Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 6 Kajian Kes Rumah Agam Cheong Fatt Tze dan Hutton Lodge di Tapak Warisan Dunia George Town

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 6
KAJIAN KES: RUMAH AGAM CHEONG FATT TZE DAN HUTTON LODGE DI TAPAK WARISAN DUNIA GEORGE TOWN


6.1       Pengenalan
Seperti mana kajian kes di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka, dua buah hotel bercirikan warisan telah dipilih sebagai kajian kes di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Hotel yang dipilih adalah Rumah Agam Cheong Fatt Tze dan Hutton Lodge yang mana kedua-duanya terletak di zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kajian kes telah dilakukan secara menyeluruh daripada latar belakang kedua buah hotel sehinggalah kepada keadaan hotel hari ini. Hasil daripada kajian kes yang dijalankan telah memberi gambaran yang lebih jelas tentang kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas kedua buah hotel tersebut.

6.2       Kajian Kes 3: Rumah Agam Cheong Fatt Tze, George Town
Rumah agam berwarna biru nila yang tersergam indah di No.14, Jalan Leith merupakan salah satu bangunan bersejarah yang menjadi tarikan ramai pelancong untuk datang ke George Town. Satu ketika dulu rumah agam ini merupakan antara rumah yang terkenal di Asia Tenggara kerana keunikan dan kehalusan kerja pertukangan pada hiasan seni binanya. Kombinasi seni bina timur dan barat menjadikan rumah agam ini bukan sahaja nampak menarik malah mempunyai keistimewaan sendiri jika dibandingkan dengan bangunan lain yang ada di sekitarnya. Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan rumah agam ini sebagai sebuah hotel butik telah menghidupkan kembali rumah yang satu ketika dulu pernah terbiar tanpa dipedulikan oleh sesiapa.


Gambar 6.1: Pandangan hadapan Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang terletak di No.14, Lebuh Leith, George Town, Pulau Pinang.

Rumah agam yang telah lama ditinggalkan oleh keluarga Cheong Fatt Tze ini telah dibeli oleh Laurence Loh seorang Akitek berbangsa Cina bersama isterinya Lin Lee Loh-Lim. Mereka merupakan pasangan yang sangat menghargai Rumah Agam Cheong Fatt Tze sehingga sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memperbaiki dan memulihara rumah agam ini. Usaha tersebut tidak sia-sia, kerana hari ini rumah agam berwarna biru nila ini telah dikenali oleh kebanyakan pencinta warisan, masyarakat tempatan malah pelancong dari dalam dan luar negara. Pada 2000, Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah menerima penganugerahan ‘Asia-Pasific Heritage Award for Culture Heritage Conservation’ daripada UNESCO. Anugerah ini adalah sebagai pengiktirafan ke atas kerja-kerja pemuliharaan yang telah dilakukan (Penang Heritage Trust, 2006c). Rumah agam ini telah dikategorikan sebagai Bangunan Warisan Kategori I oleh MPPP berdasarkan kriteria-kriteria yang terdapat pada bangunan bersejarah ini (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008a).


Gambar 6.2: Kerja-kerja pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze ini telah dilakukan dengan amat baik sekali sehingga mendapat pengiktirafan dan penganugerahan dari badan dunia seperti UNESCO.

Selain menawarkan bilik penginapan dan ruang untuk keramaian, Rumah Agam Cheong Fatt Tze juga dibuka untuk lawatan kepada umum dengan bayaran RM12.00 seorang. Lawatan ini akan diiringi oleh seorang pemandu pelancong yang memberi penerangan tentang sejarah dan reka bentuk seni bina rumah agam. Lawatan ini sangat berbaloi untuk disertai memandangkan rumah agam ini telah melalui satu proses penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang sangat menakjubkan.

6.3       Latar Belakang Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah agam ini telah didirikan oleh Cheong Fatt Tze yang juga dikenali sebagai Chang Pi Shih atau Thio Tiaw Siat. Beliau yang berasal dari China, pada asalnya merupakan seorang anak muda yang miskin. Atas semangat untuk mengubah nasib dirinya, beliau telah mengembara ke Nanyang pada tahun 1956. Di Nanyang, beliau telah melakukan berbagai pekerjaan, antaranya adalah sebagai pengangkat air sungai. Beliau telah berkahwin dengan anak seorang pedagang dan ini secara tidak langsung membantu mengubah kehidupan beliau. Cheong Fatt Tze telah menceburkan diri di dalam berbagai bidang yang mana selain bidang perniagaan, beliau juga menceburkan diri di dalam bidang dasar ekonomi dan politik dunia. Ketokohan beliau amat dikagumi oleh orang ramai sehingga Kerajaan China mengiktiraf beliau sebagai antara tokoh yang disegani. Selain di Nanyang, Cheong Fatt Tze telah mengembangkan perniagaannya ke rantau Asia, sehingga membawa beliau ke Pulau Pinang. Beliau telah menjalankan perniagaan bijih timah dan getah bukan setakat di Pulau Pinang malah di sekitar Malaya. Hasil usaha beliau, perniagaannya berkembang maju sehingga mampu melebarkan sayapnya ke Singapura (Lim, 2007).

Sewaktu beliau menetap di Pulau Pinang bermulalah sejarah pembinaan Rumah Agam Cheong Fatt Tze. Antara tujuan utama beliau membina rumah agam yang berwarna biru nila, bertiang merah dan beratap hijau ini adalah bagi menunjukkan kepada umum kedudukannya sebagai seorang konsul yang berpengaruh di Pulau Pinang dan Singapura ketika itu. Di rumah agam ini beliau telah tinggal bersama tiga daripada lapan orang isteri dan anak-anaknya. Disini jugalah tinggalnya isteri ketujuh beliau yang merupakan isteri yang paling disukainya. Beliau mempunyai ramai anak hasil daripada lapan perkahwinannya, namun oleh kerana terlalu ramai, beliau hanya mengiktiraf anak-anak yang dikenalinya sahaja. Berhadapan dengan rumah agam, beliau telah membina sederet rumah bagi pekerja-pekerjanya kerana beliau percaya ia akan memberi kebaikan tertentu mengikut kepercayaan ‘feng shui’ (Lim, 2007).

Cheong Fatt Tze telah meninggal dunia pada 11hb. September 1916 di Jakarta kerana penyakit pneumonia. Pihak berkuasa British dan Belanda telah mengarahkan agar bendera dipasang separuh tiang bagi menghormati kematian Cheong Fatt Tze ketika itu. Mayatnya telah dibawa belayar ke Pulau Pinang, kemudian ke Singapura, seterusnya ke Hong Kong sebelum di bawa dan di tanam di China (Lim, 2007).


Gambar 6.3: Deretan lima buah rumah pekerja yang terletak berhadapan dengan Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.4       Reka Bentuk Luaran Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah agam ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu rumah utama dan sayap di bahagian kiri dan kanan rumah. Reka bentuk rumah utama adalah mengikut reka bentuk seni bina rumah agam Hakka Teochew. Rumah agam ini menampilkan bumbung tebar layar yang direka bentuk mengikut elemen asas ‘feng shui’ iaitu besi, kayu, air, api dan tanah. Reka bentuk Rumah Agam Cheong Fatt Tze juga mempunyai pengaruh reka bentuk seni bina ‘eclectic’ yang banyak digunakan pada akhir abad ke 19. Ketika inilah keagungan dan keistimewaan empayar Cina mula menyerlah di negeri jajahan British terutamanya di Tanah Melayu. Selain daripada reka bentuk, hiasan yang menghiasi persekitaran rumah agam ini juga menunjukkan karektor yang tersendiri yang banyak dipengaruhi oleh budaya masyarakat Cina. Gabungan seni bina rumah agam ini melambangkan minat Cheong Fatt Tze pada seni bina barat dan kedudukannya sebagai Konsul China yang berpengaruh (Khoo Salma Nasution dan Halim Berbar, 2009).


Gambar 6.4: Reka bentuk Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang unik lagi menarik mengambil konsep reka bentuk seni bina rumah agam puak Hakka Teochew.


Rajah 6.1: Lukisan pelan asal pandangan arah sisi belah timur (atas) dan keratan A-A (bawah) Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
Sumber: Lim (2007).

Rajah 6.2: Lukisan pelan asal pandangan arah hadapan belah selatan (atas) dan keratan B-B (bawah) Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
Sumber: Lim (2007).


Selain daripada kelainan pada reka bentuk yang terdapat pada rumah agam ini, seni hiasan tampalan pecahan porselin yang menghiasi dinding luar rumah agam ini juga merupakan antara keistimewaan rumah agam berkenaan yang jarang terdapat pada rumah agam lain. Dinding luar rumah agam telah dihiasi dengan seni tampalan porselin yang dikenali sebagai ‘Chien Nien’ yang banyak digunakan oleh penduduk Fujian dan Teochew di China. Pecahan porselin ini direka bentuk dan ditampal dengan bentuk tumbuh-tumbuhan seperti bunga, binatang seperti naga, kuda, singa dan ikan dan corak-corak yang melambangkan tradisi kaum Cina. Kehalusan tampalannya sangat indah sehingga sukar untuk dipercayai bahawa ianya ditampal satu persatu oleh tukang yang dibawa khas dari China. Tampalan porselin yang berwarna warni ini telah menyerlahkan Rumah Agam Cheong Fatt Tze dari jauh lagi (Khoo Salma Nasution dan Halim Berbar, 2009).


Gambar 6.5: Tampalan pecahan porselin berwarna warni dengan corak bermotifkan burung pada bahagian dinding luar Rumah Agam Cheong Fatt Tze memberikan kelainan dan keunikan pada rumah agam ini.

Kaki lima di sekeliling rumah agam menggunakan kemasan lantai berwarna ‘terracotta’ seperti mana yang telah digunakan dikebanyakan lantai di dalam rumah. Kemasan lantai yang digunakan memberi rasa semula jadi dan mengimbangi warna biru nila yang telah digunakan pada dinding luar rumah agam. Manakala bagi lantai di halaman rumah, kepingan batu granit telah digunakan sebagai kemasan lantai. Bagi menambah keunikan di bahagian luar rumah agam ini, pemilik telah meletakkan dua buah beca yang diperolehi daripada Muzium Hanoi sebagai hiasan yang menghiasi halaman hadapan rumah agam. Perhiasan ini dirasakan amat unik kerana pemilik menghias bahagian luar hotel butik dengan menggunakan sesuatu yang mempunyai ciri-ciri budaya dan warisan sebagai perhiasan rumah agam mereka.


Gambar 6.6: Kaki lima di bahagian hadapan Rumah Agam Cheong Fatt Tze dihiasi dengan beca yang diperolehi daripada Muzium Hanoi yang pernah digunakan di dalam filem ‘Indochina’ yang turut dirakamkan di perkarangan rumah agam ini suatu ketika dahulu.

6.5       Reka Bentuk Dalaman Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah Agam Cheong Fatt Tze merupakan sebuah rumah agam yang dibina dengan luas bagi menampung ahli keluarga yang ramai. Rumah agam ini mempunyai 20 buah bilik tetapi hanya 16 buah bilik sahaja yang dibuka untuk kegunaan sebagai hotel butik manakala 4 buah bilik lagi digunakan sebagai bilik pameran sejarah Rumah Agam Cheong Fatt Tze. Terdapat 2 ruang di bahagian belakang rumah yang digunakan sebagai ruang dapur bagi kegunaan memasak.


Gambar 6.7: Salah satu ruang dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang telah diubah suai menjadi bilik penginapan.

Rumah Agam Cheong Fatt Tze mempunyai lima ruang telaga udara yang mana kedudukan telaga udara ini direka bentuk mengikut kepercayaan ‘feng shui’ bagi membenarkan kemasukan ‘yin’ dan ‘yang’. Di ruang telaga utama yang terdapat di tengah-tengah bahagian rumah, terdapat empat batang tiang besi yang bercirikan reka bentuk seni bina Inggeris. Tiang ini diperbuat daripada besi tempa yang ditempah khas daripada Scotland. Bahagian atas tiang ini dipenuhi dengan corak unik di mana kebanyakkannya adalah berbentuk bunga-bungaan dan burung-burung kecil. Selain daripada itu, susur tangan di tingkat atas bahagian telaga udara juga diperbuat daripada besi tempa bercorak. Keupayaan pemilik rumah menggunakan besi tempa bercorak yang mahal menunjukkan kekayaan dan pengaruh yang dimiliki beliau ketika itu.


Gambar 6.8: Salah satu ruang telaga udara yang terdapat di dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

Konsep hiasan dalaman rumah agam ini juga mengekalkan ciri-ciri tradisi masyarakat Cina. Ia secara tidak langsung menggambarkan keistimewaan rumah ini daripada reka bentuk seni bina, hiasan dalaman, budaya dan warisan yang ditonjolkan.


Gambar 6.9: Hiasan dalaman di Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisi masyarakat Cina begitu terserlah sekali.

Rajah 6.3: Lukisan pelan asal lantai aras tingkat bawah Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang menunjukkan keseluruhan ruang yang tedapat di dalamnya.
Sumber: Lim (2007).


Rajah 6.4: Lukisan pelan asal lantai aras tingkat satu Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang menunjukkan keseluruhan ruang yang tedapat di dalamnya.
Sumber: Lim (2007).
6.6       Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah agam ini telah lama terbiar ditinggalkan sebelum Akitek Laurence Loh dan isterinya mengambil keputusan membeli seterusnya melakukan kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan ke atas rumah agam ini. Kerja-kerja pemuliharaan rumah ini telah mula dijalankan pada tahun 1991 dan siap sepenuhnya pada tahun 1997. Ia bagaimana pun mula dibuka sebagai hotel butik secara rasminya pada tahun 2001. Kerja pemuliharaan telah dilakukan secara menyeluruh ke atas rumah agam ini. Banyak elemen utama telah dikekalkan memandangkan kebanyakannya masih berada dalam keadaan elok dan kuat lagi. Bagi memberi wajah baru dan menambah seri rumah agam ini, ia telah dicat semula dengan menggunakan warna biru nila seperti mana warna asal yang digunakan oleh Rumah Agam Cheong Fatt Tze (Penang Heritage Centre, 2006).


Gambar 6.10: Penggunaan warna biru nila seperti mana warna cat asal telah dikekalkan pada Rumah Agam Cheong Fatt Tze dan ianya telah menjadikannya begitu unik dan tersendiri berbanding dengan rumah-rumah agam lain yang terdapat di sekitar George Town.


Pintu pagar utama rumah agam in masih dikekalkan sebagaimana bentuk asalnya. Pintu pagar ini mempunyai bumbung yang menyerupai bumbung kebanyakan rumah ibadat agama Buddha. Pintu pagar kedua juga tidak dilakukan sebarang perubahan, namun ia ditutup kepada orang awam sebagai langkah keselamatan.


Gambar 6.11: Pintu pagar dan laluan masuk utama yang terletak di sebelah kiri halaman Rumah Agam Cheong Fatt Tze ini telah dikekalkan sebagaimana asal.

Bahagian bumbung yang menjadi lambang keunikan Rumah Agam Cheong Fatt Tze merupakan antara elemen yang sangat dititik beratkan di dalam kerja pemuliharaan. Genting Cina telah dikekalkan dalam kerja pemuliharaan yang telah dilakukan. Selain daripada itu, kerja pemuliharaan juga dilakukan ke atas tampalan pecahan porselin di bahagian dinding. Bagi memastikan keaslian tampalan seperti mana asal, seramik-seramik telah dibawa khas daripada China. Pecahan porselin bagi tampalan ini sebenarnya terhasil daripada pecahan pinggan mangkuk yang berwarna warni. Ia kemudiannya ditampal mengikut kesesuaian warna bagi membentuk corak sebagaimana corak asal.



Gambar 6.12: Tampalan pecahan porselin berwarna warni pada bahagian dinding luar Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah dilakukan dengan begitu teliti.

Selain daripada tampalan pecahan porselin, terdapat juga elemen hiasan lain yang telah dipulihara. Antaranya ialah dua panel kayu berukir bersalut emas yang terdapat di tingkat bawah dan atas rumah agam ini. Panel kayu ini mempunyai ukiran yang halus dan bercirikan corak tradisi Cina. Secara tidak langsung ia menambah elemen ketimuran atau ‘oriental’ di rumah agam ini.


Gambar 6.13: Panel kayu bersalut cat emas yang digunakan sebagai dinding pembahagi di tingkat atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih dikekalkan sehingga kini.
Elemen lain yang banyak dikekalkan di rumah agam ini ialah pintu dan tingkapnya. Kebanyakkan pintu yang ada adalah diperbuat daripada kayu dan mempunyai saiz yang agak besar. Kayu-kayu ini sangat bermutu tinggi memandangkan sehingga ke hari ini ia masih elok digunakan lagi. Saiz pintunya yang besar secara tidak langsung membenarkan kemasukan udara dan cahaya yang lebih ke dalam rumah agam ini. Aksesori yang digunakan di pintu-pintu ini merupakan aksesori sedia ada di pintu-pintu tersebut. Antara aksesori yang banyak digunakan ialah tombol pintu yang diperbuat daripada besi. Terdapat juga pintu yang ditampal dengan lukisan berupa tulisan Cina di pintu-pintu tersebut. Ia secara tidak langsung menambah lagi keunikan pintu kayu sedia ada disamping memperkayakan lagi penerapan tradisi timur di rumah agam tersebut.


Gambar 6.14: Pintu kayu sebelah kiri bangunan yang ditutup dari kegunaan umum juga merupakan pintu asal yang masih dikekalkan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.




Terdapat dua jenis tingkap yang digunakan di rumah agam ini. Namun gabungan kedua jenis tingkap inilah yang menambah keunikan reka bentuk seni bina rumah agam ini. Jenis daun tingkap yang digunakan juga adalah berbeza iaitu menggunakan kayu laras dan panel kaca. Tingkap- tingkap yang terdapat di rumah agam ini kebanyakannya telah mengalami kerosakan, namun ia telah dibaik pulih dengan sebaik mungkin bagi memastikan ia dapat terus digunakan.


Gambar 6.15: Tingkap laras kayu dengan reka bentuk ‘gothic’ yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.





Gambar 6.16: Tingkap berkerangka kayu dengan panel kaca berwarna dan bercorak yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.


Terdapat dua jenis tangga di dalam rumah agam Cheong Fatt Tze iaitu tangga pusing dan tangga biasa. Tangga pusing yang terdapat di sudut rumah diperbuat daripada besi tempa bercorak yang sukar ditemui di rumah agam lain ketika itu. Ia terus dipulihara walaupun kurang digunakan lagi. Manakala tangga kayu yang terletak di ruang tengah rumah agam juga merupakan tangga asal dan ia telah dibaik pulih untuk terus digunakan sebagai tangga utama. Susur tangan tangga ini juga dibuat berukir di mana secara tidak langsung menambah nilai seni bina pada rumah agam ini.


Gambar 6.17: Tangga kayu yang menjadi penghubung bahagian atas dan bawah di Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih mengekalkan reka bentuk asal.

Jubin kemasan lantainya masih mengekalkan jubin kemasan lantai asal. Bahagian yang rosak telah diganti dengan kemasan yang baru tetapi masih dengan warna, bahan binaan dan corak yang sama. Jubin kemasan lantai yang bercorak ini sukar ditemui lagi dipasaran hari ini. Kebanyakan jubin kemasan lantai ini bercorak geometri dan berwarna warni. Begitu juga dengan kepingan kemasan siling yang masing menggunakan kemasan siling asal yang diperbuat daripada kepingan kayu. Kepingan kemasan siling ini juga dihiasi dengan corak geometri di mana secara tidak langsung ia memberi keserasian kepada jubin kemasan lantai di bahagian bawahnya.

Sepanjang proses penyesuaigunaan dan pemuliharaan dilakukan, pemilik rumah agam ini telah memastikan kerja-kerja yang dilakukan menepati prinsip-prinsip pemuliharaan. Ini bagi memastikan rumah agam ini kembali kepada keadaan asalnya seperti satu ketika dulu. Bahan binaan yang digunakan telah ditempah khas seperti mana bahan binaan asal. Bagi memastikan keasliannya terjaga, kebanyakan bahan binaannya terpaksa diimport daripada China dan Scotland. Walaupun banyak wang terpaksa dikeluarkan dalam merealisasikan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan Rumah Agam Cheong Fatt Tze, namun ia dirasakan amat berbaloi kerana rumah agam ini mempunyai banyak keistimewaan dan menyimpan banyak sejarah tersendiri.


Gambar 6.18: Antara sebahagian daripada peralatan pertukangan dan bahan binaan yang digunakan ketika kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze ini telah direkod dan dipamerkan di ruang galeri yang terdapat dalam rumah berkenaan.

Bagi memastikan Rumah Agam Cheong Fatt Tze dapat digunakan sebagai sebuah hotel, kerja penyesuaigunaan telah dilakukan ke atas rumah agam ini. Tidak banyak elemen yang terpaksa diubah memandangkan rumah agam ini menawarkan jumlah bilangan bilik berdasarkan bilik sedia ada di rumah agam tersebut. Berikut adalah senarai elemen yang telah diubahsuai bagi memastikan rumah agam ini dapat berfungsi sebagai sebuah hotel butik yang dapat memberi keselesaan seperti mana yang diharapkan oleh para tetamu hotel. Berikut adalah antara kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze:


Jadual 6.1: Senarai kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.


Elemen


Huraian

1.      Fasad hadapan:




·        Fasad hadapan Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah dikekalkan sebagaimana asal. Keindahan fasad dan hiasan seramik kecil yang mewarnai fasad bangunan ini dipulihara sebaiknya.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada fasad hadapan dan belakang Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
2.      Dinding luar:



·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih mengekalkan dinding luar yang asal.
·        Tidak ada penambahan dinding luar dilakukan dan bagi bahagian dinding yang mengalami kerosakan dibaiki mengikut spesifikasi dinding asal. Kerja pembaikan pada bahagian dinding yang rosak, dilakukan dengan teliti terutamanya pada bahagian lepaan dinding yang tertanggal.
·        Dinding luar kemudiannya telah di cat menggunakan warna biru nila seperti mana yang boleh kita lihat hari ini.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada dinding luar Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
3.      Dinding dalam:




·        Kerja pemuliharaan telah dilakukan bagi membaiki bahagian dinding yang rosak. Lepaan yang terkopek dan tertanggal dibaiki dan dilepa semula. Bagi tujuan penyesuaigunaan, tidak banyak bahagian dinding yang terpaksa diubahsuai memandangkan bilik tetamu yang digunakan adalah bilik tidur sedia ada di dalam rumah agam tersebut.
·        Sedikit kerja pengubahsuaian telah dilakukan pada dinding dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze bagi memastikan setiap bilik tetamu mempunyai dinding pembahagi diantara ruang bilik utama dan ruang tandas/ bilik mandi.
4.      Lantai bawah:


·        Lantai bawah yang digunakan hari ini merupakan lantai asal Rumah Agam Cheong Fatt Tze. Kerja-kerja pembaikan telah dilakukan dengan menampal bahagian lantai yang berlubang dan retak seterusnya dikemas kini dengan kemasan lantai yang bersesuaian.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai bawah Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
5.      Lantai atas:


·        Banyak kerosakan telah berlaku pada lantai atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
·        Kerja-kerja pembaikan pada lantai yang telah rosak dilakukan dengan teliti. Bagi lantai yang telah reput, kerja-kerja penggantian lantai baru telah dilakukan dengan menggantikan kayu yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kayu yang asal.
·        Lantai kayu tersebut telah divarnis agar lebih tahan lama dan nampak lebih menarik.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai atas Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
6.      Struktur tiang:


·        Terdapat dua jenis struktur tiang yang terdapat pada Rumah Agam Cheong Fatt Tze iaitu tiang daripada besi tempa dan juga konkrit. Tiang besi tempa khas bercorak yang boleh dilihat dengan jelas pada ruang telaga udara merupakan antara tarikan yang terdapat pada Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
·        Struktur tiang besi tempa tersebut terus kekal digunakan memandangkan elemen tersebut masih dalam keadaan baik.
·        Struktur tiang konkrit yang mengalami kerosakan pula telah dibaik pulih dengan melakukan kerja tampalan pada bahagian tiang yang pecah dan kerja mengecat telah dilakukan bagi mengembalikan warna tiang yang telah pudar.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tiang Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
7.     Struktur tangga:


·        Terdapat tujuh buah tangga sedia ada di dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze. Tangga-tangga ini telah dipulihara seperti mana reka bentuk asal terutamanya pada bahagian gelungsur tangan dan anak tangga.
·        Dua daripada tujuh buah tangga tersebut merupakan tangga pusing yang diperbuat daripada besi tempa bercorak yang cantik sekali.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tangga Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
8.      Struktur bumbung:




·        Struktur bumbung Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih menggunakan struktur bumbung sedia ada.
·        Namun begitu, kerja-kerja pembaikan struktur bumbung telah dijalankan terutamanya pada bahagian yang mengalami kerosakan.
·        Struktur kayu yang telah rosak dan reput telah diganti dengan kayu baru menggunakan bahan binaan seperti mana kayu asal.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur bumbung Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
9.      Pintu:






·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih mengekalkan penggunaan pintu utama asal di pintu masuk hotel. Begitu juga dengan pintu-pintu lain yang terdapat di dalam rumah agam ini.
·        Satu ketika dahulu rumah agam ini lama ditinggalkan terbiar dan tidak terjaga, maka banyak pintu yang telah mengalami kerosakan.
·        Pintu yang mengalami kerosakan teruk telah dibaiki dan dicat semula seperti mana reka bentuk pintu asal.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada pintu yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
10.   Tingkap:


·        Terdapat dua jenis tingkap di Rumah Agam Cheong Fatt Tze iaitu tingkap laras kayu dengan rekabentuk ‘gothic’ dan tingkap berbingkai dengan panel kaca.
·        Kerja pemuliharaan telah dilakukan sebaik mungkin, terutamanya pada tingkap laras kayu yang telah mengalami kerosakan yang agak teruk. Penggantian laras kayu yang rosak dengan menggunakan kayu yang seakan sama telah dilakukan diikuti dengan kerja mengecat semula tingkap kayu menggunakan kaedah organik tradisional.
·        Bagi tingkap berbingkai dengan panel kaca pula, kerja –kerja pembaikan bingkai kayu telah dilakukan dan panel kaca yang pecah telah diganti dengan panel kaca yang baru yang ditempah khas seperti mana corak asal.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada tingkap yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.






