Lilawati Ab Wahab¹, Prof. Madya Dr. A. Ghafar Ahmad² dan Prof. Madya Dr. Badaruddin Mohamed²
²Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang, Malaysia. Tel: 04-6533888.
Abstrak
Warisan merupakan sesuatu yang sangat berharga yang mana ia akan diturunkan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Warisan yang tidak dipulihara lazimnya akan pupus tanpa disedari dan ia adalah merupakan suatu kerugian yang tidak ternilai terhadap sesuatu bangsa dan negara. Antara warisan yang paling nyata dan telah diabaikan ialah peninggalan bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seluruh negara yang mana semakin hari bilangannya semakin berkurangan ditelan arus pembangunan. Kini rakyat telah mula sedar tentang kepentingan memulihara bangunan bersejarah. Kewujudan bangunan-bangunan bersejarah ini mula diambil berat oleh semua pihak, baik pihak kerajaan mahupun pihak swasta. Banyak bangunan bersejarah telah mula dibaikpulih dan disuaiguna semula untuk pelbagai tujuan apatah lagi setelah mereka mengetahui kepentingan dan potensi yang terdapat pada bangunan- bangunan bersejarah ini. Namun begitu pendekatan pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia masih kurang diamalkan dengan konsep dan kaedah yang betul sebagaimana yang dipraktikkan di kebanyakan bandar warisan lain yang terdapat di seluruh dunia. Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang disuaiguna semula di Malaysia tidak digunakan sebaiknya malah tidak berupaya untuk menarik kunjungan dan minat pengguna apatah lagi pelancong dari dalam atau luar negara. Ia merupakan suatu kerugian besar yang mana ianya boleh dielakkan sekiranya penyesuaigunaan semulanya dirancang dengan baik. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan melihat perkembangan pemuliharaan dan penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah yang telah dijalankan di Malaysia.
Kata kunci: bangunan bersejarah, pemuliharaan, penyesuaigunaan semula, industri pelancongan, warisan.
PENGENALAN
Setiap individu mempunyai warisan masing-masing. Ia berbeza mengikut jalur bangsa mahupun agama. Warisan seperti mana yang dimaksudkan di dalam kamus Oxford adalah sesuatu yang akan atau telah diwarisi yang mana akan melibatkan dua pihak iaitu generasi lepas dan generasi akan datang. Pada Persidangan Warisan Dunia UNESCO 1972 ada dinyatakan bahawa “...warisan budaya dan alam semulajadi semakin terancam oleh kemusnahan, bukan sahaja disebabkan kerosakan secara tradisional, tetapi juga oleh sebab perubahan keadaan sosial dan ekonomi. Kemusnahan atau kehilangan budaya atau alam semulajadi ini akan mengakibatkan kepupusan warisan bagi semua bangsa di dunia...”. Produk warisan seperti bangunan dan monumen yang mempunyai nilai sejarah dan senibina, tapak warisan dan juga keunikan budaya masyarakat tempatan adalah antara warisan yang perlu dijaga. Kita perlulah memulihara segala warisan yang ada hari ini bagi mengelakkan kepupusan daripada berlaku sebelum kita kehilangan warisan tersebut. Kepupusan warisan merupakan sesuatu yang amat merugikan. Ia akan hilang tanpa pengganti dan akan terus lenyap dari dunia ini. Kepupusan warisan perlulah dibendung kerana ia penentu corak jalur kehidupan manusia. Di Persidangan Warisan Dunia UNESCO 1972 juga ada disebut, antara warisan yang paling mudah pupus dan perlu kita pulihara adalah bangunan-bangunan bersejarah yang ada pada hari ini. Antara langkah yang boleh diambil bagi melindungi warisan ini daripada pupus adalah dengan memulihara bangunan bersejarah yang sedia ada. Kos yang perlu dikeluarkan bagi sesebuah projek pemuliharaan bangunan bersejarah selalunya adalah amat tinggi. Tidak kira samada pada peringkat kerja pemuliharaan itu sendiri mahupun bagi kerja penyelenggaraan bangunan tersebut sepanjang masa ia digunakan kelak. Kaedah penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah merupakan serampang dua mata di dalam memastikan bangunan yang dipulihara dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Penyesuaigunaan semula bangunan yang berjaya akan memberi keuntungan kepada pihak yang memuliharanya dan ini merupakan satu bonus di dalam kerja-kerja pemuliharaan.
PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH
Bangunan adalah sebahagian daripada warisan kita apatah lagi jika bangunan tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri. Disebalik tersergamnya sesebuah bangunan, tersirat pemikiran, falsafah, nilai kecantikan, dan budaya pereka dan tuanpunya bangunan. Ia mampu mengembalikan nostalgia yang pernah terjadi di bangunan tersebut, kawasan persekitarannya mahupun negara. Semakin tua umur sesebuah bangunan, semakin tinggi nilai bangunan tersebut. Pemuliharaan bangunan bersejarah merupakan satu bidang yang masih baru di negara kita dan selama ini ia banyak didominasi oleh negara-negara di eropah terutamanya Britain. Mengikut definasi oleh Fielden (2000) pemuliharaan bangunan adalah satu langkah yang diambil bagi menghalang kerosakan. Ia merangkumi semua langkah yang dapat memanjangkan hayat warisan budaya dan warisan semulajadi bangunan tersebut. Piagam Burra (1981: artikel 1.4) pula mendefinasikan pemuliharaan sebagai segala proses untuk mengawasi sesuatu tempat supaya dapat mengekalkan kepentingan kebudayaan. Ini termasuklah juga pemuliharaan, pembaikan, pembinaan semula dan penyesuaian dan biasanya lebih daripada salah satu kombinasi ini digunakan. Kerja pemuliharaan yang dilakukan perlulah menggunakan kaedah mengekalkan senibina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan binaan asal. Penekanan perlu diberi terhadap rekabentuk senibina iaitu rupabentuk yang terawal atau mula-mula ia dibina. Pemuliharaan bangunan bersejarah penting kerana bangunan selalunya melambangkan identiti masyarakat dan warisan sesebuah masyarakat. Selain itu ia juga adalah bukti sejarah masa lalu dan merupakan aset yang penting kepada negara. Rakyat Malaysia perlu digalakkan untuk melindungi dan menjaga bangunan bersejarah yang ada kerana ia mewakili perubahan sejarah yang telah dialami negara. Jika dilihat di negara terkenal dunia seperti England, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, Turki dan sebagainya, kebanyakan bangunan bersejarahnya dijaga dengan baik bagi menghargai sejarah negara disamping menjadikannya sebagai punca pendapatan negara dari sektor pelancongan. Sebagai sebuah negara yang membangun dan menghargai warisan negara, kita juga seharusnya mengikut jejak langkah negara-negara tersebut. Kepekaan masyarakat terhadap kewujudan dan pemuliharaan bangunan bersejarah sepatutnya ditanam sejak dari usia kanak-kanak lagi. Di negara barat, lawatan ke bangunan bersejarah dan muzium merupakan aktiviti sekolah yang sering dijalankan bagi memupuk minat dan menanam rasa sayang kanak-kanak kepada warisan mereka sendiri. Di Malaysia hari ini, banyak badan dan organisasi yang berkaitan dengan warisan telah mula prihatin di dalam memastikan warisan negara dikekalkan dan terus dipulihara daripada pupus dan kerja-kerja pemuliharaan telah mula dijalankan dengan banyaknya. Antara pihak-pihak tersebut ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Kementerian Pelancongan Malaysia, Badan Warisan Malaysia, ‘Penang Heritage Trust’, ‘Perak Heritage Society’, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Jabatan Muzium dan Antikuiti dan lain-lain. Pemuliharaan bangunan bersejarah amat penting dilakukan di negara kita kerana ia merupakan antara warisan yang amat sukar dicariganti. Secara praktiknya, kerja pemuliharaan melibatkan berbagai pakar dalam berbagai bidang dan profesional seperti akitek, jurukur bahan, kontraktor bangunan, perancang bandar, saintis, ahli sejarah, arkeologi, pakar barangan antik, tukang ukir dan lain-lain. Kesemua pihak ini haruslah bekerjasama dan berganding bahu seiringan dalam usaha untuk memastikan kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia adalah mengikut piawai dan garispanduan sebagaimana yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa oleh pihak seperti ‘United Nations Educational Scientific and Cultural Organization’ (UNESCO), International Centre for the Study of the Preservation and Restoration of Cultural Property’ (ICCROM) dan ‘International Council on Monuments and Sites’ (ICOMOS).
KEPENTINGAN PEMULIHARAAN BANGUNAN BERSEJARAH
Antara persoalan yang sering diajukan oleh generasi muda hari ini ialah mengapa kita perlu memulihara bangunan lama sedangkan kita boleh membina bangunan baru dengan berbagai pilihan rekabentuk dan senibina. Persoalan ini dapat disangkal dengan mudah kerana jika dikaji secara terperinci, bangunan bersejarah mempunyai kepentingannya yang tersendiri antaranya ialah :
1. Kepentingan Sejarah.
Rekabentuk seni bina sesebuah bangunan selalunya akan menggambarkan perkembangan sejarah yang berlaku. Contohnya sejarah negara yang pernah dijajah oleh kuasa luar seperti British selama melebihi 160 tahun boleh dilihat dari senibina kolonial di bangunan-bangunan pentadbiran lama di seluruh Semenanjung Malaysia. Begitu juga dengan bangunan-bangunan bersejarah yang masih wujud di Negeri Melaka yang menceritakan bahawa Melaka pernah menjadi sebuah pusat perdagangan yang pesat dan penjajahan juga pernah berlaku di sana.
2. Nilai Seni Bina.
Dari hari ke hari jelas dilihat perbezaan yang berlaku pada seni bina bangunan di Malaysia. Jika dahulu rekabentuk kolonial dan rumah kayu Melayu dengan tiang yang tinggi boleh dilihat di serata Malaysia. Ia kini diganti dengan senibina moden dan rumah Melayu sesebuah telah diganti dengan rumah teres atau rumah bertingkat. Bangunan kolonial British yang pernah dibina di Malaysia mempunyai senibina tersendiri yang boleh dikategorikan sebagai ‘Moorish’, ‘Tudor’, ‘Neo-Clasical’ dan ‘Neo-Ghotic’. Rekabentuk seni bina ini amat mementingkan perincian di ruang dinding, tingkap, pintu, tiang dan menara. Manakala rumah kayu Melayu mempunyai rekabentuk berdasarkan ciri-ciri seni bina tempatan dan luar seperti pengaruh dari Siam dan Indonesia. Kebanyakannya mempunyai ukiran halus di bumbung, tingkap dan pintu yang menggambarkan kehalusan seni bina Melayu disamping budaya masyarakat itu sendiri. Kini sukar bagi kita untuk menemui bangunan berbentuk kolonial dan rumah kayu Melayu yang mempunyai rekabentuk yang unik dan kehalusan seni yang tinggi.
3. Industri Pelancongan.
Di negara barat, usaha pemuliharaan bangunan lama telah menjadi salah satu agenda di dalam industri pelancongan mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas di negara Eropah seperti England, Perancis, Itali dan Belanda. Selain daripada mengekalkan bangunan tersebut sebagaimana asal, terdapat juga bangunan yang diubahsuai penggunaannya sebagai muzium, galeri seni lukis, restoran dan pusat pelancongan. Usaha ini telah mampu menarik lebih ramai pelancong dan ia membantu menjana ekonomi negara tersebut. Sehubungan dengan itu, konsep pelancongan warisan yang telah dipraktikkan dengan jayanya patut dilaksanakan di Malaysia memandangkan negara kita juga mempunyai banyak stok bangunan warisan yang mempunyai nilai senibina yang tinggi yang dirasakan mampu menarik minat para pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjunginya.
4. Pendidikan.
Generasi muda hari ini semakin lupa dengan susur jalur asal keturunan mereka. Mereka telah dilimpahi dan mengamalkan cara hidup moden yang langsung tidak menunjukkan kebudayaan Malaysia. Setidak-tidaknya dengan masih wujudnya bangunan bersejarah, generasi hari ini masih dapat mempelajari, memahami dan mengkaji tentang bangunan, sejarah kehidupan manusia dan diri sendiri.
5. Pembentukan Minda.
Dengan kehidupan yang serba moden, kita khuatir andai kata minda generasi muda Malaysia hari ini juga dipengaruhi oleh kemodenan. Pemuliharaan bangunan bersejarah penting di dalam membantu pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Dengan adanya bangunan bersejarah ini, generasi muda akan lebih menghargai dan sensitif kepada perkembangan sejarah negara seterusnya menghargai budaya bangsa sendiri.
PENYESUAIGUNAAN SEMULA BANGUNAN BERSEJARAH DENGAN FUNGSI BARU
Penyesuaigunaan semula adalah sebahagian daripada proses pemuliharaan. Ia adalah satu langkah bijak bagi memastikan bangunan bersejarah dipulihara, diberikan nafas baru dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ia juga dapat mempertahankan khazanah warisan terdahulu dari lenyap ditelan zaman. Penyesuaigunaan semula secara umumnya akan melibatkan kerja-kerja seperti pemuliharaan, pengubahsuaian, pembaikan, pengekalan dan pembetulan. Mohd Yusof Ismail (2003) menyatakan bahawa penyesuaigunaan semula adalah bangunan yang diubah untuk penggunaan baru dan meninggalkan fungsi penggunaan yang lama. Selalunya ia memerlukan sedikit pengubahsuaian kepada bangunan tersebut bagi memastikan bangunan tersebut dapat memenuhi keperluan bangunan baru berkenaan. Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah pada dasarnya merupakan satu tugasan yang amat sukar. Ini adalah kerana terdapat akta yang mengawal bangunan bersejarah terutama jika ia telah berumur melebihi 100 tahun. Akta-akta ini digubal bagi memastikan bangunan –bangunan tersebut terus dipulihara dari dirosakkan atau diubah dengan sewenang-wenangnya. Walaupun konsep penyesuaigunaan semula dilakukan, namun kepentingan prinsip pemuliharaan perlulah dititikberatkan ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan bagi mengelakkan berlaku banyak perubahan dari sudut rekabentuk seni bina dan bahan binaan yang digunakan pada bangunan bersejarah tersebut. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merupakan antara badan yang bertanggungjawab di dalam kerja-kerja pemuliharaan dan ia telah menggunakan pendekatan penyesuaigunaan semula di kebanyakan bangunan lama di Melaka. Garispanduan penyesuaigunaan semula sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh MBMB ini juga dikenali sebagai Garispanduan Suai guna (Adaptive Reuse) telah menjadi panduan bagi projek-projek penyesuaigunaan semula yang mana kebanyakkannya adalah bagi tujuan industri pelancongan warisan. Garispanduan ini menyatakan bahawa penyesuaigunaan semula adalah satu proses perubahan fungsi bangunan untuk menempatkan keperluan atau permintaan baru penghuni. Objektif utama penyesuaigunaan semula bangunan adalah bagi mendapatkan peningkatan dari segi pulangan ekonomi dan juga pembaikan ke atas struktur dan keadaan bangunan. Pendekatan suai guna semula yang dijalankan di Melaka adalah berpandukan prinsip pemuliharaan.
Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah telah diamalkan di negara-negara maju berdekad lamanya. Kebanyakan bangunan bersejarah ini diubah menjadi bangunan yang sering menjadi tumpuan pelancong seperti muzium, balai seni lukis, hotel, kedai cenderamata atau kedai makan. Konsep ini didapati dapat menarik tumpuan lebih ramai pelancong berbanding dijalankan dibangunan-bangunan baru dan moden kerana pelancong ingin mengalami sesuatu yang berbeza. Bangunan bersejarah yang disuaiguna semula selalunya mempunyai persekitaran dan keunikan senibina yang bermutu tinggi dan ini merupakan tarikan utama pelancong melawat bangunan tersebut. Selain daripada itu, banyak sebab lain yang menggalakkan penyesuaigunaan semula ini dilakukan. Kebanyakan pemilik bangunan dan pemaju hartanah mula menyedari potensi nilai bangunan bersejarah berbanding membina bangunan baru. Ini juga dapat dilihat dari segi penjimatan kos dalam menjalankan kerja penyesuaigunaan semula itu sendiri. Kosnya adalah 50-80% lebih rendah jika dibandingkan dengan kos membina sebuah bangunan baru dan ini dapat menjimatkan kos pembinaan sesebuah bangunan. Highfield (1987) di dalam bukunya telah mengenalpasti sebab-sebab penyesuaigunaan semula bangunan lama dilakukan. Ia antaranya ialah kelebihan dari segi masa pembinaan yang singkat, kelebihan dari segi ekonomi, kemudahan kelulusan dari pihak berkuasa, undang-undang bangunan yang diwartakan dan kecantikan rekabentuk bangunan lama itu sendiri. Konsep penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah ini amat sesuai dijalankan di bangunan bersejarah yang terdapat di bandar warisan, terutama yang menjadi tumpuan atau pusat pelancongan. Ini dapat memaksimakan penggunaan bangunan yang telah dipulihara berbanding dibiarkan sebagai tontonan pelancong semata-mata. Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang boleh disuaiguna semula terutama di bandar-bandar warisan yang boleh menjadi tarikan pelancong. Deretan rumah kedai di bandar Melaka, Georgetown, Taiping dan Kuching mempunyai berbagai rekabentuk senibina sebelum perang. Kedai-kedai ini berpotensi untuk disuaiguna semula sebagai kedai-kedai menjual barangan cendramata, barang keperluan, kedai gambar, kafe internet, kafe minum, restoran dan hotel. Walaupun konsep penyesuaigunaan semula ini ada dijalankan di negara kita, namun kebanyakkannya tidak mencapai matlamat yang disasarkan dan kejayaan bagi sesuatu projek penyesuaigunaan semula adalah sangat minima. Walaupun penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah dijalankan bagi penggunaan baru, namun ia perlulah mematuhi konsep pemuliharaan bangunan terutama sekali jika bangunan tersebut adalah tersenarai sebagai bangunan yang diwartakan. Di Malaysia sendiri banyak bangunan bersejarah yang telah dipulihara dan diadaptasikan dengan penyesuaigunaan semula. Kebanyakannya telah diubah dari fungsi asal ke fungsi penggunaan yang baru. Antara perubahan fungsi yang sering dilakukan ialah daripada bangunan kediaman ke pusat komersil seperti kedai dan hotel; bangunan pentadbiran diubah sebagai pusat pendidikan, bangunan perindustrian seperti kilang diubah menjadi pejabat, rumah agam diubah menjadi muzium pameran dan sebagainya. Namun tidak semua pendekatan pennyesuaigunaan semula ini berjaya. Ini mungkin disebabkan salah perancangan dan pencaturan pemilik bangunan tentang penggunaan semula yang sesuai bagi bangunan milik mereka. Perancangan dan pemerhatian yang teliti perlu dilakukan bagi mengenalpasti kesesuaian fungsi baru yang hendak dilakukan. Antara bangunan yang telah berjaya dalam menggunapakai kaedah ini di negara kita adalah:
1. Pasar Seni Kuala Lumpur.
Pasar Seni atau dikenali juga sebagai Pasar Budaya Kuala Lumpur telah dibina pada tahun 1936. Ia terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ia merupakan sebuah bangunan yang menarik yang mana satu ketika dahulu ia merupakan sebuah pasar basah yang menjual barangan dapur dan runcit untuk keperluan penduduk Kuala Lumpur. Kini ia telah diubah penggunaannya sebagai sebuah pusat pengumpulan hasil seni dan budaya masyarakat tempatan. Rekabentuk senibinanya menunjukkan dengan jelas sejarah pembinaannya yang mana satu ketika dulu rekabentuk bangunan banyak dipengaruhi oleh rekabentuk ‘Art Deco’. Atas cadangan Badan Warisan Malaysia dan diusahakan oleh UDA ia telah dipulihara dan telah diubah suai penggunaannya sebagai sebuah pusat pengumpulan hasil seni dan budaya masyarakat tempatan. Ia juga merupakan tempat pameran dan pembangunan kebudayaan, kesenian dan kraftangan Malaysia. Terrdapat juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan antik, cenderamata dan hasil kerjatangan di sini. Kini Pasar Seni Kuala Lumpur telah menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara. Setakat ini ia merupakan salah satu bangunan yang telah berjaya disuaiguna semula dengan baik.
2. Deretan Rumah Kedai di Jonker Street Melaka.
Jika di Kuala Lumpur Pasar Seni merupakan contoh terbaik untuk konsep penyesuaigunaan semula, di Melaka pula bangunan bersejarah yang disuaiguna semula boleh dilihat di sepanjang Jonker Street (kini Jalan Hang Jebat) dan Hereen Street (kini Jalan Tun Tan Cheng Lock). Bangunan lama ini pada asalnya merupakan deretan rumah dua tingkat yang diduduki oleh bangsawan dan pedagang Belanda. Ia merupakan bangunan kediaman pertama di Malaysia yang mempunyai rekabentuk Belanda. Namun disebabkan perdagangan dan perubahan yang telah berlaku di Melaka, rumah ini telah bertukar tangan kepada bangsa Peranakan dan pedagang China. Mereka akhirnya telah mencampuradukkan rekabentuk dan motif Peranakan dan China dalam rekabentuk rumah-rumah ini. Jika dilihat dengan teliti seni bina yang terhasil akibat pencampuran budaya ini, ia merupakan satu-satunya bangunan yang mempunyai rekabentuk yang unik seumpama ini di Malaysia dan sukar diperolehi di tempat lain. Kini bangunan-bangunan di sepanjang Jonker Street telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai harta warisan negara. Namun begitu tanpa melanggar prinsip pemuliharaan, rumah kedai ini telah dikomersilkan oleh pemilik-pemiliknya dengan berbagai fungsi. Ia disuaiguna semula sebagai galeri seni, kedai barangan antik, restoran, kafe dan kedai.
3. Muzium Sejarah dan Etnografi Melaka (Bangunan Stadhuys).
Selain daripada fungsi komersil, terdapat juga banyak bangunan bersejarah yang telah dipulihara dan disuaiguna semula sebagai muzium dan kompleks sejarah oleh PERZIM di Bandaraya Melaka kerana ia merupakan tarikan utama pelancong. Antara bangunan bersejarah yang telah dijadikan muzium dan kompleks sejarah ialah seperti Bangunan Stadhuys yang terkenal di Melaka. Bangunan bercirikan rekabentuk Belanda.yang berwarna merah ini pada asalnya berwarna putih. Ia dipercayai bangunan pertama yang dibina pada tahun 1650an. Bangunan ini pada asalnya merupakan kediaman Gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya hingga awal kurun ke-18. Stadhuys di dalam bahasa Belanda bermaksud bandaran. Sebelum ia dijadikan muzium ia telah dijadikan pusat pentadbiran negeri hingga tahun 1961. Kini ia telah dijadikan Muzium Sejarah dan Etnografi yang memaparkan cara hidup masyarakat di Melaka seperti Melayu, Cina, India, Portugis, Baba dan Nyonya, Ceti dan Chitty. Selain daripada itu ia juga mempamerkan sejarah Melaka yang mana merupakan sebahagian daripada sejarah Malaysia terutamanya ketika Malaysia yang mana ketika itu Malaya menuntut kemerdekaan dari British.
Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah merupakan kaedah yang terbaik untuk memastikan sesebuah bangunan warisan terus digunakan. Jika bangunan-bangunan tersebut tidak digunakan ia mungkin akan rosak secara semulajadi dan akhirnya akan menyebabkan ia roboh. Dengan menggunakannya untuk apa jua fungsi sekalipun, secara tidak langsung ia akan memastikan bangunan tersebut diselenggara dan dijaga dengan baik. Walaupun penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah di Malaysia ada dilakukan namun peratusannya adalah kecil. Ditambah pula dengan kurangnya kesedaran masyarakat tentang nilai warisan menyebabkan mereka lebih mengagungkan bangunan baru yang berorientasikan kemodenan dengan meminggirkan bangunan warisan yang ada.
TARIKAN BANGUNAN BERSEJARAH DALAM INDUSTRI PELANCONGAN WARISAN NEGARA
Menurut Pickard (1998) pelancongan adalah penyumbang ekonomi kepada bandar atau pusat sejarah. Ia boleh memberi pulangan yang baik kepada hotel, kedai, perniagaan dan secara positifnya akan menyokong langkah pemuliharaan. Di Malaysia sendiri, kedatangan pelancong ke bangunan bersejarah di bandar-bandar warisan akan memberi banyak kelebihan kepada bandar-bandar tersebut seperti pulangan ekonomi yang tinggi kepada berbagai pihak seperti agen pelancongan, operator pelancongan dan pemilik premis itu sendiri. Disamping itu juga, ia akan mendatangkan banyak keuntungan kepada negara di mana selama ini sektor ini telah menjadi penyumbang kedua ekonomi negara. Kerajaan telah mensasarkan sebanyak 24.6 juta pelancong akan datang melancong ke Malaysia bagi tahun 2010 yang mana ini diharapkan dapat membantu lagi dalam menjana ekonomi negara. Namun begitu, kita perlulah sedar bahawa kedatangan pelancong ke negara kita selama ini adalah atas tarikan alam semulajadi disamping tarikan terkini iaitu karnival membeli belah. Kedatangan pelancong sama sekali bukan disebabkan minat ke atas warisan sejarah yang ada. Satu kerugian besar bagi kita selama ini kerana tidak menggunakan sumber warisan sedia ada seperti bangunan bersejarah dan bandar warisan sebagai salah satu daya tarikan pelancongan negara. Kita sepatutnya menggunapakai bangunan warisan sedia ada ini sebaik-baiknya daripada membiarkan ia rosak begitu sahaja. Keunikan bangunan-bangunan warisan dan bersejarah ini bukan sahaja boleh dipertontonkan sebagai bahan sejarah tetapi boleh juga disuaiguna semula dengan fungsi yang dapat menarik kedatangan pelancong. Ketidaksesuai fungsi asal bangunan bersejarah tersebut boleh disuaiguna semula mengikut fungsi yang diperlukan di dalam industri pelancongan seperti hotel, kafe, pusat pameran, kedai dan sebagainya. Penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah bagi tujuan menarik pelancong bukan sahaja dapat meningkatkan industri pelancongan warisan tetapi juga dapat membantu meningkatkan kepentingan bandar-bandar warisan seperti Melaka, Georgetown, Taiping, Kota Bharu dan Kuching sebagai destinasi pelancongan negara. Apabila bandar-bandar warisan ini menjadi pusat tumpuan pelancong maka akan banyaklah aktiviti yang melibatkan kebudayaan dan warisan dapat dipersembahkan kepada para pelancong. Secara tidak langsung ia akan membantu pemuliharaan kebudayaan warisan negara dari terus pupus. Antara aktiviti kebudayaan yang boleh dijalankan adalah seperti persembahan lagu dan tarian tradisional, persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, kerjatangan seperti mencantan batik, menganyam tikar, menenun songket dan pentujukan fesyen pakaian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Warisan budaya yang telah diturunkan oleh nenek moyang kita seperti bangunan bersejarah sepatutnya dipulihara dan disuaiguna semula untuk digunakan sebagai produk industri pelancongan negara. Pemuliharaan bangunan bersejarah di bandar warisan dan penyesuaigunaan semula bangunan tersebut bukan sahaja dapat menarik kedatangan pelancong, tetapi ia juga mempunyai impak yang besar yang lebih luas dan lebih penting, antaranya termasuklah:
1. Dapat memulihara bangunan bersejarah dan bandar warisan daripada musnah ditelan arus pembangunan.
2. Menggunapakai bangunan bersejarah yang telah dipulihara tanpa perlu membina bangunan baru untuk tujuan industri pelancongan warisan.
3. Memulihara warisan bangsa daripada lenyap begitu sahaja.
4. Menarik kedatangan pelancong ke bandar-bandar warisan di Malaysia.
5. Menambah pendapatan penduduk tempatan dan negara hasil dari industri pelancongan warisan.
KESIMPULAN
Fenomena pemuliharaan bangunan bersejarah untuk disuaiguna semula sebagai tarikan pelancongan adalah satu fenomena yang masih baru di Malaysia. Namun begitu, hari demi hari makin banyak pihak yang perihatin dan mengambilberat tentang bangunan bersejarah dan mengambil inisiatif untuk memuliharanya. Pemuliharaan bangunan bersejarah tidak boleh diabaikan walaupun negara sedang mengejar kemajuan. Jika diabaikan, kita akan kehilangan warisan yang telah diturunkan oleh generasi terdahulu dan kita akan lupa asal rumpun bangsa kita sendiri. Kita perlulah menyedari bahawa salah satu daripada kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah adalah bagi menggalakkan kedatangan pelancong ke dalam negara melalui aktiviti industri pelancongan warisan yang perlu diketengahkan sekarang. Seperti di negara Barat yang mana kebanyakan bangunan bersejarah dipulihara dan disuaigunasemula, begitu jugalah yang perlu dilakukan di negara kita. Di Malaysia, terdapat bangunan bersejarah yang disuaiguna semula, namun jumlahnya tidak banyak dan kejayaannya adalah minima. Terdapat juga bangunan yang disuaiguna semula gagal dalam sasarannya sebagai tarikan pelancong atas pelbagai faktor seperti lokasi, promosi dan sebagainya. Ia merupakan suatu kerugian besar yang boleh dielakkan sekiranya penyesuaigunaan semula bangunan bersejarah dirancang dan dianalisa dengan baik.
RUJUKAN
1. Ahmad, A.G. (1997). Pemuliharaan Bandar Warisan untuk Pembangunan Pelancongan: Kajian Kes Melaka dan Kota Bahru. Geran Penyelidikan IRPA Jangka Pendek. USM.
2. Ahmad, A.G. (1998). Urban Tourism in Malaysia: Heritage Cities of Georgetown, Malacca and Kota Bharu. Kertas Kerja dibentangkan di 2nd Seminar on European Architecture and Town Planning Outside Europe (Dutch Period): Melaka.
3. Ahmad, A.G. dan Badarulzaman, N. (2003). Adaptive Re-use for Sustainable Heritage Tourism in Malaysia. An International Interdisciplinary Journal.
4. Ahmad, A.G. dan Badarulzaman, N. (2004). Perancangan dan Pengurusan Pelancongan Berteraskan Warisan Sejarah dan Seni Bina di Malaysia. Geran Penyelidikan USM Jangka Pendek. USM.
5. Ashworth, G.J. dan Howard, P. (1999). European Heritage Planning and Management, Intelect Book. Exeter.
6. Ashworth, G.J. dan Larkham P.J. (1994). Building a New Heritage: Tourism, Culture and Identity in the New Europe. Routledge, London.
7. Burns, P. (1999). An Introduction to Tourism and Anthropology. Routledge, London.
8. Fee, C.V. (1998). The Encyclopedia of Malaysia Architecture; Volume 5. Archipelago Press, Singapore.
9. Fielden, B.M. (2000). Conservation of Historic Buildings. Butterworth, Oxford.
10. Foulks, W. (1997). Historic Building Facades. The Manual for Maintenance and Rehabilitation. Preservation Press, New York.
11. Goodal, B. dan Ashwoth, G. (1999). Marketing in the Tourism Industry: The Promotion of Destination Regions. Routledge, London.
12. Hanna, M. (1999). A Yearly Analysis of Trends Affecting England’s Architectural Heritage – A Vital Tourism Asset. English Tourism Council, London.
13. Herbert, D. (1995). Heritage, Tourism and Society. Mansell, London.
14. Highfield, D. (1987). Rehabilitation and Reuse of Old Buildings. E. & F.N. Spon, London.
15. Highfield, D. (2000). Refurbishment and Upgrading of Buildings. E. & F.N. Spon, London.
16. Highfield, D. (2000). The Construction of New Buildings Behind Historic Façade. E. & F.N. Spon, London.
17. Idis, S.Z.A. (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
18. Law, C (1993) Urban Tourism: Attracting Visitors to Large Cities. Mansell, New York.
19. Law, C. (1992). Urban Tourism and Its Contribution to Economics Regeneration. Urban Studies, Vol. 29, No.3/4.
20. Marsh, P. (1983) The Refurbishment of Commercial and Industrial Buildings. Construction Press, London.
21. Orbasli, A. (2000). Tourist in Historic Towns. E & FN Spon, London.
22. Pickard, R. (1996). Conservation in the Built Environment. Longman, Singapore.
23. Pickard, R. (2000). Management of Historic Centres. Spon Press, London.
24. Pickard, R. (2001). Policy and Law in Heritage Conservation. Spon Press, London.
25. Prentice, R.C. (1993). Tourism and Heritage Attractions. Routledge, London.
26. Timothy, D.J. dan Boyd, S.W. (2003). Heritage Tourism. Prentice Hall, England.
NICE. I LIKE IT. HELPED A LOT IN MY PEMBENTANGAN KT. TQ
ReplyDelete