Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 8 Cadangan dan Kesimpulan

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Besejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 8
CADANGAN DAN KESIMPULAN


8.1       Pengenalan
Penyelidikan yang dijalankan ini telah menemui beberapa penemuan yang diharap dapat memberi sumbangan kepada bidang penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town khususnya. Hasil penemuan penyelidikan ini juga diharap dapat memberi gambaran jelas kepada pihak yang terlibat di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Jabatan Warisan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan seperti Unit Konservasi MBMB dan Jabatan Warisan MPPP, Badan Warisan Malaysia dan George Town World Heritage Incorporated tahap penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah sebagai hotel yang telah dilakukan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town khususnya. Hasil daripada penemuan kajian ini diharap dapat menambah baik kerja-kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang akan dilakukan pada masa akan datang.

Daripada penemuan yang diperolehi, penyelidik telah menggariskan beberapa cadangan yang dirasakan boleh membantu Pihak Berkuasa Tempatan, pemilik bangunan bersejarah, pemilik hotel dan juga pihak-pihak yang terlibat dengan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah untuk menambah baik kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang diamalkan di Malaysia selama ini. Cadangan yang dikemukakan secara dasarnya adalah sesuai bagi pihak yang terlibat dengan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah, namun cadangan-cadangan ini juga boleh dijadikan rujukan untuk pelajar, ahli akdemik, masyarakat dan penyelidik yang berminat untuk membuat penyelidikan lanjutan pada masa hadapan.
Cadangan-cadangan yang diberikan diharap dapat membantu semua pihak yang terlibat dengan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah terutamanya pemilik bangunan bersejarah yang merupakan individu paling penting dalam memastikan kejayaan pemuliharaan bangunan bersejarah miliknya. Antara perkara yang perlu dititik beratkan oleh pemilik sebelum kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah dijalankan adalah, perancangan yang teliti bagi kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang akan dijalankan. Perancangan teliti amat penting dilakukan memandangkan kerja penyesuaigunaan yang dilakukan melibatkan berbagai pihak dan garis panduan yang perlu dipatuhi. Pemilik bangunan bersejarah perlu melihat berbagai aspek yang berkaitan dengan bangunan bersejarah yang ingin disuaiguna agar kerja penyesuaigunaan yang dijalankan dapat berjalan seperti yang dirancang dan dalam masa yang sama masih dapat memulihara bangunan bersejarah tersebut.

Pemilik juga perlu melakukan penyelidikan menyeluruh ke atas bangunan bersejarah yang ingin disuaiguna dan dipulihara termasuk menyelidik sejarah seni bina bangunan dan kerja pembinaan asal yang telah dilakukan. Ini amat penting bagi membantu pemilik mengenal pasti had kerja penyesuaigunaan dan kerja pemuliharaan yang perlu dilakukan. Berdasarkan penemuan dari penyelidikan ini pemilik boleh membuat penilaian dengan lebih mendalam kesesuaian fungsi baru bangunan milik mereka untuk disuaiguna sebagai hotel dan boleh melihat dengan lebih terperinci elemen yang telah dikenal pasti sering diubah dan dikekalkan di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah agar boleh diaplikasikan di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang akan dilakukan nanti.

Kedudukan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO memerlukan pemilik memberi penelitian yang lebih kepada prinsip pemuliharaan di dalam kerja penyesuaigunaan yang dilakukan. Sebelum sesuatu kerja dijalankan, pemilik perlu melihat dengan teliti segala garis panduan yang perlu diikuti dan bersedia untuk mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Kegaagalan pemilik untuk mengikuti segala keperluan dan kehendak yang digariskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan akan menyebabkan sesebuah bangunan tidak dipulihara dengan baik dan ini amat merugikan semua pihak.

Selain daripada pemilik bangunan, pihak bertanggungjawab seperti Pihak Berkuasa Tempatan juga merupakan penentu kejayaan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah yang dilakukan. Ia bermula dari peringkat permohonan kerja pengubahsuaian bangunan bersejarah lagi yang mana pada peringkat ini Pihak Berkuasa Tempatan perlu memainkan peranan dengan memberi khidmat nasihat tentang segala perkara yang berkaitan dengan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO. Panel yang bertanggungjawab di dalam memproses permohonan seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Bomba perlulah memastikan permohonan yang dikemukakan mematuhi segala garis panduan yang telah digariskan agar tidak berlaku sebarang masalah dikemudian hari.

Selain daripada khidmat nasihat, Pihak Berkuasa Tempatan juga perlulah memberi galakan dan insentif dengan lebih intensif kepada pemilik bangunan bersejarah yang berminat untuk menyesuaiguna bangunan milik mereka sebagai hotel. Ini bagi memastikan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel dilakukan dengan kadar yang lebih tinggi daripada apa yang ada hari ini dan dilakukan mengikut garis panduan pemuliharaan yang telah disediakan. Terdapat geran penyelenggaraan insentif dan rebet kewangan yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemilik bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town, namun kebanyakan pemilik merasakan geran penyelenggaraan dan rebet kewangan sahaja tidak mencukupi. Pemilik bangunan bersejarah lebih berminat untuk mendapatkan geran kerja penyesuaigunaan berdasarkan pengubahsuaian yang dilakukan berbanding geran penyelenggaraan seperti yang ditawarkan dan rebet kewangan yang tidak mencukupi nilainya. Tanpa modal dan geran yang mencukupi, pemilik terpaksa melakukan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah mengikut keupayaan kewangan yang ada tanpa mengikut garis panduan pemuliharaan sepenuhnya. Secara tidak langsung kerja penyesuaigunaan yang dilakukan tanpa mengikut prinsip pemuliharaan yang sepatutnya telah merosakkan keaslian bangunan bersejarah tersebut.

Selain daripada geran yang ditawarkan, pihak kerajaan dan pihak yang terlibat juga perlu menawarkan khidmat bantuan dari segi pinjaman kewangan dengan kadar faedah yang rendah kepada pemilik bangunan bersejarah yang tidak berkemampuan untuk menyesuaiguna bangunan milik mereka. Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah seringkali memerlukan kos yang agak tinggi apatah lagi untuk menyesuaiguna bangunan bersejarah sebagai hotel. Kebanyakan pemilik persendirian tidak mempunyai modal yang cukup untuk menyesuaiguna bangunan mereka sebagai hotel disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pengurusan untuk menjalankan perniagaan hotel memerlukan modal yang besar terutamanya pada peringkat permulaan perniagaan itu dijalankan. Menyesuaiguna sebuah bangunan bersejarah sebagai hotel warisan memerlukan modal yang lebih tinggi berbanding menyesuaiguna bangunan bersejarah sebagai galeri seni, restoren, pejabat, kedai cenderahati dan sebagainya.

Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat bagi memastikan pemilik bangunan bersejarah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Walaupun terdapat kerja-kerja penguatkuasaan yang telah dilakukan, namun sehingga hari ini ia masih tidak menampakkan kesan yang positif. Masih terdapat lagi pemilik bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town yang mengubahsuai bangunan milik mereka dengan sewenang-wenangnya. Pembinaan, pengubahsuaian dan perobohan bangunan dilakukan tanpa kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan. Malah jika kelulusan diperolehi, seringkali pembinaan yang dilakukan tidak mengikut sepertimana perancangan di dalam permohonan yang diluluskan oleh PBT. Tindakan undang-undang perlu dikuatkuasakan bagi menunjukkan ketegasan pihak bertanggungjawab di dalam isu penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah ini.

Pemeriksaan berkala dan mengejut perlu dilakukan dengan lebih intensif oleh Pihak Berkuasa Tempatan ketika kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan dilakukan bagi memastikan kontraktor mematuhi garis panduan sebagaimana yang telah dipersetujui ketika permohonan kerja penyesuaigunaan dibuat. Pemeriksaan berkala juga perlu dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan selepas bangunan siap disuaiguna bagi memastikan pemilik bangunan bersejarah terus mengikut segala garis panduan pemuliharaan yang ditetapkan. Sekiranya terdapat pemilik yang leka dan tidak lagi mengikut prinsip pemuliharaan selepas kerja penyesuaigunaan dilakukan, notis amaran perlu dikeluarkan sebagai ingatan bahawa perbuatan pemilik adalah salah. Tindakan lebih tegas seperti mengenakan denda bagi pemilik yang degil dan melanggar prinsip pemuliharaan perlu dilakukan dengan berkesan. Sekiranya denda yang dikenakan masih diabaikan, tindakan undang-undang perlu diambil bagi memastikan pemilik mengetahui betapa Pihak Penguatkuasa undang-undang mengambil berat kegagalan pemilik dalam mematuhi peraturan pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu mengambil inisiatif tambahan seperti lebih kerap mengadakan kursus-kursus dan bengkel-bengkel berkaitan penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah kepada pemilik bangunan dan kontraktor yang berminat. Dengan adanya kursus atau bengkel yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ini, akan membantu kebanyakan pemilik bangunan dan kontraktor yang kurang pengetahuan berkaitan kerja baik pulih bangunan bersejarah untuk menaplikasikan kaedah dan prinsip pemuliharaan yang betul di dalam kerja yang dijalankan. Selain daripada itu, kursus dan bengkel ini juga dapat memberi penerangan berkaitan undang-undang kawalan pembangunan dan prosedur permohonan pelan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan lebih jelas. Walaupun terdapat kursus wajib yang dianjurkan bagi melayakkan kontraktor memasuki tender projek pemuliharaan, namun dirasakan kursus wajib tersebut tidak mencukupi bagi kontraktor yang kurang pengetahuan dan pengalaman berkaitan projek pemuliharaan.



8.2       Cadangan Kaedah Penilaian Tahap Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town
Menilai tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel berdasarkan prinsip pemuliharaan merupakan kajian utama penyelidikan ini. Hasil daripada penilaian yang telah dilakukan oleh penyelidik ke atas 35 buah hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town mendapati bahawa hampir separuh daripada hotel yang ada tidak mematuhi prinsip pemuliharaan yang telah digariskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Berikut adalah kaedah penilaian yang telah digunakan bagi penyelidikan ini dan dirasakan sesuai untuk digunakan bagi menilai hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah di tempat lain. Kaedah penilaian yang dicadangkan ini bukan sahaja sesuai bagi bangunan bersejarah yang disuaiguna sebagai hotel tetapi juga boleh digunakan bagi menilai bangunan bersejarah yang disuaiguna dengan fungsi yang lain.

Sebelum penilaian dibuat, penilai perlulah mengetahui dan memahami prinsip-prinsip pemuliharaan asas bangunan bersejarah terutamanya bagi bangunan bersejarah yang terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO. Prinsip-prinsip asas yang perlu diketahui dalam melaksanakan kerja-kerja pemuliharaa adalah empat aspek keaslian seperti mana yang digariskan oleh ‘International Centre for Study on Preservation and Restoration of Cultural Property’ (ICCROM) (1982). Empat aspek yang dimaksudkan ini adalah:
1.     Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan perlulah menggunakan bahan binaan yang serupa dengan yang asal atau mirip bahan binaan asal.
2.     Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan perlulah mengekalkan elemen-elemen reka bentuk bangunan asal.
3.     Kerja pembinaan semula yang dilakukan mestilah serupa dengan kerja binaan dan teknik pembuatan yang asal atau mirip asal
4.     Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan perlulah mengekalkan keaslian dalam susun atur bangunan asal.

Prinsip-prinsip asas merupakan rujukan utama bagi membantu penyelidik di dalam membuat penilaian sama ada penyesuaigunaan yang dilakukan memenuhi prinsip pemuliharaan atau tidak. Bagi penyelidikan ini, penilaian tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah telah dilakukan dengan melakukan penilaian ke atas elemen-elemen bangunan bersejarah yang telah diubahsuai. Berikut adalah elemen-elemen yang telah disenaraikan oleh penyelidik dan digunakan sebagai asas penilaian di dalam penyelidikan ini. Elemen-elemen tersebut adalah seperti:
1.     Fasad hadapan.
2.     Dinding luar.
3.     Dinding dalam.
4.     Lantai bawah.
5.     Lantai atas.
6.     Struktur tiang.
7.     Struktur tangga.
8.     Struktur bumbung.
9.     Pintu.
10.  Tingkap.
11.  Kemasan bumbung.
12.  Kemasan siling.
13.  Kemasan dinding.
14.  Kemasan lantai.
15.  Kemudahan bangunan.
16.  Hiasan seni bina.

Elemen-elemen tersebut hanyalah senarai cadangan. Namun penilai boleh mempertimbangkan untuk menambah atau mengurangkan jumlah elemen yang akan dinilai. Selain daripada prinsip asas yang dinyatakan, terdapat garis panduan tambahan yang digunakan oleh penilai bagi mengenal pasti tahap penyesuaigunaan berdasarkan prinsip pemuliharaan yang telah dilakukan pada setiap elemen. Garis panduan ini disediakan hasil daripada kajian penyelidik ke atas garis panduan yang telah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town dan juga piagam-piagam dunia yang bersesuaian.


Jadual 8.1: Cadangan garis panduan yang boleh digunakan oleh penilai bagi mengenal pasti tahap penyesuaigunaan berdasarkan prinsip pemuliharaan yang telah dilakukan pada setiap elemen.


Elemen


Huraian

1.      Fasad hadapan:


·     Fasad asal hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Perobohan, pengubahsuaian dan penambahan pada fasad hadapan asal tidak dibenarkan.
·     Fasad hadapan sedia ada yang telah diubah suai dari fasad asal perlulah dibina semula mengikut reka bentuk dan bahan binaan asal yang digunakan.
·     Kerja batu, mortar dan plaster asal perlulah dikekalkan dengan sebaik mungkin.
·     Penggantian elemen-elemen yang musnah seperti cornices dan lain-lain hendaklah mengikut ciri-ciri asal sebaik mungkin.
·     Tekstur dan warna hiasan plaster yang asli hendaklah dikekalkan dengan sebaik mungkin.
·     Roller shutter sedia ada yang dipasang pada fasad bangunan perlulah di bawa turun dan diganti dengan sesuatu yang mempunyai reka bentuk dan bahan binaan tradisional.
·     Pintu gelongsor sedia ada dan gril lipat besi atau panel hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Penggantian dengan ‘roller shutter’ baru adalah tidak dibenarkan.
·     Sebarang kerja penambahan yang dilakukan dibenarkan menggunakan bahan binaan moden tetapi perlulah selaras dengan bahan binaan asal dari segi tekstur, profil, warna dan sebagainya.
·     Bagi bangunan tambahan, rekabentuk tradisional atau kontemporari boleh digunakan pada fasad baharu tetapi hendaklah direka bentuk dengan harmoni dan bersatu dengan fasad warisan sedia ada dan persekitarannya.
·     Tidak digalakkan menggunakan cat yang keterlaluan diatas bata atau plaster sedia ada.
·     Elakkan dari menggunakan peralatan mencuci yang kuat sehingga boleh merosakkan fasad hadapan terutamanya pada elemen dekoratif yang rapuh.
2.      Dinding luar:



·     Kerja pembaikan dinding luar perlulah mengikut reka bentuk, bahan binaan dan kaedah pembinaan asal.
·     Sekiranya terdapat ciri-ciri dekoratif asal pada dinding luar, ianya perlu dikekalkan dan dipulihara.
·     Kerja pembinaan semula dinding luar yang rosak atau runtuh perlulah menggunakan bahan binaan tradisional atau yang serupa dengan yang asal.
3.      Dinding dalam:


·     Dinding dalam sedia ada hendaklah dikekalkan dengan sebaik mungkin mengikut susun atur yang asal.
·     Kerja pembaikkan dinding dalam yang rosak perlulah menggunakan bahan binaan tradisional atau yang serupa.
·     Kerja pembaikan dinding dalam adalah dibenarkan tetapi perlulah mengikut reka bentuk, bahan binaan dan kaedah pembinaan asal.
·     Ketinggian setiap dinding dalam hendaklah dikekalkan dan elakkan daripada terbentuknya ‘false ceiling’ di dalam ruang dalam bangunan.
·     Penambahan ruang dalaman hendaklah dielakkan bagi mengelakkan penambahan bahan binaan yang akan memberi tekanan yang berlebihan kepada struktur bangunan.
·     Sekiranya terdapat ciri-ciri dekoratif asal pada dinding dalam, ianya perlu dikekalkan dan dipulihara.
4.      Lantai bawah:


·     Lantai bawah yang pecah hendaklah diganti dengan menggunakan bahan binaan yang serupa atau hampir serupa dengan yang asal.
5.      Lantai atas:


·     Mengekalkan aras lantai sedia ada dan struktur asal termasuk kayu rasuk utama atau rasuk besi-I, gelegar lantai kayu dan kepingan lantai kayu.
·     Mengekalkan dengan sebaik mungkin pelan dan susunatur lantai asal.
·     Penambahan tingkat adalah tidak digalakkan. Sekiranya diperlukan juga, tingkat tambahan ini perlu dianjakkan ke belakang supaya tidak merosakkan skala struktur sedia ada.
·     Pembinaan lantai konkrit dan kemasan lantai baru dibenarkan bagi bangunan tambahan tetapi tekstur, warna dan bahan binaan perlulah sepadan dengan yang asal.
·     Bagi gelegar kayu perlu menggunakan bahan binaan tradisional dari kepingan kayu.
·     Bagi kawasan yang basah seperti tandas dan dapur, lantai konkrit boleh digunakan. Bahan binaan yang sama boleh digunakan.
·     Pembinaan semula lantai atas boleh menggunakan sebarang bahan binaan kecuali konkrit. Pemilihan bahan binaan yang digunakan perlulah serasi dan harmoni dengan struktur sedia ada.
·     Konkrit bertetulang boleh digunakan sekiranya hanya konkrit bertetulang sahaja yang boleh menyelesaikan masalah teknikal yang ada.
6.      Struktur tiang:


·     Bentuk dan corak struktur/ kerektor struktur tiang sedia ada hendaklah dikekalkan sebanyak mungkin.
·     Menggunakan bahan binaan tradisional atau yang serupa.
·     Dilarang memusnahkan dan mengacau ganggu struktur penyokong terutama asas bangunan.
·     Struktur bangunan hanya diperbaiki apabila diperlukan.
·     Kerja pembaikan bagi struktur tiang dibenarkan dibenarkan tetapi perlulah mengikut reka bentuk, bahan binaan dan kaedah pembinaan asal.
·     Kerja merawat dan mengukuhkan kerosakan yang nyata seperti menampal retak, membaiki alang-alang/ penyokong dan sebagainya adalah dibenarkan.
7.      Struktur tangga:


·     Tangga sedia ada perlu dikekalkan kecuali jika strukturnya tidak kukuh.
·     Sekiranya tangga sedia ada perlu ditukar pastikan kerektor dan skalanya dikekalkan.
·     Rekabentuk artistik asal pada selusur tangan perlulah dikekalkan dan diguna semula.
·     Kedudukan dan reka bentuk tangga asal yang sangat halus kerjatangannya perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·     Tangga baru yang dibina menggunakan konkrit bertetulang perlulah dikemaskan dengan kayu termasuk bahagian ‘baluster’ dan ‘balustrade’.
·     Bagi bangunan Tambahan annex, kepelbagaian di dalam susunan dan rekabentuk selusur tangan adalah dibenarkan.
·     Bagi Bangunan Tambahan annex dibenar menggunakan apa jua jenis bahan binaan.
8.      Struktur bumbung:

·     Ciri-ciri asal struktur bumbung hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·     Mengekalkan kecuraman dan bahan struktur bumbung mengikut keadaan yang asal.
·     Apabila menggantikan struktur bumbung, gunakan bahan bumbung yang selaras dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur asli.
·     Tidak digalakkan menggunakan bahan kalis air di bumbung yang tidak selaras dengan warna dan tekstur asal seperti bahan tar.
·     Profil semulajadi, kecuraman, ketinggian, dinding pembahagi dan cucur atap hendaklah dikekal dan dipulihara.
·     Penggantian dengan bumbung rata konkrit tidak dibenarkan.
·     Struktur bumbung perlulah menggunakan struktur kayu termasuk kasau kayu dan ‘purlin’. Kasau kayu ini disokong oleh ‘purlin’ kayu dan rasuk bumbung yang melintang antara dinding pembahagi.
·     Bagi bangunan tambahan, struktur bumbung baru hendaklah dari jenis curam dan sama seperti bumbung asal dari segi warna, tekstur, bahan binaan dan profil.
·     Jika terdapat bumbung jek sediada, ia perlulah dikekalkan. Bumbung jek baru tidak dibenarkan.
·     Penambahan – bumbung jek tidak dibenarkan.
·     Pembinaan ‘skylight’ baru i hanya dibenarkan bagi bangunan kategori II namun bergantung kepada lokasi, kegunaan bangunan dan jumlah keluasan ‘skylight’.
·     Pembinaan ‘dormer window’ baru tidak dibenarkan pada bumbung bangunan.
9.      Pintu:

·     Pintu yang asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·     Baiki kerosakan yang ada pada pintu sepertimana asal.
·     Gantikan bahagian pintu yang tidak dapat dibaiki dengan menitik beratkan saiz dan butiran yang terdapat pada pintu yang asal.
·     Sekiranya pintu perlu ditukar pastikan kerektor dan skalanya dikekalkan.
·     Jangan mengubah perletakan ruang pembukaan pintu.
·     Pengembalian semula pintu perlulah mengikut reka bentuk dan posisi asal.
·     Pastikan corak yang digunakan ringkas atau terjemahan corak semasa dari ciri setempat atau seperti reka bentuk asal.
·     Jangan memasang pintu baru dengan penggunaan bahan yang tidak sesuai dan selaras.
·     Jangan memasang alat penghawa dingin di bahagian rangka pintu.
·     Jangan menutup pintu dengan bidai dan grille keselamatan yang tidak sesuai.
·     Pintu kedua yang baru hendaklah sepadan dengan bukaan pintu yang asal.
·     Pengisi pintu yang mempunyai rekabentuk yang berbagai hendaklah serasi dengan pintu utama.
·     Reka bentuk pintu bagi bangunan tambahan perlu sepadan dengan bangunan yang dipulihara.
10.   Tingkap:

·     Tingkap yang rosak perlu dibaiki seperti tingkap asal.
·     Ciri-ciri dekoratif asal, sekiranya ada perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·     Bahan binaan tradisional atau sama dengan bahan binaan asal sahaja digunakan. Penggunaan bahan binaan moden seperti kerangka logam dan gelas berkaca gelap adalah dilarang.
·     Kerangka utama mestilah dari kayu dan isinya boleh menggunakan kayu atau gelas yang berkaca gelap ringan, berwarna dan kabur.
·     Gantikan tingkap yang tidak dapat dibaiki dengan menitik beratkan saiz dan butiran yang terdapat pada tingkap yang asal.
·     Tingkap yang baru hendaklah sepadan dengan bukaan tingkap yang asal. Pengisi tingkap u yang mempunyai rekabentuk yang berbagai hendaklah serasi dengan pintu utama.
·     Jangan mengubah perletakan ruang bukaan tingkap.
·     Jangan memasang tingkap baru dengan penggunaan bahan yang tidak sesuai dan selaras.
·     Jangan memasang alat penghawa dingin di bahagian rangka / bingkai tingkap.
·     Jangan menutup tingkap dengan bidai dan grille keselamatan yang tidak sesuai.
·     Jangan menutup balkoni dengan tingkap berbingkai aluminium dan kaca.
·     Birai asal pada tingkap Perancis hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·     Penggantian semula elemen yang pecah/ hilang perlulah mengikut rekabentuk dan posisi asal.
·     Tingkap kedua yang baru hendaklah sepadan dengan bukaan tingkap yang asal. Pengisi tingkap yang mempunyai rekabentuk yang berbagai hendaklah serasi dengan tingkap utama.
·     Bahan binaan moden dibenarkan bagi bangunan tambahan tetapi dari sudut tekstur, profil, warna dan sebagainya hendaklah selaras dengan bahan binaan asal, Penggunaan gelas berkaca gelap ringan, berwarna dan kabur adalah dibenarkan.
11.   Kemasan bumbung:

·     Ciri-ciri asal hendaklah dikekalkan dan dipulihara Hanya struktur atau bahagian yang rosak perlu diganti.
·     Mengekalkan kecuraman, ketinggian dan bahan bumbung mengikut keadaan yang asal.
·     menggantikan kemasan bumbung yang telah rosak menggunakan bahan bumbung yang selaras dengan corak asal dari segi saiz, bentuk dan tekstur asal.
·     Tidak digalakkan menggunakan bahan pengkalis air di bumbung yang tidak selaras dengan warna dan tekstur asli seperti bahan tar.
·     Seeloknya menggunakan kemasan bumbung dari jenis ‘terracotta’ sahaja.
·     Penggantian bumbung curam dengan bumbung rata konkrit tidak dibenarkan.
·     Bagi bangunan tambahan, kemasan bumbung hendaklah dari jenis curam dan sama seperti bumbung asal dari segi warna, tekstur, bahan binaan dan profil.
·     Bagi bumbung tradisional bersaiz kecil kemasan bumbung yang digunakan adalah kemasan dengan profil – v, genting tanah liat tidak berkilat dan berwarna semulajadi.
·     Genting tanah liat bertaut dan genting konkrit bertetulang hanya dibenarkan jika bahan binaan asal adalah menggunakan bahan tersebut.
·     Sebarang penggantian genting bumbung tanah liat perlulah serupa atau menggunakan bahan binaan yang lebih kurang serupa dengan mengikut profil dan kecuraman asal.
·     Genting bumbung perlulah sama dengan genting yang digunakan pada bumbung utama. Dinding tepi perlulah padu dan dikemaskan dengan plaster atau kepingan kayu. Material bagi bahagian hadapan dan belakang bukaan perlulah sepadan dengan fasad asal.




12.   Kemasan siling:


·     Rekabentuk siling asal perlulah dikekalkan. Mana-mana ciri-ciri dekoratif asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·     Siling yang pecah perlulah diganti dengan bahan binaan yang serupa atau hampir serupa dengan bahan binaan asal.
·     Seeloknya-eloknya perlulah menggunakan bahan binaan tradisional dari rangka kayu, kepingan kayu atau kepingan plaster. Tidak dibenarkan memasang rangka aluminium atau logam.
13.   Kemasan dinding:

·     Sekiranya terdapat ciri-ciri dekoratif asal, ianya perlu dikekalkan dan dipulihara.
·     Menggunakan bahan binaan tradisional atau serupa dengan yang asal.
·     Hiasan pada dinding dan pintu pagar hendaklah dikekalkan dan dipulihara mengikut saiz asal.
·     Kemasan asal seperti jubin, bata muka atau granolitik perlu dikekalkan dan dipulihara.
·     Dilarang mengecat kemasan asal.
·     Cat, pigmen dan skima warna asal perlu digunakan dalam kerja mengecat.
·     Skima warna atau cat yang digunakan perlulah sepadan dan harmoni dengan bangunan warisan dan jalan persekitaran.
·     Mengekalkan bahan binaan seperti cat ‘lime wash’ bagi bangunan yang sesuai.
·     Bangunan tambahan annex perlu diberikan warna dan kemasan yang sesuai dengan bangunan yang dipulihara abagi melengkapkan bahagian yang dipulihara dan tidak mengurangkan karektor persekitaran.
·     Bangunan tambahan annex, perlu dan digalakkan menggunakan bahan binaan yang sama atau hampir sama.
14.   Kemasan lantai:









·     Kemasan lantai asal perlu dikekalkan.
·     kemasan lantai yang rosak perlu dibaiki dan diganti menggunakan bahan kemasan yang hampir sama dengan bahan asal dari segi warna dan tekstur.
·     Lantai granit asal perlu dikekalkan dan dibiarkan terbuka tanpa ditutup dengan bahan lain.
·     Kerja jubin dan corak susunan kemasan asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
15.   Kemudahan bangunan:
























·     Unit-unit penyaman udara dan ‘antennae’ televisyen mestilah diletakkan secara terlindung.
·     Jangan biarkan kabel dan ‘ductings’ terdedah kepada pandangan awam.
·     Ekzos kipas perlulah diletakkan pada bahagian belakang fasad yang memandang ke arah perkarangan belakang atau jalan belakang.
·     Tidak dibenarkan memasang utiliti atau paip konduit kecuali bagi paip air hujan mengalir turun, pada permukaan dinding kekal.
·     Paip bagi air hujan mengalir turun hendaklah dipasang terus ke parit. Posisi, reka bentuk, warna dan bahan bagi paip air hujan mengalir turun dan longkang perlulah sepadan dan harmoni dengan fasad bangunan.
·     Paip konduit bagi utiliti dan pendingin udara dibenarkan dipasang pada dinding belakang atau telaga udara.
·     Paip pendingin udara hendaklah disalut dan disusun dengan betul dan kemas.
·     Unit pemampat pendingin udara yang dipasang hendaklah seboleh-bolehnya tidak boleh dilihat dari luar. Pemasangan unit pemampat pada fasad hadapan adalah dilarang sama sekali.
·     Struktur tambahan boleh direka bentuk bagi menempatkan unit pemampat pendingin udara.
·     Sekiranya terdapat tangki air, menara penyejuk dan pemasangan luaran lain, maka ianya perlu diletakkan pada tempat yang terlindung dari pandangan awam.
·     Pemasangan lif dibenarkan bagi bangunan yang melakukan penambahan bangunan annex namun aci lif tidak boleh menonjol dari hadapan bumbung sedia ada.
·     Logam pengudaraan digalakkan disalut dengan anod atau warna yang sesuai.
16.   Hiasan seni bina:

·     Mengekalkan dan memulihara ciri-ciri dekoratif asal.
·     Mengekalkan hiasan batu dan plaster yang asal
·     Menggunakan bahan binaan tradisional.
·     Menggantikan elemen-elemen dekoratif yang musnah seperti cornices, ukiran dan lain-lain dengan mengikut ciri-ciri asal sebaik mungkin.
·     Kerja Hiasan batu atau plaster perlu dibersihkan dengan berhati-hati menggunakan tekanan air yang rendah dan berus yang lembut.
·     Mengekalkan dengan sebaik mungkin tekstur dan warna hiasan atau plaster yang asal.
·     Membaiki dan mengganti corak kerja kayu sebaik mungkin dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur.
·     Penyambungan bagi kerja kayu mestilah mengikut corak yang asal.
·     Mengelakkan pencucian yang aggresif seperti ‘sandblasting’ dan penggunaan pencucian kimia.
·     Mengelakkan penggunaan alat kalis air kecuali pada masalah yang spesifik.
·     Mengelakkan penggunaan cat yang keterlaluan diatas bata atau plaster.
Bagi mengetahui tahap penyesuaigunaan yang telah dilakukan, satu penunjuk berdasarkan skala likert telah dibentuk. Tahap penyesuaigunaan dan pemuliharaan akan dinilai berdasarkan peratusan pengubahsuaian yang telah dilakukan.

Jadual 8.2: Petunjuk tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel mengikut elemen bangunan bersejarah yang dikekalkan.

Skala
(Peratus%)
Tahap Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel Mengikut Elemen Bangunan yang Dikekalkan
0%-19%
Tidak memuaskan
20%-39%
Kurang memuaskan
40%-59%
Sederhana memuaskan
60%-79%
Memuaskan
80%-100%
Sangat memuaskan
*Skala Likert.

Penyelidik telah menggunakan formula ringkas berdasarkan jumlah elemen bangunan yang telah dikekalkan dan mengikut prinsip pemuliharaan bagi menentukan peratusan tahap penyesuaigunaan yang dilakukan. Jumlah elemen bangunan bersejarah yang dikekalkan dan diubahsuai menepati prinsip pemuliharaan akan dibahagikan dengan jumlah keseluruhan elemen yang dinilai dan di darabkan dengan seratus bagi mendapatkan peratusan tahap penyesuaigunaan yang telah dilakukan oleh hotel tersebut. Contoh formula yang dicadangkan adalah sepertimana yang ditunjukkan dibawah.



Jumlah elemen yang dikekalkan dan diubah suai mengikut prinsip pemuliharaan
____________________________________________________________________   x 100

Jumlah elemen keseluruhan

 
 






Rajah 8.1: Contoh formula menentukan peratusan tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel mengikut elemen bangunan yang dikekalkan dan diubah suai mengikut prinsip pemuliharaan.

Manakala contoh pengiraan dan keputusannya adalah seperti mana yang ditunjukkan dibawah.


(Jumlah elemen yang dikekalkan dan diubahsuai mengikut prinsip pemuliharaan)
14 elemen
__________________________________________________________________ x 100

16 elemen
(Jumlah elemen keseluruhan)

Keputusan = 87.5%
(Sangat Memuaskan = 80-100%)

 
 












Rajah 8.2: Contoh pengiraan peratusan tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel mengikut elemen bangunan yang dikekalkan dan dan diubah suai mengikut prinsip pemuliharaan serta keputusannya.

8.3       Cadangan Penyelidikan Lanjutan
Sepanjang penyelidikan dijalankan, penyelidik mendapati bahawa terdapat pelbagai penyelidikan lanjutan berkaitan topik penyesuaigunaan bangunan bersejarah boleh dilakukan. Penyelidikan lanjutan boleh dibuat dari sudut dan perspektif berbeza dengan menjurus ke bidang teknologi, ekonomi, pengurusan, perundangan dan kemasyarakatan. Penyelidikan lanjutan boleh dilakukan oleh penyelidik lain dengan menyambung penyelidikan yang telah dijalankan atau pun melihat topik yang sama tapi dengan fokus dan pendekatan berbeza. Antara cadangan penyelidikan lanjutan yang dirasakan sesuai dijalankan adalah:

8.3.1       Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
Penyelidikan yang dijalankan sebelum ini telah melihat secara terperinci bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel. Namun begitu, terdapat berbagai fungsi lain yang boleh dilihat dan dilakukan kajian oleh penyelidik. Penyelidikan boleh dilakukan dengan melihat setiap satu fungsi yang boleh diadaptasi oleh bangunan bersejarah dan menyediakan garis panduan kesesuaian fungsi berdasarkan bangunan bersejarah sedia ada dengan merujuk kepada lokasi sesebuah bangunan tersebut. Terdapat pelbagai pilihan fungsi bangunan yang boleh dipilih oleh pemilik bangunan. Namun daripada pelbagai fungsi yang ada, pemilik perlulah benar-benar memahami kesesuaian fungsi baru yang dipilih.

Hasil penyelidikan yang dilakukan boleh digunakan oleh pihak yang terlibat terutamanya pemilik bangunan bersejarah untuk memikirkan kesesuaian fungsi baru bagi bangunan milik mereka tanpa melanggar prinsip pemuliharaan, seterusnya dapat memastikan bangunan milik mereka terus digunakan. Penyelidikan yang dijalankan juga boleh dilakukan dengan skop yang lebih luas iaitu dengan melihat pada bangunan bersejarah yang terdapat di seluruh negara berbanding dengan penyelidikan sebelum ini yang hanya tertumpu kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town sahaja.

8.3.2    Pendekatan Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town
Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan kerja yang berlainan sama sekali dengan kerja pembinaan bangunan baru. Ia melibatkan berbagai pihak dan bidang kepakaran. Begitu juga dengan proses perlaksanaan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah itu sendiri. Sering terjadi projek penyesuaigunaan bangunan bersejarah mengalami masalah ketika kerja sedang dijalankan. Ini menimbulkan banyak rasa tidak puas yang mana akhirnya menyebabkan projek tersebut terbengkalai dan kerja penyesuaigunaan dan terus terhenti begitu sahaja. Perancangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan perjalanan kerja penyesuaigunaan berjalan lancar dan seterusnya bangunan bersejarah berjaya dipulihara sebagaimana dirancang.

Penyelidikan boleh dilakukan dengan melihat kepada kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan sebelum ini. Fokus boleh diberi sama ada kepada jenis bangunan tertentu atau pun ke atas semua jenis bangunan bersejarah yang ada. Begitu juga dengan kawasan penyelidikan, sama ada dilakukan bagi bangunan bersejarah yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town sahaja atau ke seluruh negara. Kajian lapangan seperti soal selidik dan temuramah perlu dilakukan bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak yang terlibat dengan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebelum ini. Setiap peringkat kerja penyesuaigunaan perlu diteliti dan dikaji seterusnya penemuan bagi penyelidikan perlu dihasilkan dalam bentuk satu panduan perancangan kerja penyesuaigunaan. Panduan yang terhasil boleh dijadikan rujukan bagi semua pihak yang terlibat dalam bidang penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah.

8.3.3       Analisa Kos ke atas Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town
Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town merupakan kerja yang rumit kerana melibatkan berbagai garis panduan yang perlu diikuti. Sebelum sesuatu kerja penyesuaigunaan dilakukan, segala maklumat terperinci berkenaan bangunan bersejarah tersebut juga perlu diperolehi bagi memastikan bangunan bersejarah tetap terpulihara walaupun kerja penyesuaigunaan dilakukan. Kerumitan yang dilalui sering menyebabkan kos penyesuaigunaan sebuah bangunan bersejarah lebih tinggi berbanding dengan kos pembinaan sebuah bangunan baru. Kos yang perlu dikeluarkan bagi kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan sesuatu yang subjektif namun sering menjadi penyebab yang mengekang perlaksanaan sebuah projek berjalan dengan lancar. Walau bagaimana tinggi pun kos yang terpaksa dikeluarkan namun kerja penyesuaigunaan harus dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah warisan negara terus digunakan dan dalam masa yang sama masih terpulihara.

Penyelidikan ke atas analisa kos boleh dilakukan berdasarkan elemen bangunan yang telah disenaraikan pada penyelidikan ini. Selain daripada itu, kajian terperinci juga boleh dilakukan dengan mengenalpasti elemen yang sering memerlukan peruntukan yang tinggi di dalam penyesuaigunaan sesebuah bangunan bersejarah. Kajian kes boleh dilakukan ke atas beberapa projek pemuliharaan dan penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang telah siap dilaksanakan. Hasil daripada penyelidikan ini boleh digunakan sebagai asas bagi mengenalpasti kos yang terlibat di dalam kerja penyesuaigunaan sesebuah bangunan bersejarah samada yang disuaiguna sebagai hotel atau tidak
Cadangan penyelidikan lanjutan yang diutarakan hanyalah beberapa cadangan yang dirasakan sesuai untuk dilakukan oleh penyelidik lain. Namun begitu, terdapat pelbagai pilihan skop penyelidikan yang mempunyai kesinambungan dengan tajuk yang telah dijalankan boleh dilakukan oleh penyelidik yang berminat. Diharap penyelidikan yang telah dijalankan ini dapat membuka minda dan memberi inspirasi kepada lebih ramai penyelidik untuk menjalankan penyelidikan berkaitan penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan UNESCO Melaka dan George Town khususnya dan Malaysia amnya.

8.4       Kesimpulan
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan satu fenomena yang masih baru di Malaysia. Namun begitu, pendekatan penyesuaigunaan bangunan bersejarah semakin mendapat tempat di hati masyarakat hari ini. Ia sesuatu yang harus dibanggakan kerana bukanlah sesuatu yang mudah untuk memastikan bangunan bersejarah sedia ada terus digunakan dan berdiri kukuh sebagaimana asalnya. Hari ini, semakin banyak pihak yang mula sedar kelebihan melakukan penyesuaigunaan ke atas bangunan bersejarah dan mula berminat dengan mengambil inisiatif untuk menyesuaiguna bangunan bersejarah dengan berbagai fungsi kegunaan.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO sebenarnya tidak terhad hanya dengan menyesuaiguna bangunan bersejarah sebagai muzium atau galeri, malah berbagai fungsi bangunan lain boleh dipertimbangkan seperti menyesuai bangunan bersejarah sedia ada sebagai restoren, kedai cenderahati, pejabat dan institusi pendidikan. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan antara kaedah terbaik di dalam memastikan bangunan bersejarah boleh terus digunakan tanpa perlu melakukan pembinaan baru. Selain daripada dapat memastikan bangunan bersejarah terus terpulihara, penyesuaigunaan juga dapat memastikan bukti sejarah yang tersirat pada sesebuah bangunan bersejarah terus berdiri teguh dan menjadi kebanggaan dan tatapan generasi hari ini.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town merupakan satu pilihan yang bijak memandangkan Melaka dan George Town merupakan pusat tumpuan ramai pelancong selepas diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Namun kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel Di Tapak warisan Dunia UNESCO bukanlah suatu perkara mudah kerana terdapat peraturan dan peruntukan undang-undang yang perlu dipatuhi sepanjang kerja penyesuaigunaan dilakukan terutamanya bagi bangunan bersejarah yang terletak di dalam zon pemuliharaan. Kesemua bangunan bersejarah di zon pemuliharaan telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang digubal bagi memastikan bangunan bersejarah dipulihara dari dirosakkan atau diubah dengan sewenang-wenangnya. Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kedua-dua buah tapak warisan dunia ini juga mempunyai peraturan dan garis panduan yang telah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing bagi memastikan keseluruhan bangunan bersejarah yang terletak di dalam zon pemuliharaan terpulihara dengan sebaiknya. Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang dilakukan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town perlulah mengikut peraturan dan garis panduan yang telah disediakan disamping mematuhi prinsip pemuliharaan yang telah digariskan bagi memastikan bangunan bersejarah benar-benar terpulihara sebagaimana bangunan asalnya.

Kegagalan didalam mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan di dalam menjalankan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah boleh memberi impak yang buruk ke atas Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town dan ini akan merugikan pelbagai pihak. Hasil penilaian yang telah dijalankan mendapati bahawa hampir sebahagian daripada hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town tidak berjaya memenuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan. Ini sesuatu yang sangat mendukacitakan dan satu langkah drastik perlu dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah yang disuaiguna tetap dipulihara dengan baik.

Bangunan bersejarah merupakan antara elemen penting yang membentuk keunikan di kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Jika penyesuaigunaan bangunan bersejarah dilakukan tanpa mematuhi prinsip pemuliharaan yang sepatutnya, ia akan rosak, pupus dan sedikit demi sedikit akan mengurangkan keunikan yang ada, seterusnya menjadikan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town kehilangan sesuatu yang amat berharga. Secara tidak langsung ia juga akan menggugat pengiktirafan yang telah diterima daripada UNESCO. Bangunan bersejarah yang dipulihara dengan baik dan disuaiguna bagi memenuhi keperluan industri pelancongan seperti hotel merupakan satu kaedah terbaik bagi memastikan bangunan bersejarah terus terpulihara.

Kebanyakan hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah mempunyai reka bentuk seni bina yang unik dan menarik. Kehalusan seni binanya berlainan sekali dengan seni bina bangunan-bangunan moden yang ada hari ini. Kebanyakannya mempunyai reka bentuk seni bina yang tersendiri disertai dengan ukiran yang cantik dan kemasan yang berwarna warni. Seni bina sesebuah bangunan juga sering dikaitkan dengan kepercayaan pemilik bangunan, sejarah pemerintahan dan perdagangan yang berlaku satu ketika dulu. Secara tidak langsung, hotel yang terhasil daripada bangunan bersejarah mempunyai keunikan tersendiri yang sukar diperolehi pada bangunan-bangunan hotel yang dibina hari ini. Walaupun penyesuaigunaan bangunan bersejarah digalakkan untuk dilakukan dengan pesat di Tapak Warisan Dunia UNESCO namun usaha pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town perlu terus dilakukan secara konsisten bagi mengekalkan pengiktirafan yang telah diterima. Pengiktirafan ini secara tidak langsung telah membantu mempromosikan negara pada dunia luar. Lebih ramai pelancong dari luar negara berminat untuk datang melihat sendiri keunikan bandar Melaka dan George Town setelah kedua buah bandar tersebut dimasukkan ke dalam peta Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Penyelidikan ini diharap dapat memberi kesedaran dan sumbangan dalam mengembangkan ilmu pengetahuan berkaitan penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town khususnya dan Malaysia amnya. Penyelidikan ini juga diharap dapat membantu pihak-pihak yang terlibat di dalam kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, pemilik bangunan bersejarah, kontraktor dan perunding di dalam menjalankan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah pada masa hadapan.

No comments: