Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 1 Pendahuluan

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 1
PENDAHULUAN


1.1            Pengenalan
Penyesuaigunaan atau ‘adaptive reuse’ adalah proses mengubahsuai sesebuah bangunan bagi menukar fungsinya kepada fungsi baru dengan meninggalkan fungsinya yang lama (Marks ed., 1996; Austin, 1988; Bullen dan Love, 2011). Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada proses pemuliharaan sekiranya bangunan bersejarah tersebut terletak di dalam zon pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penyesuaigunaan merupakan satu langkah bijak bagi memastikan sesebuah bangunan bersejarah dipulihara, diberikan nafas baru dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ia juga sebagai langkah mempertahankan khazanah warisan daripada lenyap ditelan zaman. Orbasli (2008) menyatakan bahawa penyesuaigunaan adalah satu proses yang mana bangunan diubah suai untuk fungsi penggunaan baru dan seterusnya meninggalkan fungsi penggunaan yang lama. Manakala definisi penyesuaigunaan oleh The Australia ICOMOS Charter for Places of Cultural Significance (1999) ialah mengubahsuai tempat yang sesuai dengan penggunaan yang sedia ada atau penggunaan yang dicadangkan.

Penyesuaigunaan adalah satu usaha atau kaedah yang murni untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan warisan (A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman, 2001). Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan satu kaedah terbaik yang dapat membantu sesebuah bangunan agar terus terpulihara dengan baik (Cheong, 2001; A Ghafar Ahmad, 2003). Kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sedia ada melibatkan kerja-kerja seperti pemuliharaan, pengubahsuaian, pembaikan, pengekalan dan pengukuhan (Australia ICOMOS, 2002). Mohd Yusof Ismail (2003) menyatakan bahawa penyesuaigunaan bangunan bersejarah melibatkan kerja mengubah fungsi penggunaan sesebuah bangunan untuk penggunaan baru dan meninggalkan fungsi penggunaan yang lama. Selalunya bangunan yang disuaiguna memerlukan sedikit pengubahsuaian bagi memastikan bangunan tersebut dapat memenuhi keperluan fungsi bangunan yang baru (Desbrisay, 2007).


Gambar 1.1: Muzium Warisan Pulau Pinang yang terletak di No. 128 Lebuh Armenian, George Town, Pulau Pinang merupakan contoh kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah terbaik yang mana dahulunya bangunan ini merupakan sebuah rumah agam dengan reka bentuk seni bina Straits Electic (1860) millik Syed Mohamad Al-Attas seorang pedagang berketurunan Arab-Melayu dari Acheh.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan salah satu kaedah memulihara bangunan bersejarah yang merupakan antara produk warisan yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang menarik (A Ghafar Ahmad, 1997b). Ia sebahagian daripada kaedah melindungi bangunan yang mempunyai kesan sejarah daripada roboh (Atkinson, 2000; Cantell, 2005; Ashurst, 2006). Apabila sesebuah bangunan bersejarah roboh, maka sejarah silam yang tercatat pada bangunan tersebut turut sama berkubur dan hilang tanpa diingati oleh generasi akan datang (Chudley, 1981; Ashworth dan Larkham, 1994; Cox 2009). Ia turut dipersetujui oleh Austin (1998) dan Burke (2007) yang mana merasakan bahawa projek penyesuaigunaan merupakan antara medium bagi memulihara dan menjaga bangunan bersejarah yang mempunyai banyak kepentingan kepada umum.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan kaedah yang terbaik untuk memastikan sesebuah bangunan bersejarah terus digunakan (Chandler, 1991; Larkham, 1996; Chung, 2005). Sehubungan dengan itu, mengguna semula sesebuah bangunan bersejarah untuk apa jua fungsi sekalipun, secara tidak langsung akan memastikan bangunan bersejarah tersebut terus diguna, diselenggara dan dijaga dengan baik (Highfield, 2000; Kincaid, 2002; Dann dan Wood, 2004). Malaysia mempunyai pelbagai jenis bangunan bersejarah yang boleh disuaiguna di kawasan bandar yang telah dikenal pasti sebagai bandar warisan terutamanya di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town (A Ghafar Ahmad, 2002b dan 2007).

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan satu tugas yang amat mencabar (UNESCO, 1999). Penyesuaigunaan yang dilakukan terutamanya ke atas bangunan bersejarah yang telah disenaraikan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan perlu dilakukan mengikut prinsip-prinsip pemuliharaan yang telah digariskan di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan juga garis panduan pemuliharaan yang telah disediakan oleh pihak Berkuasa Tempatan kedua-dua buah bandar tersebut. Selain daripada akta dan garis panduan kebangsaan, pemilik bangunan bersejarah juga perlu mematuhi piagam-piagam antarabangsa di dalam melakukan penyesuaigunaan ke atas bangunan mereka (A Ghafar Ahmad, 2002a; Jabatan Warisan Negara, 2007a).

Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town mempunyai banyak bangunan bersejarah terutamanya deretan rumah kedai dengan berbagai reka bentuk seni bina zaman sebelum Perang Dunia ke-2 (Penang Heritage Trust, 1996a dan 1996b; Perbadanan Muzium Melaka, 2006b; Tan, 2011). Deretan rumah kedai ini boleh disuaiguna dengan pelbagai fungsi baru seperti kedai menjual barangan cenderamata, galeri seni, muzium, kedai gambar, kafe internet, kafe, restoran dan hotel (A Ghafar Ahmad, 2004). Namun begitu pemilihan fungsi baru yang sesuai amat penting dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah yang disuaiguna dapat digunakan dengan sebaiknya tanpa melanggar prinsip pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO tersebut (UNESCO, 2000).


Gambar 1.2: Deretan rumah kedai seperti F.M.S Bar and Restaurant yang terletak di No. 2 Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak antara bangunan bersejarah yang sedang disuaiguna sebagai hotel.

Konsep penyesuaigunaan bangunan bersejarah telah diamalkan di negara-negara maju sejak berdekad lamanya (Latham, 2000; Bridgwood et. al., 2008). Kebanyakan bangunan bersejarah telah disuaiguna dan dijadikan bangunan yang sering menjadi tumpuan pelancong seperti muzium, balai seni lukis, hotel, kedai cenderamata, restoran dan kafe (Marsh, 1983; Highfield, 1987; Ahmad Sanusi Hassan et al., 2008). Kaedah penyesuaigunaan ini didapati dapat menarik tumpuan lebih ramai pelancong ke sesebuah bangunan bersejarah berbanding bangunan baru dan moden. Menurut Alon dan Amos (2009), bangunan bersejarah seringkali memberi pelancong pengalaman yang berbeza daripada pengalaman yang sering diperolehi di pusat pelancongan biasa lain.

Bangunan bersejarah yang telah disuaiguna selalunya mempunyai persekitaran dan keunikan seni bina yang tersendiri (Australia Department of the Environment and Heritage, 2004). Keistimewaaan inilah yang perlu diberi perhatian dan dipulihara kerana keistimewaan yang ada merupakan sebahagian daripada tarikan utama pelancong untuk melawat ke bangunan bersejarah tersebut (Crouch dan Olson, 1981; Fladmark, 1993; Briassoulis dan Straaten, 2000).


Gambar 1.3: Musee du Louvre yang terletak di Paris merupakan contoh pendekatan konsep peyesuaigunaan bangunan bersejarah terbaik dan terkenal di seluruh dunia kerana kompleks bangunan yang dahulunya menempatkan istana diraja kini merupakan sebuah galeri seni yang menempatkan portrait Monalisa hasil karya agung lukisan Leonardo Da Vinci dan menjadi daya tarikan pelancong dari seluruh dunia untuk melawatnya.

Berikutan daripada itu, kini kebanyakan pemilik bangunan dan pemaju hartanah telah mula menyedari kelebihan dan nilai yang terdapat pada bangunan bersejarah sedia ada berbanding keperluan untuk membina bangunan baru (Croci, 2000; Prihatmanti dan Azizi Bahauddin, 2011). Ia dapat dilihat dari segi peningkatan projek penyesuaigunaan bangunan bersejarah pada hari ini. Antara kelebihan penyesuaigunaan bangunan bersejarah kepada ialah penjimatan di dalam kos projek itu sendiri (Zaidar Din, 1990). Walaupun konsep penyesuaigunaan ini telah dijalankan di Malaysia namun kebanyakannya tidak mencapai matlamat yang disasarkan dan kejayaan bagi sesuatu projek penyesuaigunaan bangunan bersejarah adalah sangat minima (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 1996b). Sehubungan dengan itu adalah sangat penting untuk semua pihak yang bertanggungjawab membantu dalam memberi kesedaran tentang kepentingan penyesuaigunaan bangunan bersejarah, seterusnya mengadaptasikan konsep penyesuaigunaan bangunan bersejarah tersebut (Fawcett ed., 1976; Austin, 1988; Hudson, 2007).


Gambar 1.4: Ibu pejabat George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) yang terletak di No. 116 & 118 Lebuh Acheh, George Town, Pulau Pinang merupakan sebuah bangunan bersejarah dan kini telah disuaiguna sebagai pusat pengurusan, pemantauan dan promosi aktiviti warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Pulau Pinang.

Malaysia mempunyai banyak peninggalan bangunan bersejarah, namun masyarakat tidak menyedari dan tidak mengambil tahu langsung tentang kewujudan bangunan-bangunan ini. Senario ini berlaku kerana kurangnya pendedahan oleh pihak bertanggungjawab tentang betapa pentingnya bangunan bersejarah terutamanya bagi generasi masa akan datang (Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi et.al., 2004) Secara umumnya, konsep penyesuaigunaan kurang dilakukan ke atas kebanyakan bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Galakan perlu diberi bagi memastikan kerja penyesuaigunaan dilakukan dengan lebih produktif bagi memastikan bangunan bersejarah di Malaysia terus kekal digunakan dengan sebaiknya (A Ghafar Ahmad, 2003). Penyesuaigunaan merupakan satu kaedah yang sangat digalakkan untuk dipraktikkan terutama bagi bangunan bersejarah yang banyak terdapat di bandar warisan yang menjadi tarikan pelancong (Badaruddin Mohamed, 2003).

Deretan rumah kedai yang kebanyakannya dibina pada zaman perang dunia kedua mempunyai sejarah dan reka bentuk seni bina tersendiri boleh ditemui dengan mudahnya di Melaka, George Town, Taiping dan Kuching. Selain daripada itu terdapat pelbagai institusi pentadbiran dan rumah agam yang telah dibina pada zaman pemerintahan Jepun dan Inggeris yang masih berdiri teguh hingga hari ini. Bangunan-bangunan bersejarah ini boleh disuaiguna dengan berbagai fungsi baru seperti mengubahsuai sebuah pejabat menjadi rumah kediaman, bangunan industri diubah menjadi pusat pameran, rumah kedai dijadikan kedai atau kafe, istana lama dijadikan muzium, pejabat dijadikan restoran, rumah agam dijadikan hotel dan sebagainya.

Masyarakat kebanyakannya tidak menyedari dan tidak mengambil tahu tentang kewujudan bangunan bersejarah ini. Walaupun konsep penyesuaigunaan ini ada dijalankan, namun kebanyakannya tidak mencapai matlamat yang disasarkan dan kejayaan bagi sesuatu projek suaiguna adalah sangat minima. Walaupun penyesuaigunaan bangunan bersejarah dijalankan bagi penggunaan fungsi baru, namun perlulah mematuhi konsep pemuliharaan bangunan bersejarah terutama sekali jika bangunan tersebut tersenarai didalam senarai bangunan warisan yang diwartakan (Kamaruddin Md. Said, 2006). Setiap kerja penyesuaigunaan yang hendak dilakukan perlu mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Setiap permohonan bagi kebenaran menyesuaiguna yang dikemukakan perlulah mematuhi garis panduan pemuliharaan yang telah digariskan. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai garis panduan yang berbeza bergantung kepada polisi pentadbiran setiap negeri.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town bukan sahaja dapat memastikan bangunan bersejarah tidak pupus, tetapi ia juga mempunyai impak yang lebih besar, meluas dan penting (A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman, 2001). Antara kelebihannya adalah seperti berikut:
1.     Memulihara bangunan bersejarah dan warisan negara untuk kepentingan dan renungan generasi masa hadapan.
2.     Mengurangkan pembinaan bangunan baru dengan mengguna pakai bangunan bersejarah untuk tujuan industri perhotelan negara.
3.     Menarik kedatangan pelancong ke Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
4.     Membantu menambah pendapatan penduduk tempatan dan negara melalui industri perhotelan negara.


Gambar 1.5: Rumah Agam Cheong Fatt Tze yang terletak di No. 14 Lebuh Leith, George Town, Pulau Pinang antara contoh bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town dan telah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Seni Bina Kebangsaan Malaysia untuk Pemuliharaan 1995, Anugerah Pemuliharaan Warisan Paling Cemerlang UNESCO 2000, Anugerah Cemerlang Tarikan Pelancong Terbaik 2003 dan Anugerah Kecemerlangan Usaha Pemeliharaan Kebudayaan ASEAN 2004.

Aktiviti penyesuaigunaan bangunan bersejarah kadang kala boleh menyebabkan kemudaratan kepada bangunan bersejarah jika pelaksanaannya tidak selaras dengan prinsip-prinsip pemuliharaan dan pendekatan yang betul (Pickard, 2000). Ini adalah kerana bangunan itu bukan sahaja akan terjejas dari segi keaslian, kehilangan nilai, tetapi yang lebih malang bangunan bersejarah akan mengalami kerosakan, hilang upaya kekal atau musnah (Collings, 2004; Kahya et. al., 2004; D’Ayala dan Wang, 2006). Selain daripada memastikan sesebuah bangunan bersejarah terpulihara daripada kemusnahan, penyesuaigunaan bangunan bersejarah juga banyak membantu industri pelancongan sesebuah negara (Herbert, 1995; ICOMOS-UK, 1995). Di Malaysia sendiri, kedatangan pelancong ke sesebuah bangunan bersejarah banyak dipengaruhi oleh fungsi baru sesebuah bangunan. Kebanyakan pusat tumpuan pelancong mengambil inisiatif menyesuaiguna bangunan bersejarah menjadi sebuah muzium, galeri seni, pusat pentadbiran kerajaan, restoren, pusat jualan cenderamata, pejabat dan berbagai fungsi lain. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang berjaya terutamanya di bandar warisan memberi banyak kelebihan kepada bandar tersebut dari segi pulangan ekonomi yang tinggi kepada pelbagai pihak seperti agen pelancongan, operator pelancongan dan pemilik premis sendiri (Abdul Kadir Hj. Din, 2001).

Di samping itu, penyesuaigunaan yang dapat menarik kedatangan ramai pelancong ke dalam negara akan memangkin ekonomi negara (Wan Nuryanti, 1997). Sektor pelancongan merupakan penyumbang kedua tertinggi selepas sektor pembuatan di Malaysia (Norma Abdul Latip, 2003). Pickard (1996) dan Orbasli (2000) bersependapat bahawa sektor pelancongan merupakan penyumbang ekonomi kepada bandar atau pusat sejarah. Penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang berjaya memenuhi kehendak sektor pelancongan dapat memberi pulangan yang baik kepada hotel, kedai, perniagaan dan secara positifnya menyokong sektor pelancongan negara (Hanna, 1999).

Merujuk kepada Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Utusan Malaysia, (2009), pihak kementerian telah mensasarkan seramai 24 juta orang pelancong datang ke Malaysia pada 2010. Ia diharap dapat membantu dalam menjana ekonomi negara. Selama ini, kedatangan pelancong ke Malaysia adalah atas tarikan karnival eko-pelancongan dan karnival membeli belah yang dijalankan sebanyak empat kali setahun oleh kerajaan (Malaysia Association of Hotels, 2011). Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan sumber warisan sedia ada seperti bangunan bersejarah dan bandar warisan menjadi tarikan utama kedatangan pelancong ke Malaysia (Dasimah Omar, 1990). Amat merugikan sekiranya aset warisan negara seperti bangunan bersejarah tidak digunakan sepenuhnya sebagai salah satu tarikan pelancongan seperti mana yang dilakukan di kebanyakan negara luar lain (Raja Norashekin Raja Othman, 2003). Sejak Melaka dan George Town mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada 7hb Julai 2008, kehadiran pelancong ke negara ini telah bertambah (Jabatan Warisan Negara, 2008). Faktor warisan budaya dan bangunan bersejarah yang terdapat di kedua buah bandar warisan ini merupakan tarikan utama pelancong ke kedua buah bandar tersebut.


Gambar 1.6: Banda Hilir, Melaka yang telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Agensi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) pada 7hb. Julai 2008 telah menggalakkan lagi industri pelancongan warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka khususnya dan seluruh negara umumnya.


1.2       Penyataan Isu dan Masalah
Penyelidikan selalunya dijalankan atas pelbagai isu dan masalah tertentu. Penyelidikan ini dijalankan setelah didapati terdapat empat isu atau masalah utama yang sering berlaku pada bangunan bersejarah di Malaysia iaitu:
1.     Kerja penyesuaigunaan yang dilakukan menyebabkan bangunan bersejarah sedia ada kehilangan keaslian atau ‘authenticity’ dari sudut reka bentuk seni bina dan bahan binaan.
2.     Penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel melibatkan pengubahsuaian elemen yang drastik berbanding menyesuaiguna bangunan dengan fungsi lain.
3.     Penyesuaigunaan bangunan bersejarah yang dilakukan terutamanya di bandar yang telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, tidak mematuhi prinsip pemuliharaan yang telah digariskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan piagam antarabangsa.
4.     Bangunan bersejarah tidak digunakan sebaiknya sebagai aset dan daya tarikan di dalam industri perhotelan dan pelancongan warisan negara yang merupakan antara sumber utama penjana ekonomi negara.

Gambar 1.7: Star Lodge Hotel yang terletak di No. 43 Lebuh Muntri, George Town, Pulau Pinang antara contoh bangunan warisan yang telah disuaiguna sebagai hotel tetapi tidak mematuhi prinsip pemuliharaan yang betul dengan menggunakan bahan binaan baru dan reka bentuk seni bina moden pada elemen bangunannya.





1.3       Sorotan Penyelidikan Terdahulu
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan satu isu yang masih baru dan belum diterokai dengan mendalam oleh kebanyakan penyelidik apatah lagi apabila penyelidikan yang dijalankan lebih menjurus kepada penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel. Walau bagaimanapun A Ghafar Ahmad dan Nurwati Badarulzaman (2001) telah menjalankan penyelidikan berkaitan sektor perhotelan yang bercirikan warisan seni bina di Malaysia. Namun fokus penyelidikan tersebut lebih menjurus ke arah aspek ekonomi berbanding melihat kerja penyesuaigunaan yang dilakukan oleh hotel warisan yang diselidik. Selain daripada penyelidikan yang telah dijalankan, didapati tidak terdapat penyelidikan lain yang menyelidik dengan terperinci berkaitan penyesuaigunaan bangunan besejarah di Malaysia.

Terdapat beberapa penyelidikan yang telah dijalankan oleh beberapa penyelidik namun tidak khusus kepada kerja penyesuaigunaan tetapi menjurus kepada kerja-kerja yang melibatkan bangunan bersejarah dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penyelidikan-penyelidikan yang telah dijalankan setiap satunya memberi fokus yang berlainan dan ini memberi kelebihan dan banyak membantu penyelidik di dalam menjalankan penyelidikan ini. Begitu juga dengan beberapa penyelidikan yang dijalankan pada peringkat Doktor Falsafah yang menyentuh berkenaan pemuliharaan bangunan bersejarah. Antaranya telah dihasilkan oleh Siti Norlizaiha Harun (2004) yang mana penyelidikannya bertajuk ‘Amalan Kerja Pemuliharaan Bangunan Bersejarah di Malaysia’, memberi penumpuan kepada amalan praktis kerja pemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia. Hasil daripada penyelidikannya, beliau telah menggariskan panduan kepada pengamal-pengamal praktis pemuliharaan dan menggariskan amalan kerja terbaik yang boleh dijalankan bagi kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Fokus penyelidikan beliau ialah untuk membantu pengamal praktis pemuliharaan di Malaysia untuk menjalankan kerja pemuliharaan yang teratur dan berkesan.

Peyelidikan yang dijalankan oleh A Ghafar Ahmad (1993) bagi peringkat Doktor Falsafah bertajuk ‘Conservation of British Colonial Buildings in Malaysia Built Between 1800-1930’ telah memberi penumpuan kepada pemuliharaan Bangunan Kolonial yang dibina sekitar tahun 1800-1930. Di dalam penyelidikannya, beliau lebih menumpukan kaedah pemuliharaan bangunan dari segi teknikal dan menyelidik kerosakan yang berlaku pada bangunan-bangunan tersebut. Penyelidikan beliau banyak membantu pengamal praktis untuk mengenalpasti kerosakan dan langkah membaikinya.

Manakala Yahaya Ahmad (2005) di dalam penyelidikan peringkat Doktor Falsafah beliau ‘Conservation Management of World Heritage Cities in Southeast Asia: Prospectives from Case Studies in Vietnam and the Philippines’ telah mendalami pemuliharaan bandar warisan di Asia. Penyelidikan beliau lebih menjurus kepada pentadbiran pemuliharaan bandar warisan yang telah diiktiraf oleh UNESCO berbanding pemuliharaan bangunan bersejarah. Terdapat juga kajian yang telah dijalankan oleh beberapa individu di peringkat sarjana. Antara penyelidikan tersebut adalah penyelidikan yang dijalankan oleh Kamarul Syahril Kamal (2001) yang mana beliau telah menyelidik mengenai kerosakan yang sering berlaku pada bangunan bersejarah dan Mohamed Yusof Ismail (2003) pula telah menjalankan penyelidikan berkenaan pemulihan bangunan warisan di Malaysia.

Terdapat juga kajian yang dijalankan dan kemudian dibukukan. Antara penyelidikan tersebut ialah kajian yang telah dijalankan oleh Syed Zainol Abidin Idid (1995) dengan kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia. Ia merupakan kajian inventori bangunan warisan di Malaysia. Kajian beliau lebih kepada mengenal pasti identiti setiap bandar berdasarkan rupa bentuk bangunan yang terdapat di bandar-bandar tersebut. Beliau menyediakan panduan mengenali warisan rupa bandar disamping memberikan bilangan bangunan warisan yang terdapat di bandar warisan di Malaysia (Badan Warisan Malaysia, 1990b).

Selain daripada penyelidikan berkaitan pemuliharaan bangunan bersejarah terdapat juga beberapa penyelidikan yang telah dijalankan berkaitan pemuliharaan bandar warisan (Khoo Salma Nasution dan Abdur Razzaq Lubis, 1999; Nadiyanty Mat Nayan, 2003). Penyelidikan yang telah dijalankan banyak membantu di dalam menjalankan kajian berkaitan bandar warisan yang telah mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menjadi tumpuan pelancong ke sesebuah negara. Selain daripada itu, terdapat ramai pihak seperti Rodwell (2006); Schmitt (2008); Ripp et al., (2011); Zancheti dan Hidaka (2011) yang telah membuat penyelidikan berkenaan pemuliharaan bandar warisan dan pengurusannya, namun pendekatan yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan lebih kepada bandar-bandar di Eropah yang mana masyarakatnya sangat menghargai warisan mereka. Selain daripada itu terdapat penyelidikan yang dijalankan oleh A Ghafar Ahmad (2004) yang mana membincangkan kaedah untuk memaksimakan tapak warisan sedia ada sebagai pusat pelancongan



1.4       Pembentukan Skop Penyelidikan
Bagi memastikan penyelidikan ini dijalankan dengan lebih berkesan, skop atau had penyelidikan telah ditetapkan pada awal proses penyelidikan dijalan. Ini adalah bagi memastikan penyelidikan dapat dilakukan dengan lebih fokus dalam kitaran skop yang dihadkan. Skop penyelidikan tertumpu kepada bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel di dua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Melaka dan George Town. Ini secara tidak langsung telah mengecilkan lagi skop penyelidikan dan membantu penyelidik memberi tumpuan yang lebih terperinci di dalam analisa yang dilakukan. Penyelidikan ini juga diharap dapat memberikan gambaran dan pemahaman yang lebih luas di dalam isu penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Malaysia. Penyelidikan ini akan menitik beratkan perkara-perkara berikut:
1.     Hotel yang terdapat di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town sebagai kawasan kajian.
2.     Bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel di dalam kawasan kajian.
3.     Tahap kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel yang telah dilakukan di dalam kawasan kajian.
4.     Elemen bangunan yang diubahsuai dan dikekalkan di dalam proses penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di dalam kawasan kajian.


Gambar 1.8: Salah satu skop yang ditekankan dalam penyelidikan ini iaitu keaslian bahan binaan yang digunakan pada elemen bangunan yang diubahsuai dalam proses penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel seperti pada elemen pintu, tingkap dan hiasan seni bina seperti mana yang ditunjukkan pada Hotel Puri yang terletak di No. 112 & 114 Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir, Melaka.

1.5       Matlamat dan Objektif Penyelidikan
Objektif penyelidikan ini dijalankan adalah bagi memastikan bangunan bersejarah yang terdapat di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town disuaiguna dengan mematuhi prinsip pemuliharaan yang telah digariskan seterusnya digunakan dengan sebaik mungkin sebagai pemangkin di dalam industri pelancongan warisan negara. Objektif utama penyelidikan ini dijalankan adalah:
1.     Untuk mengenalpasti elemen bangunan yang kerap diubahsuai dan dikekalkan dalam kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
2.     Untuk menilai tahap penyesuaigunaan yang telah dilakukan ke atas bangunan bersejarah sebagai hotel berdasarkan prinsip pemuliharaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.
3.     Untuk mencadangkan panduan asas bagi menilai tahap penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel berdasarkan prinsip pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.


Gambar 1.9: Salah satu matlamat dan objektif penyelidikan iaitu menilai tahap penyesuaigunaan yang telah dilakukan ke atas hotel hasil suaiguna bangunan bersejarah sebagai hotel yang terdapat di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town seperti Hotel Cathay yang terletak di No. 15 Lebuh Leith, George Town, Pulau Pinang ini.

1.6       Batasan Penyelidikan
Penyelidikan ini tertumpu kepada bangunan bersejarah sebagai warisan yang perlu dilindungi dan dipulihara. Fokus diberikan ke atas bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel di dua buah Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Melaka dan George Town. Ini secara tidak langsung telah mengecilkan skop penyelidikan dan tumpuan dapat diberikan dengan lebih terperinci di dalam menjalankan penyelidikan ini. Batasan dalam penyelidikan ini menitik beratkan perkara-perkara berikut:
1.     Hanya melibatkan hotel yang terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town sebagai kawasan kajian.
2.     Hanya melibatkan bangunan bersejarah yang telah disuaiguna sebagai hotel di dalam kawasan kajian.
3.     Hanya melibatkan elemen bangunan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di dalam kawasan kajian.


Gambar 1.10: Salah satu batasan penyelidikan iaitu hanya hotel yang terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town sebagai kawasan kajian seperti Hotel Baba House yang terletak di No. 125 & 127 Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir, Melaka ini.

1.7       Perancangan Penyelidikan
Perancangan adalah amat penting dalam setiap penyelidikan kerana ia dapat dijadikan sebagai asas rujukan kepada penyelidik untuk menjalankan penyelidikan. Menurut Salkind (2000), perancangan yang disediakan adalah amat penting kerana ia akan memudahkan penyelidikan dibuat bermula dari peringkat untuk mendapatkan tajuk hinggalah ke peringkat penulisan disertasi. Oleh yang demikian, dalam setiap penyelidikan yang dijalankan, selain daripada menentukan batasan penyelidikan yang spesifik, perancangan juga perlu ditentukan pada peringkat awal sebelum sesuatu penyelidikan itu dijalankan (Yin, 2003). Perancangan bertujuan untuk memastikan agar penyelidikan yang dijalankan sentiasa berada dalam bidang dan skop yang ditetapkan dan yang paling penting dapat menghasilkan penemuan yang mana akhirnya dapat menjawab semua matlamat dan objektif penyelidikan yang telah ditetapkan (Mohd Sheffie Abu Bakar, 1987). Perancangan bagi penyelidikan ini ada diterangkan dengan lebih mendalam dalam Bab Lima (Metodologi Penyelidikan). Rajah 1.1 menunjukkan secara ringkas perancangan penyelidikan yang dilaksanakan.

Rounded Rectangle: Bangunan HotelRounded Rectangle: Analisis dan Rumusan DataRounded Rectangle: Penemuan dan KesimpulanRounded Rectangle: Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George TownRounded Rectangle: Kajian KesRounded Rectangle: Kajian RintisRounded Rectangle: Pengumpulan DataRounded Rectangle: Metodologi PenyelidikanRounded Rectangle: Batasan PenyelidikanRounded Rectangle: Matlamat dan Objektif PenyelidikanRounded Rectangle: Pembentukan Skop PenyelidikanRounded Rectangle: Sorotan Penyelidikan TerdahuluRounded Rectangle: Penyataan Isu dan Masalah

Rajah 1.1: Perancangan penyelidikan.

1.8            Organisasi Disertasi
Disertasi ini mengandungi lapan bab keseluruhannya dan didahului dengan bab satu yang merupakan pendahuluan menerangkan tentang isu dan masalah utama berkaitan subjek penyelidikan. Di dalam bab satu juga ada menerangkan secara ringkas mengenai sorotan penyelidikan terdahulu, skop dan objektif penyelidikan. Gambaran penyelidikan secara kasar juga dapat dilihat di dalam bab ini. Bab dua pula menerangkan tentang kajian literatur yang dibuat daripada bahan penulisan seperti buku, majalah, akhbar dan jurnal. Pendapat dan kata-kata dari pelbagai pihak yang pakar dan mahir dalam bidang penyelidikan di ambil sebagai rujukan. Segala penyataan dan teori yang berkaitan dan menyokong penyelidikan ini dimasukkan ke dalam disertasi bagi membantu menguatkan penyelidikan. Bab ini dibahagikan kepada beberapa sub topik bagi memudahkan pemahaman pembaca. Ia dimulakan dengan teori yang berkaitan dengan penyesuaigunaan bangunan bersejarah di dalam dan luar negara. Seterusnya penerangan berkaitan penyesuaigunaan bangunan bersejarah dari sudut kepentingan, kaedah kerja dan sebagainya diterangkan dengan lebih terperinci.

Bab tiga merupakan kesinambungan bagi penyelidikan teoritikal yang telah dijalankan pada bab dua. Namun begitu di dalam bab ini penumpuan telah diberikan terhadap realiti praktikal yang diamalkan dalam kerja penyesuaigunaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO. Seterusnya di dalam bab empat telah menerangkan dengan terperinci kaedah penyelidikan yang digunakan sepanjang penyelidikan dijalankan. Semua perkara yang berkaitan dengan proses sepanjang penyelidikan dijalankan bermula dari peringkat pemilihan tajuk penyelidikan sehinggalah penulisan dilakukan, diterangkan secara ringkas dalam bab ini. Manakala di dalam bab lima dan bab enam disertasi ini pula menerangkan secara terperinci kajian kes yang telah dijalankan dalam penyelidikan ini. Kajian kes ini telah dibahagikan kepada dua bahagian yang mana setiap bahagian mewakili Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Kajian kes ini menerangkan secara terperinci mengenai empat buah hotel yang dikaji dan analisis yang telah dibuat ke atas setiap satunya.

Bab tujuh merupakan antara bab yang terpenting dalam penyelidikan ini. Di dalam bab ini, setiap data yang telah diperolehi dianalisis dengan terperinci. Setiap analisis yang dilakukan diterangkan dengan bantuan graf dan rajah bagi menampakkan perbandingan bagi setiap data. Seterusnya penemuan hasil dari analisis data yang telah dibuat dibentangkan dalam bab ini. Diikuti dengan bab terakhir iaitu bab lapan yang merupakan kesimpulan dan cadangan bagi keseluruhan penyelidikan yang telah dijalankan.

Di dalam bab lapan, rumusan telah dibuat dan seterusnya penyeldik telah membuat kesimpulan daripada penemuan-penemuan yang ada. Beberapa cadangan yang dirasakan sesuai, dikemukakan bagi tujuan penambahbaikan kaedah penyesuaigunaan sedia ada. Selain daripada itu, cadangan kaedah penilaian ke atas penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel juga telah disertakan sebagai rujukan untuk menilai tahap penyesuaigunaan yang dilakukan terhadap bangunan bersejarah. Daripada penyelidikan yang dijalankan juga, telah menghasilkan beberapa cadangan tajuk penyelidikan lanjutan yang dirasakan sesuai dijalankan pada masa hadapan. Diharap, melalui penyusunan disertasi ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca tentang penyelidikan yang dijalankan. Rajah 1.2 menunjukkan ringkasan organisasi disertasi yang dilaksanakan.


Rajah 1.2: Ringkasan organisasi disertasi.







1.9  Rumusan
Penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town merupakan satu tugas yang amat sukar. Kerja-kerja penyesuaigunaan yang dilakukan perlulah mematuhi akta dan peruntukan undang-undang yang menjaga bangunan bersejarah terutama sekali bagi bangunan bersejarah yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Akta ini digubal bagi memastikan bangunan bersejarah dipulihara dari dirosakkan atau diubah dengan sewenang-wenangnya. Walaupun konsep penyesuaigunaan dibenarkan dilakukan pada bangunan bersejarah yang terletak di dalam Zon Pemuliharaan Tapak Warisan Dunia UNESCO, namun kepentingan prinsip pemuliharaan perlulah dititik beratkan bagi mengelak berlakunya banyak perubahan dari sudut reka bentuk seni bina dan bahan binaan yang digunakan pada bangunan bersejarah tersebut.

Penyesuaigunaan bangunan bersejarah merupakan antara kaedah terbaik di dalam memastikan bangunan bersejarah boleh terus digunakan tanpa perlu melakukan pembinaan baru. Kurangnya kesedaran masyarakat terhadap nilai sesebuah bangunan bersejarah menyebabkan keutamaan lebih diberikan kepada pembinaan bangunan baru yang berorientasikan kemodenan dengan meminggirkan bangunan bersejarah sedia ada. Namun begitu, pendekatan kerja penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town perlulah mengikut prinsip pemuliharaan yang betul bagi memastikan bangunan bersejarah benar-benar terpulihara sebagaimana bangunan asalnya. Perhatian yang lebih khusus perlu diberi oleh semua pihak bagi memastikan negara tidak akan kehilangan bangunan bersejarah yang masih ada hari ini. Penyelidikan ini diharap dapat memberi kesedaran dan sumbangan dalam mengembangkan ilmu pengetahuan berkaitan penyesuaigunaan bangunan bersejarah di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town khususnya dan Malaysia amnya.

1 comment:

Qawien Mootar said...

TERIMA KASIH UNTUK PIHAK TUAN..
ATAS MAKLUMAT YANG DISAMPAIKAN