Monday, March 05, 2007

Prinsip, Falsafah dan Etika dalam Kerja-kerja Pemuliharaan Warisan di Malaysia

PROCEEDINGS: THE 2nd INTERNATIONAL CONFERENCE ON TOURISM AND HOSPITALITY, THEME: PLANNING AND MANAGING HERITAGE FOR THE FUTURE, 30th JULY-1st AUGUST 2007, MARRIOT PUTRAJAYA, MALAYSIA, Pp. 375-384

Organised by: The Faculty of Tourism and Hospitality Management, University Utara Malaysia (UUM) and The Department of National Heritage, Ministry of Culture, Arts and Heritage Malaysia


Kamarul Syahril Kamal¹, Lilawati Ab Wahab¹, Prof. Madya Dr. A. Ghafar Ahmad² dan Shahruddin Shabri²

¹Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA Perak, Kampus Seri Iskandar, 32600, Bota, Perak, Malaysia. Tel: 05-3742000.
²Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang, Malaysia. Tel: 04-6533888.

¹kamarul_uitm@yahoo.co.uk, ¹lilawati@perak.uitm.edu.my, ²aghafar@usm.my, ²mailto:²²built_heritage@yahoo.com.my


ABSTRAK

Istilah pemuliharaan membawa maksud kerja-kerja baikpulih bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang bersesuaian seperti pencegahan, pengekalan, pengukuhan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula dan lain-lain lagi. Bangunan lama, monumen dan tapak tanah bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia sekarang adalah merupakan warisan peninggalan generasi terdahulu termasuk penjajah asing dan sewajarnya dipulihara untuk tatapan generasi yang akan datang. Sehubungan itu, kesedaran untuk mengekalkannya mengikut prinsip, falsafah dan etika yang bersesuaian perlu difahami oleh masyarakat umum khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan seperti kakitangan kerajaan yang berkaitan, penyelidik, kontraktor, juruperunding dan sebagainya. Ini adalah kerana terdapat beberapa pendekatan yang dirasakan kurang sesuai masih lagi dipraktikkan ketika kerja-kerja pemuliharaan warisan sedang dijalankan seperti perobohan, pemusnahan dan penggunaan bahan binaan baru bagi menggantikan bahan binaan lama. Secara tidak langsung dan tanpa disedari pendekatan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keaslian sesebuah bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah. Adalah menjadi satu kerugian yang amat besar kepada negara dari nilai sejarah dan senibina sekiranya perkara seumpama ini terus berlaku dan tidak dihentikan segera. Oleh yang demikian, dirasakan bahawa pemahaman terhadap prinsip, falsafah dan etika dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan adalah amat penting kerana sekiranya pihak yang berkenaan tidak mengetahui atau mematuhinya dan jika sebarang kesilapan telah dilakukan, maka warisan yang telah dan akan dipulihara kelak tidak akan dapat dikembalikan semula dalam bentuknya yang asal sebagaimana yang sepatutnya. Adalah diharapkan agar melalui kertas kerja ini, sedikit sebanyak ianya dapat memberi kesedaran dan kefahaman mengenai prinsip, falsafah dan etika yang perlu dipatuhi dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan di Malaysia sebagaimana yang dikehendaki mengikut kehendak perundangan di peringkat antarabangsa khususnya seperti UNESCO, ICOMOS, ICCROM dan negara umumnya seperti KeKKWa.

Kata kunci: pemuliharaan, warisan, bangunan, monumen, tapak tanah bersejarah.

PENGENALAN WARISAN

Merujuk kepada tafsiran KeKKWa, warisan adalah berkaitan dengan sesuatu yang diwarisi secara turun-temurun oleh seseorang dan sesuatu kelompok masyarakat daripada generasi yang terdahulu. Warisan menggambarkan memori kepada keseluruhan kehidupan sesuatu bangsa dan seterusnya melambangkan ketamadunannya. Warisan secara umumnya terbahagi kepada dua kategori iaitu warisan ketara (tangible heritage) dan warisan tak ketara (intangible heritage). Warisan ketara adalah sesuatu yang kekal dilihat dan boleh dipegang sama ada statik atau mudah alih. Ia bolehlah dikategorikan seperti berikut:


Warisan Ketara
(Tangible Heritage)
1. Statik
(Static)
3. Alam Semulajadi (Natural Environments)
2. Monumen dan Bangunan
(Monuments and Buildings)
2. Mudah Alih
(Movable)
1. Tapak Tanah Bersejarah
(Historical Sites)
1. Artifak
(Artifacts)
Contoh:
1. Lembah / Tapak Candi
2. Pusat Bandar Lama
3. Kawasan Perlombongan
Contoh:
1. Istana
2. Kubu / Kota
3. Makam
4. Bangunan
5. Menara
Contoh:
1. Taman Negara / Taman Negeri
2. Taman Laut
3. Kawasan Tanah Lembap
4. Hutan Simpan Paya Bakau
5. Hutan Simpan
6. Rezab Hidupan Liar
7. Rezab Mergastua
8. Rezab Orang Asli
9. Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar
10. Sungai, Tasik dan Laut
Contoh:
1. Batu Nisan
2. Tekstil
3. Ukiran Kayu
4. Manik
5. Manuskrip
Rajah 1: Warisan Ketara.
Sumber: Diubahsuai daripada laman web KeKKWa (2007).

Manakala warisan tak ketara pula ialah warisan tidak nyata seperti ilmu dan kepakaran yang ditafsir melalui tradisi lisan, nilai-nilai adat dan budaya, bahasa dan persuratan. Ianya bolehlah dikategorikan seperti berikut:


Warisan Tak Ketara
(Intangible Heritage)
1. Statik
(Static)
Contoh:
1. Acara Perayaan
2. Ritual / Kepercayaan
3. Seni Persembahan
4. Seni Tampak
5. Seni Perubatan Tradisional
6. Sukan / Permainan Tradisional
Rajah 2: Warisan Tak Ketara.
Sumber: Diubahsuai daripada laman web KeKKWa (2007).


Selain daripada itu, terdapat satu lagi kategori warisan yang dikenali sebagai warisan budaya (culture heritage) dan ia juga bolehlah dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu warisan budaya ketara (tangible culture heritage) dan warisan budaya tak ketara (intangible culture heritage) seperti berikut:


Warisan Budaya
(Culture Heritage)
2. Warisan Budaya Tak Ketara
(Intangible Culture Heritage)
1. Warisan Budaya Ketara
(Tangible Culture Heritage)
Contoh:
1. Tapak Warisan Budaya (Cultural Heritage Sites)
2. Bandar / Kota Bersejarah (Historic Cities)
3. Lanskap Budaya (Cultural Landscape)
4. Tapak Suci Semulajadi (Natural Sacred Sites)
5. Warisan Budaya Mudah Alih (The Movable Cultural Heritage)
6. Muzium (Museums)
7. Warisan Budaya Dalam Air (Underwater Cultural Heritage)
8. Kraftangan (Handicrafts)
9. Warisan Dokumentari dan Digital (The Documentary and Digital Heritage)
10. Warisan Sinematografi (The Cinematographic Heritage)
Contoh:
1. Tradisi Lisan (Oral Traditions)
2. Bahasa (Languages)
3. Acara Perayaan (Festive Events)
4. Ritual dan Kepercayaan (Rites and Beliefs)
5. Muzik dan Lagu (Music and Songs)
6. Seni Persembahan (The Performing Arts)
7. Perubatan Tradisional (Traditional Medicine)
8. Sastera (Literature)
9. Tradisi Makanan (Culinary Traditions)
10. Sukan dan Permainan Tradisional (Traditional Sports and Games)
Rajah 3: Warisan Budaya.
Sumber: Diubahsuai daripada laman web KeKKWa (2007).

Gambarfoto 1: Contoh sebahagian daripada peninggalan warisan budaya ketara (tangible culture heritage) yang terdapat di Malaysia seperti Kota Kuala Kedah, Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua di Ipoh, Pusat Bandar Lama Melaka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur yang wajar dipulihara.
Sumber: Laman web Jabatan Muzium Malaysia, Asia Explorers dan KeKKWa (2006)


DEFINISI DAN DASAR PEMULIHARAAN WARISAN

Terdapat banyak pihak yang ada memberikan definisi berkaitan pemuliharaan warisan. Namun begitu di dalam kertas kerja ini, penekanan hanya akan diberikan ke atas skop pemuliharaan warisan budaya ketara (tangible culture heritage) sahaja seperti bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah. Berikut adalah sebahagian daripada definisi yeng telah diberikan berkaitan pemuliharaan warisan sepertimana yang terkandung dalam Kamus Oxford-Fajar (2004:79) yang mendefinisikan pemuliharaan sebagai ”….kerja memulihara dalam bentuk yang sedia wujud….”. Burden (2004:62) mendefinisikan pemuliharaan sebagai “….pengurusan bangunan, monumen dan tapak untuk mengelakkan kereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan….”. Othman (2006:3) mendifinasikan pemuliharaan sebagai “….kerja-kerja baikpulih yang mana cuba memulih semula monumen atau tapak tanah bersejarah kepada senibina dan bahan-bahan binaan yang sehampir mungkin dengan yang asal semasa mula-mula dibina….”. Manakala Hamsah (2006:7) mendefinisikan pemuliharaan sebagai “….satu istilah umum yang bermaksud segala proses yang terlibat untuk menjaga sesuatu tempat bagi tujuan memelihara kepentingan budaya. Tindakannya termasuk perawatan dan megikut keadaan-keadaan tertentu termasuk pengekalan, pemulihan, pembangunan semula dan penyesuai-gunaan….”.

Manakala merujuk kepada tafsiran PERZIM (2006:2), istilah pemuliharaan membawa maksud “….kerja-kerja baikpulih monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan kaedah mengekalkan senibina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Ia bertujuan untuk mengekalkan dan mengembalikan semula sesuatu bangunan atau monumen ke tahap yang paling hampir dengan binaan asal. Penekanan kerja-kerja pemuliharaan adalah terhadap senibina iaitu rupabentuk yang terawal atau mula-mula dibina, bahan-bahan binaan iaitu mengekalkan bahan-bahan binaan yang asal samada peneguhan atau pembuatan semula dan penggunaan seperti asal pembinaan sesuatu bangunan atau monumen….”. Selain daripada itu, Fielden (2000:3) ada memberikan pendapat bahawa ”….pemuliharaan ialah tindakan untuk mengelakkan kereputan. Ia perlu mengambilkira semua perilaku atau perbuatan yang boleh memanjangkan usia warisan budaya dan semulajadi bagi membolehkan sesuatu objek itu dipersembahkan kepada mereka yang mengguna dan melihat bangunan bersejarah itu agar berasa kagum terhadap nilai artistiknya....”.

Dengan merujuk kepada pelbagai definisi, tafsiran dan pendapat yang diberikan, dapatlah disimpulkan bahawa pemuliharaan warisan adalah merupakan suatu proses atau tindakan yang perlu dilakukan secara berterusan dalam usaha untuk mengekal dan memulihara kepentingan budaya serta memanjangkan usia warisan budaya daripada terus diabaikan atau dimusnahkan dengan cara pengekalan atau pemulihan agar ianya terus kekal dalam bentuk dan keadaan yang asal seterusnya dapat dinikmati dan dipersembahkan dari satu generasi ke satu generasi yang akan datang. Ini adalah kerana warisan budaya ketara adalah merupakan suatu aset yang amat penting kepada sesebuah negara yang mana secara tidak langsung ianya dapat dijadikan sebagai salah satu aset utama dalam industri pelancongan negara. Sehubungan dengan itu, Keromo (2000) berpendapat bahawa dasar pemuliharaan warisan yang sewajarnya ialah untuk menyelamat dan membangun iaitu:
i. Menyelamat bermaksud mengekalkan warisan budaya ketara sebagaimana keadaan asal iaitu dari segi keaslian bahan, seni bina dan penggunaannya yang asal.
ii. Membangun bermaksud memanfaatkan tinggalan warisan budaya ketara sebagai salah satu prasarana untuk memberikan pulangan ekonomi tanpa mengabaikan matlamat utamanya sebagai pengekalan bukti sejarah.


NILAI DAN KRITERIA SESUATU WARISAN

Fielden (2000:6) ada memberikan pendapat bahawa warisan budaya ketara yang terdapat pada sesebuah negara mempunyai nilai harta budaya yang sangat berharga dan wajar dipulihara agar ianya terus terpelihara. Antara nilai yang beliau maksudkan adalah adalah seperti berikut:


Nilai Harta Budaya
(Cultural Property Values)
1. Nilai Emosi
(Emotional Values)
2. Nilai Budaya
(Cultural Values)
3. Nilai Kegunaan
(Use Values)
Contoh:
1. Perasaan Kagum (Wonder)
2. Identiti (Identity)
3. Kesinambungan (Continuity)
4. Rohani dan Simbolik (Spiritual and Symbolic)
Contoh:
1. Dokumentari (Documentary)
2. Sejarah (Historic)
3. Arkeologi, Usia dan Kekurangan (Archaeology, Age and Scarcity)
4. Astetik dan Simbolik (Aesthetic and Symbolic)
5. Senibina (Architectural)
6. Rupabandar, Lanskap dan Ekologi (Townscape, Landscape and Ecological)
7. Teknologi dan Saintifik (Technology and Scientific)
Contoh:
1. Fungsi (Functional)
2. Ekonomi (Economic)
3. Sosial (Social)
4. Politik dan Etnik (Politic and Ethnic)
Rajah 4: Nilai Harta Budaya.
Sumber: Diubahsuai daripada Fielden (2000).

Sehubungan dengan itu, memandangkan sesebuah warisan budaya ketara mempunyai nilai harta budaya yang tinggi, maka seawajarnya ia perlu dipulihara. Bagi memastikan warisan budaya ketara yang akan dipulihara adalah warisan yang benar-benar mempunyai kepentingan dari nilai emosi, budaya dan kegunaan, maka terdapat beberapa kriteria yang perlu diambilkira dalam usaha untuk mengenalpastinya. Setiap satu daripada warisan berkenaan hendaklah menepati atau mempunyai kriteria seperti berikut:


1. Tarikan akitektural yang berupaya menarik perhatian awam disebabkan oleh rekabentuk senibina, dekorasi dan pertukangannya yang halus sepertimana yang terdapat pada kebanyakan bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah.
2. Teknologi pembinaan yang mempunyai contoh penting dari segi jenis dan teknik pembinaan serta mempunyai rekabentuk pelan yang ganjil juga seperti yang terdapat pada kebanyakan bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah.
3. Nilai kemasyarakatan iaitu bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah yang mempunyai kepentingan akitektural, ekonomi, sejarah, budaya, adat resam dan keagamaan seperti kampung, kota, bandar serta pelabuhan yang amat penting pada suatu masa dahulu pada sesebuah negara.
4. Tarikan sejarah yang berupaya menggambarkan aspek penting dari segi sosiologi dan budaya masyarakat setempat seperti asal usul, lagenda, mitos dan keagamaan.
5. Hubungan sejarah yang mempunyai hubungkait dengan tokoh negarawan negara atau penjajah asing dengan bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah dimana pernahnya berlaku peristiwa-peristiwa penting di dalam sejarah negara seperti pembunuhan, perperangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan.

KEPENTINGAN PEMULIHARAAN WARISAN

Dalam usaha untuk memulihara sesuatu warisan terutama sekali warisan budaya ketara, Ahmad (2006:4) menegaskan bahawa “….segala usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan dengan mengambilkira beberapa faktor seperti nilai sejarah, seni bina, usia, fungsi, bahan binaan dan penyelenggaraan serta sokongan daripada pelbagai pihak yang berkaitan….”. Kesedaran mengenai kepentingan terhadap usaha pemuliharaan warisan adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat. Jesteru itu, usaha pemuliharaan warisan perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti KeKKWa agar generasi yang akan datang berpeluang untuk melihat dan menikmatinya. Menurut pendapat (Ahmad, 1997) dan (Fileden, 2000), antara kepentingan pemuliharaan warisan ialah:


1. Warisan budaya ketara mempunyai nilai nostalgia, senibina, estetik, simbolik, sejarah, dokumentari, arkeologi, ekonomik, sosial dan juga politik serta rohani.
2. Warisan budaya ketara berupaya menggambarkan ciri-ciri keunikan sesuatu seni bangsa.
3. Warisan budaya ketara berupaya memberi imej dan identiti pada rupabentuk bandar dan budaya setempat.
4. Dengan adanya warisan budaya ketara, lokasi dan kawasan persekitaran akan menjadi lebih dikenali seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui industri pelancongan.
5. Peninggalan warisan budaya ketara akan mengingatkan generasi sekarang kepada sejarah penjajahan masa lampau seterusnya memberi iktibar dan meningkatkan semangat patriotisma serta semangat cintakan negara.

Selain daripada itu, terdapat beberapa pihak lain seperti (Keromo, 2006) dan (Muda, 2006) yang telah mengeluarkan pendapat berhubung kepentingan dalam pemuliharaan warisan dan antaranya adalah seperti berikut:
Kepentingan Pemuliharaan Warisan (Importance of Heritage Conservation)

AKTA, ENAKMEN, PIAWAIAN, PRINSIP DAN GARISPANDUAN PEMULIHARAAN WARISAN

Memandangkan warisan adalah merupakan suatu khazanah negara yang tak ternilai harganya maka sewajarnyalah semua kerja-kerja pemuliharaan warisan hendaklah mematuhi akta, enakmen, piawaian, prinsip dan garispanduan pemuliharaan warisan sedia ada bagi memastikan ianya menepati kehendak perundangan samada di peringkat negara ataupun diperingkat antarabangsa. Secara umumnya terdapat banyak akta, enakmen, piawaian, prinsip dan garispanduan yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan yang boleh dijadikan sebagai asas rujukan oleh semua pihak yang terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan dan sebahagian daripadanya adalah seperti berikut:

Jadual 1: Akta, Enakmen, Piawaian, Prinsip dan Garispanduan Pemuliharaan.
Akta, Enakmen dan Garispanduan di Peringkat Negara
1. Akta Kerajaan Tempatan 1976
2. Akta Wilayah Persekutuan 1982
3. Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995
4. Akta Warisan Kebangsaan 2005
5. Enakmen Melaka No. 6 1988
6. Enakmen Johor No. 7 1988
7. Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
8. Garispanduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia

Piawaian, Prinsip dan Garispanduan di Peringkat Antarabangsa
1. “International Charter for the Conservation and Restoration of Monuments and Sites (Venice Charter 1964)”
2. “The European Charter of the Architectural Heritage (The Declaration of Amsterdam 1975)”
3. “Historic Gardens (Florence Charter 1981)”
4. “Charter for the Conservation of Historic Towns and Urban Areas (Washington Charter 1987)”
5. “Charter for the Protection and Management of the Archaeological Heritage 1990”
6. “Charter for the Protection and Management of Underwater Cultural Heritage 1996”
7. “International Cultural Tourism Charter 1999”
8. “Charter on the Built Vernacular Heritage 1999”
9. “The Australia ICOMOS Charter for Places of Cultural Significance 1999”
10. “Principles for the Recording of Monuments, Groups of Buildings and Sites 1996”
11. “Principles for the Preservation of Historic Timber Structures 1999”
12. “Principles for the Analysis Conservation and Structural Restoration of Architectural Heritage 2003”
13. “Principles for the Preservation and Conservation / Restoratiopn of Wall Paintings 2003”
14. “Guidelines on Education and Training in the Conservation of Monuments, Ensembles and Sites 1993”
15. ”Guidelines for Preservaing, Rehabilitating, Restoring and Reconstructing Historic Buildings in US 1995”
16. “Standards and Guidelines for the Conservation of Historic Places in Canada 2003”
17. “Conventions and Recommendations of UNESCO concerning the Protection of the Cultural Heritage 1985”
18. “Nara Document on Authenticity 1994”
Sumber: Bell (1997).

PRINSIP ASAS PEMULIHARAAN WARISAN

Dalam usaha untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan warisan, adalah amat penting bagi semua pihak yang bertanggungjawab untuk mengetahui, memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan agar ianya menepati kehendakdan piawaian di peringkat antarabangsa. Keromo (2006;2), berpendapat bahawa “….prinsip utamanya ialah keaslian….” dan beliau telah mengenalpasti dan membahagikan keaslian kepada empat elemen utama iaitu:


1. Keaslian dari segi senibina.
2. Keaslian bahan-bahan binaan.
3. Keaslian pembinaan dan penciptanya.
4. Keaslian teknik sama ada pemasangan atau pembuatannya.

Pendapat beliau disokong oleh Rahman (2006:3) yang menegaskan bahawa “….kerja-kerja pemuliharaan yang berteraskan keaslian hendaklah dipraktikkan di mana pengekalan haruslah dibuat terhadap bahan binaan berdasarkan kepada jenis bahan, warna dan tekstur. Pengekalan senibina dari perspektif kaedah binaan dan mengekalkan penggunaan asal ialah dengan mengekalkan fungsi asal….”. Begitu juga dengan Ahmad (2006:1) yang menambah bahawa “….adalah penting untuk mengenalpasti kandungan bahan binaan asal sebelum kerja-kerja pemuliharaan dijalankan. Sekiranya bahan binaan baru digunakan bagi menggantikan bahan binaan asal yang telah rosak, maka bahan binaan baru perlu diambil dari spesis atau bahan yang serupa sifatnya dengan bahan yang asal. Penggunaan bahan yang diselamatkan juga adalah digalakkan.….”. Prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan juga ada terkandung dalam pelbagai piagam antarabangsa. Prinsip ini mempunyai latarbelakang falsafah dan etika yang boleh dianggap praktikal ke atas pendekatan yang akan digunakan dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan. Antara contoh prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan berkenaan sebagaimana yang terkandung dalam beberapa piawaian antarabangsa ialah seperti berikut:


1. Gangguan paling minima (minimal intervention) seperti yang terkandung dalam (Piagam Burra Artikel 3, 1979) ada menggariskan bahawa “....pemuliharaan merupakan kerja-kerja yang mengganggu bangunan dari segi kedudukan dan fabrik bangunan. Oleh itu sebarang gangguan untuk penyelidikan dan kerja awalan mestilah paling minima....”.
2. Kehilangan fabrik paling minima (minimal loss of fabric) seperti yang terkandung dalam (Piagam New Zealand Artikel 4ii, 1992) ada menggariskan bahawa “....sebarang usaha memulihara mestilah memastikan kehilangan yang paling minima ke atas fabrik bangunan....”.
3. Kejelasan (legibility) seperti yang terkandung dalam (Piagam Venice Artikel 12, 1964) ada menggariskan bahawa “….sebarang penggantian baru ke atas bahagian yang hilang pada bangunan bersejarah mestilah dapat dibezakan dengan yang asal bagi mengelakkan sebarang pemalsuan ke atas bukti sejarah….”.

Sehubungan dengan itu, kejayaan dalam setiap kerja-kerja pemuliharaan warisan menurut pendapat Ahmad (2006) adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan itu sendiri jika ianya dipatuhi. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja-kerja pemuliharan warisan dijalankan dengan teknik dan kaedah pemuliharaan yang betul, maka pemahaman terhadap prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan adalah amat penting dan perlu diketahui dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dengan kerja-kerja pemuliharaan warisan. Ahmad (2006) seterusnya ada mencadangkan empat prinsip utama yang perlu diamalkan iaitu:


1. Meminimakan gangguan.
2. Menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal.
3. Mendokumentasikan kerja-kerja pemuliharaan.
4. Mengaplikasikan kaedah dan teknik yang terbukti berkesan.

FALSAFAH DAN ETIKA PEMULIHARAAN WARISAN

Menurut pendapat Fielden (2000:6), antara falsafah dan etika yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam sebarang kerja-kerja pemuliharaan warisan ialah seperti berikut:


1. Keadaan bangunan, monumen dan tapak tanah bersejarah hendaklah direkodkan sebelum kerja pemuliharaan dijalankan.
2. Bukti sejarah tidak boleh dimusnahkan, dipalsukan atau dialihkan.
3. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah seminima yang mungkin.
4. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah dikawal oleh rasa hormat terhadap estetik, sejarah dan integriti fizikal oleh pemilikan budaya.
5. Semua kaedah dan bahan yang digunakan semasa kerja pemuliharaan hendaklah didokumenkan sepenuhnya.

PENDEKATAN PEMULIHARAAN WARISAN YANG SERING DIGUNAPAKAI

Seterusnya, dengan merujuk kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan warisan maka menurut pendapat Fielden (2000:8) ia akan menjurus kepada pendekatan dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan. Kerja-kerja pemuliharaan warisan secara umumnya melibatkan pendekatan dibuat dalam skala yang pelbagai samaada kecil atau besar dan tahap kesungguhannya pula banyak bergantung kepada keadaan fizikal, punca kerosakan dan jangkaan persekitaran pada masa hadapan serta kaedah rawatannya. Sehubungan dengan itu, Fielden (2000:8) telah mencadangkan sebanyak tujuk pendekatan yang boleh digunakan dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan seperti berikut:


1. Pencegahan dari kemerosotan (prevention of deterioration).
2. Pengekalan dalam bentuk sedia ada (preservation of the existing state).
3. Pengukuhan ke atas bahan (consolidation of the fabric).
4. Pengembalian semula (restoration).
5. Pemulihan (rehabilitation).
6. Pengeluaran semula (reproduction).
7. Pembinaan semula (reconstruction).

