Back to Front Pages

Monday, March 05, 2007

Pengenalan Kepada Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

PROCEEDINGS OF THE 2nd. BUILDERS SYMPOSIUM (BuSY 2010) "BROADENING HORIZON THROUGH BUILT ENVIRONMENT", 25th. MARCH 2010, UNIVERSITY TECHNOLOGY MARA, MALAYSIA
Kamarul Syahril Bin Kamal1,1Universiti Teknologi MARA, mailto:¹kamarul_uitm@yahoo.co.uk

Abstrak

Sebagaimana yang kita semua maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Namun begitu, dicelah-celah arus pembangunan yang pesat ini terdapatnya bangunan-bangunan yang penuh dengan kesan sejarah yang menarik disamping mempunyai reka bentuk seni bina yang unik seperti bangunan pentadbiran kerajaan, stesen keretapi, sekolah, masjid, istana dan lain-lain lagi. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dipulihara dengan sebaik mungkin daripada pupus ditelan arus pembangunan. Bidang pemuliharaan bangunan bersejarah adalah merupakan satu revolusi yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia hari ini. Ia merupakan satu bidang yang melibatkan kerja pemuliharaan, pengekalan dan penjagaan ke atas bangunan bersejarah dilakukan bagi memanjangkan usia bangunan berkenaan. Selain daripada itu, ia bertujuan untuk memastikan bangunan bersejarah yang dipulihara bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan dan terpulihara dari segi reka bentuk seni bina dan bahan binaannya. Profesyen sebagai konservator bangunan adalah merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah ini terutama sekali sewaktu kerja pemuliharaan sedang dijalankan. Seorang konservator bangunan hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah terutama sekali yang berkaitan dengan prinsip dan etika pemuliharaan agar kerja pemuliharaan yang dilaksanakan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Bidang tugas sebagai seorang konservator bangunan adalah sangat mencabar kerana ia bertanggungjawab untuk memastikan kepentingan nilai sejarah, reka bentuk seni bina dan lain-lain lagi faktor yang terdapat pada sesebuah bangunan bersejarah itu dikekalkan dan terus terpulihara untuk tatapan generasi yang akan datang.
Katakunci: Pemuliharaan, bangunan bersejarah, konservator bangunan.

1. Pengenalan

Malaysia amat kaya dengan peninggalan bangunan bersejarah yang tidak ternilai harganya. Merujuk kepada hasil kajian inventori bangunan-bangunan warisan Malaysia yang telah dilakukan oleh Muzium Negara pada tahun 1992, dianggarkan terdapat lebih kurang 35,000 buah bangunan sebelum perang yang berada di 265 buah bandar yang dikaji di seluruh negara wajar dipulihara (Syed Zainol Abidin Idid, 1995). Namun begitu, sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini menurut A. Ghafar Ahmad (2009) tidak dipulihara dengan baik dan kebanyakan daripadanya berada dalam keadaan yang buruk disebabkan oleh faktor kerosakan bangunan. Lebih malang lagi ada di antara bangunan bersejarah ini sedang diancam kemusnahan kerana diabaikan oleh pemilik asal dan dirobohkan atas desakan pembangunan serta kurangnya keperihatinan masyarakat dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah (Hamilton & Zuraini Md Ali, 2002). Namun begitu, dengan pengiktirafan dan penyenaraian Bandaraya Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO yang juga dikenali sebagai The Historic Cities of The Straits of Malacca di bawah kategori Tapak Warisan Budaya pada 7hb. Julai 2008 (JWN, 2008), telah sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat umum di Malaysia tentang kepentingan untuk memulihara dan menghargai warisan yang terdapat di negara ini terutama sekali bangunan bersejarah. Dirasakan bahawa sudah tiba masanya usaha pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah yang banyak terdapat di negara ini dilakukan dalam skala yang besar dan menyeluruh serta terancang demi untuk memanjangkan usia dan seterusnya menyelamatkannya daripada terus diancam kemusnahan (Cohen, 2001; Leask & Fyall, 2006).

Secara umumnya kesedaran terhadap kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat dan bukannya dibebankan ke atas pihak kerajaan semata-mata (Macdonald, 2001). Bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah negara menurut pendapat A. Ghafar Ahmad (1994) dan Yahaya Ahmad (2006) wajar dipulihara kerana ia memiliki nilai emosi, budaya dan kegunaan yang tidak ternilai harganya. Tanpa usaha pemuliharaan yang berterusan, dikhuatiri bangunan bersejarah ini akan terus lenyap ditelan zaman (Hobson, 2004; Ashurst, 2006). Jesteru itu, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia perlu dilakukan dalam apa cara sekalipun dari masa ke semasa agar generasi yang akan datang dapat berpeluang untuk melihat dan menikmatinya dalam bentuk sedia ada sebagaimana ia dibina ratusan tahun dahulu atau sekurang-kurangnya dalam bentuk yang telah disuaiguna semula seperti muzium, galeri, hotel dan lain-lain lagi, dan bukannya dalam lipatan sejarah, buku rujukan yang terdapat di perpustakaan atau gambaran dalam poskad kenangan sebagaimana yang berlaku kini (Bridgwood et al., 2008; Highfield & Gorse, 2009). Antara contoh bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia yang wajar dipulihara adalah seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 1.1 seperti berikut:

(1) Bangunan Stadthuys di Banda Hilir, Melaka (1641).
(2) Balai Besar di Alor Setar, Kedah (1735).
(3) Muzium Sejarah Nasional di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan (1888).

Gambar 1.1: Bangunan bersejarah di Malaysia yang wajar dipulihara dengan baik bagi mengekalkan ciri-ciri reka bentuk seni bina dan nilai sejarahnya.

Namun begitu, dirasakan bahawa segala usaha yang telah dan sedang dilakukan sehingga kini masih belum berjaya sepenuhnya untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah. Ini adalah kerana masih kelihatan banyak lagi bangunan bersejarah di negara ini yang berada dalam keadaan usang dengan terdapat pelbagai jenis kerosakan bangunan berlaku ke atasnya. Selain daripada itu, terdapat juga di antara bangunan bersejarah ini yang pada dasarnya tidak dipulihara dengan baik dan diabaikan oleh pemiliknya kerana tiada usaha pemuliharaan yang berterusan telah dilakukan (Paiman Keromo, 2002). Mungkin disebabkan oleh masalah kelemahan dari segi perancangan, kekurangan sumber kewangan, kekurangan kepakaran dan kefahaman terhadap pendekatan kerja pemuliharaan yang betul, usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia masih belum boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan usaha pemuliharaan sebagaimana yang telah dilakukan di kebanyakan negara lain seperti di Eropah (Watt & Colston; 2003)

Di Eropah sebagai contohnya, bangunan bersejarah telah dipulihara dengan sebaik mungkin kerana keperihatinan dan kepekaan masyarakat di sana terhadap kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah. Selain daripada menjadi ikon dan mercu tanda sesebuah bandar atau negara, bangunan bersejarah ini telah berupaya untuk menarik kehadiran jutaan pelancong untuk melawatnya dan memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada sesebuah negara. Boleh dikatakan bahawa hampir sebahagian besar daripada bangunan bersejarah yang terdapat di kebanyakan negara berkenaan telah dipulihara dengan baik dan bebas dari sebarang masalah kerosakan bangunan yang serius. Walaupun kerosakan bengunan tetap berlaku tetapi skalanya adalah kecil dan ia seringkali dibaikpulih dengan baik dan sempurna secara berterusan dari masa ke semasa sejak ratusan tahun dahulu lagi (Jokilehto, 1999; Orbasli; 2008).

Sebaliknya di Malaysia, masih kelihatan lagi bangunan bersejarah yang berada dalam keadaan usang, tidak dipulihara dengan baik dan hilang ciri-ciri keaslian pada reka bentuk seni bina dan bahan binaannya kerana tidak dipulihara dan diselenggara dengan baik dan telah diubahsuai pada skala yang menyeluruh. Keadaan seumpama ini secara tidak langsung akan mempercepatkan lagi proses kerosakan bangunan dari berlaku ke atas sesebuah bangunan bersejarah disamping memusnahkan identitinya yang asli.

2. Definisi Bangunan Bersejarah

JWN (2009) mendefinisikan bangunan bersejarah sebagai suatu bangunan atau kumpulan bangunan yang berasingan atau bersambungan yang disebabkan seni binanya, kehomegenannya atau tempatnya dalam lanskap, mempunyai nilai sejagat yang menonjol dari pandangan sejarah, seni atau sains. Sementara itu, Fielden (2000) pula mendefinisikan bangunan bersejarah sebagai sesebuah bangunan yang dapat memberikan kita perasaan kagum dan menjadikan kita ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bangsa dan budaya yang menghasilkannya. Beliau turut menambah bahawa sekiranya sesebuah bangunan itu telah bertahan sehingga 100 tahun usia penggunaannya, sewajarnya ia patut digelar bangunan bersejarah. Dalam erti kata yang lain, sesebuah bangunan itu bolehlah digelar sebagai bangunan bersejarah sekiranya ia mempunyai nilai seperti seni bina, estetik, sejarah, dokumentari, arkeologi, ekonomik, sosial, politik, rohani dan simbolik. Antara contoh peninggalan bangunan bersejarah di Malaysia yang telah berusia lebih daripada 100 tahun ada ditunjukkan dalam Gambar 2.1 seperti berikut:

(1) Masjid Kampung Hulu di Banda Hilir, Melaka (1728).
(2) Gereja St. George Anglican di George Town, Pulau Pinang (1817).
(3) Balai Seni di Alor Setar, Kedah (1893).

Gambar 2.1: Bangunan bersejarah di Malaysia yang telah berusia lebih daripada 100 tahun.

3. Klasifikasi Bangunan Bersejarah

Merujuk kepada BWM (1990) bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia bolehlah diklasifikasikan kepada 12 kategori mengikut kegunaan seperti berikut:
i. Residensi seperti rumah Melayu tradisional, istana, banglo, vila, rumah agam dan rumah teres.
ii. Komersil seperti pasar, kewangan, pajabat, gudang, rumah tamu, rumah tumpangan, hotel dan kafe.
iii. Kegunaan campuran seperti rumah kedai.
iv. Ketenteraan seperti kota dan kubu.
v. Pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti.
vi. Institusi seperti bangunan kerajaan, mahkamah, penjara, hospital dan kedutaan.
vii. Industri dan pertanian seperti lombong, kilang, pelabuhan dan estet.
viii. Keagamaan seperti masjid, surau, wakaf, gereja, tokong, kuil dan perkuburan.
ix. Rekreasi dan sosial seperti rumah kelab dan panggung wayang.
x. Kebudayaan seperti muzium, teater dan pentas persembahan.
xi. Pengangkutan seperti stesen keretapi, bas, jeti dan lapangan terbang.
xii. Lain-lain seperti menara jam dan monumen.

4. Definisi Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Merujuk kepada ICOMOS (1999) (Piagam Burra), ada mendefinisikan pemuliharaan sebagai proses memulihara sesuatu tempat supaya kepentingan kebudayaan dapat dikekalkan. Prosesnya termasuklah penyelenggaraan dan kadang kala termasuk juga proses pemulihan, restorasi dan pembinaan semula serta adaptasi. Pada kebiasaannya ia adalah kombinasi di antara proses-proses ini. Sementara itu, merujuk kepada PERZIM (2006) pula telah mendefinisikan pemuliharaan sebagai kerja-kerja baik pulih monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan kaedah mengekalkan seni bina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Penekanan kerja pemuliharaan adalah terhadap seni bina iaitu rupa bentuk yang terawal atau mula-mula dibina, bahan-bahan binaan iaitu mengekalkan bahan-bahan binaan yang asal sama ada peneguhan atau pembuatan semula dan penggunaan seperti asal pembinaan sesuatu bangunan atau monumen. Antara contoh pendekatan kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia ada di tunjukkan dalam Gambar 4.1 seperti berikut:

(1) Kerja pemuliharaan Bangunan JKR di Batu Gajah, Perak.
(2) Kerja pemuliharaan Stesen Keretapi Ipoh di Ipoh, Perak.
(3) Kerja pemuliharaan Bangunan No. 57, Jalan Macalister di George Town, Pulau Pinang.

Gambar 4.1: Kerja pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia sedang dijalankan.

5. Kepentingan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

A. Ghafar Ahmad (2006a) ada menegaskan bahawa segala usaha pemuliharaan bangunan bersejarah perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingannya dari segi nilai sejarah, warisan, seni bina, usia, fungsi dan bahan binaan. Menurut pendapat Fileden (2000), antara kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah ialah seperti berikut:
i. Bangunan bersejarah mempunyai nilai nostalgia, seni bina, estetik, simbolik, sejarah, dokumentari, arkeologi, ekonomik, sosial dan juga politik serta rohani.
ii. Bangunan bersejarah berupaya memberi imej dan identiti pada rupa bentuk bandar dan budaya setempat.
iii. Lokasi dan kawasan persekitaran bangunan bersejarah berupaya untuk menarik minat para pelancong seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan.
iv. Bangunan bersejarah sedikit sebanyak akan mengingatkan kita kepada sejarah penjajahan masa lampau seterusnya memberi iktibar kepada generasi akan datang tentang sejarah silam tanahair serta meningkatkan semangat patriotisma.

Manakala DBKL (1996a) pula berpendapat bahawa antara kepentingan utama pemuliharaan bangunan bersejarah dalam sesebuah kawasan bandar pula ialah untuk:
i. Mengekalkan nilai-nilai warisan budaya sebagai langkah ke arah pembentukan identiti reka bentuk tempatan.
ii. Memulihara dan mengekalkan elemen karektor, sejarah dan reka bentuk seni bina yang unik dan menarik.
iii. Mengekalkan nilai-nilai sejarah dan kenangan tentang kewujudan sesebuah bandaraya.
iv. Meningkatkan taraf bangunan bersejarah dari masalah seperti kadar keusangan yang tinggi dan kurang penyelenggaraan.
v. Menyeimbangkan integrasi pembangunan antara bangunan lama dengan yang baru.
vi. Menyimpan rekod seni bina silam sebagai rujukan pada masa yang akan datang.

6. Isu Semasa Berkaitan Pemuliharaan dan Bangunan Bersejarah

Secara umumnya terdapat banyak isu dan masalah yang telah dikenalpasti dan sedang dihadapi oleh bangunan bersejarah di Malaysia sebagaimana yang telah diutarakan sebelum ini oleh pelbagai pihak iaitu DBKL (1996b), MPPP (2005) serta MBMB (2008) seperti berikut:
i. Bangunan bersejarah dirobohkan untuk tujuan pembangunan.
ii. Bangunan bersejarah musnah disebabkan oleh kebakaran.
iii. Bangunan bersejarah tidak dipulihara dan diselenggara dengan baik.
iv. Bangunan bersejarah banyak mengalami masalah kerosakan bangunan.
v. Bangunan bersejarah dipulihara dengan pendekatan kerja pemuliharaan yang salah.

7. Prinsip Asas Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Dalam usaha untuk melaksanakan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah, adalah amat penting bagi konservator bangunan untuk mengetahui, memahami dan mengamalkan prinsip asas pemuliharaan agar ianya menepati kehendak dan piawaian di peringkat antarabangsa. Paiman Keromo (2006) berpendapat bahawa prinsip utamanya ialah keaslian dan beliau telah mengenalpasti dan membahagikan keaslian kepada empat elemen utama seperti berikut:
i. Keaslian dari segi seni bina.
ii. Keaslian bahan-bahan binaan.
iii. Keaslian pembinaan dan penciptanya.
iv. Keaslian teknik sama ada pemasangan atau pembuatannya.

Sehubungan dengan itu, kejayaan dalam setiap kerja pemuliharaan bangunan bersejarah menurut pendapat A. Ghafar Ahmad (2006b) adalah berdasarkan kepada prinsip asas pemuliharaan itu sendiri jika ianya dipatuhi. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja pemuliharan bangunan bersejarah dijalankan dengan teknik dan kaedah pemuliharaan yang betul, maka pemahaman terhadap prinsip asas pemuliharaan adalah amat penting serta perlu diketahui dan dipatuhi seterusnya diamalkan seperti berikut:
i. Prinsip meminimakan gangguan seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan keasliannya.
ii. Prinsip menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenalpasti kandungan dan sifat bahan binaan serta tahap kerosakannya. Keputusan kajian saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan dilakukan kelak.
iii. Prinsip mendokumentasikan kerja pemuliharaan yang menjadi amalan penting kerja pemuliharaan kerana ia dapat digunakan sebagai bahan rujukan terhadap kerja penyelenggaran bangunan bersejarah pada masa akan datang.
iv. Prinsip mengaplikasikan kaedah pemuliharaan yang terbukti berkesan bagi memastikan setiap pendekatan pemuliharaan yang digunakan semasa kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada bangunan bersejarah yang dipulihara.

8. Etika Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Setelah diketahui tentang prinsip asas pemuliharaan, maka sewajarnya kerja pemuliharaan dilaksanakan mengikut etika pemuliharaan yang sewajarnya. Etika pemuliharaan bolehlah dianggap sebagai pelengkap kepada prinsip asas pemuliharaan. Terdapat banyak pihak yang telah memberikan tafsiran berkaitan etika pemuliharaan seperti Bell (1997) dan Caple (2000) yang menjelaskan bahawa etika pemuliharaan adalah amat penting untuk dipatuhi. Tanpa etika pemuliharaan dikhuatiri kerja pemuliharaan yang dilaksanakan akan mengalami kegagalan dari segi prinsipnya. Sehubungan dengan itu, antara etika pemuliharaan yang perlu dipatuhi ketika kerja pemuliharaan sedang dijalankan menurut Fielden (2000) adalah seperti berikut:
i. Keadaan bangunan bersejarah hendaklah direkodkan sebelum sebarang kerja pemuliharaan dijalankan.
ii. Sebarang bukti sejarah tidak boleh dimusnahkan, dipalsukan atau dialihkan.
iii. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah seminima yang mungkin.
iv. Sebarang kerja pemuliharaan hendaklah dikawal oleh rasa hormat terhadap estetik, sejarah dan integriti fizikal oleh pemilikan budaya.
v. Semua kaedah dan bahan yang digunakan semasa rawatan hendaklah didokumenkan sepenuhnya.

Seterusnya merujuk kepada ICOMOS (1987) (Piagam Washington), tersenarai beberapa etika pemuliharaan yang sewajarnya dipatuhi ketika menjalankan sebarang kerja pemuliharaan dan antaranya adalah seperti berikut:
i. Tidak dibenarkan dibuat sebarang pengubahsuaian pada susun atur dan hiasan pada sesebuah bangunan bersejarah.
ii. Tidak dibenarkan membina, meroboh, dan mengubahsuai mana-mana bahagian bangunan bersejarah yang boleh mengubah bentuk dan warna bangunan bersejarah tersebut.
iii. Tidak dibenarkan mengalih sebahagian atau keseluruhan bangunan bersejarah tersebut kecuali dengan tujuan untuk melindunginya.
iv. Bahan binaan yang digantikan pada bahagian yang hilang atau rosak hendaklah dipilih atau dibuat supaya ianya dapat mengekalkan keharmonian bentuk dan warna asalnya.
v. Sebarang penambahan yang dilakukan hendaklah tidak begitu menonjol sehinggakan ianya boleh menukar kepentingan asal bangunan bersejarah berkenaan dan seterusnya mencemar keharmoniannya dengan alam sekitar.
vi. Dimana perlu, penggalian arkeologi yang sistematik hendaklah dilakukan sebelum kerja pemuliharaan dilakukan ke atas sesebuah tapak atau bangunan bersejarah.
vii. Sewaktu dan selepas kerja pemuliharaan, alam sekitar hendaklah turut dipelihara dan dikekalkan.

9. Pendekatan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah, terdapat pelbagai pendekatan kerja pemuliharaan yang boleh dan sering digunakan dan setiap satunya membawa maksud yang tersendiri. Lazimnya pendekatan kerja pemuliharaan ini banyak bergantung kepada keadaan bagaimana sesuatu kerja itu hendak dilakukan terhadap sesebuah bangunan bersejarah seperti pendekatan sama ada untuk membina semula, mengeluarkan semula atau mengembalikan semula. Sehubungan dengan itu, pemahaman terhadap maksud setiap pendekatan kerja pemuliharaan ini oleh konservator bangunan adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan semasa kerja pemuliharaan sedang dijalankan. A. Ghafar Ahmad (2006a) berpendapat bahawa pendekatan kerja pemuliharaan adalah amat penting bagi memastikan keaslian dan kepentingan sesebuah bangunan bersejarah itu terpelihara dan tidak terjejas. Memandangkan bangunan bersejarah di Malaysia didapati berbeza antara satu sama lain dari segi aspek gaya seni bina, fungsi, struktur bangunan dan juga kerosakan bangunan yang berlaku ke atasnya maka sudah pasti ianya memerlukan pendekatan kerja pemuliharaan yang pelbagai.

Secara umumnya terdapat sebanyak 10 pendekatan kerja pemuliharaan yang lazim dilakukan ke atas bangunan bersejarah sebagaimana yang telah dikenalpasti oleh Fielden (2000), Burden (2004), Muhammad Ismail Othman (2006) dan Paiman Keromo (2006) seperti berikut:
i. Pengekalan (preservation).
ii. Pengembalian semula (restoration).
iii. Pemulihan (rehabilitation).
iv. Pengeluaran semula (reproduction).
v. Pembinaan semula (reconstruction).
vi. Pengukuhan (consolidation).
vii. Penyesuai gunaan (adaptation).
viii. Kegunaan yang sepadan (compatible use).
ix. Pencegahan (prevention).
x. Penyelenggaran (maintenance).

10. Kesimpulan

Sungguhpun usaha pemuliharaan ke atas bangunan bersejarah di Malaysia masih berada di peringkat awal dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kebanyakan negara maju seperti di Eropah, namun segala usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh pelbagai pihak baik kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dan pihak swasta serta orang perseorangan haruslah mendapat pujian walaupun bukan pada tahap yang begitu membanggakan. Akan tetapi sebagai permulaan ia adalah sesuatu tindakan yang positif ke arah yang lebih baik. Adalah diharapkan agar melalui usaha yang berterusan dari semua pihak di negara ini, kesedaran mengenai tanggungjawab bersama dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Selain daripada itu, dirasakan bahawa sudah tiba masanya profesyen sebagai konservator bangunan mendapat tempat yang sewajarnya dalam industri pembinaan dan pemuliharaan negara dan dalam masa yang sama lebih ramai graduan dari kalangan generasi muda mula menceburi dalam bidang berkenaan. Ini adalah kerana negara kita Malaysia amat memerlukan golongan pelapis yang berilmu dan berkemahiran tinggi dalam bidang pemuliharaan bangunan bersejarah ini dalam usaha untuk memastikan bangunan bersejarah di Malaysia terus terpulihara daripada diancam kemusnahan dan diabaikan. Ingatlah bahawa warisan bangunan bersejarah yang ada di negara ini tidak ternilai harganya pada sesebuah bangsa dan negara.

Rujukan

1. A. Ghafar Ahmad (1994). Pengenalan kepada bangunan dan monumen lama di Malaysia. Bengkel Menangani Masalah Pemuliharaan Bangunan Lama di Malaysia, 19-22hb. Disember 1994, Perak. Kota Ngah Ibrahim, Taiping.
2. A. Ghafar Ahmad (2006a). Rangka kerja pemuliharaan bangunan warisan di Malaysia. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29hb. November 2006, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka.
3. A. Ghafar Ahmad (2006b). Mendokumentasi kerja-kerja konservasi. Kursus Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 16-18hb. Disember 2006, Pulau Pinang. E & O Hotel, George Town.
4. A. Ghafar Ahmad (2009). Treatment of rising damp and replastering at heritage buildings. Bengkel Bersiri 2009 Konservasi Bangunan Warisan Siri 2: Lepaan Kapur, 17-19hb. Julai 2009, Perak. Dewan Pusat Pelancongan Negeri Perak, Ipoh.
5. Ashurst, J. (2006). Conservation of ruins. Butterworth-Heinemann, Oxford.
6. Badan Warisan Malaysia (BWM) (1990). Malaysian architectural heritage survey: A handbook. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
7. Bell, D. (1997). The historic Scotland guide to international conservation charters. Historic Scotland, Edinburgh.
8. Bridgwood, B., Lennie, L. & Zunde, J. (2008). History, performance and conservation. Taylor & Francis, London.
9. Burden, E. (2004). Illustrated dictionary of architectural preservation: Restoration, renovation, rehabilitation and reuse. McGraw Hill, New York.
10. Caple, C. (2000). Conservation skills: Judgement, method and decision making. Routledge, London.
11. Cohen, N. (2001). Urban planning conservation and preservation. Mc-Graw Hill, New York.
12. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (1996a). Garis panduan pengekalan bangunan di dalam kawasan pusat bandar Kuala Lumpur. Unit Reka Bentuk Bandar dan Warisan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
13. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (1996b). Garis panduan reka bentuk untuk pembinaan baru kedai/pejabat Taman Taynton View, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Unit Reka Bentuk Bandar dan Warisan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
14. Fielden, B.M. (2000). Conservation of historic buildings. Architectural Press, Oxford.
15. Hamilton, B. & Zuraini Md Ali (2002). BS role in conservation works. 2nd. National Conference on Building Control, 22-23hb. Januari 2002, Selangor. Hilton Hotel, Petaling Jaya.
16. Highfield, D. & Gorse, C. (2009). Refurbishment and upgrading of buildings. Spoon Press, London.
17. Hobson, E. (2004). Conservation and planning. Spoon Press, London.
18. International Council on Monument and Site (ICOMOS) (1987). The Washington Charter: Charter on the conservation of historic towns and urban areas. ICOMOS International Secretariat, Paris.
19. International Council on Monument and Site (ICOMOS) (1999). The Burra Charter: The Australia ICOMOS charter for the conservation of places of cultural significance with associated guidelines and code on the ethics of co-existance. Australia ICOMOS Inc., Burwood.
20. Jabatan Warisan Negara (JWN) (2008). Historic Cities of The Straits of Malacca: Melaka and George Town Towards World Heritage Listing. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
21. Jabatan Warisan Negara (JWN) (2009). Warisan Kebangsaan. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Kuala Lumpur.
22. Jokilehto, J. (1999). A century of heritage conservation. Dalam: D. Watt, (ed). Journal of Architectural Conservation. Volume 5 (issue number 3).
23. Leask, A. & Fyall, A. (2006). Managing world heritage sites. Butterworth-Heinemann, Oxford.
24. Macdonald, S. (2001). Preserving post-war heritage: The care and conservation of mid-twentieth century architecture. Donhead Publishing Ltd., Shaftesbury.
25. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) (2008). Conservation management plan for the Historic City of Melaka. Unit Konservasi, Jabatan Perancangan Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka.
26. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (2005). Guidelines for conservation areas and heritage buildings. Unit Warisan, Jabatan Bangunan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Pulau Pinang.
27. Muhammad Ismail Othman (2006). Garispanduan konservasi monumen warisan Negeri Melaka. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29hb. November 2006, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka.
28. Orbasli, A. (2008). Architectural conservation. Blackwell Science Ltd., Oxford.
29. Paiman Keromo (2002). Pengurusan pemuliharaan warisan negara di kawasan perbandaran. Buletin JMA 2002. Jilid IV.
30. Paiman Keromo (2006). Konservasi secara umum: Garis panduan konservasi monumen dan tapak tanah bersejarah di Malaysia. Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29hb. November 2006, Melaka. Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka.
31. Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (2006). Pengenalan bengkel konservasi monumen dan tapak tanah bersejarah. Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka.
32. Syed Zainol Abidin Idid (1995). Pemeliharaan warisan rupa bandar: Panduan mengenali warisan rupa bandar berasaskan inventori bangunan warisan Malaysia. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
33. Watt, D. & Colston, B. (2003). Conservation of historic buildings and their contents: Addressing the conflicts. Donhead Publishing Ltd., Shaftesbury.
34. Yahya Ahmad (2006). Kepentingan dan keaslian dalam kerja konservasi. Kursus Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 16-18hb. Disember 2006, Pulau Pinang. E & O Hotel, George Town.

1 comment: