Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 4 Metodologi Penyelidikan

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 4
METODOLOGI PENYELIDIKAN


4.1       Pengenalan
Penyelidikan merupakan satu proses bagi menghasilkan satu pengetahuan baru (Salkind, 2000). Di dalam menjalankan sesebuah penyelidikan, metodologi penyelidikan merupakan elemen penting yang perlu diambil berat kerana ia merupakan kaedah bagaimana sesebuah penyelidikan itu dijalankan. Metodologi penyelidikan dapat membantu di dalam memastikan penyelidikan dapat dijalankan secara tersusun dan seterusnya menghasilkan keputusan penyelidikan yang baik. Terdapat berbagai metodologi penyelidikan yang boleh digunakan. Ia bergantung kepada jenis penyelidikan yang dijalankan sama ada ianya tergolong dalam bidang saintifik, kesusasteraan, sosiologi, teknologi dan sebagainya (Mohd Sheffie Abu Bakar, 1987).

Menurut Fellows dan Liu (2003) penyelidikan dijalankan adalah bagi mendapatkan jawapan bagi persoalan atau bagi mengembangkan pengetahuan yang sedia ada. Seperti mana penyelidikan ini dijalankan yang mana tujuan utamanya adalah bagi menilai tahap penyesuaigunaan yang telah dijalankan ke atas bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Penyelidikan ini dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penyesuaigunaan bangunan bersejarah telah dijalankan mengikut garis panduan dan prinsip pemuliharaan yang telah digariskan di kedua buah bandar tersebut. Hotel telah dipilih sebagai fokus penyelidikan bagi mengelakkan skop penyelidikan terlalu besar dan ia merupakan antara sampel terbaik bagi contoh penyesuaigunaan bangunan bersejarah. Bagi memastikan penyelidikan ini berjalan dengan lancar, metodologi penyelidikan yang sesuai telah dipilih dan dilaksanakan sepanjang penyelidikan ini berjalan.
4.2       Kategori Penyelidikan
Secara amnya, penyelidikan terbahagi kepada dua kategori iaitu penyelidikan tulen atau lebih dikenali sebagai penyelidikan asas dan penyelidikan gunaan. Bagi penyelidikan tulen atau asas, ia lebih kepada mengembangkan pengetahuan sedia ada dan ia sering dijalankan oleh mereka yang berada di dalam bidang akademik. Ia bukannya penyelidikan yang spesifik bagi menyelesaikan masalah atau permasalahan (Brimblecombe dan Grossi, 2006). Bagi penyelidikan gunaan pula, ia lebih merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan bagi menyelesaikan masalah yang memang diketahui umum dan menjawab persoalan yang lebih spesifik dan selalunya pada akhir penyelidikan ia akan menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan oleh orang ramai (Crowther dan Lancaster, 2008). Bagi penyelidikan yang dijalankan ini, ia dikategorikan di dalam penyelidikan tulen kerana ia dijalankan adalah atas dasar akademik dan mengembangkan pengetahuan tentang penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia.

4.3       Metodologi Penyelidikan
Terdapat dua metodologi yang sering digunapakai di dalam menjalankan penyelidikan iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kedua-dua kaedah ini memerlukan fakta dan data untuk dianalisis (Cresswell, 1994). Bagi penyelidikan ini, kedua-dua kaedah iaitu kaedah kualitatif dan kaedah kuantitatif telah digunakan. Gabungan kedua jenis kaedah ini dikenali sebagai kaedah rangkaian segi tiga (triangulation method). Kaedah rangkaian segi tiga dipilih berdasarkan permasalahan penyelidikan yang lebih berbentuk tertutup. Menurut Fellows dan Liu (2003), dengan menggunakan kaedah rangkaian segi tiga, keputusan yang tepat akan diperolehi kerana kekurangan dan kelebihan kedua jenis kaedah ini akan melengkapi diantara satu sama lain. Namun begitu kedua-dua kaedah itu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Antaranya adalah seperti berikut:

4.3.1    Kaedah Kuantitatif
Kaedah kuantitatif melibatkan kaedah saintifik selepas sedikit kajian teori dan literatur dijalankan bagi menguji hipotesis. Ia melibatkan pungutan data dari berbagai sumber dan akan dianalisis secara formula bergantung kepada jenis statistik yang dipilih. Terdapat berbagai kaedah statistik yang ada boleh dipilih dan digunakan mengikut kesesuaian penyelidikan. Antara kaedah-kaedah tersebut ialah ujian bukan parametrik, ujian parametrik, regressi dan kolerasi, jangkaan masa dan nombor indeks (Mohamad Abdullah, 1997).

4.3.2    Kaedah Kualitatif
Kaedah kualitatif pula adalah penyelidikan yang dijalankan tanpa menggunakan sebarang formula. Ia hanya dilakukan dengan memahami topik penyelidikan diikuti dengan pungutan fakta dan data di mana teorinya akan membantu di dalam mendapatkan keputusan penyelidikan. Kaedah ini dianggap mudah kerana ianya tidak memerlukan sebarang kaedah matematik dan statistik ketika analisis data dilakukan. Oleh kerana ia tidak menggunakan perkiraan matematik, maka keputusan analisis yang dibuat perlulah dibuat dengan bijak berdasarkan semua teori yang ada (Mohamad Abdullah, 1997).

4.4       Proses Penyelidikan
Setiap penyelidikan akan melalui proses yang tersendiri bergantung kepada bidang dan jenis penyelidikan yang dijalankan. Kronologi yang berlaku pada setiap penyelidikan juga adalah berbeza namun pada dasarnya ia perlulah dimulai dengan menentukan tajuk penyelidikan dan diakhiri dengan menulis laporan penyelidikan. Namun begitu, setiap langkah tidak perlu diselesaikan sebelum langkah seterusnya diambil. Menurut Mohd Sheffie Abu Bakar (1987), ada ketikanya sesuatu langkah itu mengambil masa yang terlalu lama yang jika ditunggu, akan mengganggu perjalanan keseluruhan penyelidikan. Berikut adalah proses yang telah dijalankan bagi penyelidikan ini:

Rajah 4.1: Proses penyelidikan.


4.4.1    Menentukan Tajuk Penyelidikan
Pemilihan tajuk merupakan langkah pertama di dalam memastikan penyelidikan dapat dijalankan (Naoum, 2001). Tajuk penyelidikan ini telah dipilih berdasarkan minat yang mendalam terhadap penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Bagi memastikan penyelidikan dilakukan dengan lebih terperinci, tajuk penyelidikan telah difokuskan kepada kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel. Skop penyelidikan juga hanya diberikan ke atas bangunan bersejarah yang terdapat di dua buah bandar yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Melaka dan George Town.

4.4.2    Menyediakan Cadangan Penyelidikan
Cadangan penyelidikan disediakan selepas tajuk penyelidikan dipilih. Ia merupakan penerangan ringkas tentang penyelidikan yang dijalankan. Ia juga bertindak sebagai panduan bagi memastikan hala tuju penyelidikan tidak tersimpang daripada matlamat sebenarnya (Rea dan Parker, 2005). Antara perkara-perkara yang dinyatakan di dalam kertas cadangan penyelidikan adalah:
1.     Tajuk penyelidikan.
2.     Tujuan penyelidikan dijalankan.
3.     Kaedah penyelidikan yang digunakan.
4.     Anggaran perbelanjaan sepanjang kajian dijalankan.
5.     Perancangan kerja penyelidikan.

Cadangan penyelidikan disediakan oleh penyelidik kepada pihak tertentu yang mempunyai kepentingan atas penyelidikan yang dijalankan. Antara pihak yang berminat untuk melihat dan mendengar cadangan penyelidikan adalah pihak penaja penyelidikan dan pihak institusi pengajian tinggi yang menawarkan tempat bagi penyelidikan ini dijalankan. Cadangan penyelidikan selalunya akan dibentang kepada panel yang pakar bagi mendapatkan maklum balas yang mana akan membantu penyelidik menghasilkan penyelidikan yang lebih bermutu (Ramli Mohamed ed., et al., 2004).

4.4.3    Kajian Literatur atau Teori
Kajian literatur atau kajian teori merupakan satu kemestian di dalam setiap penyelidikan. Ia merupakan pencarian dan pembacaan ke atas bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang penyelidikan yang dilakukan yang mana di dalam penyelidikan ini ia melibatkan bahan bacaan yang berkaitan dengan penyesuaigunaan bangunan bersejarah, pemuliharaan bangunan bersejarah, industri perhotelan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kajian teori banyak membantu memberi gambaran dan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan penyelidikan yang sedang dijalankan. Jurang penyelidikan antara penyelidikan yang sedang dilakukan dengan penyelidikan-penyelidikan terdahulu juga dapat dikenal pasti bagi memastikan penyelidikan yang dijalankan adalah asli dan tidak bertindan dengan penyelidikan yang telah dijalankan oleh penyelidik lain sebelumnya (Yin, 2003).

Teori bagi penyelidikan yang dijalankan boleh diperolehi daripada berbagai sumber. Sumber yang paling mudah diperolehi oleh penyelidik adalah dari bahan bacaan, pemerhatian atau dari media elektronik. Bahan bacaan merupakan sumber data berbentuk teori yang paling mudah diperolehi dan paling berkesan. Ianya boleh didapati samada daripada perpustakaan, pusat sumber mahupun kedai buku yang mudah di dapati di mana-mana. Bahan bacaan sebenarnya tidak terhad kepada buku semata tetapi ia boleh didapati daripada akhbar, jurnal, artikel, majalah, laman sesawang dan sebagainya (Cresswell, 1994).

4.4.4    Kajian Rintis
Kajian rintis atau lebih dikenali sebagai ‘pilot study’ merupakan kajian yang telah dilakukan pada peringkat awal penyelidikan. Kajian rintis dilakukan adalah bagi membantu mengenal pasti arah tuju penyelidikan dengan lebih tepat. Kajian rintis juga merupakan pra soal selidik yang mana ia banyak membantu di dalam mereka bentuk soalan yang lebih tepat bagi borang soal selidik (Badan Warisan Malaysia, 1990a). Kajian rintis bagi penyelidikan ini dilakukan secara tinjauan diikuti dengan soal selidik ringkas yang telah dijalankan ke atas pelancong-pelancong iaitu pengguna utama hotel yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.

Tinjauan telah dilakukan di sekitar kawasan penyelidikan dengan memberi penekanan ke atas hotel-hotel yang terdapat di kedua Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut. Daripada tinjauan yang dilakukan, didapati bahawa pelbagai jenis hotel boleh didapati di Tapak Warisan Dunia Melaka dan George Town. Daripada hotel bajet sehinggalah ke hotel bertaraf lima bintang. Namun begitu, kebanyakan hotel yang terhasil daripada konsep penyesuaigunaan bangunan sejarah adalah hotel bajet yang banyak disuaiguna daripada rumah kedai yang dibina ketika zaman pemerintahan Inggeris dan Belanda. Hasil daripada kajian rintis yang dilakukan telah membantu di dalam penyediaan soal selidik kajian lapangan yang akan dilakukan seterusnya dan yang paling penting kajian rintis ini telah menyokong pembentukan objektif penyelidikan yang dijalankan.

Di dalam kajian rintis ini, temu ramah telah dilakukan bersama dengan pelancong dan tetamu hotel di kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mendapatkan maklum balas pelancong berkenaan penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di kedua Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut. Pelancong merupakan responden yang paling sesuai bagi temu ramah ini memandangkan hotel merupakan keperluan utama mereka sepanjang tempoh mereka melancong. Pelancong luar secara tidak langsung merupakan antara pihak yang terlibat di dalam industri perhotelan negara. Pelancong yang dipilih secara rawak merupakan sampel yang tidak terikat dengan mana-mana pihak sama ada pemilik bangunan bersejarah mahupun pemilik hotel. Analisis telah dilakukan ke atas kajian rintis dan keputusannya banyak membantu penyelidik mengenal pasti skop dan objektif penyelidikan yang dilakukan.


Rajah 4.2: Kaedah penyelidikan kajian rintis.

4.4.5    Kajian Lapangan dan Pungutan Data
Kajian lapangan adalah kajian yang dilakukan kesinambungan daripada kajian rintis dan kajian literatur yang telah dijalankan pada peringkat permulaan penyelidikan. Pada peringkat kajian rintis, fokus penyelidikan telah dikenal pasti dan ini banyak membantu di dalam kajian lapangan yang dijalankan (Badan Warisan Malaysia, 1990a). Bagi penyelidikan ini, fokus telah diberikan kepada bangunan bersejarah yang telah disuai guna sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.

Pada peringkat kajian lapangan, data telah dikutip berdasarkan keperluan penyelidikan. Pungutan data merupakan proses yang amat penting di dalam penyelidikan ini. Data yang dipungut boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu data primer dan data sekunder (Fellows dan Liu, 2003). Bagi penyelidikan ini, kedua-dua data iaitu data primer dan data sekunder telah dipungut memandangkan kedua-dua data mempunyai tahap kepentingan yang sama penting. Data primer bagi penyelidikan ini telah diperolehi daripada pungutan data yang dibuat di lapangan. Ia adalah gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif yang mana data dipungut, dikumpul dan seterusnya dianalisis untuk mendapatkan keputusan bagi penyelidikan ini. Manakala bagi data sekunder pula adalah data yang diperolehi dari sumber literatur. Antara sumber di mana data sekunder ini diperolehi adalah daripada penerbitan kerajaan, rekod-rekod badan bukan kerajaan, bahan bacaan seperti jurnal, buku, majalah, prosiding, akhbar, laman dan media masa malahan ia boleh di dapati daripada internet (Mohd Sheffie Abu Bakar, 1987). Dua pendekatan yang digunakan untuk memungut data dalam penyelidikan ini ialah melalui kaedah seperti berikut:
1.     Pemerhatian dan temu bual melalui kajian lapangan.
2.     Penelitian dan pemerhatian melalui kajian kes.

4.4.5.1   Pemerhatian dan Temu Bual melalui Kajian Lapangan
Kajian lapangan yang dijalankan menggunakan pendekatan pemerhatian dan temu bual. Pemerhatian teliti telah dilakukan ke atas semua 86 buah hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Manakala temu bual pula telah dilakukan bersama responden yang dipilih iaitu pemilik, pekerja dan tetamu kesemua 86 buah hotel yang terletak di zon utama dan zon penampan di kedua-dua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut.

Borang soal selidik telah disediakan sebagai rujukan bagi kerja lapangan yang dijalankan. Borang soal selidik juga digunakan bagi memudahkan keseragaman pemerhatian dan temu bual yang dilaksanakan. Pemerhatian yang teliti amat penting di dalam membantu penyelidik membuat pertimbangan ketika proses pungutan data dilakukan. Data yang dipungut hasil daripada pemerhatian dan temu bual yang dilakukan direkodkan dengan menggunakan borang soal selidik yang seragam bagi kesemua sampel. Borang soal selidik yang seragam memastikan data yang seragam diperolehi dan kerja-kerja analisis data yang dijalankan akan menghasilkan keputusan yang tepat. Borang soal selidik juga dapat memastikan penyelidikan ini dapat dijalankan secara kaedah kuantitatif yang mana data yang dikumpul dapat diukur bagi mengenalpasti keputusan penyelidikan. Borang soal selidik yang disediakan merupakan panduan bagi penyelidik melakukan pemerhatian dan mengemukakan soalan ketika temu bual dilakukan. Secara tidak langsung ia melambangkan keperluan penyelidikan dan tujuan penyelidikan tersebut dijalankan. Soal selidik yang tidak tersusun dan tidak dapat menggambarkan keperluan penyelidikan hanya akan merugikan masa dan tenaga di dalam proses penyediaan dan pengisian borang soal selidik tersebut (Rea dan Parker, 2005).

Manakala bagi pungutan data yang dijalankan secara temu bual, penyelidik telah memaklumkan kepada responden tujuan penyelidikan dijalankan sebelum temu bual dijalankan. Ini bagi membantu responden mendapatkan gambaran awal apa yang perlu dijawab ketika temu bual dilakukan. Borang soal selidik yang disediakan perlu menepati kehendak-kehendak penyelidikan agar soal selidik yang dijalankan dapat memberi hasil yang optima kepada penyelidikan. Temu bual yang dijalankan perlulah berdasarkan data yang diperlukan sebagaimana yang ditetapkan di dalam borang soal selidik (Cresswell, 1994). Perkara-perkara berikut merupakan kriteria yang diambil berat ketika menyediakan borang soal selidik:
1.     Mengenal pasti data/ informasi yang diperlukan sebelum soal selidik disediakan.
2.     Menentukan jenis soalan yang akan digunakan, sama ada soalan terbuka atau tertutup.
3.     Menentukan kaedah pentadbiran yang akan digunakan.
4.     Memeriksa isi kandungan soalan individu.
5.     Menjangka kaedah tindak balas bagi setiap soalan.
6.     Memastikan penggunaan ayat yang sesuai bagi setiap soalan.
7.     Mengemas kini susunan soalan.
8.     Mengenal pasti kerektor fizikal soal selidik.
9.     Pra uji soal selidik sebelum diedarkan.

Soalan bagi borang soal selidik yang disediakan bagi penyelidikan ini adalah soalan dari jenis kombinasi soalan terbuka dan tertutup. Kedua jenis bentuk soalan ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Soalan terbuka adalah lebih sukar untuk dianalisa memandangkan ia tidak mempunyai pengukur khas bagi setiap jawapan yang diberi oleh responden yang berbeza-beza. Manakala bagi soalan berbentuk soalan tertutup berbagai jawapan akan disediakan oleh penyelidik di setiap soalan (Naoum, 2001). Responden hanya perlu memilih jawapan yang dirasakan sesuai. Namun begitu soalan jenis tertutup dirasakan mengongkong pendapat sebenar responden kerana jawapan yang disediakan adalah amat terhad.

Pemerhatian dan temu bual telah dijalankan oleh penyelidik dan dibantu oleh seorang pembantu penyelidik. Penyelidik dan pembantu penyelidik telah melakukan pungutan data secara pemerhatian dan temu bual dengan responden iaitu pemilik, pekerja dan tetamu hotel bagi mendapatkan respon terus daripada responden. Borang soal selidik diisi oleh penyelidik hasil daripada pemerhatian ke atas setiap hotel dan temu bual dengan responden. Borang soal selidik yang telah disi dan mempunyai maklumat yang mencukupi seterusnya dikompilasi bagi tujuan analisis. Pemerhatian dan temu bual bagi penyelidikan ini telah dijalankan selama empat bulan memandangkan kawasan kajian adalah sangat luas dan pemerhatian perlu dilakukan secara teliti disamping temu bual dengan pemilik hotel yang agak memakan masa. Pemerhatian telah dijalankan ke atas semua 86 buah hotel yang terdapat di kawasan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town tanpa mengira jenis hotel.




Gambar 4.1: Papan tanda yang menunjukkan sempadan kawasan pemuliharaan utama di Bandaraya Melaka Bersejarah yang telah dilawati oleh penyelidik.

Borang soal selidik telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagaian A dan bahagian B yang mana pada Bahagian A, merupakan 7 soalan tertutup untuk kesemua 86 buah hotel yang terletak di dalam zon pemuliharaan. Manakala bagi kaji selidik Bahagian B pula, 9 soalan direka dan diajukan khas kepada 35 buah hotel yang terhasil dari konsep suaiguna bangunan bersejarah di kawasan kajian. Kesemua soalan bagi Bahagian B juga adalah terdiri daripada soalan jenis tertutup. Penyelidik telah memilih soalan jenis ini bagi memudahkan penyelidik di dalam mengurus segala data yang telah dipungut dan memindahkannya ke perisian analisa data. Contoh borang soal selidik kajian lapangan ini adalah sebagai mana yang ditunjukkan pada Lampiran 1 di bahagian lampiran.

Kaedah soalan tertutup ini mengemukan beberapa pilihan kenyataan untuk dipilih berdasarkan keadaan hotel yang dianalisa. Hasil pemerhatian akan direkodkan berdasarkan soalan pada borang soal selidik. Persetujuan kenyataan yang bersesuaian dengan soalan akan ditanda pada jawapan pilihan. Data dari pemerhatian kemudiannya akan dikira dengan bantuan perisian komputer yang telah dipilih oleh penyelidik.

Rajah 4.3: Kaedah penyelidikan kajian lapangan dan pungutan data.



4.4.5.2   Penelitian dan Pemerhatian melalui Kajian Kes
Bagi penyelidikan ini, kajian kes juga telah dilakukan bagi menyokong data yang telah dikumpulkan melalui kaedah soal selidik. Kaedah ini merupakan kaedah yang memerlukan penelitian dan pemerhatian daripada penyelidik terutama ke atas bahan kajian sama ada ia berbentuk individu atau berkumpulan (Yin, 2003). Kajian kes telah dilakukan oleh penyelidik sendiri. Ia berbeza dengan kaedah lain, yang mana data boleh dikutip oleh pembantu penyelidik. Terdapat kekurangan dalam menggunakan kaedah ini. Pertamanya ialah kesukaran di dalam mendapatkan kes yang sesuai untuk dijadikan bahan kajian. Kedua, keputusan kajian bergantung kepada kepekaan penyelidik di dalam membuat pemerhatian dan ianya adalah sesuatu yang subjektif. Penyelidik juga boleh dipengaruhi oleh sikap bias dalam merekod segala pemerhatiannya. Sikap bias penyelidik perlulah dielakkan bagi mengelakkan keputusan yang dihasilkan nanti adalah keputusan yang berpihak kepada bias penyelidik itu sendiri. Namun begitu bagi mengatasi kekurangan ini kebanyakan penyelidik menggunakan pendekatan meggunakan kaedah ini diikuti dengan kaedah soal selidik bagi mendapatkan liputan data yang lebih meluas (Crowther dan Lancaster, 2008).

Untuk penyelidikan ini, kajian kes telah dilakukan ke atas empat buah hotel yang terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Dua daripadanya terletak di zon pemuliharan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka, manakala dua buah lagi terletak di zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Hotel-hotel ini dipilih berdasarkan penggunaan konsep penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang telah digunapakai. Kajian kes yang dilakukan telah melihat dengan lebih teliti setiap aspek hotel ini daripada sejarah latar belakangnya, penyesuaigunaan yang telah dilakukan sehinggalah operasi yang dijalankan oleh hotel-hotel ini hari ini.


Rajah 4.4: Kaedah penyelidikan cara kajian kes.

4.4.6    Memproses dan Menganalisis Data
Data yang telah dipungut haruslah dianalisis untuk membolehkan penyelidik mendapat keputusan bagi masalah yang dikaji (Mohd Salleh Abu dan Zaidatun Tasir, 2001). Bagi penyelidikan ini, data yang telah dipungut dikompilasi untuk dianalisis kepada satu informasi atau keputusan yang berguna. Perkara pertama yang dilakukan dalam membuat analisis data ini ialah memastikan soal selidik yang telah dibuat mengikut ketetapan berikut:

1.     Memastikan semua data yang dipungut adalah lengkap.
2.     Borang soal selidik yang dijawab mudah dibaca.
3.     Memastikan jawapan yang diberi mudah difahami.
4.     Menerima jawapan yang konsisten.
5.     Memastikan keseragaman di dalam menjawab soal selidik.

Apabila segala faktor di atas telah dipenuhi, maka data-data tersebut mula dikodkan dan ditukarkan ke bentuk data numerik. Data numerik ini membolehkan pemprosesan data secara statistik dijalankan untuk memberikan informasi yang berguna kepada penyelidik (Coakes dan Steed, 2003). Bagi penyelidikan ini, data yang telah dipungut melalui pemerhatian dianalisis menggunakan perisian komputer SPSS versi 16.0. Perisian ini mempunyai berbagai fungsi analisis yang dapat menghasilkan keputusan antaranya seperti menghasilkan perbandingan taburan frekuensi dan peratusan bagi setiap analisa yang dilakukan. Keputusan yang diperolehi diilustrasikan dalam bentuk penerangan, jadual dan carta bar di mana keputusan ini dapat dilihat dengan jelas tanpa memerlukan huraian yang panjang lebar (Kirkpatrick dan Feeney, 2005).

Manakala bagi pungutan data secara kajian kes, analisa dilakukan dengan menggunakan pertimbangan penyelidik berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan. Menurut Yin (2003), penyelidik perlulah menjauhi sikap bias ke atas mana-mana subjek kajian bagi memastikan keputusan yang tepat dapat diperolehi. Penyelidik akan merekodkan segala kajian yang dilakukan seterusnya melaporkan segala keputusan yang diperolehi.

4.4.7    Mengemukakan Penemuan dan Kesimpulan
Penemuan dan kesimpulan penyelidikan adalah rumusan yang dibuat hasil daripada analisa data dan kajian kes yang telah dibuat. Menurut Salkind (2000), ia adalah jawapan atau penyelesaian kepada permasalahan yang telah diutarakan bagi penyelidikan ini. Penemuan dan kesimpulan penyelidikan merupakan sesuatu yang ditunggu bagi setiap penyelidikan yang dibuat. Ia merupakan pelengkap sesebuah penyelidikan di mana penemuan adalah apa yang dicari sejak dari awal penyelidikan. Penemuan dan kesimpulan yang dibuat akan merujuk kepada objektif penyelidikan bagi memastikan segala permasalahan dan persoalan penyelidikan terjawab. Hasil daripada penemuan dan kesimpulan ini juga penyelidik telah memberi cadangan bagi menambah baik kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Malaysia.

4.4.8    Menulis laporan
Penyelidikan yang telah dijalankan direkodkan dalam bentuk laporan terperinci. Laporan ini merangkumi segala hal yang berkaitan dengan penyelidikan yang telah dijalankan. Dengan adanya laporan ini, berbagai pihak boleh menggunakannya bagi mengembangkan pengetahuan sedia ada dan menggunakannya sebagai rujukan bagi penyelidikan lain yang akan dibuat (Naoum, 2001).

4.5       Rumusan
Metodologi penyelidikan merupakan aset penting di dalam memastikan sesuatu penyelidikan berjalan lancar dan penyelidikan dapat dihasilkan dengan jayanya. Metodologi penyelidikan secara amnya merupakan perancangan penyelidikan dari peringkat awal sehinggalah ke peringkat akhir penyelidikan. Seringkali metodologi yang dipilih bergantung kepada bidang dan pengkhususan sesuatu penyelidikan. Bagi penyelidikan ini, kaedah kualitatif dan kuantitatif telah digunakan kerana kedua kaedah ini dilihat saling melengkapi di antara satu sama lain. Setiap kaedah penyelidikan yang digunakan menghasilkan keputusan penyelidikan yang tersendiri tetapi apabila digabungkan menghasilkan keputusan penyelidikan yang lebih baik.

Bagi penyelidikan ini skop penyelidikan adalah terhad di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town manakala sampel yang dipilih pada peringkat awal adalah hotel-hotel yang terletak di dalam kedua kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut. Pada peringkat kedua, sampel terpilih iaitu hotel hasil suaiguna telah dipilih untuk mendapatkan maklum balas khusus berkenaan penyesuaigunaan dan tahap penyesuaigunaan yang telah dilakukan. Analisis telah dijalankan dengan menggunakan perisian komputer sehingga menghasilkan keputusan yang menjawab objektif penyelidikan selama ini. Penemuan yang diperolehi daripada penyelidikan ini diharap boleh digunakan oleh semua pihak yang terlibat di dalam bidang penyesuaigunaan bangunan bersejarah khususnya dan masyarakat amnya.

1 comment:

scott davidson said...

Very effective stylization of the attractive woman, absorbed in her sewing. Nice flowing purple cloth leading into the distance. Quite different, and somehow the same, as this woman resting from her sewing in a sunny garden, painted by American impressionist artist Frederick Carl Frieseke, http://EN.WahooArt.com/A55A04/w.nsf/OPRA/BRUE-8DP6G8. The painting can be seen at wahooart.com, and ordered as a canvas print.