Monday, March 05, 2007

Kecacatan Bangunan dan Kepentingan Pemuliharaan Warisan di Bandaraya Ipoh

PROCEEDINGS: NATIONAL CONFERENCE ON MALAYSIA CITYSCAPE, 28-29 NOVEMBER 2007, LUMUT, MALAYSIA, Pp. 432-441 (IN BAHASA MALAYSIA)

Organised by:Universiti Teknologi MARA , Malaysia
'
Kamarul Syahril Bin Kamal1, Prof. Madya Dr. A. Ghafar Bin Ahmad2, dan Lilawati Bte Ab. Wahab3
13Universiti Teknologi MARA, Malaysia 2Universiti Sains Malaysia

'
Abstrak: Negeri Perak merupakan sebuah negeri yang sedang pesat membangun dengan bangunan tinggi, pusat membeli belah yang moden, kawasan perumahan serba lengkap dan jalinan jalan raya bertingkat terutama sekali di sekitar bandaraya Ipoh. Namun begitu, dicelah-celah arus pembangunan yang pesat ini terdapatnya bangunan yang penuh dengan kesan sejarah yang menarik disamping reka bentuk seni bina yang unik yang merupakan satu-satunya warisan peninggalan sejarah yang boleh diabadikan untuk generasi yang akan datang. Sehubungan dengan itu, bangunan warisan ini sewajarnya dipulihara dengan baik oleh semua pihak yang bertanggung jawab baik dari pihak kerajaan mahupun pemilik bangunan itu sendiri. Sekiranya usaha pemuliharaan seumpama ini tidak dilakukan dari sekarang, nescaya pada masa yang akan datang generasi yang baru pastinya akan lupa dan tidak tahu akan sejarah sosio budaya nenek moyang mereka yang terdahulu. Bandaraya Ipoh merupakan salah sebuah bandar yang wujud hasil dari rintisan sejarahnya yang tersendiri. Sejarah perkembangan bandar ini seawal tahun 1880an telah banyak dikaitkan dengan perusahaan bijih timah yang berasal dari sebuah perkampungan yang kecil sehinggalah membawa kepada pewujudan sebuah bandaraya pada hari ini. Di bandaraya Ipoh terdapat banyak peninggalan bangunan warisan yang mempunyai reka bentuk seni bina yang menarik yang terdiri daripada bangunan pentadbiran kerajaan Inggeris dahulu, stesen keretapi, bank, sekolah, masjid, tokong, gereja dan lain-lain lagi. Hasil daripada lawatan penyelidik ke atas bangunan warisan berkenaan, didapati ada di antara bangunan warisan ini tidak dipulihara dengan baik malah ada yang telah dirobohkan dan diabaikan oleh pemilik asalnya. Disamping itu juga, pada bangunan warisan yang dilawati, didapati terdapat banyak kecacatan dan kerosakan pada bangunan warisan berkenaan dan keadaan seumpama ini telah mencacatkan keindahan dan keunikan rupa bentuknya. Sehubungan dengan itu, melalui kertas kerja ini, penyelidik ingan menerangkan secara ringkas mengenai kepentingan pemuliharaan bangunan warisan, pewartaan bangunan warisan dan kecacatan yang terdapat pada bangunan warisan di sekitar bandaraya Ipoh serta usaha pemuliharaan yang boleh dilakukan ke atasnya.
Kata kunci: bandaraya, bangunan warisan, pewartaan, kecacatan bangunan, pemuliharaan.

PENGENALAN
Bidang pemuliharaan di Malaysia adalah merupakan satu revolusi yang semakin mendapat tempat di hati rakyat masa kini. Pemuliharaan adalah merupakan satu bidang yang melibatkan pengekalan dan penjagaan ke atas bangunan warisan daripada dimusnahkan dengan mengambilkira kepentingannya kepada negara dan masyarakat seperti faktor sejarah dan estetik yang terdapat pada sesebuah bangunan warisan (Harun, 2004). Selain daripada itu, faktor usia juga adalah merupakan salah satu faktor yang penting yang perlu diberi perhatian. Menurut pendapat Fielden (2000), sekiranya sesebuah bangunan itu telah bertahan sehingga 100 tahun usia penggunaannya, sewajarnya ia patut digelar bangunan warisan. Di Malaysia, kebanyakan bangunan yang disenarai pendekkan sebagai bangunan warisan adalah yang dibina di antara tahun 1800 hingga 1900. Merujuk kepada kajian inventori bangunan warisan di Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muzium Negara pada tahun 1992, dianggarkan terdapat lebih daripada 35,000 buah bangunan sebelum perang di dalam 265 buah bandar yang dikaji (Idid, 1995). Memandangkan bidang pemuliharaan di Malaysia agak lewat dimulakan iaitu kira-kira pada tahun 1970an maka terdapat sebahagian daripada bangunan warisan ini telah dirobohkan dan diabaikan tanpa memikirkan kepentingannya kepada generasi yang akan datang. Manakala kebanyakan bangunan warisan yang telah dipulihara pula berumur dalam lingkungan 100 hingga 200 tahun dan terdiri daripada bangunan seperti pejabat pentadbiran kerajaan, residensi, stesen keretapi, sekolah, hotel dan rumah tamu, institusi, rumah ibadat dan lain-lain lagi (Ahmad, 1997).

Badan Warisan Malaysia adalah merupakan badan pertama di Malaysia yang telah mengambil langkah bijak dalam usaha pemuliharaan bangunan warisan di negara ini. Kini dengan adanya banyak pertubuhan warisan lain serta dengan mendapat sokongan daripada pihak Kementerian, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui Jabatan Warisan serta Jabartan Muzium, kini usaha pemuliharaan bangunan warisan dirasakan telah dan dapat dilaksanakan melalui perancangan yang lebih teratur dengan disokong oleh Akta Warisan Kebangsaan, 2005 (Akta 645). Tidak dilupakan juga peranan yang telah dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam usaha pemuliharaan bangunan warisan di dalam kawasan bandar seperti di Georgetown, Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur dan Melaka adalah amat penting penting sekali dan wajar dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan di bandar-bandar lain. Antara usaha yang telah dilakukan ialah seperti:
1. Mewujudkan unit atau jabatan yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan warisan seperti Unit Rekabentuk Bandar dan Warisan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Unit Pemuliharaan dan Rekabentuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, dan Unit Konservasi Jabatan Perancangan Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah;
2. Mewartakan bangunan-bangunan warisan seperti di bawah Pelan Struktur Ipoh 1991 dan Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya, 1988 (Pindaan 1993) di Melaka;
3. Menyediakan garispanduan pemuliharaan bangunan warisan seperti Garispanduan Pengekalan Bangunan di dalam Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Garispanduan Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah;
4. Menyediakan peruntukan geran pemuliharaan dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan.

DEFINISI PEMULIHARAAN
Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar (2004) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja memulihara dalam bentuk yang sedia wujud. Keromo (2006) dan Othman (2006) mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja-kerja baik pulih yang mana cuba memulih semula monumen atau tapak tanah bersejarah kepada seni bina dan bahan-bahan binaan yang sehampir mungkin dengan yang asal semasa mula-mula dibina. Fielden (2000) pula berpendapat bahawa pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambilkira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan warisan semulajadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan warisan itu agar berasa kagum terhadap nilai artistik dan gambaran yang boleh mempengaruhi fikiran seseorang. Sehubungan dengan itu, pemuliharaan bolehlah disifatkan sebagai kerja-kerja baik pulih bangunan warisan dengan menggunakan kaedah mengekalkan seni bina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Pemuliharaan adalah bertujuan untuk mengekalkan dan mengembalikan semula sesebuah bangunan warisan ke tahap yang paling hampir dengan binaan asal. Penekanan dalam kerja pemuliharaan bangunan warisan pula hendaklah diberikan terhadap beberapa aspek seperti:
1. Seni bina iaitu rupa bentuk yang terawal atau mula-mula dibina;
2. Bahan binaan iaitu mengekalkan bahan binaan yang asal sama ada melalui peneguhan atau pembuatan semula;
3. Penggunaan seperti asal sesuatu bangunan sebagaimana ia mula dibina.

KEPENTINGAN PEMULIHARAAN BANGUNAN WARISAN
Sebagaimana yang kita semua maklum, negara Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan warisan yang tidak ternilai harganya. Kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan di Malaysia adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat. Ini adalah kerana bangunan warisan memiliki elemen estetik dan reka bentuk seni bina yang menarik. Jesteru itu, usaha pemuliharaan adalah amat perlu dilakukan agar generasi yang akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya. Dalam usaha untuk memulihara bangunan warisan, Ahmad (2006) menegaskan bahawa segala usaha pemuliharaan bangunan warisan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor seperti nilai sejarah, warisan, seni bina, usia, fungsi, bahan binaan dan penyelenggaraan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan. Terdapat beberapa pihak seperti (Ahmad, 2006; Keromo, 2006; Muda, 2006) telah mengeluarkan pendapat berhubung kepentingan pemuliharaan bangunan warisan dan antaranya adalah seperti berikut:
1. Kepentingan sejarah yang terdapat pada sesebuah bangunan warisan dapat dijadikan sebagai bukti kukuh tentang sesuatu era atau peristiwa bersejarah.
2. Kepentingan seni bina dilihat dapat dijadikan sebagai satu kayu ukuran bagi ketamadunan bangsa dengan merujuk kepada kehalusan seni pertukangan dan teknologi pembinaan pada masa dahulu.
3. Kepentingan nostalgia dapat mengaitkan tentang sesuatu peristiwa penting yang pernah berlaku suatu masa dahulu terhadap individu tertentu dalam masyarakat.
4. Kepentingan pelancongan yang mana ia dapat menarik minat ramai pelancong tempatan dan luar negara untuk mengunjungi dan menghayati keunikan seni bina dan rupa bandar serta warisan budaya yang terdapat pada sesebuah kawasan.
5. Kepentingan pendidikan di mana ia dapat memainkan peranan yang penting khususnya kepada para pelajar, pendidik dan pengkaji sejarah dalam usaha untuk menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan bangunan warisan.
6. Kepentingan nasionalisme melalui pembentukan minda terhadap generasi muda dapat ditingkatkan kerana mereka akan lebih menghargai dan peka kepada perkembangan sejarah negara melalui pengamatan dan penghayatan terhadap peninggalan bangunan warisan.
7. Kepentingan perancangan yang lebih teliti dan terancang dapat dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab melalui usaha pewartaan bangunan dan seterusnya berupaya menghalang dari sebarang kerja perobohan dan pengabaian.
8. Kepentinggan ekonomi melalui penggunaan semula dan meningkatkan taraf sesebuah bangunan yang dirasakan dapat memanjangkan usia penggunaannya seterusnya memberikan pulangan ekonomi kepada negara.
9. Kepentingan menyeimbangkan integrasi pembangunan dari aspek pulangan pendapatan jika dibandingkan antara pengekalan dengan pembinaan sebuah bangunan baru pada tapak bangunan lama sedia ada.

SEJARAH PERKEMBANGAN BANDARAYA IPOH
Bandaraya Ipoh merupakan bandar yang ketiga besarnya di Malaysia. Nama Ipoh diambil sempena nama sejenis pokok. Ipoh dikenali sebagai ‘Bandaraya Bijih Timah Negara’ disebabkan oleh aktiviti perlombongan disini suatu ketika dahulu. Bandaraya Ipoh hari ini merupakan sebuah bandaraya yang diiktiraf sebagai ibu negeri Perak kerana disinilah pusat bagi perkhidmatan, pentadbiran, perdagangan dan perindustrian dijalankan. Jika dilihat dari segi sejarah, bandaraya Ipoh mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Secara geografinya, bandaraya Ipoh terbahagi dua oleh Sungai Kinta dan dikenali sebagai pekan lama dan pekan baru. Sejarah perkembangan bandar Ipoh bermula di pekan lama ketika era perlombongan bijih timah. Ketika pemerintahan Raja Melayu, Ipoh hanyalah sebuah perkampungan yang kecil. Perubahannya hanya mula berlaku ketika pemerintahan kerajaan Inggeris kira-kira tahun 1877. Sejak itu, ia mula bertukar menjadi bandar dan menjadi tumpuan umum terutama sekali kaum Cina yang datang dari Pulau Pinang untuk mencuba nasib di Perak. Banyak rumah kedai mula dibina dan bandar Ipoh menjadi semakin membangun. Pada tahun 1890, bandar Ipoh mula menjadi bandar kedua terbesar di Perak selepas Taiping. Kebangkitan bandar Ipoh ini dapat dilihat dengan terbinanya rumah kelab, panggung wayang Cina dan pasar yang besar. Pada tahun 1892, bandar Ipoh talah mengalami kebakaran besar dan telah memusnahkan hampir satu pertiga daripada rumah-rumah yang ada di sini. Namun begitu, pada tahun 1893, kemusnahan itu telah dibaiki dengan terbinanya banyak rumah batu yang lebih baik sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas kini. Pembinaan rumah kedai turut bertambah dengan pesatnya kesan daripada pembinaan jalan keretapi Lembah Kinta di antara Ipoh dan Batu Gajah yang digunakan untuk membantu industri perlombongan dan perniagaan berjalan dengan lebih lancar. Disebabkan kebanyakan aktiviti perdagangan dan perniagaan berlaku di sebelah barat Sungai Kinta, maka kawasan berkenaan telah di rezabkan sebagai kawasan bangunan pentadbiran dan institusi oleh kerajaan Inggeris dan kebanyakan kesan peninggalan bangunan warisan masih mereka masih dapat dilihat dengan jelas di sekitar kawasan ini (Nasution dan Lubis, 1999).

BANGUNAN WARISAN DI BANDARAYA IPOH
Walaupun bandaraya Ipoh bukanlah merupakan bandar yang dikenali kerana bangunan warisannya sebagaimana bandaraya Melaka dan Georgetown, namun begitu bandaraya Ipoh sepatutnya boleh dijadikan sebagai salah sebuah bandar yang dikenali sebagai bandar yang telah berjaya mengekalkan bangunan warisannya sebagaimana bandar Taiping kerana bandaraya ini amat kaya dengan peninggalan bangunan warisan yang dikenali umum seperti Dewan Bandaran, Pejabat Pos Lama, Stesen Keretapi Ipoh, Kelab Ipoh Diraja, Mahkamah Tinggi, Banguan Persekutuan Lama dan puluhan bangunan rumah kedai yang lain (rujuk Lapiran 1). Sehingga hari ini, sebahagian daripada bangunan warisan berkenaan masih kekal digunakan sebagaimana fungsi asalnya ianya dibina. Akan tetapi terdapat sebahagian kecil bangunan warisan yang telah mengalami kemusnahan disebabkan oleh kurangnya usaha pemuliharaan dan pengekalan dilakukan ke atasnya. Adalah amat mendukacitakan dan merugikan sekiranya perkara seumpama ini dibiarkan berlarutan tanpa ada sebarang tindakan susulan diambil bagi memulihara bangunan warisan ini daripada terus dirobohkan atau diabaikan tanpa mengambilkira kepentingannya dari segi sejarah kepada negara dan masyarakat.

PEWARTAAN BANGUNAN WARISAN DI BANDARAYA IPOH
Merujuk kepada Muda (2006), proses mewartakan bangunan warisan perlulah ditumpukan bukan sahaja terhadap bangunan milik kerajaan tetapi juga kepada residensi, hotel, rumah rehat, rumah tradisional Melayu dan juga bangunan era kolonial yang dimiliki oleh pihak persendirian. Selain daripada itu juga, pihak berkuasa tempatan di setiap bandar juga perlulah menyenaraikan mana-mana bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah, seni bina dan sebagainya yang terdapat di kawasan mereka bagi memudahkan kerja-kerja pewartaan dan pemuliharaan dapat dibuat di peringkat nasional. Sebagai contohnya, di bandaraya Ipoh terdapat sebanyak 22 buah bangunan warisan telah diwartakan di bawah Pelan Struktur Ipoh pada 1hb. Julai 1991 untuk dipulihara dan dimasukkan dalam Rancangan Tempatan, Kawasan Perancangan Pusat pada 28hb. Febuari 1997 oleh Unit Pemeliharaan dan Rekabentuk Bandar, Jabatan Perancang Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh untuk dirujuk kepada Draf Rancangan Struktur 9 (Penggubahan), 1998-2020 (rujuk Lampiran 2). Kriteria pemilihan bangunan warisan ini lazimnya mengambilkira keaslian sesebuah bangunan warisan dan bagi memastikan sesebuah bangunan warisan yang dipilih uutuk diwartakan itu adalah yang benar-benar mempunyai kepentingan sebagaimana yang dikehendaki, terdapat beberapa kriteria yang perlu diambilkira dan antaranya adalah seperti berikut (Muda, 2006):
1. Tarikan seni bina yang mana semua bangunan warisan yang dirasakan dapat menarik perhatian awam disebabkan oleh rekabentuk seni bina, dekorasi dan pertukangannya yang unik dan menarik.
2. Tarikan sejarah yang membawa maksud bangunan warisan yang menggambarkan aspek penting dari segi sosial masyarakat, kebudayaan atau sejarah ketenteraan.
3. Hubungan sejarah iaitu bangunan warisan yang mempunyai hubung kait dengan tokoh negarawan negara atau kejadian di mana berlakunya peristiwa-peristiwa penting di dalam sejarah negara atau masyarakat setempat.
4. Nilai kemasyarakatan yang membawa maksud bangunan warisan yang mempunyai kepentingan seni bina atau sejarah atau contoh perancangan pendudukan seperti deretan rumah kedai, teres atau kampung contoh yang mewujudkan sesebuah penempatan terdahulu.

KAJI SELIDIK KE ATAS BANGUNAN WARISAN DI BANDARAYA IPOH
Terdapat sebanyak lebih kurang 100 buah bangunan warisan yang telah dilawati oleh penyelidik di sekitar bandaraya Ipoh dan pemilihan bangunan warisan ini dibuat berdasarkan kepada risalah panduan terhadap bangunan dan tapak warisan bagi ibu negeri Perak sebagaimana yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Berpandukan kepada risalah berkenaan, penyelidik telah melawati keseluruhan bandaraya Ipoh untuk mengenalpasti tahap keadaan semasa bangunan warisan yang ada sekarang dan seterusnya menilai tahap kecacatan yang tedapat pada kebanyakan bangunan warisan berkenaan. Hasil keputusan daripada kaji selidik berkenaan dapatlah dirumuskan bahawa:
1. Kebanyakan bangunan warisan yang terdapat di bandaraya Ipoh dibina disekitar tahun 1880an hingga 1930an iaitu sewaktu zaman pemerintahan Inggeris di Malaysia.
2. Sebahagian besar daripada bangunan warisan yang dilawati mengalami banyak kecacatan dan kerosakan.
3. Terdapat sebahagian kecil bangunan warisan yang telah diabaikan oleh pemilik bangunan dan tiada usaha pemuliharaan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memuliharanya.
4. Terdapat sebahagian kecil bangunan warisan yang dilawati telah musnah sama sekali disebabkan arus pembangunan dan kurangnya kesedaran dikalangan masyarakat setempat untuk mengekal dan memuliharanya.
5. Terdapat juga bukti menunjukkan sebahagian usaha pemuliharaan yang dilakukan ke atas bangunan warisan adalah tidak menepati prinsip asas pemuliharaan sebagaimana yang sepatutnya dari segi pengekalan reka bentuk seni bina dan penggunaan bahan binaaan yang tidak sesuai.

KECACATAN PADA BANGUNAN WARISAN DI BANDARAYA IPOH
Merujuk kepada Burden (2004), kecacatan bolehlah didefinisikan sebagai keadaan yang tidak sama atau tidak teratur yang berlaku sehingga merosakkan atau melamahkan kekuatan sesuatu struktur, ketahanlasakan atau nilai kegunaannnya pada bangunan warisan. Menurut pendapat Fielden (2000) pula, dalam banyak-banyak punca kecacatan pada bangunan warisan, punca yang paling utama ialah graviti, diikuti oleh tindakan perbuatan manusia, dan akhir sekali pengaruh cuaca serta kesan persekitaran seperti botani, biologi, kimia dan serangga. Manakala Fee (2003) ada menggariskan beberapa punca kecacatan pada bangunan warisan di Malaysia seperti berikut:
1. Struktur iaitu kereputan berpunca daripada tarikan semulajadi graviti dalam tempoh masa yang panjang.
2. Perbuatan manusia iaitu kerosakan disebabkan oleh kecuaian, vandalisma, kebakaran dan kerja pembinaan yang berhampiran.
3. Cuaca iaitu kereputan disebabkan oleh pancaran sinar radiasi, suhu, kelembapan di dalam udara dan angin.
4. Botani iaitu kehancuran struktur batu atau dinding bata disebabkan oleh akar pokok yang menjalar dan tumbuhan lain.
5. Biologi iaitu keruntuhan kesan daripada tindakan asid yang dihasilkan daripada bakteria dan tumbuhan berwarna hijau yang tumbuh di atas batu yang bertindak balas secara kimia dengan struktur bahan binaan.
6. Kulat dan cendawan iaitu kerosakan terhadap bahan binaan organik seperti kayu oleh kulat, cendawan, kulapuk dan ragi yang tidak memerlukan apa-apa pancaran sinaran matahari untuk terus hidup.
7. Fauna iaitu kelemahan struktur kayu disebabkan oleh serangga seperti anai-anai, kebakaran disebabkan oleh bahaya sarang tikus dan tindak balas hakisan dari tahi burung.
8. Ekonomi iaitu kemusnahan disebabkan oleh kerja perobohan bangunan untuk memberi laluan kepada pembangunan baru.

Antara sebahagian daripada kecacatan umum yang terdapat pada bangunan warisan di bandaraya Ipoh sebagaimana yang telah dikenalpasti oleh penyelidik melalui kaji selidik yang telah dijalankan sebelumnya adalah seperti berikut (rujuk Lampiran 3):
1. Tumbuhan organik seperti parasit, lumut, cendawan dan lain-lain tumbuhan organik yang biasa tumbuh pada permukaan dinding bangunan warisan.
2. Cat menggelupas pada permukaan dinding bangunan warisan.
3. Cat pudar pada permukaan dinding bangunan warisan.
4. Lepaan dinding tertanggal pada permukaan dinding bangunan warisan.
5. Kelembapan pada permukaan dinding bangunan warisan.
6. Kelembapan pada permukaan lantai bawah dan atas bangunan warisan.
7. Proses penggaraman yang terjadi pada permukaan dinding bangunan warisan yang berlepa.
8. Keretakan pada struktur dinding bangunan warisan.
9. Komponen pecah dan hilang pada jubin bumbung bangunan warisan.
10. Pereputan kayu dan serangan anai-anai pada kerangka pintu dan tingkap bangunan warisan.

CADANGAN USAHA PEMULIHARAAN BANGUNAN WARISAN
Dalam bidang pemuliharaan, terdapat pelbagai pendekatan yang sering digunakan dan setiap satunya membawa maksud yang tersendiri. Fielden (2000) menyatakan bahawa kerja pemuliharaan secara umumnya melibatkan pendekatan dibuat ke atas sesebuah bangunan warisan dalam skala yang pelbagai samada kecil atau besar dan tahap kesungguhannya pula banyak bergantung kepada keadaan fizikal bangunan, punca kerosakan dan jangkaan persekitaran bangunan pada masa hadapan serta kaedah rawatannya. Setiap satu masalah hendaklah diambil kira secara menyeluruh, atau secara individu dengan mengambilkira faktor persekitaran. Antara kaedah pendekatan kerja pemuliharaan yang paling berkesan dan yang terbaik ialah melalui tindakan yang minimum dan kalau boleh tindakannya hendaklah boleh diterbalikkan tanpa sebarang gangguan pada masa akan datang. Ahmad (2006) berpendapat bahawa kaedah pendekatan kerja pemuliharaan adalah amat penting bagi memastikan keaslian dan kepentingan sesebuah bangunan warisan itu terpelihara dan tidak terjejas. Memandangkan bangunan warisan di Malaysia didapati berbeza antara satu sama lain dari segi aspek gaya seni bina, fungsi, struktur bangunan dan juga kecacatan bangunan yang berlaku ke atasnya maka sudah pasti ianya memerlukan kaedah pendekatan kerja pemuliharaan yang menyeluruh dan bersistematik. Seterusnya Fielden (2000) telah mengenalpasti sebanyak tujuh kaedah pendekatan pemuliharaan yang sering digunakan dalam kebanyakan kerja pemuliharaan dan pendekatan ini ada yang boleh dilaksanakan sama ada secara berasingan atau serentak seperti berikut:
1. Pencegahan dari kemerosotan (prevention of deterioration).
2. Pengekalan dalam bentuk sedia ada (preservation of the existing state).
3. Pengukuhan ke atas bahan (consolidation of the fabric).
4. Pengembalian semula (restoration).
5. Pemulihan (rehabilitation).
6. Pengeluaran semula (reproduction).
7. Pembinaan semula (reconstruction).

KESIMPULAN
Sungguhpun usaha pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia masih berada di peringkat awal dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju seperti di Eropah, namun segala usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh pelbagai pihak baik kerajaan mahupun badan bukan kerajaan serta orang perseorangan haruslah mendapat pujian walaupun bukan pada tahap yang begitu membanggakan tetapi sebagai permulaan ia adalah sesuatu tindakan yang positif kearah yang lebih baik. Adalah diharapkan agar melalui usaha yang berterusan dari semua pihak di negara ini, kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam usaha pemuliharaan bangunan warisan akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Seterusnya, diharapkan agar peninggalan bangunan warisan yang masih terdapat di negara ini terutama sekali di bandaraya Ipoh dapat terus dipulihara dan dikekalkan dengan sebaik mungkin melalui perancangan yang rapi daripada pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama mayarakat setempat. Seterusnya diharapkan juga agar bangunan warisan ini turut bebas dari sebarang kecacatan melalui pendekatan kaedah pendekatan kerja pemuliharaan yang berkesan. Akhir sekali, segala usaha yang berterusan sebagaimana yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan adalah wajar diberi pujian kerana mereka adalah merupakan tulang belakang kepada segala usaha pemuliharaan dan pengekalkan bangunan warisan di dalam kawasan bandar daripada terus diancam kemusnahan dan diabaikan. Segala maklumat yang berkaitan dengan usaha pemuliharaan warisan di kawasan bandar bolehlah dirujuk kepada panduan Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar sebagai mana yang telah disediakan oleh Syed Zainol Abidin Idid dan dikeluarkan oleh Badan Warisan Malaysia pada tahun 1995.
'
RUJUKAN
Ahmad, A.G. (1994) Why Building Decay [Online]. [Capaian 25hb Julai 2007]. Diperolehi dari Laman Web http://www.hbp.usm.my/conservation/
Ahmad, A.G. (1997) British Colonial Architecture in Malaysia 1800-1930. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia.
Ahmad, A.G. (2006) Rangka kerja pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27/29 November 2006, Melaka. Melaka: Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ms.1-12.
Burden, E. (2004) Illustrated Dictionary of Architectural Preservation: Restoration, Renovation, Rehabilitation and Reuse. New York: McGraw Hill.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). (1996). Garispanduan pengekalan bangunan di dalam kawasan pusat bandar Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Unit Rekabentuk Bandar dan Warisan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Fee, C.V. (2003) A future for the past: Conservation and Reuse. Dalam: C.V. Fee, (ed). The Encyclopedia of Malaysia Architecture. Singapore: Archipelago Press. Ms.126-127.
Fielden, B.M. (2000) Conservation of Historic Buildings. Oxford: Architectural Press.
Harun, S.N. (2004) Amalan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Disertasi Ph.D, Universiti Sains Malaysia.
Idid, S.Z.A. (1995) Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar: Panduan mengenali Warisan Rupa Bandar berasaskan Inventori Bangunan Warisan Malaysia. Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.
Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar. (2004). Dalam: J.M. Hawkins, (ed). Selangor: Penerbit Fajar Bakti.
Keromo, P. (2006) Konservasi secara umum: garispanduan konservasi monumen dan tapak tanah bersejarah di Malaysia. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27/29 November 2006, Melaka. Melaka: Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ms.1-13.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). (2002). Asas rujukan kajian pengekalan dan pemuliharaan warisan-warisan bersejarah bandaraya Ipoh. Perak: Unit Pemeliharaan dan Rekabentuk Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh.
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). (2006b). Garispanduan pelan tindakan kawasan pemeliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Melaka: Unit Konservasi, Jabatan Perancang Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Muda, R. (2006) Akta Warisan Kebangsaan 2005: implikasi dan kepentingan. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27/29 November 2006, Melaka. Melaka: Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ms.1-27.
Nasution, K.S. dan Lubis, A.R. (1999). Risalah panduan terhadap bangunan dan tapak warisan bagi ibu negeri Perak, Ipoh: bandar yang dibina oleh timah. Perak: Kerajaan Negeri Perak.
Othman, M.I. (2006) Garispanduan konservasi monumen warisan Negeri Melaka. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27/29 November 2006, Melaka. Melaka: Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Ms.1-16.
'
Lampiran 1: Sebahagaian daripada bangunan dan monumen warisan yang terdapat di bandaraya Ipoh, Perak.
1) Kelab dan Padang DiRaja Ipoh (1895)
2) Dewan Bandaran (1916)
3) Pejabat Pos Lama (1916)
4) Stesen Keretapi Ipoh (1917)
5) Mahkamah Tinggi (1928)
6) Markas Regimen 503 (1900)
7) Bangunan Persekutuan Lama (1909)
8) Balai Polis Pusat (1911)
9) Balai Bomba Lama (1913-1936)
10) Pejabat Kesihatan dan Perubatan Negeri (1920an)
11) Muzium Darul Ridzuan (1926)
12) Jabatan Pelajaran Perak (1929)
13) Bangunan Perak Hydro (1930)
14) Bangunan Times of Malaya (1930an)
15) Bangunan Bulan Bintang (1940)
16) Bangunan Chung Thye Pin (1907)
17) Bangunan Eu Tong Seng (1907)
18) Bangunan Han Chin Pet Soo (1929)
19) Bangunan Chua Cheng Bok (1930an)
20) Bazaar Lam Looking (1933)
21) OCBC Bank (1907)
22) Chartered Bank (1924)
23) Merchantile Bank (1931)
24) Hongkong dan Shanghai Bank (1931)
25) Bangunan Oversea (1935)
26) Asrama Dramatis (1920an)
27) Persatuan Drama Amatur Cina Perak (1938)
28) Villa Foong Seong (1931)
29) Bar dan Restoran FMS (1923)
30) Tugu Peringatan Birch (1909)
31) Sekolah Anglo-Chinese (1895)
32) Sekolah Perempuan Methodist (1897)
33) Sekolah Convent (1907)
34) Institusi St. Michael (1923)
35) Sekolah Anderson (1931)

Sumber: Rujukan penyelidik (2007).

Lampiran 2: Senarai bangunan warisan di bandaraya Ipoh yang telah diwartakan di dalam Pelan Struktur Ipoh, 1991.
1.Balai Bomba Lama, Jalan Sultan Idris Shah-Pejabat
2.Bulan Bintang, Jalan Chin Hwa-Hospital
3.Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang-Dewan
4.Gereja St. Andrew, Jalan Golf-Gereja
5.Gereja St. John, Jalan St. John-Gereja
6.Gereja Wesley, Jalan Lahat-Gereja
7.Hong Kong & Shanghai Bank, Jalan Bandaraya-Bank
8.Kelab DiRaja Ipoh, Jalan Kelab-Kelab
9.Mahkamah Tinggi, Jalan Kelab-Mahkamah
10.Markas Regimen 503 (PSTD), Jalan Tambun-Kem Tentera
11.Masjid India Muslim, Jalan S.P. Seenivasagam-Masjid
12.Masjid Kampung Paloh, Jalan Paloh-Masjid
13.Masjid Panglima Kinta, Jalan Masjid-Masjid
14.Pejabat Pendidikan Perak, Jalan Maxwell-Pejabat
15.Pejabat Persekutuan Lama, Jalan Panglima Bukit Gantang-Pejabat
16.Perak River Hydro (TNB), Jalan Stesen-Pejabat
17.Restoran & Bar F.M.S., Jalan Sultan Idris Shah-Restoran
18.Sekolah Anderson, Jalan Ashby-Sekolah
19.Sekolah Anglo Chinese, Jalan Lahat-Sekolah
20.Sekolah Convent, Jalan Sultan Idris Shah-Sekolah
21.Sekolah St. Michael, Jalan S.P. Seenivasagam-Sekolah
22.Stesyen Keretapi, Jalan Panglima Bukit Gantang-Stesyen Keretapi

Sumber: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) (2002).

Lampiran 3: Sebahagian daripada kecacatan bangunan yang terdapat pada kebanyakan bangunan warisan di bandaraya Ipoh.
1) Tumbuhan organik
2) Cat menggelupas
3) Cat pudar
4) Lepaan dinding tertanggal
5) Kelembapan pada dinding
6) Kelembapan pada lantai
7) Proses penggaraman
8) Keretakan struktur dinding
9) Komponen jubin bumbung pecah/hilang
10) Pereputan kayu dan serangan anai-anai

Sumber: Rujukan penyelidik (2007).

3 comments:

elma ismail said...

Assalamualaikum.
saya merupakan seorang pensyarah baru di uitm shah alam. setelah membaca "Kecacatan Bangunan dan Kepentingan Pemuliharaan Warisan di Bandaraya Ipoh", saya ingin mendapatkan pendapat encik sekiranya adakah boleh saya menggunakan penyelidikan ini sebagai rujukan untuk saya membuat penyelidikan di negeri selangor. ini kerana di negeri selangor juga terdapat pelbagai bangunan warisan seperti di jugra, kuala selangor dan juga sabak bernam.

sekian, terima kasih

elma dewiyana ismail
fspu,uitm shah alam

CeRiTa SaYa said...

assalamualaikum.....blog kamu byk m'bntu sye dlm m'yiapkan asaiment saye....sye dri fspu juga kos perancangan bndar&wilayah...kt shah alam......trima kasih diatas blog kamu ini......

munie sj said...

as salam..sgt mmbntu..terima kasih..