11.   Kemasan bumbung:


·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze mempunyai kemasan bumbung yang sangat unik yang sukar ditemui pada bumbung bangunan lain.
·        Kerja pemuliharaan telah dilakukan dengan menggantikan genting yang telah pecah dan rosak dengan genting yang dibeli dari pemilik bangunan persekitaran yang menggunakan genting yang sama jenis dengan genting yang digunakan.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan bumbung Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
12.   Kemasan siling:


·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze masih mengekalkan kemasan siling asal yang diperbuat dari kepingan papan yang mempunyai hiasan corak geometri yang menarik.
·        Kemasan siling ini hanya dipasang di bahagian tingkat atas rumah agam ini.
·        Kerja-kerja pembaikan dan pemuliharaan kemasan siling sedia ada telah dilakukan terutama bagi bahagaian yang mengalami kerosakan disebabkan faktor usia. Kemasan siling juga telah dicat semula bagi memastikan siling nampak lebih menarik.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan siling Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
13.   Kemasan dinding:


·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze menggunakan kemasan dinding dari jenis ‘fresco’ yang dibentuk menggunakan plaster kapur di kebanyakan bahagian ruang tamunya.
·        Kemasan dinding ini telah mengalami kerosakan teruk namun kerja pemuliharaan tetap dilakukan dengan kaedah “injection grouting”. Seterusnya kemasan tersebut dicat semula dan garisan lukisan ‘fresco’ di cat menggunakan dakwat hitam Cina yang dicampur dengan gam.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan dinding Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
14.   Kemasan lantai:


·        Terdapat tiga jenis kemasan lantai yang telah digunakan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
·        Pertama, kemasan lantai menggunakan jubin lantai bercorak geometri telah digunakan di kebanyakan ruang di dalam rumah agam.
·        Kedua, kemasan lantai dengan warna terracotta telah digunakan di dalam kebanyakan bilik tidur.
·        Manakala kemasan ketiga ialah kepingan batu granit yang telah digunakan di bahagian kaki lima dan ruang telaga udara.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan lantai Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
·        Sebagaimana kemasan dinding, kemasan lantai Rumah Agam Cheong Fatt Tze juga telah mengalami kerosakan teruk. Kemasan-kemasan lantai tersebut telah dicuci dan diganti dengan kemasan lantai sebagaimana kemasan asal dan diimport khas dari Cina. Manakala bagi kepingan batu granit yang rosak telah diganti dengan batu granit yang diperolehi daripada rumah kedai berdekatan yang tidak lagi menggunakannya apabila rumah tersebut dirobohkan.
15.   Kemudahan bangunan:

·        Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah dibina secara konvensional beratus tahun dahulu. Tiada kemudahan bangunan yang dipasang di rumah agam ketika itu. Kebanyakan kemudahan bangunan yang ada hari ini dipasang selepas pemilik membuat keputusan untuk menyesuaiguna Rumah Agam Cheong Fatt Tze sebagai hotel.
·        Kemudahan bangunan seperti penyaman udara telah dipasang bagi memastikan tetamu hotel mendapat keselesaan yang optima sepanjang menginap di sini. Penyaman udara telah dipasang di kebanyakan bahagian di dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
16.   Hiasan seni bina:

·        Hiasan seni bina merupakan antara tarikan utama Rumah Agam Cheong Fatt Tze. Hiasan seni bina yang terdapat pada dinding luar Rumah Agam Cheong Fatt Tze telah dipulihara dengan teliti dengan bantuan pakar artisan yang dibayar khas.
·        Keunikan hiasan seni bina Rumah Agam Cheong Fatt Tze adalah kerana hiasan yang digunakan diperbuat daripada seramik kaca yang diambil daripada pinggan mangkuk yang telah dipacahkan. Seramik kaca ini telah ditampal secara kekal di dinding-dinding luar dan dalam dengan corak dan warna yang menarik.
·        Corak yang paling banyak digunakan adalah eleman binatang seperti singa dan naga yang mencerminkan kebudayaan pemilik bangunan.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada hiasan seni bina Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7       Tarikan Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah Agam Cheong Fatt Tze merupakan satu-satunya rumah agam yang berwarna biru nila di George Town. Rumah agam ini boleh dilihat dari jalan utama iaitu Jalan Sultan Haji Ahmad Shah dan sering menarik perhatian orang ramai yang melaluinya. Rumah agam ini dikategorikan sebagai hotel butik berdasarkan suasana dan kemudahan yang ditawarkan. Hotel butik ini mempunyai tarikan tersendiri yang sukar diperolehi di hotel lain di sekitarnya. Antara tarikan tersebut adalah:
1.     Lokasi Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
2.     Reka bentuk Seni Bina Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
3.     Hiasan dalaman Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
4.     Ruang bilik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
5.     Landskap Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
6.     Bilik pameran sejarah yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.
7.     Harga bilik yang Ditawarkan.
8.     Kemudahan yang Disediakan .

6.7.1    Lokasi Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Rumah Agam Cheong Fatt Tze terletak di zon utama Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Rumah agam ini terletak di pusat tumpuan pelancong di George Town iaitu antara Jalan Penang dan Lebuh Chulia. Bangunan berwarna biru nila ini pasti menjadi tumpuan pelancong kerana ia berada di lokasi yang strategik dan keindahannya dari luar sahaja sudah pasti menggamit keinginan pelancong untuk melihat keindahan dan keunikan di dalamnya.

6.7.2    Reka Bentuk Seni Bina Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Keunikan Rumah Agam Cheong Fatt Tze terletak pada seni bina timur yang diterapkan pada bangunan ini. Pengaruh reka bentuk seni bina timur boleh dilihat secara jelas menerusi reka bentuk bangunannya yang mana seni bina Hakka Teochew digunakan pada struktur bangunan dan bumbung rumah utama. Cheong Fatt Tze bukan sahaja menitik beratkan reka bentuk seni bina secara fizikal, malahan kepercayaan terhadap feng shui iaitu perkara baik yang elok diterapkan ke dalam reka bentuk seni bina sesebuah rumah juga diberi penekanan. Ia secara tidak langsung telah menambah keunikan pelan lantai rumah ini di mana terdapat ruang udara dibina ditengah-tengah rumah bagi memastikan pengaliran ‘yin’ dan ‘yang’ mengalir dengan baik.


Gambar 6.19: Salah satu daripada lima telaga udara yang terdapat di dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze dengan keluasan ruang yang agak luas bagi membenarkan pengaliran udara dalam rumah berkenaan.

6.7.3    Hiasan Dalaman Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Hiasan dalaman rumah agam ini adalah berkonsepkan hiasan tradisi kaum Cina. Melangkah masuk sahaja ke rumah agam ini, tetamu akan disambut dengan keindahan kayu penghadang berukir yang diperbuat daripada kayu berwarna keemasan berbingkai hitam. Penghadang atau pembahagi dinding ini secara tidak langsung menjadi hiasan utama di ruang tamu. Ia merupakan penghadang sedia ada sejak awal pembinaan lagi dan kini ia telah dipulihara dengan baik sekali.


Gambar 6.20: Dinding penghadang atau pembahagi yang diperbuat daripada kayu berukir membahagi bahagian ruang tamu dengan bahagian halaman tengah Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

Setiap ruang dalaman pada rumah agam ini dihiasi dengan perabut dan perhiasan yang indah dan antik yang mana kebanyakannya di datangkan khas dari China. Perabut-perabutnya diperbuat daripada kayu dan marmar dan merupakan perabut lama, tetapi masih berada di dalam keadaan baik dan menarik. Pasu-pasu besar dengan corak tradisional Cina juga banyak dijadikan sebagai hiasan di sekitar rumah agam. Selain daripada perabut, dindingnya juga dihiasi dengan bingkai gambar dan tulisan Cina. Gambar keluarga Cheong Fatt Tze juga digantung di dinding ruang makan tingkat bawah bagi mengenang kembali keagungan Cheong Fatt Tze satu ketika dulu.

Gambar 6.21: Potrait mendiang Cheong Fatt Tze dan salah seorang daripada isteri beliau digantung di satu sudut dalam Rumah Agam Cheong Fatt Tze ini sebagai kenangan.



Gambar 6.22: Sebuah katil kayu antik berukir dan dicat dengan warna emas berserta barangan antik lain yang masih disimpan dengan baik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze ini.

Selain daripada perabut-perabut yang digunakan, rumah agam ini juga dihiasi dengan hiasan-hiasan kecil yang berunsurkan tradisi masyarakat China seperti mangkuk tingkat atau dikenali sebagai ‘sia’ dan patung-patung kecil. Apabila perabut dan perhiasan-perhiasan ini diletakkan ke dalam rumah agam yang mempunyai reka bentuk seni bina timur ini, maka makin terserlah keunikan rumah agam ini berbanding hotel lain yang ada di sekitarnya.


Gambar 6.23: Bekas makanan atau dipanggil ‘sia’ dalam Bahasa Cina dijadikan sebahagian daripada hiasan dalaman Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7.4    Ruang Bilik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Pandangan pertama sebelum memasuki bilik-bilik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze adalah saiz pintunya yang besar dengan tulisan nama bilik yang unik terpampang dihadapannya. Ia masih mengekalkan pintu asal sebagaimana yang digunakan sejak 150 tahun dahulu. Bilik tamu di Rumah Agam Cheong Fatt Tze mempunyai konsep yang berbeza daripada hotel konvensional lain. Ia menawarkan kelainan di dalam setiap biliknya. Kelainan ini boleh dilihat berdasarkan tema yang diberikan pada setiap biliknya.


Gambar 6.24: Salah satu daripada papan tanda bilik yang berkonsepkan ‘The Old Kitchen’ yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

Sebagai contoh, bilik yang berkonsepkan ‘The Old Kitchen’ telah mengekalkan sebuah dapur lama di dalam bilik ini. Dapur ini secara tidak langsung menjadi hiasan kepada bilik berkenaan. Bagi sesetengah individu, ia mungkin sesuatu yang menjengkelkan apabila terdapat dapur di dalam bilik penginapan mereka. Tapi bagi mereka yang sukakan kelainan dan mencintai warisan lama pasti suka akan kelainan yang ditampilkan. Begitu juga bagi bilik-bilik lain yang mana hiasan dalaman yang diterapkan di bilik-bilik tersebut adalah mengikut tema-tema tertentu. Harga bilik-bilik tersebut juga adalah berlainan di antara satu bilik dengan bilik yang lain. Tetamu berpeluang memilih tema bilik yang disukai bersesuaian dengan bajet mereka.


Gambar 6.25: Peralatan memasak dan dapur lama yang dijadikan sebahagian daripada dekorasi hiasan yang terdapat di dalam bilik yang bertemakan ‘The Old Kitchen’ di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7.5    Landskap Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Keindahan rumah agam ini bukan sahaja bergantung kepada reka bentuk seni bina dan hiasan dalamannya sahaja. Landskap juga memainkan peranan di dalam menambahkan lagi keistimewaan dan keunikan rumah agam ini. Kebijaksanaan pemilik di dalam memilih landskap yang sesuai dengan reka bentuk seni bina dan hiasan dalaman rumah menjadikan rumah agam ini nampak lebih harmoni. Kebanyakan pokok yang ditanam di sekitar Rumah Agam Cheong Fatt Tze adalah pokok-pokok buluh dan palma yang berdaun hijau. Pokok-pokok ini diletak di setiap sudut rumah dan juga di ruang halaman terbuka di mana pencahayaan dan pengudaraan banyak diterima di sini. Bagi menambah keindahan landskap yang ada, aksesori seperti kerusi daripada kayu dan batu marmar diletakkan disekitar rumah agam ini. Kerusi-kerusi ini secara tidak langsung menjadi tempat tetamu duduk berehat sambil menikmati keindahan dan keunikan Rumah Agam Cheong Fatt Tze.


Gambar 6.26: Laman terbuka dan kaki lima yang dihiasi dengan pokok buluh beserta kerusi meja daripada batu marmar disediakan untuk kemudahan para tetamu bersantai di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7.6    Bilik Pameran Sejarah yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Di sebaliknya tersergamnya rumah agam berwarna biru nila ini terdapat berbagai cerita yang tersirat. Cerita-cerita tersebut cuba dikongsi bersama oleh pemilik melalui penyediaan beberapa buah bilik pameran di dalam hotel butik ini. Antara barang-barang yang dipamerkan ialah perabut-perabut yang pernah digunakan oleh keluarga Cheong Fatt Tze, seperti katil dan almari pakaian, peralatan muzik, pakaian dan perhiasan. Bagi mengingati Cheong Fatt Tze dan keluarga, sebuah bilik khas yang mempamerkan sejarah keluarga telah disediakan. Terdapat juga pameran yang menceritakan proses penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dijalankan ke atas rumah agam ini. Bilik pameran sebegini sukar ditemui di bangunan bersejarah milik persendirian lain. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengumpulkan maklumat dan barangan peribadi milik Cheong Fatt Tze memandangkan keturunannya sudah tidak tinggal di George Town lagi.


Gambar 6.27: Antara bilik yang telah dijadikan bilik pameran barang-barang peninggalan keluarga Cheong Fatt Tze yang turut mempamerkan koleksi pakaian lama, perabut dan beberapa barangan antik lain yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7.7    Harga Bilik yang ditawarkan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Harga bilik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze berbeza-beza mengikut saiz bilik dan kemudahan yang ditawarkan. Harga bilik yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Jadual 6.2: Jadual kadar harga bilik di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.


Jenis dan Kategori Bilik

Harga 1 Malam (Waktu Biasa)

Harga 1 Malam (Waktu Puncak 17 Dis-7 Jan)

1.     Bilik ‘Deluxe’ untuk 2 orang.
RM 298.00/bilik.
RM 425.00/bilik.
2.     Bilik ‘Studio’ untuk 2 orang.
RM 405.00/bilik.
RM 529.00/bilik.
3.     Bilik ½ ‘Duplex Suite’ untuk 4 orang.
RM 600.00/bilik.
RM 728.00/bilik.
4.     Bilik ‘Duplex Suite’ untuk 4 orang.
RM 799.00/bilik.
RM 935.00/bilik.


Gambar 6.28: Gambaran bilik dengan katil Queen yang disediakan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.

6.7.8                           Kemudahan yang disediakan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze
Sebagai sebuah hotel butik, Rumah Agam Cheong Fatt Tze menyediakan kemudahan bagi keselesaan tetamu hotel. Antara kemudahan yang disediakan di dalam bilik adalah seperti katil, almari dan meja tulis. Peralatan tambahan lain seperti kemudahan membuat minuman panas, peralatan mandian dan telefon juga disediakan di dalam bilik penginapan. Bilik mandinya dilengkapi dengan peralatan mandian yang moden seperti tandas duduk dan kemudahan mandian air panas. Walaupun kemudahan moden digunakan di dalam bilik-bilik ini, namun ia tidak mengganggu kerja pemuliharaan yang telah dijalankan sebelum ini. Para tetamu masih boleh merasai keunikan rumah agam ini walaupun kemudahan moden digunakan di sini. Kemudahan teknologi moden seperti internet juga turut disediakan di sini. Namun agak terbatas kerana ia tidak disediakan di setiap bilik tetapi diletakkan di sebuah bilik rehat. Ini menghadkan pergerakan tetamu ketika menggunakan perkhidmatan ini. Namun kebanyakan pelancong yang tinggal disini tidak menjadikan ia sebagai satu alasan untuk menghalang mereka daripada menginap di sini.


Gambar 6.29: Kelengkapan tandas dan bilik mandi serba moden dengan kemudahan air panas dan sejuk yang terdapat di Rumah Agam Cheong Fatt Tze.



Gambar 6.30: Antara kemudahan lain yang turut disediakan di Rumah Agam Cheong Fatt Tze berupa peralatan mandian dan lain-lain lagi kemudahan asas sama seperti yang terdapat di kebanyakan hotel penginapan.





6.8       Kajian Kes 4: Hutton Lodge, George Town
Hutton Lodge yang terletak di No.17, Jalan Hutton, George Town, Pulau Pinang merupakan sebuah hotel bajet yang telah disuaiguna daripada sebuah banglo yang telah dibina pada abad ke 19. Kedudukannya di tengah-tengah bandar George Town dan berdekatan dengan kebanyakan pusat tarikan pelancongan menjadikan hotel bajet ini digemari oleh kebanyakan pelancong dari dalam dan luar negara. Hutton Lodge berada di antara dua deretan rumah kedai di Jalan Hutton dan Jalan Dickens. Bahagian hadapan banglo ini mengadap ke arah Jalan Hutton, manakala bahagian belakangnya pula menghadap ke Jalan Dickens, berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Jalan Penang.



Gambar 6.31: Pandangan hadapan Hutton Lodge yang terletak di No.17, Jalan Hutton, George Town, Pulau Pinang.

Seperti mana kebanyakan banglo yang dibina pada 1890an, Hutton Lodge mempunyai halaman depan dan belakang yang luas. Pemilik telah melakukan penambahan bangunan di bahagian belakang banglo sedia ada. bagi membesarkan Hutton Lodge untuk memenuhi keperluan sebuah hotel bajet. Hutton Lodge merupakan sebuah hotel bajet yang mempunyai reka bentuk seni bina ‘Late Straits Eclectic’ yang sukar ditemui hari ini. Reka bentuk seni bina banglo ini merupakan antara tarikan pelancong datang ke hotel bajet ini. Berdasarkan ciri-ciri unik yang terdapat pada Hutton Lodge, Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah meletakkan Hutton Lodge di bawah kategori Bangunan Warisan Kategori II.


Gambar 6.32: Pandangan belakang Hutton Lodge dari Jalan Dickens yang terdiri dari bangunan tambahan baru menyambungkan bangunan lama sedia ada dengan reka bentuk yang lebih moden.

Hutton Lodge merupakan pilihan terbaik bagi kebanyakan pelancong kerana ia terletak di kawasan komersil dan kawasan penempatan berbagai guna yang pesat. Jalan Penang yang terletak di penghujung Jalan Hutton menempatkan pusat membeli belah lama dan pasar basah yang terkenal di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Pasar Chowrasta. Pasar ini merupakan tumpuan penduduk dan pelancong tempatan membeli barangan tempatan terutamanya jeruk buah-buahan. Bagi pelancong luar negeri pula, di pasar inilah mereka dapat melihat dengan lebih dekat budaya makanan masyarakat tempatan.


Gambar 6.33: Papan tanda nama dan alamat Hutton Lodge dipasang di dinding bangunan hotel.

Hutton Lodge kini dimiliki oleh sebuah syarikat hartanah tempatan iaitu Choong Lye Hock Estate. Hotel ini telah dikategorikan sebagai hotel bajet memandangkan ia tidak memenuhi kriteria sebagai hotel yang mempunyai taraf bintang. Hutton Lodge mempunyai sebanyak 28 buah bilik di mana satu daripadanya dijadikan bilik untuk penginapan pekerja hotel. Hotel ini diuruskan oleh 8 orang pekerja yang terdiri daripada pengurus, penyambut tetamu, tukang masak dan pekerja am.

6.9       Latar Belakang Hutton Lodge
Banglo ini dinamakan sebagai Hutton Lodge bersempena nama Jalan Hutton di mana banglo ini terletak. Ia tiada kena mengena dengan nama pemilik awal banglo seperti mana bangunan bersejarah lain. Jalan Hutton pula telah dinamakan bersempena nama doktor yang pertama memberikan perkhidmatannya di Pulau Pinang iaitu Dr Hutton. Dr. Hutton telah datang ke Pulau Pinang bersama dengan dua orang pembantunya pada 1805 ketika Pulau Pinang ditadbir oleh pihak Inggeris. Persekitaran Jalan Hutton ketika itu dikenali sebagai kawasan penempatan orang Melayu yang mana di bahagian barat berdekatan Jalan Larut terkenal sebagai Baris Jutawan Muslim.

Banglo ini pada asalnya dimiliki oleh Mohd. Ariff bin Mohamed Tajuoodin. Ia seterusnya telah diturunkan kepada anak lelakinya Wanchee Ariffin. Mohd. Ariff dan anak lelakinya Wanchee Ariffin merupakan penyanyi boria terkenal di Pulau Pinang satu ketika dulu. Moyang mereka ialah Bapu Alauddin bin Meerah Hussein Lebai, wakil Sultan Kedah yang telah menemani Francis Light ke Pulau Pinang. Setelah kematian Wanchee Ariffin, banglo tersebut telah diserahkan kepada anaknya iaitu Haji Yusof dan seterusnya kepada menantu lelakinya M.Z. Marican. Ia dipercayai pernah menjadi milik keluarga Marican yang terkenal di Pulau Pinang, berdasarkan rekod pada geran tanah lama. Selepas daripada itu, sejarah banglo ini tidak dapat diselusuri secara terperinci kerana tiada rekod rasmi berdasarkan peristiwa atau personaliti berkaitan banglo ini disimpan sehinggalah 1925. Pada 1925, dipercayai pemilik ketika itu iaitu sebuah keluarga India Muslim telah menjual banglo ini kepada Wong Ah Sam. Kemudian, pada 1948 banglo ini telah dipindah milik kepada Cheah Cheang Lim dan dijadikan sebuah hotel yang dikenali sebagai Hotel Pin Kung berserta sebuah restoren Cina sehinggalah awal tahun 60an.

Selepas daripada itu, Hutton Lodge disewakan kepada beberapa penyewa sehinggalah pada 18hb. Februari 2003, satu kebakaran telah berlaku dan memusnahkan hampir sebahagian besar banglo ini. Hanya tiang dan dinding bata banglo yang terselamat. Choong Lye Hock Estate telah membeli tapak banglo berserta struktur yang tinggal sisa dari kebakaran yang berlaku dan telah membaikinya seperti mana banglo asal. Pada 2006, banglo ini telah dipulihara dan disuaiguna menjadi sebuah hotel bajet. Bagi segala tindakan mengembalikan semula corak bangunan kepada bentuk asli, kaedah pembinaan semula (reconstruction) telah dilakukan dengan merujuk kepada pelan-pelan bangunan, gambar foto atau mana-mana sumber rajah yang jelas menunjukkan seni bina Hutton Lodge sebelum ianya terbakar. Menginap di Hutton Lodge merupakan satu pengalaman yang unik kerana ia merupakan sebuah hotel bajet yang terbina hasil daripada penyesuaigunaan sebuah banglo lama dengan reka bentuk seni bina yang menarik.


Gambar 6.34: Keadaan Hutton Lodge kini yang telah disuaiguna sebagai hotel bajet dan masih mengekalkan keaslian pada reka bentuk bangunan berkenaan.



Gambar 6.35: Bunting yang digantung di tepi jalan mempromosikan Hutton Lodge sebagai sebuah rumah tamu yang menawarkan harga yang berpatutan.

6.10     Reka bentuk Luaran Hutton Lodge
Hutton Lodge mempunyai reka bentuk yang tipikal seperti mana bangunan kolonial lain pada zamannya. Banglo ini mempunyai reka bentuk Sino-Malay Palladian yang telah diadaptasi daripada reka bentuk yang popular di Eropah ketika itu iaitu Palladian yang menjadi ikutan kebanyakan masyarakat kelas atasan dan pertengahan. Namun begitu, reka bentuk tersebut telah diubahsuai mengikut pengaruh budaya masyarakat India dan Melayu di Tanah Melayu. Selain daripada itu kebanyakan bangunan yang mempunyai reka bentuk Palladian telah diubah suai berdasarkan keadaan cuaca di Tanah Malayu. Seperti mana kebanyakan rumah dengan reka bentuk Sino-Malay Palladian lain, Hutton Lodge juga mempunyai cucur atap yang luas, pintu berpanel dan tingkap yang panjang bagi tujuan pengudaraan dan pencahayaan yang maksima.


Gambar 6.36: Reka bentuk Hutton Lodge yang unik lagi menarik mengambil konsep reka bentuk seni bina Sino-Malay-Palladian.

6.11     Reka Bentuk Dalaman Hutton Lodge
Hutton Lodge mempunyai reka bentuk dalaman yang ringkas sesuai dengan kedudukannya sebagai hotel bajet. Melangkah masuk ke dalam Hutton Lodge, tetamu akan melihat hiasan dalaman yang moden dan ringkas. Ia tidak menonjolkan ciri-ciri warisan seperti mana hotel yang terhasil daripada bangunan bersejarah. Pembinaan semula yang dilakukan kesan daripada kebakaran yang berlaku banyak menghakis ciri-ciri warisan yang sepatutnya boleh ditonjolkan oleh hotel bajet ini. Reka bentuk pelan lantai yang ringkas juga banyak mempengaruhi reka bentuk dalaman hotel bajet ini.


Gambar 6.37: Lukisan pelan asal lantai aras tingkat satu Hutton Lodge yang menunjukkan keseluruhan ruang yang tedapat di dalamnya.



Gambar 6.38: Reka bentuk ruang dalaman Hutton Lodge yang kelihatan ringkas dengan perabot moden amat sesuai dengan konsep hotel bajet.

6.12    Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Hutton Lodge
Rumah banglo ini bernasib baik kerana ia merupakan antara banglo yang masih terselamat daripada kepupusan walaupun pernah terbakar sebelum ini. Kebanyakan bangunan-bangunan yang seusia dengannya banyak yang telah dirobohkan dan diabaikan lebih-lebih lagi sekiranya bangunan tersebut pernah mengalami kebakaran. Kerja-kerja pemuliharaan dan pembinaan semula telah dilakukan oleh pemilik Hutton Lodge enam tahun yang lepas. Pemilik Hutton Lodge telah mengeluarkan lebih kurang RM 1 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan dan pembinaan semula bagi menyesuaiguna bangunan tersebut sebagai sebuah hotel. Walaupun modal yang besar terpaksa dikeluarkan, namun hasil kerja pemuliharaan dan pembinaan semula yang telah dilakukan sangat memuaskan hati. Di dalam kebakaran yang berlaku hanya tiang dan dinding batu bata yang terselamat, manakala elemen lain terpaksa dibina semula seperti mana bangunan asal.

Hutton Lodge yang ada hari ini telah mengalami perubahan yang yang besar berbanding Hutton Lodge yang pernah terbakar satu ketika dulu. Bangunan tambahan telah dibina di belakang Hutton Lodge bagi menampung permintaan bilik yang tinggi dari pelancong yang datang ke George Town.


Gambar 6.39: Gambar yang menunjukkan rumah banglo Hutton Lodge ini yang dahulunya menempatkan ‘Pin Kung Hotel and Chinese Restaurant’ selepas kebakaran yang telah meusnahkan hampir keseluruhan struktur rumah berkenaan pada 18hb. Februari 2003.

Reka bentuk seni bina asal telah dikekalkan dan dibina semula berpandukan gambar foto Hutton Lodge sebelum ia terbakar. Selain daripada itu, kesesuaian reka bentuk seni bina dan bahan binaan baru pada elemen pintu, tingkap, bumbung dan tangga telah diambilkira agar sama seperti binaan asal. Ini adalah bagi memastikan kerja pemuliharaan yang dilakukan menepati konsep pemuliharaan bangunan bersejarah. Berikut adalah antara kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Hutton Lodge:

Jadual 6.3: Senarai kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan di Hutton Lodge.


Elemen


Huraian

1.     Fasad hadapan:


·       Fasad hadapan hotel ini telah dikekalkan sebagaimana asal. Walaupun ia telah terbakar namun dinding luar yang membentuk fasad masih dapat dilihat dengan jelas.
·       Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada fasad hadapan Hutton Lodge yang terselamat didalam kebakaran.
2.     Dinding luar:


·       Dinding luar Hutton Lodge yang terselamat di dalam kebakaran telah dipulihara. Kerja-kerja mengikis cat lama, melepa semula dinding terutama bahagian yang berlubang dan mengecat semula dinding dengan cat baru telah dilakukan.
·       Dinding luar yang terselamat didalam kebakaran masih digunakan hingga ke hari ini.
·       Tiada pengubahsuaian dilakukan pada dinding luar Hutton Lodge.
3.     Dinding dalam:


·       Dinding dalam sedia ada yang terselamat daripada kebakaran telah dipulihara manakala pembinaan semula dilakukan bagi dinding yang telah musnah terbakar.
·       Beberapa kerja penambahan dinding dalam telah dilakukan bagi memastikan Hutton Lodge dapat memenuhi fungsi baru sebagai sebuah hotel.
·       Dinding dalam sedia ada yang terselamat di dalam kebakaran telah diubahsuai mengikut pelan lantai baru bagi menukar fungsi rumah banglo kepada sebuah hotel.
4.     Lantai bawah:


·       Lantai yang terselamat daripada kebakaran di baiki di bahagian permukaan dan kemasannya sahaja.
·       Walaupun struktur lantai bawah masih kelihatan setelah kebakaran berlaku, namun lantai bawah baru telah dibina semula bagi mendapatkan struktur lantai yang lebih kukuh.
5.     Lantai atas:


·       Pembinaan semula telah dilakukan ke atas lantai atas kayu yang telah habis terbakar ketika kebakaran berlaku.
·       Jabatan Bomba telah melarang penggunaan semula lantai atas daripada kayu kerana ia tidak selamat dari segi keselamatan kebakaran.
·       Lantai atas baru daripada konkrit telah dibina bagi menggantikan lantai atas kayu atas arahan Pihak Bomba.


6.     Struktur tiang:


·       Struktur tiang sedia ada dipulihara kerana masih mampu menanggung beban fungsi baru. Kerja pemuliharaan telah dijalankan pada bahagian yang rosak kesan daripada kebakaran yang berlaku.
·       Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tiang Hutton Lodge.
7.     Struktur tangga:


·       Tangga sedia ada yang telah musnah di dalam kebakaran telah diganti dengan tangga baru daipada konkrit dan mempunyai struktur tangan daripada kayu telah dibina pada kedudukan asalnya.
·       Manakala bagi bangunan tambahan di bahagian belakang, satu tangga konkrit baru telah dibina bagi kemudahan tetamu hotel yang menginap di sayap belakang hotel.
8.     Struktur bumbung:


·       Keseluruhan struktur bumbung telah dibina baru menggunakan kayu memandangkan struktur asal telah musnah di dalam kebakaran.
9.     Pintu:


·       Keseluruhan pintu yang ada di Hutton Lodge telah diganti dengan pintu baru memandangkan pintu sedia ada telah musnah terbakar di dalam kebakaran sebelum ini.
·       Bagi pintu utama seperti pintu hadapan, pintu belakang dan pintu sisi, pintu panel kayu dengan rekaan khas dan kemasan yang bermutu telah digunakan. Manakala pintu menggunakan papan lapis telah digunakan bagi semua pintu bilik hotel.
10.  Tingkap:


·       Keseluruhan tingkap di Hutton Lodge telah diganti dengan rangka dan daun tingkap baru bagi menggantikan semua tingkap di Hutton Lodge yang telah musnah terbakar.
·       Tingkap kayu dengan rekabentuk ram dan ‘casement’ telah digunakan sebagai tingkap luar Hutton Lodge. Manakala jeriji besi telah dipasang di tingkap tingkat bawah bagi menghalang penceroboh masuk ke dalam hotel.
11.  Kemasan bumbung:


·       Keseluruhan kemasan bumbung telah dibina baru memandangkan kemasan bumbung lama telah musnah terbakar.
·       Kemasan bumbung Hutton Lodge yang telah musnah di dalam kebakaran telah diganti dengan kemasan bumbung baru yang seakan-akan sama dengan kemasan bumbung asal iaitu genting bumbung dari tanah liat bercorak.
12.  Kemasan siling:


·       Keseluruhan kemasan siling baru telah dibina bagi menggantikan kemasan siling asal yang telah musnah terbakar di dalam kebakaran yang berlaku di Hutton Lodge.
·       Siling dari asbestos telah digunakan di tingkat atas Hutton Lodge.
13.  Kemasan dinding:


·       Hampir keseluruhan Hutton Lodge tidak menggunakan kemasan dinding. Bagi menyesuaiguna banglo ini menjadi sebuah hotel bajet yang selesa jubin telah dipasang.
·       Jubin dinding bersaiz 1’ x 1’ digunakan di tandas di dalam bilik dan juga di tandas kongsi yang digunakan oleh tetamu yang tinggal di dormitari.
14.  Kemasan lantai:


·       Kemasan lantai baru telah dipasang di Hutton Lodge memandangkan kemasan lantai sediada telah musnah terbakar sebelum ini.
·       Hampir keseluruhan tingkat bawah Hutton Lodge menggunakan simen sebagai kemasan lantai.
·       Namun di kawasan tertentu seperti di anjung depan dan anjung tepi Hutton Lodge telah menggunakan jubin lantai untuk membentuk corak pada lantai.
·       Permaidani telah dipasang di bilik-bilik tetamu bagi keselesaan tetamu hotel.
·       Jubin lantai bersaiz 1’x 1’ telah digunakan di tandas yang terdapat di dalam bilik tetamu juga di tandas kongsi bagi tetamu yang menginap di dormitari.

15.  Kemudahan bangunan:



·       Bangunan asal Hutton Lodge tidak mempunyai kemudahan bangunan yang boleh dikekalkan penggunaannya.
·       Kemudahan bangunan seperti penghawa dingin. kamera cctv, sistem pencegah kebakaran, perkhidmatan internet dan televisyen telah dipasang bagi keselesaan dan keselamatan tetamu hotel.
16.  Hiasan seni bina:


·       Hiasan seni bina yang terdapat pada Hutton Lodge adalah sangat ringkas dan ia dikekalkan sepertimana sebelumnya.
·       Tiada kerja pengubahsuaian hiasan seni bina dilakukan kerana semua telah musnah didalam kebakaran.

6.13     Tarikan Hutton Lodge
Terdapat berbagai faktor yang perlu diambil kira oleh sesebuah hotel bagi memastikan tetamu hotel berminat untuk menginap di hotel mereka. Hutton Lodge juga tidak terkecuali di dalam memastikan orang ramai tertarik untuk datang menginap di situ. Hutton Lodge mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan hotel bajet lain yang ada di sekitar George. Antara faktor yang berupaya untuk menarik kedatangan tetamu ke Hutton Lodge ialah:
1.     Lokasi Hutton Lodge.
2.     Keadaan persekitaran Hutton Lodge.
3.     Layanan mesra pekerja di Hutton Lodge.
4.     Harga bilik yang ditawarkan di Hutton Lodge.
5.     Kemudahan yang disediakan di Hutton Lodge.

6.13.1  Lokasi Hutton Lodge
Hutton Lodge terletak di tengah-tengah pusat bandar George Town yang menawarkan berbagai pilihan pusat pelancongan. Ia berdekatan dengan berbagai tempat bersejarah seperti Kota Cornwallis, Muzium Negeri dan Padang Kota. Kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat tempatan juga dapat dilihat di sini kerana George Town merupakan pusat tumpuan berbagai bangsa. Hotel ini juga berdekatan dengan pusat membeli belah KOMTAR yang satu ketika dulu terkenal dengan reka bentuknya. Terdapat berbagai jenis restoren di sekitar Hutton Lodge yang menawarkan pelbagai jenis pilihan makanan tempatan yang terkenal seperti nasi kandar, pasembor, laksa dan sup hinggalah ke pilihan makanan antarabangsa.


Gambar 6.40: Hutton Lodge yang terletak di tengah-tengah pusat Bandar George Town yang sentiasa sibuk memberi kelebihan kepada hotel bajet ini untuk menerima kedatangan lebih ramai tetamu.

6.13.2  Keadaan Persekitaran Hutton Lodge
Kebersihan persekitaran hotel dan bilik-bilik di Hutton Lodge dijaga dengan amat baik sekali. Hasil daripada temu ramah yang dilakukan dengan pengunjung hotel, kebanyakannya mengakui berpuas hati dengan tahap kebersihan hotel ini. Ini disokong dengan arahan melarang tetamu memakai kasut atau selipar di dalam Hutton Lodge. Larangan ini dibuat terutamanya di tingkat satu yang menempatkan bilik-bilik tetamu. Namun begitu, tetamu atau pengunjung masih dibenarkan memakai kasut di bahagian lobi dan di tingkat bawah. Kerja-kerja pembersihan hotel dan kerja am dijalankan oleh beberapa orang pekerja asing. Mereka sentiasa memastikan hotel ini dibersihkan selepas setiap kali tetamu hotel mendaftar keluar dan sentiasa memastikan kawasan persekitaran hotel berada dalam keadaan bersih.


Gambar 6.41: Salah seorang Pekerja Hutton Lodge sedang mengemas ruang kafe bagi memastikan ia sentiasa bersih dan kemas.

6.13.3  Layanan Mesra Pekerja di Hutton Lodge
Hutton Lodge mengamalkan konsep layanan mesra tetamu. Hampir keseluruhan pekerja amat ramah dan tidak lokek untuk membantu tetamu atau pengunjung yang datang ke hotel bajet ini. Konsep layanan mesra tetamu yang diamalkan bukan setakat memberi layanan baik kepada para tetamu, tetapi juga memastikan bahawa segala kemudahan yang disediakan boleh digunakan oleh tetamu hotel bajet berkenaan. Susun atur perabut yang disediakan di Hutton Lodge amat praktikal dan selesa. Boleh dikatakan disetiap sudut lobi dan ruang kafe Hutton Lodge diletakkan kerusi dan meja untuk keselesaan tetamu. Terdapat juga rak-rak yang menempatkan risalah dan maklumat pelancongan disediakan di ruang lobi hotel ini.


Gambar 6.42: Pekerja di kaunter pendaftaran sedang melayan tetamu mendaftar masuk ke Hutton Lodge.



Gambar 6.43: Ruang internet dan rak yang menempatkan risalah pelancongan dalam negara yang diletakkan di ruang lobi Hutton Lodge untuk kegunaan tetamu.

Sepanjang ia beroperasi, hotel bajet ini telah menerima beberapa pengiktirafan daripada laman sesawang yang banyak menguruskan penempahan bilik melalui internet iaitu http://www.hostelbookers.com/. Antara pengiktirafan yang diterima ialah Best Value Award atau Anugerah Nilai Terbaik bagi hotel bajet pada Februari 2008. Manakala pada September 2009, Best Staff Award atau Anugerah Pekerja Terbaik telah diterima juga bagi kategori hotel bajet. Walaupun anugerah atau pengiktirafan yang diterima hanyalah daripada sebuah laman sesawang, namun ia memberi makna yang cukup besar dan mendalam bagi hotel bajet ini. Ia membuktikan bahawa hotel bajet ini telah diiktiraf bukan sahaja oleh para tetamunya malah oleh pihak luar yang mengendalikan tempahan bilik secara talian.


Gambar 6.44: Antara anugerah yang telah diberikan kepada Hutton Lodge oleh Hostelbookers iaitu ‘Best Value Award’ pada 2008.


Gambar 6.45: Anugerah yang turut diberikan kepada Hutton Lodge oleh Hostelbookers iaitu ‘Best Staff Award’ pada 2009.

6.13.4  Harga Bilik yang ditawarkan di Hutton Lodge
Harga bilik yang ditawarkan di Hutton Lodge adalah berpatutan dan sesuai bagi pelancong yang melancong secara bajet. Berbagai pilihan jenis bilik ditawarkan oleh pihak pengurusan hotel ini dan setiap satunya mempunyai kemudahan yang berbeza. Harga bilik yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Jadual 6.4: Jadual kadar harga bilik di Hutton Lodge.


Jenis dan Kategori Bilik


Kadar Harga untuk Satu Malam

1.     Bilik persendirian tanpa bilik mandi.
RM 50.00/bilik.
2.     Bilik persendirian dengan bilik mandi.
RM 65.00/bilik.
3.     Bilik berkembar tanpa bilik mandi.
RM 60.00/bilik.
4.     Bilik berkembar dengan bilik mandi.
RM 90.00/bilik.
5.     Bilik keluarga/ bertiga tanpa bilik mandi.
RM 90.00/bilik.
6.     Bilik keluarga/ bertiga dengan bilik mandi.
RM 110.00/bilik.
7.     Bilik Eksekutif/ bertiga dengan bilik mandi.
RM 130.00/bilik.
8.     Dormitori.
RM 28.00/orang.
*Dormitori - boleh menempatkan di antara 4-6 orang di dalam satu bilik dengan kemudahan bilik mandi berkongsi di luar bilik.

Tetamu boleh memilih bilik yang bersesuaian dengan bajet dan kemudahan yang mereka inginkan. Bagi mereka yang datang secara berkumpulan, dormitori merupakan pilihan terbaik di mana ia boleh menempatkan seramai 4-6 orang di dalam satu bilik pada satu-satu masa. Bilik keluarga juga ada disediakan di hotel ini yang mana kemudahan ini sukar didapati pada kebanyakan hotel bajet yang lain.


Gambar 6.46: Gambaran bilik dengan dua buah katil single yang disediakan di Hutton Lodge.

6.13.5  Kemudahan yang disediakan di Hutton Lodge
Sebagai sebuah hotel bajet, kemudahan yang disediakan di hotel ini kebanyakannya adalah merupakan kemudahan asas pada sebuah hotel namun ianya masih dapat memberi keselesaan kepada para tetamunya. Antara kemudahan asas yang diletakkan di dalam bilik penginapan ialah seperti katil, penghawa dingin, almari kecil, cermin muka dan peralatan mandian. Kemudahan sampingan juga ada disediakan, namun ia diletakkan di tempat terbuka seperti televisyen di kafe dan internet di lobi hotel. Selain daripada itu, antara fasiliti dan kemudahan moden lagi selesa yang disediakan di hotel bajet ini ialah:
1.     Katil yang besar.
2.     Taman teres.
3.     Telefon awam.
4.     Kemudahan internet wifi.
5.     Perkhidmatan mencuci pakaian.
6.     Tempat simpanan beg.
7.     Informasi kembara.
8.     Bilik dengan kemudahan bilik mandi/ tandas (bilangan terhad)
9.     Sarapan pagi.
10.  Tempat meletak kenderaan.
11.  Basikal untuk disewa.
12.  Televisyen dengan rangkaian swasta (hanya di kafe hotel).


Gambar 6.47: Kemudahan internet berbayar yang disediakan di Hutton Lodge.


Gambar 6.48: Kemudahan loker berkunci bagi tetamu yang menginap di dormitari yang turut disediakan di Hutton Lodge.

6.14     Rumusan
Rumah Agam Cheong Fatt Tze dan Hutton Lodge merupakan antara bangunan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong yang datang melancong ke Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kedua buah bangunan bersejarah ini telah disuaiguna sebagai rumah penginapan oleh pemiliknya dan konsep suaiguna tersebut telah berjaya menjadikan kedua buah rumah ini terus terpulihara sebagai sebuah rumah yang kaya dengan keindahan reka bentuk seni bina dan sejarah. Usaha pemilik kedua buah bangunan bersejarah ini patut dipuji kerana dengan usaha mereka, kedua buah bangunan bersejarah ini dapat terus digunakan seterusnya terpulihara daripada dirobohkan.

Rumah Agam Cheong Fatt Tze merupakan rumah penginapan yang kurang diminati oleh pelancong yang mensasarkan harga bajet atau sederhana di dalam penginapan pelancongan. Namun ia tidak menghalang usaha pemiliknya di dalam berkongsi keindahan reka bentuk seni bina dan hiasan dalaman dengan orang ramai. Pemiliknya telah membuka rumah agam ini kepada orang ramai dengan membenarkan pengunjung mengadakan lawatan secara berbayar pada waktu tertentu. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka yang cintakan warisan untuk sama-sama menghargai dan menikmati keindahan bangunan bersejarah ini. Rumah agam yang telah disuaiguna semula sebagai rumah penginapan esklusif ini menjadi sebutan ramai terutamanya pencinta bangunan warisan. Tidak sah bagi mereka yang melancong ke George Town atas dasar pelancongan warisan jika tidak singgah ke rumah agam ini. Ia merupakan salah satu pusat tumpuan pelancong selain daripada lawatan ke bangunan bersejarah yang lain.

Keputusan pemilik Hutton Lodge mengeluarkan modal yang besar dalam kerja menyesuaiguna banglo yang terbakar sebagai hotel bajet adalah sesuatu yang amat tepat. Hutton Lodge kini menjadi pilihan utama kebanyakan pelancong terutamanya pelancong dari luar negara yang melancong secara ‘backpackers.’ Konsep menyesuaiguna rumah banglo lama ini menjadi sebuah hotel bajet secara tidak langsung telah menyelamatkan bangunan bersejarah ini daripada dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru selepas berlakunya kebakaran. Memandangkan banglo lama ini pernah terbakar, maka langkah penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan adalah sangat membanggakan. Kebanyakan elemen-elemen yang telah terbakar dan musnah digantikan dengan bahan binaan yang baru yang seakan-akan sama dengan yang asal. Kaedah pembinaan semula banyak dilakukan memandangkan kebanyakan elemen telah musnah terbakar sebelum ini.

No comments: