Back to Front Pages

Sunday, May 22, 2011

Deraf Disertasi PhD: Bab 3 Bangunan Bersejarah di Malaysia

Kerosakan Bangunan dan Penyataan Kaedah Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia oleh Kamarul Syahril Kamal, Universiti Sains Malaysia 2011

BAB TIGA
BANGUNAN BERSEJARAH DI MALAYSIA

3.0 Pengenalan
Secara umumnya terdapat banyak bangunan bersejarah di Malaysia terutama sekali yang bercirikan tradisional Melayu, Cina, India dan Kolonial yang telah menjangkau usia ratusan tahun. Bangunan bersejarah ini mempunyai ciri-ciri pertukangan kayu dan seni ukiran halus yang hebat. Merujuk kepada hasil Kajian Inventori Bangunan-bangunan Warisan Malaysia yang telah dilakukan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1992, terdapat lebih daripada 35,000 buah bangunan sebelum perang dibina di 265 buah bandar di seluruh negara yang masih kekal terpulihara (Syed Zainol Abidin Idid, 1995). Bangunan bersejarah ini terdiri dari pelbagai kategori seperti bangunan pentadbiran, institusi, perdagangan, keagamaan, kediaman dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, kebanyakan daripada bangunan bersejarah ini memiliki reka bentuk seni bina, tatahias dan ukiran yang menarik yang tidak terdapat pada kebanyakan binaan bangunan biasa yang moden.

Sewajarnya bangunan bersejarah ini dipulihara dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan peninggalan warisan yang amat berharga kepada negara. Kegagalan dalam usaha mengurus dan memulihara warisan negara ini boleh mengakibatkan kerugian yang amat besar kepada negara itu sendiri. Ini adalah kerana bangunan bersejarah yang telah dibina sejak ratusan tahun dahulu boleh musnah dalam sekelip mata atas desakan arus pembangunan. Bangunan bersejarah seperti rumah kedai, rumah bandar dan rumah banglo Kolonial serta rumah Melayu tradisional sebagai contohnya kini sedang diancam kemusnahan disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pengabaian, perobohan dan kekurangan usaha pemuliharaan dilakukan ke atasnya (Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, 2005a; Noor Haiza Noordin, 2009).

3.1 Definisi Warisan
Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) mendefinisikan warisan membawa pengertian generik Warisan Kebangsaan, tapak, objek dan warisan kebudayaan di bawah air sama ada disenaraikan atau tidak. Manakala Warisan Kebangsaan ertinya mana-mana tapak warisan, objek warisan, warisan kebudayaan di bawah air atau mana-mana orang hidup yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Seksyen 67 akta tersebut. Manakala Tan Sri Dato Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid mendefinisikan warisan sebagai suatu peninggalan kepada seseorang oleh tuan punya sebelumnya atau oleh sesuatu generasi kepada generasi yang terkemudian atau suatu pusaka daripada zaman silam. Dalam konteks seni bina, ia membawa maksud bangunan-bangunan lama yang merangkumi rumah-rumah kedai, bangunan-bangunan Kolonial, awam dan keagamaan yang mencerminkan sejarah, budaya dan ugama kita (Jabatan Perdana Menteri, 2008).

Sementara itu, Khalid Syed Ali (2007) pula telah mendefinisikan warisan sebagai peninggalan dari zaman silam yang merangkumi alam semula jadi, alam bina, artifak serta bahasa, budaya, adat resam dan kepercayaan. Sehubungan dengan itu warisan adalah berkaitan dengan sesuatu yang kita miliki dan seterusnya kita turunkan kepada generasi yang berikutnya yang mana ia mencerminkan memori kehidupan dan bukti kewujudan sesuatu tamadun. Manakala merujuk kepada tafsiran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006), warisan adalah berkaitan dengan sesuatu yang diwarisi secara turun-temurun oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat daripada generasi yang terdahulu. Warisan menggambarkan memori kepada keseluruhan kehidupan sesuatu bangsa dan seterusnya melambangkan ketamadunannya.

3.2 Klasifikasi Warisan
Warisan secara umumnya terbahagi kepada 2 kategori iaitu warisan ketara (tangible heritage) dan warisan tidak ketara (intangible heritage). Warisan ketara adalah sesuatu yang kekal dilihat dan boleh dipegang sama ada statik atau mudah alih (Lowenthal, 2005; MacLeaf, 2006; Jabatan Warisan Negara, 2007; Wilson, 2009). Klasifikasi warisan ketara statik adalah seperti tapak tanah bersejarah, monumen dan bangunan serta alam semula jadi. Manakala warisan ketara mudah alih pula ialah seperti artifak. Perician warisan ketara ini ditunjukkan dalam Rajah 3.1.

Rajah 3.1: Klasifikasi warisan ketara.
Sumber: Diubah suai daripada Kementerian, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006).

Antara contoh warisan ketara statik dan warisan ketara mudah alih di Malaysia iaitu tapak tanah bersejarah, bangunan, alam semula jadi dan artifak seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 3.1. Manakala warisan tidak ketara (intangible heritage) pula ialah warisan tidak nyata seperti ilmu dan kepakaran yang ditafsir melalui tradisi lisan, nilai-nilai adat dan budaya, bahasa dan persuratan. Klasifikasi warisan tidak ketara adalah seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.2. Seterusnya antara contoh warisan tidak ketara di Malaysia yang dimaksudkan iaitu acara perayaan, kepercayaan, seni persembahan, seni tampak, seni perubatan tradisional dan permainan tradisional seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 3.2.

Gambar 3.1: Tapak tanah bersejarah seperti Candi Lembah Bujang di Kedah (1); bangunan seperti Istana Kenangan Kuala Kangsar di Perak (2); alam semula jadi seperti Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak (3); dan artifak seperti Batu Nesan Makam Tengku Syed Hussein I di Pulau Pinang (4).

Rajah 3.2: Klasifikasi warisan tidak ketara.
Sumber: Diubah suai daripada Kementerian, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006).

Gambar 3.2: Acara perayaan seperti Tahun Baru Cina (1); seni persembahan seperti pertunjukan gamelan (2); seni tampak seperti lukisan (3); dan sukan/permainan tradisional seperti wau (4).

Selain daripada itu, terdapat 1 lagi klasifikasi warisan yang dikenali sebagai warisan budaya (culture heritage) dan ia juga boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama iaitu warisan budaya ketara (tangible culture heritage) dan warisan budaya tidak ketara (intangible culture heritage). Klasifikasi warisan budaya ketara ialah seperti tapak warisan, kota bersejarah, lanskap, tapak semulajadi dan lain-lain lagi. Manakala klasifikasi warisan budaya tidak ketara pula ialah seperti tradisi lisan, bahasa, acara perayaan, kepercayaan dan lain-lain lagi seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.3. Manakala antara contoh warisan budaya ketara dan warisan budaya tidak ketara di Malaysia iaitu tapak warisan budaya, kota bersejarah, tradisi lisan dan seni persembahan seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 3.3.

Rajah 3.3: Klasifikasi warisan budaya.
Sumber: Diubah suai daripada Kementerian, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006).

Gambar 3.3: Tapak warisan budaya seperti Banda Hilir di Melaka (Tapak Warisan Dunia UNESCO) (1); kota bersejarah seperti Kota Kuala Kedah di Kedah (2); tradisi lisan seperti penglipurlara Tuan Haji Ali Badron Bin Haji Sabor (Tokoh Orang Hidup) (3); dan seni persembahan seperti Gendang 24 Perayaan (4).

3.3 Definisi Bangunan Bersejarah
Merujuk kepada tafsiran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (2006), bangunan bersejarah diklasifikasikan sebagai warisan ketara di bawah kategori statik yang terdiri daripada monumen dan bangunan bersejarah seperti istana, kubu, kota, makam, bangunan dan menara. Manakala kumpulan bangunan yang teletak dalam sesebuah bandar atau kota bersejarah diklasifikasikan sebagai warisan budaya di bawah kategori warisan budaya ketara. Jabatan Warisan Negara (2009b) mendefinisikan bangunan bersejarah sebagai suatu bangunan atau kumpulan bangunan yang berasingan atau bersambungan yang disebabkan seni binanya, kehomegenannya atau tempatnya dalam lanskap, mempunyai nilai sejagat yang menonjol dari pandangan sejarah, seni atau sains.

Sementara itu, Fielden (2000) pula mendefinisikan bangunan bersejarah sebagai sesebuah bangunan yang dapat memberikan kita perasaan kagum dan menjadikan kita ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bangsa dan budaya yang menghasilkannya. Beliau turut menambah bahawa sekiranya sesebuah bangunan itu mampu bertahan sehingga 100 tahun usia penggunaannya, sewajarnya ia patut digelar bangunan bersejarah. Dalam erti kata yang lain, sesebuah bangunan itu boleh digelar sebagai bangunan bersejarah sekiranya ia mempunyai nilai seperti seni bina, estetik, sejarah, dokumentari, arkeologi, ekonomik, sosial, politik, rohani dan simbolik. Selain kesan yang paling utama iaitu perasaan emosi terhadap simbol kepunyaan sesebuah budaya yang berterusan seterusnya menjadi sebahagian daripada warisan sesebuah negara.

Antara contoh peninggalan bangunan bersejarah di Malaysia yang telah berusia lebih daripada 100 tahun iaitu Masjid Kampung Hulu di Melaka, Gereja St. George Anglican di Pulau Pinang, Muzium Perak di Perak dan Balai Seni di Kedah seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 3.4. Selain daripada itu, bangunan bersejarah mempunyai nilai tertentu yang sangat berharga. Antara nilai tersebut menurut Fielden (2000) dan Yahaya Ahmad (2006b) adalah nilai emosi, nilai budaya dan nilai kegunaan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.4

Gambar 3.4: Bangunan bersejarah di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun iaitu Masjid Kampung Hulu di Melaka (1728) (1); Gereja St. George Anglican di Pulau Pinang (1817) (2); Muzium Perak di Perak (1883) (3); dan Balai Seni di Kedah (1893) (4).

Rajah 3.4: Nilai yang terdapat pada bangunan bersejarah.
Sumber: Diubah suai daripada Fielden (2000) dan Yahaya Ahmad (2006b).

3.4 Klasifikasi Bangunan Bersejarah
Jabatan Warisan Negara (2009a) telah menetapkan bahawa jika sesebuah bangunan itu ingin diklasifikasikan sebagai bangunan bersejarah, ianya hendaklah memenuhi 3 kriteria warisan kebangsaan iaitu mempunyai kepentingan atau hubungan dengan sejarah Malaysia, memiliki ciri-ciri reka bentuk seni bina atau estetik yang menarik dan mempunyai hubungan sosial atau kebudayaan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.5. Manakala antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia yang telah memenuhi kriteria warisan kebangsaan seperti yang dimaksudkan iaitu mempunyai kepentingan atau hubungan dengan sejarah Malaysia ialah seperti Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka, memiliki ciri-ciri reka bentuk seni bina atau estetik yang menarik seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Kuala Lumpur dan mempunyai hubungan sosial atau kebudayaan seperti Balai Besar di Kedah yang ditunjukkan dalam Gambar 3.5.

Rajah 3.5: Kriteria warisan kebangsaan.
Sumber: Diubah suai daripada Jabatan Warisan Negara (2009a).

Gambar 3.5: Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka (1); Stesen Keretapi Kuala Lumpur di Kuala Lumpur (2); dan Balai Besar di Kedah (3).

Merujuk kepada Badan Warisan Malysia (1990a) dan A Ghafar Ahmad (1997), bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia boleh diklasifikasi kepada 12 kategori mengikut kegunaan seperti berikut:
i. Residensi seperti rumah Melayu tradisional, istana, banglo, vila, rumah agam dan rumah teres.
ii. Komersil seperti pasar, kewangan, pajabat, gudang, rumah tamu, rumah tumpangan, hotel dan kafe.
iii. Kegunaan campuran seperti rumah kedai.
iv. Ketenteraan seperti kota dan kubu.
v. Pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti.
vi. Institusi seperti bangunan kerajaan, mahkamah, penjara, hospital dan kedutaan.
vii. Industri dan pertanian seperti lombong, kilang, pelabuhan dan estet.
viii. Keagamaan seperti masjid, surau, wakaf, gereja, tokong, kuil dan perkuburan.
ix. Rekreasi dan sosial seperti rumah kelab dan panggung wayang.
x. Kebudayaan seperti muzium, teater dan pentas persembahan.
xi. Pengangkutan seperti stesen keretapi, bas, jeti dan lapangan terbang.
xii. Lain-lain seperti menara jam dan monumen.

Antara contoh 12 klasifikasi bangunan bersejarah di Malaysia mengikut kategori kegunaan iaitu residensi, komersil, kegunaan campuran, ketenteraan dan lain-lain lagi seperti yang telah disenaraikan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.6.

(1) Residensi: Rumah Agam Ku Din Ku Meh, George Town, Pulau Pinang.
(2) Komersil: Pasar Seni, Kuala Lumpur.
(3) Kegunaan campuran: Heritage Row Shophouse, Banda Hilir, Melaka.
(4) Ketenteraan: Kota Kuala Kedah, Kuala Kedah, Kedah.
(5) Pendidikan: Victoria Institution, Kuala Lumpur.
(6) Institusi: Bangunan Seri Didik, Ipoh, Perak.
(7) Industri dan pertanian: Komplek Sejarah Chimney, Wilayah Persekutuan Labuan.
(8) Keagamaan: Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.
(9) Rekreasi dan sosial: Rumah Kelab Diraja Ipoh, Ipoh, Perak.
(10) Kebudayaan: Muzium Seni Bina, Banda Hilir, Melaka.
(11) Pengangkutan: Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
(12) Lain-lain kegunaan: Menara Jam dan Pusat Penerangan Pelancongan, Taiping, Perak.

Gambar 3.6: 12 klasifikasi bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia mengikut kategori kegunaan.

3.5 Reka Bentuk Seni Bina Bangunan Bersejarah
Kebanyakan daripada reka bentuk seni bina bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia mempunyai pengaruh dari Eropah, Asia dan Timur Tengah selain daripada reka bentuk seni bina Melayu (Badan Warisan Malaysia, 1990a; Vlatseas, 1990; Yeang, 1992; Fee, 2003; Resali Muda, 2006). Secara umumnya terdapat 7 pengaruh reka bentuk seni bina bangunan bersejarah di Malaysia seperti berikut:
i. Pengaruh Indian Kingdoms yang bermula dari abad ke-7 hingga abad ke-14 selepas Masihi iaitu bangunan seperti peninggalan candi Hindu-Budha dari kerajaan Sri Vijaya dan Majapahit.
ii. Pengaruh Malay Vernacular yang bermula dari awal abad ke-15 hingga abad ke-20 selepas Masihi iaitu bangunan seperti istana, masjid dan rumah Melayu tradisional dengan sedikit pengaruh dari negara jiran seperti Sumatera (Minangkabau), Thailand (Patani), Kemboja (Khamer) serta pedagang berketurunan Jawa, China, Tamil, India Muslim, Arab dan Parsi.
iii. Pengaruh Straits Electic yang bermula dari abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20 selepas Masihi yang dibawa oleh pedagang dan imigran dari China dan dicampur dengan pengaruh seni bina Melayu dan Eropah seperti mana yang terdapat pada bangunan seperti rumah kedai (shophouse), rumah bandar (townhouse) dan villa dengan 11 reka bentuk seni bina seperti berikut;
a. Reka bentuk Dutch yang bermula dari 1650an hingga 1700.
b. Reka bentuk Southern China yang bermula dari 1700 hingga 1800.
c. Reka bentuk Early Shophouses yang bermula dari 1800 hingga 1850an.
d. Reka bentuk Early Transitional yang bermula dari 1840an hingga 1900.
e. Reka bentuk Utilitarian yang bermula dari 1880an hingga 1900.
f. Reka bentuk Early Straits Electic yang bermula dari 1890an hingga 1920an.
g. Reka bentuk Late Straits Electic yang bermula dari 1920an hingga 1940an.
h. Reka bentuk Neo-Classical yang bermula dari 1900 hingga 1930an.
i. Reka bentuk Dutch Patrician yang bermula dari 1920an hingga 1930an.
j. Reka bentuk Art Deco yang bermula dari 1930an hingga 1940an.
k. Reka bentuk Modern yang bermula dari 1950an hingga 1980an.

iv. Pengaruh Chitya Indian Vernacular yang bermula dari abad ke-15 hingga pertengahan abad ke-20 selepas Masihi yang dibawa oleh pedagang dan imigran dari India seperti mana yang terdapat pada bangunan seperti kuil Hindu.
v. Pengaruh Chinese Boroque yang bermula dari abad ke-19 hingga awal abad ke-20 selepas Masihi yang dibawa oleh pedagang dan imigran dari China berketurunan Hokkien, Cantonese, Teowchew dan Hakka seperti mana yang terdapat pada bangunan seperti tokong, rumah kongsi dan rumah agam.
vi. Pengaruh Colonial yang bermula dari abad ke-16 hingga pertengahan abad ke-20 selepas Masihi yang dibawa oleh penjajah Portugis dari 1509 hingga 1641, Belanda dari 1641 hingga 1824 dan British dari 1786 hingga 1957 seperti mana yang terdapat pada kebanyakan kategori bangunan seperti pentadbiran, mahkamah, sekolah, kediaman, rumah kelab, stesen keretapi, gereja dan lain-lain lagi dengan 20 reka bentuk seni bina seperti berikut;
a. Reka bentuk Gothic atau Manueline Gothic yang bermula dari abad ke-12 hingga abad ke-16 selepas Masihi.
b. Reka bentuk Dutch yang bermula dari abad ke-15 hingga abad ke-17 selepas Masihi.
c. Reka bentuk Renaissance yang bermula dari abad ke-15 hingga abad ke-17 selepas Masihi.
d. Reka bentuk Tudor atau Mock Tudor yang bermula dari abad ke-15 hingga abad ke-17 selepas Masihi.
e. Reka bentuk Anglo-Indian yang bermula dari abad ke-17 hingga abad ke-18 selepas Masihi.
f. Reka bentuk Palladian yang bermula dari abad ke-17 hingga abad ke-18 selepas Masihi.
g. Reka bentuk Boroque dan Rococo yang bermula dari abad ke-17 hingga abad ke-18 selepas Masihi.
h. Reka bentuk Compradoric yang bermula dari penghujung abad ke-18 selepas Masihi.
i. Reka bentuk Imperial yang bermula dari penghujung abad ke-18 selepas Masihi.
j. Reka bentuk Classical yang bermula dari abad ke-18 hingga abad ke-19 selepas Masihi.
k. Reka bentuk Georgian yang bermula dari abad ke-18 hingga abad ke-19 selepas Masihi.
l. Reka bentuk Revival yang bermula dari abad ke-18 hingga abad ke-19 selepas Masihi termasuklah reka bentuk Neo-Gothic dan Neo-Classicism.
m. Rekabentuk Sino-Malay-Palladian yang bermula dari pertengahan abad ke-19 selepas Masihi.
n. Reka bentuk Regency yang bermula dari pertengahan abad ke-19 selepas Masihi.
o. Reka bentuk Neo-Classical yang bermula dari abad ke-19 hingga abad ke-20 selepas Masihi.
p. Reka bentuk Electic atau Straits Electic yang bermula dari abad ke-19 hingga abad ke-20 selepas Masihi.
q. Reka bentuk Victorian yang bermula dari abad ke-19 hingga abad ke-20 selepas Masihi.
r. Reka bentuk British Raj atau Mogul yang bermula dari abad ke-19 hingga abad ke-20 selepas Masihi.
s. Reka bentuk Moorish yang bermula dari abad ke-20 selepas Masihi.
t. Reka bentuk Edwardian yang bermula dari abad ke-20 selepas Masihi.

vii. Pengaruh Modern yang bermula dari abad ke-20 hingga abad ke-21 selepas Masihi dengan 3 reka bentuk seni bina seperti berikut;
a. Reka bentuk Art Deco yang bermula dari 1930an hingga 1950an.
b. Reka bentuk Post Modern yang bermula dari 1950an hingga 1980an.
c. Reka bentuk International yang bermula dari 1980an hingga kini.

Antara contoh 7 pengaruh reka bentuk seni bina bangunan bersejarah di Malaysia yang telah disenaraikan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.7.

(1) Indian Kingdoms: Candi Bukit Batu Pahat, Lembah Bujang, Kedah.
(2) Malay Vernacular: Istana Kenangan, Kuala Kangsar, Perak.
(3) Straits Electic: FMS Bar and Restaurant, Ipoh, Perak.
(4) Chitya Indian Vernacular: Kuil Sri Ganesat, Kuala Kangsar, Perak.
(5) Chinese Boroque: Yap Temple, George Town, Pulau Pinang.
(6) Colonia’: Balai Polis Alor Setar, Alor Setar, Kedah.
(7) Modern: Wisma Ekran, Kuala Lumpur.

Gambar 3.7: 7 pengaruh reka bentuk seni bina bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia.

Seterusnya, antara contoh 11 pengaruh reka bentuk seni bina rumah kedai dan rumah bandar di Malaysia yang telah disenaraikan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.8.

(1) Dutch: Rumah Bandar, Banda Hilir, Melaka.
(2) Southern China: Rumah Bandar, Banda Hilir, Melaka.
(3) Early Shophouses: Rumah Kedai, George Town, Pulau Pinang.
(4) Early Transitional: Rumah Kedai, George Town, Pulau Pinang.
(5) Utilitarian: Rumah Kedai, Alor Setar, Kedah.
(6) Early Straits Electric: Rumah Bandar, George Town, Pulau Pinang.
(7) Late Straits Electric: Rumah Bandar, George Town, Pulau Pinang.
(8) Neo-Classical: Rumah Kedai, Kuala Lumpur.
(9) Dutch Patrician: Rumah Kedai, Kuala Lumpur.
(10) Art Deco: Rumah Bandar, Ipoh, Perak.
(11) Modern: Rumah Kedai, Ipoh, Perak.

Gambar 3.8: 11 pengaruh reka bentuk seni bina rumah kedai dan rumah bandar yang terdapat di Malaysia.

Berikutnya, antara contoh 20 pengaruh reka bentuk seni bina Colonial di Malaysia yang telah disenaraikan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.9.

(1) Gothic: Gereja St. Francis Xavier, Banda Hilir, Melaka.
(2) Dutch: Balai Seni Lukis Melaka, Banda Hilir, Melaka.
(3) Renaissance: Hong Kong dan Shanghai Bank, Ipoh, Perak.
(4) Tudor: Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur.
(5) Anglo Indian: Markas Regimen 503 Askar Wataniah, Ipoh, Perak.
(6) Palladian: Bangunan JKR, Batu Gajah, Perak.
(7) Boroque dan Rococo: St. John Institution, Kuala Lumpur.
(8) Compradoric: Persatuan Hokkien, Taiping, Perak.
(9) Imperial: Gereja Holy Rosary, Kuala Lumpur.
(10) Classical: Gereja St. George Anglican, George Town, Pulau Pinang.
(11) Georgian: Suffolk House, Ayer Hitam, Pulau Pinang.
(12) Revival: Wisma Perwira, Taiping, Perak.
(13) Sino-Malay-Palladian: Hutton Lodge, George Town, Pulau Pinang.
(14) Regency: Rumah Kedai, George Town, Pulau Pinang.
(15) Neo-Classical: Dewan Perbandaran, George Town, Pulau Pinang.
(16) Straits Electric: Bangunan Bulan Bintang, Ipoh, Perak.
(17) Victorian: Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.
(18) British Raj atau Mogul: Ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.
(19) Moorish: Stesen Keretapi Ipoh, Ipoh, Perak.
(20) Edwardian: Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.

Gambar 3.9: 20 pengaruh reka bentuk seni bina Colonial yang terdapat di Malaysia.

Manakala antara contoh 3 pengaruh reka bentuk seni bina Modern di Malaysia iaitu Art Deco, Post Modern dan International seperti yang telah disenaraikan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.10.

(1) Art Deco: Panggung Wayang Odean, Kuala Lumpur.
(2) Post Modern: Muzium Negara, Kuala Lumpur.
(3) International: Bank Negara, Kuala Lumpur.

Gambar 3.10: 3 pengaruh reka bentuk seni bina Modern yang terdapat di Malaysia.

3.6 Penyenaraian Bangunan Bersejarah
Badan Warisan Malaysia (1990a) berpendapat bahawa penyenaraian bangunan bersejarah adalah penting dalam usaha untuk merekod sejarah bangunan dan signifikasi seni bina yang terdapat pada bangunan berkenaan. Sehubungan dengan itu, terdapat 2 kriteria utama yang boleh dipertimbangkan dalam usaha untuk menyenaraikan sesebuah bangunan bersejarah seperti berikut:
i. Dari segi signifikasi sejarah.
ii. Dari segi signifikasi seni bina.

3.6.1 Dari Segi Signifikasi Sejarah
Kriteria yang pertama ialah penyenaraian bangunan bersejarah dibuat berdasarkan kepada signifikasi sejarah seperti;
i. Tapak dan bangunan yang ada kaitan dengan peristiwa sejarah dari segi budaya, politik, ekonomi, ketenteraan, dan sosial.
ii. Bangunan tempat kelahiran atau kediaman orang kenamaan seperti pahlawan, sasterawan, seniman, tokoh politik dan raja.
iii. Tapak dan kumpulan bangunan yang mewakili pola pembentukan sesebuah kawasan seperti pelabuhan, pengangkutan, pertanian, perlombongan, perdagangan dan pentadbiran.
iv. Bangunan yang berkaitan dengan komuniti kehidupan orang awam seperti mahkamah, penjara, sekolah, dewan dan lain-lain lagi.
v. Tapak arkeologi seperti penempatan manusia dan perkuburan.
vi. Tapak dan bangunan yang ada kaitan dengan unsur keagamaan seperti masjid, gereja, tokong dan kuil.
vii. Tapak perkuburan (makam) orang kenamaan seperti pahlawan, sasterawan, seniman, tokoh politik dan raja.

3.6.2 Dari Segi Signifikasi Seni Bina
Kriteria yang kedua ialah penyenaraian bangunan bersejarah dibuat berdasarkan kepada signifikasi seni bina seperti;
i. Bangunan dengan reka bentuk tertentu.
ii. Bangunan dengan reka bentuk luar biasa.
iii. Bangunan yang dibina oleh akitek atau jurubina yang terkenal.
iv. Bangunan dengan seni ukiran yang halus.
v. Kumpulan bangunan yang dibina dalam suatu jangka masa tertentu.
vi. Bangunan dengan kaedah dan teknik pembinaan yang unik.
vii. Bangunan yang kaya dengan nilai terperinci dan karya seni.
viii. Bangunan dengan kerja pertukangan oleh tukang yang terkenal.
ix. Bangunan atau kumpulan bangunan yang berupaya mempengaruhi karakter keadaan persekitaran.
x. Bangunan atau kumpulan bangunan dengan nilai estetik keseluruhan yang berupaya menarik perhatian orang ramai.

3.7 Pewartaan Bangunan Bersejarah
Setelah sesebuah bangunan itu dikenal pasti dan disenaraikan sebagai bangunan bersejarah, maka sewajarnya ia diwartakan sebagai warisan negara. Merujuk kepada Resali Muda (2006), proses mewarta bangunan bersejarah perlu ditumpukan bukan sahaja terhadap bangunan milik kerajaan tetapi juga kepada hotel, rumah rehat, rumah Melayu tradisional dan juga banglo Kolonial yang dimiliki oleh orang persendirian. Selain daripada itu juga, Pihak Berkuasa Tempatan di setiap bandar dan daerah juga perlu menyenaraikan mana-mana bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah, seni bina dan sebagainya yang terdapat di kawasan mereka bagi memudahkan kerja-kerja pewartaan dan pemuliharaan dapat dibuat di peringkat negara oleh Jabatan Warisan Negara.
Sehingga kini, Jabatan Warisan Negara telah menyediakan sebanyak 99 senarai tapak warisan untuk diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) secara berperingkat seperti yang dilampirkan pada Lampiran C (Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, 2007). Susulan daripada itu, pada 2007 sempena menyambut ulang tahun yang ke-50 kemerdekaan negara Malaysia, Jabatan Warisan Negara telah mengisytiharkan sebanyak 50 Warisan Kebangsaan yang terdiri daripada 16 tapak warisan bangunan; 2 tapak warisan semulajadi; 20 objek warisan ketara dan 12 objek warisan tidak ketara seperti yang dilampirkan pada Lampiran D (Jabatan Warisan Negara, 2007a & 2007b). Rujuk Rajah 3.6. Manakala antara contoh 50 Warisan Kebangsaan pada 2007 di Malaysia di bawah kategori tapak warisan bangunan yang terdiri daripada 16 buah bangunan dan monumen bersejarah yang dimaksudkan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.11

Rajah 3.6: Butiran 50 Warisan Kebangsaan pada 2007.
Sumber: Diubah suai daripada Jabatan Warisan Negara (2007a & 2007b).

(1) Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
(2) Istana Negara, Kuala Lumpur.
(3) Tapak Tiang Bendera Malaya, Kuala Lumpur.
(4) Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
(5) Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.
(6) Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
(7) Ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.
(8) Bangunan Pejabat Pos Besar, Kuala Lumpur.
(9) Bangunan JKR, Kuala Lumpur.
(10) Bangunan Residensi, Kuala Lumpur.
(11) Masjid Negara dan Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.
(12) Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur.
(13) Tugu Negara, Kuala Lumpur.
(14) Batu Caves, Gombak, Selangor.
(15) Gereja St. George's Anglican, George Town, Pulau Pinang.
(16) Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur.

Gambar 3.11: 16 buah bangunan dan monumen bersejarah yang terdapat di Malaysia yang tersenarai di dalam 50 Warisan Kebangsaan pada 2007 di bawah kategori tapak warisan bangunan.

Seterusnya pada 2009, Jabatan Warisan Negara telah mengisytiharkan sebanyak 173 Warisan Kebangsaan dan kali ini ianya terdiri daripada 13 tapak warisan bangunan; 3 tapak warisan arkeologi; objek warisan ketara yang terdiri dari 10 koleksi muzium, 22 koleksi Balai Seni Lukis, 1 koleksi Arkib Negara, 1 koleksi arkeologi; 100 objek warisan tidak ketara yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan, 17 kesenian dan kebudayaan serta 6 tokoh orang hidup seperti yang dilampirkan pada Lampiran E (JWN, 2009b). Rujuk Rajah 3.7. Manakala antara contoh 173 Warisan Kebangsaan pada 2009 di Malaysia di bawah kategori tapak warisan bangunan yang terdiri daripada 13 buah bangunan bersejarah seperti yang dimaksudkan sebelum ini ditunjukkan dalam Gambar 3.12.

Rajah 3.7: Butiran 173 Warisan Kebangsaan pada 2009.
Sumber: Diubah suai daripada Jabatan Warisan Negara (2009b).

(1) Maktab Melayu Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, Perak.
(2) Bangunan Suluh Budiman, Tanjung Malim, Perak.
(3) Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Banda Hilir, Melaka.
(4) Masjid Kampung Kling, Banda Hilir, Melaka.
(5) Muzium Perak, Taiping, Perak.
(6) Victoria Institution, Kuala Lumpur.
(7) Dewan Tunku Canselor, Panggung Eksperimen dan Bangunan Canselori (UM), Kuala Lumpur.
(8) Bangunan Stadhuys, Banda Hilir, Melaka.
(9) Gereja Christ, Banda Hilir, Melaka.
(10) Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
(11) Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
(12) Masjid Kampung Hulu, Banda Hilir, Melaka.
(13) Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Gambar 3.12: 13 buah bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia yang tersenarai di dalam 173 Warisan Kebangsaan pada 2009 di bawah kategori tapak warisan bangunan.
Namun begitu, sebelum sesebuah bangunan bersejarah itu diwartakan sebagai warisan kebangsaan, ia perlu melalui proses yang dikenali sebagai proses penetapan tapak warisan dan dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara iaitu pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mewarta bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Proses ini melibatkan banyak peringkat serta pihak yang terlibat dan lazimnya akan memakan masa yang agak lama iaitu antara 6 hingga 12 bulan. Ringkasan kepada proses penetapan tapak warisan ini ditunjukkan dalam Rajah 3.8.

Rajah 3.8: Proses penetapan tapak warisan.
Sumber: Diubah suai daripada JWN (2009b).

3.8 Kesimpulan
Khazanah warisan yang terdapat pada sesebuah negara adalah pelbagai dan perlu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang akan datang. Antara warisan yang lazimnya dipulihara ialah seperti warisan yang terdapat dalam bentuk tapak tanah bersejarah, bangunan dan monumen, alam semula jadi, artifak, budaya masyarakat tempatan dan sebagainya. Warisan ini perlu dipulihara kerana ia mencerminkan budaya kehidupan sesebuah bangsa dan seterusnya melambangkan ketamadunannya. Dalam bidang pemuliharaan, antara warisan yang penting untuk dipulihara ialah bangunan bersejarah.

Di Malaysia, kebanyakan daripada peninggalan bangunan bersejarah yang masih kekal sehingga kini memiliki reka bentuk seni bina, tatahias dan ukiran yang menarik. Bangunan bersejarah ini juga memiliki nilai emosi, budaya dan kegunaan yang tidak ternilai harganya. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya bangunan bersejarah ini dipulihara dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan peninggalan warisan yang amat berharga kepada sesebuah negara. Selain daripada itu, bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia boleh dianggap unik kerana ia berbeza dengan bangunan bersejarah di kebanyakan negara lain dari segi reka bentuk seni binanya.

Memandangkan Malaysia pernah dijajah oleh 3 kuasa besar dunia pada suatu ketika dahulu iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris selama lebih 500 tahun di samping negara ini juga terdiri dari 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Keadaan ini telah menyebabkan kebanyakan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia telah dipengaruhi dengan reka bentuk seni bina yang pelbagai. Pengaruh reka bentuk seni bina ini telah menjadikan dan mencorakkan kepelbagaian dalam reka bentuk seni bina bangunan bersejarah di Malaysia dan menjadikannya lebih unik dan berharga. Sehubungan dengan itu, sewajarnya bangunan bersejarah ini terus dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment