Back to Front Pages

Saturday, March 03, 2007

IRDC Research Documentation Project of Kutai House (Rumah Kutai), Bota, Perak, Malaysia

Hakmilik: Institut Penyelidikan, Pembangunan Dan Pengkomersilan (IRDC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Julai 2005
'
Disediakan oleh:
Kamarul Syahril Kamal (Ketua Penyelidik)
Lilawati Ab Wahab (Pembantu Penyelidik)
Mohd Fareh Majid (Pembantu Penyelidik)

PENGHARGAAN

Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi membolehkan penyelidikan ini disiapkan dengan sempurna.

Diantaranya:
Profesor Dr. Abdullah Mohamad Said PMP (Pengarah Kampus UiTM Perak)
Dr. Rodzyah Haji Mohd Yunus (Koordinator URDC UiTM Perak)
Dr. Siti Norlizaiha Harun (Perunding Projek)
Dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan di dalam menjayakan penyelidikan ini samada secara langsung atau tidak langsung.

ABSTRAK

Rumah Kutai merupakan senibina warisan yang hanya boleh didapati di negeri Perak Darul Rizuan. ‘Kutai’ dalam bahasa masyarakat tempatan Perak bermaksud tua. Adalah sukar bagi kita pada generasi hari ini, untuk menikmati keistemewaan senibina Rumah Kutai ini memandangkan ianya semakin pupus ditelan zaman. Faktor utama yang menyebabkan kepupusan rumah kutai ini adalah mungkin disebabkan oleh ketidakpekaan masyarakat tentang kekayaan khazanah warisan kita samada dari segi sejarah mahupun warisan senibina rumah itu sendiri. Dengan kemajuan arus teknologi dan pemodenan, pembinaan Rumah Melayu Tradisional sudah dilupakan dan yang adapun sudah tidak berpenghuni lagi atas faktor kematian dan penghijrahan. Sehubungan dengan itu, Projek Pendokumentasian Rumah Kutai milik Puan Hajjah Habsah Nordin yang terletak di Kampung Aji Bota Perak ini telah dipilih sebagai bahan kajian dan penyelidikan memandangkan Rumah Kutai ini mempunyai banyak keistimewaan sejarah tersendiri serta keunikan senibinanya yang tidak terdapat pada kebanyakan Rumah Melayu Tradisional yang lain. Disamping itu juga, ia adalah merupakan rumah angkat kepada UiTM Perak semenjak tahun 1997 lagi. Rumah Kutai yang berusia lebih seratus dua puluh tahun ini mempunyai keunikan dari segi kehalusan ukiran yang terdapat pada bukaan tingkap, pintu serta dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai. Ia diperkuat lagi dengan cerita-cerita lama yang tersimpan sejak turun temurun lamanya berkaitan dengan sejarah pembinaan dan penghuni rumah berkenaan. Dirasakan dalah amat merugikan sekiranya rupabentuk senibina Rumah Kutai ini tidak didokumentasikan sebagai bahan rujukan pada generasi yang akan datang. Sekiranya ia tidak dipulihara dari sekarang, adalah tidak mustahil pada suatu hari nanti Rumah Kutai yang sedia ada ini dan Rumah Kutai yang lain akan terus pupus dari berdiri teguh di atas muka bumi ini. Kepupusan Rumah Kutai secara umumnya boleh berlaku atas banyak sebab. Antaranya ialah tiada penjagaan yang baik ke atas Rumah Kutai berkenaan menyebabkan rumah ini mudah rosak. Bahan pembinaan yang digunakan seperti kayu membolehkan ia mudah diserang oleh serangga pemakan kayu seperti kumbang perosak dan anai-anai. Selain daripada itu, faktor cuaca di negara ini juga boleh menyebabkan struktur kayu sesebuah Rumah Kutai mudah mereput dan dilitupi oleh cendawan dan kulat. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar lanjutan daripada Projek Pendokumentasian yang telah dilakukan ke atas Rumah Kutai ini yang turut meliputi Kajian Dilapidasi dan Ujian Pengenalpastian Spesis Kayu, kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan ke atas Rumah Kutai ini bolehlah dilakukan dengan kadar segera. Ini adalah berikutan hasil kajian yang telah dilakukan oleh kumpulan penyelidik, didapati bahawa sebahagian besar komponen struktur kayu Rumah Kutai ini telah rosak samada diserang oleh kumbang perosak dan anai-anai serta mereput dan lain-lain faktor kemusnahan. Sehubungan dengan itu, sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan dengan kadar segera, nescaya Rumah Kutai yang amat bernilai dari kesan sejarah dan senibinanya ini akan musnah menyembah bumi.

1.0 PENGENALAN RUMAH KUTAI DI NEGERI PERAK

Penyelidikan ini dijalankan bertujuan untuk memperkenalkan semula dan melihat secara ringkas salah satu bentuk Rumah Melayu Tradisional di Negeri Perak, iaitu Rumah Kutai. Antara lain ianya bertujuan untuk memperkenalkan kembali senibina berusia tua yang kian dilupakan oleh generasi baru. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa penduduk tempatan Perak sendiri tidak mengetahui adanya Rumah Kutai iaitu rumah yang berusia tua di Negeri Perak, apatah lagi bagi orang-orang luar dari Negeri Perak. Secara umumnya, Rumah Kutai atau ‘Kotai’ adalah nama sebutan yang diberikan oleh penduduk tempatan di mana terdapatnya senibina rumah tersebut. Perkataan Kutai atau Kotai bererti lama atau tua, jadi Rumah Kutai adalah rumah yang telah berusia tua. Rumah Kutai secara umumnya tidak begitu dikenali jika dibandingkan dengan Rumah Melayu Tradisional lain di Semenanjung Malaysia. Ini adalah kerana petempatan Rumah Kutai adalah terhad di kawasan-kawasan yang tertentu, iaitu di sekitar tebing Sungai Perak, terutama di Perak Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar sahaja. Selain daripada itu, sebab utama ia tidak begitu dikenali ialah kerana jumlahnya yang begitu sedikit berbanding dengan rumah lain. Di Perak Tengah dan Hilir Perak, terdapat tidak melebihi dari 50 buah rumah yang masih wujud. Manakala di Kuala Kangsar pula, terutamanya di Sayong, Kota Lama Kanan, Kota Lama Kiri dan Menora, jumlahnya tidak melebihi 15 buah. Dengan jumlah yang sangat kecil dan petempatannya pula di kawasan-kawasan yang tertentu, menyebabkan Rumah Kutai tidak begitu dikenali. (A.H.Nasir, 1988).

1.1 SEJARAH PERKEMBANGAN SENIBINA RUMAH KUTAI

Kabanyakan Rumah Kutai yang ada sekarang telah berumur lebih sekurun, dan kalaupun tidak, ianya dianggarkan tidak kurang daripada 70 atau 80 tahun. Ini dikirakan sudah cukup tua. Menurut catatan-catatan yang diperolehi, selepas Perang Dunia Pertama, Rumah Kutai tidak dibina lagi di Perak. Ini kemungkinan besar disebabkan pengaruh senibina Rumah Limas yang mula berkembang di Negeri Perak pada ketika itu. Oleh kerana senibina Rumah Limas agak lebih mudah dibina berbanding dengan Rumah Kutai, maka tidak hairanlah dalam waktu yang singkat pengaruh senibina Rumah Limas menambat hati orang-orang Melayu di Negeri Perak. Perkembangan pembinaan senibina Rumah Limas yang tidak dapat dibendung itu menyebabkan senibina Rumah Kutai tidak lagi diminati oleh kebanyakan penduduk tempatan. Antara sebab lain mengapa senibina Rumah Kutai tidak dapat berkembang ke seluruh Negeri Perak adalah kerana hubungannya dengan sistem pemerintahan beraja di Negeri Perak di mana kemungkinan senibina Rumah Kutai adalah hanya untuk kediaman raja pemerintah dan orang-orang besar yang mempunyai kaitan dan hubungan yang rapat dengan istana sahaja. Dengan itu petempatannya terdapat tidak jauh dari pusat kerajaan yang terletak di pinggir-pinggir Sungai Perak, terutamanya di Perak Tengah dan Kuala Kangsar. (A.H.Nasir, 1988).

1.2 TABURAN PENEMPATAN RUMAH KUTAI

Sebagaimana telah diterangkan sebelum ini, Rumah Kutai hanya terdapat di tiga daerah sahaja, iaitu Hilir Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar dan petempatannya pula tidak jauh dari penggir Sungai Perak. Dengan merujuk kepada hasil kajian yang telah dilakukan oleh Abdul Halim Nasir pada tahun 1977, beliau telah membuat satu perjalanan dengan menyusur tepi tebing kanan Sungai Perak, bermula dari Kampung Pabian mudik menuju ke utara hingga sampai ke Kampung Pasir Putih dengan jarak jauh perjalanan kira-kira 17 km dan menempuh kira-kira 20 buah kampung.

Perkampungan Yang Dilawati & Jumlah Rumah Kutai Yang Ditemui
1. Kampung Pasir Putih -
2. Kampung Geronggang -
3. Kampung Kota 1
4. Kampung Kepala Pulau -
5. Kampung Selat Pulau 5
6. Kampung Pisang (Atas Jeti) 2
7. Kampung Bawah Banggul 3
8. Kampung Takir Pecah 4
9. Kampung Pasir Salak 4
10. Kampung Biak Hulu 10
11. Kampung Biak Hilir -
12. Kampung Bandar Tua 1
13. Kampung Pasir Panjang 1
14. Kampung Kuala Parit -
15. Kampung Air Mati 2
16. Kampung Cina 1
17. Kampung Bandar 2
18. Kampung Tabian (Bayan) 1
Jumlah Keseluruhan Rumah Kutai 37
Jadual 1.2.1 : Jumlah Rumah Kutai Di Negeri Perak. (A.H.Nasir, 1988).

Beliau mendapati bahawa tidak banyak rumah kutai yang tinggal sepanjang perjalanannya menyusuri kampung-kampung. Ada sebuah kampung yang hanya terdapat dua atau tiga buah Rumah Kutai sahaja. Rumah Kutai yang adapun kebanyakannya ditinggalkan begitu sahaja tanpa berpenghuni mungkin kerana pemiliknya telah meninggal dunia manakala warisnya telah berhijrah ke tempat lain. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, didapati Rumah Kutai boleh dilihat di tempat-tempat berikut sahaja sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual sebelumnya yang mana jumlah Rumah Kutai yang tinggal hanya kira-kira 37 buah. Ini memperlihatkan petanda mengenai masa hadapannya yang sedang mengalami kepupusan. Jumlah sebenar Rumah Kutai kini tidaklah diketahui tetapi yang pasti jumlahnya semakin berkurangan dari masa ke semasa. Dengan merujuk kepada jadual sebelumnya, terdapat hanya lima buah Rumah Kutai yang usianya melebihi 100 tahun; sebuah daripadanya dikenali sebagai Rumah Penghulu Anjang Padam Pelita yang terletak berhampiran dengan Tugu Peringatan J.W.W Birch di Pasir Salak. Rumah ini dikatakan pernah disinggahi Birch semasa ia menjadi Residen British pertama di Negeri Perak. Di kampung Selat Pulau, iaitu tidak berapa jauh dari kampung Pasir Salak, terdapat sebuah lagi Rumah Kutai yang di duduki oleh Hajah Putih bt. Mohd. Amin. Rumah Kutai yang menjadi hak miliknya itu adalah pusaka dari datuknya, iaitu Tuk Nara yang menjadi orang besar Negeri Perak sebelum kedatangan British. Ini bermakna usia Rumah Kutai tersebut sudah melebihi dari satu kurun. Petempatan Rumah Kutai juga terdapat di sepanjang jalanraya dari Bota Kanan hingga ke Parit, iaitu dalam jarak 15 km dari tebing Sungai Perak. Begitu juga di tebing kiri yang bertentangannya, iaitu dari Bota Kiri ke Jambatan Nordin. Sementara itu di daerah Kuala Kangsar pula, Rumah Kutai terdapat dibeberapa buah kampung seperti di Kampung Sayong, Kampung Menora, Kota Lama Kanan dan Kota Lama Kiri. Rumah tersebut juga terbina tidak jauh dari tebing Sungai Perak. Di Kampung Kuala Sayong, sukar bagi kita melihat sebuah Rumah Kutai yang benar-benar asli, yakni strukturnya masih berbentuk asal. Begitu juga di Kampung Menora, ke hilir sedikit dari Sayong, terdapat sebuah Rumah Kutai yang berdinding kulit kayu. Kebanyakan Rumah Kutai yang masih tinggal sehingga kini telah banyak melalui proses pengubahsuaian samada dari segi konsep rekabentuknya dan bahan binaan yang digunapakai. Perubahan dan pengubahsuaian ini sememangnya tidak dapat dielakkan daripada berlaku mungkin kerana atas faktor perkembangan bilangan ahli dalam sesebuah keluarga yang memerlukan kepada penambahan ruang dalam rumah, faktor bahan binaan yang tidak tahan cuaca seperti penggantian komponen dinding dari kulit kayu kepada kepingan papan, penggantian komponen lantai dari buluh kepada kepingan papan dan penggantian kemasan bumbung dari atap rumbia kepada kepingan zink sebagaimana yang ditunjukkan dalam foto berikutnya. Sehubungan dengan itu, sesuatu perlu dilakukan segera dalam usaha untuk mengekalkan peninggalan warisan senibina Rumah Kutai yang unik ini di Negeri Perak dari pupus selamanya. (A.H.Nasir, 1988).

1.3 PENGARUH PERSEKITARAN DALAM SENIBINA RUMAH KUTAI

Senibina Rumah Kutai biasanya mempunyai sudut bumbung antara 45o hingga 50o, yakni lebih kurang sama juga dengan sudut bumbung Rumah Melayu Bumbung Panjang di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. Bentuk bumbung yang agak curam dan tinggi itu tentulah dipengaruhi oleh faktor iklim dan juga topografi. Pengaruh iklim telah memberi idea kepada tukang-tukang Rumah Melayu Tradisional untuk membentuk bumbung yang agak curam dan tinggi, iaitu bumbung yang dapat mempercepatkan curahan air di atas atap yang menggunakan bahan-bahan dari daun tanpa peresapan dan kebocoran. Selain daripada mempercepatkan curahan air hujan, bumbung yang curam dan tinggi itu juga memberi pengedaran udara yang baik bagi ruang dalam rumah. Ini menjadikan penghuninya tinggal dalam keselesaan walaupun pada musim cuaca panas terik. Selain daripada itu, faktor iklim juga mempengaruhi bentuk muka tebar layarnya. Ia dibuat berjaring kerana jaringan itu merupakan satu saluran penukaran udara keluar masuk dengan bebas. Disebabkan faktor ini juga Rumah Kutai dibina berpanggung yakni lantainya tinggi dari tanah. Dengan itu ia dapat menghindarkan bau busuk dari berlimbahan di bawah ruang dapur rumah. Kebiasaannya lantai Rumah Kutai yang asal ialah dari bilah-bilah jeria yang disusun agak jarang; ini juga satu idea yang bijak oleh tukang-tukang Melayu di zaman dulu. Selain digunakan untuk mengintai musuh, lantai yang jarang dapat mengelakkan bangunan rumah daripada musnah apabila berlaku banjir besar. Jika sekiranya air banjir melimpah paras lantai, maka tekanan air tersebut tidaklah nanti mengangkat binaan rumah dan bila surut pula air dapat mengalir dengan deras melalui celah-celah lantai jeria tersebut. Penggunaan dinding tepas juga ada hubungannya dengan iklim. Siratan tepas dapat memberi pengedaran luar masuk, jadi penghuni di dalam akan terasa nyaman. Dinding tepas memang kuat dan tidak mudah dikopak oleh pencuri-pencuri atau lain-lain anasir jahat. Penggunaan pemeting, kancing, tanggam, baji dan ikatan juga merupakan suatu warisan teknologi orang Melayu yang menarik. Tukang-tukang rumah Melayu sudah mengambil kira bahawa bangunan rumah apabila sudah terdiri harus pula mampu bertahan dari dilanda ribut taufan, banjir dan sebagainya. Dengan itu, Rumah Kutai yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Perak tidaklah begitu mudah terjejas atau mengalami kemusnahan akibat banjir besar yang sering berlaku di Negeri Perak. Selain daripada pengaruh iklim, pengaruh topografi juga sedikit sebanyak turut membentuk konsep senibina Rumah Kutai. Dengan itu bentuk sesuatu binaan rumah mesti dikaji dari segi kedudukannya muka buminya, seperti tanah yang tinggi rendah, tanah di tepi sungai, bukit-bukau, paya dan sebagainya. Hampir kebanyakan Rumah Kutai terletak di tepi tebing Sungai Perak. Ini menyebabkan ia mudah dilanda banjir. Oleh itu binaan rumah harus disesuaikan dengan keadaan yang sedemikian. Tiang-tiangnya harus tinggi supaya lantai yang beruang itu tidak sering ditelenggami air. Bahan-bahan pembinaannya mudah didapati di persekitaran. Disamping itu juga, bentuk banggunannya pula mestilah disesuaikan dengan cara pembinaannya nanti. Kalau tiang dibuat daripada kayu yang keras supaya dapat menahan bebanan berat pada rumah, maka bahan-bahan pada kemasan bumbungnya pula harus mudah dilentur. Inilah sebabnya mengapa kayu-kayu bumbung seperti kasau betina dan gulung-gulung jauh lebih kecil ukurannnya berbanding dengan tiang, rasuk dan alang. Ia berperanan sebagai asas kekuatan struktur banggunan rumah sesebuah rumah. (A.H.Nasir, 1988).

1.4 PENGARUH ADAT RESAM TEMPATAN DALAM PEMBINAAN RUMAH KUTAI

Faktor-faktor lain yang mempengaruhi konsep senibina Rumah Melayu Tradisional ialah keturunan, kepercayaan, adat resam dan juga nilai-nilai individu atau masyarakat setempat. Pengaruh ini sangat besar perananya dalam pembentukan senibina Rumah Melayu Tradisional. Contohnya ialah senibina Rumah Melayu di Negeri Sembilan sangat dipengaruhi oleh senibina Minangkabau. Hal ini berlaku kerana orang-orang Melayu Negeri Sembilan berketurunan dari sana. Begitu juga senibina Rumah Melayu di Johor yang sedikit sebanyaknya ianya dipengaruhi oleh unsur-unsur senibina dari Bugis, Banjar, Jawa dan sebagainya. Di Negeri Perak seperti juga dengan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia, orang-orang Melayu berasal dari beberapa keturunan serumpun seperti Jawa, Bugis, Aceh, Banjar, Mendailing, Minangkabau, Kerinchi, Patani dan sebagainya. Kesemua keturunan serumpun ini biasanya dikenali sebagai orang Melayu sahaja, dan beragama Islam. Namun begitu, dari segi adat resam terdapat pula perbezaan yang nyata; maka daripada perbezaan adat resam inilah yang kadangkala ditokok tambah pula dengan kepercayaan-kepercayaan agama dan mistik atau anamisme. Oleh itu lahirlah bentuk senibina yang tidak seragam dan masing-masing dengan konsepnya yang tersendiri. Begitu juga dengan Rumah Kutai, senibinanya tetap dipengaruhi oleh unsur yang demikian, dan sejauh manakah pekara itu berlaku, bolehlah dilihat dari segi pengaruh agama misalnya. Agama Islam yang dianuti oleh orang-orang Melayu turut memainkan peranan penting. Setidak-tidaknya aturan-aturan di dalam Islam yang melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim telah turut memberi idea kepada orang yang akan membina rumah dan tukang-tukang Rumah Melayu Tradisional membentuk satu konsep ruang dalam rumah kepada dua bahagian, iaitu ruang untuk lelaki dan perempuan. Namun begitu, ternyata juga bahawa perbatasan antara dua bahagian ini bukanlah berlaku pada Rumah Kutai sahaja, tetapi bagi seluruh Rumah Melayu Tradisional di Semenanjung Malaysia kerana Islam umumnya dianuti oleh seluruh masyarakat Melayu. Di samping ruang-ruang yang dikhaskan untuk lelaki dan juga perempuan, ada juga ruang-ruang yang boleh digunakan bersama, iaitu seperti ruang dapur dan juga serambi yang terletak di hadapan rumah dan perigi yang terletak di luar rumah. (A.H.Nasir, 1988).

2.0 KONSEP REKABENTUK SENIBINA RUMAH KUTAI

Kebanyakan Rumah Kutai yang masih terdapat di Negeri Perak pada masa ini umumnya berusia lebih daripada 80 tahun dan kebanyakannya telah diberikan wajah baru hingga sangat kurang Rumah Kutai yang kekal dalam bentuk asalnya. Di sana sini, Rumah Kutai ini telah ditokok tambah, mana yang telah reput digantikan dengan bahan baru dan kalau yang asal pun hanyalah struktur banggunan rumah ibunya sahaja, iaitu yang terdiri daripada tiang, rasuk, alang, gelegar dan bumbungnya. Perubahan-perubahan yang sering berlaku kepada Rumah Kutai ini ialah penggantian atapnya kepada zink; lantai-lantai bilah jeria kepada lantai papan, bentuk yang biasa digunakan pada masa kini. Bahkan tambahan ruang seperti ruang anjung telah diwujudkan. Walaupun terdapat tambahan-tambahan, namun struktur asal senibinanya masih mampu mengekalkan identitinya yang tersendiri.

2.1 JENIS-JENIS REKABENTUK SENIBINA RUMAH KUTAI

Rumah Kutai terdiri daripada dua jenis, iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16. Kedua-duanya mempunyai struktur yang sama. Bagi Rumah Kutai Tiang 12, rumah ibunya terdiri daripada enam batang tiang panjang dan enam batang tiang serambi naik. Jika dipandang dari arah hadapan rumah, tiang-tiangnya tersusun dalam tiga baris, dan masing-masingnya mempunyai empat batang tiang, iaitu dua tiang panjang dan dua tiang serambi sama naik. Dengan itu Rumah Kutai Tiang 12 ini juga disebut ‘Rumah Dua Ruang’. Biasanya Rumah Kutai Tiang 12 mempunyai tapak ibu rumahnya dalam bentuk empat persegi tepat, iaitu dalam keluasan 30’ x 30’ persegi. Manakala Rumah Kutai Tiang 16 masih banyak terdapat di Negeri Perak, sepertimana di kampung-kampung yang telah disebutkan dalam bab yang sebelumnya. Struktur bangunan Rumah Kutai Tiang 16 ini masih lagi menggunakan 16 tiang utama, iaitu lapan tiang panjang dan 8 tiang serambi sama naik. Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar, tetapi keluasan tapaknya tidak berbentuk empat segi bujur sebaliknya empat segi sama. (A.H.Nasir, 1988).

2.2 KOMPONEN BANGUNAN DAN RUANG RUMAH KUTAI

Secara umumnya, rekabentuk sesebuah Rumah Melayu Tradisional banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor, di mana ruang lingkupnya juga menentukan komponen bangunan dan susunan ruang-ruang yang terdapat di dalam sesebuah rumah. Antara komponen ruang yang lazim terdapat pada kebanyakan Rumah Melayu Tradisional ialah seperti ruang anjung, serambi, rumah ibu, rumah tengah, pelantar dan dapur. Manakala kebanyakan Rumah Kutai pula lazimnya diperluas atau ditambah bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa. Dalam ertikata yang lain, beberapa pembaharuan telah dilakukan ke atas kebanyakan Rumah Kutai ini. Rumah Kutai yang asal sebenarnya terdiri dari hanya sebuah bangunan rumah ibu, dan kalau rumah orang yang berada atau golongan bangsawan, maka sebuah bangunan lagi yang serupa rumah ibu ditambah di belakangnya. Ini dipisahkah oleh ruang selang yang beratap dan bangunan ini dikenali sebagai rumah tengah kerana ia terletak di antara rumah ibu dengan rumah dapur serta ditambah dengan ruang jemuran. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, Rumah Kutai yang asal terdiri dari tiga komponen utama bangunan, iaitu rumah ibu, ruang selang dan rumah dapur. Pada rumah ibunya terdapat ruang serambi dan kadangkala sebuah bilik kecil, tetapi ruang bilik hanya wujud kemudian. Di zaman dahulu seluruh bangunan rumah ibu tidak mempunyai sekatan dan untuk membuat sempadan di antara ruang serambi dengan ruang tengah yang di khaskan untuk kaum perempuan, hanya dibataskan oleh sebuah bendul yang kira-kira 5sm timbul dari paras lantai. Kedudukan lantai pula tidak sama paras antara serambi dengan ruang tengah. Di zaman dahulu, ruang-ruang pada Rumah Kutai mempunyai beberapa peranan tertentu, iaitu serambi dikhaskan untuk kaum lelaki dan di situlah tetamu lelaki duduk semasa kenduri-kendara dan untuk menjalankan pelbagai aktiviti lain. Di waktu malam ruang ini digunakan sebagai tempat tidur teruna, dan kaum perempuan jarang-jarang menggunakan ruang tersebut, kecuali terdesak oleh sesuatu keadaan. Pada masa ini, disebabkan oleh permodenan, penggunaan ruang tidak lagi terbatas kepada sesuatu jantina, apatah lagi kalau di Hari Raya, baik lelaki atau perempuan dijemput naik ke rumah mengikut pintu hadapan serambi sahaja. Tambahan pula pada setengah Rumah Kutai tidak mempunyai tangga dan pintu di ruang selang dan dapur. Sebagai memenuhi keperluan penghuni masa kini, Rumah Kutai juga ada yang telah beranjung, yakni sebuah ruang yang diwujudkan di hadapan serambi. Ruang anjung sama peranannya dengan serambi dan sesuai benar menempatkan kerusi meja, iaitu alat perabot rumah yang diperkenalkan di zaman moden ini. Ruang selang, selain menjadi lorong atau tempat laluan di antara kedua bangunan, merupakan tempat berbual atau menjalankan pelbagai aktiviti bagi kaum perempuan. Pada zaman dahulu ruang ini tidak berbumbung dan berdinding, jadi ruang tersebut dapat digunakan sebagai tempat penjemuran kain, juga sebagai tempat menakung air hujan. Anak-anak gadis di zaman dahulu menggunakannya sebagai tempat membasuh. Ruang seperti ini biasanya disebut pelantar selang atau jemuran selang setelah beratap dan berdinding, dikenali sebagai selang atau selasar, tetapi perkataan selasar jarang-jarang digunakan oleh orang Negeri Perak. Bangunan rumah dapur pula lebih kecil daripada rumah ibu; biasanya berbentuk rumah bujang, yakni tidak memakai serambi. Ia digunakan sebagai tempat memasak dan dengan itu apa jua alat keperluan dapur disimpan di situ. Sebuah tangga dan pelantar terdapat di tepinya dari pintu dapur yang berpelantar itulah sering digunakan oleh kaum ibu untuk ke sungai atau ke perigi bagi tujuan mengambil air, mandi-manda dan sebagainya. (A.H.Nasir, 1988).
'
3.0 KAJIAN AWALAN DAN SEJARAH RUMAH KUTAI

Pada hari Sabtu 15hb. November 1997, Rumah Kutai di Kampung Aji ini telah dijadikan sebagai rumah angkat kepada Institut Teknologi MARA pada ketika itu. Projek ini telah diusahakan oleh Jabatan Rekabentuk Dalaman. Selama hampir sembilan tahun Rumah Kutai ini telah dijadikan subjek kajian dan penyelidikan bagi projek-projek studio pelajar Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA. Sehubungan dengan itu, satu cadangan kajian kes telah dicadangkan ke atas Rumah Kutai ini dalam usaha untuk mendokumentasikan rekod peninggalan sejarah dan rekabentuk senibinanya yang unik. Rekod dan dokumentasi merupakan langkah pertama yang perlu dilakukan dalam usaha mengekal dan memulihara warisan sejarah. Dokumentasi bangunan bersejarah amat penting dilaksanakan kerana bahan dokumentasi yang disediakan mempunyai kepentingan dari segi sejarah dan dapat menjadi rujukan bagi kerja-kerja pemuliharaan di masa akan datang. Dokumentasi bangunan dalam kerja-kerja pemuliharaan terbahagi kepada 4 bahagian iaitu penyelidikan sejarah dan senibina, penyediaan lukisan terukur, kajian dilapidasi dan ujikaji bahan. Penyelidikan awal berkenaan latarbelakang sejarah dan senibina Rumah Kutai di Kampung Aji ini telah dijalankan dengan membuat penyelidikan dari buku-buku sejarah, laporan-laporan penyelidikan terdahulu termasuklah temubual dengan penduduk kampung. Penyelidikan sejarah amat penting kerana melalui maklumat ini rekod salasilah keterunan pemilik termasuklah perkembangan sejarah binaan rumah ini dapat diterokai dan direkodkan. Penyelidikan sejarah juga dapat membantu kepada penyelidikan senibina bangunan kerana pengaruh dan asal usul binaan dapat diketahui. Komponen dan elemen binaan Rumah Kutai dapat didokumentasikan. Melalui dokumentasi sejarah dan senibina Rumah Kutai ini, setidak-tidaknya keistimewaan dan keunikan Rumah Melayu Tradisional Negeri Perak ini dapat didokumentasi dan dipelihara untuk rujukan pada masa hadapan. Kerja-kerja dokumentasi Rumah Kutai dimulakan dengan kajian lapangan iaitu kerja-kerja merekod dan mengukur semula bentuk dan kedudukan rumah kutai. Hasil cerapan ukuran dan rekod-rekod di tapak kemudian dihasilkan dalam bentuk lukisan terukur. Lukisan terukur yang telah lengkap mengandungi set-set lukisan yang terdiri daripada pandangan pelan, pandangan tampak dan pandangan keratan Rumah Kutai. Beberapa perincian binaan juga direkod seperti hiasan kerawang pada tingkap dan panel dinding. Dokumentasi lukisan terukur yang telah lengkap seterusnya akan digunakan untuk kajian dilapidasi bangunan (dilapidation survey).

3.1 KAJIAN SEJARAH RUMAH KUTAI

Rumah Kutai merupakan Rumah Melayu Tradisional Negeri Perak. Rumah Melayu Tradisional yang banyak terdapat di sepanjang Sungai Perak ini merupakan warisan Melayu negeri Perak yang amat berharga dari segi nilai sejarah dan senibina. Rumah Kutai amat berkaitan dengan perkembangan petempatan perkampungan tadisional di Negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Perak. Antara pekan lama yang masih terdapat Rumah Kutai ialah di Bota, Perak. Mukim Bota terletak di dalam daerah Perak Tengah, terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bota Kiri dan Bota Kanan. Kedua-duanya dipisahkan oleh Sungai Perak. Mukim Bota terletak di tengah-tengah laluan perjalanan Ipoh-Lumut iatu 40 km ke Ipoh. Rumah Kutai bagi projek penyelidikan ini terletak di Kampung Aji, Bota Kiri, Perak. Kedudukan rumah ini adalah lebih kurang 100 meter dari tebing Sungai Perak. Rumah Kutai ini kepunyaan Puan Hajjah Habsah Nordin. Beliau merupakan pewaris generasi ke enam rumah ini. Rumah Kutai ini dipercayai berusia lebih dari seratus dua puluh (120) tahun. Rumah Kutai ini mempunyai sejarah yang lama dan dikatakan mempunyai susur galur sejarah yang bersangkutan dengan keturunan Diraja Perak. Menurut Puan Hajjah Habsah Nordin atau Wan Chu, Rumah Kutai ini asalnya di warisi oleh Tuk Sedera Bongsu (seorang pembesar). Menurut cerita Tuan Haji Ahmad Kadim, seorang tukang kayu yang mahir, rumah ini dibina dari sebatang pokok yang tidak tahu jenisnya yang telah dipilih di dalam hutan. Menurut beliau, cara pembinaan rumah ini adalah sama seperti pembinaan Rumah Kutai yang lain di sekitar Negeri Perak. Selain daripada itu, keistimewaan Rumah Kutai ini ialah ianya tidak menggunakan sebarang paku tetapi hanya menggunakan pasak sahaja. Lebih mengagumkan lagi rumah tersebut masih kukuh dan teguh hingga sekarang. Pewaris rumah ada menceritakan bahawa Rumah Kutai tersebut pernah digunakan sebagai tempat perlindungan ketika banjir melanda Negeri Perak pada tahun 1962 dan 1967. Menurut ceritanya lagi, rumah ini pernah dijadikan sebagai tempat untuk penduduk sekitar berlindung kerana ia kukuh dan tegap dari segi strukturnya dan ianya tidak mudah hanyut walaupun dilanda arus deras berbanding rumah-rumah yang lain. Ini berkemungkinan rumah penduduk lain tidak sekuat rumah ini dari segi kaedah pembinaan dan pemilihan bahan binaannya. Rumah Kutai kepunyaan Tok Sedara Bongsu suatu ketika dahulu pernah menerima tetamu istimewa. Melalui apa yang diceritakan oleh pewaris rumah serta orang-orang lama di sekitar kawasan tersebut, ia pernah didatangi oleh Sultan Perak iaitu Sultan Yusuff pada masa dahulu. Pada zaman dahulu Sultan Perak sering menggunakan Sungai Perak sebagai laluan utama dari hilir ke hulu sungai untuk pergi berburu atau untuk melawat kawasan jajahan. Selain itu, kawasan Perak Tengah pernah dijadikan kawasan pemerintahan Kesultanan Melayu Perak. Ini dibuktikan dengan penemuan tapak Istana Raja Ismail di Blanja pada tahun 1875. Selain daripada itu, terdapat juga makam-makam Sultan yang berada disekitar pinggir Sungai Perak, ini membuktikan bahawa pemerintahan Sultan Perak pernah terdapat di sini. Puan Hajjah Habsah (Wan Chu) pewaris rumah ini sekarang, menceritakan bahawa Sultan Yusuff ketika kecil pernah dibuaikan di dalam rumah tersebut. Sehingga sekarang kesan ‘alang buai’ yang terletak diantara dua alang di atas rumah masih ada lagi. Ia merupakan sebatang kayu bulat yang merentangi di tengah-tengah rumah. Namun cerita ini hanyalah dari mulut orang tua sahaja. Ianya tidaklah dapat dibuktikan melalui fakta bertulis dari pihak istana. Rumah Kutai ini juga mempunyai mitos dan adat serta pantang larang. Rumah Kutai ini didirikan berasaskan sebatang tiang yang dikenali sebagai tiang seri. Menurut waris rumah ini, suatu ketika dahulu apabila akan berlakunya perkara-perkara yang tidak baik maka tiang seri tersebut akan mengeluarkan bunyi yang aneh. Bunyinya seperti seakan-akan tiang tersebut diketuk. Sebagai contoh, apabila berlakunya banjir besar yang melanda Negeri Perak pada tahun 1926 dan 1967, tiang seri rumah tersebut dikatakan telah berbunyi sebagai petanda amaran kepada penghuni rumah tersebut bahawa sesuatu perkara yang tidak baik atau malapetaka akan berlaku. Ini disahkan oleh pewaris rumah itu sendiri bahawa semasa beliau masih kecil beliau sendiri pernah melalui peristiwa tersebut. Keunikan Rumah Kutai Tok Sedara Bongsu terletak bukan sahaja pada aspek sejarah jua dari segi senibinanya. Penyelidikan tentang senibina Rumah Kutai ini perlulah melihat asal usul penduduk Bota secara terperinci. Daripada penyelidikan yang dibuat boleh dikatakan penduduk asal Bota merupakan orang-orang yang berasal dari seberang. Ini termasuklah dari Kampar, Acheh, Kalimantan, Jawa dan sebagainya. Faktor asal usul ini mungkin penyumbang besar kepada senibina Rumah Kutai. (Jabatan Rekabentuk Dalaman, 1997). Walau bagaimanapun dalam penyelidikan dokumentasi Rumah Kutai ini, kumpulan penyelidik tidak melibatkan skop sejarah senibina sebagai salah satu skop penyelidikan. Dokumentasi senibina hanya melibatkan pengamatan senibina dan keadaan binaan semasa rumah tersebut ditemui.

4.0 REKABENTUK SENIBINA RUMAH KUTAI

Bab ini seterusnya akan menerangkan secara terperinci segala butiran yang terdapat pada Rumah Kutai yang dikaji hasil daripada kajian yang telah dilakukan. Ianya akan merangkumi penerangan mengenai rekabentuk dan pembinaan Rumah Kutai serta elemen-elemen yang membentuknya seperti elemen bumbung, tiang, dinding, lantai, tingkap, pintu, peran, lebah bergantung dan tangga. Rekabentuk ukiran-ukiran kayu yang unik juga turut direkodkan dan ditunjukkan dengan jelas dalam laporan ini. Selain daripada itu juga, hasil daripada pemerhatian dan kajian secara terperinci yang dilakukan ke atas Rumah Kutai tersebut, didapati beberapa peninggalan bukti yang menunjukkan bahawa terdapat sebahagian daripada elemen Rumah Kutai ini yang telah runtuh atau roboh yang mana ia merupakan sebahagian daripada elemen senibina Rumah Kutai ini pada suatu ketika dahulu.

4.1 REKABENTUK FASAD

Rumah Kutai ini mempunyai pelan berbentuk segi empat bujur dan bercirikan konsep rekabentuk Rumah Kutai Tiang 16. Asalnya terdapat 3 ruang utama iaitu bahagian serambi hadapan, rumah ibu dan bahagian dapur. Pada masa kini, bahagian yang masih kekal adalah bahagian rumah ibu sahaja. Jika dilihat dari keseluruhan rumah ini, saiz ketinggian tiang dari tanah ke badan rumah adalah sama dengan saiz bumbung ke badan rumah. Keadaan ini adalah bertujuan bagi menampakkan keseimbangan antara tiga bahagian itu. Bumbung di bina agak rendah bagi memudahkan pengaliran udara dan memberikan keadaan yang sejuk di dalam rumah. Sementara itu, setiap fasad mempunyai ciri-ciri tersendiri. Fasad barat adalah di bahagian hadapan rumah, ia mempunyai sebuah tingkap jenguk di sebelah kiri dengan kekisi pengudaraan yang berukir dan juga berbentuk bulat di sebelah kanan. Tangga dan serambi di bahagian hadapan telah runtuh dan bekas yang masih tinggal adalah alas pelapik tiang. Manakala di bawah rumahnya pula terpapat para tempat simpanan barang. Fasad selatan pula mempunyai 3 bukaan yang selari kedudukannya. Ini bertujuan bagi membenarkan cahaya masuk dengan banyak disebabkan ia merupakan kawasan rumah ibu, yang mana aktiviti-aktiviti utama seperti menganyam tikar, bermesyuarat dan berkumpul bersama keluarga dilakukan di sini. Terdapat juga beberapa ukiran kayu yang terdapat pada papan dinding di bahagian fasad ini. Fasad utara merupakan bahagian yang menempatkan bilik anak dara. Oleh itu, hanya terdapat satu bukaan tingkap sahaja di fasad ini dan saiznya adalah agak kecil jika dibandingkan dengan bukaan tingkap di bahagian fasad yang lain. Sementara itu, fasad yang terakhir adalah di belakang iaitu fasad timur. Terdapat sebuah pintu yang asalnya menyambungkan antara rumah ibu dengan rumah dapur. Bahagian rumah dapur telah runtuh dan terdapat bekas tapak bilik air. Jika dilihat pada struktur binaan dan bahan binaan, bilik air ini adalah tambahan baru pada Rumah Kutai berkenaan.

4.2 STRUKTUR BUMBUNG

Struktur bumbung Rumah Kutai yang asal menempatkan enam batang tunjuk langit yang letaknya berpasangan, setiap kakinya terletak atas alang pendek dan melintang pula di bawahnya kayu naga. Kedudukan kayu naganya ialah di bahagian tengah dan selari pula dengan alang panjang rumah itu. Kebanyakan kayu alang panjang pada Rumah Kutai menggunakan sambungan tindih kasih. Pada puncak tunjuk langit terletak pula tulang bumbung yang juga letaknya memanjang dan selari dengan alang pajang. Biasanya Rumah Kutai yang berusia tua mempunyai dua tulang bumbung; di sebelah atas disebut tulang bumbung jantan dan di bawah disebut tulang betina. Kedua-dua tulang bembung tersebut memainkan peranan penting dalam memperkuatkan kedua-dua belah tutup bumbung. Dengan itu harus dipakai jenis kayu yang kuat seperti cengal atau damar laut. Penggunaan dua tulang bumbung itu ada hubungannya dengan lain-lain kayu rangka seperti kasau jantan, gulung-gulung dan kasau betina. Selepas itu atap akan menutupi di sebelah atasnya. Pada masa dahulu, atapnya ialah atap cucuh dan bertam dan kemudiannya atap nipah dan rumbia pula digunakan. Setelah menempuh zaman kemajuan ini, keseluruhan atap Rumah Kutai ini telah ditukarkan kepada atap zink. Dengan penggunaan atap zink, sebahagian daripada alat rangka bumbung telah digantikan, iaitu seperti tulang bumbung jantan, kasau betina dan kadangkalanya kayu gulung-gulung juga tidak digunakan lagi. Bentuk bumbung Rumah Kutai adalah bumbung panjang dan bentuk ini mempunyai kesamaan dengan bentuk bumbung panjang rumah-rumah Melayu Tradisional di Negeri Sembilan Melaka dan Pahang yang mempunyai sudut bumbung antara 45 hingga 50 darjah. Bentuk bumbungnya yang tinggi dan curam mungkin dipengaruhi oleh iklim dan juga topografi kawasan tapak rumah.

4.3 TIANG

Selain daripada bentuk bumbung, senibina dan struktur rumah, Rumah Kutai juga dapat dikenali daripada bilangan tiangnya. Terdapat dua jenis rumah (dari segi bilangan tiang) iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16 sebagaimana yang telah diterangkan sebelumnya. Kebanyakan Rumah Kutai pada masa dahulu menanamkan kaki tiang kira-kira satu meter ke dalam tanah dan sebab itu kebanyakan tiangnya dibuat lebih besar agar ia tahan lama dan kuat. Ada tiga bentuk tiang yang digunakan dahulu iaitu tiang bulat, taing bersegi lapan dan tiang bersegi empat. Kini tiada lagi Rumah Kutai yang mempunyai tiang sedemikian dan kebanyakan Rumah Kutai yang ada sekarang menggunakan tiang bersegi empat sahaja. Rumah Kutai yang dikaji ini pula mempunyai tiang 16 iaitu 8 tiang panjang dan 8 tiang serambi sama naik. Daripada kumpulan tiang-tiang utama di rumah ibu itu pula terdapat tiang yang dikenali sebagai tiang seri atau tiang tua. Kedudukan tiang-tiangnya ialah empat baris memanjang dan empat baris melebar. Tiang-tiang ini terletak di atas pelapik tiang yang diperbuat daripada batu. Penyambungan antara tiang, rasuk dan gelegar dibuat di setiap penjuru rumah. Gelegar lantai disusun berjarak lebih kurang 1 ½’’ di antara satu sama lain. Rumah Kutai kebiasaanya dibina agak tinggi dari tanah. Dengan itu ia dapat menghindarkan bau busuk dari perlimbahan air di bawah ruang dapur rumah.

4.4 DINDING

Pada masa dahulu Rumah Kutai menggunakan dinding tepas dan juga dinding kulit kayu. Penggunaan dinding tepas memanglah sangat popular di Negeri Perak pada zaman dahulu kerana tidak ada bahan lain yang lebih baik dan kukuh daripada itu. Tepas atau pelupuh dibuat daripada buluh ataupun bemban. Rumah Kutai ini masih menggunakan dinding tepas hanya pada bahagian tebar layar di kiri dan kanan bahagian sisi rumah sahaja manakala hampir keseluruhan dinding rumah ini telah digantikan dengan kepingan papan kayu yang disusun bertindih. Saiz papan dinding adalah agak lebar tidak seperti saiz papan biasa. Terdapat juga dinding berukir dengan motif bunga yang menarik.

4.5 LANTAI

Lantai Rumah Kutai kebiasaannya terletak lebih tinggi dari paras tanah iaitu kira-kira hampir dua meter. Ketinggian itu ada hubungannya dengan topografi dan iklim yang mana kedudukan Rumah Kutai kebanyakannya terletak di sepanjang Sungai Perak dan banjir sering berlaku bila masuknya musim tengkujuh. Dengan membina Rumah Kutai pada aras yang lebih tinggi berbanding kebanyakan Rumah Melayu Tradisional yang lain membolehkan penghuninya terselamat ketika banjir berlaku. Selain daripada itu, pada masa dahulu kesemua Rumah Kutai menggunakan lantai jeria, yakni susunan bilah-bilah daripada buluh atau batang pinang dan bayas yang disusun melintang di atas gelegar dan rasuk, kemudian diikat dengan rotan. Dengan lantai yang jarang itu pandangan boleh dilihat secara terus ke tanah dan ia harus ditutup dengan tikar yang diperbuat daripada mengkuang atau pandan. Pada masa ini kebanyakan lantai Rumah Kutai telah ditukarkan kepada lantai papan kerana ia lebih tahan lama berbanding dengan lantai jeria.

4.6 TINGKAP

Tingkap-tingkap Rumah Kutai menunjukkan satu keunikan dari segi senibina, jenis dan fungsi serta keindahan ukiran pada muka tingkap. Rumah Kutai ini menyediakan tiga jenis tingkap untuk memenuhi keperluan pencahayaan, pemandangan dan peredaran angin. Tingkap yang terdapat terbahagi kepada 3 jenis tingkap iaitu tingkap singkat dan tingkap jenguk. Tingkap singkat terdapat pada semua sisi dinding. Tingkap ini mempunyai dua daun tingkap manakala tingkap jenguk yang terletak dibahagian bawahnya terdapat satu daun tingkap yang dipasang dengan ensel dan selak bagi membuka dan menutup tingkap. Saiz ukuran tingkap di Rumah Kutai adalah agak kecil jika dibandingkan dengan saiz ukuran tingkap di kebanyakan Rumah Melayu Tradisional yang lain kecuali tingkap yang Tingkap ketiga iaitu tingkap utama yang terletak dibahagian atas tingkap singkat yang mana saiznya agak besar. Terdapat kerawang pada setiap tingkap utama. Tingkap utama ini mempunyai dua daun tingkap dan terletak agak tinggi hampir dengan dinding tebar layar.

4.7 PINTU

Pintu asal Rumah Kutai dikenali sebagai pintu gelangsar, yakni daun pintunya satu dan disorong ke tepi, bukan seperti kebanyakan pintu Rumah Melayu Tradisional masa kini yang terdiri daripada dua daun pintu di mana daun pintunya dibuka arah ke dalam. Seperti juga dengan dinding, bahan pintu diperbuat daripada tepas dan berbingkai untuk mudah dibuka dan ditutupkan. Pada kaki daun pintu yang terletak pada paras lantai dan bendul, dibuatkan peparitan dan rel, dan di atasnya pula dipasang selak supaya pintu tidak mudah dibuka bila tertutup. Sistem pintu gelangsar ini memang kukuh dan sukar dibuka oleh anasir-anasir jahat yang cuba menceroboh. Kini kebanyakan Rumah Kutai yang berusia tua sudah tidak lagi menggunakan pintu gelangsar kerana sudah diganti dengan pintu biasa berdaun pintu dan berselak. Pintunya agak sempit dan rendah. Apabila hendak melaluinya, kepala perlu ditundukkan supaya tidak terlanggar jenang pintu. Pada kaki daun pintu yang terletak pada paras lantai terdapat bendul pintu. Bendul pintu kayu rumah kutai amat unik yang mana hujung kayu bendul mempunyai ukiran. Terdapat dua pintu iaitu pintu hadapan dan pintu belakang. Pintu hadapan mempunyai ukiran kerawang bermotif bunga.

4.8 PERAN

Rumah Kutai juga mempunyai loteng atau peran, yang terletak di sebelah dalam bahagian hadapan rumah ibu. Perannya hanya ditempatkan pada kedua sudut tepi di kaki tebar layar. Namun ruangnya tidaklah luas seperti ruang loteng Rumah Melayu Tradisional Melaka atau Negeri Sembilan. Di zaman tradisional, peran digunakan sebagai tempat menyimpan barang-barang rumah yang jarang digunakan, seperti periuk, dulang tembaga dan lain-lain lagi. Di samping itu juga, ia pernah digunakan sebagai tempat tidur gadis kerana Rumah Kutai pada masa dahulu tidak pernah dibuat bilik yang bersekat. Tujuannya mungkin untuk mengelakkan daripada angkara yang tidak diingini. Strukturnya diperbuat daripada gelegar kayu manakala lantainya pula masih lagi dalam keadaan asli iaitu menggunakan anyaman daun tepas.

4.9 TANGGA

Pada asalnya Rumah Kutai ini mempunyai 2 buah tangga, namun hasil kajian yang dilakukan, hanya tinggal sebuah tangga sahaja di bahagian belakang rumah manakala di bahagian hadapannya telah runtuh bersama dengan ruang anjung. Tangga di bahagian belakangnya pula bukanlah tangga asal kerana menurut cerita pewaris, tangga dahulu adalah tangga bulat yang mempunyai satu tiang dan anak tangga dilekatkan pada tiang tersebut dan tangga ini telah runtuh bersama ruang dapur Rumah Kutai tersebut. Tangga asalnya tidak mempunyai pemegang manakala tangga yang ada sekarang juga tiada pemegang dan diperbuat daripada kayu dengan rekabentuk yang ringkas sahaja. Pembinaannya hanya menggunakan kaedah tanggam lubang dan puting dan ianya tidak dipakukan pada struktur Rumah Kutai.

4.10 LEBAH BERGANTUNG

Lebah bergantung ialah satu bentuk ‘ragam hias’ disangkut pada hujung alang panjang di rumah ibu, iaitu masing-masing mengandungi sepasang pada sebelah tepi kaki tebar layar. Bentuknya bulat bersegi, kira-kira sebesar labu air; sekali pandang seperti sarang lebah bergantung. Ia sekadar hiasan untuk menambahkan seri dan satu simbol kemegahan dan kekuatan Rumah Kutai seterusnya harus dijaga dengan baik.

4.11 RUANG DALAMAN

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, hasil daripada bukti peninggalan sejarah yang terdapat dipersekitaran Rumah Kutai ini, didapati bahawa struktur bangunan asal yang masih kekal hanyalah rumah ibunya sahaja manakala ruang anjung dan ruang dapur telahpun roboh termasuk bilik air. Manakala ruang dalam rumah ibu yang masih kekal ialah serambi di bahagian hadapan, ruang ibu dan sebuah bilik anak dara sahaja bersaiz 7m x 3m yang ditutupi oleh komponen kepingan papan dinding.

4.12 ELEMEN-ELEMEN LAIN

Selain daripada rekabentuk fasad, ruang dan elemen utama sebagaimana yang telah diperjelaskan sebelum ini, terdapat juga beberapa elemen yang menarik yang terdapat pada Rumah Kutai ini yang jika diamati amat jarang lagi ditemui kini dan hanya terdapat pada sesetengah binaan Rumah Kutai di Negeri Perak atau mungkin juga pada sesetengah Rumah Melayu Tradisional yang lain.

5.0 LUKISAN TERUKUR RUMAH KUTAI

Lukisan terukur adalah merupakan salah satu elemen yang penting dalam usaha untuk merekod dan mendokumentasikan sesebuah bangunan bersejarah seperti Rumah Kutai ini. Lukisan terukur ini perlu dilakukan dengan teliti dengan mengambilkira kesemua struktur dan komponen bangunan yang terdapat di tapak kajian. Segala pengukuran yang dibuat di tapak hendaklah direkod dan seterusnya dilukis semula atau diterjemah dalam bentuk lukisan menggunakan perisian Autocad. Skala yang digunakan adalah skala 1:50 yang dirasakan bersesuaian dengan saiz ukuran Rumah Kutai. Bentuk lukisan terukur yang telah dilakukan ke atas Rumah Kutai ini ialah seperti berikut:
1. Pelan Lantai – Lukisan No : Kutai-01/AP116/03/2005.
2. Pelan Bumbung - Lukisan No : Kutai-02/AP116/03/2005.
3. Pelan Siling - Lukisan No : Kutai-03/AP116/03/2005.
4. Tampak Hadapan - Lukisan No : Kutai-04/AP116/03/2005.
5. Tampak Belakang - Lukisan No : Kutai-05/AP116/03/2005.
6. Tampak Sisi (Timur) - Lukisan No : Kutai-06/AP116/03/2005.
7. Tampak Sisi (Barat) - Lukisan No : Kutai-07/AP116/03/2005.
8. Keratan A-A - Lukisan No : Kutai-08/AP116/03/2005.
9. Keratan B-B - Lukisan No : Kutai-09/AP116/03/2005.
10. Keratan C-C - Lukisan No : Kutai-10/AP116/03/2005.
11. Keratan D-D - Lukisan No : Kutai-11/AP116/03/2005.

Manakala antara komponen dan saiz struktur serta butiran yang tedapat pada Rumah Kutai ini ialah seperti berikut:

Bil, Komponen Struktur Rumah, Saiz Ukuran & Jenis Bahan
1. Alas Tiang 300mm Tapak x 250mm Atas x 340mm Tinggi Konkrit
2. Tiang 150mm x 150mm Cengal
3. Rasuk 150mm x 40mm Cengal
4. Ibu Tangga 150mm x 50mm Cengal
5. Jejak Tangga 150mm x 25mm Cengal
6. Alas Tangga 2000mm x 1000mm x 75mm Konkrit
7. Gelegar Lantai 150mm x 40mm Cengal
8. Papan Lantai 175mm 30mm Meranti
9. Bendul 110mm x 35mm Cengal
10. Papan Cantik 50mm x 20mm Cengal
11. Papan Hias 200mm x 100mm x 40mm Cengal
12. Kerangka Dinding Luar 75mm x 50mm Cengal
13. Kerangka Dinding Dalam 75mm x 50mm Medang
14. Kerangka Dinding Belebas Luar 30mm x 20mm Cengal
15. Kerangka Dinding Belebas Dalam 60mm x 60mm Cengal
16. Papan Dinding Luar 2500mm x 600mm x 20mm Cengal
17. Papan Dinding Dalam 600mm x 600mm x 20mm Cengal
18. Papan Tebar Layar 175mm x 30mm Cengal
19. Bucu Tebar Layar Anyaman Buluh Tepas
20. Bendul Pintu 110mm x 35mm Cengal
21. Kerangka Pintu 75mm x 50mm Cengal
22. Pintu Hadapan 2100mm x 1400mm x 25mm Cengal
23. Pintu Belakang 2100mm x 1400mm x 25mm Cengal
24. Kerangka Tingkap 75mm x 50mm Cengal
25. Tingkap Sisi Kiri (Timur) 1100mm x 600mm Cengal
26. Tingkap Sisi Kanan (Barat) 1700mm x 650mm Cengal
27. Tingkap Jenguk Belakang 1500mm x 200mm Cengal
28. Tingkap Jenguk Hadapan 2000mm x 200mm Cengal
29. Tingkap Jenguk Sisi Kanan (Barat) 1700mm x 200mm Cengal
30. Tingkap Jenguk Sisi Kiri (Timur) 2600mm x 200mm Cengal
31. Tingkap Jenguk Hadapan 900mm Diameter Cengal
32. Tutup Tiang / Alang Pengikat 140mm x 40mm Cengal
33. Alang Lintang 150mm x 35mm Cengal
34. Alang Panjang 150mm x 35mm Cengal
35. Alang Pendek 150mm x 35mm Cengal
36. Tunjuk Langit 110mm x 35mm Cengal
37. Tulang Bumbung 140mm x 40mm Cengal
38. Kasau Jantan 100mm x 35mm Cengal
39. Kasau Betina 75mm x 35mm Cengal
40. Gulung-Gulung 60mm x 40mm Cengal
41. Tupang Bumbung 75mm x 25mm Cengal
42. Kemasan Bumbung 2400mm x1050mm Zink
43. Penutup Perabung 2400mm x 300mm Zink
44. Kerawang Pintu 1120mm x 350mm x 20mm Cengal
45. Kerawang Tingkap 250mm x 200mm x 20mm Cengal
46. Jeriji Tingkap 200mm x 20mm Diameter Cengal
Jadual 5.0.1 : Saiz Ukuran Dan Jenis Bahan Struktur Komponen Rumah.
'
6.0 UJIAN PENGENALPASTIAN SPESIES KAYU RUMAH KUTAI

Ujian pengenalpastian spesis kayu adalah merupakan salah satu elemen yang penting dalam usaha untuk merekod dan mendokumentasikan sesebuah bangunan bersejarah seperti Rumah Kutai ini. Tujuan utama ujian pengenalpastian spesis kayu ini dilakukan ialah untuk mengenalpasti spesis kayu yang digunakan pada Rumah Kutai yang dikaji serta gred dan kekuatan kayu yang digunakan. Hasil dari keputusan ujian ini amat penting untuk kerja pemuliharaan Rumah Kutai yang seterusnya kerana keputusannya akan mempengaruhi jenis spesis kayu yang perlu digunakan untuk menggantikan komponen-komponen kayu yang telah rosak di Rumah Kutai berkenaan. Secara umumnya proses ujian pengenalpastian bahan ini terbahagi kepada dua peringkat yang mana peringkat pertama melibatkan kerja-kerja mengambil sampel spesis kayu yang terdapat pada tapak kajian. Manakala peringkat kedua melibatkan kerja ujian dan pengenalpastian bahan di makmal ujikaji.

6.1 PENGAMBILAN SAMPEL KAYU DI TAPAK KAJIAN.

Langkah pertama yang telah dilakukan ialah mengambil sampel kayu dari Rumah Kutai. Segala peralatan dan kelengkapan yang lengkap perlu di bawa bagi membolehkan kerja mengambil sampel kayu dapat dilakukan dengan mudah seperti:
1. Untuk pengambilan sampel bahan dan pengujian - Beg atau bekas plastik, gergaji kayu, penukul, tetupai, pahat, pisau dan pensil kayu.
2. Untuk kerja merekod – Kamera, buku nota, kertas lakaran, label berpelekat dan pen.

Sebelum kerja pengambilan sampel kayu dilakukan, lokasi sampel kayu yang hendak diambil hendaklah dirancang terlebih dahulu bagi memudahkan kerja dan menjimatkan masa dengan merujuk kepada pelan atau lukisan yang telah ditandakan. Kesemua 15 lokasi utama di mana sampel kayu telah diambil. Untuk kerja pengambilan sampel kayu ini, sebanyak 15 lokasi telah dikenalpasti untuk diambil sampelnya yang mana satu lokasi mewakili setiap struktur dan komponen Rumah Kutai berkenaan sebagaimana berikutnya:
1. Gelegar Lantai.
2. Rasuk.
3. Tiang.
4. Daun Papan Lantai.
5. Tingkap.
6. Daun Pintu.
7. Rangka Dinding.
8. Papan Dinding.
9. Alang Pengikat / Tutup Tiang.
10. Alang Panjang.
11. Tunjuk Langit.
12. Kasau Jantan.
13. Gegulung.
14. Ibu Tangga.
15. Bendul.

Seterusnya segala sampel kayu yang telah diambil hendaklah direkodkan dari segi bentuk ukuran saiz dan lokasinya dengan menggunakan kamera serta dilabel agar bahan sampel yang diambil dari pelbagai lokasi tidak bercampur aduk antara satu sama lain. Sistem penomboran yang mudah digunakan jika sampel kayu yang diambil adalah tidak terlalu banyak. Tujuannya ialah untuk memudahkan kerja pengasingan sampel ini dilakukan untuk dihantar ke tempat ujian makmal seterusnya. Kerja pengambilan sampel kayu hendaklah dibuat ke atas struktur dan komponen utama Rumah Kutai seperti tiang, rasuk, lantai, dinding, pintu, tingkap, tangga, bumbung dan lain-lain lagi. Selain daripada itu juga, saiz sampel yang diambil juga hendaklah tidak begitu besar agar ianya tidak menjejaskan keadaan struktur asal kayu berkenaan serta kekuatannya dan lokasinya juga hendaklah pada tempat yang tersorok agar tidak mudah kelihatan oleh pandangan mata kasar kerana sebaik sahaja sampel kayu ini telah diambil maka kesan yang ditinggalkan akan kekal selamanya melainkan ia dibaiki ketika kerja pemuliharaan dijalankan kelak. Contoh sampel yang diambil beserta saiz dan ukurannya adalah seperti berikut:
1. Sampel Gelegar Lantai Beukuran 2 Inci.
2. Sampel Rasuk Berukuran 2 Inci.
3. Sampel Tiang Berukuran 1 ¾ Inci.
4. Sampel Daun Papan Lantai Berukuran 2 ¾ Inci.
5. Sampel Tingkap Berukuran 4 ½ Inci.
6. Sampel Daun Pintu Berukuran 2 ½ Inci.
7. Sampel Rangka Dinding Berukuran 2 Inci.
8. Sampel Papan Dinding Berukuran 5 Inci.
9. Sampel Alang Pengikat / Tutup Tiang Berukuran 1 ¾ Inci.
10. Sampel Alang Panjang Berukuran 1 ½ Inci.
11. Sampel Tunjuk Langit Berukuran 1 ¾ Inci.
12. Sampel Kasau Jantan Berukuran 1 ¾ Inci.
13. Sampel Gulung-Gulung Berukuran 1 ½ Inci.
14. Sampel Ibu Tangga Berukuran 2 Inci.
15. Sampel Bendul Pintu Berukuran 1 ½ Inci.

6.2 UJIAN DAN PENGENALPASTIAN BAHAN DI MAKMAL

Seterusnya sampel-sampel kayu yang diambil tadi telahpun dihantar ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk di analisa. Ianya dilakukan di dalam Makmal Anatomi Kayu oleh pihak pakar dalam Program Pemprosesan dan Teknologi Kayu. Ujian pengenalpastian spesies kayu ini perlu dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan hasil ujian yang tepat. Seterusnya hasil keputusan ujian pengenalpastian spesies kayu yang telah dilakukan di FRIM adalah sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual berikut:

Lokasi, Jenis Kayu & Kumpulan Kekuatan
1. Gelegar Lantai Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
2. Rasuk Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
3. Tiang Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
4. Daun Papan Lantai Meranti Merah (Shorea Sp) C (SG 6)
5. Tingkap Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
6. Daun Pintu Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
7. Rangka Dinding Medang (Sp of Lauranceae) C (SG 6)
8. Papan Dinding Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
9. Alang Pengikat Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
10. Alang Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
11. Petunjuk Langit Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
12. Kasau Jantan Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
13. Gegulung Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
14. Ibu Tangga Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
15. Bendul Cengal (Neobalanocarpus Heimit) A (SG 1)
Jadual 6.2.1 : Jadual Keputusan Ujian Pengenalpastian Spesies Kayu.(FRIM, 2005).

Dengan merujuk kepada jadual dari keputusan analisa jenis spesies kayu sebagaimana yang telah dikenalpasti oleh pihak FRIM, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa keseluruhan struktur dan komponen Rumah Kutai ini pada asalnya diperbuat daripada kayu cengal 100%. Manakala daun papan lantai yang diperbuat daripada kayu meranti dan rangka dinding dalam yang dibuat daripada kayu medang adalah merupakan komponen gantian baru dan tambahan kepada Rumah Kutai berkenaan. Pemilihan kayu cengal adalah amat bersesuaian sekali kerana kayu ini tergolong dalam kayu kumpulan A dengan gred kekuatan yang tinggi dan yang paling tahan lasak.

7.0 KAJIAN DILAPIDASI RUMAH KUTAI

Kajian dilapidasi bangunan merupakan satu kerja pemeriksaan kerosakan dan kecacatan sesebuah bangunan sebelum sesuatu kerja penyelenggaraan atau pembaikan bangunan dibuat. Matlamat pemeriksaan adalah untuk membekalkan maklumat secukupnya sebagai panduan dan mengenalpasti tindakan lanjutan ke atas bangunan serta sumber yang diperlukan. Ia tidak terhad kepada bangunan lama atau bersejarah sahaja tetapi juga kepada bangunan–bangunan baru. Ia perlu dilakukan oleh profesion yang dilatih khas agar laporan yang dihasilkan komprehensif dan lengkap. Kajian dilapidasi ini boleh dilakukan dengan berpandukan kaedah-kaedah dan panduan yang telah ditetapkan supaya kualiti pemeriksaan yang dijalankan terjamin. Penyiasat perlulah memahami jenis-jenis dan penyebab sesuatu kerosakan atau kecacatan bangunan. Fakta dan maklumat pemeriksaan mestilah lengkap dan yang paling utamanya ialah ia mestilah mudah difahami untuk memudahkan semua pihak yang terlibat dalam kerja pemuliharaan atau pembaikan nanti. Laporan yang dihasilkan perlulah merangkumi prestasi semasa dan juga perkembangan kerosakan yang berlaku. Ini bertujuan bagi mendapatkan cara pembaikan bangunan yang betul dan ekonomi. Sekiranya pemeriksaan tidak dijalankan dengan baik kemungkinan pembaikan ekonomi dan efektif tidak dapat dihasilkan. (A.Ramly, 2004). Secara umumnya, antara tujuan utama sesuatu pemeriksaan dijalankan adalah untuk:
1. Mengenalpasti keadaan fizikal, fabrik atau kerangka tertentu bangunan yang tersembunyi.
2. Menentukan luas kawasan fizikal yang rosak atau yang cacat.
3. Meramalkan baki kekuatan sesuatu elemen atau struktur yang telah lama.
4. Menyediakan asas bagi kerja-kerja pembaikan yang betul atau kerja-kerja penyambungan kepada bangunan lama atau sedia ada.
5. Menetapkan nilai sebenar sesuatu bangunan setelah diambilkira kecacatan yang ada.
6. Menyediakan asas dan maklumat rekabentuk masa hadapan.
7. Mengetahui jika bangunan telah melalui kerja-kerja rombakan, penyambungan atau perobohan di masa lalu.

Manakala di antara ciri- ciri penyiasat kajian dilapidasi yang baik pula ialah:
1. Mempunyai penguasaan ilmu dan praktikal yang baik tentang kefahaman, proses pembinaan bangunan dan bahan-bahannya.
2. Mempunyai kemampuan untuk melakar atau melukis binaan bangunan dan pemasangan perkhidmatan yang terdapat dalam bangunan.
3. Memahami konsep rekabentuk dan asas struktur serta kemampuan daya tahan atau beban struktur.
4. Mengetahui tanda-tanda kerosakan serta penyebab dan kesannya.
5. Berpengetahuan menggunakan peralatan pemeriksaan kecacatan bangunan yang baik.
6. Memahami keperluan keselamatan pekerja ketika menjalankan kerja-kerja pemeriksaan bangunan.

Dari segi kelengkapan dan peralatan pula, kajian dilapidasi ini melibatkan tugas menganalisa maklumat yang terperinci. Seseorang penyiasat itu perlu menggunakan semua medium yang ada mengikut kesesuaian bangunan yang akan diperiksanya. Antara pemeriksaan yang akan dilakukan adalah ke atas fabrik, struktur dan pemeriksaan masalah tapak. Dalam kerja pemeriksaan yang akan dijalankan, peralatan dan kelengkapan yang lengkap memainkan peranan penting bagi menghasilkan laporan yang baik. Kelengkapan dan peralatan perlu dimiliki bagi memenuhi empat tujuan iaitu:
1. Menjalankan pemeriksaan kecacatan atau kerosakan semasa.
2. Menjalankan kerja-kerja pemantauan prestasi ataupun masalah bangunan dalam jangkamasa yang panjang.
3. Bagi tujuan penyelidikan.
4. Bagi tujuan pengujian.

Bagi menjalankan kajian dilapidasi ke atas Rumah Kutai ini, beberapa peralatan telah digunakan dan antaranya adalah seperti berikut:
1. Kamera - Kamera biasa berkanta 35mm dengan keupayaan menukar kanta sudah memadai. Walau bagaimanapun bagi projek Rumah Kutai ini, kamera digital dengan kemudahan zoom telah digunakan. Ini merupakan bonus kerana ia lebih efisien bagi mengambil gambar elemen, bahan atau komponen bangunan yang jauh, tinggi atau sukar dirapati. Gambar-gambar juga boleh disalur terus ke komputer.
2. Alat Pencahayaan - Sumber cahaya di dalam Rumah Kutai adalah terlalu terhad memandangkan kedudukannya yang dilindungi oleh pokok rimbun disekelilingnya. Oleh yang demikian lampu sorot digunakan bagi membantu menambah pencahayaan ketika kerja pemeriksaan dijalankan.
3. Teropong dan Kanta Pembesar - Teropong digunakan bagi melihat objek jauh dan sukar dirapati manakala kanta pembesar digunakan untuk objek dekat yang memerlukan pemeriksaan lebih terperinci seperti pemeriksaan ke atas kecacatan dan kerosakan kayu yang disebabkan oleh serangan kumbang perosak dan anai-anai.
4. Pengukur Rupabentuk - Alat pengukur yang digunakan di dalam melakukan kajian dilapidasi kali ini ialah alat teodolit, pengaras aras, kompas prismatik, batu ladong dan pengaras air yang mana ianya digunakan bagi mengukur kedudukan fizikal rumah kutai serta digunakan ketika membuat kerja pengukuran untuk menghasilkan lukisan terukur.

Antara peralatan lain yang digunakan oleh penyiasat di dalam membantu menjalankan kajian dilapidasi ke atas Rumah Kutai ini ialah:
1. Untuk akses dan pemeriksaan – Lampu suluh dan tangga.
2. Untuk dimensi – Kayu pembaris, sesiku tepi, pita pengukur dan pengaras air.
3. Untuk perlindungan – Pelindung mata, topi keselamatan, kasut keselamatan dan sarung tangan.
4. Untuk kerja merekod – Kamera, buku nota, kertas lakaran, label berpelekat, papan klip dan kapur tulis putih.

Kajian dilapidasi ini amat penting dilakukan sebelum sesuatu kerja pemuliharaan atau pembaikan dijalankan. Tanpa kajian dilapidasi yang baik dan lengkap, adalah sukar sesuatu kerja itu hendak dijalankan terutamanya bagi bangunan lama yang perlu dipelihara seperti Rumah Kutai ini. Laporan lengkap kajian dilapidasi yang telah dilakukan ke atas Rumah Kutai ini adalah sebagaimana yang ditunjukkan dalam lukisan berikut:
1. Pelan Bumbung – Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-1.
2. Pelan Bumbung - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-2.
3. Pelan Lantai - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-3.
4. Pandangan Sisi Hadapan - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-4.
5. Pandangan Sisi Kiri - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-5.
6. Pandangan Sisi Kanan - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-6.
7. Pandangan Sisi Belakang - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-7.
8. Keratan A-A - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-8.
9. Keratan D-D - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-9.
10. Pelan Siling - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-10.
11. Keratan B-B - Lukisan No : KUTAI/KD/UiTM/2005/-11.

8.0 KECACATAN DAN KEROSAKAN RUMAH KUTAI

Rumah Kutai ini telah terbiar agak lama semenjak pemilik rumah berpindah. Walaupun struktur Rumah Kutai ini telah berusia lebih dari 100 tahun, namun begitu struktur rumah seperti tiang, rasuk, gelegar, tiang, tunjuk langit dan kasau masih berkeadaan baik jika diukur dari segi usia rumah. Walaubagaimanapun, sebahagian besarnya telah diserang oleh serangga pengorek kayu, dimakan anai-anai dan ditumbuhi cendawan reput lembab dan kering. Manakala komponen yang bukan membentuk struktur utama seperti bingkai pintu dan tingkap, siling dan kayu hiasan banyak yang telah reput, patah dan hilang. Tiang-tiang utama iaitu kesemua 16 tiang masih lagi kekal. Dari segi bahagian rumah yang asal, yang masih kekal adalah rumah ibu manakala ruang anjung dan ruang dapur telah musnah sebagaimana yang telah diterangkan di dalam bab sebelumnya. Rumah Kutai yang tidak lagi diselenggara ini telah mengalami pelbagai kerosakan dan kecacatan akibat terdedah kepada kelembapan dan kepanasan. (M.L.Zakaria, 2001). Hasil daripada kajian yang telah dijalankan melalui pemerhatian dan pemeriksaan, didapati bahawa antara faktor-faktor yang telah menyebabkan kerosakan pada struktur kayu Rumah Kutai ini adalah seperti berikut:
1. Kerosakan kerana faktor cuaca.
2. Kerosakan kerana serangga pengorek kayu.
3. Kerosakan kerana serangan anai-anai.
4. Kerosakan kerana kulat atau cendawan reput lembab dan kering.
5. Kerosakan kerana usia dan tiada penyelenggaraan.

8.1 KEROSAKAN KERANA FAKTOR CUACA

Sebagaimana yang kita semua maklum, keadaan persekitaran memberi kesan yang besar terhadap ketahanan kayu terutamanya kayu-kayu di bahagian luar. Dalam cuaca yang lembab, kayu akan menyerap kelembapan persekitaran, dan kayu tersebut akan mengembang. Sebaliknya apabila cuaca kering, kayu akan mengecut. Proses pengeringan dan pengecutan mengakibatkan terjadinya keretakan pada permukaan kayu. Sinaran matahari dan tiupan angin pula akan mempercepatkan proses pengeringan permukaan kayu. Kayu yang pecah di bahagian permukaan ini akan membenarkan kelembapan meresap, akibatnya kayu akan menjadi rapuh dan berlakulah keretakan yang lebih besar. Seterusnya kelembapan di dalam kayu akan mempercepatkan proses pereputan daripada terjadi. Kerosakan dan kecacatan yang dapat dilihat kesan daripada kesan terdedah kepada factor cuaca ialah kerosakan pada permukaan seperti perubahan warna, permukaan kasar, serabut kayu timbul dan menjadi lembut, dan terhakis apabila hujan. Akibat daripada pengecutan pula menyebabkan kecacatan seperti permukaan kayu retak, terbelah dan merubah bentuk asal seperti terpulas. Kesan-kesan kerosakan akibat terdedah kepada cuaca dapat dilihat pada hampir keseluruhan struktur kayu Rumah Kutai berkenaan.

8.2 KEROSAKAN KERANA SERANGGA PENGOREK KAYU

Sebahagian kecil daripada kerosakan yang terdapat pada struktur kayu Rumah Kutai ini ialah disebabkan oleh terdapatnya larva beberapa jenis kumbang atau gegat kayu yang menghabiskan masa hidupnya di dalam batang kayu dan memakan tisu-tisu kayu. Saiz lubang yang dibuat oleh serangga ini adalah berubah-ubah dengan saiz pusat antara 5mm hingga 25mm dengan penjangnya beberapa sentimeter dan boleh dilihat dengan jelas pada permukaan atau struktur kayu yang diserang. Antara kumbang yang telah dikenalpasti terdapat pada struktur kayu Rumah Kutai ini ialah dari jenis ‘Powder Post’ (Lyctus Brunneus).

8.3 KEROSAKAN KERANA SERANGAN ANAI-ANAI

Serangan anai-anai secara umumnya boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk ke atas Rumah Kutai ini. Anai-anai membuat lubang di dalam tanah. Ia juga membiak di tempat-tempat yang lembab dan tempat-tempat yang terdapat timbunan kayu. Anai-anai hidup dengan menggunakan kayu-kayu yang telah mati sebagai sumber bahan makanannya. Antara tempat-tempat yang sering diserang anai-anai adalah seperti bumbung, tingkap, pintu, rangka kayu, siling dan gelegar lantai. Struktur kayu akan hilang kekuatannya dan menjadi reput akibat daripada serangan anai-anai. Terdapat dua jenis anai-anai yang sering menyerang kayu iaitu:
1. Anai-anai bawah tanah iaitu ‘Subterranean Termites’ (Coptotermes Curvignathus) yang bersarang dan membiak di bawah tanah yang lembab. Kerosakan kayu akibat serangan anai-anai dapat dilihat pada tiang-tiang dan gelegar lantai Rumah Kutai serta anai-anai yang bersarang dan membiak dalam struktur kayu yang lembab.
2. Anai-anai kayu kering iaitu ‘Drywood Termites’ (Cryptotermes Cynocephalus) yang hidup dalam kawasan yang kering dan memakan tisu-tisu kayu kering. Anai-anai jenis ini sukar dikesan kerana memakan kayu di bahagian dalam sahaja. Ciri-ciri serangan oleh anai-anai ini secara umum dapatlah dikesan melalui bunyi kosong apabila kayu diketuk dari permukaan luar dan sisi permukaan kayu yang telah dimakannya adalah bersih dan licin. Keadaan ini terdapat pada tiang seri rumah kutai. Sisi permukaan tiang rumah kutai agak bersih dan nampak kukuh berbanding struktur yang lain.

8.4 KEROSAKAN KERANA KULAT ATAU CENDAWAN REPUT LEMBAB DAN KERING.

Struktur kayu juga boleh menjadi reput apabila diserang atau ditumbuhi oleh kulat atau cendawan. Kulat atau cendawan ini merupakan sejenis tumbuhan yang tidak mempunyai klorofil dan mereka mendapat bahan yang mengandungi zat makanan melalui tumbuhan atau organisme yang terdapat pada struktur kayu. Kulat atau cendawan yang menyerang kayu lembab akan menyebabkan reput lembab manakala kulat atau cendawan yang menyerang kayu kering pula boleh menyebabkan reput kering. Ciri-ciri permukaan kayu yang diserang oleh kulat atau cendawan ini boleh dilihat dengan jelas pada permukaan kayu yang mana keadaan kayu tersebut akan berubah menjadi lebih gelap. Sel-sel kayu yang diserang akan musnah, diikuti dengan pengecutan kayu, keretakan dan akhirnya reput serta runtuh. Ada juga yang menyebabkan permukaan kayu menjadi kehijauan seperti lumut dan lebih cerah serta berserabut.

8.5 KEROSAKAN KERANA USIA DAN TIADA PENYELENGGARAAN

Rumah Kutai ini secara dasarnya telah tidak lagi dihuni kerana warisnya telahpun berpindah. Keadaannya yang terbiar kepada faktor cuaca dan serangan serangga perosak, anai-anai dan kulat serta cendawan yang teruk telah mengakibatkan mutu struktur bahan binaan menjadi semakin merosot. Selain daripada masalah pereputan kayu, kayu pecah dan patah, masalah ketiadaan penyelenggaran ke atas rumah yang telah tua ini juga telah mengakibatkan beberapa bahagian dan komponen rumah telah musnah dan hilang. Kehilangan beberapa komponen rumah seperti rangka pintu, hiasan pada bingkai dan birai dinding termasuklah panel dinding rumah menyebabkan senibina dalaman Rumah Kutai ini tidak dapat dikesan dan ianya merupakan satu kerugian yang amat besar. Selain daripada kerosakan akibat kelembapan dan serangan anai-anai, terdapat juga komponen-komponen asal rumah yang telah ditukar baru seperti papan lantai dan atap bumbung. Namun tanpa penyenggaraan bahan-bahan baru ini juga mengalami kerosakan.
Sehubungan dengan itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa Rumah Kutai ini semakin hari semakin usang serta berada dalam tahap bahaya kerana tiada penyelenggaraan setelah ditinggalkan kosong tanpa penghuni sejak sekian lama. Sehubungan dengan itu, adalah disarankan agar kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan perlu dilakukan dengan segera dalam asaha untuk memulihara Rumah Kutai ini sebelum ia pupus ditelan zaman.

9.0 KESIMPULAN DAN CADANGAN

Rumah Kutai adalah satu bentuk senibina tertua di Negeri Perak, di mana ianya telah wujud hampir 100 tahun yang lalu. Jika dilihat kepada senibinanya, ternyata ia tidak dapat dipisahkan dari beberapa pengaruh senibina luar, terutama sekali pengaruh senibina Rumah Aceh dan Rumah Adat Bugis. Namun begitu, beberapa ciri tertentu dalam senibina dan bahan-bahan strukturnya masih tetap dengan identitinya yang tersendiri, iaitu sebagai senibina rumah tempatan penduduk Negeri Perak. Ciri-ciri khas ini terutamanya dapat dilihat pada ragam hias lebah bergantung dan penggunaan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya. Selain daripada itu, penggunaan lantai jeria, struktur bumbung dengan sistem teknologi yang unik, bentuk pintu gelangsar dan bentuk tingkapnya yang tersendiri memang tidak pernah terdapat pada lain-lain unsur senibina Rumah Melayu Tradisional baik di Malaysia ataupun di kawasan serantau. Menjelang awal kurun ke-20, senibina Rumah Kutai tidak lagi menarik perhatian rakyat tempatan Negeri Perak. Ini disebabkan oleh pengaruh senibina Rumah Limas mula diperkenalkan di Negeri Perak dan rekabentuk Rumah Limas ini nampaknya dapat memberi keselesaan dan beberapa kemudahan tertentu. Jika ditinjau dari segi sistem pembinaan rumah berbentuk ini, ternyata ia lebih mudah berbanding dengan Rumah Kutai. Disamping itu juga, peraturan-peraturan di zaman tradisional yang bersifat ‘kasta’ dan darjat adalah salah satu sebab mengapa Rumah Kutai tidak dapat berkembang dengan baik; bahkan jika ditinjau dari segi penempatannya pula, jelas sekali ia mempunyai kaitan dengan soal ini dan dengan itu ia hanya terdapat di sekitar pusat-pusat kerajaan saja. Rumah Kutai terletak berhampiran dengan tebing sungai Perak dan ini merupakan salah satu faktor utama mengapa kemusnahan mudah berlaku kepadanya. Banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 juga telah memusnahkan begitu banyak Rumah Melayu Tradisional yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Perak. Kawasan-kawasan yang terdapat penempatan Rumah Kutai, terutama sekali di Daerah Perak Tengah yang terkenal dengan kesan-kesan sejarah, sepatutnya hendaklah dimajukan sebagai pusat pelancongan. Rumah Kutai merupakan salah satu daya penarik yang difikirkan sesuai untuk dijadikan pusat tumpuan pelancong. Rumah yang dirasakan berpotensi hendaklah dibaiki dan dipulihkan supaya kelihatan lebih menarik. Kerja baik pulih ini hendaklah meliputi juga penggantian beberapa ragam hias pada senibina Rumah Kutai tersebut, seperti menambahkan ukiran pada tangga, bendul, jenang, tebar layar dan dindingnya tanpa menghilangkan identiti senibinanya. Perlu diingatkan di sini bahawa kerja-kerja pengekalan dan pemuliharaan bangunan adalah merupakan satu kerja yang perlu dilakukan dengan teliti. Usaha yang berhati-hati perlu diberi untuk mengekalkan keaslian, kesenian binaan, ukiran serta semua struktur yang dianggap unik seperti yang terdapat pada butiran pintu dan tingkap. Bagi kajian kes Rumah Kutai Kampung Aji Bota Kiri ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa antara elemen yang mengalami kerosakan dan perlu kepada kerja pengekalan, pemuliharaan dan pembaikan segera pada peringkat kerja yang seterusnya adalah seperti berikut:
1. Melindungi keseluruhan bangunan dan elemennya daripada terus rosak akibat faktor cuaca.
2. Menjalankan rawatan pencegahan anai-anai dengan kadar SEGERA pada keseluruhan struktur rumah untuk mematikan semua anai-anai yang ada termasuk serangga pengorek kayu.
3. Menjalankan kerja pencucian dengan kadar SEGERA ke atas struktur kerangka bangunan yang diserang kulat serta cendawan reput lembab dan kering.
4. Membuang dengan kadar SEGERA sarang anai-anai yang terdapat pada keseluruhan struktur rumah.
5. Mencuci dan membersih ruang dalam rumah yang dipenuhi dengan najis kelawar.
6. Membaiki segera kemasan bumbung yang tertanggal.
7. Membaiki struktur kerangka bumbung yang telah rosak teruk dimakan anai-anai dan serangan serangga pengorek kayu seperti pada tulang bumbung, alang panjang, alang pendek, alang lintang, kasau jantan, kasau betina dan tunjuk langit.
8. Menggantikan anyaman daun tepas yang terdapat pada peran rumah.
9. Menggantikan kepingan papan dinding yang telah tertanggal dan hilang.
10. Menanggal keluar kepingan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya yang telah rosak.
11. Menggantikan jeriji bulat pada tingkap jenguk yang telah hilang.
12. Menggantikan daun tingkap yang telah tertanggal pada tingkap utama.
13. Menggantikan keseluruhan papan lantai yang telah tertanggal dan reput.
14. Menggantikan keseluruhan gelegar lantai yang telah rosak diserang kulat atau cendawan reput kering dan lembab.
15. Menggantikan tiang rumah yang telah rosak teruk dimakan anai-anai dan serangan serangga pengorek kayu.
16. Membersih dan membaiki para yang terdapat di bawah rumah.
17. Membina semula tangga hadapan rumah yang telah hilang.
18. Membina semula struktur rumah yang telah runtuh seperti di bahagian anjung dan dapur.
19. Membina semula struktur rumah yang telah runtuh seperti di bahagian dapur dan bilik air.
20. Membersihkan permukaan dinding dalam yang ditampal dengan surat khabar.
21. Mengecat semua elemen rumah kutai kecuali permukaan lantai termasuk semua butiran ukirannya yang telah kelihatan lusuh.
22. Membersihkan kawasan persekitaran rumah yang dipenuhi semak samun dan menjalankan kerja lanskap untuk mengindahkan kawasan persekitaran.

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa Negeri Perak masih dapat mempertahankan satu bentuk senibina Rumah Melayu Tradisional yang berusia tua, iaitu Rumah Kutai. Saki-baki rumah tersebut yang masih ada kini tidak sampai 100 buah dan semuanya berusia tua antara 80-90 tahun dan ada yang telah menjangkau lebih dari 100 tahun. Umur yang setua ini pada hakikatnya sukar untuk bertahan lebih lama, sekurang-kurangnya antara 10 atau 20 tahun lagi. Jikalau tidak musnah oleh ketuaannya, mungkin ada sebab lain pula ia akan musnah seperti mungkin disebabkan oleh arus pembangunan yang menghimpitkan kawasan persekitarannya. Sehubungan dengan itu satu langkah segera dan berkesan haruslah diambil dalam usaha untuk menyelamatkan senibina Rumah Kutai yang masih kekal ini. Jika tidak kita akan kehilangan satu warisan kebudayaan yang tiada gantinya.

Sebagai penutup kepada laporan Penyelidikan Projek Dokumentasi Rumah Kutai ini, penulis sudahi dengan tiga rangkap pantun:

Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka,
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.

Cantik kembang bunga melati,
Tumbuh sebatang di tepi kota,
Hilang tumbuh patah berganti,
Adat pusaka terpelihara juga.

Sudah roboh Kota Melaka,
Pada cerita terus terbayang,
Senibina Rumah Melayu warisan kita,
Pusaka peninggalan nenek moyang.

(Kumpulan Pantun Melayu, Zainal Abidin Bakar 1994).

RUJUKAN DAN BIBLIOGRAFI

1. Abdul Halim Nasir, 1985. Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia, Darulfikir, Kuala Lumpur.
2. Abdul Halim Nasir, 1988. Rumah Kutai : Satu Warisan Senibina Tertua Di Perak, Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
3. Abdur Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasution, 2003. Raja Bilah And The Mandalings In Perak : 1875 – 1911 Monograph No. 35, MBRAS, Kuala Lumpur.
4. Ahmad Nizam Radzi, 1998. Modern Architecture : The Encyclopedia Of Malaysia Architecture Volume 5, Archipelago Press, Singapore.
5. Azizi Muda, 1988. Sifat Pemilikan Dan Masalah Tanah Di Kampung Titi Gantung Dalam Daerah Perak Tengah, Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
6. Badan Warisan Malaysia, 1990. Handbook Malaysian Architectural Heritage Survey, Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
7. Bernard M. Fielden, 1994. Conservation Of Historic Buildings, Architectural Press, Oxford.
8. Chen Voon Fee, 1998. Introduction : The Encyclopedia Of Malaysia Architecture Volume 5, Archipelago Press, Singapore.
9. Dr Cheah Boon Kheng, 2001. The Encyclopedia Of Malaysia Early Modern History 1800-1940, Archipelago Press, Singapore.
10. Dr. Ahmad Ramly, 2003. Panduan Kerja-Kerja Pemeriksaan Kecacatan Bangunan, Building & Urban Development Institute (BUDI), Kuala Lumpur.
11. Dr. Zulkifli Hanafi, 1996. Pembinaan Bangunan Tradisional Melayu, Amber Solara Publication, Kedah.
12. Edward Mills, 1994. Building Maintenance And Preservation : A Guide To Design And Management, Butterworth – Heinemann, Oxford.
13. Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah, 2001. Spesis-Spesis Kayu Dalam Seni Ukiran Melayu, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
14. Jabatan Rekabentuk Dalaman, 1997. Projek Rumah Angkat, ITM Cawangan Perak, Perak.
15. Ken Yeang, 1992. The Architecture Of Malaysia, The Pepin Press, Amsterdam.
16. Lim Jee Yuan, 1987. The Malay House : Rediscovering Malaysia’s Indigeneous Shelter System, Institute Masyarakat, Penang.
17. Mat Lazim Zakaria, 2001. Bahan Dan Binaan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
18. Mokhtar Haji Ismail, 1992. Rumah Tradisional Melayu Melaka, Persatuan Muzium Malaysia Muzium Negara, Kuala Lumpur.
19. Muhamad Tajuddin Mohamad Rasdi, Kamaruddin Mohd Ali, Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, Ra’alah Mohamad & Gurupiah Mursib, 2004. Warisan Seni Bina Dunia Melayu Rumah-Rumah Tradisional, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
20. Prof. Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, 2004. The Encyclopedia Of Malaysia Early History, Archipelago Press, Singapore.
21. Raja Bahrin Shah Bin Raja Ahmad Shah, 1988. The Terengganu Timber Malay House, Badan Warisan Malaysia, Kuala Lumpur.
22. S. Vlatseas, 1990. A History Of Malaysian Architecture, Longman, Singapore.
23. The National Building Agency, 1983. Building Defects : Diagnosis And Remedy, Construction Press, London.
24. Unit Perundingan Universiti Malaya, 2000. Skop Kerja Konservasi Bangunan Balai Besar Alor Setar Kedah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
25. Wendy Khadijah Moore, 2004. Malaysia A Pictorial History 1400 – 2004, Didier Millet, Kuala Lumpur.
26. Wulf Killmann, Tom Sickinger & Hong Lay Thong, 1994. Restoring & Reconstructing The Malay Timber House, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kuala Lumpur.

2 comments:

  1. akum,
    tau x pasal pantang larang dan konsep mandala dlm senibina?

    ReplyDelete
  2. salam,

    tq sgt2 kerana menyediakan info yg sgt bagus dan menarik. Tapi kalau blh tukar background blog sebab pening la kalau nak baca lama. anyway info ni sangat bagus dan lengkap.

    ReplyDelete