Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 3 Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 3
PENYESUAIGUNAAN BANGUNAN BERSEJARAH DI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO MELAKA DAN GEORGE TOWN


3.1       Pengenalan
Bangunan bersejarah yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town kebanyakannya adalah mewakili bangunan yang dibina sebelum zaman perang. Ia mempunyai reka bentuk seni bina yang banyak dipengaruhi oleh pedagang dan penjajah dan bangunan-bangunan ini masih kekal sehingga kini dalam keadaan yang baik. Namun begitu terdapat beberapa buah bangunan bersejarah yang telah dirobohkan dan ada juga yang berada dalam keadaan teruk atau usang. Justeru itu, usaha untuk menyesuaiguna bangunan bersejarah yang ada sebagai hotel warisan merupakan langkah yang perlu diambil agar generasi akan datang berpeluang untuk melihat, menikmati dan mempelajari apa yang terkandung disebalik bangunan bersejarah yang ada.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George town merupakan satu langkah bijak di dalam mengoptimakan penggunaan sebuah bangunan bersejarah sedia ada. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel adalah mengguna pakai bangunan bersejarah yang telah dipulihara tanpa perlu membina bangunan baru untuk tujuan industri perhotelan negara. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town merupakan serampang dua mata yang mana kerja penyesuaigunaan bukan sahaja dapat menyelamatkan bangunan bersejarah daripada pupus tetapi secara tidak langsung dapat membantu industri perhotelan dan pelancongan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town khususnya dan Malaysia amnya.

1.     Rumah Tumpangan Chong Hoe, Jalan Tukang Emas, Banda Hilir, Melaka.
2.     Hotel Aldy, Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka.
3.     Discovery Guest House, Jalan Bunga Raya, Banda Hilir, Melaka.
4.     Friendship Motel, Lebuh Penang, George Town, Pulau Pinang.
5.     SD Guest House, Lorong Cinta, George Town, Pulau Pinang.
6.     Star Lodge, Lebuh Muntri, George Town, Pulau Pinang.
7.     75 Travellers Lodge, Lebuh Muntri, George Town, Pulau Pinang.
8.     Western Oriental Guest House, Lebuh Muntri, George Town, Pulau Pinang.
9.     Hang Chow Hotel, Lebuh Chulia, George Town, Pulau Pinang.

Gambar 3.1: Antara contoh sebahagian daripada hotel yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.

3.2       Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town
Menurut UNESCO, Tapak Warisan Dunia UNESCO ialah sebuah tempat yang mempunyai kepentingan nilai sejagat yang perlu dikongsi dengan semua negara di dunia. Bukan mudah untuk sesebuah negara mendapat pengiktirafan bagi tapak, kawasan, bangunan atau monumennya sebagai salah satu warisan dunia. Pertimbangan yang teliti dilakukan oleh UNESCO berdasarkan ciri-ciri kepentingan nilai sejagat yang ada pada sesebuah tapak itu sebelum mengisytiharkannya sebagai Warisan Dunia (UNESCO, 1999). Penyenaraian sesebuah tempat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bermakna sesebuah tempat itu perlu dikongsi bersama dengan seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan negara. Malaysia sebelum ini telah mempunyai dua buah Tapak Warisan Semula jadi yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Disember 2000. Dua buah Tapak Warisan Semulajadi tersebut ialah Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Gunung Kinabalu di Sabah. Idea untuk menyenaraikan Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO telah timbul sejak 1998. Namun, senarai tentatif telah dihantar kepada Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO pada November 2000. Tentatif ini menyatakan keinginan Malaysia untuk menghantar nominasi gabungan antara Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (Jabatan Warisan Negara, 2008).

Permohonan atau dossier untuk disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO telah dihantar ke UNESCO oleh Melaka dan George Town sebanyak dua kali. Dossier pertama telah dihantar pada 2004, namun permohonan pada kali pertama telah gagal atas alasan ianya tidak mematuhi format yang digariskan dan dianggap tidak lengkap. Permohonan kali kedua telah dilakukan semula pada Januari 2007 dan UNESCO telah mengesahkan permohonan tersebut lengkap pada Mac 2007. Dossier kedua telah membuahkan hasil yang mana Melaka dan George Town akhirnya telah berjaya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 (Jabatan Warisan Negara, 2008). Kejayaan ini telah disambut gembira oleh penduduk Melaka dan George Town khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Penyenaraian ini membawa banyak makna tersendiri kepada penduduk, negeri malahan negara sama ada dari segi sejarah mahu pun pembangunan kedua buah bandar berkenaan.

Keunikan kedua buah bandar ini perlu dikongsi oleh seluruh masyarakat dunia. Pengiktirafan yang diterima merupakan sesuatu yang sangat bermakna kerana ia akan membantu mempromosikan negara ke mata dunia. Banyak kriteria dan justifikasi yang perlu dipenuhi oleh sesebuah tapak warisan bagi mendapatkan pengiktirafan dari UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Syarat, kriteria dan justifikasi yang telah dipenuhi perlulah sentiasa dijaga bagi memastikan pengiktirafan ini dapat bertahan selamanya (UNESCO, 2003; ICOMOS, 2008). Secara umumnya kedua buah bandar ini telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan kriteria (ii), (iii) dan (iv) iaitu tiga daripada enam nilaian kebudayaan yang telah digariskan oleh UNESCO. Sebagaimana yang ditunjukkan dalam jadual di bawah, kriteria-kriteria tersebut membawa maksud berikut:

Jadual 3.1: Kriteria Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dipunyai oleh Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.


Kriteria


Nilaian

1.   Kriteria ii.
·     Untuk mempamerkan kepentingan perubahan yang berlaku di dalam nilai kemanusiaan, melalui jangka masa atau di dalam kawasan budaya dunia, dari segi pembangunan seni bina atau teknologi, seni monumen, perancangan bandar atau reka bentuk landskap.
2.     Kriteria iii.
·       Untuk mengingati keunikan atau sekurang-kurangnya memberi testimoni kepada tradisi budaya atau kepada ketamadunan sama ada yang hidup atau yang telah tiada.
3.     Kriteria iv.
·      Menjadi contoh terbaik kepada jenis bangunan, kumpulan seni bina atau teknologi atau landskap yang memberi illustrasi terbaik kepada peringkat sejarah manusia.

Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007c).

Pengisytiharan Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tanggal 7hb. Julai 2008 juga telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat dan negara. Antaranya ialah:
1.     Penduduk tempatan dan pemilik bangunan lebih menghargai tempat tinggal mereka apabila mendapati ianya mempunyai nilai warisan yang amat tinggi.
2.     Jumlah pelancong akan meningkat kerana kebanyakan pelancong ingin menyaksikan sendiri Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diisytiharkan.
3.     Lebih banyak peluang pekerjaan terbuka kepada masyarakat tempatan sama ada dalam penglibatan ekonomi atau perkhidmatan dalam industri pelancongan.
4.     Kenaikan nilai hartanah meningkat di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
5.     Proses penambahbaikan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town akan terus dijalankan bagi memastikan pengiktirafan dan penyenaraiannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO terus kekal.
6.     Lebih banyak geran dan dana pemuliharaan akan diberikan dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah yang terdapat dalam Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
7.     Lebih banyak penyelidikan tentang kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO ini akan dijalankan oleh pihak-pihak yang berminat.
8.     Membantu menambah ekonomi negara melalui industri pelancongan warisan.


Gambar 3.2: Papan tanda yang dibina khas oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sempena pengisytiharan Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

Penyenaraian Melaka dan George Town sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan kebanggaan kepada negara namun sebenarnya pengiktirafan ini disertai dengan satu tanggungjawab yang berat. Pihak Berkuasa Tempatan terutamanya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) perlu memastikan bahawa kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO ini tidak akan digugat oleh arus kemodenan yang terlampau yang mana akan membawa kepada penarikan semula gelaran Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut. Namun, semua pihak perlulah sama-sama bertanggungjawab menjaga kedua buah bandar warisan dunia ini agar pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ini terus kekal dan pemuliharaan warisan akan terus dijalankan untuk tatapan generasi akan datang (Jabatan Warisan Negara, 2007c).

Keunikan Melaka dan George Town telah meletakkan kedua buah bandar ini sebaris dengan bandar-bandar warisan lain di dunia. Kejayaan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia menjadikan kedua buah bandar ini kini antara tumpuan dunia (Khor 2008). Melaka da George Town telah tersenarai sebagai antara Warisan Dunia UNESCO dan telah diperakui di bawah terma Konvensyen Perlindungan Kebudayaan Dunia dan Warisan Semulajadi yang telah disahkan pada Persidangan UNESCO yang ke 17 di Kuala Lumpur. Malaysia telah menyertai konvensyen ini pada 1988. Sehingga kini senarai warisan dunia ini telah mempunyai lebih daripada 700 senarai warisan meliputi lebih 125 negara atau kawasan yang menyertai konvensyen berkenaan (Prihatmanti dan Azizi Bahauddin, 2011).

Kedua buah bandar ini satu ketika dulu merupakan antara bandar yang amat dikenali kerana merupakan sebahagian daripada Negeri Selat yang terdiri daripada tiga buah negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura (Dumarcay dan Smithies, 2004). Ketiga buah negeri ini terkenal sebagai pelabuhan dan pusat aktiviti perdagangan tumpuan pedagang-pedagang dari seluruh dunia dan pemerintah British. Kesan daripada aktiviti yang dijalankan telah menjadikan kedua buah bandar ini sebagai pusat gabungan budaya Asia dan Eropah yang kaya dengan berbagai warisan kebudayaan sama ada warisan ketara atau tidak (Fong, 1999). Bandar Melaka pada asalnya diterokai oleh orang Melayu yang kemungkinannya berasal daripada Palembang Sumatera dan kemudian diikuti oleh kedatangan orang-orang Portugis, Belanda, British dan juga imigran dari China (Mohd Yusoff Hashim, 2006). Kedatangan orang luar ke Melaka kerana penaklukan dan perdagangan telah membawa banyak pengaruh luar ke atas corak kehidupan penduduk di Melaka (Mohd Yusoff Hashim, 2005). Contohnya kedatangan imigran China telah membawa bersama kepercayaan agama, ketuhanan, kepercayaan dan seni bina. Begitu juga dengan imigran lain dan pemerintah yang turut membawa bersama budaya kehidupan daripada tempat asal mereka sehinggalah ianya menjadi budaya yang diamalkan oleh masyarakat di negara ini (Vlatseas, 1990). Kebanyakan pendatang yang datang ke sini lebih selesa tinggal di penempatan yang majoritinya dihuni oleh sesama mereka. Ini secara tidak sedar telah membentuk pola penempatan masyarakat tersendiri di Melaka (Jeremiah, 2001).

Sejarah George Town pula bermula dengan pembukaannya oleh Sir Francis Light pada 1786. Ia telah diikuti dengan berbagai rentetan sejarah lain. Kedudukannya sebagai sebuah pelabuhan terkenal satu ketika dulu telah membawa kemasukan pedagang daripada berbagai pelusuk dunia. Daripada perdagangan seterusnya membawa kepada penempatan kekal sehingga membentuk penempatan berbagai kaum di dunia di George Town. Ia dikenali sebagai sebuah bandar warisan yang hidup satu ketika dulu dan merupakan sebuah bandar bersejarah yang dipenuhi dengan berbagai kaum dan budaya (Nin, 2001). Kini Pulau Pinang yang dikenali sebagai Pulau Mutiara merupakan antara pusat tumpuan pelancong luar ke Malaysia terutamanya bagi mereka yang ingin melihat sejarah kebudayaannya apatah lagi apabila George Town telah tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO ini telah dibahagikan kepada dua zon iaitu zon utama atau ‘core zone’ dan zon penampan atau ‘buffer zone’. Zon utama merupakan kawasan yang mempunyai kekuatan atau kelebihan berbanding dengan zon penampan (Jabatan Warisan Negara, 2008). Badaruddin Mohamed (2005) menafsirkan zon penampan sebagai kaedah kritikal bagi menjaga posisi penting Tapak Warisan Dunia UNESCO. Zon penampan perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada keseluruhan pelan perancangan utama dan dan perlu diberi keutamaan kerana ia bertindak sebagai penunjuk kemajuan sesebuah kawasan. Namun begitu kedua-dua zon adalah sama penting dan memainkan peranan utama di dalam mengekalkan pengiktirafan yang telah diterima dari UNESCO.

3.3       Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka merupakan sebuah bandar yang cukup dikenali di Malaysia sebagai sebuah negeri yang amat kaya dengan sejarahnya dan antara bandar yang tertua di Malaysia. Mengikut Syed Zainol Abidin Idid (1995), terdapat sebanyak 2,177 buah bangunan sebelum perang terdapat di Melaka. Sebanyak 1,844 buah daripadanya berada di tengah-tengah bandar Melaka manakala yang selebihnya terletak di bandar kecil di sekitar Melaka seperti Jasin, Pulau Sebang, Alor Gajah dan Masjid Tanah. Kebanyakan bangunan sebelum perang di Melaka dibina pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19. Kebanyakan reka bentuk seni binanya berbentuk era rumah kedai awal dan era peralihan dan mempunyai ketinggian setinggi dua dan tiga tingkat. Ia mempamerkan pelbagai reka bentuk seni bina dan ia memberikan kesan yang menarik kepada bandar ini.

3.4       Latar belakang Sejarah Melaka
Bandaraya Melaka dahulunya merupakan sebuah perkampungan orang-orang Laut di muara Sungai Melaka. Kebanyakan penduduknya adalah merupakan nelayan. Menurut Mohd Yusoff Hashim (2006), Sungai Melaka merupakan penentu perletakan penempatan di Melaka. Di kedua-dua bahagian tebing Sungai Melaka terdapat perkampungan-perkampungan kecil dan kebanyakan penduduknya adalah para pekerja dan orang suruhan istana. Lama kelamaan kawasan tebing sungai ini padat dan kawasan penempatan terpaksa dilebarkan sehingga ke seberang sungai iaitu di sepanjang pantai. Akibat daripada itu, jambatan untuk menyeberangi sungai terpaksa dibina untuk memudahkan pergerakan penduduk. Kedatangan Parameswara, putera raja dari Sumatera selepas tahun 1400 telah menjadikan Melaka sebuah asas penempatan dan seterusnya berkembang sebagai sebuah empayar. Zaman pemerintahan Kesultanan Melaka adalah zaman kegemilangan Melaka yang amat bersejarah. Sultan Muzaffar Shah telah menjadikan Melaka sebuah empayar yang penting dan berpengaruh ketika pemerintahannya. Manakala Sultan Mansur Shah pula telah memastikan Melaka menjadi empayar yang gemilang pada pertengahan abad ke-15 iaitu antara tahun 1459-1477. Ketika inilah Melaka mula membangun dengan kekuatan tersendiri dari segi struktur politik, sosial dan ekonomi. Namun begitu, zaman pemerintahan Kesultanan Melaka ini hanya dapat bertahan sehingga tahun 1511 sahaja. Selepas dari itu, banyak kuasa luar mula berminat untuk menakluki Melaka. Ia bermula dengan Portugis dari tahun 1511 sehingga 1641. Diikuti oleh Belanda bermula pada tahun 1641 hingga 1824 dan seterusnya Inggeris dari tahun 1824 hingga 1957. Kegemilangan Melaka di rantau ini banyak bergantung pada kedudukannya. Kedudukannya yang strategik, menjadikannya sebuah pelabuhan yang sibuk dan menjadi tumpuan kapal dari Timur Tengah, China, India, dan Eropah untuk singgah sehinggakan ianya pernah digelar Venice Timur (Mohd Yusoff Hashim, 2005).

Empayar perniagaan telah berkembang di sini dan keadaan ini telah mendorong pedagang yang datang dari seluruh dunia menetap di Melaka. Kehadiran mereka meninggalkan pelbagai warisan, budaya dan seni bina yang kini menjadi peninggalan sejarah dan warisan yang amat berharga. Daripada perdagangan yang pesat dan penjajahan telah lahir berbagai bangsa di sini antaranya Cina Peranakan atau lebih dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Di sini juga boleh didapati berbagai bahasa antaranya bahasa kristang atau cristao yang digunakan oleh orang Portugis yang telah menjajah Melaka pada kurun 16 dan 17. Selain daripada sejarah yang terhasil oleh perdagangan dan pemerintahan luar, tidak ketinggalan sejarah Melaka dikenali juga dengan kekayaan budaya Melayu dan kehebatan lima panglimanya iaitu Hang Tuah lima bersaudara (Mohd Yusoff Hashim, 2005). Melaka mempunyai keluasan sebanyak 1,658km2 dan terdiri daripada tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

3.5       Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
Kedudukan jalan yang terdapat di Melaka membentuk identitinya yang tersendiri. Pembentukan jalan yang ada dipengaruhi oleh faktor sejarah, seni bina dan ekonomi. Jalan-jalan utama yang membentuk identititi ini antaranya adalah seperti Jalan Bunga Raya, Jalan Bendahara, Jalan Gelanggang, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat dan Jalan Hulu (Erne Hamsah, 2006). Secara umumnya, kawasan pemuliharaan yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka ini telah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu zon utama dan zon penampan. Keluasan kawasan di zon utama adalah sebanyak 36.82 hektar manakala keluasan kawasan di zon penampan pula adalah 134.03 hektar. Jumlah keseluruhan keluasan kawasan zon pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka ini adalah seluas 170.65 hektar.

Manakala dari segi jumlah bangunan warisan yang terdapat di dalam kawasan zon pemuliharaan ini pula adalah sebanyak 930 buah bangunan terdapat di dalam kawasan zon utama. Manakala sebanyak 948 buah bangunan lagi terdapat di dalam kawasan zon penampan dengan jumlah keseluruhan bangunan yang terdapat di zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka ialah sebanyak 1,878 buah bangunan (Jabatan Warisan Negara, 2007b). Nisbah pecahan peratusan kawasan dan bangunan untuk kedua-dua zon sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka ditunjukkan dengan jelas dalam jadual berikut:

Jadual 3.2: Keluasan kawasan di zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.


Zon


Keluasan Kawasan (ha)


Peratus Kawasan (%)

1.     Zon Utama
36.82 hektar
21.32 %
2.     Zon Penampan
134.03 hektar
78.68 %
Jumlah:
170.65 hektar
100.00 %

Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).

Jadual 3.3: Jumlah bangunan di zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.


Zon


Jumlah Bangunan


Peratus Bangunan (%)

1.     Zon Utama
930
49.52 %
2.     Zon Penampan
948
50.48 %
Jumlah:
1,878
100.00 %

Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).




Rajah 3.1: Pelan menunjukkan zon utama (core zone) dan zon penampan (buffer zone) di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.
Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).
3.6       Pihak yang Terlibat di dalam Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2006) mengandungi pelbagai garis panduan dan strategi pemuliharaan termasuklah bagi kerja-kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah. Pelan ini merupakan satu panduan dan strategi pemuliharaan yang memberikan kuasa perundangan bagi pihak yang terlibat melaksanakan kawalan dan memandu kerja-kerja penyesuaigunaan dalam kawasan pemuliharaan yang digazetkan. Bagi memastikan setiap usaha pemuliharaan dan pembangunan dalam zon pemuliharaan dijalankan berpandukan garis panduan yang telah disediakan, semua pihak perlulah menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

Setiap pihak yang terlibat menjadi agen penggalak dan pengawalan. Tanggungjawab, peranan dan bidang kuasa setiap pihak ke atas skop pelan tindakan diperjelas supaya setiap pihak terlibat dapat menjalankan tugas yang diwajibkan dan memastikan setiap butiran dalam pelan tindakan dikuatkuasakan. Bahagian ini akan menjelaskan bidang kuasa dan peranan agensi-agensi yang terlibat dalam melaksanakan Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2006). Antara pihak yang dimaksudkan berkenaan ialah:
1.     Unit Konservasi – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
2.     Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka (JPBD).
3.     Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

3.6.1    Unit Konservasi - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), merupakan pihak berkuasa perancangan tempatan yang bertanggungjawab secara langsung ke atas pembangunan dan kawalan ke atas kawasan pemuliharaan di Melaka. Satu masa dahulu kerja pemuliharaan di Melaka merupakan tanggungjawab PERZIM. Namun tanggungjawab tersebut telah dipindahkan ke MBMB selepas MBMB melakukan penstrukturan semula. MBMB telah membentuk Unit Konservasi di bawah Jabatan Perancangan dan Kawalan Pembangunan (JPKP) sebagai jabatan yang bertanggungjawab penuh di dalam segala hal yang berkaitan dengan pemuliharaan dan pembangunan di bandar warisan Melaka. Terdapat tiga bahagian utama di dalam jabatan ini iaitu Bahagian Pentadbiran, Bahagian Perancang Bandar dan Bahagian Kawalan Bangunan (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2011).


Rajah 3.2: Struktur organisasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)
Sumber: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2011).


3.6.2    Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Melaka
Bidang kuasa dan tugas Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Melaka lebih memihak kepada peringkat kelulusan dasar iaitu setelah keputusan dicapai pada peringkat kelulusan teknikal oleh Jawatankuasa Teknikal. Dalam konteks kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah ini, JPBD Negeri Melaka bertindak sebagai setiausaha dalam Jawatankuasa Konservasi Negeri. Sebagai setiausaha, JPBD Negeri Melaka berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri berhubung dengan polisi, pentadbiran dan pengurusan ke atas warisan budaya dan kawasan pemuliharaan.

Pihak JPBD juga mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan yang diberikan pada peringkat teknikal oleh MBMB atau PERZIM jika pandangan JPBD negeri bahawa kelulusan itu bercanggah dengan kepentingan negeri atau perkara yang difikirkan itu lebih mustahak. Begitu juga, JPBD berhak membuat pertimbangan untuk meluluskan permohonan yang telah ditolak pada peringkat teknikal. Namun begitu, pertimbangan-pertimbangan yang dibuat harus dibincangkan bersama dengan Jawatankuasa Teknikal, terutamanya dengan pihak MBMB dan PERZIM. Ini bagi membolehkan perjalanan pentadbiran kawasan pemuliharaan berjalan lancar dan mengurangkan karenah birokrasi (Jabatan Perancang Bandar dan Desa Melaka, 2011).

3.6.3    Perbadanan Muzium Melaka
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) merupakan antara pihak berkuasa yang bertanggungjawab berdasarkan Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka, 1988 (Enakmen Pemuliharaan). Ia banyak menjalankan kerja-kerja pengekalan, pemuliharaan dan menguruskan bangunan dan monumen warisan di bawah Enakmen Pengekalan dan Pemuliharaan Budaya Warisan Negeri Melaka 1988 (Pindaan 1993). Kini PERZIM tidak lagi dibebani dengan tugas yang besar selepas tanggunjawab kerja pemuliharaan diserahkan kepada Jabatan Warisan Negara dan Unit Konservasi MBMB. Namun begitu, PERZIM masih bertanggungjawab melakukan kerja pemuliharaan pada kebanyakan muzium yang terdapat di Melaka. Bangunan Stadhuys yang terkenal di Melaka merupakan antara bangunan di bawah seliaan PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka, 2006a). Tanggungjawab PERZIM kini lebih khusus sebagai pakar perunding pada pemilik bangunan warisan dalam memberi khidmat nasihat dan pengetahuan kepakaran dalam mengendalikan kerja-kerja pemuliharaan (Perbadanan Muzium Melaka, 2006a).


Rajah 3.3: Carta organisasi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Sumber: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2011).

3.7       Skop Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka perlu mematuhi peraturan-peraturan berkaitan pemuliharaan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan badan-badan antarabangsa. Peraturan yang ada secara tidak langsung telah menetapkan bahawa bangunan bersejarah yang terletak di dalam kawasan zon pemuliharaan perlulah turut sama melalui proses pemuliharaan. Kerja penyesuaigunaan yang dilakukan perlulah dilakukan dengan teliti bagi memastikan bangunan yang disuaiguna tetap terpulihara. Semua peraturan yang melibatkan kerja pemuliharaan secara tidak langsung perlu diikuti oleh bangunan bersejarah yang melakukan kerja penyesuaigunaan. Bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka, Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran 1988 negeri Melaka merupakan sumber rujukan yang di gunakan bagi sebarang masalah atau isu yang timbul berkaitan dengan kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan. Terdapat penggunaan istilah pemuliharan dan pemeliharaan di dalam Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan Melaka (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2006). Bagi penyelidikan ini penyeragaman telah dilakukan di mana semua istilah pemeliharaan telah diseragamkan sebagai pemuliharaan setelah diteliti bahawa kedua istilah tersebut membawa maksud yang sama bagi pelan ini. Merujuk kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2008), kawasan pemuliharaan di Melaka telah ditentukan berdasarkan kepada beberapa kriteria berikut:
1.     Mempunyai bangunan-bangunan yang bernilai tinggi yang menjadi bukti kepada era peninggalan sejarah.
2.     Kawasan perdagangan asal yang mempunyai bangunan-bangunan bernilai kepentingan budaya yang tinggi dan tidak semestinya mempunyai nilai sejarah.
3.     Kawasan yang menyumbang tinggi kepada imej bandar tradisional dan bersejarah.

Kawasan ini secara umumnya meliputi kawasan-kawasan seperti berikut:
1.     Perkarangan Kompleks Sejarah Melaka iaitu Bukit St. Paul, Jalan Kota, Jalan Gereja, Lorong Gereja dan Jalan Laksamana.
2.     Kawasan kediaman dan pusat bandar lama meliputi Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Lorong Hang Jebat, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekiu, Jalan Hang Lekir, Jalan Tukang Besi, Jalan Tukang Emas, Jalan Tokong, Jalan Kampong Kuli, Jalan Kampong Pantai, Jalan Kampong Hulu, Jalan Kubu, Jalan Portugis, Jalan Masjid, Lorong Masjid, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Bendahara, Jalan Bunga Raya, Jalan Tengkera, Jalan Temenggong, Jalan Bukit Cina, Lorong Bukit Cina, Jalan Chan Koon Cheng, Jalan Banda Kaba, Jalan Merdeka (Quayside), Jalan Parameswara, Jalan Jawa dan sebahagian dari Jalan Kee Ann.


Gambar 3.3: Deretan rumah kedai di sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka merupakan antara bangunan bersejarah yang telah dipulihara dengan baik sehingga kini.

Kawasan pemuliharaan ini adalah tertakluk kepada jalan-jalan yang terdapat di dalam Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2008). Bangunan-bangunan bernilai warisan tertakluk kepada lingkungan kawasan tindakan untuk tujuan penjagaan, pemuliharaan, pembangunan semula dan penyesuaigunaan. Permohonan kepada pembangunan baru di kawasan pemuliharaan ini tertakluk kepada garis panduan kawalan pembangunan yang ketat. Jenis kegunaan ditetapkan ke atas semua bangunan yang terdapat di kawasan pemuliharaan ini untuk tujuan peningkatan ekonomi dan menghidupkan bandar melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian. Ia juga dikenakan bagi memastikan aktiviti-aktiviti di dalam bangunan akan mengurangkan penjanaan kenderaan dan usaha untuk mengurangkan pergerakan kenderaan di dalam kawasan pemuliharaan. Pembangunan di kawasan Zon Penampan tertakluk kepada kawalan-kawalan seperti:
1.     Kawalan nisbah plot dan kawasan ‘plinth’ pembangunan.
2.     Kawalan ketinggian.
3.     Kawalan pemuliharaan dan penjagaan bangunan-bangunan warisan seperti kawalan di dalam kawasan pemuliharaan bagi bangunan-bangunan warisan di dalam kawasan ini.

3.8       Perancangan Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
MBMB menggunakan mekanisma kawalan pembangunan bagi mengurus kawasan-kawasan di bawah tanggungjawabnya. Kawalan pembangunan ini menumpukan kepada dua aspek penting iaitu penggunaan tanah dan penggunaan bangunan. Sebarang bentuk pemajuan perlulah mendapat kebenaran bertulis daripada MBMB tidak kira sama ada tanah dan bangunan tersebut milik kerajaan mahupun milik persendirian. Ini bagi memastikan semua bentuk pembangunan memenuhi segala keperluan teknikal, undang-undang, pelan pembangunan dan dasar-dasar kerajaan. Merujuk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172): Bahagian IV; Seksyen 19[1] menyatakan bahawa kerja-kerja bangunan perlu mendapatkan kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBMB. Kerja bangunan ditakrif sebagai meruntuh, mendiri, mendirikan semula atau meluaskan sesuatu bangunan atau sebahagian daripadanya dan termasuklah:
1.     Sebarang tambahan pada ketinggian atau luas lantai dalam sesuatu bangunan;
2.     Membuat bumbung atau membuat semula bumbung sesuatu bangunan atau sebahagian daripadanya;
3.     Sebarang tambahan atau perubahan kepada sesuatu bangunan yang menyentuh secara langsung atau tidak langsung ke atas susunan parit atau kebersihannya atau keteguhannya;
4.     Sebarang tambahan atau perubahan kepada sesuatu bangunan sama ada dibuat sebelum atau selepas bangunan itu siap, atau menyimpang dari kelulusan asal;
5.     Sebarang tambahan atau perubahan kepada sesuatu bangunan yang menyentuh secara matan;
6.     Sebarang kerja lain yang lazimnya diusahakan oleh seorang atau pihak yang menjalankan urusan pembinaan.

Sebelum sesuatu kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah dilakukan, permohonan menjalankan kerja perlulah diperolehi terlebih dahulu daripada Pihak yang bertanggungjawab dalam kelulusan kebenaran merancang yang terdiri daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Bomba dan MBMB. Pada dasarnya prosedur bagi permohonan kebenaran kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di kawasan pemuliharaan adalah sama seperti permohonan kebenaran bagi bangunan biasa lain, yang mana terdapat borang yang perlu diisi dan dokumen diserahkan oleh pemohon. Cuma perbezaannya ialah kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah perlu melalui peringkat kelulusan kebenaran merancang di dalam kawasan pemuliharaan yang dikendalikan oleh Unit Konservasi, MBMB dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri. Permohonan ini juga akan mendapat ulasan daripada PERZIM dan Bomba yang mana ulasan selalunya akan berbentuk surat sokongan atau bantahan bagi membantu MBMB dan Majlis Kerajaan Negeri membuat keputusan rasmi sama ada meluluskan atau menolak permohonan tersebut (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2011).





Text Box: Peringkat 1Text Box: Peringkat IIText Box: Kelulusan DasarText Box: Peringkat IIIText Box: Kelulusan PenuhText Box: Peringkat IVText Box: Kelulusan Teknikal

Rajah 3.4: Sistem pengurusan pemuliharaan bandar di peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Sumber: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2011).


Seringkali permohonan yang dikemukan oleh pemilik kepada MBMB adalah permohonan yang melibatkan penambahan atau pengubahsuaian ke atas sesebuah bangunan. Antara permohonan yang sering diutarakan adalah:
1.     Pelan-pelan sambungan dan ubah suai bangunan.
2.     Permohonan kelulusan pelan-pelan rumah kediaman.
3.     Pelan-pelan bangunan bengkel, kilang dan bangunan kemudahan awam.
4.     Pelan-pelan bangunan projek perumahan dan komersil.
5.     Permohonan pelan-pelan bangunan gerai dan bangunan jenis sementara.
6.     Permohonan tukar syarat kegunaan bangunan/ permohonan kelulusan untuk membaiki rumah.

Pemilik bangunan bersejarah boleh memulakan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah hanya setelah menerima kelulusan daripada MBMB. Kerja penyesuaigunaan yang dilakukan tanpa kelulusan akan menerima notis daripada MBMB yang mana meminta supaya bangunan tersebut dipulihkan semula keadaannya seperti mana sebelum kerja penyesuaigunaan dilakukan. Manakala sekiranya kerja penyesuaigunaan yang dilakukan melanggar syarat yang ditetapkan daripada kelulusan yang diterima, maka MBMB juga akan memberi notis agar kerja penyesuaigunaan yang dilakukan diberhentikan atau mengembalikan semula keadaan asal bangunan bersejarah tersebut.





3.9       Garis Panduan Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka
MBMB melalui Unit Konservasi, Jabatan Perancang Bandar telah mengeluarkan garis panduan untuk digunakan oleh pemilik dan kontraktor bangunan bersejarah di dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan. Garis panduan yang dikenali sebagai ‘Konservasi Bangunan MBMB’ ini telah dipecahkan kepada beberapa tajuk dan sub tajuk bagi memudahkan pihak yang terlibat untuk merujuk kepada garis panduan yang disediakan. Garis panduan tersebut adalah:
1.     Kawalan Pembangunan Melalui Proses Kebenaran Merancang (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007a).
1.1  Prinsip umum kawalan.
1.2  Kelulusan kebenaran merancang di dalam kawasan pemeliharaan MBMB.
1.3  Prosedur kawalan pembangunan di dalam zon pemuliharaan.
1.4  Kesalahan berhubung dengan kebenaran merancang.
1.5  Larangan meruntuh dan mengubah suai bangunan.
2.     Garis Panduan Pembangunan dan Perobohan Bangunan Pemuliharaan (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007b).
2.1  Tindakan-tindakan.
2.2  Garis panduan mengembalikan corak asli yang diubah suai dengan corak yang bukan asli.
2.3  Garis panduan pembangunan semula (reconstruction).
2.4  Garis panduan membina di tapak lompong (infill).
3.     Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 1 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007c).
3.1  Garis panduan penggunaan cat dan warna pada bangunan.
3.2  Garis panduan pencahayaan.
4.     Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 2 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007d).
4.1  Garis panduan untuk peragakan sistem tanda nama dan papan iklan.
4.2  Kelulusan untuk papan iklan dan papan penerangan.
5.     Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 3 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007e).
5.1  Pendekatan garis panduan untuk peragakan sistem tanda nama dan papan iklan.

Garis panduan yang telah diperkenalkan oleh MBMB ini juga telah digunakan di dalam kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah terutamanya bagi bangunan yang terletak di dalam zon pemuliharaan. Berikut adalah garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pemilik yang menjalankan kerja penyesuaigunaan ke atas bangunan mereka.

Jadual 3.4: Garis panduan pembangunan dan perobohan bangunan pemuliharaan -pendekatan asas memulihara bangunan dan komponen bangunan - tindakan yang perlu dilakukan.


Kawasan

Tindakan Yang Perlu Dilakukan

1.0     Sistem struktur keseluruhan.
·         Mengekalkan sebanyak mungkin bentuk dan corak struktur/ kerektor.
·         Merawat dan mengukuhkan kerosakan yang nyata seperti menampal retak, membaiki alang-alang/ penyokong dan sebagainya.
·         Memperbaiki bahagian sistem struktur apabila hanya diperlukan.
2.0     Fasad luaran: Hiasan batu atau hiasan plaster.
·         Kerja Hiasan batu/ plaster perlu dibersihkan dengan berhati-hati dengan menggunakan tekanan air yang rendah dan berus yang lembut.
·         Segala perhatian dibuat bagi mengekalkan hiasan batu/ plaster yang asli.
·         Penggantian elemen-elemen yang musnah seperti cornices, pendakap, dan lain-lain mengikut ciri-ciri asli sebaik mungkin.
·         Mengekalkan dengan sebaik mungkin tekstur dan warna hiasan/ plaster yang asli.
3.0     Kerja kayu (ukiran dan sebagainya).
·         Membaiki dan mengganti corak kerja kayu sebaik mungkin dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur.
·         Bagi penggantian kepada bahan struktur kayu yang dibuat, penyambungnya mestilah mengikut corak yang asli.
4.0     Bahan bumbung.
·         Kekalkan curaman dan bahan bumbung mengikut keadaan yang asal.
·         Pastikan tiada ketelusan air.
·         Apabila menggantikan bumbung, gunakan bahan bumbung yang selaras dengan corak asli dari segi saiz, bentuk dan tekstur asli.
5.0     Pintu dan tingkap.
·         Baiki kerosakan yang ada pada tingkap, pintu, ambang antara, bingkai tingkap dan sebagainya.
·         Gantikan dimana yang tidak dapat dibaiki pintu dan tingkap dengan menitik beratkan dari segi saiz, dan butiran yang terdapat pada yang asli.
6.0     Pintu masuk, anjung, balkoni dan tangga.
·         Kekalkan dan baiki pintu masuk, anjung, balkoni dan tangga sedia ada.
·         Sekiranya perlu ditukar pastikan kerektor dan skalanya dikekalkan.
7.0     Struktur dalaman/ organisasi ruang: butiran dalaman.
·         Mengekalkan dengan sebaik mungkin pelan dan susunatur yang asli.
·         Tingkat-tingkat tambahan adalah tidak digalakkan, sekiranya diperlukan juga, tingkat tambahan ini perlu dianjakkan ke belakang supaya tidak merosakkan skala struktur sedia ada.
·         Kekalkan ketinggian asal setiap bilik dan elakkan seberapa yang boleh membentuk ‘false ceilings’ di dalam ruang dalaman.
·         Kekalkan tangga-tangga asal kecuali kepada yang mempunai struktur yang tidak kukuh.
·         Kekalkan ciri-ciri keaslian kepada hiasan-hiasan.
8.0     Sistem kejuruteraan.
·         Unit-unit penyaman udara dan ‘antennae’ televisyen mestilah diletakkan secara terlindung.

Sumber: Jadual 10a. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2007b).

Manakala perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan dilakukan adalah seperti Jadual 3.5 berikut:




Jadual 3.5: Garis Panduan Pembangunan dan Perobohan Bangunan Pemuliharaan. Pendekatan asas memulihara bangunan dan komponen bangunan - Tindakan yang perlu dielak.


Kawasan

Tindakan Yang Perlu Dielak
1.0     Sistem struktur keseluruhan.
·        Memusnahkan dan mengacau ganggu struktur penyokong terutama asas bangunan.
·        Kegagalan merawat struktur penyokong dengan baik akan mengakibatkan kemerosotan di kemudian kelak.
2.0     Fasad luaran: hiasan batu atau hiasan plaster.
·        Menggunakan cara pencucian yang aggresif seperti ‘sandblasting’ perlu dielakkan begitu juga dengan produk pencucian kimia.
·        Elakkan dari menggunakan jenis-jenis alat kalis air (water proofing) kecuali pada masalah yang spesifik.
·        Tidak digalakkan penggunaan cat yang keterlaluan di atas bata / plaster.
3.0     Kerja kayu (ukiran dan sebagainya).
·        Tidak dibenarkan penggantian kayu penyokong struktur dengan bahan yang tidak sesuai seperti besi dan aluminium.
4.0     Bahan bumbung.
·        Tidak digalakkan menggunakan bahan pengkalis air di bumbung yang tidak selaras dengan warna dan tekstur asli seperti bahan tar.
5.0     Pintu dan tingkap.
·        Menyediakan dan mengubah perletakan ruang pembukaan (pintu dan tingkap).
·        Memasang tingkap dan pintu baru dengan penggunaan bahan yang tidak sesuai dan selaras.
·        Memasang alat penghawa dingin di bahagian rangka/ bingkai tingkap.
·        Menutup pintu dan tingkap dengan bidai dan grille keselamatan yang tidak sesuai.
·        Menutup balkoni dengan tingkap berbingkai aluminium dan kaca.
·        Penambahan anjung yang tidak sesuai dan janggal.
6.0     Pintu masuk, anjung, balkoni dan tangga.
·        Menutup balkoni dengan tingkap berbingkai aluminium dan kaca.
·        Penambahan anjung yang tidak sesuai dan janggal.
7.0     Struktur dalaman/ organisasi ruang: butiran dalaman.
·        Penambahan tingkat di dalam bangunan yang terlindung di sebalik fasad asal.
·        Penambahan ruang dan bahan-bahan yang mengagihkan ruang dalaman sering memberi tekanan (stress) yang berlebihan kepada struktur bangunan
8.0     Sistem kejuruteraan.
·        Kabel dan ‘ductings’ yang terdedah.

Sumber: Jadual 10a - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2007b).


Manakala garis panduan mengembalikan corak asli yang diubah suai dengan corak baru pula ialah seperti mana yang ditunjukkan dalam Jadual 3.6 berikut:

Jadual 3.6: Tindakan pemuliharaan mengikut bangunan - perkara yang perlu diberi perhatian utama.


Butiran Bangunan


Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Utama

1.0     Bahan binaan.
·         Seperti asal atau dari spesifikasi yang sama dari corak semasa.
2.0     Bahagian permukaan dan warna.
·         Seperti asal atau dengan rujukan kesesuaian.
·         Sedekat mungkin dengan ciri-ciri bangunan warisan berdekatan.
3.0     Bentuk bangunan dan fasad.
·         Keseimbangan dengan bentuk asal atau ciri-ciri bangunan warisan berdekatan.
4.0     Pintu, tingkap dan kerja-kerja kayu.
·         Corak yang ringkas atau terjemahan corak semasa dari ciri setempat atau seperti reka bentuk asal.
5.0     Perhiasan.
·         Corak yang ringkas atau terjemahan corak semasa dari ciri setempat atau seperti reka bentuk asal.
6.0     Kaki lima dan verandah.
·         Corak yang ringkas atau terjemahan corak semasa dari ciri setempat atau seperti reka bentuk asal.
7.0     Hadapan kedai.
·         Keseimbangan dari skala dan bahan bersesuaian dengan corak asal yang munasabah.
8.0     Bumbung.
·         Jenis ‘terracotta’ sahaja.
9.0     Pengiklanan.
·         Mengikut butiran yang ditetapkan di bahagian garis panduan pengiklanan.

Sumber: Jadual 10c - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2007b).

Manakala bagi segala tindakan mengembalikan semula bangunan bersejarah kepada seni bina dan struktur asal, kaedah pembinaan semula perlu dilakukan. Kaedah ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada segala dokumen yang dikumpul berdasarkan kajian berkaitan bangunan asal seperti melalui pelan bangunan asal, gambar foto atau daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai yang menunjukkan dengan jelas butiran bangunan asal. Garis panduan kerja-kerja pembinaan semula boleh dirujuk kepada jadual 3.7 berikut.



Jadual 3.7: Garis panduan kerja-kerja pembinaan semula.


Kriteria Penambahan


Syarat Kebenaran

Kerja-kerja mengganti komponen bangunan atau bahagian-bahagian tertentu bangunan.
·         Mesti menepati reka bentuk, bahan binaan dan kualiti asal. Pengubahsuaian yang sepadan juga boleh diterima.
Mana-mana bahagian bangunan yang telah diubah suai atau telah ditambah sehingga mencacatkan keaslian seni bina asal bangunan tersebut.
·         Hendaklah ditukar dan diganti dengan corak reka bentuk asal (maklumat diperolehi melalui kajian)
Mana-mana bahagian yang melibatkan tambahan ataupun pengubahsuaian reka bentuk asal.
·         Mesti tidak menjejaskan karakter asal bangunan dan kawasan sekitarnya. Semua pengubahan mesti direkodkan melalui gambar foto.
Bahan binaan yang akan digunakan untuk elemen-elemen tambahan dan pengubahsuaian.
·         Hendaklah sama atau hampir sama dengan bahan binaan asal. Sebagai contohnya genting ‘V’ tradisional (Indian tile) boleh diganti dengan genting baru yang mempunyai profile yang sama.
Kerja-kerja pengubahsuaian dan tambahan ruang dalaman bangunan.
·         Dibenarkan selagi struktur dan elemen-elemen utama seperti perigi udara (air well), tangga, dinding pemisah dan lain-lain dikekalkan.
Kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian di bahagian bangunan atau dapur.
·         Dibenarkan hanya untuk bangunan-bangunan di kawasan penampan.
Cadangan penambahan yang lebih tinggi daripada ketinggian bangunan sedia ada. (hanya kepada bangunan-bangunan di Kawasan Penampan).
·         Boleh dipertimbangkan sekiranya ia dibuat di blok belakang bangunan sedia ada atau pada bahagian dapur dan tidak menjejaskan pandangan hadapan fasad. Penambahan yang dicadangkan hendaklah bersesuaian dengan gaya ‘spirit’ dan skala seni bina sedia ada.
Cadangan untuk penukaran kegunaan kepada kegunaan baru (adaptive reuse).
·         Dibenarkan selagi ianya tidak menjejaskan reka bentuk asal dan struktur bangunan tersebut.
Tempat meletak kereta, seni taman dan perabut jalan yang dicadangkan.
·         Hendaklah bersesuaian dengan karakter bangunan dan kawasan sekitar.

Sumber: Jadual 5.11 - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2007b).

Selain daripada garis panduan yang telah disenaraikan sebelum ini, MBMB juga telah menggariskan larangan meruntuh dan mengubah suai bangunan (.Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2007b). Larangan-larangan ini bertujuan untuk memberi perlindungan kepada kepentingan sesebuah bangunan dan bahagian-bahagian daripada bangunan yang termasuk:
1.     Memusnahkan terhadap keseluruhan bangunan atau struktur didalamnya.
2.     Memindah atau mengubah bahagian-bahagian asal bangunan.
3.     Mengecat semula permukaan yang tidak dicat.
4.     Mengganti bahagian-bahagian bangunan dengan bahan-bahan baru.
5.     Mengubah corak bagi bahagian-bahagian tertentu bangunan dan permukaan dinding yang asal.

Antara langkah-langkah kawalan yang diambil bagi memastikan bangunan bersejarah tidak dirobohkan dan diubah suai sesuka hati adalah:
1.     Larangan membuat perubahan reka bentuk berkaitan dengan bahagian luaran bangunan-bangunan dan merangkumi perubahan terhadap luaran termasuk perhiasan), bangunan sedia ada termasuk pembaik pulih, perubahan dan penambahan. Kebenaran diperlukan.
2.     Pihak Berkuasa hanya akan meluluskan kebenaran untuk meroboh kepada syarat-syarat berikut:
2.1  Ianya memenuhi kehendak dimana perobohan yang akan dijalankan tidak akan mengurangkan nilai kepentingan budaya keseluruhan bahagian luar bangunan atau sebarang kerja di tapak. Berdasarkan pihak pengkaji bangunan, struktur keseluruhan bangunan, fasad atau elemen lain yang ditunjukkan sebagai struktur yang telah usang dan membahayakan.
2.2  Sekiranya bahagian yang akan dimusnahkan dapat memelihara, memulihkan dan meningkatkan tahap seni bina atau kualiti sejarah bangunan, fasad dan elemen tersebut.
3.     Pihak berkuasa hanya boleh mengeluarkan kebenaran perobohan kepada bahagian bangunan yang tidak kelihatan sekiranya bahagian ini adalah bahagian yang terpisah dari bahagian utama bangunan yang berhadapan jalan utama.
4.     Pihak berkuasa hanya akan bersetuju dengan bentuk perobohan di beberapa kawasan tertentu jika ia memenuhi syarat berikut:
4.1  Semua bahagian bangunan, fasad bangunan atau elemen-elemen bangunan (termasuk dinding, cerobong, bumbung, parapet, depan kedai, beranda dan balkoni) dikekalkan bermula dari fasad hingga ke bahagian dalam bangunan sebagai asas entiti struktur yang bebas. Lain-lain aspek bangunan seperti bentuk bumbung, cerobong, menara dan arked perlu mengambil kira kepentingan seni bina dan sejarah dan mengekalkan aspek-aspek berkaitannya.

Pemilik bangunan bersejarah yang berhasrat menjalankan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka perlulah memastikan bahawa semua garis panduan yang telah disediakan oleh MBMB dipatuhi bagi memastikan bangunan yang disuai guna berjaya memenuhi fungsi baru dan dalam masa yang sama masih mampu dipulihara sebagai mana bangunan asal.

3.10     Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
George Town merupakan sebuah bandar tepi laut yang mempunyai keistimewaan yang sukar ditemui di mana-mana bandar di dunia. Keistimewaan tersebut terhasil daripada kepelbagaian budaya, agama, bangsa, malah reka bentuk seni bina bangunan yang terdapat di persekitaran bandar George Town. Kepelbagaian yang ada, terbentuk daripada pengaruh yang dibawa oleh imigran yang datang ke George Town pada abad ke-18 ketika George Town menjadi salah sebuah daripada Negeri Selat dan merupakan pelabuhan pusat tumpuan pedagang-pedagang dari Eropah, China, India dan Kepulauan Melayu menjalankan aktiviti perdagangan. Sejarah yang terbentuk di George Town merangkumi pelbagai pengaruh dari seluruh pelusuk dunia (Khor, 2008). Secara umumnya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town amat kaya dengan nilai-nilai kepentingan sejagat yang perlu dipulihara sebaik mungkin.

Menyusuri bandar George Town seakan-akan membawa kita mengembara dunia kerana setiap jalan seakan-akan mewakili setiap bangsa yang ada di dunia. Pada 1999, bandar George Town telah disenaraikan oleh World Monument Watch sebagai salah satu daripada ratusan Tapak Warisan Dunia yang terancam oleh kepupusan. Berlandaskan dari situlah, pemuliharaan telah mula dilakukan dengan lebih pesat bagi memastikan bandar ini terus terpulihara dari segi warisan budayanya (Teong, 2000).

3.11     Latar Belakang Sejarah George Town
George Town merupakan pusat perdagangan yang terkenal di Pulau Pinang satu ketika dahulu. Kedudukannya sangat strategik kerana terletak di sebelah barat daya semenanjung dan sebelah utara Selat Melaka. Menurut Nin (2001), Pulau Pinang telah dibuka oleh Sir Francis Light pada 1786. Namun begitu sehingga kini kenyataan tersebut masih menjadi persoalan sekumpulan pengkaji sejarah dan pertubuhan bukan kerajaan yang telah menjalankan penyelidikan tentang asal usul Pulau Pinang. Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa Pulau Pinang telah diteroka seawal 1749 oleh orang Melayu dan berkemungkinan sebelum tarikh itu lagi oleh orang Melayu dari Sumatera yang telah meneroka dan membuka Pulau Pinang pada 1705. Pulau Pinang mendapat namanya sempena buah pinang yang mudah didapati di pulau berkenaan oleh penduduk tempatan yang mula-mula meneroka dan mendiami pulau ini sebelum kehadiran Sir Francis Light. Menurut Nin (2001) lagi, Sir Francis Light telah membuka penempatan di sini dan beliaulah yang bertanggungjawab menyediakan pelan asal grid jalan di George Town. Walau bagaimanapun, kedudukan dan perletakan bangunan utama dan pembangunan George Town pada abad pertama ditemui, banyak dipengaruhi oleh komuniti pedagang yang menetap dan memulakan kehidupan di situ.

Kedudukan George Town yang terlindung daripada kesan angin monsun dan hujan lebat menjadikannya sebuah bandar pelabuhan yang menjadi pilihan sebagai tempat perlindungan oleh pedagang dan pelaut apabila berlaku cuaca buruk. Menurut Khoo Salma Nasution dan Halim Berbar (2009), kedatangan pedagang dan pelaut yang dikenali sebagai imigran ini telah membawa bersama budaya dan adat resam tempat asal mereka. Tidak ketinggalan, imigran-imigran ini telah menerapkan reka bentuk dan seni bina bangunan negara asal pada kediaman mereka yang dibina di George Town seperti rumah kongsi, rumah kedai, tokong dan lain-lain lagi.


Gambar 3.4: Rumah Kongsi Khoo yang direka bentuk dan dibina oleh pedagang dari China dan masih kekal terpulihara sehingga ke hari ini.

3.12     Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
Terdapat sebanyak 4,665 buah bangunan warisan yang terdapat di dalam Zon Pemuliharaan George Town yang mana kebanyakkannya terletak di empat jalan utama iaitu di Pengkalan Weld, Lebuh Pantai, Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lorong Cinta. Selain daripada empat jalan utama ini, sesetengahnya terletak di jalan-jalan lain seperti di Jalan Tun Syed Shah Barakbah, Lebuh Light, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja, Lebuh Cina, Lebuh Pasar, Lebuh Armenian, Lebuh Chulia dan Lebuh Acheh (Jabatan Warisan Negara, 2007b). Secara umumnya, kawasan pemuliharaan yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini telah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu zon utama dan zon penampan. Keluasan kawasan di zon utama adalah sebanyak 109.38 hektar manakala keluasan kawasan di zon penampan pula adalah 150.04 hektar. Jumlah keseluruhan keluasan kawasan zon pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah seluas 259.42 hektar.

Jumlah keseluruhan bangunan yang terdapat di Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah sebanyak 4,665 buah bangunan. Sebanyak 2,344 buah bangunan terdapat di dalam kawasan zon utama, manakala sebanyak 2,321 buah bangunan lagi terdapat di dalam kawasan zon penampan (Jabatan Warisan Negara, 2007b). Nisbah pecahan peratusan kawasan dan bangunan untuk kedua-dua zon utama dan zon penampan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ditunjukkan dengan jelas dalam jadual berikut:


Jadual 3.8: Keluasan kawasan di Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.


Zon


Keluasan Kawasan (ha)


Peratus Kawasan (%)

1.        Zon Utama.
109.38 hektar
42.16 %
2.        Zon Penampan.
150.04 hektar
57.84 %
Jumlah:
259.42 hektar
100.00 %

Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).

Jadual 3.9: Jumlah bangunan di Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.


Zon


Jumlah Bangunan


Peratus Bangunan (%)

1.        Zon Utama.
2,344
50.25 %
2.        Zon Penampan.
2,321
49.75 %
Jumlah:
4,665
100.00 %

Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).


Rajah 3.5: Pelan menunjukkan zon utama (core zone) dan zon penampan (buffer zone) di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Sumber: Jabatan Warisan Negara (2007b).
3.13     Pihak yang Terlibat di dalam Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
Pihak kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan tertentu serta badan berkanun merupakan pihak yang sering diberikan tanggungjawab untuk memulihara warisan negara khususnya bangunan bersejarah. Walau bagaimanapun terdapat juga pihak swasta yang membantu pihak kerajaan dan pertubuhan warisan dalam melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah atas kesedaran untuk sama-sama menjaga warisan yang ada hari ini untuk generasi masa akan datang. Bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terlibat dalam usaha penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah adalah:
1.     Jabatan Warisan – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
2.     George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

3.13.1  Jabatan Warisan – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)
Jabatan Warisan telah ditubuhkan pada 1 Julai 2011 bersempena dengan tiga tahun pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Satu Pelan Pengurusan Warisan ataupun ‘Heritage Management Plan’ telah disediakan dan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri, Negeri Pulau Pinang pada 12 Februari 2008 bagi menguruskan dan mengendalikan semua aspek yang berkaitan dengan Tapak Warisan demi mengekalkan dan memulihara Nilai-nilai Keunggulan Sejagat (‘Outstanding Universal Values’) di Tapak Warisan Dunia George Town. Di bawah pelan ini, MPPP merasakan perlu diwujudkan Jabatan Warisan di MPPP bagi meneliti, memantau, mengulas dan menguatkuasa semua aktiviti pemajuan yang terlibat dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Fungsi utama Jabatan Warisan MPPP adalah untuk:
1.       Memproses semua permohonan yang berkaitan aktiviti pembangunan di dalam Tapak Warisan dan memberi 'input' teknikal warisan serta menjadi urusetia kepada Mesyuarat Jawatankuasa 'Technical Review Panel'.
2.       Mengeluarkan permit ke atas permohonan membaiki/ ubahsuai kepada bangunan di dalam Tapak Warisan.
3.       Memeriksa tapak dan menyediakan Laporan Struktur Bangunan terhadap bangunan-bangunan MPPP yang berada dalam Tapak Warisan.
4.       Memantau dan menguatkuasa kerja-kerja bangunan tanpa kebenaran di dalam Tapak Warisan.
5.       Mengkaji dan menambah baik garis panduan sedia ada agar selaras dengan pemajuan masa kini dan memberi panduan dari segi aspek warisan kepada jabatan-jabatan teknikal lain dan orang awam mengenai pemuliharaan.
6.       Menyediakan kajian penyelidikan dan mengemas kini pangkalan data dalam tapak warisan serta membantu menyediakan data dalam tapak warisan serta membantu menyediakan maklumat/ laporan berkala yang perlu dihantar kepada UNESCO.
7.       Merancang dan menguruskan serta membantu agensi teknikal lain yang berkaitan dengan program-program warisan.

Secara dasarnya objektif Jabatan Warisan MPPP adalah bagi:
1.     Memastikan pemajuan dan kawalan pembangunan yang terlibat dengan tapak warisan dan bangunan-bangunan warisan di seluruh kawasan pentadbiran MPPP adalah terkawal dan mematuhi perundangan.
2.     Memastikan kesedaran terhadap kepentingan tapak warisan dan bangunan warisan dipertingkatkan melalui projek-projek, bengkel-bengkel, khidmat nasihat dan sebagainya berkaitan aspek teknikal warisan.
3.     Menentukan pangkalan data yang mencukupi dan dikemaskini melalui kaji selidik, tinjauan, perancangan, sistem inventori bersepadu dan lain-lain.

3.13.2  George Town World Heritage Incorporated (GTWHI)
‘George Town World Heritage Incorporated’ yang pada mulanya dikenali sebagai ‘George Town World Heritage Office’ telah ditubuhkan pada 30 April 2009. GTWHI telah ditubuhkan selaras dengan pengiktirafan yang telah diterima oleh George Town sebagai salah satu Tapak warisan Dunia UNESCO. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam Pelan Pengurusan Pemuliharaan Warisan – George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, objektif penubuhan badan ini adalah bagi mengawasi perlaksanaan dan pengurusan George Town yang mana ia merangkumi segala urusan yang berkaitan dengan jenama, promosi, pelancongan, keselamatan, penyelidikan, penggunaan tapak, kesedaran masyarakat dan khidmat nasihat berkaitan warisan (George Town World Heritage Incorporated, 2011).

Satu ketika dahulu, GTWHI dikenali sebagai Pusat Warisan Pulau Pinang. Namun setelah George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia, Pusat Warisan Pulau Pinang telah dibubarkan dan digantikan dengan Pejabat Warisan Dunia UNESCO. Namun pada 21 April 2010 Pejabat Warisan Dunia UNESCO telah di daftarkan sebagai sebuah syarikat dan sehingga hari ini dikenali sebagai ‘George Town World Heritage Incorporated’. Fungsi utama GTWHI adalah untuk menguruskan dan memastikan segala hal yang berkaitan dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO selari dengan pelan perancangan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan lain. Namun begitu, tugas utamanya ialah memastikan pengurusan dan penguatkuasaan Pelan Pengurusan Warisan dilaksanakan dengan berkesan. Ia juga akan memainkan peranan sebagai pengurus utama bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (George Town World Heritage Incorporated, 2011).

Secara amnya tugas-tugas lain yang meliputi fungsi kerja GTWHI ialah:
1.     Memastikan usaha pemuliharaan warisan dijalankan di George Town.
2.     Menggalakkan dan menyokong penyelidikan yang ingin dijalankan.
3.     Memberi kesedaran kepada generasi akan datang.
4.     Membangunkan pelancongan budaya dan menguruskan kemudahan bagi pelawat.
5.     Mempromosi pembangunan sosio ekonomi masyarakat setempat dan menguruskan program komuniti di George Town.
6.     Menggalakkan penglibatan masyarakat setempat di dalam mengambil langkah positif dalam memulihara budaya tradisi mereka.
7.     Menyediakan cadangan dan mendapatkan sumber kewangan bagi projek-projek utama.
8.     Melaksanakan projek-projek yang telah dipersetujui dan ditaja.
9.     Mengawasi tapak warisan.

3.14     Skop Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merupakan Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab di dalam melakukan perancangan teliti bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dijalankan secara berterusan dan teratur di George Town. Pelan Pengurusan Warisan sebagai contohnya, merupakan satu pelan yang telah disusun oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengenal pasti skop dan perancangan pemuliharaan Bandar George Town. Pelan Pengurusan Warisan ini merupakan satu dokumen yang menerangkan tentang nilai-nilai penting yang terdapat pada George Town sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Seterusnya menerangkan langkah-langkah yang akan dan perlu diambil bagi memastikan pelan ini berjalan lancar dan memberikan kejayaan di dalam mengekalkan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008b).

Selain daripada Pelan Pengurusan Warisan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan Struktur Perancangan Negeri 2007 bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilakukan dengan teratur. Struktur Perancangan Negeri 2007 ini telah digazetkan bagi menyediakan prinsip dan polisi bagi pembangunan baru dan juga bagi memenuhi keperluan pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, 2007). Antara sebahagian daripada polisi spesifik bagi kawasan pemuliharaan George Town yang disediakan dalam Struktur Perancangan Negeri 2007 ini adalah seperti berikut:
1.     Aspek pemuliharaan perlulah diselaraskan dengan pembangunan komprehensif di dalam zon pemuliharaan warisan (di dalam kawasan bandar George Town).
2.     Membenarkan pemilik bangunan persendirian di dalam zon pemuliharaan membangunkan harta mereka berdasarkan konsep pembangunan integrasi. Ia perlulah memenuhi Garis Panduan Reka Bentuk Kawasan Pemuliharaan George Town oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
3.     Memastikan setiap bentuk pembangunan atau pengubahsuaian yang dilakukan mengikut garis panduan bangunan warisan.
4.     Menyediakan lebih banyak jalan dan sistem pengangkutan yang berkesan di dalam bandar dan menyediakan jalan untuk pejalan kaki di hadapan bangunan, menutup parit-parit yang terbuka, menyediakan kemudahan tempat duduk, tong sampah, lintasan pejalan kaki dan perkakasan jalan kaki yang menarik bagi menambah nilai bangunan warisan yang ada.
5.     Penyesuaigunaan bangunan warisan di dalam pusat bandar hendaklah digalakkan.
6.     Menggalakkan penyesuaigunaan bangunan warisan sedia ada yang terletak di dalam dan luar kawasan warisan dengan memberikan insentif dan rebet kewangan untuk menggalakkan pemuliharaan bangunan yang mempunyai nilai warisan.

Struktur Perancangan Negeri secara tidak langsung, membantu memastikan pemuliharaan dilakukan dengan lebih berkesan. Bagi menguatkan lagi perancangan dan sistem pengurusan yang sedia ada, struktur pengurusan disediakan seperti mana yang ditunjukkan dalam Rajah 3.6 berikut:


Rajah 3.6: Carta aliran sistem pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).

Tapak Warisan Dunia ini telah diletakkan sebagai zon pemuliharaan di bawah Pelan Struktur Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang telah dikuatkuasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Pindaan 1995) (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008c). Manakala berikut pula adalah model struktur pentadbiran pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO untuk George Town seperti mana yang ditunjukkan dalam Rajah 3.7 berikut:

Rajah 3.7: Struktur pentadbiran pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).

Menurut Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a), bangunan-bangunan bersejarah atau dikenali sebagai bangunan warisan yang terdapat di George Town telah diklasifikasikan dibawah dua kategori berikut iaitu:
1.     Bangunan Warisan Kategori I.
2.     Bangunan Warisan Kategori II.

Bangunan Warisan Kategori I adalah bangunan yang mempunyai ciri istimewa dari segi kepentingan sejarah, nilai seni bina dan nilai sosial budaya. Bangunan yang telah diwarta di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 secara automatik termasuk di dalam kategori ini. Hanya kerja membaik pulih dibenarkan bagi bangunan di bawah kategori ini. Manakala Bangunan Warisan Kategori II adalah bangunan warisan yang mempunyai ciri dan kepentingan nilai seni bina dan nilai sosial budaya. Bangunan di dalam kategori ini juga sering menyumbang kepada pembentukan pandangan “streetscape” yang estetik dan imej bandar yang unik. Bagi bangunan warisan di bawah kategori II, kerja yang dibenarkan termasuk kerja baikpulih, kerja-kerja tambahan/ pengubahsuaian dan tukar guna bangunan (semua kerja tertakluk kepada kebenaran MPPP). Kebanyakan bangunan warisan yang terdapat di kawasan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah rumah kedai tradisional yang sangat berbeza dengan rumah kedai moden yang ada hari ini. Rumah kedai ini mempunyai keunikan tersendiri dan kebanyakannya terdiri daripada bangunan warisan kategori I dan II.



3.15     Perancangan Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
Sebagaimana Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka, kerja-kerja penyesuaigunaan yang ingin dilakukan ke atas bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town juga memerlukan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pemilik perlulah memenuhi prosedur permohonan penyesuaigunaan bangunan bersejarah seperti mana yang telah digariskan di dalam Peraturan bagi Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008). Tiada garis panduan khas yang disediakan bagi permohonan menjalankan kerja-kerja penyesuaigunaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Pada dasarnya prosedur bagi permohonan kebenaran melakukan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di kawasan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah sama seperti permohonan kebenaran bagi pemuliharaan bangunan bersejarah lain. Cuma perbezaannya ialah penyesuaigunaan bangunan bersejarah perlu melalui peringkat kelulusan kebenaran merancang di dalam kawasan pemuliharaan yang dikendalikan Jabatan Warisan MPPP. Permohonan ini juga akan diberikan kepada Bomba bagi mendapatkan ulasan bagi permohonan yang diajukan. Ulasan selalunya akan berbentuk surat sokongan atau bantahan bagi membantu MPPP membuat keputusan sama ada meluluskan atau menolak permohonan tersebut.

Antara jenis Permohonan Pemajuan lain yang sering diajukan kepada MPPP adalah:
1.     Permohonan kebenaran merancang (bangunan baru, tambahan baru, penukaran fasad, tukar guna, perobohan, dll).
2.     Pelan bangunan (bangunan baru, tambahan baru, pindaan/ tambahan dalaman, dll).
3.   Pelan permit (pengubahsuaian dalaman, kemasan, dll).
4.     Permit pembaikan (kerja-kerja pembaikan kecil, menukar ganti bahagian yang rosak mengikut bahan asal, dll).

Bagi memudahkan urusan meluluskan permohonan, Pemilik perlulah melampirkan bersama semua dokumen sokongan bersama-sama dengan permohonan pemajuan kepada pihak MPPP. Dokumen sokongan tersebut adalah:
1.     Laporan Heritage Impact Assessment (HIA) - bagi bangunan baru/ tambahan baru yang melibatkan permohonan merancang.
2.     Laporan Dilapidasi - (bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan sedia ada).
3.     Laporan lain yang berkaitan.

Kerja penyesuaigunaan hanya boleh mula dilakukan setelah kelulusan diperolehi daripada Jabatan Warisan, MPPP.

3.16     Garis Panduan Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town
Sebagaimana agensi kerajaan yang lain, MPPP juga mengguna pakai dasar perundangan sedia ada sebagai panduan di dalam menetapkan undang-undang pemuliharaan bagi George Town (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008b). Antara perundangan dan garis panduan yang digunapakai ialah:
1.     Akta Warisan Kebangsaan (2005), Akta 645.
2.     Akta Perancang Bandar dan Desa (1976). Akta 172.
3.     Akta Kerajaan Tempatan (1976), Akta 171.
4.     Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan (1974).
5.     Undang-undang Bangunan Seragam (1984).
6.     Polisi dan Garis Panduan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Daripada perundangan yang ada, MPPP telah membentuk garis panduan yang khas digunakan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Perundangan dan garis panduan tersebut adalah seperti berikut:
1.     Struktur Perancangan Negeri (2007).
2.     Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008).
3.     Pelan Pengurusan Warisan dan Rancangan Kawasan Khas untuk Tapak Warisan George Town (2008).
4.     Deraf Enakmen Warisan Pulau Pinang (2008).

Garis panduan yang dikenali sebagai Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) atau ‘Regulations for Conservation Areas and Heritage Building (2008) merupakan garis panduan khas bagi tapak pemuliharaan dan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan menjadi sumber rujukan kebanyakan pihak yang terlibat di dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Di dalam peraturan ini, bangunan warisan yang terdapat di dalam kawasan pemuliharaan telah dikenal pasti berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
1.     Kepentingan sejarah (historic interest) iaitu bangunan yang mempunyai kepentingan dari aspek sosial, ekonomi, budaya dan sejarah agama.
2.     Kepentingan seni bina (architectural interest) iaitu bangunan yang mempunyai kepentingan kepada negeri dari segi reka bentuk seni bina, dekorasi dan pertukangan: Bangunan tersebut juga merupakan contoh terbaik bagi sebahagian jenis bangunan dan teknik dan reka bentuk seni bina.
3.     Kepentingan sejarah berkaitan sesuatu yang penting iaitu bangunan yang mempunyai kaitan dengan individu penting negara, kehidupan atau pekerjaan seseorang individu atau organisasi atau peristiwa.
4.     Nilai rupa bentuk bandar iaitu kedudukan bangunan yang memberi kesan kepada pemandangan sesebuah kawasan, yang mana bangunan tersebut membentuk elemen di dalam kumpulan, taman atau rupa bentuk bandar atau lanskap atau dimana ia berkongsi rupa bentuk seni bina atau perincian dengan bangunan berdekatan.
5.     Nilai berkumpulan (group value) iaitu kelompok bangunan yang membentuk reka bentuk seni bina pada era tertentu.
6.     Berusia dan jarang ditemui iaitu bangunan yang telah berusia dan jarang ditemui sesuai disenaraikan kerana ia mempunyai kepentingan sejarah tersendiri. Semakin berusia sesebuah bangunan semakin tinggi kepentingan warisannya kerana jarang terdapat bangunan yang mampu bertahan pada tempoh yang panjang.
7.     Bentuk fizikal bangunan, pelan lantai, bahan binaan atau lokasi yang memberi reflek kepada reka bentuk asal iaitu bangunan yang mempunyai kelainan dari segi bentuk fizikal bangunan, pelan lantai, bahan binaan atau lokasi yang membuatkan bangunan tersebut unik.

Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) atau ‘Regulations for Conservation Areas and Heritage Building (2008)’ juga telah menggariskan perkara-perkara yang perlu dilakukan, boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan di dalam tapak pemuliharaan dan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008a). Peraturan ini juga diguna pakai bagi kerja-kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang dilakukan di dalam kawasan pemuliharaan. Antara peraturan yang dikenakan ke atas bangunan warisan ialah:
1.     Menggunakan bahan binaan yang serupa dengan yang asal atau mirip bahan asal (contoh: genting teracotta/ tanah liat, lepaan kapur, lantai papan dan lain-lain).
2.     Mengekalkan elemen-elemen reka bentuk bangunan asal (contoh: telaga udara, tingkap, pintu, bumbung).
3.     Papan tanda tidak boleh menutup fasad hadapan bangunan.
4.     Ketinggian bangunan/ tambahan baru - dibenarkan sehingga maksimum 18 meter (diukur dari aras tanah hingga ke cucur bumbung).
5.     Ketinggian maksima bangunan baru atau tambahan yang terletak berjiran/ bersempadan bangunan warisan sedia ada yang kurang dari 18 meter ketinggian, hendaklah tidak melebihi ketinggian bangunan warisan tersebut.

Peraturan secara terperinci sepertimana lampiran ‘Table 1’ di dalam Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) adalah seperti berikut:

Jadual 3.10: Garis panduan bagi kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah merujuk kepada Peraturan-peraturan pemuliharaan bangunan warisan yang diwarta - Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) bagi eleman utama bangunan.


Elemen utama


Rekabentuk/ Lokasi

Luaran
1.0    Bumbung.
1.1     Struktur.









1.2     Bumbung utama dan bumbung belakang.







1.3     Bumbung jek.







1.4     Skylight’.







1.5     ‘Dormer window’.

1.6     ‘Overhang’ bumbung.


·         Struktur kayu termasuk kasau kayu dan ‘purlin’. Kasau kayu adalah anggota struktur yang menyokong bumbung curam. Kasau kayu ini disokong oleh ‘purlin’ kayu dan rasuk bumbung yang melintang antara dinding pembahagi. Bumbung yang curam dipasang secara bertindih (profil v atau rata) dengan genting warna tanah liat semulajadi, berikutan profil asal yang dibentangkan di atas ‘battens’ kayu dan terikat dengan mortar.
·         Profil semulajadi, kecuraman, ketinggian, dinding pembahagi dan cucur atap hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·         Penggantian dengan bumbung rata konkrit tidak dibenarkan
·         Tambahan – bumbung baru hendaklah dari jenis curam dan sama seperti bumbung asal dari segi warna, tekstur, bahan binaan dan profil.
·         Kategori I – Jika terdapat bumbung jek sediada, ia perlulah dikekalkan. Pembinaan bumbung jek baru tidak dibenarkan.
Kategori II – Bumbung jek sedia ada boleh dikekalkan atau dibuang. Bumbung jek baru boleh dipasang bergantung kepada kedudukan, halangan dan dimensi maksima yang dibenarkan.
Tambahan – bumbung jek tidak dibenarkan
·         Kategori I - Pembinaan ‘skylight’ baru tidak dibenarkan.
Kategori II – Pembinaan ‘skylight’ baru dibenarkan bergantung kepada lokasi, kegunaan bangunan dan jumlah keluasan ‘skylight’
Tambahan – dibenarkan tetapi bergantung kepada keadaan dan kedudukan dan jumlah kawasan yang terlibat.
·          Pembinaan ‘dormer window ‘ baru tidak dibenarkan
·          Ciri-ciri asal hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
2.0     Perkarangan.
2.1     Ruang tertutup.

·         Saiz asal dan hiasan pada dinding dan pintu pagar hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
3.0     Fasad hadapan / tepi.
3.1     Fasad bangunan.







3.2     Hadapan kedai.











3.3     ‘Fanlight’, tingkap, pintu dan ruang udara.








3.4     Birai bagi tingkap Perancis.




3.5     Tingkap dan pintu kedua bagi setiap tingkat.



3.6     Ciri-ciri dekoratif.

3.7     Pintu pagar.




3.8     Kanopi.






3.9     Dinding ‘gable’.



·         Fasad asal hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Perobohan, pengubahsuaian dan penambahan pada fasad asal tidak dibenarkan.
·         Tambahan – reka bentuk tradisional atau kontemporari boleh digunakan pada fasad baharu tetapi hendaklah direka bentuk dengan harmoni dan bersatu dengan fasad warisan sedia ada dan jalan-jalan di sekitarnya.
·         Kategori II – Gelongsor sedia ada dan gril lipat besi/ panel hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Penggantian dengan ‘roller shutter’ baru adalah tidak dibenarkan.
·         ‘Roller shutter’ sedia ada yang secara visual dipasang pada fasad bagunan perlulah di bawa turun dan diganti dengan reka bentuk dan bahan binaan tradisional.
·         Fasad sedia ada yang telah diubah suai dari fasad asal perlulah dibina semula mengikut fasad asal dari segi ritma, bahan yang digunakan, dan kedududkan elemen mendatar dan menegak.
·         ‘Fanlight’, tingkap, pintu dan ruang udara yang asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Pengembalian semula elemen asal perlulah mengikut reka bentuk dan posisi asal.
·         Elemen dalaman yang baru seperti pendarat tangga, dinding dan pembahagi hendaklah tidak menjadi sempadan kepada bukaan tingkap asal.
·         Penambahan – reka bentuk pintu dan tingkap sebaik-baiknya hendaklah sepadan dengan bangunan yang dipulihara.
·         Birai asal pada tingkap Perancis hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·         Penggantian semula elemen yang pecah/ hilang perlulah mengikut reka bentuk dan posisi asal.
·         Tingkap dan pintu kedua yang baru hendaklah sepadan dengan bukaan tingkap dan pintu yang asal. Pengisi tingkap dan pintu yang mempunyai reka bentuk yang berbagai hendaklah serasi dengan pintu dan tingkap utama.
·         Ciri-ciri dekoratif asal, sekiranya ada perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Pintu pagar sedia ada, sekiranya ada perlulah dikekalkan. Pintu pagar baru dibenarkan dan reka bentuknya hendaklah seperti mana asal/ tradisional dan simpatatik dengan fasad bangunan.
·         Sekiranya terdapat kanopi sedia ada, ia perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Kategori II dan penambahan – Kanopi baru di bukaan atas tingkat dua hendaklah merujuk kepada simpatik dan tidak mengganggu reka bentuk dan memenuhi kehendak jabatan yang berkaitan.
·         Dinding ‘gable’/ dinding pembahagi (atas merit artistik) hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·         Sekiranya terdapat bukaan sedia ada, hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Pembinaan bukaan baru dibenarkan bergantung kepada kebenaran dan reka bentuknya perlulah sepadan dengan fasad hadapan bangunan.
4.0     Kaki lima / beranda.
4.1     Lantai.












4.2     Siling.

·         Reka bentuk asal kaki lima seperti gerbang dan arked hendaklah dikekalkan. Sebarang ciri-ciri dekoratif asal hendaklah dikekalkan dan dipulihara.
·         Kaki lima yang tidak sama aras dengan unit yang bertentangan dan berbeza aras melebihi satu anak tangga, perlulah menyediakan tanjakan yang mematuhi kehendak jabatan.
·         Kemasan lantai asal perlulah dipulihara. Sekiranya memerlukan kerja pembaikan dan penggantian, bahan kemasan perlulah hampir sama dengan bahan asal dari segi warna dan tekstur.
·         Lantai granit asal perlulah dikekalkan dan dibiarkan terbuka tanpa ditutup dengan bahan lain.
·         Profil/ reka bentuk siling asal perlulah dikekalkan. Mana-mana ciri-ciri dekoratif asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
5.0     Halaman belakang.
5.1     Penutup bumbung.



5.2     Tangga luar.


·         Bumbung baru dengan profil curam pada halaman belakang dibenarkan, tertakluk kepada kehendak ketinggian bumbung. Tiada struktur baru dibenarkan didalam ruang telaga udara.
·         Sekiranya terdapat tangga luar sedia ada, ianya boleh dikekalkan atau dibuka. Pembinaan tangga luar baru dibenarkan.
6.0     Fasad belakang.
6.1     Tingkap, pintu dan ruang pengudaraan




6.2     Dinding sempadan belakang.


·         Kategori I – Sekiranya terdapat bukaan asal, ianya perlu dikekalkan dan dipulihara.
·         Kategori II – Bukaan asal boleh dikekalkan dan dipulihara atau ditukar bergantung kepada kehendak reka bentuk. Pembinaan bukaan baru adalah dibenarkan.
·         Kategori I – Ketinggian asal dinding perlulah dikekalkan. Walaubagaimanapun, sekiranya halaman belakang perlu di pasang bumbung, penambahan ketinggian dinding bagi memenuhi kehendak minimum ketinggian adalah dibenarkan.
·         Ciri-ciri dekoratif asli yang ada perlulah dikekalkan dan dipulihara.
Dalaman
7.0     Lantai.
7.1     Lantai bawah.


7.2     Lantai atas.












7.3     Lantai mezzanine.







7.4     ‘Basement’.
7.5     Siling.



·         Lantai bawah sedia ada perlulah dikekalkan.
·         Susun atur/ kerja jubin/ kemasan asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Aras lantai sedia ada dan struktur asal termasuk kayu rasuk utama atau rasuk besi-I, gelegar lantai kayu dan kepingan lantai kayu perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Kategori II – Menaikkan ketinggian lantai sedia ada untuk memenuhi tahap platform minimum, boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kesan buruk minimum yang boleh diberi kepada fasad bangunan dan ciri-ciri jalan disekitarnya.
·         Penambahan – Lantai konkrit baru dibenarkan dan kemasan lantai perlulah sepadan dengan yang asal dari segi tekstur, warna dan bahan.
·         Lantai mezzanine sedia ada boleh dikekalkan atau dibuang.
·         Kategori I – Lantai mezzanine baru tidak dibenarkan.
·         Kategori II – Pembinaan lantai mezzanine baru boleh dipertimbangkan bergantung kepada ketinggian lantai asal dan memenuhi kehendak jabatan yang berkenaan.
·         Pembinaan ‘basement’ baru tidak dibenarkan
·         Profil/ reka bentuk siling asal perlulah dikekalkan. Ciri-ciri dekoratif asal perlu dikekalkan dan dipulihara.
·         Kategori II – Struktur lantai atas dari kepingan kayu dan gelegar kayu yang terdedah perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Sekiranya terdapat lantai konkrit bertetulang asal yang terdedah, maka ia perlu dikekalkan. Pemasangan siling palsu dibenarkan dengan syarat volum ruang dalaman adalah kekal dan ciri-ciri asal seperti birai hias, gerbang, modal dan ‘stuccos’ hiasan tidak tertutup.
8.0     Dinding.
8.1     Dinding pembahagi.







8.2     Ciri-ciri dekoratif.


·         Kerja pembaikan dibenarkan tetapi perlulah mengikut reka bentuk, bahan binaan dan kaedah pembinaan asal.
·         Kategori II – Bukaan pada dinding pembahagi bagi unit yang bersambung dibenarkan bergantung kepada kestabilan struktur bangunan dan jumlah keluasan hendaklah tidak melebihi 50% dari jumlah panjang dinding pembahagi.
·         Sekiranya terdapat ciri-ciri dekoratif asal, ianya perlu dikekalkan dan dipulihara.
9.0     Telaga udara.
9.1     Saiz.


9.2     Tingkap, pintu dan ruang pengudaraan.
9.3     Kemasan lantai.

9.4     Penutup bumbung.


·         Saiz dan lokasi asal perlulah dikekalkan dan dipulihara, Menaikkan aras lantai sedia ada adalah tidak dibenarkan.
·         Bukaan asal perlulah dikekalkan dan dipulihara.

·         Kemasan lantai granit asal dan kelilingnya perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Penutup bumbung rata boleh ubah adalah dibenarkan dan ketinggian penutup hendaklah lebih rendah dari cucur atap bumbung utama. Tidak ada struktur atau papak dibenarkan di dalam lingkungan telaga udara.
·         Menutup telaga udara secara keseluruhan atau pembinaan bumbung jek baru adalah tidak dibenarkan.
10.0  Tangga.








·         Kedudukan dan reka bentuk tangga asal yang sangat halus kerjatangannya perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Kategori II – Perletakan semula tangga asal atau penambahan tangga baru dibenarkan sekiranya perlu. Reka bentuk artistik asal pada selusur tangan perlulah dikekalkan dan diguna semula.
·         Tambahan – Kepelbagaian di dalam susunan dan reka bentuk selusur tangan adalah dibenarkan.
11.0  Kemasan luaran / dalaman.

·         Kemasan asal, e.i: jubin, bata muka atau granolitik perlulah dikekalkan dan dipulihara. Kerja mengecat kemasan asal adalah dilarang.
·         Kategori I – Cat/ pigmen/ skima warna asal adalah dicadangkan di dalam kerja menyalut cat.
·         Kategori II – Skima warna atau cat yang digunakan perlulah sepadan dan harmoni dengan bangunan warisan dan persekitaran.
·         Tambahan – blok baru hendaklah diberikan warna dan kemasan yang sesuai dan halus yang akan melengkapkan bahagian yang dipulihara dan tidak mengurangkan karektor persekitaran.
12.0  Papan tanda.

·         Papan tanda hendaklah dipasang dengan mengikut ‘Peraturan bagi Mempamerkan Papan Tanda’
13.0  Peranti keselamatan.

·         Peranti keselamatan yang asal seperti kunci, jeriji besi, gril dan sebagainya hendaklah dikekalkan dan dipulihara. Pemasangan peranti keselamatan baru adalah bergantung kepada kehendak kesesuaian, posisi yang tidak menganggu dan visual yang menarik dari segi reka bentuk dan warna.

14.0 Sistem mekanikal dan elektrikal.
14.1      Ekzos kipas.


14.2      Konduit dan paip.












14.3      Unit pendingin udara.













14.4      Tangki air/ menara penyejuk.


14.5      Lif.


·         Ekzos kipas perlulah diletakkan pada bahagian belakang fasad yang memandang ke arah perkarangan belakang atau jalan belakang.
·         Setiap utiliti/ paip konduit kecuali bagi paip air hujan mengalir turun, adalah tidak dibenarkan pada permukaan dinding kekal.
·         Paip bagi air hujan mengalir turun hendaklah dipasang terus ke parit. Posisi, reka bentuk, warna dan bahan bagi paip air hujan mengalir turun dan longkang perlulah sepadan dan harmoni dengan fasad bangunan.
·         Paip konduit bagi utiliti dan pendingin udara dibenarkan dipasang pada dinding belakang atau telaga udara.
·         Paip pendingin udara hendaklah disalut dan disusun dengan betul dan kemas.
·         Unit pemampat pendingin udara yang dipasang hendaklah kurang dapat dilihat dari luar. Pemasangan unit pemampat pada fasad hadapan adalah dilarang sama sekali.
·         Unit pemampat pendingin udara boleh dipasang pada perkarangan belakang (di bawah dinding sempadan belakang/ telaga udara/ bumbung) atau ditutup dengan kerangka yang mempunyai reka bentuk dan bahan yang sesuai (tidak berkenaan bagi fasad hadapan).
·         Bagi bangunan tanpa perkarangan belakang, balkoni boleh direka bentuk bagi menempatkan unit pemampat pendingin udara.
·         Sekiranya terdapat tangki air, menara penyejuk dan pemasangan luaran lain, maka ianya perlu ditutup/ di skrin dan diletakkan pada tempat yang kurang nampak dari luar
·         Pemasangan lif adalah dibenarkan bagi bangunan yang menjalankan penambahan/ bangunan annex. Aci lif tidak boleh menonjol dari slop hadapan bumbung baru.
15.0  Lain-lain.
15.1      Perparitan.



15.2      Lampu malam.



15.3      Cerucuk.


·         Menyediakan sistem perparitan yang sempurna di sekeliling bangunan bagi memastikan yang air tidak akan terpercik ke dinding atau dinding asas parit bagi bangunan.
·         Sekiranya terdapat peralatan lampu, perlulah diletak pada tempat yang menonjol dan hendaklah harmoni dengan karektor pada fasad bangunan.
·         Kaedah kerja cerucuk dan pengorekan hendaklah diluluskan oleh anggota kaunsel sebelum kerja dijalankan. Kerja melantak cerucuk berdekatan dengan bangunan yang dipulihara adalah tidak dibenarkan.
·         Semua kerja penjagaan dan perlindungan perlu diberi kepada bangunan warisan bersebelahan bagi memastikan kestabilan dari segi struktur dan integriti.

Sumber: Table 1 - Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).

Selain daripada mematuhi peraturan pemuliharaan berdasarkan elemen bangunan, kerja penyesuaigunaan yang dilakukan juga perlulah mematuhi peraturan penggunaan bahan binaan yang dibenarkan sepertimana yang dinyatakan di dalam Jadual 3.11 berikut.

Jadual 3.11: Garis panduan bagi kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah merujuk kepada peraturan-peraturan pemuliharaan bangunan warisan yang diwarta - Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) bagi bahan binaan yang digunakan.


Elemen utama


Bahan binaan
Luaran
1.0     Bumbung.
1.1     Struktur.

1.2     Bumbung utama dan bumbung belakang.









1.3     Bumbung jek.






1.4     ‘Skylight’.






1.5     ‘Dormer window’.
1.6     Bumbung ‘overhang’.



·         Hanya struktur atau bahagian yang rosak perlu diganti
·         Kategori I – Bahan bumbung tradisional bersaiz kecil, profil v, genting tanah liat tidak berkilat dan berwarna semulajadi digunakan.
·         Genting tanah liat bertaut dan genting konkrit bertetulang hanya dibenarkan jika bahan binaan asal adalah menggunakan bahan tersebut.
·         Kategori II – Sebarang penggantian genting bumbung tanah liat perlulah serupa atau menggunakan bahan binaan yang lebih kurang serupa dengan mengikut profil dan kecuraman asal.
·         Kategori II - Genting bumbung perlulah sama dengan genting yang digunakan pada bumbung utama. Dinding tepi perlulah padu dan dikemaskan dengan plaster atau kepingan kayu. Bahan binaan bagi bahagian hadapan dan belakang bukaan perlulah sepadan dengan fasad asal.
·         Kategori II - Bahan binaan yang telus pada kerangka kayu atau logam (disaluti cat atau warna) adalah digalakkan.
·         Tambahan - Bahan binaan yang telus pada kerangka kayu atau logam (dicat atau disalut warna) adalah digalakkan.
·         -
·         Rekabentuk asal/ kemasan/ bahan binaan di bahagian bawah, papan fascia, talang air dan sebagainya boleh digunakan.
2.0     Perkarangan.
2.1     Ruang tertutup.

·         Bahan binaan, reka bentuk, dan kemasan asal boleh digunakan.
·         Kategori II – Hamparan kemasan lantai baru perlulah sensitif dan sepadan dengan fasad hadapan.
3.0     Fasad hadapan / tepi.
3.1     Fasad bangunan.





3.2     Hadapan kedai.




3.3     ‘Fanlight’, tingkap, pintu dan ruang udara.








3.4     Birai bagi tingkap Perancis.

3.5     Tingkap dan pintu kedua bagi setiap tingkat.


3.6     Ciri-ciri dekoratif.
3.7     Pintu pagar.
3.8     Kanopi.

3.9     Dinding ‘gable’


·         Kerja batu, mortar dan plaster asal perlulah dikekalkan (sebaik mungkin).
·         Tambahan– Dibenarkan menggunakan bahan binaan moden tetapi perlulah selaras dengan bahan binaan asal dari sudut tekstur, profil, warna dan sebagainya.
·         Kategori II - Panel kayu asal bagi tingkap dan pintu di tingkat bawah perlulah dikekalkan dan dipulihara.
·         Bahan binaan tradisional seperti kayu, gril/ panel logam boleh digunakan.
·         Bahan binaan tradisional atau sama dengan bahan binaan asal sahaja digunakan. Penggunaan bahan binaan moden seperti kerangka logam dan gelas berkaca gelap adalah dilarang.
·         Tamabahan – bahan binaan moden dibenarkan tetapi dari sudut tekstur, profil, warna dan sebagainya hendaklah selaras dengan bahan binaan asal. Penggunaan gelas berkaca gelap ringan, berwarna dan kabur adalah dibenarkan.
·         Bahan binaan tradisional atau sama dengan bahan binaan asal digunakan.
·         Kerangka utama mestilah dari kayu dan dan isinya boleh menggunakan kayu/ gelas. Gelas berkaca gelap ringan, berwarna dan kabur adalah dibenarkan.
·         Perlulah menggunakan bahan binaan tradisional.
·         Perlulah menggunakan bahan binaan tradisional.
·         Kategori II dan struktur tambahan – Bahan binaan bumbung tradisional digunakan. Bahan binaan seperti logam, kepingan asbestos atau PVC tidak dibenarkan.
·         Rangka utama adalah dari kayu dan diisi dengan kayu/ gelas.
4.0    Kaki lima / beranda.
4.1     Lantai.





4.2     Siling.


·         Disaran menggunakan kemasan tradisional seperti simen, simen berwarna dengan indentasi, jubin terracotta, jubin terrazzo dan mozek dilengkapi dengan granit ditepi. Kemasan dari jubin seramik yang digilap adalah tidak dibenarkan.
·         Struktur lantai atas kayu yang terdedah dan gelegar kayu adalah digalakkan. Sekiranya terdapat lantai konkrit bertetulang sediada yang terdedah, maka ia dibenarkan untuk terus dikekalkan.
5.0     Halaman belakang.

5.1     Penutup bumbung.

5.2     Tangga luar.

·         Bahan binaan bumbung yang sama sepertimana bumbung utama perlu digunakan. Penggunaan bahan binaan seperti zink, asbestos, dek logam dan sebagainya tidak dibenarkan.
·         Apa jua bahan binaan boleh digunakan. Sekiranya menggunakan logam, ia perlulah disalut dengan anod atau warna.
6.0     Fasad belakang.
6.1     Tingkap, pintu dang ruang pengudaraan.
6.2     Dinding sempadan belakang.

·         Bukaan baru perlulah sepadan dengan bahan binaan yang digunakan pada fasad hadapan.
·         Menggunakan dinding bata berplaster.
Dalaman
7.0    Lantai.
7.1     Lantai bawah.


7.2     Lantai atas.













7.3     Lantai mezzanine.



7.4     ‘Basement’.
7.5     Siling.



·         Bahan binaan yang pecah hendaklah diganti dengan yang serupa atau hampir serupa dengan yang asal.
·         Bagi gelegar kayu perlu menggunakan bahan binaan tradisional dari kepingan kayu. Bagi kawasan yang basah seperti tandas dan dapur, lantai konkrit boleh digunakan. Bahan binaan yang sama boleh digunakan.
·         sekiranya lantai sedia ada adalah dari konkrit bertetulang.
·         Kategori II – Penambahan struktur sokongan secara melintang dan menegak bagi dinding pembahagi dan bahan yang digunakan boleh dari kayu, bata atau besi. Konkrit bertetulang boleh digunakan sekiranya hanya konkrit bertetulang sahaja yang boleh menyelesaikan masalah teknikal yang ada.
·         Kategori II – Dibenarkan menggunakan sebarang bahan binaan kecuali konkrit. Pemilihan bahan binaan yang digunakan perlulah serasi dan harmoni dengan struktur sedia ada.
·         -
·         Siling yang pecah perlulah diganti dengan bahan binaan yang serupa atau hampir serupa dengan bahan binaan asal.
·         Kategori II – Menggunakan bahan binaan tradisional dari rangka kayu, kepingan kayu atau kepingan plaster. Tidak dibenarkan memasang rangka aluminium atau logam.
8.0     Dinding.
8.1     Dinding pembahagi.
8.2     Ciri-ciri dekoratif.


·         -
·         Menggunakan bahan binaan tradisional atau yang serupa.
9.0    Telaga udara.
9.1     Saiz.
9.2     Tingkap, pintu dan ruang pengudaraan.

9.3     Kemasan lantai.


9.4     Penutup bumbung.


·         -
·         Menggunakan bahan binaan tradisional bagi menggantikan bahagian yang pecah. Tidak dibenarkan memasang bahan binaan moden lain.
·         Mengganti atau memasang bahan binaan baru yang serupa atau yang hampir serupa dengan bahan binaan yang asal.
·         Dibenarkan menggunakan penutup bumbung dari jenis telus yang ringan atau lutcahaya. Sekiranya menggunakan rangka logam, ia perlulah disalut dengan anod atau warna.
10.0     Tangga.

·         Kategori II – Tangga baru yang dibina menggunakan konkrit bertetulang perlulah dikemaskan dengan kayu termasuk bahagian ‘baluster’ dan ‘balustrade’
·         Penambahan – Dibenar menggunakan apa jua jenis bahan binaan

11.0     Kemasan luaran / dalaman.


·         Kategori II – Menggunakan bahan binaan seperti cat ‘lime wash’
·         Penambahan – Digalakkan menggunakan bahan binaan yang sama atau hampir sama.
12.0     Papan tanda.
·         -
13.0     Peranti keselamatan.
·         -
14.0     Sistem mekanikal dan elektrikal.
14.1     Ekzos kipas.

14.2     Konduit dan paip.
14.3     Unit pendingin udara.


14.4     Tangki air/ menara penyejuk.

14.5     Lif.

·          Logam pengudaraan digalakkan disalut dengan anod atau warna
·          -
·          Penggunaan bahan binaan seperti kekisi kayu atau skrin logam yang harmoni dengan fasad adalah digalakkan
·          Penggunaan bahan binaan seperti kekisi kayu atau skrin logam yang harmoni dengan fasad adalah digalakkan
15.0     Lain-lain.
15.1     Perparitan.
15.2     Lampu malam.
15.3     Cerucuk.

·         -
·         -
·         -

Sumber: Table 1: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).

Berikut adalah-lakaran-lakaran yag telah disediakan di dalam lampiran ‘Table 1’ Peraturan Kawasan Pemuliharaan dan Bangunan Warisan (2008) bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang peraturan yang telah digariskan.


Rajah 3.8: Lakaran 1: Karekter rumah kedai.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).



Rajah 3.9: Lakaran 2: Halaman belakang.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).


Rajah 3.10: Lakaran 3: Telaga udara.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).



Rajah 3.11: Lakaran 4: Fasad hadapan.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).


Rajah 3.12: Lakaran 5: Fasad rumah kedai (Early Transitional Style).
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).



Rajah 3.13: Lakaran 6: Fasad rumah kedai (Straits Eclectic Style).
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).


Rajah 3.14: Lakaran 7: Papan tanda.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).



Rajah 3.15: Lakaran 7a: Papan tanda.
Sumber: Majlis Perbandaran Pulau Pinang (2008a).













3.17     Piagam-piagam yang turut digunakan di dalam Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town
Selain daripada garis panduan yang disediakan oleh MBMB dan MPPP, Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town juga merujuk kepada garis panduan dan piagam kebangsaan malah panduan dan piagam dunia lain. Ini bagi memastikan penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town melepasi piawaian yang telah ditetapkan oleh UNESCO. Antara piagam tersebut adalah:
1.     The Burra Charter: The Australia ICOMOS Charter for Places of Cultural.
5.     The Appleton Charter: Appleton Charter for the Protection and Enhancement of the Built Environment 1983.
8.     AICCM Australian Institute for Conservation of Cultural Material.

3.18       Rumusan
Melaka dan George Town merupakan dua buah bandar di Malaysia yang telah berjaya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Julai 2008. Pengiktirafan oleh badan dunia UNESCO itu merupakan satu penghormatan dan perlu dikekalkan. Namun begitu, bagi mengekalkan pengiktirafan yang diterima bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dipatuhi yang telah digariskan oleh badan dunia tersebut. Melaka dan George Town telah melakukan berbagai langkah bagi memastikan kedua buah Tapak Warisan Dunia ini dapat diuruskan dengan baik dan mengekalkan pengiktirafan yang telah diterima.

Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town telah menubuhkan unit atau badan khas yang bertanggungjawab di dalam menguruskan segala perkara yang berkaitan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Melaka telah menubuhkan Unit Konservasi di bawah Jabatan Perancang Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah bagi menguruskan Pelan Tindakan Kawasan Pemuliharaan Melaka. Manakala George Town pula telah menubuhkan Jabatan Warisan di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang bagi menguruskan kawasan dan bangunan warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Garis panduan khas yang telah disediakan oleh kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut merupakan rujukan yang digunakan oleh pihak-pihak yang terlibat di dalam kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah bagi memastikan bangunan bersejarah yang disuaiguna dipulihara mengikut prinsip pemuliharaan dengan baik. Bangunan bersejarah merupakan antara aset utama yang diberi perhatian oleh kedua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town untuk dipulihara sebaiknya kerana ia merupakan warisan nyata yang mempunyai berbagai nilai sejarah dan seni bina. Kegagalan di dalam mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan boleh memberi impak yang buruk ke atas Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town dan ini akan merugikan pelbagai pihak.

No comments: