Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 10 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB SEPULUH
CADANGAN PENYATAAN KAEDAH KERJA PEMULIHARAAN

10.0 Pengenalan
Dalam setiap projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang dilaksanakan di Malaysia, perlaksanaan pendekatan kerja pemuliharaan yang berteraskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul di samping penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik adalah merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah projek pemuliharaan. Secara umumnya, penyataan kaedah kerja pemuliharaan disediakan dengan matlamat untuk memulihara dan membaiki setiap kerosakan bangunan yang terdapat pada elemen sesebuah bangunan bersejarah. Tanpa penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik, sesebuah bangunan bersejarah itu tidak dapat dipulihara dan diperbaiki dengan sempurna. Ini adalah kerana dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pemulihara bangunan, ia ada menekankan prinsip asas pemuliharaan yang menjadi tunjang kepada pendekatan kerja pemuliharaan dalam usaha untuk mengekalkan reka bentuk seni bina dan bahan binaan asal yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah yang dipulihara.

Sekiranya bangunan bersejarah itu dipulihara tanpa merujuk kepada penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik, dikhuatiri pendekatan kerja pemuliharaan yang diamalkan adalah bertentangan dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Seterusnya projek pemuliharaan itu bolehlah dianggap gagal kerana lebih bersifat kosmetik dengan melakukan terlalu banyak perobohan, penanggalan, penambahan dan pengubahsuaian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaannya yang asal. Sehubungan dengan itu, penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik adalah amat penting dan wajib disediakan oleh pihak yang pakar dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah seperti oleh pemulihara bangunan.

10.1 Asas Penyediaan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan
Penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh disediakan oleh sesiapa sahaja kerana penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk sesebuah projek pemuliharaan bangunan bersejarah adalah berbeza sama sekali dengan penyediaan penyataan kaedah untuk kerja pembinaan atau baik pulih sesebuah bangunan biasa. Ini adalah kerana pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah adalah terikat dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang telah disediakan oleh badan antarabangsa seperti UNESCO, ICOMOS, ICCROM dan lain-lain lagi (Schmitt, 2008; UNESCO, 2009).

Sehubungan dengan itu, mana-mana pihak yang ingin menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan perlulah terdiri daripada seorang pemulihara bangunan yang berkelayakan atau lain-lain profesyen seperti arkitek, jurutera dan juru ukur bangunan yang berpengalaman luas dalam bidang kerja pemuliharaan bangunan bersejarah serta pernah menghadiri kursus yang berkaitan dengan pemuliharaan bangunan bersejarah. Ini adalah kerana proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan adalah merupakan satu proses yang agak sukar dan rumit kerana ia memerlukan tahap pengetahuan yang mendalam berkaitan banyak perkara yang bersifat teoritikal, prinsipal dan teknikal (PACE, 2005). Antara 10 perkara asas yang perlu diketahui dan diambil kira dalam penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik adalah seperti berikut:
i. Mengetahui dan mengamalkan prisip, falsafah dan etika pemuliharaan sedia ada.
ii. Mempunyai tahap pengetahuan yang meluas berkaitan seni bina, bahan binaan dan kaedah pembinaan bangunan bersejarah.
iii. Mempunyai pengalaman yang banyak dalam kerja pemuliharaan bangunan bersejarah.
iv. Mempunyai ilmu pengetahuan berkaitan jenis dan punca kerosakan bangunan.
v. Merujuk laporan kajian dilapidsi bangunan yang dicadangkan oleh perunding pemuliharaan.
vi. Merujuk spesifikasi kerja pemuliharaan yang disediakan oleh pihak perunding.
vii. Mengambil kira pendekatan kerja pemuliharaan yang pelbagai.
viii. Mengaplikasi kaedah dan teknik pemuliharaan yang terbukti berkesan.
ix. Mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam pelbagai bidang tertentu.
x. Mengambil kira laporan kajian saintifik dan keputusan uji kaji makmal.

Sekiranya penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini tidak disediakan dengan merujuk kepada 10 perkara asas yang tersenarai di atas, dikhuatiri pendekatan kerja pemuliharaan yang dilaksanakan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah boleh memudaratkan keaslian reka bentuk seni bina dan keaslian bahan binaan yang terdapat pada bangunan bersejarah yang dipulihara. Sebarang kesilapan yang dilakukan ke atas bangunan bersejarah sewaktu projek pemuliharaan sedang dilaksanakan perlu dielakkan daripada berlaku. Ini adalah kerana nilai reka bentuk seni bina dan keaslian bahan binaan yang telah dirosakkan atau dimusnahkan adalah amat berharga dan tidak mungkin boleh diganti dengan wang Ringgit semata-mata.

Sehubungan dengan itu, disediakan carta alir proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perlaksanaan kerja pemuliharaan secara khusus untuk penyelidikan ini sebagai garis panduan dan rujukan bagi membantu dalam usaha untuk menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang baik. Carta alir proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perlaksanaan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah ini secara umumnya terbahagi kepada 10 peringkat kerja yang berbeza seperti ditunjukkan dalam Rajah 10.1.

Rajah 10.1: Carta alir proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perlaksanaan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah.

10.2 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan untuk Merawat Kerosakan Umum Bangunan
Dengan merujuk kepada analisa data dan rumusan analisa data yang telah diperolehi dalam Bab Sembilan (analisa data dan rumusan), telah dikenal pasti sebanyak 20 jenis kerosakan umum bangunan sering berlaku pada 7 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia. Kerosakan umum bangunan ini adalah merupakan antara jenis kerosakan bangunan yang paling kerap berlaku daripada 100 jenis kerosakan bangunan yang telah dikenal pasti terdapat pada kebanyakan elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia seperti ditunjukkan dalam Jadual 10.1.

Jadual 10.1: Senarai 20 jenis kerosakan umum bangunan pada 7 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia pada tahap sangat tinggi (80%-100%).

No. Jenis Kerosakan Bangunan Elemen Utama Bangunan Tahap Kerosakan Bangunan
1 Kemasan cat pudar. Pintu dan kelengkapan. 98%
2 Kemasan cat menggelupas. Dinding luar. 96%
3 Kemasan cat pudar. Tingkap dan kelengkapan. 96%
4 Permukaan lembap dari bawah. Dinding luar. 94%
5 Serangan garam. Dinding luar. 92%
6 Tumbuhan liar. Dinding luar. 90%
7 Kemasan cat menggelupas. Dinding dalam. 90%
8 Kemasan berlubang. Lantai bawah dan atas. 90%
9 Lepa mengelupas. Dinding luar. 88%
10 Kemasan cat pudar. Dinding dalam. 88%
11 Kemasan retak. Lantai bawah dan atas. 88%
12 Kemasan cat pudar. Siling. 88%
13 Permukaan merosot. Bumbung. 88%
14 Permukaan berlumut. Dinding luar. 86%
15 Kemasan cat menggelupas. Pintu dan kelengkapan. 84%
16 Kemasan cat menggelupas. Tingkap dan kelengkapan. 84%
17 Kesan kelembapan. Siling. 84%
18 Permukaan lembap dari bawah. Dinding dalam. 82%
19 Kerangka kayu mereput. Tingkap dan kelengkapan. 82%
20 Kerangka kayu mereput. Pintu dan kelengkapan. 80%

Merujuk kepada Jadual 10.1, disediakan sebanyak 10 cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini disediakan dengan mengambil kira semua perkara yang terdapat dalam carta alir proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perlaksanaan kerja pemuliharaan sebagaimana yang telah disediakan sebelum ini. Selain daripada itu, penyediaan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini juga disediakan dengan merujuk kepada hasil kajian kes ke atas empat buah projek pemuliharaan bangunan bersejarah sebelum ini. Cadangan penyatan kaedah kerja pemuliharaan ini secara spesifiknya disediakan bertujuan untuk merawat 20 jenis kerosakan umum bangunan yang sering berlaku pada 7 elemen utama bangunan bersejarah di Malaysia yang telah dikenal pasti sebelum ini. Penyediaan 10 cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini juga adalah bertujuan untuk memenuhi objektif penyelidikan yang ketiga iaitu untuk mencadangkan penyataan kaedah kerja pemuliharaan untuk merawat kerosakan umum bangunan bersejarah yang dipulihara di Malaysia di samping mengatasi segala kelemahan dan kekurangan yang telah dikenal pasti terdapat dalam penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan sebelum ini.

Seterusnya penyediaan cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini juga dapat dijadikan sebagai garis panduan dan asas rujukan oleh pihak-pihak yang ingin menjalankan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah pada masa akan datang. 10 cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan tersebut adalah seperti berikut:
i. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.
ii. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam.
iii. Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam.
iv. Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar.
v. Cadangan penyataan kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar.
vi. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan lantai pada elemen lantai bawah dan atas.
vii. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding pada elemen dinding luar.
viii. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan siling pada elemen siling.
ix. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung.
x. Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

Contoh 10 pendekatan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah yang perlu dilaksanakan dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan adalah seperti kerja pemuliharaan kemasan cat pintu dan tingkap, kerja pemuliharaan kemasan cat dinding, kerja rawatan kelembapan, kerja rawatan penyahgaraman, kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik, kerja pemuliharaan kemasan lantai, kerja pemuliharaan lepa dinding, kerja pemuliharaan kemasan siling, kerja pemuliharaan genting bumbung dan kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.1.

(1) Kerja pemuliharaan kemasan cat pintu dan tingkap.
(2) Kerja pemuliharaan kemasan cat dinding.
(3) Kerja rawatan kelembapan.
(4) Kerja rawatan penyahgaraman.
(5) Kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik.
(6) Kerja pemuliharaan kemasan lantai.
(7) Kerja pemuliharaan lepa dinding.
(8) Kerja pemuliharaan kemasan siling.
(9) Kerja pemuliharaan genting bumbung.
(10) Kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap.

Gambar 10.1: Contoh 10 pendekatan kerja pemuliharan yang diamalkan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

Setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan adalah tidak sama antara sebuah projek pemuliharaan dengan projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang lain kerana penyediaannya perlu mengambil kira beberapa faktor seperti masalah kerosakan bangunan, jenis bahan binaan, pendekatan kerja pemuliharaan dan kategori bangunan bersejarah yang ingin dipulihara. Sehubungan dengan itu, cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini boleh dan perlu diubah suai mengikut keadaan semasa sewaktu projek pemuliharaan bangunan bersejarah itu dilaksanakan.

Selain daripada itu, lakaran terperinci, perician mengenai jenis bahan rawatan dan kemasan bangunan yang dicadangkan juga tidak ada dinyatakan secara spesifik dalam setiap penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan. Ini adalah kerana reka bentuk serta penggunaan sesuatu jenis bahan rawatan dan kemasan bangunan mungkin tidak sama atau bersesuaian antara satu projek pemuliharaan dengan satu projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang lain. Sebaliknya ia perlu merujuk kepada spesifikasi projek pemuliharaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak perunding serta mendapat kelulusan daripada Pegawai Penguasa projek terlebih dahulu. Penerangan terperinci mengenai cadangan 10 penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang telah disenaraikan sebelum ini beserta objektif dan langkah serta pendekatan kerja pemuliharaannya adalah seperti berikut:

10.2.1 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Kemasan Cat pada Elemen Pintu, Tingkap dan Kelengkapan
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat pudar dan menggelupas (kerosakan umum bangunan no. 1, 3, 15 dan 16). Ia turut melibatkan kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap dilakukan terlebih dahulu pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara kemasan cat pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah mengalami kerosakan.
ii. Menggantikan kemasan cat pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah mengalami kerosakan.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada warna kemasan cat asal pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan ini ditunjukkan dalam Jadual 10.2.

Jadual 10.2: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan kajian skima warna untuk mengenal pasti jenis warna dan kemasan cat asal pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap.
Langkah 4 Label dan kekal mana-mana kerangka pintu dan tingkap yang masih elok pada kedudukan asal.
Langkah 5 Label dan tanggal mana-mana kerangka serta kesemua daun pintu dan tingkap sama ada yang telah rosak atau yang masih elok untuk kerja pemuliharaan selanjutnya.
Langkah 6 Label dan simpan semua engsel, selak, tombol serta kunci pintu dan tingkap untuk kerja baik pulih (penyataan kaedah kerja pemuliharaan kelengkapan pintu dan tingkap ini perlu disediakan secara berasingan).
Langkah 7 Untuk kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap (rujuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).
Langkah 8 Bakar kemasan cat yang terdapat pada keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk memudahkan lapisan cat yang degil tertanggal dengan menggunakan pembakar pada suhu yang bersesuaian.
Langkah 9 Kikis kemasan cat yang terdapat pada keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk menanggalkan saki baki kemasan cat yang masih melekat dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 10 Gosok keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk mendapatkan satu permukaan kemasan yang rata dan licin dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 11 Tampal kesemua lubang halus, rekahan dan permukaan kemasan yang tidak rata pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap dengan bahan putty yang bersesuaian.
Langkah 12 Pasang semula kesemua engsel, selak, tombol serta kunci pintu dan tingkap yang telah ditanggalkan dan dibaik pulih sebelum ini pada kerangka serta daun pintu dan tingkap sebagaimana asal.
Langkah 13 Pasang semula kesemua kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah ditanggalkan dan dibaik pulih kembali pada kedudukan asalnya.
Langkah 14 Sapu atau sembur pada keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap dengan satu lapisan rawatan anai-anai yang bersesuaian.
Langkah 15 Sapu 1 lapisan cat asas dan 2 lapisan cat kemasan yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk mendapatkan 1 bentuk kemasan cat yang cantik dan rata sama dengan warna asal dengan menggunakan berus cat yang bersesuaian.

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja menanggal kemasan cat dan kerja pengekalan warna cat yang sama dengan yang asal seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.2.

Gambar 10.2: Kerja menanggal kemasan cat pada permukaan kerangka pintu (1); dan kerangka serta daun pintu yang telah dicat dengan warna cat asal (2).

10.2.2 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Kemasan Cat pada Elemen Dinding Luar dan Dalam
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat menggelupas dan pudar (kerosakan umum bangunan no. 2, 7 dan 10). Ia turut melibatkan kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik, kerja rawatan kelembapan, kerja rawatan penyahgaraman dan kerja pemuliharaan lepa dinding dilakukan terlebih dahulu pada elemen dinding luar dan dalam bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Mendedahkan dan memulihara kemasan cat pada permukaan lepa dinding luar dan dalam yang telah mengalami kerosakan.
ii. Mendapatkan kesan kemasan cat yang kemas dan rata pada permukaan lepa dinding luar dan dalam.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada warna kemasan cat asal pada elemen dinding luar dan dalam.

Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam ini ditunjukkan dalam Jadual 10.3.

Jadual 10.3: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya bersihkan keseluruhan permukaan lepa dinding luar dan dalam dengan menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian seperti kaedah mencuci, menanggal dan mencabut bahan asing yang terdapat pada permukaannya.
Langkah 4 Gosok sebahagian kemasan cat pada permukaan lepa dinding luar dan dalam untuk mendapatkan dedahan warna kemasan cat yang lebih jelas dan licin bagi kerja pemadanan dan perbandingan warna kemasan cat dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 5 Jalankan kajian skima warna secara padanan dan pilih jenis dan warna kemasan cat yang mempunyai perbandingan yang sepadan dengan jenis dan warna kemasan cat asal.
Langkah 6 Kikis keseluruhan kemasan cat pada permukaan lepa dinding luar dan dalam lapisan demi lapisan untuk mengenal pasti seberapa banyak lapisan kemasan cat telah disapu pada permukaan lepa dinding luar dan dalam dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 7 Proses yang sama juga boleh dilakukan ke atas elemen dinding luar dan dalam yang diperbuat daripada bahan asas kayu sekiranya kerosakan kemasan cat ini turut berlaku ke atasnya dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 8 Bakar keseluruhan kemasan cat yang terdapat pada permukaan kayu dinding luar dan dalam untuk memudahkan lapisan kemasan catnya tertanggal dengan menggunakan pembakar pada suhu yang bersesuaian.
Langkah 9 Kikis keseluruhan kemasan cat akhir yang terdapat pada permukaan lepa dinding luar dan dalam sehingga mendapatkan satu permukaan kemasan yang rata dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 10 Gosok keseluruhan permukaan lepa dinding luar dan dalam untuk mendapatkan satu permukaan kemasan yang licin dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 11 Tampal kesemua lubang halus dan rekahan serta permukaan yang tidak rata pada permukaan lepa dinding luar dan dalam yang hendak dicat dengan bahan putty yang bersesuaian.
Langkah 12 Sapu 1 lapisan cat asas dan 2 lapisan cat kemasan yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan lepa dinding luar dan dalam untuk mendapatkan 1 bentuk kemasan cat yang cantik dan rata sama dengan warna asal dengan menggunakan berus cat yang bersesuaian.

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen dinding luar dan dalam bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kajian skima warna dan kerja mengikis lapisan cat seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.3.

Gambar 10.3: Kajian skima warna untuk pemadanan warna cat asal bangunan (1); dan kerja mengikis lapisan cat pada permukaan lepa dinding luar (2).

10.2.3 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Rawatan Kelembapan pada Elemen Dinding Luar dan Dalam
Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan kelembapan ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti permukaan lembap dari bawah (kerosakan umum bangunan no. 4 dan 18). Ia turut melibatkan kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik dilakukan terlebih dahulu pada elemen dinding luar bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja rawatan ini dilakukan adalah untuk:
i. Menghalang pergerakan air bawah tanah dari terus naik ke permukaan atas struktur dinding batu-bata melalui elemen dinding luar dan dalam.
ii. Mengekalkan kekuatan permukaan lepa dinding luar dan dalam dari sebarang masalah kerosakan.
iii. Mengekal dan mengembalikan rupa bentuk asal elemen dinding luar dan dalam.

Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam ini ditunjukkan dalam Jadual 10.4.

Jadual 10.4: Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan ujian kelembapan terlebih dahulu untuk menyukat peratus kelembapan relatif pada permukaan lepa dinding luar dan dalam.
Langkah 4 Bersihkan keseluruhan permukaan lepa dinding luar dan dalam dengan menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian seperti kaedah mencuci, menanggal dan mencabut bahan asing yang terdapat pada permukaannya.
Langkah 5 Tebuk lubang sebesar 10mm diameter lebar dan pada kedalaman 100mm dalam pada keseluruhan permukaan struktur dinding batu-bata sebelah luar dan dalam pada ketinggian 300mm tinggi dari aras lantai dinding luar dan dalam dengan jarak lubang antara 100mm hingga 300mm antara satu sama lain bergantung kepada tahap keporosan dan ketebalan struktur dinding batu-bata dengan menggunakan penebuk lubang secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 6 Tuang atau injek cecair bahan lapisan kalis lembab yang bersesuaian melalui batang rod besi yang disambung dengan paip getah sehingga penuh memenuhi keseluruhan ruang pada lubang yang telah ditebuk tadi sehingga ia meresap masuk ke dalam setiap rongga yang terdapat pada struktur dinding batu-bata sebelah luar dan dalam bagi memastikan setiap lapisan struktur dinding bata sebelah luar dan dalam ini telah diliputi dengan satu lapisan bahan kalis lembab yang akan bertindak dengan menghalang pergerakan air bawah tanah dari naik ke atas permukaan atas struktur dinding batu-bata.
Langkah 7 Proses yang sama juga boleh dilakukan ke atas elemen lantai bawah sekiranya kerosakan pada bahan lapisan kalis lembab ini turut berlaku ke atasnya.
Langkah 8 Bersihkan keseluruhan permukaan lepa dinding luar dan dalam daripada kesan kekotoran yang terhasil semasa proses ini dijalankan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian.
Langkah 9 Tutup kesemua lubang sebagaimana yang telah ditebuk sebelum ini pada keseluruhan permukaan struktur dinding batu-bata sebelah luar dan dalam dengan menggunakan mortar kapur atau bahan lain yang bersesuaian.
Langkah 10 Biarkan struktur dinding batu-bata sebelah luar dan dalam ini terdedah tanpa berlepa untuk melalui proses pemuliharaan yang selanjutnya (rujuk penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman dan kerja pemuliharaan lepa dinding yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja rawatan kelembapan pada elemen dinding luar dan dalam bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja perletakan bahan cecair kimia damp-proof course seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.4.

Gambar 10.4: Bahan cecair kimia damp-proof course untuk menggantikan bahan lapisan kalis lembab yang telah rosak (1); dan kerja menuang damp-proof course ke dalam lubang pada struktur dinding batu-bata (2).

10.2.4 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Rawatan Penyahgaraman pada Elemen Dinding Luar
Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti serangan garam (kerosakan umum bangunan no. 5). Ia turut melibatkan kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik serta kerja rawatan kelembapan dilakukan terlebih dahulu pada elemen dinding luar bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja rawatan ini dilakukan adalah untuk:
i. Mengeluarkan kandungan garam yang terdapat di dalam struktur dinding batu-bata.
ii. Melindungi permukaan lepa dinding sebelah luar dan dalam dari sebarang masalah kerosakan.
iii. Mengekalkan kekuatan permukaan lepa dinding luar dari sebarang masalah kerosakan.

Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar ini ditunjukkan dalam Jadual 10.5.

Jadual 10.5: Cadangan penyataan kaedah kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan salt content level test untuk mengenal pasti tahap kandungan garam yang terdapat dalam struktur batu-bata dinding luar.
Langkah 4 Bersihkan keseluruhan permukaan lepa dinding luar pada kedua belah dengan menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian seperti kaedah mencuci, menanggal dan mencabut bahan asing yang terdapat pada permukaannya.
Langkah 5 Tanggal keseluruhan lapisan lepa dinding luar pada kedua belah sehingga menampakkan permukaan kemasan batu-bata pada ketinggian maksimum di mana kerosakan itu berlaku dengan menggunakan tukul dan pahat secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 6 Bersihkan keseluruhan permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah yang telah ditanggalkan lapisan lepa dindingnya dari sebarang kekotoran seperti habuk dan debu dengan menggunakan berus yang bersesuaian dan renjis dengan air bersih serta biarkan sehingga ia kering.
Langkah 7 Tuang atau sapu satu lapisan air kapur pada keseluruhan permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah sebagai lapisan asas untuk memberikan ikatan yang kuat pada lapisan bahan penyahgaraman yang akan dilepa pada permukaan kemasannya dengan menggunakan berus yang bersesuaian.
Langkah 8 Lepa satu lapisan bahan penyahgaraman yang bersesuaian yang dikenali sebagai cocoon yang diperbuat daripada bahan asas kertas setebal 10mm tebal pada keseluruhan permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah dengan menggunakan sudip yang bersesuaian di mana bahan penyahgaraman ini akan bertindak dengan cara menyerap kandungan garam yang terdapat di dalam struktur batu-bata dinding luar dan seterusnya akan memaksanya keluar ke permukaan kemasan batu-bata melaluinya.
Langkah 9 Gunakan hujung mata pensil untuk mengukur ketebalan lapisan lepa bahan penyahgaraman ini sewaktu kerja melepa dilakukan pada permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah untuk mendapatkan satu lapisan kemasan lepa yang sama rata dan dalam ketebalan yang bersesuaian.
Langkah 10 Tanggal kesemua lapisan bahan penyahgaraman yang penuh dengan kandungan garam selepas ia kering selama 15 hingga 30 hari dari permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah dengan menggunakan tangan secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 11 Bersihkan keseluruhan permukaan kemasan batu-bata dinding luar pada kedua belah dari sebarang sisa kekotoran bahan penyahgaraman yang masih melekat dengan menggunakan berus yang bersesuaian dan renjis dengan air bersih serta biarkan sehingga ia kering.
Langkah 12 Proses yang sama juga boleh dilakukan ke atas elemen tiang dan elemen dinding dalam yang diperbuat daripada batu-bata sekiranya masalah serangan garam ini turut berlaku ke atasnya.
Langkah 13 Biarkan struktur dinding batu-bata sebelah luar dan dalam ini terdedah tanpa berlepa untuk melalui proses pemuliharaan yang selanjutnya (rujuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja rawatan penyahgaraman pada elemen dinding luar bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu penggunaan bahan cocoon seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.5.

Gambar 10.5: Bahan cocoon untuk merawat kandungan garam yang tinggi dalam struktur dinding batu-bata (1); dan kerja melepa bahan cocoon pada permukaan kemasan dinding batu-bata (2).

10.2.5 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pelupusan Tumbuhan Liar dan Organik pada Elemen Dinding Luar
Cadangan penyataan kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti tumbuhan liar dan permukaan berlumut (kerosakan umum bangunan no. 6 dan 14). Ia perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang kerja pemuliharaan lain seperti kerja rawatan kelembapan, kerja rawatan penyahgaraman, kerja pemuliharaan lepa dan kerja pemuliharaan cat pada elemen dinding luar bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pelupusan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara permukaan dinding luar yang telah mengalami kerosakan.
ii. Melindungi struktur dan kemasan dinding luar agar bebas daripada kesan tindakan akar pokok yang membesar dan tumbuhan organik.
iii. Mengekal dan mengembalikan rupa bentuk asal elemen dinding luar.
Cadangan penyataan kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar ini ditunjukkan dalam Jadual 10.6.

Jadual 10.6: Cadangan penyataan kaedah kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya potong kesemua dahan dan batang pokok tumbuhan liar yang besar seperti pokok tumpang yang tumbuh pada struktur dan permukaan kemasan dinding luar dengan menggunakan gergaji secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 4 Racun kesemua tumbuhan liar yang besar seperti pokok tumpang dengan cara injeksi ke dalam keratan dahan dan batang pokok untuk mematikan serta melemahkan akar pokok dengan menggunakan racun rumpai yang bersesuaian sebagaimana yang dicadangkan oleh pakar mikrobiologi dan biarkan selama beberapa hari sehingga ia berubah bentuk menjadi rapuh, kering dan mati.
Langkah 5 Cabut kesemua akar pokok tumbuhan liar yang besar seperti pokok tumpang yang masih melekat pada struktur dan permukaan kemasan dinding luar dengan menggunakan tangan secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 6 Racun kesemua tumbuhan liar yang kecil seperti tumbuhan renek dengan cara semburan ke atas permukaan daun dan batang pokok untuk mematikan serta melemahkan akar pokok dengan menggunakan racun rumpai yang bersesuaian sebagaimana yang dicadangkan oleh pakar mikrobiologi dan biar selama beberapa hari sehingga ia berubah bentuk menjadi rapuh, kering dan mati.
Langkah 7 Cabut kesemua akar pokok tumbuhan liar yang kecil seperti tumbuhan renek yang masih melekat pada permukaan kemasan dinding luar dengan menggunakan tangan secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 8 Berus keseluruhan permukaan kemasan dinding luar untuk menanggalkan sisa kekotoran akar pokok tumpang dan tumbuhan renek yang masih melekat padanya dengan menggunakan berus yang bersesuaian.
Langkah 9 Lindungi mana-mana struktur kayu yang terdapat pada elemen dinding luar dan lantai bangunan dengan 1 lapisan plastik untuk mengelakkan ianya daripada mengalami kerosakan disebabkan oleh kerja penyemburan air yang akan dijalankan kemudiannya.
Langkah 10 Cuci keseluruhan permukaan tumbuhan organik seperti lumut dan algi yang tumbuh pada permukaan kemasan dinding luar dengan menggunakan kaedah semburan air pada tekanan (psi) yang besesuaian untuk melembutkan tumbuhan organik berkenaan secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 11 Berus keseluruhan permukaan kemasan dinding luar untuk menangalkan sisa tumbuhan organik yang masih melekat padanya dengan menggunakan berus yang bersesuaian.
Langkah 12 Cuci keseluruhan permukaan kemasan dinding luar untuk menanggalkan sisa kekotoran akar pokok tumpang dan tumbuhan renek serta sisa tumbuhan organik yang masih melekat padanya yang telah dicabut keluar atau diberus dengan menggunakan kaedah semburan air pada tekanan (psi) yang bersesuaian sekali lagi secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 13 Biarkan permukaan kemasan dinding luar yang basah ini selama beberapa hari sehingga ia kering untuk melalui proses pemuliharaan yang selanjutnya (rujuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik pada elemen dinding luar bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja meracun dan membuang akar seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.6.

Gambar 10.6: Pokok tumpang yang telah diracun untuk membunuh akarnya (1); dan sisa akar pokok tumpang yang telah diracun (2).

10.2.6 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Kemasan pada Elemen Lantai Bawah dan Atas
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan berlubang dan retak (kerosakan umum bangunan no. 8 dan 11). Ia turut melibatkan kerja pemuliharaan pada elemen dinding luar dan dalam bangunan bersejarah perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kerosakan berulang kembali pada permukaan kemasan lantai bawah serta kerja pemuliharaan pada elemen lantai atas bangunan bersejarah juga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang kerja pemuliharaan ke atas elemen bangunan lain di tingkat atas kerana struktur dan permukaan kemasan lantai atas yang telah mengalami kerosakan adalah amat merbahaya kepada sebarang aktiviti kerja pemuliharaan dilakukan di atasnya. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilkukan adalah untuk:
i. Memulihara permukaan kemasan lantai bawah dan atas bangunan yang telah mengalami kerosakan.
ii. Menggantikan kepingan jubin lantai bawah dan kepingan kayu serta gelegar kayu lantai atas yang telah mengalami kerosakan.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada rupa bentuk asal permukaan kemasan lantai bawah dan atas.

Disebabkan oleh bahan kemasan lantai antara lantai bawah dan atas yang berbeza, maka cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan pada elemen lantai bawah dan atas ini perlu disediakan secara berasingan seperti ditunjukkan dalam Jadual 10.7 dan Jadual 10.8.

Jadual 10.7: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan pada elemen lantai bawah.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya kikis keseluruhan permukaan kemasan lantai bawah untuk menanggalkan segala kekotoran yang melekat padanya dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 4 Untuk kerosakan kecil, label dan tanggal sebahagian kemasan lantai bawah yang telah rosak satu persatu dengan berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasan lantai bawah lain yang masih elok.
Langkah 5 Gantikan sebahagian kemasan lantai bawah yang telah ditanggalkan tadi dengan kemasan lantai baru yang sama dari segi saiz, tekstur dan warna asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kemasan lantai baru lain yang bersesuaian.
Langkah 6 Susun dan ikat sebahagian kemasan lantai baru dengan menggunakan mortar kapur yang bersesuaian dalam corak yang sama dengan yang asal dan dalam keadaan yang sama rata.
Langkah 7 Untuk kerosakan menyeluruh, tanggal atau pecah dengan menggunakan tukul kesemua kemasan lantai bawah yang telah rosak hingga ke permukaan lantai hard core dan lupuskan sisanya ke tempat pelupusan.
Langkah 8 Bina 1 lapisan lantai konkrit bertetulang beserta 1 lapisan kalis lembab sebagai lapisan lantai baru di atas lantai ‘hard core’ sedia ada untuk menerima kemasan lantai bawah yang baru jika perlu.
Langkah 9 Gantikan keseluruhan kemasan lantai bawah yang telah dipecahkan tadi dengan kemasan lantai baru yang sama dari segi saiz, tekstur dan warna asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kemasan lantai baru lain yang bersesuaian.
Langkah 10 Susun dan ikat keseluruhan kemasan lantai baru dengan menggunakan mortar kapur yang bersesuaian dalam corak yang sama dengan yang asal dan dalam keadaan yang sama rata.
Langkah 11 Cuci keseluruhan permukaan kemasan lantai bawah yang telah siap dipasang dengan menggunakan air bersih dan biarkan permukaan kemasan lantai bawah yang basah ini selama beberapa hari sehingga ia kering.
Langkah 12 Lindungi keseluruhan permukaan kemasan lantai bawah yang telah kering ini dengan 1 lapisan plastik untuk mengelakkan ianya daripada mengalami kerosakan disebabkan oleh kerja pemuliharaan lain yang akan dijalankan kemudiannya.

Jadual 10.8: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan pada elemen lantai atas.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan ujian penentusah kayu untuk mengenal pasti jenis dan gred kekuatan kayu yang digunakan pada keseluruhan kemasan dan gelegar lantai atas yang digunakan.
Langkah 4 Kikis keseluruhan permukaan kemasan lantai atas untuk menanggalkan segala kekotoran yang melekat padanya dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 5 Untuk kerosakan kecil, label dan tanggal sebahagian kemasan dan gelegar lantai atas yang telah rosak satu persatu dengan berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasan dan gelegar lantai atas lain yang masih elok.
Langkah 6 Potong dan gantikan sebahagian kemasan dan gelegar lantai atas yang telah ditanggalkan tadi melalui kaedah penyambungan bertanggam yang bersesuaian dengan kemasan dan gelegar lantai baru yang sama dari segi jenis dan gred kekuatan asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 7 Untuk kerosakan menyeluruh, tanggal keseluruhan kemasan dan gelegar lantai atas yang telah rosak dari kedudukan asal satu persatu dan lupuskan sisanya ke tempat pelupusan.
Langkah 8 Gantikan keseluruhan gelegar lantai atas dahulu yang telah ditanggalkan tadi dengan gelegar lantai baru dari segi jenis dan gred kekuatan asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 9 Susun keseluruhan kemasan lantai atas baru yang telah ditanggalkan tadi dengan susunan dan tanggam yang bersesuaian serta dari segi jenis dan gred kekuatan asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 10 Kikis keseluruhan permukaan kemasan lantai atas lama yang masih ada kesan gam pelekat atau wax dan lain-lain kesan kekotoran yang melekat padanya dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 11 Bakar kemasan cat yang terdapat pada keseluruhan permukaan kemasan gelegar lantai atas untuk memudahkan lapisan cat yang degil tertanggal dengan menggunakan pembakar pada suhu yang bersesuaian.
Langkah 12 Kikis kemasan cat yang terdapat pada keseluruhan permukaan gelegar lantai atas untuk menanggalkan saki baki kemasan cat yang masih melekat dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 13 Gosok keseluruhan permukaan gelegar lantai atas untuk mendapatkan 1 permukaan kemasan yang rata dan licin dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 14 Tampal kesemua lubang halus, rekahan dan permukaan kemasan yang tidak rata pada permukaan gelegar lantai atas dengan bahan putty yang bersesuaian.
Langkah 15 Sapu atau sembur pada keseluruhan permukaan kemasan dan gelegar lantai atas dengan 1 lapisan rawatan anai-anai yang bersesuaian.
Langkah 16 Sapu 1 lapisan asas dan 2 lapisan syelek yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan kemasan dan gelegar lantai atas untuk mendapatkan 1 bentuk kemasan cat yang cantik dan rata sama dengan warna asal dengan menggunakan berus cat yang bersesuaian.
Langkah 17 Gosok 1 lapisan gam pelekat atau wax yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan kemasan lantai atas untuk mendapatkan 1 bentuk kemasan permukaan yang rata dan tidak mudah rosak.
Langkah 18 Akhir sekali lindungi keseluruhan permukaan kemasan lantai atas yang telah di wax ini dengan 1 lapisan plastik untuk mengelakkan ianya daripada mengalami kerosakan disebabkan oleh kerja pemuliharaan lain yang akan dijalankan kemudiannya.

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan kemasan pada elemen lantai bawah dan atas bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja penggantian jubin lantai dan kerja penanggalan kemasan cat seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.7.

Gambar 10.7: Kerja pemasangan kepingan jubin lantai bru (1); dan kerja menanggal kemasan cat dengan menggunakan kaedah pembakaran (2).

10.2.7 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Lepa Dinding pada Elemen Dinding Luar
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa dinding ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti lepa menggelupas (kerosakan umum bangunan no. 9). Ia turut melibatkan kerja pelupusan tumbuhan liar dan organik, kerja rawatan kelembapan dan kerja rawatan penyahgaraman dilakukan terlebih dahulu pada elemen dinding luar bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara dan melindungi permukaan lepa dinding luar yang telah mengalami kerosakan.
ii. Mengekalkan kekuatan lepa dinding luar bangunan dari sebarang masalah kerosakan.
iii. Mengekal dan mengembalikan rupa bentuk asal elemen dinding luar.

Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa pada elemen dinding luar ini ditunjukkan dalam Jadual 10.9 seperti berikut:

Jadual 10.9: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan lepa pada elemen dinding luar.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan bersejarah yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan ujian dengan cara mengetuk keseluruhan permukaan lepa dinding luar untuk megetahui tahap rongga yang terdapat di dalamya.
Langkah 4 Tanda keseluruhan permukaan lepa dinding luar yang telah dikenal pasti mengalami kerosakan sama ada kecil atau besar untuk kerja pemuliharaan yang selanjutnya.
Langkah 5 Tuang atau injek kapur cair atau larutan kalsium karbonat ke dalam celah rekahan atau lubang halus yang terdapat pada permukaan lepa dinding luar yang mengalami kerosakan dengan menggunakan kaedah Peter Cox untuk mengisi keseluruhan rongga kecil yang terbentuk di dalam struktur dan kemasan dinding batu-bata.
Langkah 6 Tanggal lapisan lepa dinding yang mengalami kerosakan pada keseluruhan permukaan struktur dinding luar dengan menggunakan tukul dan pahat secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya sehingga menampakkan keseluruhan permukaan kemasan dinding batu-bata.
Langkah 7 Sekiranya terdapat ketulan batu-bata yang telah retak atau pecah pada permukaaan kemasannya, tanggal dengan cara mengeluarkan batu-bata yang telah rosak itu tadi dengan menggunakan tukul dan pahat secara berhati-hati agar tidak merosakkan struktur dan kemasan dinding batu-bata yang lain.
Langkah 8 Gantikan ruang kosong yang terdapat pada struktur dinding batu-bata yang telah ditanggalkan keluar tadi dengan ketulan batu-bata yang baru dari saiz dan kekuatan yang sama dengan yang asal setelah dibuat ujian kekuatan mampatan ke atasnya.
Langkah 9 Manakala untuk struktur dinding luar yang telah runtuh pula, bina semula keseluruhan bahagian struktur dinding luar berkenaan dengan menggunakan batu-bata yang sama sebagaimana yang telah diselamatkan dan lulus ujian kekuatan mampatan atau menggunakan batu-bata baru dari saiz dan kekuatan yang sama dengan yang asal.
Langkah 10 Sebelum itu, cuci dengan air bersih dan jemur selama beberapa hari sehingga kering kesemua batu-bata yang hendak diguna semula dengan tujuan untuk membuang segala kekotoran dan habuk yang melekat padanya.
Langkah 11 Ikat batu-bata lama atau baru dengan campuran mortar kapur dan pasir yang bersesuaian dalam susunan ikatan batu-bata yang sama dengan yang asal serta diperkuatkan lagi dengan wire mesh pada setiap 5 hingga 6 lapisan batu-bata untuk memberi kekuatan ikatan pada struktur dinding batu-bata.
Langkah 12 Bersihkan keseluruhan permukaan kemasan dinding batu-bata dari sebarang kekotoran seperti habuk dan debu dengan menggunakan berus yang bersesuaian dan renjis dengan air bersih serta biarkan sehingga ia kering.
Langkah 13 Tuang atau sapu satu lapisan air kapur pada keseluruhan permukaan kemasan dinding batu-bata untuk memberikan ikatan yang kuat pada permukaan lepa dinding luar yang akan dilepa kemudiannya.
Langkah 14 Biarkan air kapur yang melekat pada permukaan kemasan dinding batu-bata ini terdedah selama 3 hari sehingga ia kering.
Langkah 15 Bancuh lepa dinding baru mengikut nisbah bancuhan yang bersesuaian dengan merujuk kepada laporan ujian analisa lepa dinding atau lakukan mock up lepa dinding dengan menggunakan nisbah bancuhan yang pelbagai.
Langkah 16 Jalankan ujian mackintosh probe test pada permukaan lepa dinding mock up ini untuk menguji kekuatan lepa dinding baru dan seterusnya memilih bancuhan lepa dinding yang bersesuaian.
Langkah 17 Lepa keseluruhan permukaan kemasan dinding batu-bata dengan lepa dinding baru yang bersesuaian sebagai kemasan akhir sebanyak 3 lapisan iaitu 1 lapisan asas pada tekanan yang tinggi diakhiri dengan garisan sambungan dan diikuti dengan 2 lapisan kemasan akhir dengan menggunakan sudip yang bersesuaian.
Langkah 18 Gunakan hujung mata pensil untuk mengukur ketebalan lapisan lepa dinding ini sewaktu kerja melepa dilakukan pada permukaan kemasan dinding batu-bata untuk mendapatkan 1 lapisan lepa dinding yang sama rata dan dalam ketebalan yang bersesuaian.
Langkah 19 Biarkan permukaan lepa dinding luar ini selama beberapa hari sehingga ia kering untuk melalui proses pemuliharaan yang selanjutnya (rujuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan lepa dinding pada elemen dinding luar bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja menanggalkan dan melepa dinding seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.8.

Gambar 10.8: Lapisan lepa dinding yang telah ditanggalkan (1); dan kerja melepa permukaan dinding luar bangunan (2).

10.2.8 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Kepingan Siling pada Elemen Siling
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kepingan siling ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kemasan cat pudar dan kesan kelembapan (kerosakan umum bangunan no. 12 dan 17). Ia turut melibatkan kerja pemuliharaan kemasan lantai pada elemen lantai bawah dan atas serta kerja pemuliharaan genting bumbung dilakukan terlebih dahulu pada elemen bumbung bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara dan menggantikan kemasan siling yang telah mengalami kerosakan.
ii. Mengekalkan kekuatan struktur kerangka dan kemasan siling agar dapat berfungsi dengan baik bagi memenuhi keperluan reka bentuknya.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada rupa bentuk asal elemen siling.

Disebabkan oleh bahan kemasan antara siling tetap dan siling gantung yang berbeza, maka cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kepingan siling tetap dan kepingan siling gantung perlu disediakan secara berasingan seperti ditunjukkan dalam Jadual 10.10 dan Jadual 10.11.

Jadual 10.10: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kepingan siling tetap pada elemen siling.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan ujian penentusah kayu untuk mengenal pasti jenis dan gred kekuatan kayu yang digunakan pada keseluruhan kemasan siling yang digunakan.
Langkah 4 Lindungi keseluruhan permukaan kawasan kerja dengan 1 lapisan plastik untuk mengelakkan permukaan kemasan lantai bawah dan atas yang telah dipulihara daripada mengalami kerosakan.
Langkah 5 Pasang peranca pada ketinggian yang sesuai untuk membantu kerja pemuliharaan kemasan siling dan alas kaki peranca dengan papan lapis untuk mendapatkan permukaan yang rata dan untuk melindungi permukaan kemasan lantai bawah dan atas yang telah dipulihara daripada mengalami kerosakan.
Langkah 6 Untuk kerosakan kecil, label dan tanggal sebahagian kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling yang telah rosak satu persatu dan kekalkan yang masih elok pada kedudukan asal.
Langkah 7 Untuk kerosakan menyeluruh, tanggal keseluruhan kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling yang telah rosak dari kedududkan asal satu persatu dan lupuskan sisanya ke tempat pelupusan.
Langkah 8 Mana-mana kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling yang telah mengalami kerosakan perlu ditukar dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang sama atau dengan yang asal atau sekurang-kurangnya dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 9 Potong dan gantikan mana-mana gelegar kayu siling yang boleh diselamatkan dengan menggunakan kaedah penyambungan bertanggam yang bersesuaian.
Langkah 10 Bakar kemasan cat pada keseluruhan permukaan gelegar kayu siling untuk memudahkan lapisan cat yang degil tertanggal dengan menggunakan pembakar pada suhu yang bersesuaian.
Langkah 11 Kikis keseluruhan permukaan kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling yang masih ada kesan cat dan lain-lain kesan kekotoran yang melekat padanya dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 12 Gosok keseluruhan permukaan kemasan siling dan gelegar kayu siling untuk mendapatkan 1 permukaan yang rata dan licin dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 13 Tampal kesemua lubang halus, rekahan dan permukaan kemasan yang tidak rata pada permukaan kemasan siling dan gelegar kayu siling dengan bahan putty yang bersesuaian.
Langkah 14 Pasang gelegar kayu siling yang telah dipulihara pada kedudukan sebagaimana asal.
Langkah 15 Susun keseluruhan kepingan kemasan siling yang telah dipulihara 1 persatu dengan susunan dan tanggam yang bersesuaian pada gelegar kayu siling seperti asal.
Langkah 16 Sapu atau sembur pada keseluruhan permukaan kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling dengan 1 lapisan rawatan anai-anai yang bersesuaian.
Langkah 17 Sapu 1 lapisan asas dan 2 lapisan syelek yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan kepingan kemasan siling dan gelegar kayu siling untuk mendapatkan satu bentuk kemasan cat yang cantik dan sama rata dengan warna asal dengan menggunakan berus cat yang bersesuaian.
Langkah 18 Tanggal kesemua besi peranca yang telah digunakan sewaktu kerja pemuliharaan siling tadi dijalankan.

Jadual 10.11: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kepingan siling gantung pada elemen siling.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya lindungi keseluruhan permukaan kawasan kerja dengan 1 lapisan plastik untuk mengelakkan permukaan kemasan lantai bawah dan atas yang telah dipulihara daripada mengalami kerosakan.
Langkah 4 Pasang peranca pada ketinggian yang sesuai untuk membantu kerja pemuliharaan kemasan siling dan alas kaki peranca dengan papan lapis untuk mendapatkan permukaan yang rata dan untuk melindungi permukaan kemasan lantai bawah dan atas yang telah dipulihara daripada mengalami kerosakan.
Langkah 5 Untuk kerosakan kecil, label dan tanggal sebahagian kepingan kemasan siling yang telah rosak satu persatu dan kekalkan yang masih elok pada kedudukan asal.
Langkah 6 Untuk kerosakan menyeluruh, tanggal keseluruhan kepingan kemasan siling, dawai penggantung dan kerangka kayu siling yang telah rosak dari kedududkan asal satu persatu dan lupuskan sisanya ke tempat pelupusan.
Langkah 7 Pasang dan ikat dawai penggantung pada gelegar lantai tingkat atas dengan kerangka kayu siling satu persatu sehingga selesai.
Langkah 8 Letakkan keseluruhan kepingan kemasan siling baru pada kedudukan sebagaimana asal.
Langkah 9 Sapu 1 lapisan cat asas dan 2 lapisan cat kemasan dengan menggunakan jenis cat yang bersesuaian pada keseluruhan permukaan kepingan siling dan kerangka kayu siling untuk mendapatkan 1 bentuk kemasan yang cantik dan rata dengan menggunakan berus cat yang bersesuaian.
Langkah 10 Tanggal kesemua besi peranca yang telah digunakan sewaktu kerja pemuliharaan siling tadi dijalankan.

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan kepingan siling pada elemen siling bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja pemasangan kepingan jalur kayu dan kerja penanggalan kemasan siling gantung seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.9.

Gambar 10.9: Kerja memasang kepingan kemasan siling tetap daripada jalur kayu (1); dan kerja menanggalkan kepingan kemasan siling gantung (2).

10.2.9 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Genting Bumbung pada Elemen Bumbung
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti permukaan merosot (kerosakan umum bangunan no. 13). Ia turut melibatkan kerja pembinaan bumbung sementara dan kerja pemuliharaan kerangka bumbung dilakukan terlebih dahulu pada elemen bumbung dan kemudahan bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara dan menggantikan kepingan kemasan bumbung yang telah mengalami kerosakan.
ii. Melindungi bahagian dalam bangunan dari terdedah kepada kebocoran yang disebabkan oleh kepingan kemasan bumbung yang telah mengalami kerosakan.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada rupa bentuk seni bina dan bahan binaan asal kemasan bumbung.

Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung ini ditunjukkan dalam Jadual 10.12.

Jadual 10.12: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya kenal pasti lokasi kedudukan tiang yang sesuai untuk menyokong struktur pembinaan bumbung sementara.
Langkah 4 Bina struktur dan kemasan bumbung sementara dengan menggunakan reka bentuk dan bahan binaan yang bersesuaian dengan merujuk kepada spesifikasi kerja pemuliharaan di atas struktur bumbung sedia ada.
Langkah 5 Tanggal dan turunkan sama ada sebahagian atau keseluruhan kepingan genting bumbung yang telah mengalami kerosakan mengikut zon satu persatu dimulakan pada kawasan yang paling tinggi iaitu perabung hingga ke kawasan yang paling rendah iaitu cucur atap dengan menggunakan tali secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada pecah.
Langkah 6 Asing kesemua genting bumbung yang telah mengalami kerosakan dengan yang masih elok mengikut bentuk dan kegunaan serta zon sebagaimana yang telah ditentukan sebelum ini untuk kerja pemuliharaan dan pelupusan.
Langkah 7 Lupuskan kesemua genting bumbung yang tidak boleh diselamatkan ke tempat pelupusan.
Langkah 8 Rekod dan susun kesemua genting bumbung yang telah diselamatkan di atas rak pelantar kayu yang telah dibina setinggi 8 inci tinggi dan elakkan ia bersentuhan dengan permukaan tanah.
Langkah 9 Bersihkan kesemua genting bumbung dari sebarang kekotoran dengan menggunakan berus yang bersesuaian secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada pecah.
Langkah 10 Sediakan sekurang-kurangnya 2 atau lebih kolam takungan yang diperbuat daripada pvc mengikut keperluan dan jumlah genting bumbung yang hendak dipulihara untuk proses perendaman genting bumbung.
Langkah 11 Masukkan air bersih dan larutan amonia dalam nisbah campuran yang bersesuaian ke dalam kolam takungan dan kacau sehingga ia sebati.
Langkah 12 Masukkan dan rendam kesemua genting bumbung yang telah dicuci sekurang-kurangnya selama 1 hari ke dalam kolam takungan untuk menanggal dan membunuh kulat yang masih melekat pada genting bumbung.
Langkah 13 Bawa keluar kesemua genting bumbung yang telah direndam semalaman dan cuci untuk kali kedua dengan menggunakan kaedah semburan air pada kadar tekanan (psi) yang bersesuaian untuk menanggalkan keseluruhan kekotoran yang melekat pada permukaannya secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada pecah.
Langkah 14 Jemur di bawah pancaran matahari sehingga kering kesemua genting bumbung yang telah dicuci selama 1 minggu dengan cara menyusunnya di atas rak pelantar kayu yang dibina 8 inci dari atas permukaan tanah untuk tujuan pengaliran udara dan mengelakkan daripada kehadiran kulat yang terdapat pada permukaan tanah.
Langkah 15 Elakkan kesemua genting bumbung yang telah dicuci daripada basah terkena air hujan dengan membina struktur bumbung sementara mudah alih sewaktu proses pengeringan sedang dijalankan.
Langkah 16 Sementara menunggu proses pengeringan genting bumbung, kerja membaik pulih kerangka bumbung yang telah mengalami kerosakan boleh dilakukan secara serentak (penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka bumbung ini perlu disediakan secara berasingan).
Langkah 17 Setelah siap kerja pemuliharaan kerangka bumbung, maka kerja perletakan genting bumbung yang telah dipulihara pada kedudukan asal boleh dilakukan.
Langkah 18 Pasang 1 lapisan wire mesh dan 1 lapisan bahan penebat haba yang bersesuaian di atas kerangka bumbung yang telah dipulihara.
Langkah 19 Pasang kayu gulung-gulung pada jarak yang bersesuaian secara melintang di atas lapisan bahan penebat haba untuk menerima genting bumbung.
Langkah 20 Pastikan jumlah genting bumbung yang akan dipasang kembali adalah mencukupi dan sekiranya tidak mencukupi, gantikan genting bumbung yang telah dilupuskan sebelum ini dengan genting bumbung baru yang sama dari segi saiz, bentuk dan tekstur asalnya.
Langkah 21 Sebelum kerja perletakan genting bumbung dilakukan, sapu pada keseluruhan permukaan genting bumbung yang telah dikeringkan sebanyak 2 lapisan bahan anti fungus yang bersesuaian.
Langkah 22 Pindahkan secara berperingkat kesemua genting bumbung ke atas kawasan bumbung yang hendak dipasang mengikut zon sebagaimana yang telah ditentukan sebelum ini secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada pecah.
Langkah 23 Pasang dan susun kesemua genting bumbung pada kedudukan asal satu persatu dimulakan dari bahagian yang paling bawah iaitu cucur atap hingga ke bahagian yang paling atas iaitu perabung secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada pecah.
Langkah 24 Periksa kesemua kedudukan genting bumbung dan flashing yang telah dipasang kembali ini berada dalam keadaan yang betul terutama sekali pada bahagian lurah dan perabung bagi mengelakkan sebarang kebocoran berlaku.
Langkah 25 Tanggal keseluruhan binaan bumbung sementara yang telah dibina di atas struktur bumbung sedia ada secara berhati-hati bagi mengelakkan genting bumbung daripada pecah.

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan genting bumbung pada elemen bumbung dan kemudahan bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja pembinaan bumbung sementara dan kerja pencucian genting bumbung seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.10.

Gambar 10.10: Kerja pembinaan bumbung sementara (1); dan kerja mencuci genting bumbung yang telah ditanggalkan (2).

10.2.10 Cadangan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Kerangka serta Daun Pintu dan Tingkap pada Elemen Pintu, Tingkap dan Kelengkapan
Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap ini ialah untuk merawat kerosakan umum bangunan seperti kerangka kayu mereput (kerosakan umum bangunan no. 19 dan 20). Ia turut melibatkan kerja pemuliharaan cat dilakukan kemudiannya pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah. Tujuan utama kerja pemuliharaan ini dilakukan adalah untuk:
i. Memulihara dan menggantikan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah mengalami kerosakan.
ii. Membolehkan elemen pintu, tingkap dan kelengkapan berfungsi dengan baik bagi memenuhi keperluan reka bentuknya.
iii. Mengekal dan mengembalikan nilai estetika pada rupa bentuk asal elemen pintu, tingkap dan kelengkapan.

Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap ini ditunjukkan dalam Jadual 10.13 seperti berikut:

Jadual 10.13: Cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap.

Langkah Pendekatan Kerja Pemuliharaan yang Perlu Dilakukan
Langkah 1 Lakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas elemen bangunan yang hendak dipulihara dengan merujuk kepada pelan bangunan dan laporan kajian dilapidasi bangunan.
Langkah 2 Kemudian rekod keseluruhan proses yang dijalankan ini sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan untuk dimasukkan dalam laporan HABS 1, HABS 2 dan HABS 3.
Langkah 3 Seterusnya jalankan ujian penentusah kayu untuk mengenal pasti jenis dan gred kekuatan kayu yang digunakan pada keseluruhan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang digunakan.
Langkah 4 Jalankan kajian skima warna untuk mengenal pasti jenis warna dan kemasan cat asal pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap.
Langkah 5 Label dan kekal mana-mana kerangka pintu dan tingkap yang masih elok pada kedudukan asal.
Langkah 6 Label dan tanggal mana-mana kerangka serta semua daun pintu dan tingkap sama ada yang telah rosak atau yang masih elok untuk kerja pemuliharaan selanjutnya.
Langkah 7 Potong dan ganti mana-mana kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah rosak pada sebahagian komponennya menggunakan kaedah penyambungan bertanggam dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 8 Gantikan keseluruhan kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah rosak pada keseluruhan komponennya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan asalnya jika ada atau sekurang-kurangnya dengan kayu baru dari jenis dan gred kekuatan yang bersesuaian.
Langkah 9 Bakar kemasan cat yang terdapat pada keseluruhan permukaan kemasan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk memudahkan lapisan cat yang degil tertanggal dengan menggunakan pembakar pada suhu yang bersesuaian.
Langkah 10 Kikis kemasan cat yang terdapat pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk menanggalkan saki baki kemasan cat yang masih melekat dengan menggunakan pengikis secara berhati-hati agar tidak merosakkan permukaan kemasannya.
Langkah 11 Gosok keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap untuk mendapatkan satu permukaan kemasan yang rata dan licin dengan menggunakan kertas pasir yang bersesuaian.
Langkah 12 Tampal semua lubang halus, rekahan dan permukaan kemasan yang tidak rata pada permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap dengan bahan ‘putty’ yang bersesuaian.
Langkah 13 Ganti mana-mana kepingan kaca yang telah pecah pada panel daun pintu dan tingkap dengan kepingan kaca baru yang sama dari segi tekstur dan warna asalnya.
Langkah 14 Pasang semula kesemua engsel, selak, tombol serta kunci pintu dan tingkap yang telah ditanggalkan dan dibaik pulih sebelum ini pada kerangka serta daun pintu dan tingkap sebagaimana asal.
Langkah 15 Pasang semula kesemua kerangka serta daun pintu dan tingkap yang telah ditanggalkan dan dibaik pulih kembali pada kedudukan asalnya.
Langkah 16 Sapu atau sembur pada keseluruhan permukaan kerangka serta daun pintu dan tingkap dengan 1 lapisan rawatan anai-anai yang bersesuaian.
Langkah 17 Jalankan kerja pemuliharaan kemasan cat (rujuk penyataan kaedah kerja pemuliharaan kemasan cat pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan yang disediakan secara berasingan dalam bab ini).

Sebahagian daripada contoh pendekatan kerja pemuliharaan kerangka serta daun pintu dan tingkap pada elemen pintu, tingkap dan kelengkapan bangunan bersejarah di Malaysia yang berlandaskan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul iaitu kerja pemuliharaan komponen kayu yang telah rosak dan pemasangan daun pintu yang telah dipulihara seperti ditunjukkan dalam Gambar 10.11.

Gambar 10.11: Kerja pemuliharaan komponen kayu yang telah rosak pada daun pintu (1); dan daun pintu yang telah dibaik pulih siap sedia untuk dipasang kembali pada kedudukan asalnya (2).

10.3 Kesimpulan
Penyataan kaedah kerja pemuliharaan secara umumnya perlu disediakan dalam setiap projek pemuliharaan yang dilaksanakan di semua projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini perlulah disediakan dengan merujuk dan berpandukan kepada prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan sedia ada dalam usaha untuk memulihara keaslian reka bentuk seni bina, bahan binaan dan kaedah pembinaan yang asli. Ini adalah kerana penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh disediakan oleh semua individu yang terlibat dalam industri pembinaaan. Ia perlulah disediakan oleh pihak yang berkelayakan seperti pemulihara bangunan yang mempunyai banyak pegalaman dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah. Selain daripada itu, penyediaannya juga perlu mengambil kira 10 perkara asas yang telah diterangkan sebelum ini bagi memastikan agar penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan betul-betul dapat memulihara dan melindungi elemen dan fabrik bangunan bersejarah daripada dimusnahkan. Penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini juga perlu disediakan dengan merujuk dan berpandukan kepada carta alir proses penyediaan penyataan kaedah kerja pemuliharaan dan perlaksanaan kerja pemuliharaan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah yang telah disediakan secara khusus dalam penyelidikan ini.

Sehubungan dengan itu, cadangan penyataan kaedah kerja pemuliharaan yang disediakan juga bolehlah digunakan dan dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan kepada pihak yang ingin menyediakan penyataan kaedah kerja pemuliharaan pada masa yang akan datang. Adalah diharapkan dengan adanya contoh penyataan kaedah kerja pemuliharaan ini ianya akan dapat memberikan sedikit pemahaman dan panduan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dengan kerja pemuliharaan banguan bersejarah untuk melaksanakan kerja mengikut pendekatan dan tatacara kerja pemuliharaan yang selaras dengan prinsip, falsafah dan etika pemuliharaan yang betul. Ini adalah penting bagi memastikan setiap jenis kerosakan umum bangunan yang telah dikenal pasti terdapat pada elemen utama bangunan bersejarah dapat dirawat dan dibaik pulih dengan menggunakan pendekatan dan tatacara kerja pemuliharaan yang terbukti berkesan dan bersesuaian sahaja dalam setiap kerja pemuliharaan yang dijalankan di tapak projek pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

No comments:

Powered By Blogger