Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 2 Kajian Literatur

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 2
KAJIAN LITERATUR


2.1            Pengenalan
Penyesuaigunaan bangunan secara umumnya melibatkan kerja-kerja seperti pemuliharaan, pengubahsuaian, pembaikan, pengekalan dan pembetulan bangunan. Ia perlu dijalankan secara terancang dan komprehensif bagi memastikan bangunan yang disuaiguna dapat digunakan secara optima (Foulks ed., 1997; Mohd Yusof Ismail, 2003). Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan satu pendekatan dalam memastikan bangunan bersejarah terpulihara dan memastikan ia terus digunakan secara berterusan (Insall, 1972; Hutchins, 1982; Thaler, 2002). Menurut A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman (2001), bangunan yang disuaiguna atau melakukn ‘adaptive re-use’ boleh disesuaikan kepada fungsi bangunan yang baru melalui kegunaan yang sepadan yang tidak melibatkan sebarang perubahan ketara terhadap struktur bangunan. Pengubahsuaian yang dibuat hanya melibatkan penukaran yang mempunyai kesan yang minimum tanpa menjejaskan kepentingan seni bina, sejarah dan budaya (Cannata, 2006; Davies, 2008; Dipenza, 2011).

Menurut Akta Warisan Kebangsaan 2005 pembaikpulihan secara penyesuaigunaan melibatkan kesemua atau sebahagian pembaikpulihan luar dengan bahagian dalam disesuaikan bagi suatu kegunaan berfungsi moden. Penyesuaigunaan selalunya melibatkan kerja pengubahsuaian elemen bangunan bagi memastikan ianya dapat memenuhi keperluan baru (Stahl, 1984; Rabun, 2000; Garner 2008). Antara fungsi bangunan yang sering diubah adalah daripada sebuah pejabat menjadi rumah kediaman, bangunan industri diubah menjadi pusat pameran, rumah kedai dijadikan kedai atau kafe, istana lama dijadikan muzium, pejabat dijadikan restoran, rumah agam dijadikan hotel dan sebagainya (Melville dan Gordon, 1984; Highfield, 1991; Nash, 1992).

2.2       Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah perlu diberi perhatian yang sewajarnya, terutama sekali bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di bandar-bandar warisan (Ashworth dan Howard, 1999; ICOMOS, 2002; UNESCO, 2004). Secara umumnya konsep penyesuaigunaan bangunan bersejarah ini amat sesuai dijalankan di bangunan bersejarah yang terdapat di bandar warisan terutama sekali yang menjadi tumpuan atau pusat pelancongan (ICOMOS, 1998; Gravari-Barbas, 2003; Orbasli, 2008). Penyesuaigunaan yang dilakukan dapat memastikan bangunan bersejarah yang ada terus dapat digunakan dan mengelakkan bangunan tersebut roboh dan pupus. Malah penyesuaigunaan bangunan yang dapat memberi manfaat dan manghasilkan keuntungan merupakan bonus kepada pemiliknya (ICOMOS, 1993a; Henehan et al., 2004; Guillet, 2007).

Ramai pihak bersetuju bahawa penyesuaigunaan bangunan bersejarah bukan sahaja dapat memberi pembangunan semula yang positif di satu-satu kawasan, tetapi juga dapat menyelamatkan bangunan bersejarah yang ada daripada dirobohkan (Haskell, 1993; Maguire, 1994; Kincaid, 2002). Perobohan bangunan bersejarah selalunya akan mendatangkan kesan negatif jangka panjang, yang mana akan menghilangkan karekter dan sejarah sesebuah bandar di mana bangunan bersejarah itu dibina (Jokilehto, 2011). Bukan itu sahaja, malah ia akan melenyapkan sejarah bangsa yang tercatat bersama-sama bangunan tersebut (Geffen, 2004; ICCROM, 2011; ICOMOS, 2011). Menurut Chandler (1991), penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan kaedah terbaik bagi memastikan sesebuah bangunan bersejarah itu terus terpulihara dan dapat digunakan untuk satu tempoh masa yang panjang.


Gambar 2.1: Tate Modern di London sebuah janakuasa elektrik yang telah disuaiguna menjadi sebuah galeri seni.


Gambar 2.2: Muzium The Louvre di Paris merupakan sebuah istana yang telah disuaiguna sebagai sebuah muzium.


Di samping memastikan sesebuah bangunan bersejarah terus digunakan, penyesuaigunaan dapat memastikan sejarah yang tersimpan di sebalik bangunan bersejarah tersebut dapat dikongsi bersama dengan generasi akan datang walaupun dalam bentuk yang berbeza (Chandler, 1991; Thornbush dan Viles, 2005). Penyesuaigunaan selalunya akan membantu kejayaan sesebuah projek pemuliharaan. Selain daripada memastikan sejarah terus terpelihara, Siti Norlizaiha et. al (2010) telah mengenal pasti sebab-sebab lain penyesuaigunaan bangunan lama dilakukan dan antaranya ialah:
1.     Masa pembinaan yang singkat.
2.     Kelebihan dari segi ekonomi.
3.     Kemudahan kelulusan dari pihak berkuasa.
4.     Undang-undang bangunan yang diwartakan.
5.     Kelebihan reka bentuk bangunan lama.


Rajah 2.1: Faktor yang menyumbang kepada konsep penyesuaigunaan bangunan bersejarah.
Sumber: Siti Norlizaiha Harun et al. (2010).

Di dalam menjalankan kerja-kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah, pemilik harus tahu bahawa terdapat had dan batasan yang terpaksa dipatuhi terutamanya bagi bangunan bersejarah yang terletak di Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu dilakukan merangkumi kerja-kerja pemuliharaan bagi memastikan Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut terjaga dan terpulihara dengan baik. Kerja penyesuaigunaan yang dilakukan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tetapi perlu mematuhi prinsip-prinsip pemuliharaan bangunan bersejarah yang telah ditetapkan pada garis panduan, peraturan dan piagam-piagam tertentu (UNESCO, 2011).


Gambar 2.3: Rumah No. 138 Jalan Hutton, Pulau Pinang yang telah disuaiguna dan dipulihara dengan baik kini telah dijadikan sebagai Pejabat Jabatan Warisan Negara Wilayah Utara.

Menurut Fielden (2000), pemuliharaan bangunan adalah satu langkah yang diambil bagi menghalang kerosakan. Ia merangkumi semua langkah yang dapat memanjangkan hayat warisan budaya dan warisan semula jadi. Burden (2004) mendefinisikan pemuliharaan sebagai pengurusan sesebuah bangunan untuk mengelakkan kereputan, kemusnahan, penyalahgunaan atau diabaikan, dan ia merangkumi pemerekodan sejarah bangunan dan pendekatan pemuliharaan yang telah dijalankan sebelumnya. Manakala merujuk kepada Perbadanan Muzium Melaka (2006a), pemuliharaan adalah kerja-kerja baik pulih monumen dan tapak tanah bersejarah dengan menggunakan kaedah mengekalkan seni bina dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan bahan asal. Seterusnya dalam Piagam Burra; Artikel 1.4, mendefinasikan pemuliharaan sebagai segala proses untuk mengawasi sesuatu tempat supaya dapat mengekalkan kepentingan kebudayaan. Ini termasuklah kerja pemuliharaan, pembaikan, pembinaan semula dan penyesuaian dan biasanya lebih daripada salah satu kombinasi ini digunakan (ICOMOS, 1993b; ICOMOS, 1999).


Gambar 2.4: Kerja-kerja pemuliharaan sedang dilakukan ke atas Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang pada 2007.



Gambar 2.5: Kerja-kerja pemuliharaan sedang dilakukan ke atas Bangunan Sanitary Board di Taiping, Perak pada 2009.


Pemuliharaan seperti mana yang telah didefinasikan di dalam Piagam Burra ‘The Australia ICOMOS Charter for the Conservation of Places of Cultural Significance with Associated Guidelines and Code on the Ethics of Co-existance’ (ICOMOS, 1999), adalah proses memulihara sesuatu tempat supaya kepentingan kebudayaan dapat dikekalkan. Prosesnya termasuklah penyelenggaraan yang merangkumi pemulihan, restorasi dan pembinaan semula serta adaptasi. Kebiasaannya ia adalah kombinasi diantara proses yang telah dinyatakan. Manakala Earl (2003) dan Burden (2004) mendefinisikan pemuliharaan sebagai pengurusan bangunan bagi mengelakkan sesebuah bangunan itu dari reput, musnah, teraniaya dan terabai. Kerja pemuliharan yang dilakukan termasuklah merekod sejarah bangunan dan mengenal pasti kerja pemuliharaan yang perlu dijalankan (Metcalf dan Thompson ed., 1998; Mansfield, 2004). Fielden (1999) pula mendefinisikan pemuliharaan adalah tindakan bagi mengelakkan kereputan. Ia meliputi semua peri laku dan perbuatan yang boleh memanjangkan hayat warisan budaya dan warisan semulajadi yang akan dipertontonkan kepada mereka yang menghargai bangunan bersejarah dengan perasaan artistik dan ingin tahu.

Menurut Rodwell (2004) dan Orbasli (2008) pula, pemuliharaan adalah proses memahami, menjaga dan yang paling penting menyelenggara, membaiki, memelihara dan menyesuaiguna bangunan bersejarah bagi memelihara kesan kebudayaannya. Manakala A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman (2001) beranggapan bahawa pemuliharaan bangunan warisan melibatkan kerja-kerja pengekalan dan penjagaan bangunan secara sistematik demi menghargai khazanah warisan seni bina, sejarah dan budaya sedia ada. Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) menyatakan bahawa pemuliharaan termasuklah pemeliharaan, pembaikpulihan, pembinaan semula, pemulihan dan penyesuaian atau mana-mana gabungannya (Jabatan Warisan Negara, 2005). Pemeliharan di bawah Akta 645 ini adalah tindakan yang bertujuan untuk memberhentikan kemerosotan lanjut, reput atau keadaan usang kepada bangunan, monumen dan tapak. Ia termasuklah:
1.     Teknik membantutkan atau memperlahankan proses kemerosotan, reput atau keadaan usang sesuatu butiran atau struktur;
2.     Pembaikan keadaan struktur untuk menjadikan sesuatu struktur selamat, boleh didiami, atau selainnya berguna dan;
3.     Penyenggaraan biasa dan pembaikan kecil yang tidak mengubah atau memudaratkan rupa fabrik atau sejarah sesuatu struktur.

Bagi memastikan bangunan bersejarah tidak pupus ditelan zaman, maka usaha pemuliharaan yang berterusan perlu dilakukan sebagaimana disarankan oleh Fladmark (2002); Irwin (2003); Hobson (2004) dan Kindred (2006). Terdapat berbagai definisi dan terminologi yang telah digunakan dalam kerja-kerja pemuliharaan (Watt dan Weaver, 2004; Yeomans, 2007). Menurut Panduan Kawalan Pembangunan Melaka yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (2006) serta pihak-pihak lain seperti Bullock (1983); Erder (1986); Phillips dan Truman ed., (2002), Burden (2004), tindakan-tindakan pemuliharaan boleh didefinisikan seperti berikut:
1.     Pemuliharaan (conservation) adalah satu istilah umum yang bermaksud segala proses yang terlibat untuk menjaga sesuatu tempat bagi tujuan memelihara kepentingan budaya.
2.     Penjagaan (maintenance) bermaksud memberi penjagaan yang rapi dan berterusan ke atas fabrik, kandungan dan ruang perletakan sesebuah tempat. Ianya hendaklah dipisahkan dengan kaedah pembaikan (repair).
3.     Pengekalan (preservation) bermaksud memastikan fabrik sesuatu tempat itu di dalam keadaan asalnya dan mencegah dari berlaku keusangan.
4.     Pemulihan (restoration) bermaksud membawa fabrik sedia ada kembali kepada keadaan awal seperti yang diketahui dengan membuang tambahan-tambahan atau memasang kembali komponen-komponen fabrik yang terdapat tanpa menggunakan atau memperkenalkan sebarang bahan baru ke atasnya.
5.     Pembangunan semula (reconstruction) bermaksud mengembalikan sesuatu keadaan itu sedekat yang mungkin dengan keadaan awalnya dan boleh dibezakan dengan menggunakan bahan-bahan lama dan baru.
6.     Penyesuaigunaan (adaptation) bermaksud mengubahsuaikan sesuatu tempat supaya selaras dengan jenis kegunaan yang sepadan seperti yang dicadangkan.
7.     Kegunaan yang sepadan (compatible use) bermaksud sesuatu kegunaan yang tidak melibatkan sebarang penukaran ke atas fabrik yang mempunyai kepentingan budaya atau sebarang penukaran yang tidak boleh dikembalikan semula atau yang mempunyai kesan yang minimum.

2.3       Kepentingan Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah
Bangunan bersejarah yang banyak terdapat di Malaysia perlu dipulihara dengan sebaik mungkin kerana ia mempunyai kepentingannya yang tersendiri (Wendy Khadijah Moore, 2004). Menurut A Ghafar Ahmad (1997a), bangunan warisan dipulihara atas beberapa sebab dan sebab utamanya adalah bagi menunjukkan rasa sensitiviti pada masa lalu. Berikut adalah antara sebab-sebab penyesuaigunaan berlandaskan prinsip pemuliharaan perlu dilakukan:
1.     Kepentingan sejarah.
2.     Nilai seni bina.
3.     Industri pelancongan.
4.     Pendidikan.
5.     Pembentukan minda.

2.3.1       Kepentingan Sejarah
Perkembangan dan sejarah sesebuah negara boleh dilihat daripada seni bina bangunan yang ada. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah seluruh negara di dunia. Seni bina bangunan menggambarkan perkembangan sejarah yang berlaku di sesebuah tempat dan negara. Seperti mana kebanyakan bangunan warisan yang ada di Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang yang mempunyai reka bentuk pengaruh kolonial menunjukkan bahawa negara pernah didatangi oleh kuasa luar seperti Portugis, Belanda dan Inggeris satu masa dahulu. Begitu juga dengan seni bina yang banyak dipengaruhi oleh ‘feng shui’ kaum Cina dan bahan binaan yang di datangkan khas dari luar negara menunjukkan Tanah Melayu pernah didatangi oleh berbagai kaum dari pelusuk dunia. Tanah Melayu terutamanya Negeri Selat pernah menjadi pusat perdagangan yang pesat satu ketika dahulu. Penjajah dan pedagang yang datang ke Tanah Melayu membawa bersama budaya dan kesenian dari negara asal mereka seterusnya mempengaruhi seni bina bangunan di Tanah Melayu (A Ghafar Ahmad, 1994a).




Gambar 2.6: Contoh monumen bersejarah di Melaka iaitu peninggalan Kota A’Famosa (bermaksud ‘’Yang Termashur’’ dalam bahasa Portugis) yang dibina pada 1511 perlu dipulihara dengan sebaik mungkin sebagai bukti sejarah kedatangan penjajah Portugis di negara ini suatu ketika dahulu.

2.3.2       Nilai Seni bina
Bangunan Kolonial yang banyak terdapat di Malaysia mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri yang boleh dikategorikan sebagai Moorish, Tudor, Neo Clasical, Neo Gothic dan lain lain lagi. Reka bentuk seni bina ini amat mementingkan perincian di ruang dinding, tingkap, pintu, tiang dan menara. Manakala rumah Melayu tradisional mempunyai reka bentuk berdasarkan ciri-ciri seni bina tempatan dan luar seperti pengaruh dari Nusantara. Ia mempunyai ukiran halus di bahagian bumbung, tingkap dan pintu yang menggambarkan seni bina Melayu di samping budaya masyarakat itu sendiri. Reka bentuk yang unik inilah yang sewajarnya dipulihara kerana ia melambangkan identiti bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia (A Ghafar Ahmad, 1997a).


Gambar 2.7: Ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dibina pada 1917 dan terletak di Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur mempunyai reka bentuk seni bina Moorish merupakan antara bangunan bersejarah yang tedapat di Malaysia. Bangunan ini telah disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2007.

2.3.3       Industri Pelancongan
Usaha pemuliharaan bangunan bersejarah telah menjadi salah satu agenda utama di dalam industri pelancongan negara-negara Barat. Ia dapat dilihat dengan jelas di Eropah seperti di England, Perancis, Itali dan Belanda. Selain daripada mengekalkan fungsi bangunan tersebut sebagaimana asal, terdapat juga bangunan yang diubah suai penggunaannya menjadi muzium, galeri seni lukis, restoren dan pusat pelancongan. Usaha ini telah mampu menarik lebih ramai pelancong dan membantu menjana ekonomi negara tersebut (Timothy dan Boyd, 2003). Sehubungan dengan itu, konsep pelancongan warisan patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh di Malaysia memandangkan negara mempunyai banyak peninggalan bangunan bersejarah yang mempunyai nilai seni bina yang tinggi yang dirasakan mampu menarik minat para pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi bangunan-bangunan bersejarah tersebut (A Ghafar Ahmad, 1998).


Gambar 2.8: Pelancong asing sedang bergambar di Dataran Merdeka berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan salah satu destinasi pelancongan wajib kepada para pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur. Keunikan reka bentuk seni bina bangunan bersejarah yang terdapat di sekitar Dataran Merdeka ini berjaya menarik perhatian para pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk mengunjunginya.

2.3.4                           Pendidikan
Generasi muda hari ini semakin lupa dengan susur jalur asal keturunan mereka. Mereka telah mengamalkan cara hidup moden yang langsung tidak menunjukkan kebudayaan datuk nenek moyang mereka. Setidak-tidaknya dengan adanya peninggalan bangunan bersejarah, generasi muda hari ini masih menyedari bahawa mereka mempunyai warisan budaya dan sejarah yang unik. Di sebalik kewujudan sesebuah bangunan bersejarah terkandung berbagai cerita sama ada dari segi reka bentuk seni bina sesebuah bangunan bersejarah sehinggalah kepada sejarah yang terjadi sepanjang kewujudan bangunan tersebut. Pemuliharaan bangunan bersejarah bukan sahaja dapat menyelamatkan bangunan bersejarah daripada musnah tetapi secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada generasi muda mempelajari sejarah kehidupan manusia dan budaya masyarakat tempatan dengan melakukan kajian ke atas bangunan bersejarah yang masih ada. Kajian yang dilakukan oleh generasi muda hari ini secara tidak langsung akan membuka kembali segala lipatan sejarah yang tersimpan. Manakala bagi generasi muda yang berminat dengan seni bina dan seni pertukangan, pemuliharaan bangunan bersejarah akan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari asas seni bina dan pertukangan yang digunakan satu ketika dulu (Raja Fuziah Raja Tun Uda, 1990).


Gambar 2.9: Contoh model struktur kerangka kayu rumah Melayu tradisional yang ditempatkan di Pusat Warisan Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan ilmiah kepada para pelajar dalam bidang seni bina dan sejarah di peringkat sekolah dan universiti.

2.3.5                           Pembentukan Minda
Pemuliharaan bangunan bersejarah penting di dalam membantu pembentukan minda generasi muda hari ini, terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Terdapat pelbagai maklumat yang tersimpan di sebalik sesebuah bangunan bersejarah.Tanpa disedari, bangunan bersejarah boleh membantu generasi muda mengingati kembali perkembangan sejarah negara. Selain daripada itu, bangunan bersejarah juga menunjukkan budaya sesebuah masyarakat. Ia dapat dilihat dari reka bentuk seni bina dan pelan lantai bangunan bersejarah tersebut. Bangunan bersejarah dapat membuatkan generasi muda lebih menghargai dan sensitif dengan perkembangan sejarah negara seterusnya menghargai budaya bangsa sendiri (Jabatan Warisan Negara, 2009b).

Gambar 2.10: Muzium Seni bina Malaysia yang terletak di No. 1 Jalan Kota, Melaka merupakan bangunan peninggalan penjajah Belanda yang telah dipulihara oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia pada 2000 dan kini menempatkan koleksi seni bina bangunan bersejarah dari seluruh negara yang amat sesuai untuk pembentukan minda generasi muda.

2.4                 Bangunan Bersejarah
Kepupusan warisan merupakan sesuatu yang amat merugikan. Antara warisan berharga yang paling mudah pupus dan perlu kita pulihara adalah bangunan bersejarah yang ada hari ini (Warren, 2004). Bangunan bersejarah kebanyakannya merupakan bangunan yang telah berusia melebihi 100 tahun dan menyimpan berbagai sejarah dari awal mula pembinaannya sehinggalah kini (Shopsin, 1989; Pickard, 2001). Bangunan bersejarah yang tidak dipulihara dengan baik akan menyebabkan kerosakan pada bangunan dan seterusnya menyebabkannya musnah (Tyler, 2000; Robertson, 2007). Kemusnahan bangunan bersejarah merupakan sesuatu yang amat merugikan kerana bangunan bersejarah tidak boleh diganti dengan sesuatu yang baru (Yahaya Ahmad, 2006a; Jabatan Warisan Negara, 2007d).
Warisan terdiri daripada dua kategori iaitu warisan ketara dan warisan tidak ketara (Jabatan Warisan Negara, 2005). Bangunan bersejarah merupakan antara warisan yang dikategorikan sebagai warisan ketara kerana ia adalah sesuatu yang kekal dan boleh dipegang (Jokilehto, 1986; Wilson, 2009). Menurut Fielden (2000), apabila seseorang melihat sesebuah bangunan bersejarah, timbul perasaan kagum dan rasa ingin tahu dengan lebih terperinci mengenai bangsa dan budaya pembuat bangunan tersebut. Ini secara tidak langsung membuatkan sesebuah bangunan itu dihargai dan menjadi mercu tanda sesebuah bangsa dan negara. Menurut Mohamad Shawali Badi (2000); Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin et. al.(2005) dan ICOMOS (2002), warisan sejarah dan kebudayaan merangkumi benda bersejarah, benda purba, monumen lama, monumen dan tapak tanah bersejarah yang merupakan peninggalan masa lalu yang mempunyai nilai penting bagi pemahaman dan pengembangan sejarah, ilmu pengetahuan dan kebudayaan dan kini merangkumi pelancongan, sehingga ia amat perlu dilindungi dan dipulihara demi memupuk kesedaran dan jati diri bangsa serta kepentingan nasional.

Menurut Akta Warisan Kebangsaaan 2005, bangunan bersejarah ertinya suatu bangunan atau kumpulan bangunan yang berasingan atau bersambung, yang disebabkan oleh seni binanya, kehomogenannya atau tempatnya dalam landskap, mempunyai nilai sejagat yang menonjol dari pandangan sejarah, seni atau sains (Jabatan Warisan Negara, 2005). Banyak bangunan bersejarah telah mula dibaik pulih dan disuaiguna untuk pelbagai tujuan antaranya untuk menarik tumpuan para pelancong seperti yang telah dan sedang dilakukan di bandar seperti Melaka, George Town, Taiping, Kuala Lumpur dan lain-lain lagi (A Ghafar Ahmad, 2006a). Pihak kerajaan dan pihak swasta telah mula mengambil berat tentang bangunan bersejarah ini setelah mengetahui kepentingan dan potensi yang terdapat padanya. Namun begitu pendekatan penyesuaigunaan bangunan bersejarah terutamanya bangunan bersejarah yang terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town masih kurang diamalkan berlandaskan prinsip dan kaedah pemuliharaan yang betul seperti yang dipraktikkan dikebanyakkan negara lain (Mukram Idris, 2005).

Langkah pencegahan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan warisan negara akan terpulihara dengan baik. Bangunan bersejarah adalah sebahagian daripada warisan berharga apatah lagi jika bangunan tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri (Ross, 1996). Pengertian warisan menurut Jokilehto (2002); Burden (2003) dan Marmion, (2009) ialah harta peninggalan atau harta pusaka. Ia juga sesuatu yang diwarisi, sesuatu yang turun temurun atau peninggalan. Orbasli (2008); Leask dan Fyall (2006) menyatakan bahawa warisan melingkungi tapak arkeologi, monumen, istana kota, istana, bangunan tradisi, sekumpulan bangunan, penempatan dan kawasan bandar. Ia juga termasuk warisan semula jadi, kawasan landskap yang penting dan nilai budaya yang bermakna (ICOMOS, 1987; Tiesdell et al., 1996). Di dalam konteks penyelidikan ini, warisan yang dimaksudkan ialah bangunan bersejarah yang telah lama wujud di negara ini.

Di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), bangunan bersejarah atau monumen yang berumur sekurang-kurangnya 100 tahun hendaklah disenaraikan atau digazet oleh kerajaan di bawah Jabatan Warisan Negara bagi memberi perlindungan dan galakan untuk dikekalkan dan dipulihara (Jabatan Warisan Negara, 2005). Bangunan atau kawasan bersejarah bukan sahaja merupakan bukti kepada masa lalu, tetapi juga memainkan peranan atau mempunyai kaitan bagi sesuatu peristiwa atau masa di dalam sejarah (Chitty dan Baker ed., 1999). Menurut Fielden (1999), sejarah yang wujud daripada bangunan merupakan bukti bagi peristiwa dan kehidupan masa lalu. Bangunan bersejarah mempunyai nilai estetik, dokumentari, arkeologi, ekonomi, sosial mahupun politik dan kerohanian atau nilai simbolik; tetapi impak pertama selalunya ialah emosi, sebagai simbol identiti kebudayaan dan berterusan. Bangunan bersejarah melambangkan identiti dan budaya sesebuah masyarakat dan kadangkala sesebuah bandar atau kawasan (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008a). Ia juga adalah bukti sejarah masa lalu dan merupakan aset yang penting kepada sesebuah negara. Kepupusan bangunan bersejarah perlu dibendung kerana ia merupakan warisan yang menyimpan corak jalur kehidupan manusia yang wujud sejak dahulu lagi (Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi, et al., 2004). Kelalaian di dalam memastikan bangunan bersejarah terus kekal terpulihara adalah sesuatu yang sangat merugikan dan boleh memberikan kesan buruk kepada khazanah warisan negara. Kehilangan khazanah berharga ini akan menyebabkan generasi akan datang lupa asal usul keturunan rumpun bangsa sendiri. Lama kelamaan identiti diri dan bangsa hilang dibawa arus kemodenan (Prihatmanti dan Azizi Bahauddin, 2011).

Di sebalik tersergamnya sesebuah bangunan, tersirat pemikiran, falsafah, nilai kecantikan serta budaya pereka dan pemilik bangunan tersebut (Dann dan Cantell, 2005). Ia mampu mengembalikan nostalgia yang pernah terjadi di bangunan tersebut, kawasan persekitarannya mahupun negara. Semakin tua umur sesebuah bangunan maka semakin tinggi nilai bangunan tersebut (Norhelmi Mohd Nor, 2004; Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin et. al, 2004). Menurut Hamilton dan Zuraini Md Ali (2002), usaha memulihara bangunan bersejarah telah mula dijalankan dengan serius sekitar 1980an. Namun kesedaran untuk memulihara warisan negara bermula dengan pertemuan barang-barang purba yang ditemui di seluruh pelusuk negara. Semenjak dari itu, orang ramai mula menyedari kepentingan memulihara bangunan lama terutama yang bersejarah yang banyak terdapat di dalam negara ini. Usaha memulihara bangunan bersejarah daripada musnah telah dilaksanakan dalam skala yang lebih besar dan menyeluruh serta dalam pelbagai pendekatan yang berbeza dengan kerjasama dari pelbagai pihak yang benar-benar menghargai warisan negara. Ia turut melibatkan pelbagai jenis dan kategori bangunan bersejarah (Paiman Keromo, 2006b; Abdul Hakim Abdul Rahman, 2009; Ann, 2009; Noor Haiza Nordin, 2009).

2.5            Jenis-jenis Bangunan Bersejarah di Malaysia
Setiap satu bangunan bersejarah di Malaysia mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri yang terhasil daripada kepelbagaian rumpun bangsa dan etnik yang ada di Malaysia. Jenis bangunan juga berbeza-beza berdasarkan fungsi kegunaan sesebuah bangunan. Selain daripada itu, faktor penjajahan pada suatu ketika dulu juga menambah bilangan jenis bangunan bersejarah yang ada. Kebanyakan bangunan bersejarah ini terdiri daripada bangunan residensi, komersil, kegunaan campuran, ketenteraan, pendidikan, institusi, keagamaan, kebudayaan, pengangkutan dan lain-lain lagi. Merujuk kepada Badan Warisan Malaysia (1990a); Vlatseas (1990); A Ghafar Ahmad (1997a); Fee (2003) dan Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (2007). Antara jenis-jenis bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia adalah seperti berikut:
1.     Residensi seperti rumah Melayu tradisional, istana, banglo, vila, rumah agam dan rumah teres.
2.     Komersil seperti pasar, kewangan, pejabat, gudang, rumah tamu, rumah tumpangan, hotel dan kafe.
3.     Kegunaan campuran seperti rumah kedai.
4.     Ketenteraan seperti kota dan kubu.
5.     Pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti.
6.     Institusi seperti bangunan kerajaan, mahkamah, penjara, hospital dan kedutaan.
7.     Industri dan pertanian seperti lombong, kilang, pelabuhan dan estet.
8.     Keagamaan seperti masjid, surau, wakaf, gereja, tokong, kuil dan perkuburan.
9.     Rekreasi dan sosial seperti rumah kelab dan panggung wayang.
10.  Kebudayaan seperti muzium, teater dan pentas persembahan.
11.  Pengangkutan seperti stesen keretapi, bas, jeti dan lapangan terbang.
12.  Lain-lain seperti menara jam, tugu dan monumen.
















Antara contoh 12 jenis bangunan bersejarah di Malaysia yang telah disenaraikan berdasarkan jenis ditunjukkan pada Gambar 2.11.

1.     Residensi: Rumah Dato’ Seri Adika Raja, Ipoh, Perak.
2.     Komersil: Hongkong & Shanghai Bank, Ipoh, Perak.
3.     Kegunaan campuran: Rumah Kedai Jalan Laksamana, Banda Hilir, Melaka.
4.     Ketenteraan: Fort Cornwallis, George Town, Pulau Pinang.
5.     Pendidikan: Maktab Melayu Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, Perak.
6.     Institusi: Pejabat Pos Lama, Ipoh, Perak.
7.     Industri dan pertanian: Komplek Sejarah Chimney, Wilayah Persekutuan Labuan.
8.     Keagamaan: Masjid Jamek, Kuala Lumpur.
9.     Rekreasi dan sosial: Rumah Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur.
10.  Kebudayaan: Muzium Negara, Kuala Lumpur.
11.  Pengangkutan: Stesen Keretapi Ipoh, Ipoh, Perak.
12.  Lain-lain: Tugu Peringatan JWW Birch, Ipoh, Perak.

Gambar 2.11: Contoh bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia mengikut jenis.

Jika dilihat secara kasar, kebanyakan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia mempunyai pengaruh senibina Eropah, Asia dan Timur (Vlatseas, 1990; Fee, 2003). Ini membuktikan bahawa Malaysia pernah dijajah oleh kuasa luar atas tujuan perdagangan atau penaklukan. Kota A Famosa di Melaka contohnya, merupakan bukti kedatangan Portugis di Malaysia dan ia merupakan peninggalan bangunan kolonial yang tertua dibina oleh Portugis di Asia Tenggara. Antara bangunan bersejarah lain yang mempunyai pengaruh Eropah ialah bangunan Stadhuys di Melaka dan Kota Cornwallis di George Town. Manakala bangunan yang mempunyai pengaruh Asia Timur ialah bangunan rumah kongsi yang banyak terdapat di George Town seperti rumah kongsi Khoo dan Yap yang dibina atas pengaruh kedatangan imigran dari China (Chun, 2005; Boon, 2009).

2.6       Kategori Bangunan Bersejarah
Menurut Syed Zainol Abidin Idid (1995), terdapat lebih kurang 30,000 buah bangunan warisan atau bersejarah di 162 buah bandar di seluruh Malaysia. Kesemua bangunan ini mempunyai ciri-ciri yang berlainan diantara satu sama lain. Ciri yang terdapat pada sesebuah bangunan itu menentukan kategori sesebuah bangunan bagi memudahkan perlaksanaan sebuah kerja pemuliharaan dilakukan. Menurut A Ghafar Ahmad (1997a) dan Paiman Keromo (2006a), bangunan bersejarah boleh dikategorikan kepada tiga kategori bangunan berdasarkan gred-gred seperti mana berikut:








Jadual 2.1: Gred bangunan mengikut kategori dan jenis.


Gred Bangunan


Kategori dan Jenis Bangunan

1.     Gred I.
·     Bangunan yang mempunyai nilai seni bina yang tinggi dan mempunyai kepentingan dari segi sejarah. Bangunan dalam kategori ini perlulah dipulihara bagi kepentingan negara.
·     Sebagai contoh, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur, Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Bangunan Stadhuys di Melaka.
2.     Gred II.
·       Bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan memberi kredit kepada negeri di mana bangunan itu berada.
·       Sebagai contoh, Muzium DiRaja Johor, Johor Bahru dan Bangunan Dewan Bandaran Pulau Pinang, George Town.
3.     Gred III.
·      Bangunan yang mempunyai keistimewaan akitektur atau karekter sejarah yang memberi kesan kepada kehidupan manusia.
·      Antara bangunan-bangunan tersebut adalah bangunan yang bersifat keagamaan, kebudayaan, pusat aktiviti sosial ataupun bangunan yang berkaitan dengan kebudayaan atau kraftangan.

Sumber: A Ghafar Ahmad (1997a).

Gred-gred ini telah dibahagi berdasarkan kepentingan sesebuah bangunan bersejarah kepada warisan negara. Secara tidak langsung kategori ini memudahkan pihak yang terlibat dengan kerja-kerja berkaitan penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah untuk melaksanakan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan berdasarkan gred yang telah diberikan.

2.7            Pihak-pihak yang Terlibat di dalam Kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan satu bidang yang masih baru di negara kita dan selama ini ia banyak didominasi oleh negara-negara Eropah terutamanya Itali, Perancis dan England. Di Malaysia, kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 80an. Hari demi hari banyak pihak mula mengambil berat dan terlibat di dalam kerja-kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah dan secara tidak langsung pada masa yang sama perlu memulihara bangunan bersejarah tersebut. Usaha untuk menyesuaiguna dan memulihara bangunan bersejarah di Malaysia sebenarnya memerlukan perhatian dan kerjasama daripada pelbagai pihak baik di pihak kerajaan mahupun swasta (Teong, 2000). Sebagai sebuah negara yang masih baru di dalam bidang penyesuaigunaan dan pemuliharaan, Malaysia telah merujuk kepada tiga pertubuhan antarabangsa yang aktif di dalam memulihara warisan dunia iaitu:
1.     ‘United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization’ (UNESCO).
2.     ‘International Council on Monument and Site’ (ICOMOS).
3.     ‘International Centre for the Study of the Preservation and Restoration of Cultural Heritage’ (ICCROM).

Manakala di Malaysia, pihak yang bertanggung jawab dalam usaha penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah adalah seperti berikut:
1.     Jabatan Warisan Negara (JWN) - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
2.     Pihak Berkuasa Tempatan
3.     Badan bukan kerajaan seperti Badan Warisan Malaysia (BWM), ‘Penang Heritage Trust’ (PHT) dan ‘Perak Heritage Society’ (PHS).




2.7.1    Jabatan Warisan Negara - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia
Pada awal pembentukan, kementerian ini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW). Kemudian namanya telah ditukar sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWa) dan hari ini kementerian ini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Walaupun namanya telah beberapa kali berubah, namun fungsi dan tanggungjawab yang dipegang oleh kementerian ini secara dasarnya adalah sama. KPKK memainkan peranan penting didalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Muzium Malaysia yang mana satu ketika dahulu lebih dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, 2011). Bagi memastikan warisan negara dapat dijaga dengan baik, KPKK yang mana ketika itu dikenali sebagai KeKKWa telah menubuhkan Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 1 Mac 2006 (Jabatan Warisan Negara, 2011). Antara fungsi utama JWN ditubuhkan adalah bagi:
1.     Menguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
2.     Mendaftarkan warisan negara ke dalam Daftar Warisan dan Daftar Warisan Kebangsaan.
3.     Memelihara dan memulihara warisan negara.
4.     Menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan warisan.
5.     Mendokumentasi dan menerbitkan hasil kajian serta bahan-bahan rujukan berkaitan warisan.
6.     Merancang, melaksanakan dan menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan warisan
7.     Mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi dari dalam dan luar negara berkaitan warisan.

Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan ke atas pelbagai jenis bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Usaha yang telah dilakukan memberikan impak yang besar kepada pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Antara bangunan bersejarah di Malaysia yang telah dipulihara oleh Jabatan Warisan Negara ialah:
1.     Konservasi Bangunan Surau dalam Kawasan Istana Kuning, Alor Setar, Kedah.
2.     Baik pulih Kompeks Kota Kuala Kedah, Kedah.
3.     Konservasi Bangunan Muzium Perak, Taiping, Perak.
4.     Konservasi Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
5.     Menaik taraf (Balai Bersiram Panca Persada) Istana Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
6.     Baik pulih Menara Jam Majlis Daerah Jelebu, Negeri Sembilan.
7.     Kerja-kerja Baik pulih Rumah Penghulu Natar, Merlimau, Melaka.
8.     Kerja-kerja Konservasi dan Mendirikan Semula Tembok Kota Melaka Sektor I (Bastion Middleburg), Jalan Quayside, Melaka.
9.     Konservasi Masjid Kampung Kling, Melaka.
10.  Konservasi Masjid Kampung Duyong, Melaka.
11.  Baik pulih Bumbung dan Menara Masjid Tengkera, Melaka.
12.  Kerja-kerja Konservasi Bangunan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthy, Melaka.
13.  Kerja-kerja Baik pulih Tinggalan Gereja St. Paul, Melaka.
14.  Kerja-kerja Baik pulih Bangunan HSBC Lama (Fasa 1), Banda Hilir, Melaka.
15.  Kerja-kerja Konservasi Bangunan Gereja St. Francis Xavier, Jalan Banda Kaba, Banda Hilir, Melaka.
16.  Kerja-kerja Konservasi Rumah Kelahiran Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak, Kuala Lipis.
17.  Baik pulih Bangunan Bersejarah Istana Jahar (Muzium Adat dan Istiadat Diraja), Kelantan.
18.  Konservasi Istana Sri Akar, Kota Bharu, Kelantan.

Gambar 2.12: Salah satu contoh projek pemuliharaan warisan yang telah dilakukan oleh pihak Jabatan Warisan Negara iaitu cadangan kerja-kerja konservasi bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh di Ipoh, Perak.


2.7.2    Pihak Berkuasa Tempatan
Pihak Berkuasa Tempatan, seperti mana yang dinyatakan di dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) bertanggungjawab dalam menyediakan pelan struktur untuk kawasan pentadbirannya. Salah satu perkara yang perlu dititik berat di dalam pelan struktur ini adalah pemuliharaan bandar dengan melakukan pemuliharaan bangunan bersejarah secara berterusan. Di dalam memastikan bandar terpulihara, pihak berkuasa tempatan perlulah menyediakan kajian dan cadangan pemuliharaan bangunan bersejarah disamping polisi yang perlu dipatuhi pihak-pihak yang berkenaan. Antara Pihak Berkuasa Tempatan yang bertanggungjawab secara aktif di dalam memastikan pemuliharaan bandar berjaya dilakukan setakat hari ini ialah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2011; Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2011, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 2011).

Menurut Hanita Alang Ismail (2001), Pihak Berkuasa Tempatan adalah antara pihak yang terlibat didalam usaha pemuliharaan bangunan bersejarah memandangkan merekalah pihak yang akan menguruskan tapak dan mempunyai kuasa undang-undang untuk melakukannya. Pihak Berkuasa Tempatan secara umumnya bertangggungjawab dalam menyediakan polisi am yang bersangkutan dengan perancangan, pembangunan dan penggunaan tanah serta bangunan di dalam kawasan yang ditadbirnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga turut membantu untuk memastikan usaha pemuliharaan bangunan bersejarah dapat dilakukan kerana ia merupakan badan pelaksana di dalam satu tindakan perundangan. Pihak Berkuasa Tempatan terutamanya bagi bandar yang berpotensi kekal sebagai bandar warisan seperti Kota Bharu, Kelantan, Kuching, Sarawak dan Kuala Kangsar, Perak perlulah mengambil inisiatif melakukan pemuliharaan bangunan bersejarah secara intensif bagi menambah bilangan bandar warisan sedia ada.

2.7.3       Badan Bukan Kerajaan - Badan Warisan Malaysia (BWM)
Badan Warisan Malaysia merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada 1983 dan begitu mengambil berat di dalam mempromosi dan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan, pengekalan dan pemulihan warisan negara. Badan Warisan Malaysia juga menjalankan berbagai program kesedaran berbentuk pameran dan seminar kepada ahli akademik dan generasi muda bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan bangunan bersejarah dan bandar warisan. Terletak di No.2 Jalan Stonor Kuala Lumpur, badan ini juga telah mewujudkan pusat rujukan yang telah diberi nama sebagai ‘The Chen Voon Fee Resource Centre’ (CVFRC) yang menempatkan koleksi dokumen dan buku yang berkaitan dengan pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah di Malaysia.

Badan Warisan Malaysia telah menjalankan tiga projek berkaitan pemuliharaan bangunan bersejarah yang mempunyai signifikan tersendiri iaitu pemuliharaan rumah Penghulu Abu Seman, model projek pemuliharaan Rumah No.8 Jalan Heeren Melaka dan ‘Amazing Discovery of Malacca’. Selain daripada kerja pemuliharaan yang dijalankan sepenuhnya oleh Badan Warisan Malaysia, Ahli Badan Warisan Malaysia juga turut terlibat di dalam kerja pemuliharaan dan pemeliharaan struktur bangunan dan tapak bersejarah yang ada di seluruh negara antaranya seperti pemuliharaan Rumah Bomoh dan Rumah Kutai di Perak, Istana Tengku Long di Terengganu, Gedung Raja Abdullah di Kelang dan Pasar Seni di Kuala Lumpur. Penglibatan organisasi badan bukan kerajaan seperti Badan Warisan Malaysia sangat membantu di dalam memastikan warisan negara sama ada bangunan bersejarah mahupun budaya terpelihara kerana ini akan meluaskan lagi skop promosi dan kerja pemuliharaan tanpa bergantung kepada kerajaan semata. Begitu juga dengan penglibatan badan bukan kerajaan lain seperti ‘Penang Heritage Trust’(PHT), ‘Perak Heritage Society’ (PHS) dan lain-lain sangat membantu di dalam memastikan warisan budaya negara terpelihara (Badan Warisan Malaysia, 2011; Penang Heritage Trust, 2011 dan Perak Heritage Society, 2011).


2.8       Etika dan Prinsip Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah
Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah terutamanya bagi bangunan yang telah diwartakan sebagai bangunan warisan perlu mematuhi etika dan prinsip-prinsip pemuliharaan bagi memastikan bangunan yang disuaiguna terpulihara dengan baik. Sekiranya bangunan bersejarah tersebut terletak di dalam Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO, kerja penyesuaigunaan yang dilakukan perlulah dilakukan dengan lebih teliti seperti mana kerja pemuliharaan tanpa melanggar mana-mana perundangan mahupun piagam dunia yang berkaitan dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Menurut Suhana Johar (2011), di dalam menjalankan kerja-kerja pemuliharaan setiap pihak yang terlibat perlulah memastikan setiap prinsip dan falsafah pemuliharaan dipatuhi. Kaedah pemuliharaan yang betul amat penting dipatuhi bagi memastikan keaslian sesebuah bangunan itu terpulihara (ICOMOS, 1983; Bell, 1997; Ayon, 2009). Etika pemuliharaan seperti menggunakan kaedah mengekalkan seni bina, elemen dan bahan binaan yang sama atau hampir sama dengan binaan asal adalah sangat penting untuk dipatuhi (Simmons, 1989; A Ghafar Ahmad, 1994a; Paiman Keromo, 2006c).

Keene (2002) menyatakan bahawa etika pemuliharaan merupakan faktor utama di dalam memastikan pemuliharaan sesebuah bangunan dapat dilakukan dengan baik. Menurut Parnell (1987) dan Fielden (2000), dalam melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan, empat aspek keaslian perlu dipertimbangkan dan dipraktikkan seperti mana yang digariskan oleh ‘International Centre for Study on Preservation and Restoration of Cultural Property’ (ICCROM) (1982). Empat aspek yang dimaksudkan ini adalah:
1.     Keaslian bahan binaan.
2.     Keaslian reka bentuk.
3.     Keaslian kerja binaan dan teknik pembuatan.
4.     Keaslian dalam susun atur.

Menurut Assi (2000) dan Forster (2010a), keaslian atau ‘authenticity’ merupakan asas utama di dalam kerja-kerja pemuliharaan. Seperti mana yang digariskan dalam ‘International Meeting of Co-ordinators of Training in Architectural Conservation’ (ICCROM, 1982), keaslian perlu dilihat dalam keempat-empat aspek yang terlibat di dalam kerja pemuliharaan. Keaslian bahan binaan yang digunakan dalam kerja-kerja pemuliharaan merupakan aspek utama yang perlu dilihat dengan teliti. Keaslian sesuatu bahan binaan penting dikaji kerana bahan binaan yang digunakan oleh sesebuah bangunan membawa bersama bukti asal usul dan sejarah sesebuah bangunan. Keaslian bahan binaan boleh dikenal pasti melalui pengesahan dari pakar atau secara kajian makmal. Bahan binaan yang hendak digunakan perlulah diteliti keasliannya dari aspek-aspek seperti sumber bahan diperolehi, jenis bahan yang digunakan, kandungan bahan, ciri luaran bahan seperti warna, rupa dan tekstur (Paiman Keromo, 2000b; A Ghafar Ahmad, 2001; Yahaya Ahmad, 2006b; Forster (2010b).

Aspek kedua ialah keaslian reka bentuk sesebuah bangunan seperti mana ditekankan oleh ‘International Institute for Conservation-Canadian Group’ (IIC-CG) (1989), Urban Redevelopment Authority (1991) dan Historic Scotland (1998). Penekanan perlu diberi terhadap keaslian reka bentuk seni bina iaitu rupa bentuk yang terawal atau mula-mula sekali ketika sesebuah bangunan itu dibina. Reka bentuk seni bina sesebuah bangunan bersejarah yang dipulihara perlu dijaga dan tidak diubah sehingga menukar rupa asal bangunan bersejarah tersebut. Reka bentuk sebenar sesebuah bangunan perlulah dikaji dengan teliti melalui kaedah yang betul dan tepat (Dallas, 2003; Allan, 2007). Banyak perkara perlu dititik beratkan bagi mengenal pasti keaslian reka bentuk sesebuah bangunan seperti era seni bina, struktur bangunan, gaya seni bina dan persekitaran bangunan. Pengekalan reka bentuk seni bina hasil daripada kajian yang teliti menjadikan pemuliharaan sesebuah bangunan bersejarah itu nampak berjaya dan asli (A Ghafar Ahmad dan Badaruddin Mohamed, 2001).

Aspek ketiga yang perlu diberi perhatian ketika menjalankan kerja pemuliharaan ialah keaslian kerja binaan dan teknik pembuatan bangunan yang hendak dipullihara seperti mana yang ditekankan dalam Piagam Venice ‘International Charter for the Conservation and Restoration of Monuments and Sites’ (ICOMOS, 1964). Bangunan lama seringkali mempunyai keunikan dalam kerja binaan terutama dari segi kehalusan seni bina dan teknik pembuatan yang terperinci (Warren, 1999). Tidak kiralah sama ada bangunan tersebut merupakan bangunan kolonial, rumah Melayu lama, rumah kedai mahupun rumah ibadat, masing-masing mempunyai keindahan pembuatan yang tersendiri (Davey et al., 1988; Chambers, 2007; Verdonck, 2007). Kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti teknik pembuatan dan seni pertukangan yang telah digunakan oleh sesebuah bangunan sebelum kerja pemuliharaan dilakukan. Kerja binaan dan teknik pembuatan yang dijalankan perlulah sama seperti mana yang dilakukan satu ketika dulu (Weeks dan Grimmer, 1995; Caple, 2000; Matero, 2006).

Aspek keempat iaitu keaslian dalam susun atur sesebuah bangunan juga merupakan aspek yang perlu dipulihara sebaik mungkin seperti mana yang ditekankan dalam Piagam New Zealand ‘Charter for the Conservation of Places of Cultural Heritage Value’ (ICOMOS, 1992). Susun atur terutamanya susun atur lantai menunjukkan bagaimana sesebuah bangunan itu berfungsi dan secara tidak langsung menggambarkan aktiviti harian yang berlaku di dalam sesebuah bangunan. Susun atur sesebuah bangunan akan terganggu terutamanya apabila berlaku pengubahsuaian pada elemen tertentu seperti dinding pembahagi yang mana secara tidak langsung boleh mengubah rupa bentuk pelan lantai sedia ada (Kuban, 1978; Strike, 1994; Warren et al., 1998). Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengetahui, memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip asas pemuliharaan ketika kerja penyesuaigunaan dilakukan supaya bangunan bersejarah, yang lazimnya adalah unik tidak dimusnahkan.

Antara prinsip-prinsip asas pemuliharaan warisan yang diamalkan dan dipersetujui, terutamanya oleh UNESCO adalah seperti berikut:
1.     Meminimumkan gangguan (campur tangan) seperti membaik pulih struktur dan fabrik bangunan-bangunan bersejarah dan kerosakan pada masa yang sama masih dalam keadaan baik dan mesti kekal seperti asal.
2.   Memohon penyelidikan saintifik dan ujian makmal untuk mengenal pasti kandungan dan jenis bahan binaan dan tahap kerosakan. Hasil kajian saintifik dan ujian makmal boleh digunakan sebagai bukti sokongan dalam membuat keputusan mengenai kerja-kerja pemuliharaan dilakukan.
3.   Mendokumentasikan aktiviti-aktiviti di atas kerja-kerja pemuliharaan sebelum, semasa dan selepas. Dokumentasi sangat penting bukan sahaja sebagai bahasa pengantar dalam membuat keputusan tetapi juga sebagai rekod dan bahan-bahan rujukan pada masa akan datang.

Menurut Siti Norlizaiha Harun et al., (2010), daripada prinsip-prinsip asas pemuliharaan yang terkandung di dalam pelbagai piagam-piagam antarabangsa seperti Piagam Venice (ICOMOS, 1964); Piagam Deschambault (ICOMOS 1982); Piagam Appleton (ICOMOS, 1983); Piagam Washington (ICOMOS, 1987); Piagam New Zealand (ICOMOS, 1992) dan Piagam Burra (ICOMOS, 1999), dapatlah dirumuskan bahawa kerja pemuliharaan perlulah:
1.     Dapat memanjangkan usia bangunan.
2.     Menghormati kualiti tempat.
3.     Mengutamakan bahan yang asal juga keaslian kerja tangan.
4.     Berhati-hati membuat penyelidikan dan perekodan sebelum gangguan.
5.     Pemuliharaan merupakan kerja-kerja yang menggangu bangunan dari segi kedudukan, susunan dan fabrik bangunan. Oleh itu sebarang gangguan untuk penyelidikan dan kerja awalan mestilah paling minimum.
6.     Simpati dalam interpretasi dan kegunaan.
7.     Risiko paling minimum ke atas kehilangan bahagian-bahagian yang penting dan kerosakan yang tidak menentu semasa ujian ke atas bahan binaan.
8.     Gangguan yang boleh dikembalikan semula.
9.     Pengubahsuaian yang paling minimum ke atas fabrik bangunan.
10.  Dapat membezakan di antara bahan lama dengan bahan tambahan baru.
11.  Memberi peneguhan yang maksimum kepada struktur asal.

2.9       Rangka Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah
Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang sistematik adalah kerja yang dijalankan mengikut turutan rangka kerja yang sepatutnya (Miele, 2005). Tiada rangka kerja khusus yang digariskan di dalam mana-mana akta mahupun garis panduan berkenaan kerja penyesuaigunaan, namun secara asasnya terdapat lima peringkat rangka kerja yang boleh dirujuk berdasarkan rangka kerja pemuliharaan yang biasa dilakukan dan telah digariskan oleh A Ghafar Ahmad (2002a, 2006d) dan Kamaruddin Md. Said (2006). Rangka kerja yang dicadangkan iaitu:
1.     Peringkat Pertama: Penyelidikan Awalan.
2.     Peringkat Kedua: Kajian Kecacatan Bangunan.
3.     Peringkat Ketiga: Penyediaan Dokumen Tender.
4.     Peringkat Keempat: Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah.
5.     Peringkat Kelima: Pengurusan Warisan.

2.9.1       Peringkat Pertama: Penyelidikan Awalan
Penyelidikan awal perlu dijalankan pada setiap bangunan bersejarah yang hendak disuaiguna dan dipulihara. Pada peringkat ini, pihak yang terlibat di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan perlulah mengumpul segala maklumat yang berkaitan bangunan yang hendak disuaiguna dan dipulihara. Antara maklumat penting yang perlu diperolehi adalah sejarah bangunan, reka bentuk seni bina dan pemilik asal atau penghuni yang pernah menginap di bangunan tersebut (A Ghafar Ahmad, 2006c). Di peringkat ini juga, pihak yang bertanggungjawab untuk memulihara sesuatu bangunan bersejarah itu perlu menyatakan sebab dan kepentingan mengapa bangunan tersebut perlu dipulihara. Maklumat yang telah dikumpul akan menjadi sumber rujukan dan panduan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan sama ada bangunan tersebut mempunyai kepentingan untuk dipulihara atau tidak (Paiman Keromo, 2000a).



2.9.2       Peringkat Kedua: Kajian Kecacatan Bangunan
Kajian kecacatan bangunan atau ‘dilapidation survey’ adalah kajian yang dijalankan bagi mengenal pasti tahap kecacatan pada sesebuah bangunan (Ahmad Ramly, 2007). Selain daripada itu, kajian ini juga akan mengenal pasti punca berlakunya kecacatan dan seterusnya mengemukakan cadangan dan kaedah pemuliharaan yang sesuai. Kaedah kajian kecacatan bangunan yang terperinci dan teratur sangat penting dilakukan bagi memastikan maklumat yang tepat diperolehi. Kajian kecacatan bangunan yang kurang tepat akan memberi kesan kepada hasil kerja pemuliharaan yang dilakukan. Tidak terdapat batasan had penyelidikan di dalam kajian kecacatan bangunan ini dan berbagai alternatif boleh digunakan seperti mendapatkan pandangan dari pakar atau melakukan kajian makmal bagi mendapatkan keputusan berkenaan kerosakan yang berlaku (Ahmad Ramly, 2004).

2.9.3       Peringkat Ketiga: Penyediaan Dokumen Tender
Dokumen tender merupakan dokumen yang disediakan oleh Jurukur Bahan bagi sesebuah projek tidak kira untuk kerja pembinaan bangunan baru mahupun untuk kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah. Sebelum sesebuah dokumen tender disediakan, pebincangan antara pakar dan pihak yang terlibat di dalam kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah seperti Klien, Akitek, Jurukur Bahan dan Konservator sangat penting dilakukan bagi memastikan dokumen tender yang disediakan lengkap dari segala sudut. Dokumen tender yang disediakan selalunya merujuk kepada ‘dilapidation survey’ atau laporan kerosakan yang telah disediakan sebelumnya. Didalam dokumen tender tercatat skop kerja, kaedah dan teknik pemuliharaan yang diguna pakai untuk projek yang dijalankan. Sebelum sesebuah dokumen tender disediakan, Jurukur bahan selalunya akan mendapatkan anggaran kos bagi melaksanakan kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dirancang. Anggaran kos ini akan menjadi tanda aras bagi harga yang akan ditawarkan oleh kontraktor seperti mana di dalam dokumen tender. Pemilihan kontraktor yang sesuai amat penting bagi memastikan kerja dapat dilakukan dalam masa yang ditawarkan dan dapat menghasilkan kerja yang berkualiti (Akmal Niswani Abdul Jalil et al., 2005).

2.9.4       Peringkat Keempat: Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah mula dilakukan apabila dokumen kontrak telah ditandatangani oleh pihak kontraktor dan klien. Kontraktor yang dipilih perlulah kontraktor terlatih dan mempunyai pengalaman yang luas dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah. Kontraktor yang dipilih juga perlulah mempunyai lesen yang sesuai untuk menjalankan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah bagi memastikan kerja penyesuaigunaan yang dilakukan megikut prinsip-prinsip pemuliharaan yang sepatutnya (Hafizah Yakub, 2003). Komunikasi dan kerjasama yang baik diantara kontraktor, konsultan dan pakar yang terlibat amat penting bagi memastikan semua kerja dapat berjalan dengan lancar dan mengikut seperti mana yang terkandung di dalam dokumen tender. Kontraktor perlulah merekodkan segala aktiviti yang dijalankan sebelum, semasa dan selepas kerja pemuliharaan dijalankan menggunakan kaedah Historical, Architectural and Building Survey (HABS) bagi rujukan masa hadapan (Boucher ed., 2001; Balachowski ed., 2005).

2.9.5       Peringkat Kelima: Pengurusan Warisan
Penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah merupakan kerja yang melibatkan kos yang tinggi. Pelaburan yang besar terpaksa dikeluarkan bagi memastikan bangunan bersejarah terselamat daripada kepupusan, namun usaha tersebut dirasakan berbaloi demi kepentingan memelihara warisan negara. Bangunan yang telah disuaiguna dan dipulihara perlulah mempunyai pelan pengurusan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan pemuliharaan yang telah dijalankan terus kekal sempurna (Marsita Ahmad, 2001). Penyenggaraan bangunan perlu dilakukan bagi melindungi dan mengekalkan pelaburan sesebuah organisasi. Bangunan yang telah disuaiguna dan dipulihara perlulah diselenggara dengan bijak bagi memastikan bangunan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik bagi jangka masa yang panjang (Brit Kayan, 2003; Ahmad Idrus et al., 2010).


Rajah 2.2: Rangka kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah.
Sumber: A Ghafar Ahmad (2006b).



2.10     Polisi dan Perundangan Berkaitan Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan satu tugas yang amat sukar. Banyak perkara yang perlu diteliti dan dipatuhi sebelum kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan dilakukan. Terdapat polisi dan akta yang perlu dipatuhi bagi memastikan warisan kebangsaan terutamanya bangunan bersejarah dapat dipulihara sebaik mungkin (Ismail Ibrahim, 2003). Menurut Resali Muda (2006) dan Rasyikah Khalid et al. (2007), polisi dan akta-akta ini disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan warisan negara yang mempunyai nilai akitektur dan nilai sejarah yang tinggi daripada musnah tidak terjaga. Terdapat akta dan peruntukan undang-undang yang mengawal bangunan bersejarah dan akta ini digubal bagi memastikan bangunan bersejarah tersebut dipulihara dari kerosakan atau diubah dengan sewenang-wenangnya (Mohd Khairudin Mohd Yusof, 2005).
Antara polisi yang sering dipraktikkan dan diguna pakai sebagai panduan di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan di Malaysia adalah:
1.     Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
2.     Akta Perancang Bandar dan Desa (1976).

2.10.1  Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)
Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) adalah akta yang telah digubal bagi menggantikan Akta Benda Purba 1976. Akta ini diperuntukkan bagi memulihara dan menjaga warisan kebangsaan, warisan semula jadi, warisan kebudayaan ketara atau tak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun (Khalid Syed Ali, 2007). Antara peruntukan yang dirasakan penting di dalam akta ini adalah klausa perlantikan Pesuruhjaya Warisan dan kuasa mutlak yang diperolehi oleh Pesuruhjaya Warisan di dalam memastikan kerja pemuliharaan dapat berjalan lancar (Jabatan Warisan Negara, 2005).

2.10.2  Akta Perancang Bandar dan Desa (1976)
Akta Perancang Bandar dan Desa (1976) disediakan bagi rujukan dalam perlaksanaan kawalan dan undang-undang di dalam perancangan bandar dan desa bagi Pihak Berkuasa Tempatan (Ayob Tamrin, 2000). Bagi kerja-kerja pemuliharaan, akta ini memperuntukkan Seksyen 58(2)f yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan peruntukan dan garis panduan yang bersesuaian bagi bangunan bersejarah (Raiha Mohd Saud, 2003).

2.11     Garis Panduan Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah
Kerja penyesuaigunaan bangunan merupakan kerja mengubahsuai fungsi sesebuah bangunan dari fungsi asal. Secara asasnya kerja ini boleh dilakukan tanpa sebarang sekatan, namun apabila kerja penyesuaigunaan yang dilakukan melibatkan bangunan bersejarah, kerja yang dilakukan perlulah mengikut garis panduan pemuliharaan. Sekiranya bangunan bersejarah tersebut terletak di dalam zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO, maka kerja penyesuaigunaan yang dilakukan akan menjadi lebih kompleks yang mana terdapat berbagai peraturan, piagam dan perundangan yang perlu diikuti sepanjang kerja penyesuaigunaan dilakukan. Terdapat berbagai garis panduan pemuliharaan telah dikeluarkan oleh berbagai pihak yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja pemuliharaan di Malaysia terutamanya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Paiman Keromo, 2006a). Garis panduan ini merupakan sumber rujukan dan panduan bagi mereka yang terlibat di dalam kerja pemuliharaan dan memastikan kerja pemuliharaan yang dilakukan mengikut dasar-dasar yang telah digariskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sepertimana yang tercatat di dalam garis panduan berkenaan (Kamarul Baharin A. Kassim, 2006).

Setiap kawasan pemuliharaan mempunyai garis panduan berbeza tetapi secara asasnya menggariskan perkara yang sama, iaitu tindakan yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam kerja pemuliharaan (Muhammad Ismail Othman, 2006). Menurut Kamarul Syahril Kamal (2011), terdapat beberapa garis panduan yang sering diguna pakai di dalam kerja pemuliharaan di peringkat kebangsaan dan berikut adalah garis panduan-garis panduan tersebut:

1.     Garis Panduan Pengekalan Bangunan di dalam Kawasan Pusat Bandar Kuala Lumpur (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 1996a).
2.     Garis Panduan Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah di Malaysia (Jabatan Muzium dan Antikuiti, 2000).
3.     Asas Rujukan Kajian Pengekalan dan Pemuliharaan Warisan-warisan Bersejarah Bandaraya Ipoh (Majlis Bandaraya Ipoh, 2002).
4.     ‘Guidelines for Conservation Areas and Heritage Buildings’ (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2005).
5.     Pelan Tindakan Kawasan Pemeliharaan Majlis Bandraya Melaka Bersejarah (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2006).
6.     Konservasi Bangunan MBMB: Kawalan Pembangunan Melalui Proses Kebenaran Merancang (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007a).
7.     Konservasi Bangunan MBMB: Garis Panduan Pembangunan dan Perobohan Bangunan Pemeliharaan (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007b).
8.     Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 1 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007c).
9.     Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 2 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007d).
10.  Konservasi Bangunan MBMB: Pendekatan Peningkatan Kualiti Visual 3 (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2007e).
11.  ‘Conservation Management Plan for the Historic City of Melaka’ (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, 2008).
12.  Heritage Management Plan: Historic City of George Town’ (Majlis Perbandaran Pulau Pinang, 2008a).

2.12     Industri Perhotelan
Industri perhotelan menurut End (1985) dan Walton ed., (2005) sebenarnya telah wujud berkurun-kurun lamanya. Hotel dibina lebih kepada memenuhi tuntutan pengembara untuk mempunyai tempat berehat sementara, berbanding hotel masa kini yang menawarkan keselesaan dan perkhidmatan yang mewah. Pengembara pada masa dahulu kebanyakan menggunakan jalan darat dan jalan air untuk mengembara. Jika menggunakan jalan darat, mereka akan berjalan kaki atau menggunakan binatang peliharaan untuk memudahkan perjalanan jauh mereka. Perjalanan jauh yang memenatkan memaksa mereka untuk berhenti rehat di antara perjalanan tersebut. Ini antara penyebab utama terhasilnya rumah tumpangan atau lebih dikenali sebagai hotel hari ini (Gray dan Liguoiri, 1996). Fungsi utama hotel adalah menyediakan tempat tinggal sementara dan kemudahan asas bagi mereka yang berpergian dari rumah. Namun begitu, semakin hari fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh hotel semakin berubah dan bertambah. Masyarakat hari ini sering inginkan sesuatu yang berlainan dari kebiasaan. Meraikan sesuatu keraian di hotel dianggap sesuatu yang bermakna dan akan diingati. Apatah lagi apabila ianya dijalankan di hotel yang terkenal dengan kelainan seperti hotel warisan (Henderson, 2001). Ia secara tidak langsung dapat mengekalkan akar umbi warisan budaya dan meningkatkan lagi mertabat warisan bangsa.

Industri perhotelan boleh mendatangkan hasil yang lumayan jika pemilik tahu menguruskan hotel dengan baik dan dijalankan secara serius oleh pemilik bangunan bersejarah (Medlik dan Ingram, 2003; Elhouar dan Mhiri, 2005). Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel banyak membantu industri pelancongan disamping meningkatkan ekonomi sesebuah negara (Lickorish dan Jenkins, 2000). Ia juga dapat membantu meningkatkan kepentingan bandar-bandar warisan seperti Melaka, George Town, Taiping, Kota Bharu dan Kuching sebagai destinasi pelancongan negara (A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman, 2001). Menurut Lee (2001), Apabila bandar-bandar warisan menjadi pusat tumpuan pelancong maka banyaklah aktiviti yang melibatkan kebudayaan dan warisan dapat dipersembahkan. Kini pihak kerajaan semakin memandang serius kemajuan dan perkembangan industri pelancongan negara, kerana industri pelancongan merupakan sumber pendapatan kedua tertinggi negara.

Manakala penyumbang terbesar pendapatan dari sektor pelancongan pula ialah dari industri perhotelan. Tidak dapat dinafikan bahawa industri yang selama ini kita abaikan merupakan industri yang memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi Malaysia. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Industri perhotelan banyak membantu ekonomi setempat dimana secara tidak langsung akan menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Pembangunan kawasan setempat juga turut berkembang setanding dengan industri perhotelan yang ada. Apabila ekonomi telah dijana, banyak infrastruktur akan di sediakan oleh pihak kerajaan. Disamping itu, pengeluaran produk industri-industri lain seperti industri pembinaan, peralatan, perabot dan perhiasan juga turut sama berkembang kerana industri ini merupakan pembekal utama peralatan yang sering digunakan oleh pihak hotel (Hewison, 1987; Prideaux et at., 2008).

Industri perhotelan merupakan aset penting bagi pengembaraan antarabangsa dan industri pelancongan, yang mana pembangunan hotel selalunya dapat dilihat di destinasi pelancongan utama (Verginis dan Wood, 2002). Di kebanyakan negara, hotel memainkan peranan melebihi tempat tinggal sementara. Hotel merupakan perniagaan yang berteraskan perkhidmatan dan kemudahan atau lebih tepat lagi perniagaan yang berteraskan perkhidmatan layanan mesra (Medlik dan Ingram, 2003). Kehendak utama pelanggan di kebanyakan hotel ialah bagi mendapatkan kemudahan tempat tidur yang selesa. Selain daripada tempat tidur terdapat juga perkhidmatan lain yang ditawarkan dikebanyakan hotel hari ini. Seperti mana yang dinyatakan oleh Weissinger (2000), hotel memainkan peranan penting bagi kebanyakan negara dengan menyediakan kemudahan bagi urusan perniagaan, mesyuarat dan seminar, untuk rekreasi dan hiburan. Fungsi hotel semakin hari semakin bertambah selaras dengan perkembangan dunia hari ini.

Industri perhotelan secara tidak langsung, banyak membantu masyarakat setempat (Hall, 2003; Hayes dan Ninemeier, 2004). Banyak peluang pekerjaan akan terbuka kepada masyarakat setempat, tidak kira dari segi pentadbiran, penyeliaan, penyediaan dan pembersihan akan ditawarkan oleh industri perhotelan ini tanpa mengira umur dan taraf pendidikan. Menurut Badaruddin Mohamed dan Nikmatul Adha Nordin (2007) dengan adanya peluang pekerjaan dalam industri perhotelan ini, ia akan mengelakkan anak-anak muda keluar dari daerah untuk mencari pekerjaan. Sumber pendapatan ramai pihak terutamanya petani, nelayan dan pembekal makanan tempatan juga akan bertambah kerana industri perhotelan memerlukan sumber makanan tersebut bagi memastikan bekalan makanan dan minuman sentiasa cukup untuk tetamu hotel. Hotel juga merupakan penerima mata wang asing yang paling tinggi di dalam industri pelancongan dan membantu menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara (Chon dan Sparrowe, 2000; Smith dan Duffy, 2003). Kerajaan perlu mengambil langkah yang bijak dan mengatur strategi yang berkesan bagi memastikan industri pelancongan iaitu penyumbang terbesar industri perhotelan terus berkembang maju (Bird, 1989).

Walaupun terdapat berbagai pilihan jenis hotel, namun kadar kedatangan tetamu ke sesebuah hotel sering berdasarkan keunikan yang ditawarkan oleh sesebuah hotel (Dickmman dan Maddock, 2000). Menurut A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman (2001), hotel warisan merupakan salah satu jenis hotel yang dapat menarik pelancong berdasarkan keunikannya berbanding dengan hotel-hotel konvensional yang ada. Keunikan reka bentuk seni bina dan hiasan dalamannya yang tersendiri menjadi faktor utama keunikannya. Sering kali reka bentuk seni binanya sangat berbeza berbanding dengan reka bentuk seni bina kebanyakan hotel konvensional yang ada. Sama ada dipengaruhi oleh reka bentuk kolonial, peranakan atau Melayu tradisional hotel warisan memberikan keunikan tersendiri berbanding hotel konvensional yang ada hari ini. Di sebalik keunikan dan kehalusan seni bina, bangunan-bangunan ini selalunya menyimpan sejarah tersendiri sama ada berkaitan bangunan itu sendiri, bandar, negeri mahupun negara (Wan Hassan Wan Ismail, 2005). Menurut A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman (2001) lagi, kelainan yang terdapat pada sesebuah hotel warisan ini akan lebih dapat dirasai jika reka bentuk hiasan dalamannya juga mengekalkan ciri-ciri warisan.

2.13  Jenis dan Kategori Hotel
Kepelbagaian jenis hotel boleh dilihat daripada kepelbagaian terma yang digunakan bagi menggambarkan rumah penginapan sementara ini. Semakin hari, semakin banyak terma hotel yang lahir mengikut kesesuaian tempat dan tetamu yang menginap (Weissinger, 2000; Howard, 2008). Secara asasnya, terdapat empat terma yang sering digunakan bagi menggambarkan rumah penginapan sementara iaitu:
1.     Hotel
2.     Motel
3.     Resort
4.     Hotel bajet

2.13.1    Hotel
Hotel secara amnya boleh didapati dalam dua jenis iaitu hotel sementara dan hotel residen. Hotel sementara adalah hotel yang diduduki secara sekejap, cepat dan tidak tetap dan hanya diduduki dalam jangkamasa yang singkat (Weissinger, 2000). Hotel jenis ini adalah hotel yang diduduki bagi mereka yang keluar jauh dari kawasan rumah sama ada dalam masa beberapa hari, minggu atau bulan bagi tujuan perniagaan atau bersuka ria. Manakala hotel secara residen pula adalah lebih mudah dihuraikan sebagai rumah apartmen lengkap dengan semua kemudahan hotel. Ia tidak diduduki oleh mereka yang datang dari luar kawasan tetapi lebih kepada penghuni rasmi hotel tersebut. Mereka ini selalunya perlu menandatangani surat pajakan bagi memastikan bilik mereka diduduki sepanjang tahun. Ini membantu pihak hotel daripada menghadapi masalah kekurangan tetamu. Pihak hotel juga dapat menganggar jumlah bilik yang boleh ditawarkan pada satu-satu masa berserta kadar harga yang bersesuaian bagi bilik-bilik lain di hotel tersebut (Lawson, 2000).

Namun begitu terdapat juga hotel yang membenarkan penghuni rasmi ini untuk menawarkan bilik mereka sebagai bilik hotel sementara sekiranya mereka tidak menggunakan bilik tersebut pada masa-masa tertentu. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap hotel adalah berbeza. Kadar perkhidmatannya boleh diketahui melalui kategori setiap hotel. Kategori hotel secara amnya terbahagi kepada lima bahagian yang mana ia adalah berdasarkan jumlah bintang. Namun begitu terdapat juga hotel yang tidak termasuk dalam lima kategori biasa, tetapi diletakkan di dalam kategori khas iaitu hotel butik. Menurut Henderson (2001), hotel butik adalah hotel yang bersaiz kecil dan lebih bersifat mesra tetamu.


Gambar 2.13: The Randolph Hotel yang terletak di Oxford, United Kingdom yang masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk seni bina yang asal.
2.13.2    Motel
Motel adalah singkatan bagi perkataan motor hotel. Menurut Lawson (2000), industri permotoran yang pesat telah membentuk kewujudan motel. Di Malaysia, motel tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti mana di luar negara yang mana pengembara sering mengembara dalam jangka masa yang panjang. Pada zaman dahulu, motel dibina dalam keadaan yang serba ringkas. Pondok kecil yang jumlahnya kurang daripada 10 buah selalunya dibina di sepanjang lebuhraya oleh petani-petani bagi disewakan kepada pemandu-pemandu kereta yang lalu dikawasannya. Namun perkembangan industri motel berkembang dengan cepat sekali seiring dengan perkembangan industri automobil. Petani-petani mula menjadikan motel sebagai perniagaan dan mula mendirikan bangunan yang selesa untuk pemandu-pemandu berkenaan. Daripada pondok kecil, ia dibina berderet dengan kelengkapan pemanas dan bilik mandi malah juga tempat letak kereta. Apabila permintaan meningkat, pengusaha motel mula menambah bilangan bilik, malah tingkat bangunan juga bertambah dari setingkat menjadi dua tingkat dan ada juga sehingga tiga tingkat.

Kini motel masih lagi menjadi piilihan pengembara berkereta apatah lagi motel kini makin dilengkapi dengan kemudahan restoren, kolam mandi, telefon, televisyen dan penyaman udara. Kaedah mendaftar masuk dan keluar motel juga lebih mudah bagi pengembara berkereta yang selalunya mengejar waktu. Pendaftaran masuk sangat ringkas dan semua pekerjaan dilakukan sendirian, tanpa melibatkan perkhidmatan dari pihak motel seperti membawa beg ke bilik dan sebagainya (Dickman dan Maddock, 2000).


Gambar 2.14: Palm Trees Motel yang terletak di Gold Coast, Australia dibina di tepi jalan utama bertujuan untuk memudahkan pengembara yang menaiki kenderaan darat menginap di situ.

2.13.3    Resort
Resort sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di dalam kehidupan masyarakat hari ini. Menurut Verginis dan Wood (2002), ia telah wujud sejak zaman dahulu lagi dikalangan mereka yang berada. Resort selalunya terletak di pusat-pusat peranginan yang menjadi tumpuan pelancong bagi berehat dan bersuka ria. Kebanyakannya terletak di tepi pantai, di mana ia dikatakan tempat terbaik untuk berehat. Namun begitu, banyak resort mula dibuka di kawasan hutan semula jadi bagi memenuhi kehendak pencinta-pencinta alam semula jadi menikmati rehat dengan cara mereka.


Gambar 2.15: Resort yang terletak di Innsbruck, Austria yang masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk seni bina yang asal.

2.13.4    Hotel Bajet
Bagi mereka yang gemar berjalan atau melancong tetapi mempunyai belanjawan yang terhad, hotel bajet merupakan pilihan terbaik bagi mereka bercuti sambil melancong. Hotel-hotel bajet menurut Dickman dan Maddock (2000), selalunya menawarkan kadar harga yang bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat. Walaupun ianya adalah hotel bajet, namun kemudahan asas yang disediakan mencukupi untuk pengunjung berasa selesa sepanjang menginap disitu.



Gambar 2.16: Contoh hotel bajet yang banyak terdapat di sekitar bandar Amsterdam, Belanda dikhususkan untuk pelancong dari luar negara.

Sesebuah hotel itu akan diklasifikasikan mengikut bintang bagi menggambarkan kedudukan sesebuah hotel itu. Kedudukan bintang bermula dari satu bintang, dikuti oleh dua, tiga, empat dan seterusnya kedudukan tertinggi yang boleh dicapai oleh sesebuah hotel ialah lima bintang. Kategori ini selalunya akan ditentukan oleh pihak kerajaan, organisasi persendirian ataupun oleh persatuan hotel. Kedudukan ini juga selalunya akan menentukan harga yang perlu dibayar oleh tetamu untuk sesebuah bilik hotel. Selain bintang terdapat juga simbol lain yang seumpama dengannya digunakan seperti berlian. Ia akan memberikan maksud yang sama, iaitu keselesaan dan harga yang ditentukan oleh sesebuah hotel (Medlik dan Ingram, 2003).

Di kebanyakan negara, kerajaan akan menentukan kedudukan sesebuah hotel itu sebelum mereka menerima lesen untuk beroperasi. Kedudukan yang diberi adalah berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh penilai yang tidak diketahui oleh pihak hotel sendiri. Kriteria bagi menentukan kedudukan hotel adalah berbeza bagi setiap negara, tetapi secara amnya ia adalah adalah sama berdasarkan panduan pengembaraan awam. Sebagai contohnya, satu bintang selalunya akan memberi gambaran bahawa ia adalah sebuah hotel bajet. Kebanyakan hotel akan mempamerkan lambang bintang dihadapan pintu masuk ataupun di meja penyambut tetamu. Ini bertujuan memberitahu pengunjung yang datang, kedudukan yang telah dianugerahkan kepada hotel dan pengunjung akan mendapat gambaran perkhidmatan yang disediakan di hotel tersebut (Weissinger, 2000).

Namun begitu, menurut Hayes dan Ninemeier (2004), terdapat juga kaedah lain bagi mengetahui kedudukan sesebuah hotel. Ia adalah berdasarkan perkhidmatan yang diberikan oleh hotel tersebut sama ada ia memberikan perkhidmatan sepenuhnya ataupun perkhidmatan yang terhad. Perkhidmatan sepenuhnya adalah perkhidmatan yang disediakan seperti penjaga pintu, bellhops, restoren, bar, perkhidmatan bilik, kedai mini dan pedandan rambut. Bagi perkhidmatan separuh atau layan diri pula, banyak perkhidmatan yang biasanya ditawarkan di hotel biasa tidak disediakan. Contohnya tetamu perlu mengangkat beg mereka sendiri ke bilik dan tanpa bermacam-macam lagi perkhidmatan lain. Dari perkhidmatan yang ditawarkan, kita boleh mengagak yang hotel dengan perkhidmatan sepenuhnya adalah lebih mahal kadar harganya berbanding dengan hotel separuh perkhidmatan.

Kategori hotel-hotel ini, jika dihuraikan di dalam bentuk perkataan, bintang-bintang ini bolehlah dinyatakan seperti jadual berikut:

Jadual 2.2: Kategori hotel mengikut bintang.


Bintang


Kategori Hotel
5
·       Hotel yang berketerampilan dan merupakan antara hotel terbaik negara.
4
·       Hotel yang cemerlang mempunyai kualiti yang amat memberansangkan dari segi reka bentuk dan perkhidmatan.
3
·       Hotel yang amat bagus.
2
·       Hotel yang bagus.
1
·       Hotel yang biasa.

Harga bilik mewakili kesan keputusan strategik bagi semua hotel operator dan ia merupakan alat penting bagi mendapatkan pelanggan (Verginis dan Wood, 2002). Hotel selalunya mempunyai perancangan dan keputusan tersendiri di dalam menentukan harga bilik. Harga bilik hotel selalunya adalah seragam, namun begitu tidak semestinya semua harga bilik yang disewakan perlu mengikut harga seragam tersebut. Harga selalunya akan ditentukan mengikut pelbagai kriteria seperti jenis bilik, lokasi bilik, musim dan peristiwa bermusim, jenis tetamu, pelan pemakanan, jumlah hari menginap dan hari dalam minggu tersebut. Selain berdasarkan bintang yang diberi, hotel juga boleh dikategorikan dibawah kategori khas iaitu hotel butik. Menurut Hotel Megazine (2011), sesebuah hotel itu akan dikategorikan sebagai butik kerana hotel tersebut unik. Bintang dan kategori yang sering diberi kepada hotel biasa, tidak dapat menandingi hotel butik kerana hotel ini berada dalam kelasnya yang tersendiri. Hotel butik menawarkan pengalaman yang berbeza daripada hotel konvensional lain.

2.14  Tapak Warisan Dunia UNESCO
UNESCO adalah badan dunia yang ditubuhkan pada 1 November 1945 bagi mempromosikan inisiatif kerjasama antarabangsa bagi hal ehwal berkaitan pendidikan, sains dan kebudayaan. Badan ini mempunyai lebih kurang 190 negara ahli termasuk Malaysia. Tujuan UNESCO mengadakan Senarai Warisan Dunia ini adalah bagi menyenaraikan, menamakan dan mengabadikan tapak-tapak warisan budaya atau warisan semulajadi bagi menjaga kepentingan warisan sejagat. Program penyenaraian Tapak Warisan Dunia ini telah ditubuhkan oleh UNESCO pada 16 November 1972 dibawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semula Jadi Dunia. Sejak program ini ditubuhkan, lebih 800 tapak telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia yang terdiri daripada tapak kebudayaan, tapak kawasan semulajadi dan tapak ciri bercampur (UNESCO, 2011). Misi pogram ini dilaksanakan oleh UNESCO adalah atas sebab-sebab berikut:
1.     Menggalakkan negara-negara di dunia untuk menandatangani Konvensyen Warisan Dunia bagi memastikan warisan semula jadi dan budaya milik negara mereka dilindungi.
2.     Menggalakkan negara-negara yang menganggotai konvensyen untuk mencalonkan tapak di dalam wilayah negara masing-masing untuk dimasukkan di dalam Senarai Warisan Dunia.
3.     Menggalakkan negara-negara yang menganggotai konvensyen untuk menyediakan pelan pengurusan tapak dan menubuhkan sistem laporan bagi tujuan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia negara masing-masing.
4.     Membantu negara-negara yang menganggotai konvensyen untuk melindungi Warisan Dunia dengan menyediakan bantuan teknikal dan latihan professional.
5.     Menyediakan bantuan kecemasan untuk Tapak Warisan Dunia yang diancam bahaya dengan segera.
6.     Menyokong negara-negara yang menganggotai konvensyen di dalam aktiviti-aktiviti menyedarkan orang awam berkenaan pemuliharaan Warisan Dunia.
7.     Menyokong penglibatan orang tempatan di dalam memelihara warisan budaya dan alam semula jadi mereka.
8.     Menggalakkan kerjasama antarabangsa di dalam pemuliharaan warisan budaya dan alam semula jadi dunia kita.

Pengiktirafan sesebuah bandar sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan satu pengiktirafan yang sangat prestij. Bukan mudah untuk sesebuah bandar diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia kerana banyak kriteria dan justifikasi yang ditetapkan perlu dipatuhi sebelum pengiktirafan diberi kepada sesebuah tapak. Kejayaan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan tiket bagi sesebuah tapak untuk menempatkan diri di dalam peta dunia sebagai destinasi pelancongan warisan yang harus dilawati oleh pencinta warisan dari seluruh dunia (Jabatan Warisan Negara, 2008). Sehingga akhir tahun 2004, Tapak Warisan Dunia UNESCO telah dipilih berdasarkan enam kriteria kebudayaan dan empat kriteria semulajadi. Syarat, kriteria dan justifikasi yang ditetapkan perlulah sentiasa dipenuhi bagi memastikan pengiktirafan ini dapat bertahan selamanya (UNESCO, 2011). Sepuluh kriteria yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut:
1.     Untuk mewakili sebuah karya kreatif yang bijaksana.
2.     Untuk mempamerkan kepentingan perubahan yang berlaku di dalam nilai kemanusiaan, melalui jangka masa atau di dalam kawasan budaya dunia, dari segi pembangunan seni bina atau teknologi, seni monumen, perancangan bandar atau reka bentuk landskap.
3.     Untuk mengingati keunikan atau sekurang-kurangnya memberi testimoni kepada tradisi budaya atau kepada ketamadunan sama ada yang hidup atau yang telah tiada.
4.     Menjadi contoh terbaik kepada jenis bangunan, kumpulan seni bina atau teknologi atau landskap yang memberi illustrasi terbaik kepada peringkat sejarah manusia.
5.      Untuk menjadi contoh kepada penyelesaian tradisional manusia, guna tanah atau penggunaan laut yang mewakili budaya atau interaksi manusia dengan persekitaran terutamanya apabila menjadi lemah disebabkan perubahan yang tidak dapat dielakkan.
6.     Untuk dikaitkan secara langsung dengan peristiwa atau budaya kehidupan, dengan pemikiran, kepercayaan, kesenian dan kerja yang berkaitan dengan nilai keunggulan sejagat (Jawatankuasa berpendapat bahawa kriteria ini perlu digabungkan bersama dengan kriteria lain)
7.     Mengandungi fenomena semula jadi yang superlatif atau kecantikan dan estetik yang luar biasa
8.     Sebagai contoh unggul yang mewakili peringkat penting sejarah dunia, termasuk rekod kehidupan, kesan daripada proses geologi di dalam pembangunan tanah atau kesan geomorfik atau ciri-ciri fisiografi.
9.     Sebagai contoh unggul yang mewakili proses ekologi dan proses biologi tumbuh-tumbuhan dan haiwan evolusi dan pembangunan air di daratan, air tawar, air laut dan eko sistem komuniti laut.
10.  Mengandungi habitat semulajadi penting dan mempunyai kesan bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi, termasuk spesis yang terancam yang mengandungi nilai keunggulan sejagat dari sudut pandangan sains atau pemuliharaan.

Bandar Warisan Dunia merupakan salah satu cabang atau kategori di dalam Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. Bandar warisan ini menyimpan pelbagai catatan sejarah yang sangat berharga dan menyumbang kepada pembangunan negara selama ini (Mason, 2003; Hollinshead, 2009). Menurut Cohen (2001), pusat bandar warisan terhasil daripada jaringan bangunan dan jalan dari zaman yang berbeza yang menghasilkan kepelbagaian budaya dan strata bandar. Kepelbagaian inilah yang membentuk keunikan bandar warisan dunia yang ada hari ini sehinggakan terdapat bandar yang layak diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang perlu dikongsi dengan seluruh masyarakat dunia. Bandar-bandar ini juga dikenali sebagai bandar warisan kerana kebanyakannya mempunyai keunikan warisan sejarah yang tidak ada pada tempat lain (Mat Nasir Baba, 2000; Japan International Cooperation Agency, 2002). Apabila sesebuah bandar warisan itu telah diiktiraf sebagai Tapak warisan Dunia UNESCO, secara tidak langsung, ini akan meninggikan lagi nilai khazanah bandar warisan tersebut.

Menurut Howie (2003), masyarakat umum bertanggungjawab untuk memulihara Tapak Warisan Dunia UNESCO yang ada dengan sebaiknya kerana ia juga merupakan antara aset penting di dalam industri pelancongan negara. Kepentingan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO selama ini sering dikaitkan dengan sumbangannya sebagai salah satu sumber tarikan pelancong (Thi dan Su, 2007; Denkers, 2009). Ini tidak dapat dinafikan dengan melihat pertambahan kedatangan pelancong ke kebanyakan bandar warisan dunia yang telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Bandar Rome di Itali, Bath di England, dan lain-lain lagi (Prentice, 1993; Shackley ed., 2000). Menurut Roders (2011), bandar bersejarah merupakan salah satu produk pelancongan warisan. Ia diidentifikasikan sebagai imej atau produk, dimana ia akan terus berkembang menjadi persekitaran tempat tinggal bagi penduduk residen dan merupakan sebahagian dari mekanisme bandar yang besar dan kompleks (Page dan Hall, 2003).

Keunikan bandar-bandar warisan ini dikuatkan lagi dengan penyataan oleh Paiman Keromo (2002) bahawa walaupun seni bina di bandar-bandar yang terdapat di Malaysia jarang menjangkau usia satu abad, tetapi bandar-bandar di negara ini mempunyai pelbagai khazanah warisan, umpamanya bangunan sebelum perang (pra-1945) yang membuatkan bandar-bandar ini kelihatan unik dengan ciri-ciri istimewanya sendiri, dan menjadi identiti bandar seluruh Malaysia.

2.15  Kerangka Teoritikal
Kajian literatur dijalankan oleh setiap penyelidik bagi membantu penyelidik di dalam memastikan hala tuju sesuatu penyelidikan. Bagi penyelidikan ini, kajian literatur yang dijalankan telah merangkumi keseluruhan topik yang dibincangkan di dalam penyelidikan. Ia merangkumi bidang penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO. Berdasar kajian literatur yang telah dilakukan, satu kerangka teoritikal telah dibentuk. Kerangka teoritikal ini telah dibentuk berdasarkan teori-teori yang telah dikemukakan oleh penyelidik lain sepanjang kajian literatur dijalankan.





Rajah 2.3: Kerangka teoritikal.


2.16     Rumusan
Kajian literatur merupakan langkah yang perlu dilakukan oleh setiap penyelidik di dalam menjalankan penyelidikan. Kajian dilakukan ke atas sumber literatur seperti buku, jurnal, kertas seminar, majalah, surat khabar dan laman sesawang. Kajian literatur yang dijalankan membantu di dalam mengenal pasti skop dan fokus penyelidikan seterusnya membentuk objektif kepada penyelidikan yang dijalankan. Daripada kajian literatur yang dijalankan, didapati kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah ada dijalankan namun begitu tidak mendapat liputan yang meluas sebagaimana kerja pengubahsuaian, pemulihan dan lain-lain kerja yang dilakukan ke atas bangunan bersejarah.

Terdapat berbagai definisi penyesuaigunaan yang diterjemahkan oleh berbagai individu namun asas utama kerja penyesuaigunaan adalah mengubah fungsi asal sesebuah bangunan kepada fungsi baru bagi memenuhi permintaan semasa dan memastikan bangunan yang dipulihara terus digunakan. Penyesuaigunaan merupakan kaedah terbaik bagi memastikan bangunan bersejarah dapat digunakan secara maksima. Kejayaan dalam melakukan penyesuaigunaan bangunan bersejarah dengan fungsi yang tepat adalah sesuatu yang patut dibanggakan dan usaha ini perlulah diteruskan sampai bila-bila. Kerja penyesuaigunaan yang dilakukan perlu mematuhi prinsip-prinsip pemuliharaan bagi memastikan sesebuah bangunan bersejarah tidak musnah dan terpulihara seperti mana bangunan asal. Penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah merupakan satu kaedah yang membantu mengekalkan warisan seni bina yang sukar ditemui lagi hari ini.

No comments: