan sebelum ini, terdapat 2 isu yang paling penting sedang dihadapi oleh kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan ditangani dengan kadar segera oleh pihak yang bertanggungjawab. 2 isu yang dimaksudkan berkenaan adalah isu kerosakan bangunan dan isu pendekatan kerja pemuliharaan yang salah dari segi prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan. Secara umumnya, kebanyakan daripada bangunan bersejarah di Malaysia memerlukan usaha pemuliharaan yang berterusan dilakukan ke atasnya. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini tidak dapat lari dari mengalami sebarang masalah kerosakan bangunan lebih-lebih lagi ke atas bangunan bersejarah yang telah menjangkau usia ratusan tahun dan tidak dipulihara serta diselenggara dengan baik.

Menurut Collings (2004), kerosakan bangunan yang berlaku ke atas sebahagian atau keseluruhan elemen utama pada sesebuah bangunan bersejarah secara tidak langsung berupaya melemahkan struktur dan fabriknya. Selain itu, ia turut merosakkan pemandangan dan seterusnya memberikan gambaran yang negatif terhadap usaha pemuliharaan di mata orang awam dan para pelancong dari dalam dan luar negara lebih-lebih lagi sekiranya ia berlaku di kawasan tumpuan pelancongan seperti Bandaraya Melaka dan George Town yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Keadaan kerosakan bangunan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif berkaitan tanggapan umum terhadap usaha pemuliharaan yang telah dijalankan sebelum ini oleh pihak yang bertanggungjawab di Malaysia seperti Jabatan Warisan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain lagi pihak yang berkenaan (Khor, 2008). Antara contoh kerosakan bangunan yang telah dikenal pasti berlaku berlaku pada bangunan bersejarah di Bandaraya Melaka di Melaka dan George Town di Pulau Pinang iaitu kemasan cat menggelupas, tumbuhan liar, kelembapan dinding, lepa dinding tertanggal dan lain-lain lagi seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.4.

Gambar 1.4: Kemasan cat menggelupas (1); tumbuhan liar (2); kelembapan dinding (3); dan lepa dinding tertanggal (4).

Selain daripada isu dan masalah berkaitan kerosakan bangunan, isu pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang tidak mengikut prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Terdapat banyak pihak yang telah melaksanakan kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia baik dipihak kerajaan mahupun swasta dengan baik sekali malah ada di antaranya telah mendapat peingiktirafan serta anugerah daripada badan dunia seperti UNESCO. Sebagai contonya pada 2000, banglo Cheong Fatt Tze di Pulau Pinang telah menerima Anugerah Warisan Asia-Pasifik UNESCO yang julung-julung kali dianugerahkan kerana terpilih sebagai Projek Paling Hebat di Lingkaran Asia-Pasifik berikutan kerja-kerja pemuliharaan bangunan berkenaan. Pada 2008 anugerah ini turut diberikan ke atas Suffolk House di Pulau Pinang atas usaha yang sama bagi bagi kategori Culture Heritage Conservation.

Kebanyakan pendekatan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan ke atas bangunan bersejarah ini telah dilakukan dengan baik sekali. Namun begitu, jika diamati dan diteliti dengan lebih mendalam dari sudut pendekatan kerja pemuliharaan ke atas kebanyakan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia, didapati bahawa ada di antaranya telah dilaksanakan tanpa merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul dari segi konsep, reka bentuk, bahan binaan dan lain-lain lagi. Keadaan seumpama ini berlaku mungkin disebabkan oleh kurangnya tahap pengetahuan pihak yang terlibat secara langsung dengan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah ini lebih-lebih lagi di pihak perunding projek dan kontraktor bangunan terhadap prinsip, falsafah dan etika pemuliharan yang betul.

Hasil dari tinjauan dan pemerhatian yang telah dilakukan ke atas beberapa buah projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia sebagai contohnya, didapati bahawa terdapat beberapa pendekatan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan tidak merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul seperti penggantian daun tingkap dan genting bumbung yang tidak mengikut reka bentuk asal serta tidak menggunakan bahan binaan asal. Lebih malang lagi penggunaan simen sebagai bahan lepa dan kemasan juga digunakan secara berleluasa. Ia jelas menunjukkan bahawa pendekatan kerja pemuliharaan yang diamalkan pada projek pemuliharaan berkenaan adalah berlawanan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Sepatutnya pendekatan kerja pemuliharaan yang lebih sesuai perlu diamalkan oleh pihak kontraktor bangunan dengan mendapatkan khidmat nasihat pakar oleh pemulihara bangunan terlebih dahulu dalam setiap projek pemuliharan yang dilaksanakan. Sebagai contohnya, jika perlu digantikan sesuatu bahan binaan yang telah mengalami kerosakan dengan yang baru, pemilihannya hendaklah dari jenis dan tekstur yang sama atau yang hampir sama dengan yang asal. Antara contoh pendekatan kerja pemuliharaan yang salah iaitu kerja meroboh dan meruntuhkan dinding serta penggunaan bahan binaan yang salah seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.5.

Gambar 1.5: Kerja meroboh elemen dinding asal yang sepatutnya dikekalkan (1); dan kerja melepa tiang bangunan menggunakan lepa simen dan bukannya lepa kapur (2).

Secara dasarnya pendekatan kerja pemuliharaan yang salah ini perlu diperbetulkan dari masa ke semasa oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Wrisan Negara melalui seminar, bengkel dan kursus bagi membudayakan etika kerja pemuliharaan yang betul. Salah satu cara untuk memperbetulkan pendekatan kerja pemuliharaan yang salah ini ialah dengan menyedia dan memperkenalkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaaan yang betul. Ini adalah kerana melalui penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang betul, kebarangkalian pihak kontraktor bangunan untuk melakukan sebarang kesilapan sewaktu kerja pemuliharaan sedang dijalankan di tapak projek pemuliharan akan berkurangan.

1.1 Penyataan Isu dan Masalah
Merujuk kepada penyataan isu yang telah diterangkan sebelum ini, terbukti bahawa terdapat pelbagai isu semasa yang perlu diberi perhatian khusus dan ditangani dengan segera oleh semua pihak yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dengan usaha pemuliharaan bangunan bersejarah baik di pihak kerajaan mahupun swasta. Namun begitu dalam penyelidikan ini, hanya 2 isu dan masalah utama akan ditekankan seperti mana yang sedang dihadapi oleh kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia seperti berikut:
i. Kebanyakan daripada elemen bangunan bersejarah sedang mengalami masalah kerosakan bangunan yang serius dan tidak dipulihara dengan baik oleh pemilik dan pengguna bangunan berkenaan.
ii. Pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah tidak dilaksanakan berpandukan kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul sehingga boleh menjejaskan keaslian reka bentuk seni bina dan bahan binaan asal.

1.2 Sorotan Penyelidikan Terdahulu
Hasil daripada kajian literatur yang telah dijalankan, didapati terdapat banyak penyelidikan yang berkaitan dengan bidang pemuliharaan warisan telahpun dilakukan oleh para penyelidik di Malaysia khususnya di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di pelbagai universiti baik di dalam mahupun di luar negara. Antara penyelidikan terawal berkaitan bidang pemuliharaan warisan yang telah dikenal pasti telah dilakukan oleh Koh (1978) berjudul Conservation: Case Study of Malacca Town, diikuti oleh Kamaruddin Md Ali (1983) bertajuk A Vanishing Heritage, Dasimah Omar (1990) bertajuk Proposal for Urban Conservation Guidelines for the Historic City of Malacca dan A Ghafar Ahmad (1993) berkaitan dengan Conservation of British Colonial Buildings Built Between 1800 and 1930 in Malaysia. Para penyelidik ini telah memberikan satu impak yang sangat besar dalam bidang penyelidikan yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan umumnya dan bangunan bersejarah khususnya di Malaysia kerana pada ketika itu, tahap pemahaman dan kesedaran masyarakat umum berkaitan bidang pemuliharaan adalah amat cetek sekali.

Berikutan daripada penyelidikan yang telah dilakukan oleh segelintir kecil cendekiawan ini, ianya telah menjadi ikutan kepada lebih banyak penyelidik lain yang berminat untuk menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam terhadap bidang pemuliharaan dan skopnya pula secara tidak langsung telah berkembang menjadi lebih besar dan meluas. Daripada pemilihan sebuah bandar seperti Melaka sebagai subjek kajian kes, skop penyelidikan dalam bidang pemuliharaan juga telah mula berkembang kepada pemuliharaan warisan, pelancongan warisan, pemuliharaan bangunan bersejarah dan lain-lain lagi topik yang masih belum diterokai sepenuhnya. Antara penyelidikan yang dimaksudkan ialah seperti penyelidikan yang memberi penumpuan terhadap skop bandar warisan sebagai kajian kes mereka seperti yang telah dilakukan oleh Zaidar Din (1990), Yeap (1998), Fong (1999), Teong (2000), Lee (2001) dan Robiah Rashid (2002) yang telah memilih Bandaraya George Town di Pulau Pinang sebagai bahan kajian kes mereka.

Secara umumnya, penyelidikan yang telah dilakukan oleh mereka telah memberi fokus terhadap aspek seperti usaha pemuliharaan, strategi perancangan pemuliharaan, kawasan pemuliharaan, zon pemuliharaan warisan, pelancongan warisan dan pembentukan bandar warisan sebagai warisan negara. Begitu juga dengan beberapa penyelidik lain seperti Siti Norlizaiha Harun (1994) yang telah memilih Bandar Kota Baharu di Kelantan, Marsita Ahmad (2001) dengan Bandar Alor Setar di Kedah, Hanita Alang Ismail (2001) dengan Bandar Taiping di Perak, Norma Abdul Latip (2003) dengan Bandar Diraja Kuala Kangsar di Perak dan Faridatul Akma Abdul Latif (2004) dengan Kampung Pulau Duyong di Terengganu sebagai kajian kes mereka dengan memberi fokus terhadap aspek berkaitan pemuliharaan, pengurusan dan pembangunan pelancongan di bandar warisan.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa penyelidik lain yang telah menjalankan penyelidikan mereka berkaitan bidang pemuliharaan tetapi dengan memberi penekanan terhadap skop yang berbeza daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini seperti penggunaan Global Positioning System ke atas bangunan warisan oleh Zahrullaili Yahya (2000), pengurusan projek pemuliharaan oleh Kartina Alaudin (2001), dilema pemilik bangunan warisan oleh Cheong (2001), keselamatan kebakaran pada bangunan warisan oleh Hazatul Iffah Hamid (2003), lanskap bangunan warisan oleh Nadiyanty Mat Nayan (2003), keberkesanan Jejak Warisan Melaka oleh Raja Norashekin Raja Othman (2003), aplikasi Piagam Burra di Malaysia oleh Salleh Hassan (2003), amalan kerja pemuliharaan oleh Siti Norlizaiha Harun (2004), amalan pengurusan pemuliharaan oleh Mukram Idris (2005) dan lain-lain lagi.

Namun begitu, hasil daripada kajian literatur yang telah dijalankan ke atas penyelidikan terdahulu ini didapati bahawa tidak banyak yang menyentuh skop yang berkaitan dengan kerosakan bangunan bersejarah di Malaysia sebelum ini. Antara penyelidikan yang telah dijalankan hanyalah oleh A Ghafar Ahmad (1993) yang telah memberi penekanan terhadap aspek kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah di Malaysia. Manakala Brit Kayan (2003) pula menyentuh aspek yang berkaitan dengan kerosakan bangunan tetapi skop beliau terbatas pada bangunan lama kerajaan dan sekolah di Kuala Lumpur sahaja dan dari aspek pengurusan penyelenggaraan. Manakala untuk skop yang berkaitan dengan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia pula, hasil kajian literatur yang telah dijalankan mendapati bahawa tidak banyak penyelidikan secara terperinci lebih-lebih lagi di peringkat Doktor Falsafah telah dilakukan dengan menyentuh skop berkenaan.

Antara penyelidikan yang telah dilakukan seperti oleh Norhelmi Mohd Nor (2004) yang memberi penekanan terhadap kerja pemuliharaan bangunan dan monumen bersejarah di Bandar Hilir, Melaka secara umum sahaja dan kebanyakan daripada penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang terdapat dalam disertasi beliau adalah merupakan tatacara kerja yang terdapat dalam Garis Panduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia yang telah disediakan oleh Paiman Keromo (2000). Manakala satu lagi penyelidikan yang telah dilakukan oleh Mohd Yusof Ismail (2003) berjudul Rehabilitation of Heritage Building in Malaysia hanya memberi penekanan terhadap prinsip, proses dan garis panduan pemuliharaan secara umum tetapi tidak terhadap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara khusus. Sehubungan dengan itu, penyelidikan ke atas skop kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan perlu dilakukan sebagai salah satu usaha untuk memantap dan mengembangkan ilmu yang berkaitan dengan bidang pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

1.3 Pembentukan Skop Penyelidikan
Pembentukan skop penyelidikan adalah penting dalam usaha untuk membantu seseorang penyelidik membezakan dan seterusnya memberi tumpuan yang khusus terhadap subjek yang diselidik agar ia tidak bertindih dengan yang lain (Naoum, 2001). Jika dirujuk kepada penyataan isu dan masalah yang telah diterangkan sebelum ini maka secara tidak langsung ianya akan dijadikan sebagai asas kepada pembentukan skop penyelidikan ini. Disokong dengan sorotan penyelidikan terdahulu yang dengan jelas membuktikan bahawa skop yang diselidik belum pernah dijalankan dengan mendalam sebelum ini. Secara khususnya terdapat 3 skop penyelidikan telah dikenal pasti yang merangkumi liputan seperti berikut:

i. Pemuliharaan dan bangunan bersejarah.
ii. Pemeriksaan dan kerosakan bangunan.
iii. Kerja pemuliharaan bangunan bersejarah dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

1.3.1 Skop Penyelidikan yang Merangkumi Pemuliharaan dan Bangunan Bersejarah
Dalam skop penyelidikan yang pertama ini, liputan penyelidikan adalah dari segi kajian literatur terhadap segala aspek yang perlu diketahui dan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung dengan bidang pemuliharaan dan bangunan bersejarah. Kajian literatur ini merangkumi 2 bahagian utama yang mana bahagian pertama menyentuh aspek yang berkaitan dengan pemuliharaan secara umum. Ia diterangkan dalam Bab Dua (kajian literatur) berkenaan segala aspek yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan bersejarah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Seterusnya bahagian yang kedua pula menyentuh segala aspek yang berkaitan dengan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia secara khusus dan diterangkan dalam Bab Tiga (bangunan bersejarah di Malaysia).

1.3.2 Skop Penyelidikan yang Merangkumi Pemeriksaan dan Kerosakan Bangunan
Dalam skop penyelidikan yang kedua ini, liputan penyelidikan adalah dari segi kajian literatur berkenaan segala aspek yang berkaitan dengan pemeriksaan dan kerosakan bangunan bersejarah seperti yang diterangkan dalam Bab Empat (pemeriksaan dan kerosakan bangunan bersejarah). Kajian literatur ini merangkumi 2 bahagian utama yang mana bahagian pertama menyentuh aspek yang berkaitan dengan pemeriksaan bangunan secara umum. Seterusnya bahagian yang kedua menyentuh segala aspek yang berkaitan dengan kaedah pemeriksaan bangunan bersejarah secara khusus. Selain daripada kajian literatur, liputan penyelidikan ini juga turut melibatkan kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah dan kaji selidik ke atas kerosakan bangunan bersejarah di Malaysia dibuat secara spesifik sebagaimana yang diterangkan dalam Bab Tujuh (metodologi penyelidikan).

Hasil penemuan penyelidikan melalui kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah seterusnya diguna pakai dalam Bab Satu (pendahuluan) untuk membantu dalam menyokong pembentukan matlamat dan objektif penyelidikan manakala hasil penemuan penyelidikan melalui kaji selidik ke atas kerosakan bangunan pula diguna pakai dalam Bab Sembilan (analisa data dan rumusan) untuk menjawab objektif dan hipotesis penyelidikan yang disediakan dalam Bab Sebelas (penemuan dan kesimpulan).

1.3.3 Skop Penyelidikan yang Merangkumi Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Dalam skop penyelidikan yang ketiga ini, liputan penyelidikan adalah dari segi kajian literatur dan kajian kes terhadap segala aspek yang berkaitan dengan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia yang diterangkan dalam Bab Lima (kerja pemuliharaan bangunan bersejarah). Kajian literatur ini menyentuh aspek yang berkaitan dengan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia secara umum seperti pendekatan kerja pemuliharaan dan rangka kerja pemuliharaan.

Seterusnya Bab Enam (penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah) menyentuh segala aspek yang berkaitan dengan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia secara khusus. Antaranya ialah seperti kepentingan, penyediaan, rangka dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik. Selain daripada kajian literatur, liputan penyelidikan ini juga turut melibatkan kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dibuat secara spesifik yang diterangkan dalam Bab Lapan (kajian kes). Hasil penemuan penyelidikan melalui kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah ini telah diguna pakai untuk menyediakan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai untuk merawat kerosakan bangunan yang terdapat pada bangunan bersejarah di Malaysia sebagaimana yang disediakan dalam Bab Sepuluh (cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan).

1.4 Matlamat dan Objektif Penyelidikan
Matlamat dan objektif utama penyelidikan ini dilakukan ialah untuk mengenal pasti sejauh mana tahap kerosakan bangunan berlaku pada kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia dari aspek lokasi dan jenis kerosakan bangunan berkenaan berlaku. Selain daripada itu, matlamat dan objektif penyelidikan ini juga akan meninjau penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang dilaksanakan dalam projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dari aspek tahap penyediaannya mengikut elemen kerja pemuliharaan secara spesifik dan ke atas projek pemuliharaan secara menyeluruh. Ianya adalah bertujuan untuk mencadangkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai bagi merawat kerosakan umum bangunan bersejarah. Bagi mencapai matlamat utama dalam penyelidikan ini, sebanyak 3 objektif penyelidikan telah dibentuk seperti berikut:
i. Menyenaraikan jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia.
ii. Menyemak tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.
iii. Mencadangkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

1.5 Hipotesis Penyelidikan
Hipotesis bagi penyelidikan ini ialah kerosakan umum yang berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia hanya dapat dipulihara dengan berkesan melalui pemahaman yang mendalam terhadap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai mengikut amalan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul.

1.6 Batasan Penyelidikan
Batasan penyelidikan adalah merupakan satu bentuk deklarasi tanggungjawab seseorang penyelidik terhadap penyelidikan yang dijalankan. Batasan penyelidikan adalah amat penting kerana ia akan menghadkan bidang dan skop selaras dengan jangka masa yang ditetapkan. Tanpa batasan penyelidikan, dikhuatiri penyelidikan yang dijalankan akan melampaui bidang dan skop serta jangka masa yang diperuntukkan. Oleh yang demikian, dalam setiap penyelidikan yang dijalankan, selain daripada menentukan matlamat dan objektif yang spesifik, batasan penyelidikan juga perlu ditentukan pada peringkat awal sebelum ia dijalankan bertujuan untuk memastikan agar ia sentiasa berada dalam bidang dan skop penyelidikan yang diselidik.

Dalam pada masa yang sama, batasan penyelidikan yang sudah ditentukan lebih awal dapat digunakan sebagai hujah untuk menyangkal segala persoalan yang dikemukan kelak sekiranya ada berkaitan dengan kaedah penyelidikan yang digunakan seperti dari segi gaya penyelidikan, sampel penyelidikan dan jangka masa penyelidikan. Selaras dengan matlamat dan objektif penyelidikan yang telah ditetapkan, batasan penyelidikan berbentuk diskriptif ini merangkumi 3 peringkat seperti berikut:
i. Kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah.
ii. Kaji selidik ke atas kerosakan bangunan.
iii. Kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

1.6.1 Batasan Penyelidikan yang Merangkumi Kajian Lapangan ke atas Bangunan Bersejarah
Dalam batasan penyelidikan pada peringkat yang pertama ini, telah ditetapkan bahawa penyelidikan yang dijalankan akan hanya meliputi bangunan bersejarah yang terdapat di 4 buah kawasan kajian di Semenanjung Malaysia iaitu Jejak Warisan Kuala Lumpur, Jejak Warisan Ipoh, Jejak Warisan George Town dan Jejak Warisan Melaka. Pemilihannya dibuat adalah kerana keempat-empat jejak warisan ini tersenarai bangunan bersejarah yang sedia ada dan ia dapat memudahkan serta menjimatkan masa penyelidikan. Manakala dari segi jangka masa penyelidikan yang diperuntukkan untuk menjalankan kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah ini ialah selama 2 bulan. Kaedah pengumpulan data yang digunakan ialah dengan mengaplikasikan kaedah bancian yang mudah.

Pemilihan sebanyak 209 buah bangunan bersejarah sebagai sampel kajian lapangan di 4 buah kawasan kajian dibuat berdasarkan kepada fakta kesesuaian pemilihan bangunan bersejarah berkenaaan dengan kaedah sampel kawasan dan berkelompok yang dipilih iaitu dengan merujuk kepada senarai bangunan bersejarah yang telah disediakan sebelum ini oleh Badan Warisan Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh, Penang Heritage Trust dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Manakala batasan penyelidikan dari segi skop penyelidikan pula hanya akan menyentuh 10 aspek yang berkaitan dengan bangunan bersejarah dan pemuliharaan seperti berikut:
i. Penentuan lokasi bangunan bersejarah.
ii. Tahun bangunan bersejarah dibina.
iii. Kategori bangunan bersejarah.
iv. Kegunaan semasa bangunan bersejarah.
v. Keadaan semasa bangunan bersejarah.
vi. Tahap pemuliharaan bangunan bersejarah.
vii. Tahap kerosakan bangunan bersejarah.
viii. Elemen bangunan bersejarah yang mengalami kerosakan.
ix. Keperluan usaha pemuliharaan.
x. Kesesuaian pendekatan pemuliharaan yang telah digunakan.

1.6.2 Batasan Penyelidikan yang Merangkumi Kaji Selidik ke atas Kerosakan Bangunan
Dalam batasan penyelidikan pada peringkat yang kedua ini, telah ditetapkan bahawa penyelidikan yang dijalankan akan hanya meliputi bangunan bersejarah yang terdapat di 10 buah bandar di Semenanjung Malaysia iaitu Batu Gajah, Tanjung Malim, Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar, Banda Hilir, Kuala Lumpur, George Town, Alor Setar dan Johor Bahru. Pemilihannya dibuat berdasarkan kepada fakta kesesuaian pemilihan kawasan bandar berkenaaan dengan kaedah sampel kawasan dan berkelompok kerana di bandar ini terdapat banyak bangunan bersejarah yang boleh dijadikan sebagai sampel kaji selidik. Manakala dari segi jangka masa penyelidikan yang diperuntukkan untuk menjalankan kaji selidik ke atas kerosakan bangunan ini ialah selama 6 bulan. Kaedah pengumpulan data yang digunakan pula ialah dengan mengaplikasikan kaedah tinjauan yang menyeluruh.

Pemilihan sebanyak 50 buah bangunan bersejarah sebagai sampel kaji selidik dibuat berdasarkan kepada fakta kesesuaian pemilihan bangunan bersejarah berkenaan dengan kaedah sampel rambang dan berstrata yang dipilih iaitu dengan hanya merujuk kepada senarai bangunan bersejarah yang telah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan setempat. Manakala batasan penyelidikan dari segi skop penyelidikan pula hanya akan menyentuh aspek yang berkaitan dengan jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah seperti berikut:
i. Elemen dinding luar.
ii. Elemen dinding dalam.
iii. Elamen pintu dan kelengkapan.
iv. Elemen tingkap dan kelengkapan.
v. Elemen lantai bawah dan atas.
vi. Elemen tangga.
vii. Elemen siling.
viii. Elemen bumbung.
ix. Elemen kemudahan bangunan.
x. Lain-lain elemen.

1.6.3 Batasan Penyelidikan yang Merangkumi Kajian Kes ke atas Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Dalam batasan penyelidikan pada peringkat yang ketiga ini, telah ditetapkan bahawa penyelidikan yang dijalankan akan hanya meliputi projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang terdapat di 2 buah bandar di Semenanjung Malaysia iaitu Bandaraya Ipoh dan George Town. Manakala dari segi jangka masa penyelidikan yang diperuntukkan untuk menjalankan kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini pula ialah selama 9 bulan dan ia melibatkan jumlah sampel sebanyak 4 buah projek pemuliharaan bangunan bersejarah. Kaedah pengumpulan data yang digunakan pula ialah dengan mengaplikasikan kaedah pemerhatian, temu bual dan kajian dokumentasi.

Pemilihan projek pemuliharaan bangunan bersejarah sebagai sampel kajian kes dibuat berdasarkan kepada fakta kemudahan untuk menjalankan kajian kes yang dekat dengan lokasi tempat tinggal kerana ia memerlukan penglibatan individu untuk turut berada di lokasi kajian kes secara sepenuh masa serta kemudahan untuk mendapatkan kebenaran untuk menjalankan kajian kes di lokasi berkenaan. Projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dipilih juga hendaklah melibatkan kerja pemuliharaan yang menyeluruh dilaksanakan ke atas sebahagian besar elemen utama yang terdapat pada bangunan bersejarah berkenaan. Manakala batasan penyelidikan dari segi skop penyelidikan pula hanya menyentuh aspek yang berkaitan dengan kerja pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah seperti berikut:
i. Latar belakang sejarah bangunan.
ii. Maklumat ringkas projek pemuliharaan.
iii. Perlaksanaan kerja pemuliharaan yang diamalkan.
iv. Senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan.
v. Kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan.
vi. Hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

Sehubungan itu, segala perkara yang berkaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan bangunan bersejarah, kerosakan bangunan, projek pemuliharaan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang tidak dinyatakan secara terperinci dalam batasan penyelidikan seperti yang telah diterangkan dengan jelas sebelum ini adalah di luar bidang dan skop penyelidikan yang telah ditetapkan. Seterusnya ia tidak akan dipertimbangkan untuk dibincangkan dalam penyelidikan ini kerana berada di luar batasan penyelidikan. Berpandukan kepada deklarasi penyelidikan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini, maka secara tidak langsung ia telah menghadkan batasan penyelidikan kepada bidang dan skop yang lebih kecil dan spesifik. Oleh yang demikian, penyelidikan ke atas kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia ini telah dijalankan tanpa berlakunya bias ke atas sampel penyelidikan yang dipilih serta dapat mengecilkan ralat ke atas keputusan analisa data yang diperolehi.

1.7 Perancangan Penyelidikan
Perancangan adalah amat penting dalam setiap penyelidikan kerana ia dapat dijadikan sebagai asas rujukan kepada seseorang penyelidik untuk menjalankan penyelidikan. Perancangan yang disediakan juga akan memudahkan penyelidikan dibuat bermula dari peringkat untuk mendapatkan tajuk hinggalah ke peringkat penulisan disertasi. Menurut Naoum (2001), tanpa perancangan yang terancang, berkemungkinan besar seseorang penyelidik akan menghadapi pelbagai masalah di peringkat menjalankan penyelidikan nanti. Oleh yang demikian, dalam setiap penyelidikan yang dijalankan, selain daripada menentukan batasan penyelidikan yang spesifik, perancangan juga perlu ditentukan pada peringkat awal sebelum sesuatu penyelidikan itu dijalankan.

Perancangan adalah bertujuan untuk memastikan agar penyelidikan yang dijalankan sentiasa berada dalam bidang dan skop yang diselidik. Serta yang paling penting dapat menghasilkan penemuan yang pada akhirnya dapat menjawab semua matlamat dan objektif serta hipotetsis penyelidikan yang telah ditetapkan sebelum ini dengan disertakan fakta dan bukti yang jelas tanpa sebarang keraguan. Perancangan bagi penyelidikan ini ada diterangkan dengan lebih mendalam dalam Bab Tujuh (metodologi penyelidikan). Rajah 1.1 menunjukkan secara ringkas perancangan penyelidikan yang dilaksanakan.

Rajah 1.1: Perancangan penyelidikan.

1.8 Organisasi Disertasi
Kandungan disertasi ini terdiri daripada beberapa bab. Pembahagian antara bab ini dibuat berdasarkan kepada kesesuaian kandungannya mengikut bidang serta skop penyelidikan dengan merujuk kepada garis panduan penyediaan disertasi yang telah ditetapkan oleh Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malysia (Ramli Mohamed et al. (ed.), 2004). Sebanyak 11 bab telah disediakan dalam disertasi ini. Ringkasan kandungannya adalah seperti berikut:

1.8.1 Bab Satu iaitu Pendahuluan
Bab satu ini menerangkan mengenai isu pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dan diikuti dengan penyataan isu dan masalah yang berkaitan dengan pemuliharaan. Seterusnya dalam bab ini menerangkan mengenai sorotan penyelidikan terdahulu yang akan membawa kepada pembentukan skop penyelidikan, matlamat dan objektif penyelidikan serta hipotesis penyelidikan. Selain daripada itu, batasan penyelidikan juga ada diterangkan dalam bab ini dan diakhiri dengan perancangan penyelidikan serta organisasi disertasi.

1.8.2 Bab Dua iaitu Kajian Literatur
Bab dua pula adalah mengenai maksud pemuliharaan dan diikuti dengan usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Seterusnya dalam bab ini menerangkan kepentingan pemuliharaan, prinsip pemuliharaan, falsafah pemuliharaan dan etika pemuliharaan. Selain daripada itu, sejarah pemuliharaan, pihak yang berkaitan dengan pemuliharaan, peraturan dan perundangan pemuliharaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan juga ada diterangkan dalam bab ini dan diakhiri dengan garis panduan pemuliharaan.

1.8.3 Bab Tiga iaitu Bangunan Bersejarah di Malaysia
Seterusnya bab tiga menjelaskan mengenai maksud warisan dan klasifikasi warisan. Seterusnya dalam bab ini menerangkan maksud bangunan bersejarah diikuti dengan klasifikasi bangunan bersejarah dan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah di Malaysia. Selain daripada itu, penyenaraian bangunan bersejarah juga ada diterangkan dalam bab ini dan diakhiri dengan pewartaan bangunan bersejarah.

1.8.4 Bab Empat iaitu Pemeriksaan dan Kerosakan Bangunan Bersejarah
Manakala bab empat menghuraikan mengenai maksud pemeriksaan bangunan dan diikuti dengan jenis-jenis pemeriksaan bangunan, tujuan dan skop pemeriksaan bangunan. Seterusnya dalam bab ini menerangkan persediaan awalan pemeriksaan bangunan, peralatan pemeriksaan bangunan, lokasi pemeriksaan bangunan dan kaedah pemeriksaan bangunan. Selain daripada itu, maksud kerosakan bangunan, punca dan agen kerosakan bangunan serta jenis-jenis kerosakan bangunan yang berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia juga diterangkan dalam bab ini. Akhir sekali kaedah diagnosis kerosakan bangunan serta laporan kerosakan bangunan turut diterangkan dalam bab ini.

1.8.5 Bab Lima iaitu Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Bab lima pula menyatakan mengenai maksud kerja pemuliharaan secara umum. Seterusnya dalam bab ini menerangkan pendekatan kerja pemuliharaan yang sering di amalkan oleh pemulihara bangunan yang meliputi kaedah kerja yang pelbagai. Selain daripada itu, rangka kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia yang sering menjadi amalan pada kebanyakan projek pemuliharaan turut diterangkan dalam bab ini.

1.8.6 Bab Enam iaitu Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Dalam bab enam ia menjelaskan mengenai maksud penyataan kaedah kerja pemuliharaan, kepentingan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Seterusnya dalam bab ini menerangkan rangka penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan diakhiri dengan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan.

1.8.7 Bab Tujuh iaitu Metodologi Penyelidikan
Seterusnya bab tujuh adalah berkaitan maksud penyelidikan dan diikuti dengan keperluan penyelidikan, klasifikasi dan bentuk penyelidikan, gaya penyelidikan dan proses penyelidikan. Seterusnya dalam bab ini menerangkan kaedah penyelidikan yang digunakan iaitu kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah dan kaji selidik ke atas kerosakan bangunan bersejarah di Malaysia. Antara perkara yang diterangkan ialah tujuan utama penyelidikan, perkara utama yang diberi perhatian, gaya penyelidikan, jenis sampel penyelidikan, jangka masa penyelidikan dan diakhiri dengan senarai sampel bangunan bersejarah yang diselidik.

1.8.8 Bab Lapan iaitu Kajian Kes
Manakala bab lapan menjelaskan mengenai tujuan utama kajian kes dijalankan dan diikuti dengan perkara utama yang diberi perhatian dalam kajian kes. Seterusnya dalam bab ini menerangkan gaya penyelidikan kajian kes, jenis sampel kajian kes dan jangka masa kajian kes dijalankan. Antara perkara yang diterangkan ialah latar belakang sejarah bangunan, maklumat ringkas projek pemuliharaan, perlaksanaan kerja pemuliharaan, senarai dan bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan, kelemahan yang terdapat dalam penyataan kaedah kerja pemuliharaan, hasil penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan diakhiri dengan senarai lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah dikenalpasti dalam kajian kes projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia yang diselidik.

1.8.9 Bab Sembilan iaitu Analisa dan Rumusan Data
Dalam bab sembilan ia menghuraikan mengenai kaedah menganalisa data. Seterusnya dalam bab ini menerangkan segala keputusan analisa data dan rumusan analisa data untuk kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah serta kaji selidik ke atas kerosakan bangunan. Ia diakhiri dengan segala keputusan analisa data dan rumusan analisa data untuk kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

1.8.10 Bab Sepuluh iaitu Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Bab sepuluh pula adalah berkaitan asas penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan diikuti dengan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan. Antara 10 cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ialah untuk kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan; kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam; kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam; kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar; kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar; kerja pemuliharaan kemasan lantai pada elemen lantai bawah dan atas; kerja pemuliharaan lepa dinding pada elemen dinding luar; kerja pemuliharaan kemasan siling pada elemen siling; kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung; dan diakhiri dengan kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

1.8.11 Bab Sebelas iaitu Penemuan dan Kesimpulan
Akhir sekali bab sebelas menerangkan mengenai penemuan penyelidikan berkaitan kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia, kaji selidik ke atas kerosakan bangunan, kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bagi menjawab ketiga-tiga matlamat dan objektif penyelidikan yang telah ditetapkan sebelum ini. Selain daripada itu, hipotesis penyelidikan yang telah berjaya diselesaikan juga ada diterangkan dalam bab ini dan diakhiri dengan kesimpulan dan cadangan penyelidikan. Rajah 1.2 menunjukkan ringkasan organisasi disertasi yang dilaksanakan.

Rajah 1.2: Ringkasan organisasi disertasi.

1.9 Kesimpulan
Bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini mempunyai reka bentuk seni bina yang menarik dan ada di antaranya memang terkenal sebagai ikon pada sesebuah bandar tersebut seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, Bangunan Stadhuys di Melaka, Istana Kenangan di Perak, Balai Nobat di Kedah dan lain-lain lagi. Namun begitu, sehingga kini masih terdapat sebahagian daripada bangunan bersejarah ini yang tidak dipulihara dengan baik dan sedang mengalami masalah kerosakan bangunan yang boleh dianggap membimbangkan. Sungguhpun usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia telah dan sedang dijalankan secara berterusan namun begitu ia masih berada di peringkat awal dan belum mencukupi.

Sehubungan dengan itu, segala isu dan masalah yang sedang dihadapi oleh bangunan bersejarah di Malaysia sewajarnya diberi perhatian yang khusus oleh semua pihak dalam usaha untuk memuliharanya dari terus diancam kemusnahan yang berpunca daripada masalah kerosakan bangunan. Selain daripada itu, sudah tiba masanya pendekatan kerja pemuliharaan yang salah yang selama ini menjadi amalan kerja pemuliharaan di kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia diperbetulkan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi membudayakan etika kerja pemuliharaan yang baik. Salah satu pendekatannya ialah dengan cara memperkenalkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaaan yang betul.

Melalui pendekatan ini secara tidak langsung ianya dapat membantu pihak kontraktor bangunan dan perunding pemuliharaan dalam usaha untuk merawat kerosakan bangunan yang sering terjadi pada kebanyakan elemen bangunan bersejarah di Malaysia. Adalah diharapkan melalui disertasi penyelidikan ini ianya berupaya untuk mengenal pasti jenis kerosakan umum yang sering berlaku pada kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia dan seterusnya mencadangkan penyataan kaedah pemuliharaan yang betul dalam usaha untuk merawat kerosakan bangunan berkenaan. Melalui penyelidikan ini juga diharap dapat menyumbang dalam membudaya dan mengembangkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

1 comment:

H S Consultants said...

It was such a pleasure reading it. I have bookmarked it and I will show it to my friend, she is ahuge fan of this subject.



Study In USA