Friday, May 01, 2009

Bangunan Usang Cacatkan Keindahan Bandar Raya Ipoh, Perak, Malaysia

Bangunan Bekas Pejabat Pos Lama, Ipoh, Perak.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 06/05/2008.
Oleh ANGELINA SINYANG
.
IPOH 5 Mei - Meskipun Ipoh sudah diiktiraf sebagai bandar raya kerana mencapai tahap kemajuan setaraf dengan bandar-bandar lain di Malaysia tetapi masih terdapat banyak bangunan usang yang mencacatkan keindahan bandar yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah. Berbeza dengan tempat lain di negara ini, Ipoh cukup unik kerana masih mengekalkan banyak bangunan lama yang didirikan oleh penjajah British.
.
Antara bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda di Ipoh ialah Stesen Keretapi Ipoh terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kerana memiliki struktur binaan yang menakjubkan dengan gabungan senibina Moor dari negara Turki dan senibina moden. Dalam pada bangga memiliki bangunan bersejarah ini, ramai warga Ipoh sebenarnya kecewa dengan pihak berkuasa tempatan kerana membiarkan banyak bangunan lama terutama deretan rumah kedai di tengah-tengah bandar raya menjadi usang hingga mencacatkan pemandangan.
.
Selain bangunan kedai, ada juga bangunan bekas pejabat pentabdiran kerajaan yang ditinggalkan kosong hingga menjadi sarang tempat remaja membuat maksiat dan penagih dadah berkumpul melepaskan gian. Salah satu bangunan bersejarah yang ditinggalkan usang ialah bangunan terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh iaitu bekas Pejabat Pos Besar Ipoh yang kemudiannya dijadikan pejabat pentabdiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pusat Penerangan Pelancongan Perak.
.
Seorang penduduk yang ditemui, Fatimah Ismail, 50, berkata, adalah merugikan bangunan unik dan masih kukuh itu dibiarkan kosong hingga mencacatkan pemandangan di samping dijadikan sarang maksiat oleh remaja serta penagih dadah. ''Bangunan ini patut dibaik pulih dan dipelihara kerana ia pernah menyumbangkan bakti kepada rakyat Perak semasa dijadikan pejabat pos, pejabat pentabdiran MBI dan Pusat Penerangan Pelancongan Perak. ''Saya sedih kerana bangunan ini sekarang dibiarkan usang hingga dijadikan tempat remaja melakukan maksiat dan menagih dadah. Apa salahnya jika ia dibaik pulih untuk dijadikan bangunan pejabat atau hotel," katanya. Foong Kun Siew, 60, berkata, bangunan bekas pejabat MBI ini mempunyai seni bina yang cantik dan unik yang mana tidak boleh lagi ditemui pada zaman ini. Justeru, beliau mencadangkan kepada pemilik bangunan tersebut supaya mencantikkan semula bangunan terbabit dan menjadikannya sebagai galeri pameran lukisan kerana ia berpotensi menarik pelancong.
.
Seorang bekas kakitangan Pos Malaysia yang kini berniaga di Medan Selera Dato Sagor terletak bersebelahan dengan bangunan itu, Shamsudin Jalani, 55, pula mencadangkan Pejabat Pos Besar Ipoh mengambil semula bangunan itu untuk dijadikan pusat menguruskan perkhidmatan Pos Laju. ''Saya difahamkan Pejabat Pos Besar Ipoh terpaksa menyewa sebuah bangunan di Tasek, Chemor untuk dijadikan pusat mengurus perkhidmatan Pos Laju sedangkan mereka boleh menggunakan bekas pejabat lama di bangunan ini untuk tujuan tersebut. ''Bangunan ini amat sesuai kerana ia terletak berdepan dengan bangunan Pejabat Pos Besar Ipoh dan mempunyai kawasan yang luas," katanya. Seorang peniaga, Sabariah Mat Alipiah, 46, berkata, perniagaan kedai makan mereka di Medan Dato Sagor terjejas sebaik sahaja pejabat-pejabat di bangunan tersebut dikosongkan beberapa tahun lalu. ''Pendapatan kami merosot 50 peratus sejak bangunan ini tidak digunakan. Jadi, saya merayu pihak berkenaan supaya menyewa atau menjual bangunan ini kepada mana-mana pihak yang berminat untuk dijadikan pejabat bagi menghidupkan semula perniagaan kami," katanya.

No comments:

Powered By Blogger