Friday, February 01, 2008

Melaka River Cruise, Malacca, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 24/08/2009.

Sungai Melaka ibarat Venice of The East
Oleh NAS NORZIELA NASBAH utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 23 Ogos - Melangkah kaki pada waktu malam ke Taman Rempah Melaka di sini, membuatkan pengunjung hanya terfikir untuk menyusuri Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise bagi melihat keindahan lampu-lampu yang menerangi malam. Ada yang datang bagi melihat sendiri keunikan bangunan lama yang masih tersergam indah dan membawa kita kepada sejarah lampau sepanjang menyusuri Sungai Melaka.

Dahulu, Sungai Melaka dilihat muram dan malap sehingga menyebabkan gelaran sleepy hollow diberi memandangkan persekitarannya yang kotor dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.Apa yang mencacatkan lagi apabila ada sesetengah pelancong terpaksa menutup hidung semasa menyusuri Sungai Melaka kerana tidak tahan bau busuk dari sungai tersebut.Namun begitu, hasrat yang disuarakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam kira-kira empat tahun lalu untuk mengubah sleepy hollow kepada Venice Of The East hari ini sedikit demi sedikit berubah menjadi kenyataan.

Perubahan berperingkat itu mula menampakkan keindahan Sungai Melaka yang semakin terserlah setelah diambil alih oleh syarikat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).Sebanyak 27 unit bot disediakan berserta pemandu pelancong bagi memudahkan pengunjung luar dan dalam negara mengetahui maklumat lebih mendalam sepanjang perjalanan mereka.Pengunjung yang datang hanya perlu membayar RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bagi perjalanan 45 minit yang penuh dengan pengalaman indah itu. Mereka mempunyai dua pilihan sama ada untuk menaiki bot dari jeti Taman Rempah atau di jeti Dataran Quayside.

Perjalanan sembilan kilometer ini pastinya memukau dengan keindahan Sungai Melaka yang bersih tanpa sebarang sampah.Pada awal perjalanan, pengunjung akan dibawa menyusuri muara Sungai Melaka yang penuh dengan kerdipan lampu sepanjang perjalanan. Apa yang menarik, pada 200 meter pertama perjalanan, pengunjung bakal menyusuri perkampungan Morten yang merupakan salah satu kampung tertua di dunia dihiasi dengan cahaya yang indah. Nama Kampung Morten diambil bersempena dengan nama Pesuruhjaya Tanah Tempatan British, J.F. Morten yang sememangnya disegani ramai kerana tanggungjawabnya dalam menyelesaikan masalah orang tempatan pada awal tahun 1920. Kini, Kampung Morten juga dikenali sebagai perkampungan muzium di mana kerajaan negeri dan persatuan penduduk kampung itu memainkan peranan berkongsi tradisi Melayu Melaka kepada pengunjung yang menyusuri muara sungai tersebut.

Penumpang dan pelancong yang menaiki bot Melaka River Cruise bukan sahaja berpeluang melihat deretan rumah Melayu Melaka asli yang terdapat di Kampung Morten, malah juga keunikan sebuah rumah Melayu lama, Sentosa Villa di mana pengunjung dapat melihat keaslian bentuk rumah Melayu Melaka yang masih kekal. Pengunjung juga berpeluang melihat pertumbuhan pokok bakau yang meliar secara semula jadi di mana persekitarannya dijaga dengan baik dan dipenuhi dengan lampu berwarna biru pada pokok-pokok tersebut. Melihat biawak juga membawa kepada keseronokan bagi mereka yang cintakan hidupan liar. Hidupan dua alam itu kelihatan berenang-renang sepanjang muara Sungai Melaka.

Sepuluh minit menyusuri muara Sungai Melaka turut membawa pengunjung meninjau bekas tapak perhentian bas lama sebelum ia berpindah ke Melaka Sentral. Tapak lama dibangunkan menjadi salah satu tempat pelancongan negeri yang baru dikenali sebagai The Malacca River Pitares Parks. Pengunjung turut terpegun melihat keindahan lampu serta kemeriahan taman tema mini yang menelan belanja RM3.3 juta di sini dan apa yang menarik, muara Sungai Melaka diserikan dengan jambatan lama seperti Jambatan Cathay, Hang Tuah dan Jambatan Pasar yang membawa maksud tersendiri.

Selain itu, pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise juga berpeluang menikmati transformasi yang amat menakjubkan di mana gudang-gudang lama yang terdapat di sepanjang muara telah diubah suai menjadi moden dan kesan kota lama diekskavasi agar berkeadaan baik. Sampai di satu tempat, bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut 'menari' di tepi tebing sungai itu mengikut irama lagu tradisional. Bagi mereka yang menginginkan percutian ala Venice dengan menikmati pengalaman romantik menyusuri sungai, Melaka River Cruise sudah pasti cukup untuk memenuhi impian.

Sepanjang menyusuri Jambatan Tan Kim Seng, pengunjung berpeluang melihat bahagian belakang bangunan rumah kedai yang sudah dibangunkan semula dengan begitu cantik. Di situ telah dijadikan tempat pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Peluang 45 minit menyusuri muara Sungai Melaka menaiki bot merupakan satu pengalaman yang menarik bagi menyaksikan daya saing kerajaan negeri menjadikan Sungai Melaka setanding Sungai Antonio di Texas, Amerika Syarikat bakal tercapai tidak lama lagi. Saksikan keunikan wajah Sungai Melaka melalui perkhidmatan Melaka River Cruise hari ini.

No comments: