Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 11 Penemuan dan Kesimpulan

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB SEBELAS
PENEMUAN DAN KESIMPULAN

11.0 Pengenalan
Bahagian yang paling penting untuk diketahui selain daripada metodologi ialah hasil atau penemuan penyelidikan. Sesuatu penyelidikan boleh dianggap berjaya sekiranya hasil atau penemuan penyelidikan yang diperolehi dapat memenuhi kesemua matlamat dan objektif penyelidikan yang telah digariskan dan ditentukan pada peringkat awal. Selain daripada itu, rumusan kepada penemuan penyelidikan yang dijalankan juga hendaklah membuktikan dan seterusnya menerima atau menolak hipotesis penyelidikan yang telah diutarakan. Oleh yang demikian, dalam penyelidikan berkaitan kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia yang telah dijalankan, beberapa penemuan penyelidikan yang dianggap penting telah dikenal pasti dalam bidang pemuliharaan warisan di Malaysia secara umumnya dan bangunan bersejarah secara khususnya.

Hasil penemuan penyelidikan yang telah diperolehi ini adalah merupakan 1 penemuan baru dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia kerana ia telah menjawab beberapa persoalan yang sering diutarakan selama ini. Hasil penemuan penyelidikan ini juga diharap dapat memberikan impak yang besar dari segi ilmu pengetahuan, data maklumat, pendekatan dan tatacara kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Seterusnya ia juga boleh dijadikan sebagai bahan rujukan ilmiah oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang pemuliharaan warisan khususnya dalam usaha untuk memulihara dan memartabatkan nilai bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia agar terus terpulihara dengan baik untuk tatapan generasi yang akan datang.

11.1 Penemuan Penyelidikan dan Rumusan
Hasil daripada kajian lapangan ke atas bangunan bersejarah, kaji selidik ke atas kerosakan bangunan dan kajian kes ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia, terdapat beberapa penemuan penting telah diperolehi melalui penyelidikan ini bagi menjawab 3 matlamat dan objektif penyelidikan yang telah digariskan dan ditentukan sebelum ini. Antara penemuan penyelidikan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

11.1.1 Penemuan Penyelidikan Pertama
Penemuan penyelidikan ini adalah untuk menjawab matlamat dan objektif penyelidikan yang pertama iaitu untuk menyenaraikan jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Melalui kaji selidik yang telah dijalankan ke atas kerosakan bangunan, hasil penemuan penyelidikan ini telah mengenal pasti sebanyak 20 jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Penemuan penyelidikan ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada rumusan analisa data sebagaimana yang telah diperolehi dari Bab Sembilan (rujuk rumusan analisa data 4 dan Jadual 9.2 di muka surat 291). Antara 20 jenis kerosakan umum bangunan tersebut mengikut peratusan tertinggi yang melebihi tahap 80% ialah kemasan cat pudar, kemasan cat menggelupas, permukaan lembab dari bawah, serangan garam, tumbuhan liar, kemasan berlubang, lepa menggelupas, kemasan retak, permukaan merosot, permukaan berlumut, kesan kelembapan dan kerangka kayu mereput seperti ditunjukkan dalam Jadual 11.1.

Jadual 11.1: Penemuan penyelidikan pertama iaitu 20 jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia.

Bil. Jenis Kerosakan Umum Bangunan pada 10 Elemen Utama Bangunan dan Peratus Tahap Kerosakan Bangunan
1 Kemasan cat pudar pada elemen pintu dan kelengkapan iaitu sebanyak 98% tahap kerosakan bangunan.
2 Kemasan cat menggelupas pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 96% tahap kerosakan bangunan.
3 Kemasan cat pudar pada elemen tingkap dan kelengkapan iaitu sebanyak 96% tahap kerosakan bangunan.
4 Permukaan lembab dari bawah pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 94% tahap kerosakan bangunan.
5 Serangan garam pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 92% tahap kerosakan bangunan.
6 Tumbuhan liar pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 90% tahap kerosakan bangunan.
7 Kemasan cat menggelupas pada elemen dinding dalam iaitu sebanyak 90% tahap kerosakan bangunan.
8 Kemasan berlubang pada elemen lantai bawah dan atas iaitu sebanyak 90% tahap kerosakan bangunan.
9 Lepa menggelupas pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 88% tahap kerosakan bangunan.
10 Kemasan cat pudar pada elemen dinding dalam iaitu sebanyak 88% tahap kerosakan bangunan.
11 Kemasan retak pada elemen lantai bawah dan atas iaitu sebanyak 88% tahap kerosakan bangunan.
12 Kemasan cat pudar pada elemen siling iaitu sebanyak 88% tahap kerosakan bangunan.
13 Permukaan merosot pada elemen bumbung iaitu sebanyak 88% tahap kerosakan bangunan.
14 Permukaan berlumut pada elemen dinding luar iaitu sebanyak 86% tahap kerosakan bangunan.
15 Kemasan cat menggelupas pada elemen pintu dan kelengkapan iaitu sebanyak 84% tahap kerosakan bangunan.
16 Kemasan cat menggelupas pada elemen tingkap dan kelengkapan iaitu sebanyak 84% tahap kerosakan bangunan.
17 Kesan kelembapan pada elemen siling iaitu sebanyak 84% tahap kerosakan bangunan.
18 Permukaan lembab dari bawah pada elemen dinding dalam iaitu sebanyak 82% tahap kerosakan bangunan.
19 Kerangka kayu mereput pada elemen tingkap dan kelengkapan iaitu sebanyak 82% tahap kerosakan bangunan.
20 Kerangka kayu mereput pada elemen pintu dan kelengkapan iaitu sebanyak 80% tahap kerosakan bangunan.

20 jenis kerosakan umum bangunan yang telah dikenal pasti sering berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia seperti yang disenaraikan di atas ditunjukkan dalam Gambar 11.1.

(1) Kemasan cat pudar pada elemen pintu dan kelengkapan.
(2) Kemasan cat menggelupas pada elemen dinding luar.
(3) Kemasan cat pudar pada elemen tingkap dan kelengkapan.
(4) Permukaan lembab dari bawah pada elemen dinding luar.
(5) Serangan garam pada elemen dinding luar.
(6) Tumbuhan liar pada elemen dinding luar.
(7) Kemasan cat menggelupas pada elemen dinding dalam.
(8) Kemasan berlubang pada elemen lantai bawah dan atas.
(9) Lepa menggelupas pada elemen dinding luar.
(10) Kemasan cat pudar pada elemen dinding dalam.
(11) Kemasan retak pada elemen lantai bawah dan atas.
(12) Kemasan cat pudar pada elemen siling.
(13) Permukaan merosot pada elemen bumbung.
(14) Permukaan berlumut pada elemen dinding luar.
(15) Kemasan cat menggelupas pada elemen pintu dan kelengkapan.
(16) Kemasan cat menggelupas pada elemen tingkap dan kelengkapan.
(17) Kesan kelembapan pada elemen siling.
(18) Permukaan lembab dari bawah pada elemen dinding dalam.
(19) Kerangka kayu mereput pada elemen tingkap dan kelengkapan.
(20) Kerangka kayu mereput pada elemen pintu dan kelengkapan.

Gambar 11.1: 20 jenis kerosakan umum bangunan yang telah berjaya dikenal pasti sering berlaku pada 10 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia.

11.1.2 Rumusan Penemuan Penyelidikan Pertama
Rumusan penemuan penyelidikan yang pertama ini adalah penting kerana ia telah menjawab persoalan yang selama ini timbul berkaitan jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia. Walaupun ada sesetengah pihak yang telah mengeluarkan beberapa pendapat tentang kerosakan umum bangunan seperti Fee (2003) tetapi hasil penemuan penyelidikan ini adalah lebih tepat dan menyeluruh berdasarkan kepada jumlah sampel bangunan yang dipilih dan disokong dengan kaedah analisa data yang telah dijalankan. Sehubungan dengan itu, penemuan penyelidikan ini dapat membantu semua pihak seperti pemilik bangunan dan pemulihara bangunan tentang jenis kerosakan umum bangunan yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya daripada aspek pencegahan, pemuliharaan dan penyelenggaraan.

Dengan adanya senarai kerosakan umum bangunan ini ia dapat memudahkan kerja semua pihak yang berkenaan dalam usaha untuk menangani masalah kerosakan bangunan dengan memberikan lebih perhatian dan tumpuan ke atas jenis kerosakan umum dan elemen utama bangunan yang sering mengalami masalah kerosakan bangunan. Senarai jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia ini boleh diguna pakai oleh semua pihak yang berkenaan seperti pemilik bangunan, kontraktor bangunan, pemulihara bangunan, perunding pemuliharaan dan lain-lain lagi pihak dalam usaha untuk mengenal pasti, mencegah, merawat, membaik pulih dan menyelenggara kerosakan bangunan bersejarah pada pelbagai peringkat seperti sewaktu kerja pemeriksaan bangunan, kajian dilapidasi bangunan dan sebagainya.

11.1.3 Penemuan Penyelidikan Kedua
Penemuan penyelidikan ini adalah untuk menjawab matlamat dan objektif penyelidikan yang kedua iaitu untuk menyemak tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Sehubungan dengan itu, melalui kajian kes yang telah dijalankan ke atas penyataan kaedah kerja pemuliharaan, tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia telah diperiksa dan diselidik. Penemuan penyelidikan ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada rumusan analisa data yang telah diperolehi dari Bab Sembilan (rujuk rumusan analisa data 1 dan Rajah 9.40 di muka surat 306) yang mana tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia secara keseluruhannya adalah sangat memuaskan. Kenyataan ini telah dapat dibuktikan dan disokong dengan merujuk kepada hasil penemuan penyelidikan iaitu sebanyak 39% atau 97 daripada 250 penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang diselidik telah disediakan dengan baik pada tahap sangat memuaskan diikuti dengan 35% atau 87 lagi berada pada tahap memuaskan.

Namun begitu, walaupun hasil penemuan penyelidikan yang kedua ini menunjukkan tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia berada pada tahap sangat memuaskan, perhatian yang sewajarnya juga perlu diberikan ke atas penyediaan beberapa penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap tidak memuaskan (0%-19%), kurang memuaskan (20%-39%) dan sederhana memuaskan (40%-59%). Ini adalah kerana, berdasarkan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul, setiap kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek pemuliharaan hendaklah dilaksanakan dengan betul dan bebas daripada sebarang kesilapan terutama sekali pada peringkat membuat keputusan berkaitan pendekatan kerja pemuliharaan yang disediakan dalam bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan demi untuk terus memulihara keaslian reka bentuk seni bina dan bahan binaan yang terdapat pada bangunan bersejarah berkenaan. Hasil daripada kajian kes yang telah dijalankan, sebanyak 3 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan telah dikenal pasti berada pada tahap tidak memuaskan iaitu antara 0%-19%. Penemuan penyelidikan ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada rumusan analisa data yang telah diperolehi dari Bab Sembilan (rujuk rumusan analisa data 5 dan Jadual 9.11 di muka surat 309). 3 penyataan kaedah kerja pemuliharaan tersebut ditunjukkan dalam Jadual 11.2.

Jadual 11.2: Penemuan penyelidikan kedua iaitu 3 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap tidak memuaskan (0%-19%).

Bil. Jenis Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan pada Tahap Tidak Memuaskan
1 Penyataan kaedah kerja memecah lantai apron’.
2 Penyataan kaedah kerja memecah longkang.
3 Penyataan kaedah kerja membaik pulih gerbang.

Seterusnya, perhatian yang sewajarnya juga perlu diberikan ke atas penyediaan 25 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap kurang memuaskan iaitu antara 20%-39%. Penemuan penyelidikan ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada rumusan analisa data yang telah diperolehi dari Bab Sembilan (rujuk rumusan analisa data 6 dan Jadual 9.12 di muka surat 310). 25 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan tersebut ditunjukkan dalam Jadual 11.3.

Jadual 11.3: Penemuan penyelidikan ketiga iaitu 25 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap kurang memuaskan (20%-39%).

Bil. Jenis Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan pada Tahap Kurang Memuaskan
1 Penyataan kaedah kerja dokumentasi laporan dilapidasi.
2 Penyataan kaedah kerja menanggal komponen pintu dan kelengkapan.
3 Penyataan kaedah kerja menanggal kemasan siling.
4 Penyataan kaedah kerja menanggal tangki air.
5 Penyataan kaedah kerja menanggal paip bekalan air.
6 Penyataan kaedah kerja menanggal paip saluran kumbahan.
7 Penyataan kaedah kerja menanggal peralatan elektrik.
8 Penyataan kaedah kerja membaik pulih jubin dinding.
9 Penyataan kaedah kerja membaik pulih perhiasan bumbung.
10 Penyataan kaedah kerja membaik pulih talang dan sesalur air hujan.
11 Penyataan kaedah kerja penggantian sistem pendawaian elektrik.
12 Penyataan kaedah kerja penggantian peralatan elektrik.
13 Penyataan kaedah kerja membaik pulih hiasan seni bina lain-lain elemen.
14 Penyataan kaedah kerja membaik pulih lantai apron.
15 Penyataan kaedah kerja membaik pulih longkang.
16 Penyataan kaedah kerja menanggal komponen tangga kayu.
17 Penyataan kaedah kerja menanggal gelegar siling.
18 Penyataan kaedah kerja membaik pulih hiasan seni bina dinding.
19 Penyataan kaedah kerja penjagaan tangga.
20 Penyataan kaedah kerja mencuci dan menanggal kekotoran.
21 Penyataan kaedah kerja menanggal cat sedia ada.
22 Penyataan kaedah kerja mengecat tangga.
23 Penyataan kaedah kerja membaik pulih balustrade.
24 Penyataan kaedah kerja membaik pulih tiang pagar.
25 Penyataan kaedah kerja membaik pulih tembok pagar.

Tumpuan yang sewajarnya juga perlu diberikan ke atas penyediaan 22 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap sederhana memuaskan iaitu antara 40%-59%. Penemuan penyelidikan ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada rumusan analisa data yang telah diperolehi dari Bab Sembilan (rujuk rumusan analisa data 7 dan Jadual 9.13 di muka surat 311). 22 penyataan kaedah kerja pemuliharaan tersebut ditunjukkan dalam Jadual 11.4.

Jadual 11.4: Penemuan penyelidikan ketiga iaitu 22 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang didapati berada pada tahap sederhana memuaskan (40%-59%).

Bil. Jenis Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan pada Tahap Sederhana Memuaskan
1 Penyataan kaedah kerja ekskavasi arkeologi.
2 Penyataan kaedah kerja ujikaji bahan.
3 Penyataan kaedah kerja menanggal komponen tingkap dan kelengkapan.
4 Penyataan kaedah kerja menanggal kerangka bumbung.
5 Penyataan kaedah kerja menanggal kelengkapan sanitari.
6 Penyataan kaedah kerja menanggal sistem pendawaian elektrik.
7 Penyataan kaedah kerja menanggal perabut.
8 Penyataan kaedah kerja membuang pokok tumpang.
9 Penyataan kaedah kerja menanggal cat dinding sedia ada.
10 Penyataan kaedah kerja menanggal cat pintu sedia ada.
11 Penyataan kaedah kerja membaik pulih kelengkapan pintu.
12 Penyataan kaedah kerja menanggal cat tingkap sedia ada.
13 Penyataan kaedah kerja membaik pulih kelengkapan tingkap.
14 Penyataan kaedah kerja membaik pulih lantai konkrit.
15 Penyataan kaedah kerja membaik pulih jubin lantai.
16 Penyataan kaedah kerja membaik pulih tangga batu.
17 Penyataan kaedah kerja mengecat siling.
18 Penyataan kaedah kerja pencegahan masalah burung, kelawar dll.
19 Penyataan kaedah kerja membaik pulih asas.
20 Penyataan kaedah kerja membaik pulih tiang.
21 Penyataan kaedah kerja membaik pulih rasuk.
22 Penyataan kaedah kerja membaik pulih papan tanda.

11.1.4 Rumusan Penemuan Penyelidikan Kedua
Rumusan penemuan penyelidikan yang kedua ini juga adalah penting kerana ia telah menjawab persoalan yang selama ini timbul berkaitan tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan mengikut elemen kerja pemuliharaan yang selama ini diamalkan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Selain daripada mengenal pasti jenis penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan dengan baik pada tahap sangat memuaskan (80%-100%) dan memuaskan (60%-79%), antara penemuan penting dalam penyelidikan ini ialah mengenal pasti jenis penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan pada tahap sederhana memuaskan (40%-59%), kurang memuaskan (20%-39%) dan tidak memuaskan (0%-19%).

Sehubungan itu, penemuan penyelidikan ini telah mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada peringkat penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan di projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dari segi jenis penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang tidak disediakan dengan baik oleh pihak kontraktor bangunan dan perunding pemuliharaan yang dipertanggung jawabkan untuk menyediakannya. Seterusnya melalui penemuan penyelidikan ini ianya dapat memberi maklum balas kepada semua pihak yang bertanggungjawab dalam memantau setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah agar memastikan bahawa segala kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini dapat diatasi dengan sewajarnya dalam usaha untuk memantapkan pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

11.1.5 Penemuan Penyelidikan Ketiga
Penemuan penyelidikan ini adalah untuk menjawab matlamat dan objektif penyelidikan yang ketiga iaitu untuk mencadangkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia. Sehubungan dengan itu, melalui kajian kes yang telah dijalankan ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah, sebanyak 10 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan telah disediakan bagi merawat 20 jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada 7 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Penemuan penyelidikan ini adalah seperti yang telah disediakan dalam Bab Sepuluh (rujuk cadangan buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan). 10 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah dicadangkan ditunjukkan dalam Jadual 11.5.

Jadual 11.5: Penemuan penyelidikan ketiga iaitu cadangan 10 buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai bagi merawat 20 kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

Bil. Jenis Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan dan Kerosakan Umum Bangunan
1 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat pudar dan menggelupas.
2 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat menggelupas dan pudar.
3 Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti permukaan lembab dari bawah.
4 Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti serangan garam.
5 Cadangan penyataan kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti tumbuhan liar dan permukaan berlumut.
6 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan lantai pada elemen lantai bawah dan atas untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan berlubang dan retak.
7 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding pada elemen dinding luar untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti lepa menggelupas.
8 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan siling pada elemen siling untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat pudar dan kesan kelembapan.
9 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti permukaan merosot.
10 Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kerangka kayu mereput.

10 kaedah kerja pemuliharaan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan dengan merujuk dan berpandukan kepada 10 cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah dikenal pasti untuk merawat 20 kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia seperti yang disenaraikan di atas ditunjukkan dalam Gambar 11.2.

(1) Kaedah kerja pemuliharan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.
(2) Kaedah kerja pemuliharan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam.
(3) Kaedah kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam.
(4) Kaedah kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar.
(5) Kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar.
(6) Kaedah kerja pemuliharaan kemasan lantai pada elemen lantai bawah dan atas.
(7) Kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding pada elemen dinding luar.
(8) Kaedah kerja pemuliharaan kemasan siling pada elemen siling.
(9) Kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung.
(10) Kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

Gambar 11.2: 10 kaedah kerja pemuliharaan yang telah dikenalpasti sering diamalkan di tapak projek pemuliharaan untuk merawat 20 kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

11.1.6 Rumusan Penemuan Penyelidikan Ketiga
Rumusan penemuan penyelidikan yang ketiga ini juga adalah penting kerana ia telah mencadangkan beberapa buah penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai bagi merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia. Selain daripada itu, pendekatan kerja pemuliharaan yang disediakan dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang dicadangkan ini juga dibuat berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul serta merujuk kepada amalan kerja pemuliharaan yang terbukti keberkesanannya. Melalui cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan ini, ianya dapat dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan kepada pihak kontraktor bangunan dan perunding pemuliharaan dalam usaha untuk merawat kerosakan umum bangunan pada setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dilaksanakan.

11.1.7 Penemuan Penyelidikan Lain
Selain daripada 3 penemuan penyelidikan yang telah dikenal pasti dan dibuktikan bagi mencapai matlamat dan objektif penyelidikan yang telah diterangkan dan ditetapkan sebelum ini, penyelidikan ini juga telah mengenal pasti beberapa penemuan lain berkaitan kerosakan bangunan dan usaha pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia. Antara 5 penemuan penyelidikan lain yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
i. Hanya 15% sahaja daripada bangunan bersejarah di Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan bebas dari sebarang masalah kerosakan bangunan (fakta ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada keputusan analisa data 5 dan Rajah 9.5 di muka surat 274).
ii. Hanya 22% sahaja daripada bangunan bersejarah di Malaysia telah dipulihara dengan baik berlandaskan kepada perinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul (fakta ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada keputusan analisa data 6 dan Rajah 9.6 di muka surat 274).
iii. Sebanyak 83% daripada bangunan bersejarah di Malaysia terdapat kesan kerosakan bangunan pada elemen utamanya (fakta ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada keputusan analisa data 7 dan Rajah 9.7 di muka surat 275).
iv. Sebanyak 87% daripada bangunan bersejarah di Malaysia memerlukan usaha pemuliharaan dilakukan bagi membaik pulih kerosakan bangunan yang berlaku ke atasnya (fakta ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada keputusan analisa data 9 dan Rajah 9.9 di muka surat 276).
v. Sebanyak 78% daripada bangunan bersejarah di Malaysia tidak menggunakan pendekatan kerja pemuliharaan yang bersesuaian berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul sewaktu dipulihara (fakta ini telah dibuktikan dengan merujuk kepada keputusan analisa data 10 dan Rajah 9.10 di muka surat 277).

11.2 Rumusan Penemuan Penyelidikan Keseluruhan
Rumusan kepada penemuan penyelidikan ini secara keseluruhannya adalah kesemua penemuan penyelidikan telah dibuktikan dan seterusnya menjawab hipotesis penyelidikan iaitu kerosakan umum pada bangunan bersejarah di Malaysia hanya dapat dipulihara dengan berkesan melalui pemahaman yang mendalam terhadap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai mengikut amalan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan. Manakala cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disediakan dalam disertasi ini juga telah melengkapkan hipotesis penyelidikan yang telah dikemukakan sebelum ini yang mana kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah dapat diatasi melalui penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang sesuai bagi merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia.

11.3 Kesimpulan dan Cadangan
Penyelidikan yang menyeluruh perlu dilakukan ke atas bangunan bersejarah dalam usaha untuk mengenal pasti jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Seterusnya setelah dikenal pasti lokasi dan jenis kerosakan ini, setiap jenis kerosakan umum bangunan yang berlaku pada elemen utama bangunan bersejarah ini perlu dirawat dan dibaik pulih agar terus terpulihara seperti mana asal. Selain daripada itu, penyelidikan yang mendalam juga perlu dilakukan dari aspek pendekatan kerja pemuliharaan yang disediakan dalam bentuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan dalam usaha untuk merawat setiap jenis kerosakan umum bangunan ini selaras dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Ini adalah kerana didapati tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia masih lagi terdapat banyak kelemahan dari segi penyediaan, dokumentasi dan perlaksanaan.

Sehubungan dengan itu, satu penyelidikan telah dijalankan dalam usaha untuk menilai sejauh mana tahap penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini disediakan oleh pihak kontraktor bangunan dan perunding pemuliharaan dalam setiap projek pemuliharan bangunan bersejarah yang dilaksanakan. Hasil daripada penemuan penyelidikan yang dijalankan, beberapa kelemahan dan kekurangan yang berlaku pada peringkat penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini telah dikenal pasti dalam Bab Enam (penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah). Seterusnya dicadangkan beberapa penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang bersesuaian bagi mengatasi segala masalah yang telah dikenal pasti dalam Bab Sepuluh (cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan). Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini adalah penting kerana ia boleh dianggap sebagai faktor kepada kejayaan sesebuah projek pemuliharaan bangunan bersejarah.

Sekiranya cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini tidak disediakan dengan baik dan betul, dikhuatiri kerja pemuliharaan yang dijalankan oleh pihak kontraktor bangunan di tapak projek pemuliharaan adalah tidak berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan dari segi pendekatan kerjanya. Seterusnya pendekatan kerja pemuliharaan yang diamalkan bukan untuk membaik pulih kerosakan umum bangunan tetapi sebaliknya memusnahkan struktur, hiasan seni bina dan bahan binaan asli yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah berkenaan yang tidak ternilai harganya. Oleh yang demikian ia perlu dihentikan segera daripada terus berlaku pada kebanyakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Berikut dicadangkan beberapa langkah yang boleh dan perlu diambil dalam usaha untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dan antaranya adalah:
i. Pemilik bangunan bersejarah di Malaysia baik di pihak kerajaan mahupun swasta serta orang perseorangan perlu mengambil inisiatif untuk terus memulihara dan menyelenggara bangunan bersejarah milik mereka agar ianya bebas dari sebarang masalah kerosakan bangunan.
ii. Untuk setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah, pihak kontraktor disarankan atau jika perlu diwajibkan untuk melantik seorang pemulihara bangunan sepenuh masa untuk megawasi perlaksanaan projek pemuliharaan yang dilakukan.
iii. Setiap projek yang melibatkan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah, pihak kontraktor disarankan atau jika perlu diwajibkan untuk menyediakan 1 salinan lengkap penyataan kaedah kerja pemuliharaan sebagai bahan asas rujukan kerja di tapak bina.
iv. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan juga perlu disediakan dengan merujuk kepada prisip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul selaras dengan piawaian di peringkat antarabangsa serta perlu disemak oleh pemulihara bangunan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja dilaksanakan di tapak bina.

Susulan daripada itu, dengan merujuk kepada hasil penemuan penyelidikan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini beserta dengan beberapa cadangan penyelidikan yang telah diutarakan, diharapkan agar ianya dapat dijadikan sebagai bahan rujukan dan garis panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah. Selain daripada dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan, adalah diharapkan agar penemuan yang ditemui hasil daripada penyelidikan ini sedikit sebanyak dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat umum khususnya dalam menambah ilmu pengetahuan berkaitan usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Seterusnya melalui cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan juga diharap dapat memberi impak dan kesan yang mendalam kepada pihak kontraktor bangunan dan perunding pemuliharaan untuk meningkatkan kualiti serta mutu kerja pemuliharaan disamping mengamalkan pendekatan kerja pemuliharaan yang berlandaskan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul sewaktu melaksanakan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

Selain daripada itu, diharapkan agar melalui penyelidikan yang dijalankan ini secara tidak langsung ianya dapat membuka ruang kepada lebih ramai penyelidik lain untuk menjalankan penyelidikan ilmiah dalam bidang yang berkaitan bidang pemuliharaan warisan di Malaysia secara umumnya dan bangunan bersejarah secara khususnya disamping merancakkan lagi bidang pemuliharaan warisan negara. Secara umumnya masih terdapat pelbagai aspek berkaitan dengan pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia yang masih belum diteroki sepenuhnya. Berikutan itu, dicadangkan beberapa bidang kajian yang boleh dijalankan oleh para penyelidik lain seperti:
i. Penyelidikan berkaitan sejarah evolusi bangunan warisan dan implikasinya ke atas pembentukan sosio budaya masyarakat tempatan di Malaysia.
ii. Penyelidikan berkaitan kaedah pembinaan tradisional yang telah lama ditinggalkan.
iii. Penyelidikan berkaitan kaedah pembuatan bahan binaan tradisional yang telah pupus.
iv. Penyelidikan berkaitan teknologi pemuliharaan terkini yang boleh diadaptasi ke atas bangunan bersejarah.
v. Penyelidikan berkaitan keberkesanan penggunaan bahan binaan baru bagi menggantikan bahan binaan lama ke atas bangunan bersejarah.
vi. Penyelidikan berkaitan implikasi perundangan dan garis panduan pemuliharaan ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah.
vii. Penyelidikan berkaitan analisa kos ke atas projek pemuliharaan bangunan bersejarah.
viii. Penyelidikan berkaitan analisa kerosakan bangunan secara terperinci mengikut jenis kerosakan bangunan.
ix. Penyelidikan berkaitan peranan pemulihara bangunan dalam membuat keputusan berkaitan reka bentuk seni bina dan penggunaan bahan binaan pada projek pemuliharaan bangunan bersejarah.
x. Penyelidikan berkaitan lain-lain topik yang bersesuaian.

Cadangan beberapa topik yang berkaitan dengan bidang ini adalah untuk mengatasi beberapa isu penting yang sering dihadapi oleh bangunan bersejarah di Malaysia yang tidak pernah selesai. Segala permasalahan ini perlu ditangani oleh semua pihak yang bertanggung jawab dalam bidang pemuliharaan warisan di Malaysia khususnya di pihak Jabatan Warisan Negara dengan sokongan daripada agensi kerajaan lain, pertubuhan warisan dan orang perseorangan. Ini adalah kerana selain daripada isu kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah diselidik, beberapa isu lain yang perlu ditangani dengan segera ialah seperti isu bangunan bersejarah yang telah diubah suai mengikut keadaan semasa dengan banyak melakukan penambahan dari segi reka bentuk seni bina, ruang dan penggunaan, bahan binaan serta kemudahan bangunan yang lebih moden dan terkini.

Selain daripada itu, terdapat juga bangunan bersejarah yang tidak dipulihara dengan baik dan lebih memilukan lagi apabila ada diantaranya yang telah dibiarkan dalam keadaan usang tanpa berpenghuni serta dirobohkan untuk tujuan pembangunan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang berlaku ke atas Penjara Pudu di Kuala Lumpur kerana tiada kesedaran terhadap kepentingan untuk memulihara khazanah warisan negara. Seterusnya terdapat juga bangunan bersejarah yang dipulihara tetapi menggunakan pendekatan kerja pemuliharaan yang tidak sesuai dan bertentangan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul seperti mengubah suai reka bentuk seni bina asal, meroboh binaan dan struktur asli, menggunakan warna yang kontra pada sesetengah elemen dan lain-lain lagi isu yang berkaitan. Susulan itu, selagi masih ada bangunan bersejarah yang berdiri megah sebagai khazanah warisan negara, selagi itulah penyelidikan dan usaha pemuliharaan yang berkaitan dengannya akan diteruskan dalam usaha untuk menyelesaikan semua permasalahan dan isu yang timbul walaupun untuk tempoh masa seribu tahun lagi.

Penyelidikan yang dijalankan ke atas kerosakan bangunan dan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini adalah penting dalam usaha untuk memperkaya dan mengembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang pemuliharan warisan di Malaysia secara umumnya dan bangunan bersejarah secara khususnya. Ini adalah kerana sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini yang terdiri daripada rumah kedai, rumah ibadat, rumah kediaman, bangunan pentadbiran kerajaan dan bangunan awam yang kebanyakannya masih digunakan sehingga kini. Bangunan bersejarah ini dari segi keadan fizikalnya nampak masih utuh dan berada dalam keadaan baik seperti asal. Namun begitu, pada hakikatnya kebanyakan daripada bangunan bersejarah ini lebih-lebih lagi yang telah berusia lebih daripada 100 tahun sudah pasti tidak dapat lari dari mengalami sebarang masalah kerosakan bangunan dengan kesan kerosakan bangunan boleh dikesan dan kelihatan dengan mudah pada hampir sebahagian besar elemen utamanya.

Akhir kata, melalui penyelidikan yang telah dijalankan ini, adalah diharapkan agar ianya dapat memberi sumbangan yang besar dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia khususnya kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pemuliharaan seperti pihak kontraktor, perunding serta pemulihara bangunan itu sendiri. Hasil serta penemuan penyelidikan yang telah dikenalpasti dan dicadangkan dalam disertasi ini juga diharap dapat memberi impak yang mendalam serta dijadikan rujukan pada peringkat penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan oleh pihak-pihak yang berkenaan agar bangunan bersejarah terus terpulihara dan bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan. Khazanah warisan negara dalam bentuk bangunan bersejarah ini harus terus dipulihara untuk tatapan generasi yang akan datang kerana sekali ia musnah, tidak mungkin ia akan dapat diganti dengan yang baru dan sudah pasti ia akan lenyap untuk selamanya.

No comments:

Powered By Blogger