Monday, March 05, 2007

Penyesuaigunaan Semula Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel Bagi Menyokong Industri Pelancongan Warisan Negara

PROCEEDINGS OF 7th. ANNUAL CONFERENCE MANAGEMENT IN CONSTRUCTION RESEARCHERS' ASSOCIATION (MICRA) 2008, 18-19th. JUNE 2008, KULLIYYAH OF ARCHITECTURE & ENVIRONMENTAL DESIGN, INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA

Prepared by: Lilawati Ab Wahab¹, Prof. Madya Dr. A. Ghafar Ahmad² and Prof. Madya Dr. Badaruddin Mohamed²
¹Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA Perak, Kampus Seri Iskandar, 32600, Bota, Perak, Malaysia. Tel: 05-3742000
²Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang, Malaysia. Tel: 04-6533888

¹lilawati@perak.uitm.edu.my, ²aghafar@usm.my, ²mailto:²mbada@usm.my
Abstrak: Warisan negara yang paling nyata dan telah diabaikan hari ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seluruh negara. Semakin hari bilangannya semakin berkurangan. Kini kesedaran rakyat telah mula timbul. Banyak bangunan bersejarah telah mula dibaikpulih dan disuaigunasemula untuk pelbagai tujuan. Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaiguna semula sebagai muzium, pejabat, restoran, tempat kediaman, premis perniagaan dan kegunaan awam. Ada juga yang digunakan untuk menarik tumpuan para pelancong. Namun begitu pendekatan pemuliharaan bangunan bersejarah untuk disuaiguna semula di Malaysia tidak diamalkan dengan konsep dan kaedah yang betul. Penyesuaigunaan semula yang dilakukan bagi menarik kedatangan pelancong juga kurang berjaya. Ini berlaku mungkin disebabkan pelbagai faktor seperti, lokasi, promosi, pengurusan dan sebagainya. Ia merupakan suatu kerugian besar yang boleh dielakkan sekiranya penyesuaigunaan semula tersebut dirancang dengan baik. Objektif penyelidikan ini dilakukan ialah bagi menyelidik penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel dan menganalisa kejayaan dan kegagalan penyesuaigunaan semula tersebut agar dapat dijadikan panduan pada masa akan datang. Fokus akan diberikan kepada bangunan bersejarah yang telah disuaiguna semula sebagai hotel di dalam zon pemuliharaan teras dan pemampan di dua bandar warisan di Malaysia iaitu George Town dan Melaka yang sedang menunggu keputusan UNESCO untuk disenaraikan sebagai bandar warisan dunia.

Kata Kunci: bangunan bersejarah, hotel warisan,industri pelancongan, pemuliharaan,
peyesuaigunaan semula.

Pengenalan
Penyesuaigunaan semula adalah sebahagian daripada proses pemuliharaan. Ia adalah satu langkah bijak bagi memastikan sesebuah bangunan samada bagunan warisan atau bangunan bersejarah dipulihara, diberikan nafas baru dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ia juga sebagai langkah mempertahankan khazanah warisan terdahulu daripada lenyap ditelan zaman. Penyesuaigunaan semula adalah satu proses dimana sebuah bangunan sediada diubahsuai fungsi penggunaannya kepada satu fungsi baru yang sama sekali tidak sama dengan fungsi asal dan akan meninggalkan fungsi penggunaan yang lama. Selalunya ia memerlukan sedikit pengubahsuaian kepada bangunan tersebut bagi memastikan bangunan tersebut dapat memenuhi keperluan fungsi bangunan baru berkenaan. Penyesuaigunaan semula secara umumnya akan melibatkan kerja-kerja seperti pemuliharaan, pengubahsuaian, pembaikan, pengekalan dan pembetulan. Ia perlu dijalankan secara terancang dan komprehensif bagi memastikan bangunan yang akan disuaiguna semula tersebut dapat digunakan secara optima. Bangunan yang sesuai untuk penyesuaigunaan semula adalah bangunan-bangunan warisan yang terabai disebabkan terdapat banyak bangunan baru yang dibina. Penyesuaigunaan semula merupakan satu kaedah yang masih baru lagi dinegara kita, namun di negara barat ia telah lama diamalkan. Permulaan berlakunya konsep penyesuaigunaan semula dikebanyakkan negara barat ketika itu ialah kerana negara-negara tersebut sedang mengalami perubahan dan perkembangan ekonomi yang pesat. Perkembangan ini menyebabkan permintaan tinggi ke atas bangunan samada bangunan kediaman, pejabat, kedai, institusi dan industri. Bangunan sediada tidak dapat memenuhi permintaan-permintaan ini. Sehubungan itu, pemaju-pemaju telah memberi perhatian kepada bangunan-bangunan warisan yang terabai. Bangunan–bangunan itu kemudiannya dibaiki dan diubah fungsinya mengikut kesesuaian keperluan. Antaranya ialah bangunan pejabat diubah menjadi tempat tinggal, bangunan industri diubah menjadi pusat pameran, rumah kediaman dijadikan kedai, istana lama dijadikan muzium, pejabat dijadikan restoran, rumah kediaman dijadikan hotel dan sebagainya. Permintaan ke atas bangunan warisan semakin tinggi sekiranya kedudukan bangunan tersebut terletak ditengah-tengah pusat bandar yang menjadi tumpuan semua pihak. Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah pada dasarnya merupakan satu tugasan yang amat sukar. Ini kerana terdapat akta-akta yang mengawal bangunan bersejarah terutama jika ia telah berumur melebihi 100 tahun. Akta-akta ini digubal bagi memastikan bangunan –bangunan tersebut dipulihara dari dirosakkan atau diubah dengan sewenang-wenangnya. Walaupun konsep penyesuaigunaan semula dilakukan, namun kepentingan prinsip pemuliharaan perlulah dititikberatkan ketika kerja-kerja penyesuaigunaan semula dilakukan bagi mengelakkan berlaku banyak perubahan dari sudut rekabentuk dan bahan yang digunakan bagi bangunan bersejarah tersebut. Konsep ini didapati dapat menarik tumpuan lebih ramai pelancong berbanding jika ia dijalankan dibangunan-bangunan baru dan moden kerana pelancong ingin mengalami sesuatu yang berbeza dan unik. Bangunan bersejarah yang disuaigunasemula selalunya mempunyai persekitaran dan keunikan senibina yang bermutu tinggi dan ini merupakan tarikan utama pelancong melawat bangunan tersebut. Selain daripada itu, banyak sebab lain yang menggalakkan penggunaan semula ini dilakukan. Kebanyakan pemilik bangunan dan pemaju hartanah mula menyedari potensi nilai sesebuah bangunan bersejarah berbanding membina sebuah bangunan baru. Ini dapat dilihat dari segi kos bagi menjalankan kerja-kerja penyesuaigunaan semula itu sendiri. Ia selalunya adalah 50-80% lebih rendah jika dibandingkan membina bangunan baru dan ini dapat menjimatkan kos pembinaan sesebuah bangunan. Highfield (1987) di dalam bukunya telah mengenalpasti sebab-sebab penyesuaigunaan semula bangunan lama dilakukan antaranya ialah masa pembinaan yang singkat, kelebihan dari segi ekonomi, kelulusan dari pihak berkuasa, undang-undang bangunan yang diwartakan dan kelebihan rekabentuk bangunan lama. Konsep penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah ini amat sesuai dijalankan di bangunan bersejarah yang terdapat di bandar warisan, terutama yang menjadi tumpuan atau pusat pelancongan. Ini dapat memaksimakan penggunaan bangunan tersebut berbanding dibiarkan sebagai tontonan pelancong semata.

Menurut Pickard (1998) pelancongan adalah penyumbang utama ekonomi kepada bandar atau pusat sejarah. Ia boleh memberi pulangan yang baik kepada hotel, kedai, perniagaan dan secara positifnya akan menyokong langkah pemuliharaan. Menurut Badarudin Mohamed (2007), pelancongan di Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu pelancongan alam semulajadi, budaya, sejarah, rekreasi, kemudahan membeli belah, infrastruktur dan kemudahan tempat tinggal. Namun begitu, kita perlulah menyedari bahawa kedatangan pelancong ke negara kita selama ini adalah atas tarikan kemudahan membeli belah yang mana karnival membeli belah telah dijalankan sebanyak empat kali setahun oleh kerajaan. Kategori yang terakhir iaitu kemudahan tempat tinggal sering dipandang remeh oleh pihak yang berkaitan. Kita sepatutnya menggunakan kemudahan tempat tinggal ini sebagai serampang dua mata untuk menarik minat lebih ramai pelancong datang ke negara kita. Kita perlu menggunakan bangunan bersejarah sediada dan menyesuaiguna semula bangunan tersebut sebagai hotel bercirikan warisan. Perkara utama yang sering dititikberatkan pelancong apabila melancong ke sesebuah negara adalah mencari tempat penginapan yang sesuai sepanjang tempoh melancong tersebut. Terdapat berbagai jenis dan peringkat pelancong. Ada yang datang melancong atas tarikan budaya dan sejarah. Pelancong jenis inilah yang akan mencari kelainan dari segala segi. Walaupun dari segi tempat penginapan. Di Malaysia, sukar didapati hotel yang bercirikan warisan yang sering dicari oleh pelancong jenis ini. Apatah lagi jika hotel tersebut disuaiguna semula daripada bangunan bersejarah yang memaparkan budaya hidup masyarakat Malaysia. Di Malaysia walau terdapat resort yang menggunakan konsep perkampungan Melayu seperti Kampung Tok Senik Resort Langkawi dan Pedu Lake Resort namun ianya terletak jauh daripada pusat tarikan pelancongan lain. Dengan mewujudkan hotel yang disuaiguna semula daripada bangunan bersejarah dan bercirikan budaya masyarakat Malaysia akan mampu menarik pelancong untuk dating melancong ke Malaysia. Di Melaka terdapat beberapa buah hotel yang disuaiguna semula daripada bangunan rumah kedai bersejarah di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Antaranya ialah Hotel Puri dan Hotel Baba House. Namun begitu ia masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan tempat penginapan pelancong pada satu-satu masa terutama pada musim sibuk. Pelancong yang datang mempunyai pilihan untuk memilih samada hotel yang mempunyai sejarah tersendiri atau hotel komersil yang banyak terdapat diluar sana. Hotel komersil sediada mudah didapati dimana-mana. Pilih sahaja daripada hotel bertaraf satu bintang hingga lima bintang. Namun pelancong hari ini sudah pandai menilai untuk memilih menginap di hotel yang mempunyai keunikan tersendiri apatah lagi jika tujuan kedatangan mereka untuk mengalami sendiri budaya dan sejarah masayarakat tempatan. Dengan wujudnya hotel yang bercirikan warisan di Malaysia akan membantu lagi negara di dalam menarik kedatangan pelancong ke Malaysia. Di Malaysia sendiri, kedatangan pelancong ke bangunan bersejarah di bandar-bandar warisan memberi banyak kelebihan kepada bandar-bandar tersebut seperti pulangan ekonomi yang tinggi kepada berbagai pihak seperti agen pelancongan, operator pelancongan dan pemilik premis sendiri. Disamping itu ia akan mendatangkan banyak keuntungan kepada negara dimana selama ini sektor ini telah menjadi penyumbang kedua ekonomi negara. Kerajaan telah mensasarkan sebanyak 24.6 juta pelancong akan datang melancong ke Malaysia bagi tahun 2010 yang mana ini diharapkan dapat membantu lagi dalam menjana ekonomi Negara. Aspek sejarah menjadi salah satu tarikan pelancong ke Malaysia. Lokasi tapak warisan sejarah menjadi pilihan sebahagian besar daripada 16.4 juta pelancong yang datang ke Malaysia. Tempat bersejarah tetap menjadi tumpuan pelancong dari luar terutama berkaitan senibina seperti bangunan bersejarah. Mereka bukan saja melancong, malah mengkajinya terutama pelancong dari united Kingdom yang mahu melihat peninggalan sejarah mereka ketika British menjajah Tanah Melayu dulu. Penyenaraian Melaka dan George Town sebagai warisan dunia adalah amat penting kerana ia bukan saja mampu menjadi daya penarik kepada industri pelancongan, malah rakyat Malaysia boleh berbangga kerana mempunyai kawasan warisan yang dianggap berstatus dunia. Namun begitu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk sesuatu kawasan itu disenaraikan dalam senarai kawasan warisan dunia kerana ia mempunyai syarat, peraturan dan kriteria yang yang ditetapkan UNESCO yang perlu dipatuhi terlebih dahulu oleh sesuatu kawasan dan sehingga kini kita masih menunggu keputusannya.

Penyataan Masalah
Penyelidikan selalunya akan dijalankan atas alasan-alasan tertentu. Bagi penyelidikan ini, ia dijalankan setelah didapati bangunan bersejarah di Malaysia semakin pupus dan tidak digunakan sebaiknya. Ini menyebabkan:
1. Kepupusan dan kerosakan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya kerana tidak digunakan terutamanya di bandar warisan.
2. Bangunan bersejarah yang dipulihara tidak digunakan sebaik mungkin. Kebanyakannya menjadi ‘Gajah Putih’ dan ini amat merugikan terutama sekali jika kos pemuliharaan bangunan tersebut tinggi. Ini mungkin disebabkan oleh fungsi bangunan yang dikekalkan tidak sesuai dengan keperluan kegunaan masa kini.
3. Ketidakberangsangan Industri pelancongan warisan di Malaysia terutamanya disebabkan oleh sumber sediada tidak digunakan sebaik mungkin.
4. Kegagalan di dalam penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel dan pengurusannya.

Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel bukan sahaja satu cara untuk menarik kedatangan pelancong, tetapi ia juga mempunyai impak yang besar yang lebih luas dan lebih penting. Kelebihannya termasuklah:
1. Menjaga bangunan bersejarah dan bandar warisan bangsa daripada pupus.
2. Menggunapakai bangunan bersejarah yang telah dipulihara tanpa perlu membina hotel baru untuk tujuan industri pelancongan warisan.
3. Menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke bandar warisan Malaysia.
4. Menambah pendapatan penduduk tempatan dan negara dari industri perhotelan dan pelancongan warisan.

Penyelidikan ini akan memberi fokus kepada bangunan bersejarah yang telah disuaiguna semula sebagai hotel. Penumpuan akan diberi ke atas dua bandar warisan yang telah menghantar ‘dossier’ untuk disenaraikan sebagai warisan dunia oleh UNESCO. Skop penyelidikan juga hanya akan tertumpu kepada zon pemuliharaan teras dan zon pemampan agar tumpuan dapat diberikan dengan lebih baik. Penyelidikan ini diharap dapat memberikan gambaran dan pemahaman yang lebih luas di dalam isu penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel bagi menyokong industri pelancongan warisan di Malaysia. Penyelidikan ini akan menitikberatkan perkara-perkara berikut:
1. Pemuliharaan bangunan bersejarah untuk disuaiguna semula sebagai hotel.
2. Mengenalpasti bangunan bersejarah yang telah dipulihara dan disuaiguna semula sebagai hotel di bandar warisan.
3. Mengenalpasti sebab kejayaan atau kegagalan penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel dari setiap sudut.
4. Menganalisa pandangan pelancong tentang penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel.

Ulasan Dari Penyelidikan Terdahulu Berhubungkait Dengan Penyelidikan
Mengikut penelitian penyelidik, penyelidikan berhubung pemuliharaan bangunan bersejarah yang disuaiguna semula sebagai hotel dalam menarik pelancong melancong ke Malaysia belum dijalankan secara mendalam oleh mana-mana penyelidik. Sekiranya ada, namun fokus setiap penyelidikan adalah berlainan. Terdapat beberapa penulis buku dari luar yang telah menjalankan kajian untuk digunakan di dalam buku mereka. Namun kebanyakannya menjurus kepada topik yang berlainan atau memfokus kepada topik yang berlainan. Walaubagaimanapun penyelidik mendapati buku-buku tersebut akan banyak membantu di dalam penyelidikan ini nanti. Satu penyelidikan geran jangkapendek Universiti telah dijalankan oleh A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman yang memberi tumpuan kepada Aspek Ekonomi dalam sektor perhotelan bercirikan warisan senibina di Malaysia. Terdapat satu penyelidikan yang telah dijalankan dan menyentuh berkenaan pemuliharaan bangunan bersejarah dihasilkan oleh Siti Norlizaiha Harun (2004). Di dalam tesis PhD beliau yang bertajuk “Amalan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia”, beliau telah membuat penyelidikan yang tertumpu kepada amalan praktis kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Hasil daripada penyelidikannya, beliau telah menggariskan panduan kepada pengamal-pengamal praktis pemuliharaan dan menggariskan amalan kerja terbaik yang boleh dijalankan bagi kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Fokus penyelidikan beliau ialah untuk membantu pengamal praktis pemuliharaan di Malaysia untuk menjalankan kerja pemuliharaan yang teratur dan berkesan. Begitu juga dengan kajian yang telah dijalankan oleh beberapa individu bagi tesis sarjana. Mohamed Yusof Ismail (2003) telah menjalankan penyelidikan berkenaan Pemulihan Bangunan Warisan di Malaysia. Penyelidikan beliau menyentuh kaedah-kaedah yang boleh dijalankan bagi memastikan sesebuah bangunan warisan dapat dipulihara. Terdapat juga kajian yang dijalankan dan kemudian dibukukan. Antara penyelidikan tersebut ialah kajian yang telah dijalankan oleh Syed Zainol Abidin Idid (1995) dengan kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia. Ia merupakan kajian inventori bangunan warisan di Malaysia. Kajian beliau lebih kepada mengenalpasti identiti setiap bandar berdasarkan rupabentuk bangunan yang terdapat di bandar-bandar tersebut. Beliau menyediakan panduan mengenali warisan rupabandar disamping memberikan bilangan bangunan warisan yang terdapat di bandar warisan di Malaysia. Walaupun fokus penyelidik lebih kepada penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel namun penyelidik akan membuat sedikit penyelidikan berkaitan hotel-hotel yang menjadi tumpuan pelancong di Malaysia.

Objektif Penyelidikan
Objektif penyelidikan ini dijalankan adalah bagi menyelidik dengan lebih mendalam mengenai penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel di bandar warisan di negara kita. Hotel merupakan antara pemangkin di dalam industri pelancongan sesebuah negara. Tujuan utama penyelidikan ini adalah bagi:
1. Mengkaji kepentingan pemuliharaan bangunan untuk diguna semula di dalam industri perhotelan dan pelancongan warisan.
2. Mengkaji kejayaan dan kegagalan bangunan bersejarah yang telah dipulihara dan disuaiguna semula sebagai hotel di bandar warisan yang ada dan mengenalpasti punca-puncanya.
3. Menghasilkan panduan penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah sebagai hotel bagi digunakan di dalam industri perhotelan dan pelancongan warisan.
4. Menghasilkan satu garispanduan pengurusan hotel hasil penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah untuk industri pelancongan warisan negara.

Persoalan Penyelidikan
1. Mengapa pemuliharaan bangunan bersejarah di bandar warisan di Malaysia diabaikan?
2. Mengapakah kebanyakan bangunan bersejarah di Malaysia disuaiguna semula sebagai muzium dan tidak dioptimakan untuk penggunaan lain seperti hotel?
3. Bagaimanakah untuk memastikan penyesuaigunaan semula sesebuah bangunan sebagai hotel dapat digunakan secara efektif di dalam industri pelancongan warisan?
4. Mengapakah penyesuaigunaan semula sesebuah bangunan bersejarah sebagai hotel sering menemui kegagalan?

Metadologi Penyelidikan
Metadologi yang akan digunakan bagi penyelidikan ini adalah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif dimana ia dirasakan akan dapat memberikan hasil penyelidikan yang lebih efektif. Metadologi penyelidikan ini akan terdiri daripada beberapa peringkat iaitu bermula dengan kerja teori, melakukan temubual dan soalselidik, menjalankan kajian kes, menjalankan kerja penyelidikan, mengumpul data utama dan sekunder dan seterusnya menganalisa kesemua data yang telah dikumpulkan untuk mendapatkan hasil penyelidikan yang telah dibuat. Rangka kerjanya adalah seperti berikut:
1. Kerja Teori - Kerja teori merupakan satu bahagian yang amat penting dijalankan oleh penyelidik bagi mendapatkan pemahaman yang jelas dan menambah maklumat sediaada penyelidik. Penyelidik perlulah sekurang-kurangnya mendapatkan maklumat teori tidak melebihi sepuluh tahun lepas bagi memastikan maklumat tersebut adalah maklumat semasa dan terkini. Kerja teori ini tidak terhad kepada buku sahaja malahan meluas kepada jurnal, kertas kerja seminar, laman web, akhbar dan lain-lain bahan cetak.
2. Temubual dan Soal Selidik - Bagi memastikan penyelidikan ini lebih realistik dan mendapatkan hasil penyelidikan yang lebih baik, temubual perlulah dijalankan terutamanya dengan pihak-pihak yang terbabit dalam pemuliharaan bangunan bersejarah, pihak berkuasa tempatan, pihak pengurusan bangunan, pihak pengurusan hotel dan pelancong. Temubual perlulah merangkumi semua aspek seperti tarikan bangunan bersejarah yang disuaiguna semula sebagai hotel, aspek pengurusan hotel warisan, prospek hotel warisan pada masa depan, pandangan pelancong tentang perhotelan warisan dan masyarakat tempatan. Selain daripada itu, borang soal selidik juga akan diedarkan bagi memudahkan kerja analisa secara kuantitatif dijalankan. Soal selidik juga selalunya didapati lebih efektif kerana responden dapat melahirkan pendapat tanpa perlu berhadapan dengan penyelidik. Disamping ianya tidak mengambil masa responden yang lama sekiranya borang soal selidik tersebut disediakan dengan baik.
3. Kajian Kes - Kajian kes akan dilakukan sekurang-kurangnya ke atas lima hotel di dalam zon teras pemuliharaan. Hotel yang akan dipilih ialah hotel yang telah disuaiguna semula daripada bangunan bersejarah. Kajian kes ini akan merangkumi sejarah asal bangunan tersebut, kaedah pemuliharaan yang dilakukan, jenis suaiguna semula, tarikan utama hotel tersebut kepada pelancong dan faktor kejayaan atau kegaggalan penyesuaigunaan semula bangunan tersebut sebagai hotel.
4. Kerja Penyelidikan - Penyelidikan tapak akan dilakukan ke atas bangunan bersejarah yang telah disuaiguna semula sebagai hotel di zon teras pemuliharaan dan zon pemampan di dua bandar warisan di Malaysia iaitu Melaka dan Georgetown.
5. Pengumpulan Data dan Dokumentasi Utama - Data primer terdiri temubual, kajiselidik, kajian kes dan kerja penyelidikan manakala data sekunder adalah kajian teori. Kesemuanya akan dikumpul dan didokumentasikan bagi tujuan analisa.
6. Analisa Penyelidikan - Data yang telah dikumpulkan, akan dianalisa. Data teoritikal akan dianalisa secara pemikiran literal manakala bagi data kuantitatif seperti kajiselidik, maka penggunaan perisian komputer tertentu akan digunakan untuk menjalankan analisa.

Sumbangan Penyelidikan Kepada Pengetahuan Yang Baru
Apabila penyelidikan ini tamat, diharapkan ia dapat membina satu platform kepada pengamal dan masyarakat dalam mengubah sikap di dalam menilai dan menghargai bangunan bersejarah sebagai aset warisan didalam industri pelancongan warisan negara. Ia juga diharap diharap dapat menggalak penyelidik-penyelidik yang ada untuk menyelidik dengan lebih mendalam tentang warisan kita tidak kiralah samada bangunan, kawasan mahupun budaya yang boleh membantu pelancongan warisan negara kita. Namun begitu yang paling penting ialah penyelidikan ini diharap dapat membantu dan membaiki garispanduan berkenaan penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah dan industri pelancongan warisan di Malaysia:
1. Memberi kesedaran kepada masyarakat dan mengurangkan kehilangan warisan seperti bangunan, kawasan dan budaya yang mana amat berguna untuk generasi akan datang dan industri pelancongan warisan Negara dengan mempraktikkan kaedah penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah.
2. Mengenalpasti dan menganalisa bangunan bersejarah di Malaysia yang sesuai disuaiguna semula sebagai hotel.
3. Mencadangkan garispanduan penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah untuk diubah kepada sebuah hotel.
4. Mencadangkan kaedah penyelesaian bagi masalah yang dihadapi didalam pengurusan hotel hasil penyesuaigunaan semula bangunan yang dipulihara kepada pemilik bangunan.

Kebaikan Kepada Negara / Masyarakat / Organisasi
Penyelidikan ini diharapkan dapat memberi faedah dan manfaat kepada banyak pihak terutama pihak Kerajaan, Badan Berkanun, kontraktor, Konsultan dan Organisasi yang terlibat di dalam kerja-kerja penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah dan industri pelancongan warisan seperti:
1. Kementerian Pelancongan Malaysia – Menguruskan pelancongan, kebudayaan dan warisan di Malaysia.
2. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa) – Menguruskan pelancongan, kebudayaan dan warisan di Malaysia.
3. PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) – Menjalankan kerja-kerja pengekalan, pemuliharaan dan menguruskan bangunan dan monumen warisan dibawah Enakmen Pengekalan dan Pemuliharaan Budaya Warisan Negeri Melaka 1988 (Pindaan 1993).
4. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Perancang bandar dan Wilayah – menkoordinasi, menyediakan pelan, arahan dan peraturan yang berkenaan bagi menjaga bangunan dan kawasan warisan dibawah Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, (Akta 172) dan Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta267).
5. Universiti dan Institut Pengajian Tinggi Tempatan – Menyediakan pengetahuan dan kaedah latihan yang terbaik di dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah dan perhotelan bagi tujuan pelancongan warisan.
6. Organisasi lain yang terlibat seperti Badan Warisan Malaysia, Malaysia Heritage Trust, Penang Heritage Trust, Perak Heritage Society dan lain-lain badan. – Mempromosikan kerja-kerja penyesuaigunaan semula bangunan, pemuliharaan, pengekalan dan pemulihan warisan negara dengan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah dan menjalankan demonstrasi projek pemuliharaan disamping menjadi pusat rujukan bagi sumber pelancongan warisan negara.

RUJUKAN
A. Ghafar Ahmad (1997). Pemuliharaan Bandar Warisan Untuk Pembangunan pelancongan: Kajian Kes Melaka dan Kota Bahru. Geran Penyelidikan IRPA Jangka Pendek. USM.
A. Ghafar Ahmad (1998). Urban Tourism in Malaysia: Heritage Cities of Georgetown, Malacca and Kota Bharu. Kertas Kerja dibentangkan di 2nd Seminar on European Architecture and Town Planning Outside Europe (Dutch Period): Melaka.
A. Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman, (2003). Adaptive Re-use For Sustainable Heritage Tourism in Malaysia. An international interdisciplinary journal.
A. Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman. (2004). Perancangan dan Pengurusan Pelancongan Berteraskan Warisan Sejarah dan Seni Bina di Malaysia. Geran Penyelidikan USM Jangka Pendek. USM.
Ashworth, G.J. and Larkham P.J. (1994). Building a New Heritage: Tourism, Culture and Identity in the New Europe. London: Routledge.
Badaruddin Mohamed dan Nikmatul Adha Nordin. (2007). Perancangan Pelancongan.Kuala Lumpur. Dewan bahasa dan Pustaka.
Badaruddin Mohamed. (2005). Heritage Tourism management in Japan.Pulau Pinang. Universiti Sains Malaysia.
Fielden, B.M. (2000). Conservation of Historic Buildings. Oxford: Butterworth Architecture.
Fladmark, J.M. (1993). Cultural Tourism: Paper Presented at the Robert Gordon University Heritage Convention. London. Donhead.
Goodal, B. and Ashwoth, G. (2000). Marketing in the Tourism Industry: The Promotion of Destination Regions. London: Routledge.
Hanna, M. (1999). A Yearly Analysis of Trends Affecting England’s Architectural Heritage – a Vital Tourism Asset. English Tourism Council.
Haskell, T. (1993). Caring for our Built Heritage: Conservation in Practice. London: E. & F.N. Spon.
Herbert, D. (1995). Heritage, Tourism and Society. London: Mansell.
Highfield, D. (2000). Refurbishment and Upgrading of Buildings, London: E. & F.N. Spon.
Highfield, D. (2000).The Construction of New Buildings Behind Historic Facade, London: E. & F.N. Spon.
Highfield, D. (1987). Rehabilitation and reuse of Old Buildings, London: E. & F.N. Spon.
Larkham, P.J. (1996). Conservation and the City. London and New York: Routledge.
Law, C. (1992). “Urban tourism and Its Contribution to economics Regeneration.” Urban Studies, Vol. 29, No.3/4.
Law, C. (1993). Urban Tourism: Attracting Visitors to Large Cities, New York: Mansell.
Mohd Yusof Ismail (2003). Rehabilitation of Heritage Building in Malaysia, Tesis BSc, University Technology Of MARA.
Nuryanti, W. (1997) Tourism and Heritage Management, Yogyakarta: Gadja Mada University Press.
Pickard, R. (2000). Management of Historic Centres. London and New York: Spon Press.
Pickard, R. (1996). Conservation in the Built Environment.. Singapore: Longman
Prentice, R.C. (1993). Tourism and Heritage Attractions. London: Routledge.
Ross, M. (1996). Planning and the Heritage. London: E. & F.N. Spon.
Siti Norlizaiha Harun (2004). Amalan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah Di Malaysia, Tesis PhD, Universiti Sains Malaysia.
Syed Zainol Abidin Idid (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

bagus artikel ni.saya ada rujuk utk diguna dlm karangan bm.

Anonymous said...

betul tu.kebetulan tajuk krngn bm saya brkaitan bngunan brsjrh ...sdikit sbanyk saya dpt maklumat drpd artikel nie..

Powered By Blogger