Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 24/07/2008.
.
APAKAH tugas kita terhenti selepas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia? Jawapannya tidak kerana adalah menjadi tugas semua pihak untuk melestarikan kawasan itu seperti yang dikehendaki badan dunia itu. Tambahan pula, usaha untuk mendapatkan pengikitrafan itu bukan mudah dan telah dilakukan kira-kira lapan tahun lalu tetapi tidak berjaya. Ini kerana kerajaan negeri dan pihak tertentu kurang memahami prosedur yang ditetapkan UNESCO.
.
Apabila Jabatan Warisan Negara diwujudkan usaha untuk mendapat pengikitrafan itu menjadi salah satu keutamaan mereka. Jabatan Warisan dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) mengkaji dan cuba memahami kehendaki UNESCO serta World Heritage Center mengenai syarat pengiktirafan dan mengambil tindakan selanjutnya. Permohonan yang dikemukakan kerajaan Melaka dan Georgetown tidak memenuhi format UNESCO. Borang tanpa dinilai itu dikembalikan pada 2005. Sejak itu, KPKKW mengambil langkah aktif dengan menubuhkan jawatankuasa teknikal di peringkat kebangsaan. Pada masa sama, beberapa pakar dari universiti tempatan dilantik. Di peringkat kementerian, Akta Warisan diwujudkan. Setelah cukup bersedia pada akhir Januari 2007, kementerian mengemukakan permohonan itu sekali lagi. UNESCO pula mengambil masa 18 bulan menilainya.
.
Jadi apabila Menteri KPKKW, Datuk Seri Shafie Apdal memuji Pesuruhjaya Jabatan Warisan, Datuk Prof. Emeritus Zuraina Majid dan pasukannya serta pegawai kementerian, ia bukan bertujuan menonjol diri. Ia membuktikan komitmen kementerian untuk negara sehingga membawa kepada pengiktirafan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia pada 7 Julai lalu. Ekoran pengikitrafan itu, sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan untuk Tapak Warisan Dunia Melaka dan Georgetown (Management Committee for World Heritage Sites of Melaka and Georgetown ) ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Shafie. Fungsi jawatankuasa itu antara lain untuk memastikan keaslian, integriti yang meliputi warisan ketara seperti bangunan, monumen serta warisan kebudayaan tak ketara terus terpelihara. Ia juga akan menyelaras polisi berkaitan konservasi, sistem pemantauan, pelaksanaan Pelan Pengurusan Pemeliharaan secara keseluruhan dan sebagainya.
.
Pihak Kementerian melalui Jabatan Warisan Negara mempunyai perancangan rapi untuk melestarikan dua tapak itu. Antara perancangannya termasuk menyelaras pelan pengurusan di antara kedua bandar meliputi sistem pengurusan warisan yang lebih professional, pengurusan trafik, pengurusan pelancongan, garis panduan konservasi yang praktikal membabitkan pemuliharaan bangunan sedia ada. Jadi dengan pengikitrafan dunia itu, sebarang bentuk pembangunan mestilah mematuhi garis panduan sedia ada. Ini penting kerana penilaian UNESCO akan dijalankan dari semasa ke semasa dan jika kita mengingkari, pengiktirafan itu boleh ditarik balik.
.
Pengikitrafan UNESCO untuk tapak warisan di Melaka membabitkan kawasan seluas 214.6 hektar meliputi dua kawasan iaitu Zon Utama dan Zon Penampan. Zon Utama termasuk kawasan sekitar Bukit St Paul serta Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat (Jonker Walk) serta beberapa batang jalan lain hingga Jalan Kampung Pantai. Zon Penampan pula seperti sekitar Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Munsyi Abdullah, Kampung Banda Kaba serta beberapa kawasan lain termasuk Bukit China. Untuk Georgetown pula kawasan Zon Utama dan Zon Penampan seluas 259.4 hektar. Kawasannya seperti Lorong Love, Pengkalan Weld Lebuh Pantai, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Light, Lebuh Bishop, Lebuh Pasar serta beberapa lebuh lain. Zon Penampan pula meliputi kawasan sepanjang laut di kawasan pelabuhan Jalan Perangin di bahagian tenggara dan Jalan Transfer di bahagian timur laut.
.
Jika kita membelek lembaran sejarah, keistimewaan Melaka dan Georgetown kerana ia terletak di perairan Selat Melaka. Selat itu menjadi laluan pedagang yang penting suatu ketika dulu. Dua bandar itu memaparkan satu contoh luar biasa penempatan pedagang. Ia menunjukkan kedua bandar itu sebagai pusat perdagangan antarabangsa melebihi 500 tahun lamanya. Dua bandar itu juga memperlihatkan satu contoh nyata pertemuan pelbagai warisan dan tradisi Asia di mana agama dan kebudayaan bertemu. Ia dapat dilihat daripada amalan tradisi keagamaan. Melaka dan Georgetown juga mencerminkan kedatangan bersama elemen budaya dari luar kepulauan Melayu seperti China, India, Arab dan Eropah. Mereka membentuk satu bentuk negara bangsa, selain menghasilkan keunikan seni bina bangunan.
Sebagai rakyat Malaysia, pengiktirafan ini menggembirakan kita kerana ia mencatat sejarah sebagai yang pertama untuk kategori tapak warisan. Sebelum ini dunia sudah mengiktiraf Taman Negara Mulu, Sarawak dan Taman Negara Kinabalu, Sabah untuk kategori alam semula jadi. Pengiktirafan ini penting kerana ia membukti dan mempamerkan kepada dunia bahawa negara mempunyai khazanah warisan bertaraf dunia serta sebahagian daripada khazanah dunia yang perlu dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Apa yang membanggakan semua pihak 21 negara yang menganggotai Jawatankuasa Warisan Dunia tidak membantah untuk pemilihan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia.
Mesyuarat jawatankuasa bertaraf dunia di Quebec City, Kanada pada 7 Julai lalu yang memberi pengikitrafan pada Malaysia itu adalah sesuatu yang disambut baik negara termasuk yang disuarakan Perdana Menteri. Pengiktirafan itu penting kerana ia sedikit banyak akan membantu industri pelancongan. kedatangan pelancong kebiasaannya akan bertambah. Ini dapat dilihat apabila dunia memberi pengiktirafan pada Taman Negara Kinabalu dan Taman Negara Mulu. Pada masa sama, pengiktirafan itu akan mewujudkan rasa cinta terhadap khazanah warisan negara dan menjadi tanggungjawab semua pihak memulihara khazanah itu. Kita tidak mahu pengiktirafan yang diberikan akan ditarik balik. Marilah kita merancang untuk melestarikan dua kawasan itu.