Manakala antara pendekatan dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan yang sering dipraktikkan di Malaysia pula menurut pendapat (Keromo, 2006; Rahman, 2006; Othman, 2006) termasuklah pendekatan pemuliharaan seperi berikut:


1. Pengekalan (preservation).
2. Pengembalian semula (restoration).
3. Pemulihan (rehabilitation).
4. Pengeluaran semula (reproduction).
5. Pembinaan semula (reconstruction).
6. Pengukuhan (consolidation).
7. Penyesuai gunaan (adaptation).
8. Kegunaan yang sepadan (compatible use).
9. Pencegahan (prevention).
10. Penyelenggaran (maintenance).

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, pemahaman terhadap prinsip asas pemuliharaan, falsafah dan etika dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan adalah amat penting dan perlu diketahui oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang pemuliharaan warisan. Ini adalah kerana ia akan menjurus dan membawa kepada pendekatan dalam kerja-kerja pemuliharaan itu sendiri. Sekiranya pihak yang terlibat dengan kerja-kerja pemuliharaan warisan tidak tahu mengenai prinsip, falsafah dan etika dalam kerja-kerja pemuliharaan warisan, adalah dikhuatiri pendekatan yang salah atau kurang sesuai akan digunakan ketika kerja-kerja pemuliharaan warisan sedang dijalankan dan keadaan seumpama ini perlu dielakkan kerana sedikit sebanyak ianya akan menjejaskan dan merosakkan keaslian sesuatu warisan itu sendiri yang tidak ternilai harganya pada sesebuah bangsa dan negara.


RUJUKAN DAN BIBLIOGRAFI

Ahmad, A.G. (1997). British Colonial Architecture in Malaysia 1800-1930, Museums Association of Malaysia, Kuala Lumpur.
Ahmad, A.G. (2006). Rangka Kerja Pemuliharaan Bangunan Warisan di Malaysia, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-12.
Asiaexplorers (2006). http://www.asiaexplorers.com/malaysia.htm, September 2006.
Bell, D. (1997). Guide to International Conservation Charters, Historic Scotland, Edinburgh.
Burden, E. (2004). Illustrated Dictionary of Architectural Preservation, McGraw-Hill, New York.
Fielden, B.M. (2000). Conservation of Historic Buildings, Architectural Press, Oxford.
Hamsah, E. (2006). Pemeliharaan Kawasan Warisan – Kajian Kes Zon Pemuliharaan dan Pemugaran, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-16.
Hawkins, J.M. (2004). Kamus Dwibahasa Oxford-Fajar, Penerbit Fajar Bakti, Selangor.
ICOMOS (2002). Conservation Guidelines for Building Surveyors, Australia ICOMOS, Victoria.
ICOMOS (2006). International Charters for Conservtion and Restoration, http://www.international,icomos.org/, September 2006.
Idid, S.Z. (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar, Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
Jabatan Muzium Malaysia (2006). Muzium-muzium, http://www.jmm.gov.my/main.cfm, September 2006.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006) Budaya, http://heritage.gov.my/kekkwa/viewbudaya.php, September 2006.
Keromo, P. (2000). Garispanduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia, 7-12 Oktober, Hotel Century, Melaka. Ms.1-21.
Keromo, P. (2002). Garispanduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, Hotel Century Mahkota, Melaka, 7-12 Oktober 2002.
Keromo, P. (2006). Konservasi Secara Umum, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-13.
MPMBB (2006). Garispanduan: Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah.
Muda, R. (2006). Akta Warisan Kebangsaan 2005: Implikasi dan Kepentingan, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms1-16.
Othman, M.I. (2006). Garispanduan Konservasi Monumen Warisan Negeri Melaka, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-16.
Parks Canada (2003). Standards and Guidelines for the Conservation of Historic Places in Canada, http://www.pc.gc.ca/, September 2006.
PERZIM (2006). Phamplet, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.2.
Rahman, N.H. (2006). Kepentingan Arkeologi dalam Kerja-kerja Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-40.
Said, K. (2006). Dokumentasi dalam Kerja-kerja Konservasi Bangunan, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 November 2006, Hotel Mahkota, Melaka. Ms.1-8.

No comments:

Powered By Blogger