Wednesday, March 27, 2013

Deraf Disertasi PhD: Bab 5 Kajian Kes Hotel Puri dan Heeren House di Tapak Warisan Dunia Melaka

Aplikasi Prinsip Pemuliharaan Terhadap Kerja Penyesuaigunaan Bangunan Bersejarah Sebagai Hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town oleh Lilawati Ab Wahab, Universiti Sains Malaysia 2013


BAB 5
KAJIAN KES: HOTEL PURI DAN HEEREN HOUSE DI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO MELAKA


5.1       Pengenalan
Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town merupakan kawasan bersejarah di Malaysia yang menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Keunikan kedua-dua buah Tapak Warisan Dunia ini bukan sahaja terletak pada warisan adat resam masyarakat berbilang kaumnya tetapi juga pada keindahan bangunan yang ada di sekitarnya (Erne Hamsah, 2006). Kebanyakan bangunan yang ada di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town telah berusia melebihi 100 tahun (Perbadanan Muzium Melaka, 2006a). Kebanyakan bangunan ini mempunyai keunikan tersendiri terutamanya dari segi reka bentuk dan pelan lantainya. Di antara bangunan-bangunan tersebut, terdapat bangunan yang telah dipulihara dan disuaiguna sebagai hotel bagi memenuhi permintaan pelancong yang datang ke Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.

Bagi mendalami penyelidikan ini dengan lebih mendalam, kajian kes telah dilakukan ke atas beberapa buah hotel yang terdapat di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Kajian kes merupakan cara terbaik mendalami penyelidikan berkaitan penyesuaigunaan bangunan bersejarah sebagai hotel kerana di dalam menjalankan kajian kes, setiap proses yang dijalankan akan dilihat dengan lebih terperinci dari setiap sudut malah kajian secara praktikal di lapangan akan dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar proses penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang berlaku.



Penyelidikan secara teori selalunya tidak akan sama kesannya dengan kajian yang dijalankan secara praktikal di lapangan. Kajian lapangan akan memberi gambaran sebenar dengan lebih jelas keadaan sebenar di sesuatu tempat. Kajian kes merupakan salah satu kajian lapangan yang telah dijalankan bagi penyelidikan ini dan telah dijalankan atas beberapa tujuan iaitu:
1.     Mengenalpasti elemen yang paling banyak diubahsuai di dalam kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan ke atas empat sampel kajian kes yang dipilih.
2.     Mendapatkan keputusan penyelidikan dengan lebih tepat dengan membuat perbandingan diantara pungutan data secara soal selidik dan kajian kes.
3.     Merasai sendiri pengalaman dan perbezaan berada di hotel hasil penyesuaigunaan bangunan bersejarah berbanding hotel moden yang sering dikunjungi.

Kajian kes telah dilakukan ke atas empat buah hotel yang telah dipilih yang mana dua daripadanya terletak di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan dua buah lagi di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Di Melaka, hotel yang dipilih terletak di kawasan zon utama iaitu di Jalan Tun Tan Cheng Lock, sebatang jalan bersejarah yang dahulunya dikenali sebagai Heeren Street. Manakala di George Town pula, kedua buah hotel tersebut terletak di zon pemampan. Keempat-empat buah hotel ini merupakan sampel yang dipilih diantara hotel-hotel yang telah mengguna pakai kaedah penyesuaigunaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town. Berikut adalah hotel-hotel yang telah dipilih sebagai kajian kes bagi penyelidikan ini:


Jadual 5.1: Hotel Puri di Banda Hilir, Melaka (kajian kes 1).


Kajian Kes 1:
Nama Hotel:
Hotel Puri, Melaka.
Lokasi Hotel:
Zon Utama, Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.
Alamat Hotel:
No. 112 dan 114, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka.
Jenis Hotel:
Hotel Butik.
Fizikal Hotel:
Bangunan tiga tingkat dengan gabungan dua buah rumah kedai.
Jumlah Bilik:
82 buah.
Pemilik Hotel:
Drs T.S tan.

Jadual 5.2: Heeren House di Banda Hilir, Melaka (kajian kes 2).


Kajian Kes 2:
Nama Hotel:
Heeren House, Melaka.
Lokasi Hotel:
Zon Utama, Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.
Alamat Hotel:
No.1, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka.
Jenis Hotel:
Rumah Tamu.
Fizikal Hotel:
Rumah kedai dua tingkat.
Jumlah Bilik:
6 buah.
Pemilik Hotel:
Mr.Bernard.

Jadual 5.3: Rumah Agam Cheong Fatt Tze di George Town, Pulau Pinang (kajian kes 3).


Kajian Kes 3:
Nama Hotel:
Rumah Agam Cheong Fatt Tze, George Town.
Lokasi Hotel:
Zon Penampan, Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Alamat Hotel:
No. 14, Lebuh Leith, 10050 George Town, Pulau Pinang.
Jenis Hotel:
Hotel Butik.
Fizikal Hotel:
Bangunan Rumah Agam.
Jumlah Bilik:
16 buah.
Pemilik Hotel:
Mr.Laurence Loh.

Jadual 5.4: Hutton Lodge di George Town, Pulau Pinang (kajian kes 4).


Kajian Kes 4:
Nama Hotel:
Hutton Lodge, George Town.
Lokasi Hotel:
Zon Penampan, Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Alamat Hotel:
No. 17, Jalan Hutton, 10050 George Town, Pulau Pinang.
Jenis Hotel:
Hotel Bajet.
Fizikal Hotel:
Bangunan Rumah Agam.
Jumlah Bilik:
26 buah.
Pemilik Hotel:
Choong Lye Hock Estate

Setiap penerangan berkaitan hotel bagi keempat-empat kajian kes ini dirungkaikan dengan lebih terperinci pada bab-bab yang seterusnya.

5.2       Kaedah Penyelidikan bagi Kajian Kes
Kajian kes telah dimulakan dengan kajian teori atau dokumentari yang mana penyelidik mendapatkan maklumat berkaitan dengan hotel yang dikaji daripada bahan bacaan sama ada daripada jurnal, buku, majalah, surat khabar, rekod hotel ataupun daripada laman sesawang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah, kerana tidak semua hotel pernah didokumentasikan secara penulisan. Begitu juga dengan rekod yang dikompilasi sendiri oleh pihak hotel. Bagi memastikan kajian kes dapat dilakukan dengan terperinci, penyelidik telah menginap di keempat-empat buah sampel hotel. Ini secara tidak langsung memberi penyelidik pengalaman menginap di hotel tersebut dan dapat melakukan pemerhatian secara terperinci. Pemerhatian merupakan kaedah pungutan data yang memerlukan tahap sensitiviti yang tinggi. Bagi memastikan pemerhatian dilakukan secara efektif, kaedah ini telah dilakukan secara sistematik dan berperingkat mengikut elemen. Segala maklumat direkodkan dalam bentuk penulisan bagi memastikan tiada maklumat yang tertinggal.

Selain kaedah pemerhatian yang dilakukan, kajian kes ini juga dilakukan secara kaedah temu ramah. Temu ramah telah dilakukan ke atas responden secara terpilih dan rawak. Responden yang dipilih ialah pemilik hotel, manakala responden yang dipilih secara rawak adalah pekerja dan tetamu hotel. Respon kepada setiap temu ramah direkodkan menggunakan perakam suara dan direkod secara bertulis. Hasil gabungan ketiga-tiga kaedah ini telah membantu penyelidik membuat justifikasi sepanjang kajian kes dijalankan.


Rajah 5.1: Kaedah penyelidikan secara kajian kes.

5.3       Kriteria Pemilihan
Daripada pemerhatian sepanjang kajian rintis dan soal selidik dijalankan, didapati bahawa terdapat 86 buah hotel di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka Dan George Town dan 35 buah daripadanya adalah hasil daripada penyesuaigunaan bangunan bersejarah. Daripada 35 buah hotel hasil penyesuaigunaan yang tersenarai, empat buah hotel telah dipilih sebagai kajian kes bagi mewakili 31 buah hotel yang lain. Empat hotel tersebut telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang dirasakan sesuai menjadi sampel bagi hotel-hotel lain. Antara kriteria tersebut adalah:
1.      Lokasi bangunan.
2.      Reka bentuk seni bina.
3.      Kemudahan mendapatkan maklumat.
4.      Sejarah bangunan.

5.3.1    Lokasi Bangunan
Keempat-empat buah hotel ini telah dipilih sebagai sampel kajian kerana hotel-hotel ini berada di dalam zon utama dan zon pemampan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mana merupakan kawasan fokus bagi penyelidikan ini. Selain daripada itu, hotel-hotel ini juga berada pada lokasi yang strategik iaitu di tepi jalan utama yang mana mudah dilihat oleh sesiapa yang melalui jalan tersebut. Di samping itu, kedudukan keempat buah hotel ini yang berada dalam peta pelancongan negeri Melaka dan Pulau Pinang menjadikan empat hotel ini antara hotel yang menjadi tumpuan pelancong dan pelawat ke Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka dan George Town.

5.3.2    Reka Bentuk Seni bina
Setiap bangunan mempunyai reka bentuk seni bina tersendiri. Tidak kira sama ada bangunan tersebut mempunyai reka bentuk seni bina Melayu, kolonial, Moorish, China, dan sebagainya. Begitu juga dengan hotel-hotel yang menjadi subjek kajian kes ini yang mana walaupun ia dibina dalam satu kawasan dan lingkungan masa yang sama, namun setiap satunya mempunyai identiti reka bentuknya sendiri. Bagi kajian kes ini, Hotel Puri, Heeren House dan Hutton Lodge mempunyai reka bentuk seni bina kolonial manakala Rumah Agam Cheong Fatt Tze pula mempunyai reka bentuk seni bina yang diadaptasi daripada masyarakat Cina yang datang merantau ke Tanah Melayu. Setiap reka bentuk seni bina yang ada pada keempat buah hotel tersebut adalah berlainan diantara satu sama lain.

5.3.3    Kemudahan Mendapatkan Maklumat
Di dalam menjalankan kajian kes, kemudahan mendapatkan maklumat merupakan antara faktor yang dititik beratkan oleh penyelidik. Ini adalah bagi memastikan sesebuah kajian kes itu dapat dijalankan dengan efektif. Maklumat boleh diperolehi daripada berbagai sumber antaranya ialah daripada soal selidik atau temu ramah dengan responden. Selain daripada itu, maklumat juga boleh diperolehi daripada bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, laporan yang dikumpul oleh hotel bagi tujuan rekod dan laman sesawang.

5.3.4    Sejarah Bangunan
Di sebalik tersergamnya sesebuah bangunan, selalunya akan tersirat sejarah tertentu lebih-lebih lagi sekiranya bangunan tersebut disenaraikan sebagai bangunan warisan negara. Keempat buah hotel ini telah dipilih berdasarkan sejarah yang terdapat pada hotel-hotel tersebut. Hotel-hotel ini menjadi bukti bahawa negara ini pernah di datangi oleh kuasa luar yang membawa bersama adat resam dari negara asal mereka. Ia dapat dilihat daripada ciri-ciri seni bina dan pelan lantai keempat buah hotel tersebut. Setiap hotel mempunyai sejarah yang berbeza dan inilah yang menambah keunikan setiap buah hotel tersebut.




5.4       Kajian Kes 1: Hotel Puri
Hotel Puri merupakan hotel butik yang terkenal di Negeri Melaka. Warisan Cina Peranakan merupakan identiti hotel dan ini menjadikan Hotel Puri dikenali oleh kebanyakan pelancong yang datang ke Melaka terutamanya yang inginkan kelainan yang ditawarkan oleh hotel ini. Walaupun harga yang dikenakan oleh Hotel Puri sedikit tinggi berbanding hotel lain di sekitarnya, namun hotel ini masih menjadi pilihan mereka yang cintakan warisan dan seni bina lama. Selain daripada itu, hotel ini kerap dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi tempatan yang berminat menjadikan Hotel Puri sebagai bahan kajian.


Gambar 5.1: Pandangan hadapan Hotel Puri yang terletak No. 112 dan 114, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir, Melaka.

Hotel Puri terletak di tengah-tengah ‘China Town’ Melaka. Ia terletak di sebatang jalan tertua di Melaka yang satu ketika dulu dipanggil sebagai Jalan Heeren oleh orang Belanda dan Jalan Belanda oleh orang-orang Cina di Melaka. Jalan ini juga dikenali sebagai Lorong Jutawan kerana kebanyakan jutawan Cina pernah tinggal di jalan ini. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, jalan ini telah ditukar namanya kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock bagi mengingati pengasas pertubuhan ‘Malaysian Chinese Association’ (MCA) dan jasanya di dalam berjuang menuntut kemerdekaan. Tun Tan Cheng Lock pernah tinggal di jalan ini pada satu ketika dulu dan sehingga kini, warisnya masih lagi tinggal di sini. Hotel Puri terletak di tengah-tengah deretan rumah kedai yang kebanyakannya merupakan bangunan yang mempunyai pengaruh reka bentuk seni bina Kolonial, Cina dan citarasa tempatan. Penduduk di sini kebanyakannya menjalankan berbagai aktiviti perniagaan sebagai sumber pendapatan mereka (Jabatan Warisan Negara, 2007b).

5.5       Latar Belakang Hotel Puri
Merujuk kepada laman sesawang Hotel Puri (2009), Hotel Puri pada asalnya adalah sebuah rumah pusaka yang dimiliki oleh pewaris Tan Kim Seng (1805-1864). Tan Kim Seng merupakan generasi ketiga, Cina Selat yang lahir di Melaka dan datuknya telah berhijrah ke Melaka pada awal kurun ke 18 dari daerah Eng Choon jajahan Fujian, China. Beliau merupakan seorang peniaga yang berjaya dan memiliki ladang getah yang subur di Melaka. Apabila Singapura dibuka oleh Stamford Raffles pada 1819, Tan Kim Seng telah berpindah dan menjalankan perniagaannya di Singapura. Perniagaan beliau sangat maju di Singapura, namun beliau tetap mengingati tempat kelahirannya, Melaka. Ekoran daripada itu, beliau telah membina Jambatan Kim Seng dan Menara Jam Kim Seng yang sehingga kini masih utuh di Melaka.

Bangunan Hotel Puri ini pada asalnya terletak di atas sebidang tanah yang dimiliki oleh kerajaan Belanda. Maklumat ini tercatat pada jubin yang terdapat di Hotel Puri bertarikh 28 April 1819. Hotel Puri telah dibina pada 1822 dan telah didiami oleh Tan Kim Seng sejak hotel ini mula dibina lagi. Tan Kim Seng telah membeli Hotel Puri dari pemilik asal pada 1840. Pada 1876, Cucu beliau iaitu Tan Jiak Choo telah membina semula rumah tersebut dengan kos sebanyak 14,000 Dolar nilai pada masa itu. Rumah ini kemudiannya telah dibeli oleh seorang usahawan dari Singapura yang berminat untuk menjalankan perniagaan hotel. Beliau telah mengeluarkan modal untuk melakukan kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan ke atas rumah ini. Kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan rumah ini sebagai hotel telah mula dilakukan pada 1995 dengan modal sebanyak kira-kira RM5 juta.

Kebanyakan elemen asal bangunan dikekalkan bagi memastikan keaslian bangunan tersebut terjaga. Namun begitu kerja pembaikan dan penggantian dilakukan juga bagi elemen yang mengalami kerosakan dan tidak boleh dibaiki. Jika dilihat dari luar bangunan Hotel Puri, pasti ramai yang tidak menduga bahawa disebalik fasad bangunan lama ini terdapat sebuah hotel yang luas dibelakangnya. Jika dilihat secara luaran, hotel ini kelihatan kecil, tetapi sebenarnya hotel ini mempunyai keluasan tiga blok rumah kedai dan mempunyai lapan puluh dua buah bilik kesemuanya.


Gambar 5.2: Blok bangunan baru yang menempatkan bilik hotel tambahan dibina di bahagian belakang Hotel Puri sedia ada.

5.6       Reka Bentuk Luaran Hotel Puri
Hotel Puri mempunyai reka bentuk ‘Straits Eclectic Style’ yang sangat terkenal pada penghujung abad ke 19 dan permulaan abad ke 20. Reka bentuk ini merupakan campuran elemen seni bina timur dan barat (A Ghafar Ahmad, 1994b). Kebanyakan rumah yang dibina dengan reka bentuk ‘Straits Electic Style’ ini banyak menggunakan perincian kecil sebagai hiasan di dinding bahagian fasad hadapan bangunan. Perincian kecil dengan elemen alam semula jadi seperti bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan memberi keunikan dan kelainan kepada Hotel Puri berbanding bangunan lain yang ada di sekitarnya. Selain itu, Hotel Puri juga dipengaruhi oleh elemen reka bentuk barat seperti pemasangan tingkap bersaiz besar di bahagian fasad hadapan bangunan. Tingkap yang disusun dengan banyak di bahagian dinding luar secara tidak langsung telah mengurangkan keluasan dinding hadapan. Namun, ini memberi kemasukan dan peredaran udara yang maksima ke dalam bangunan. Antara keistimewaan rumah-rumah yang dibina pada 1800-an ialah reka bentuknya sering dibina mengikut kepercayaan ‘feng shui’ masyarakat Cina. Walaupun mempunyai reka bentuk ‘Straits Eclectic Style’, Hotel Puri juga tidak terkecuali di dalam menerapkan unsur-unsur kepercayaan ‘feng shui’ di dalam reka bentuk seni binanya.



Gambar 5.3: Fasad hadapan Hotel Puri yang masih mengekalkan ciri-ciri reka bentuk seni bina ‘Straits Electic Style’.

5.7       Reka Bentuk Dalaman Hotel Puri
Keunikan reka bentuk dalaman Hotel Puri dapat dilihat daripada tiga telaga udara atau ‘airwell’ yang terdapat di dalam hotel ini. Mengikut ‘feng shui’ masyarakat Cina, telaga udara di dalam rumah akan membawa kebaikan kepada penghuni bangunan tersebut. Namun tujuan sebenar telaga udara ini dibina ialah bagi membenarkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam bangunan. Telaga udara ini membentuk keistimewaan tersendiri kerana ia sukar didapati pada bangunan-bangunan yang dibina hari ini. Telaga udara ini secara tidak langsung telah menjadi satu tarikan tersendiri yang mana ia membentuk satu ruang terbuka di dalam bangunan ini. Telaga udara ini sering mejadi perhatian tetamu hotel kerana di bahagian atas ruang terbuka ini, terdapat tingkap-tingkap dan dinding yang berukir indah. Telaga udara merupakan antara tarikan reka bentuk seni bina yang terdapat pada Hotel Puri.


Gambar 5.4: Salah satu daripada tiga telaga udara yang terdapat di Hotel Puri.

Selain daripada itu, Hotel Puri masih lagi mengekalkan penggunaan perabut lama dan antik yang ditempatkan hampir di segenap penjuru ruang dalaman hotel ini. Antara perabut yang dimaksudkan ialah seperti kerusi, meja, almari, perhiasan seramik dan lain-lain lagi. Malah sebuah kereta kuda lama turut dipamerkan sebagai hiasan dalaman hotel berkenaan.


Gambar 5.5: Antara perabut antik yang masih digunakan di Hotel Puri.


Gambar 5.6: Antara perabut antik dengan pasu seramik dari China yang masih disimpan dengan baik dan dipamer di Hotel Puri.


Gambar 5.7: Kereta kuda antik turut dipamer di satu sudut Hotel Puri.

5.8       Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Hotel Puri
Bagi memastikan bangunan asal dapat disuaiguna sebagai sebuah hotel, kerja pengubahsuaian dan penambahan elemen terpaksa dilakukan. Kerja pengubahsuaian yang paling utama dilakukan oleh Hotel Puri adalah mendirikan lebih banyak dinding pembahagi bagi menambah bilangan bilik sedia ada. Dinding baru yang dibina telah direka bentuk serasi dengan reka bentuk lama, bagi menonjolkan sebanyak dan sebaik mungkin reka bentuk seni bina asal. Berikut adalah kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan di Hotel Puri:

Jadual 5.5: Senarai kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang telah dilakukan di Hotel Puri.


Elemen


Huraian

1.      Fasad hadapan:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada bahagian fasad hadapan Hotel Puri.
·     Fasad hadapan hotel ini telah dikekalkan sebagaimana asal. Manakala fasad belakang telah disambung dengan bangunan tambahan di bahagian belakang bangunan.
2.      Dinding luar:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada dinding luar Hotel Puri.
·     Hotel Puri masih mengekalkan dinding luar yang asal. Tidak ada penambahan dinding luar dilakukan pada bangunan asal Hotel Puri. Bagi bahagian dinding yang mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh dibaiki, dinding baru telah dibina mengikut spesifikasi dinding asal. Manakala pada bahagian dinding yang rosak, pembaikan dilakukan dengan teliti terutamanya pada bahagian lepaan dinding yang tertanggal. Hotel ini berkongsi dinding luar bahagian tepi, dengan dua buah bangunan bersebelahannya. Namun begitu dinding luar di bahagian belakang telah dillakukan sedikit perubahan bagi memastikan bangunan lama dan bangunan tambahan dapat bersambung sebagai sebuah hotel.
3.      Dinding dalam:









·     Dinding dalam atau dinding pembahagi merupakan elemen terbesar yang diubah suai di Hotel Puri. Apabila sebuah rumah kedai disuaiguna sebagai sebuah hotel, dinding pembahagi secara serta merta terpaksa diubah mengikut fungsi baru bangunan tersebut. Dinding pembahagi baru dibina mengikut pelan lantai baru bagi membentuk bilik-bilik tetamu. Selain daripada itu, dinding pembahagi juga dibina di dalam setiap bilik bagi membentuk tandas dan bilik air di dalam bilik bagi kemudahan tetamu hotel.
·     Banyak pengubahsuaian terpaksa dilakukan bagi memenuhi fungsi baru Hotel Puri sebagai sebuah hotel. Namun begitu, bagi dinding yang tidak memerlukan pengubahsuaian, kerja pemuliharaan tetap dilakukan terutamanya membaiki bahagian dinding yang rosak.
4.      Lantai bawah:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai bawah Hotel Puri.
·     Lantai simen sedia ada dikekalkan. Pembaikan dilakukan pada lantai yang telah rosak yang mana kerja-kerja menampal bahagian yang berlubang dan retak dilakukan.
5.      Lantai atas:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai atas Hotel Puri.
·     Banyak kerosakan telah berlaku pada lantai atas memandangkan kayu digunakan bagi elemen tersebut. Kerja-kerja pemuliharaan telah dilakukan dengan melakukan pembaikan pada lantai yang telah rosak dan menggantikan lantai yang telah tercabut dengan kayu yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan yang asal.
6.      Struktur tiang:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tiang Hotel Puri.
·     Hotel Puri masih menggunakan struktur tiang bangunan asal memandangkan elemen tersebut masih dalam keadaan baik. Struktur tiang yang mengalami kerosakan telah dibaik pulih dengan melakukan kerja tampalan pada bahagian yang pecah dan kerja mengecat dilakukan bagi mengembalikan warna tiang yang telah pudar.
7.      Struktur tangga:





·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tangga Hotel Puri.
·     Terdapat 2 buah tangga sedia ada di dalam Hotel Puri. Tangga-tangga ini telah dipulihara sepertimana reka bentuk asal terutamanya pada bahagian gelungsur tangan dan anak tangga. Manakala 2 buah tangga baru telah dibina pada bangunan tambahan bagi kegunaan tetamu hotel.
8.      Struktur bumbung:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur bumbung Hotel Puri.
·     Kerja pembaikan dan pemuliharaan struktur bumbung telah dijalankan terutamanya pada bahagian yang mengalami banyak kerosakan. Kayu yang telah rosak dan reput telah diganti dengan kayu baru menggunakan bahan binaan seperti mana kayu asal.
9.      Pintu:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada pintu yang terdapat di Hotel Puri.
·     Hotel Puri masih mengekalkan pintu utama di bahagian pintu masuk hotel. Begitu juga dengan kebanyakan pintu lain yang terdapat pada bangunan sedia ada. Kerosakan yang berlaku pada pintu dibaiki dan bagi pintu yang mengalami kerosakan teruk diganti dengan pintu baru namun menggunakan bahan binaan yang sama dan mempunyai reka bentuk sebagaimana pintu asal.
10.   Tingkap:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada tingkap yang terdapat di Hotel Puri.
·     Tingkap luar yang ada merupakan tingkap asli Hotel Puri. Pemuliharaan telah dilakukan sebaik mungkin, terutamanya pada bahagian fasad hadapan yang mana kerosakan yang berlaku pada tingkap-tingkap tersebut dibaiki sebaik mungkin mengikut prinsip pemuliharaan. Bagi bangunan tambahan pula, reka bentuk tingkap telah dibina sepertimana reka bentuk tingkap sedia ada di Hotel Puri.
11.   Kemasan bumbung:





·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan bumbung Hotel Puri.
·     Kemasan bumbung Hotel Puri dikekalkan seperti mana asal menggunakan Genting Cina. Genting ini mempunyai corak yang berlainan dengan genting yang ada hari ini. Genting yang telah pecah dan rosak, telah diganti dengan Genting Cina yang dibeli dari pemilik bangunan persekitaran yang tidak lagi menggunakan Genting Cina pada bangunan milik mereka.
12.   Kemasan siling:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan siling sedia ada di Hotel Puri.
·     Kemasan siling di tingkat atas masih mengekalkan kemasan siling lama. Kerja-kerja pembaikan dilakukan pada bahagian yang rosak dan mengelupas. Kemasan siling juga telah dicat baru bagi memastikan siling nampak elok dan lebih menarik.
·     Namun begitu terdapat pembinaan baru kemasan siling dari jenis plaster siling telah dipasang di lobi tingkat bawah hotel bagi memberi kemasan yang lebih menarik pada siling hotel.
13.   Kemasan dinding:


·     Hotel Puri mengekalkan kemasan dinding sedia ada terutamanya di bahagian lobi hotel.
·     Kebanyakan kemasan dinding sedia ada di Hotel Puri telah rosak dan tercabut. Kerja pembaikan telah dilakukan pada kemasan dinding Hotel Puri dengan menggantikan kemasan tersebut dengan kemasan baru yang seumpamanya.
14.   Kemasan lantai:


·     Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan lantai Hotel Puri.
·     Sebagaimana kemasan dinding, kemasan lantai Hotel Puri juga hampir keseluruhannya telah rosak dan tercabut. Kemasan lantai tersebut telah diganti dengan kemasan yang hampir serupa dengan jubin asal yang diimport khas dari England.
15.   Kemudahan bangunan:





·     Bagi memastikan Hotel Puri memberikan keselesaan dan keselamatan yang maksima kepada tetamunya, kemudahan bangunan seperti penyaman udara dan sistem pencegah kebakaran telah dipasang di seluruh bangunan hotel. Walaupun kemudahan bangunan ini telah mencacatkan keaslian Hotel Puri, namun kemudahan bangunan merupakan elemen penting yang perlu ada di dalam sesebuah hotel.
·     Bangunan asal Hotel Puri tidak mempunyai kemudahan bangunan yang perlu dipulihara. Keseluruhan kemudahan yang ada hari ini merupakan kemudahan bangunan yang baru disediakan bagi tujuan memenuhi fungsi bangunan sedia ada sebagai sebuah hotel.
16.   Hiasan seni bina:


·     Tiada penambahan hiasan seni bina yang dilakukan memandangkan hiasan seni bina sedia ada cukup menarik dan mempunyai nilai warisan tersendiri.
·     Terdapat banyak perhiasan seni bina yang ditampal secara kekal di dinding luar dan dalam Hotel Puri. Hiasan-hiasan ini mempunyai latar belakang semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang yang sukar di temui di bangunan lain.
Selain dari kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan yang dilakukan, Hotel Puri telah melakukan penambahan bangunan di bahagian belakang bangunan sedia ada bagi memenuhi permintaan pelancong terhadap bilik tamu di hotel ini. Kerja pemuliharaan dan pengubahsuaian yang dilakukan bagi menyesuaiguna bangunan bersejarah menjadi Hotel Puri hanya melibatkan bangunan sedia ada. Usaha pemilik hotel dalam menyesuaiguna dan memulihara rumah kedai di Jalan Tun Tan Cheng Lock ini sebagai sebuah hotel butik dilakukan dengan teliti memandangkan usia bangunan tersebut telah melebihi 150 tahun.

Di dalam melakukan kerja penyesuaigunaan bangunan, prinsip-prinsip pemuliharaan telah diikuti sebaik mungkin oleh pemilik bangunan bagi tujuan untuk mengekalkan keaslian reka bentuk seni bina dan bahan binaannya sebaik mungkin. Bangunan asal Hotel Puri tidaklah seperti mana yang kita lihat hari ini. Hotel Puri pada asalnya merupakan sebuah rumah kedai yang dibina dari tepi jalan utama dan memanjang sehingga sejauh 100 meter panjang ke dapur. Hari ini, bangunan tambahan telah dibina bersambung dengan bahagian belakang rumah kedai sepanjang 100 meter lagi bagi memenuhi keperluan hotel. Hotel Puri kini mempunyai keluasan berganda daripada bangunan asalnya.

Kerja-kerja penyesuaigunaan dan pemuliharaan pada 1985 telah dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan segala seni bina asal dapat dipulihara sebanyak dan sebaik mungkin. Banyak elemen asal dikekalkan bagi memastikan prinsip pemuliharaan dipatuhi. Sepanjang kerja pemuliharaan dijalankan, terdapat beberapa bahan binaan yang terpaksa diganti dengan yang baru. Penggantian perlu dilakukan dengan berhati-hati dengan memastikan bahan binaan yang digunakan mempunyai kriteria seperti mana bahan binaan asal. Penggantian dilakukan bagi memastikan bangunan dapat berfungsi dengan baik sebagaimana bangunan itu dibina satu ketika dulu.

5.9       Tarikan yang Terdapat pada Hotel Puri
Hotel Puri berlainan dengan hotel-hotel konvensional yang banyak terdapat di Melaka. Ia merupakan sebuah botel butik yang menawarkan kelainan dan pengalaman baru kepada tetamunya. Hotel ini mempunyai tarikan tersendiri yang menjadi sebab utama kenapa para pelancong suka mengunjungi hotel ini. Antara tarikan tersebut ialah:
1.     Lokasi Hotel Puri.
2.     Reka bentuk seni bina Hotel Puri.
3.     Hiasan dalaman Hotel Puri.
4.     Kemudahan yang disediakan di Hotel Puri.
5.     Lanskap Hotel Puri.
6.     Susun atur pelan lantai Hotel Puri.
7.     Kebersihan Hotel Puri.
8.     Harga bilik yang ditawarkan di Hotel Puri.

5.9.1    Lokasi Hotel Puri
Hotel Puri terletak di zon utama Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mana secara tidak langsung menjadikan bangunan hotel ini menjadi tumpuan pelancong. Kedudukan hotel Puri juga berdekatan dengan kebanyakan pusat tumpuan pelancong lain seperti Bangunan Stadhuys, Kota A’Famosa, Muzium Kemerdekaan dan Menara Berpusing Taming Sari. Selain daripada itu, Hotel Puri juga terletak berhampiran ‘Jonker Walk’ yang terkenal sebagai pusat jualan barangan warisan dan antik. Malah ‘Jonker Walk’ juga dikenali sebagai pasar malam yang menjual berbagai pilihan barangan yang menarik minat pelancong dari dalam dan luar Negara.


Gambar 5.8: Suasana Hotel Puri di waktu malam dengan hiasan lampu yang berupaya menarik perhatian para pengunjung.

5.9.2    Reka Bentuk Seni Bina Hotel Puri
Hotel ini masih mengekalkan reka bentuk seni bina lama dan ia masih kekal seperti mana 150 tahun dahulu. Namun inilah yang membentuk identiti hotel ini. Fasad hadapan luar bangunan mencerminkan ciri-ciri kolonial bercampur ciri peranakan. Halaman terbuka atau ‘courtyard’ yang terdapat di tengah-tengah hotel ini adalah antara keunikan hotel yang sukar ditemui pada hotel lain. Halaman terbuka ini memberi cahaya semulajadi dan merupakan laluan udara kepada hotel ini. Halaman terbuka ini juga dihiasi dengan tingkap berbingkai kayu yang dipenuhi corak berukir di bawahnya. Selain daripada ruang terbuka ini, Hotel Puri mempunyai beberapa tangga pusing yang diperbuat daripada kayu berukir di beberapa sudut hotel dan ini menambah keindahan seni bina hotel ini. Bagi memastikan warisan nenek moyang terus terjaga dan boleh dikongsi bersama, pemilik hotel telah menggunakan perabut lama yang bertemakan Cina Peranakan sebagai hiasan dan kegunaan di dalam hotel.


Gambar 5.9: Salah satu daripada ‘courtyard’ yang terdapat di Hotel Puri.

5.9.3    Hiasan Dalaman Hotel Puri
Konsep Cina Peranakan yang ditonjolkankan di dalam hiasan dalaman hotel merupakan suatu kelainan yang sukar didapati di hotel konvensional lain. Lobi Hotel Puri telah diberi sentuhan tersendiri dengan penggunaan perabot rotan lama dan perabot kayu jati antik. Kebanyakan lukisan-lukisan yang digantung di dinding dan perhiasan kecil juga bercirikan Cina Peranakan. Hotel ini merupakan pilihan terbaik bagi tetamu yang sukakan kelainan dan ingin merasai suasana santai berkonsepkan Cina Peranakan yang belum pernah di rasai sebelum ini.


Gambar 5.10: Hiasan dalaman yang masih mengekalkan konsep Cina Peranankan di Hotel Puri.

5.9.4    Kemudahan yang disediakan di Hotel Puri
Hotel Puri menawarkan kemudahan yang menjamin keselesaan tetamu hotel. Kemudahan yang disediakan adalah moden dan selesa walaupun hotel ini merupakan sebuah hotel lama. Hotel ini menyediakan bukan setakat kemudahan asas seperti mana yang terdapat di hotel 3 bintang, malah ia menyediakan perkhidmatan sepertimana hotel bertaraf 4 bintang yang sangat diimpikan oleh kebanyakan tetamu hotel. Kadar harga bilik yang dikenakan kepada tetamu hotel adalah setimpal dengan kemudahan yang ditawarkan. Terdapat sebanyak 82 buah bilik disediakan di Hotel Puri. 73 buah daripadanya adalah bilik standard dan sembilan buah lagi adalah bilik suite. Walaupun reka bentuk seni bina hotel ini bercirikan Cina Peranakan, namun bilik-bilik yang disediakan adalah berkonsep moden. Kemudahan yang disediakan memenuhi ciri-ciri keselesaan setiap pengunjung hotel. Setiap bilik disediakan dengan katil yang besar bagi memastikan tetamu mendapat rehat yang cukup sepanjang menginap di hotel ini.

Hotel Puri memastikan bahawa setiap kemudahan yang disediakan di dalam bilik adalah memenuhi permintaan setiap pengunjung seperti bilik mandi yang luas dengan alatan mandian yang lengkap, kemudahan membuat minuman panas di dalam bilik, televisyen dengan rangkaian terkini, penyaman udara dan peti simpanan. Kafe juga ada disediakan di dalam hotel bagi menyediakan makanan kepada tetamu yang malas untuk keluar mencari makanan tempatan di luar. Kemudahan tambahan seperti spa turut disediakan bagi kegunaan tetamu yang ingin memanjakan diri mereka setelah penat berjalan di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.

Kemudahan tambahan seperti kafe juga turut disediakan bagi kegunaan tetamu. Perkhidmatan kafe yang dikenali sebagai Galeri Cafe ini dibuka sehingga tengah malam. Ia memudahkan tetamu hotel untuk menikmati makanan pada bila-bila masa yang diingini. Sekaya Garden pula disediakan bagi tujuan menghidangkan sarapan pagi kepada tetamu. Ia juga sering kali digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi majlis atau perayaan yang disambut oleh tetamu hotel.

Gambar 5.11: Perkhidmatan spa berbayar yang dikenali sebagai Biossential Puri Spa di sediakan di tingkat bawah dan hanya dibuka kepada tetamu Hotel Puri.


Gambar 5.12: Galeri Café yang terdapat di Hotel Puri.

Hotel Puri tidak menyediakan perkhidmatan lif memandangkan hotel mempunyai ketinggian kurang daripada 5 tingkat. Mengikut Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1982, pemasangan lif diwajibkan bagi bangunan lima tingkat dan ke atas. Ketiadaan lif menyukarkan tetamu hotel membawa beg dan barangan mereka naik ke bilik di tingkat atas, terutama bagi tetamu yang tinggal di tingkat satu dan dua hotel.


Gambar 5.13: Sekaya Garden yang terdapat di Hotel Puri.
Selain daripada itu, Hotel Puri ada menyediakan sebuah bilik pameran ‘History Room’ di tingkat bawah hotel berdekatan dengan penyambut tetamu. Bilik ini mempamerkan berbagai maklumat berkaitan sejarah yang berlaku di dalam negara terutamanya di Melaka. Pihak hotel juga menyediakan tempat meletak untuk tetamu hotel yang menginap di Hotel Puri di sebuah kawasan lapang yang merupakan tapak bekas salah satu bangunan lama, sederet dengan Hotel Puri.

Gambar 5.14: Kemudahan ruang tempat meletak kenderaan yang luas di kawasan lapang berhampiran khas untuk tetamu Hotel Puri.


Gambar 5.15: Ruang dalam bilik yang menjaminkan keselesaan kepada pengunjung Hotel Puri.
5.9.5    Lanskap Hotel Puri
Hotel Puri sangat menitik beratkan persembahan landskap persekitaran. Walaupun hotel ini terdiri daripada deretan rumah kedai yang tidak mempunyai halaman yang luas, tetapi pemilik hotel berusaha mencantikkan hotel dengan landskap tropika yang menarik. Landskap tropika yang menghijau di persekitaran hotel menjadikan pemandangan sekitar hotel begitu harmoni sekali. Ia membantu melembutkan pemandangan persekitaran hotel yang tertutup di kelilingi dinding. Di ketiga ruang telaga udara juga ditanam dengan pokok-pokok hijau ditambah dengan elemen air sebagai sumber landskap utama hotel ini. Selain daripada itu perabot landskap seperti kerusi, meja, bangku dan lampu taman disediakan di sekitar hotel untuk tetamu duduk menikmati keindahan landskap di persekitaran hotel. Pertaruhan Hotel Puri menggabungkan landskap tropika di dalam hotel bercirikan Cina Peranakan merupakan satu pertaruhan yang bijak dan menjadikan hotel ini sebutan ramai kerana keindahan landskapnya.


Gambar 5.16: Perabot taman dan tumbuhan tropika menghiasi laman terbuka di Hotel Puri.

5.9.6    Susun Atur Pelan Lantai Hotel Puri
Hotel Puri terdiri daripada gabungan dua buah rumah kedai. Ini menjadikan Hotel Puri mempunyai keluasan yang cukup untuk disuaiguna sebagi sebuah hotel. Perancangan menyusun pelan lantai amat penting kerana ia melibatkan sebuah bangunan yang satu ketika dahulu mempunyai fungsi yang berlainan dengan fungsi baru yang hendak digunakan. Setiap struktur atau elemen yang hendak diubah perlu diteliti dengan terperinci kerana melibatkan fungsi bangunan baru. Hotel Puri telah disusun dan dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kesesuaian fungsi. Bahagian hadapan hotel telah dibahagikan kepada dua bahagian yang mana bahagian hadapan sebelah kiri dijadikan sebagai lobi bertujuan menyambut kedatangan tetamu. Di sini juga terdapat meja pendaftaran masuk dan keluar tetamu. Manakala di bahagian hadapan sebelah kanan bangunan pula adalah kafe hotel bagi tetamu hotel menjamu selera.


Gambar 5.17: Suasana di ruang lobby untuk para pengunjung mendaftar masuk di Hotel Puri.

Hotel Puri merupakan bangunan yang terletak di tengah-tengah deretan rumah kedai. Ia mempunyai keluasan yang minima jika dibandingkan dengan hotel konvensional biasa. Namun susun atur pelan lantai yang dilakukan oleh pengurusan hotel ini dapat menghasilkan keluasan bilik yang optima. Sebanyak 82 buah bilik ini mudah dicari dengan adanya papan tanda yang disediakan dan diletakkan di sekitar hotel.


Gambar 5.18: Papan tanda yang menunjukkan arah dan lokasi bilik yang terdapat di Hotel Puri.


5.9.7    Kebersihan Hotel Puri
Hotel Puri amat menjaga kebersihan persekitaran hotelnya. Kerja-kerja pembersihan ini dilakukan oleh pekerja hotel mengikut jadual pembersihan sebagaimana yang ditetapkan. Tidak kira sama ada di bahagian dalam bilik penginapan mahu pun di bahagian luarnya. Menurut kebanyakan tetamu yang ditemu ramah, kebersihan yang sentiasa dijaga merupakan salah satu faktor mengapa Hotel Puri sering menjadi pilihan tetamu yang datang ke bandar Melaka.


Gambar 5.19: Pakerja hotel sedang mengemas dan membersihkan salah satu bilik yang terdapat di Hotel Puri.

5.9.8    Harga Bilik yang ditawarkan di Hotel Puri
Hotel Puri dikategorikan sebagai hotel butik kerana keunikan yang terdapat padanya. Bilik yang ditawarkan juga memenuhi piawaian hotel butik di mana segala kemudahan asas dan tambahan ada disediakan di dalam setiap bilik. Kadar harga yang dikenakan adalah berpatutan dengan kemudahan yang ditawarkan bagi setiap bilik. Pengunjung berpeluang memilih bilik mengikut bajet masing-masing. Harga bilik yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Jadual 5.6: Jadual kadar harga bilik di Hotel Puri.


Jenis dan Kategori Bilik


Kadar Harga untuk Satu Malam

1.     Bilik ‘Standard’.
RM 120.00/bilik.
2.     Bilik ‘Superior Twin/Double’.
RM 160.00/bilik.
3.     Bilik ‘Superior Triple’.
RM 230.00/bilik.
4.     Bilik ‘Superior Quad’.
RM 280.00/bilik.
5.     Bilik ‘Deluxe Double’.
RM 220.00/bilik.
6.     Bilik ‘Junior Suite’.
RM 350.00/bilik.
7.     Bilik ‘Family Room’.
RM 310.00/bilik.
8.     Bilik ‘Puri Suite’.
RM 500.00/bilik.
9.     Katil tambahan.
RM 46.00/katil.


Gambar 5.20: Gambaran bilik ‘standard’ yang disediakan di Hotel Puri.
















5.10     Kajian Kes 2: Heeren House

Heeren House merupakan bangunan pertama yang akan ditemui apabila melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock, Bandar Hilir Melaka. Ia merupakan sebuah rumah kedai yang telah disuaiguna sebagai rumah tamu. Rumah tamu ini diberi nama Heeren House sempena mengambil nama lama bagi Jalan Tun Tan Cheng Lock. Nama jalan ini satu ketika dahulu adalah Jalan Heeren tetapi telah ditukar namanya kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock sempena mengambil nama tokoh terkemuka yang pernah tinggal di jalan berkenaan selepas merdeka. Walaupun nama jalan telah bertukar, namun rumah tamu ini kekal dengan nama Heeren House.

Gambar 5.21: Pandangan hadapan Heeren House yang terletak di No.1, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir, Melaka.

Heeren House bukan sahaja berada di sebatang jalan yang terkenal di Melaka, tetapi juga berada di tepi Sungai Melaka yang kini menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negeri. Keunikan rumah-rumah dan bangunan yang berada di sepanjang tepi sungai dapat dilihat dengan jelas daripada Heeren House. Malahan pemandangan bot yang lalu lalang memberi perkhidmatan kepada pelancong menyusuri sepanjang Sungai Melaka juga merupakan pemandangan biasa bagi tetamu di Heeren House.

Heeren House dikategorikan sebagai rumah tamu memandangkan kuantiti bilik yang ditawarkan adalah sedikit berbanding hotel biasa. Heeren House seperti mana yang boleh kita lihat dari bahagian luarnya, tidaklah begitu luas. Ia hanya menempatkan beberapa buah bilik tamu sahaja. Namun begitu, pemilik rumah telah menggunakan sepenuhnya ruang yang ada bagi memenuhi keperluan menjadikan rumah bersejarah ini sebagai rumah tamu.

Heeren House: View of the river from our room

Gambar 5.22: Pemandangan Sungai Melaka yang dapat dilihat dari bilik penginapan di Heeren House.

5.11     Latar Belakang Heeren House
Tiada bukti bertulis yang menceritakan dengan jelas latar belakang Heeren House. Namun seperti mana rumah-rumah di deretan Jalan Tun Tan Cheng Lock, Heeren House dipercayai telah dibina sekitar 1800-an (Jabatan Warisan Negara, 2007c). Menurut pekerja disitu, dari cerita mulut ke mulut yang telah didengar, rumah tamu ini telah beberapa kali berubah fungsi sejak dari awal pembinaannya. Asalnya ia adalah sebuah gudang, kemudian bertukar menjadi kedai kopi Cina dan seterusnya sebagai sebuah rumah keluarga. Ia telah bertukar tangan sebanyak beberapa kali sehinggalah pada 2007 ia telah dibeli oleh pemilik Heeren House sekarang iaitu sepasang suami isteri yang dikenali sebagai Bernard dan Liz. Pasangan suami isteri yang mempunyai minat yang mendalam terhadap seni dan sejarah. Ini telah mendorong mereka untuk menyesuaiguna rumah keluarga tersebut menjadi sebuah rumah tamu yang boleh dikunjungi oleh orang ramai. Penyesuaigunaan Heeren House sebagai rumah tamu telah memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman menginap di rumah tamu yang bersejarah.



Gambar 5.23: Papan tanda Rumah Tamu atau Guest House yang dipasang di bahagian hadapan Heeren House.


Gambar 5.24: Papan tanda Rumah Tamu atau Guest House turut dipasang di bahagian sisi Heeren House iaitu di pintu masuk kafeteria.


5.12     Reka bentuk Luaran Heeren House
Rumah tamu yang diberi nama Heeren House ini mempunyai reka bentuk ‘Early Strait Eclectic’ yang banyak dibina di sekitar Banda Hilir Melaka pada ketika itu dengan pengaruh seni bina daripada China. Ini dapat dilihat dengan jelas daripada reka bentuk bumbungnya yang curam dan mempunyai puncak berbentuk separuh bulat. Seni bina bumbung ini banyak dipengaruhi oleh kepercayaan masyarakat Cina yang mempercayai bahawa reka bentuk berdasarkan ‘feng shui’ akan membawa kebaikan dan keuntungan kepada penghuni bangunan tersebut (A Ghafar Ahmad, 1994b). Heeren House mempunyai puncak bumbung berbentuk separuh bulat yang bermaksud ‘emas’ dengan harapan ia akan membawa kekayaan kepada penghuni rumah. Bahagian dinding luar rumah dipenuhi dengan tingkap yang banyak bagi tujuan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi tanpa memerlukan bantuan peralatan kemudahan bangunan. Bahagian hadapan Heeren House telah dihias santai dengan hiasan pokok dan papan tanda kayu. Kelainan yang telah ditonjolkan telah menarik minat pelancong untuk lebih mendekati Heeren House.


Gambar 5.25: Pandangan sisi kiri Heeren House yang menghadap tebing sungai Melaka.



Gambar 5.26 Suasana santai di hadapan Heeren House yang mengalu-alukan kedatangan tetamu dihiasi dengan hiasan pokok hijau dan papan tanda kayu.

5.13     Reka bentuk Dalaman Heeren House
Dari segi reka bentuk dalaman, tingkat bawah rumah tamu ini telah digunakan sebaiknya dengan menjadikan bahagian hadapannya sebagai galeri. Galeri seni yang diberi nama ‘Archipelago Island Craft’ ini menempatkan barangan kraf tangan nusantara yang dikumpul oleh pasangan pemiliknya untuk dijual kepada orang ramai yang juga berminat dengan hasil seni dari seluruh pelusuk benua.

Tidak seperti rumah tamu yang lain, Heeren House menyediakan sebuah meja kayu sebagai kaunter pendaftaran masuknya. Ia kelihatan seperti meja kerja tanpa menampakkan ciri-ciri seperti meja pendaftaran. Pendaftaran masuk dan keluar Heeren House terasa lebih rasa santai dengan konsep yang dipraktikkan oleh pemiliknya ini. Selain daripada itu, perabut-perabut yang digunakan di rumah tamu ini kesemuanya adalah berasaskan kayu yang secara tidak langsung menghasilkan suasana nusantara kepada rumah tamu ini. Setiap sudut rumah tamu ini dihiasi dengan berbagai hiasan kecil dan besar. Secara keseluruhannya gaya hiasan yang diterapkan adalah berkonsep kontemporari iaitu campuran English, Cina Peranakan dan sedikit sentuhan Nusantara.


Gambar 5.27: Ruang bahagian hadapan tingkat bawah Heeren House dijadikan pusat pameran dan jualan barangan kraf tangan berkonsepkan Nusantara di Archipelago Island Craft.


Begitu juga dengan perabut yang digunakan di kebanyakan bilik-biliknya yang menggunakan perabut lama dengan konsep hiasan yang sama. Kebanyakan perabut yang digunakan masih cantik dan utuh. Perabut-perabut lama ini menambah keunikan rumah tamu ini yang mana hiasannya bukanlah sesuatu yang biasa kita lihat di rumah tamu atau hotel konvensional lain.


Gambar 5.28: Ruang mendaftar masuk tetamu di Heeren House yang kelihatan ringkas dan santai.



Gambar 5.29: Kerusi dan almari buku kayu lama antara perabut yang diletakkan di ruang rehat tingkat atas Heeren House.
Selain daripada itu, antara keunikan yang terdapat di rumah tamu ini ialah kesemua bilik yang ada di Heeren House ini telah diberikan nama mengikut cerita lima pahlawan bersaudara iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu yang merupakan mitos terkenal di Melaka dan seluruh Malaysia. Ini secara tidak langsung telah menambahkan lagi keunikan rumah tamu ini di mana sejarah Melayu tetap diselitkan bagi mengingati kemasyhuran pahlawan-pahlawan tersebut.


Gambar 5.30: Salah satu daripada bilik-bilik yang dinamakan sempena nama pahlawan Melayu terbilang Negeri Melaka seperti bilik nombor 4 iaitu Hang Tuah.

5.14     Kerja-kerja Penyesuaigunaan dan Pemuliharaan yang telah dilakukan ke atas Heeren House
Kerja penyesuaigunaan yang telah dilakukan di Heeren House adalah bagi memenuhi fungsi baru rumah tersebut sebagai rumah tamu. Bagi memastikan penyesuaigunaan dapat dilakukan, kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan dan beberapa penambahan elemen telah dilakukan bagi memastikan rumah tersebut dapat berfungsi sebagai rumah tamu yang dapat memberi keselesaan kepada tetamu. Namun begitu, tidak banyak kerja pengubahsuaian dilakukan ke atas Heeren House memandangkan rumah tamu ini pada asalnya adalah sebuah rumah kediaman.
Bilik-bilik tetamu yang digunakan sekarang, sebelum ini merupakan bilik bagi ahli keluarga. Manakala ruang galeri jualan barangan kraf tangan sebelum ini adalah ruang tamu bagi rumah tamu ini. Berikut adalah kerja penyesuaigunaan yang telah dilakukan di Heeren House:

Jadual 5.7: Senarai kerja penyesuaigunaan dan Pemuliharaan yang telah dilakukan di Heeren House.


Elemen


Huraian

1.      Fasad hadapan:









·        Fasad hadapan, belakang dan tepi Heeren House masih dikekalkan sebagaimana asal.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada fasad hadapan dan belakang Heeren House.
2.      Dinding luar:


·        Dinding luar Heeren House merupakan dinding asal rumah tersebut. Tidak ada perubahan atau pengubahsuaian dilakukan pada dinding luar Heeren House memandangkan ia tidak memberi kesan kepada pertukaran fungsi bangunan.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada dinding luar Heeren House.
3.      Dinding dalam:



·        Kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan pada dinding dalam Heeren House bagi memastikan bilik tetamu dapat berfungsi sebagai bilik hotel yang selesa. Dinding dalam tambahan telah dibina di dalam setiap bilik tetamu bagi menyediakan tandas dan bilik air di dalam setiap bilik.
·        Kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan pada dinding dalam Heeren House bagi memastikan Heeren House dapat berfungsi sebagai sebuah hotel.
4.      Lantai bawah:



·        Lantai bawah sedia ada dikekalkan.
·        Bahagian yang rosak seperti pecah dan berlubang diperbaiki dan diperkemas semula. Sebahagian besar daripada kemasan jubin lantainya yang telah rosak telah digantikan dengan jubin lantai baru.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai bawah Heeren House.
5.      Lantai atas:



·        Lantai atas sedia ada dikekalkan.
·        Lantai kayu yang telah rosak dibaiki manakala lantai kayu yang telah reput diganti menggunakan kayu sepertimana kayu asal.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada lantai atas Heeren House.
6.      Struktur tiang:



·        Heeren House masih menggunakan struktur tiang asal memandangkan struktur tiang sedia ada masih kukuh. Tiada kerja penambahan struktur tiang dilakukan.
·        Tiang sedia ada dipulihara dengan melakukan kerja-kerja pembaikan pada bahagian yang pecah atau berlubang.
7.      Struktur tangga:



·        Struktur tangga di Heeren House masih mengekalkan struktur tangga kayu sedia ada. Kerja-kerja pembaikan telah dilakukan bagi anak tangga dan susur tangan kayu yang telah rosak. Kerja-kerja varnis semula anak tangga dan susur tangan dilakukan bagi mengembalikan keindahan kayu sedia ada.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur tangga Heeren House.
8.      Struktur bumbung:



·        Kerja-kerja pemuliharaan struktur bumbung kayu sedia ada dilakukan dengan melakukan kerja-kerja pembaikan dan penggantian kayu pada bahagian yang rosak dan telah reput.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada struktur bumbung Heeren House.
9.      Pintu:


·        Pintu utama Heeren House masih menggunakan pintu asal yang telah diguna pakai sejak berkurun lamanya.
·        Namun begitu, pintu baru telah dipasang pada bilik tetamu seperti pintu utama dan pintu tandas.
10.   Tingkap:


·        Kebanyakan tingkap asal bangunan tersebut telah mengalami kerosakan dan memerlukan penggantian tingkap baru. Kesemua tingkap luar Heeren House telah diganti dengan tingkap baru yang mempunyai reka bentuk seakan reka bentuk tingkap asal.
·        Sedikit penyesuaigunaan terpaksa dilakukan dengan meletakkan lapisan kaca di setiap tingkap bagi memastikan udara dingin dari penghawa dingin dapat dikekalkan dan mengelakkan udara panas meresap masuk ke dalam bilik.
11.   Kemasan bumbung:


·        Heeren House masih mengekalkan penggunaan Genting Cina yang dibawa khas dari negeri China sebagai kemasan bumbung. Genting yang telah rosak diganti dengan bahan binaan sama yang diperolehi daripada pemilik bangunan berdekatan yang tidak lagi menggunakan Genting Cina sebagai kemasan bumbung bangunannya.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan bumbung Heeren House.
12.   Kemasan siling:



·        Kemasan siling di tingkat atas Heeren House masih menggunakan kemasan siling asal dan kerja pemuliharaan dan pembaikan telah dilakukan pada bahagian siling yang rosak.
·        Tiada kerja pengubahsuaian dilakukan pada kemasan siling Heeren House.
13.   Kemasan dinding:



·        Heeren House tidak menggunakan kemasan dinding sebagai tarikan seni binanya. Kebanyakan bahagian dindingnya tidak mempunyai kemasan dinding yang perlu dipulihara.
·        Kemasan dinding baru telah dipasang di dalam bilik mandi/ tandas yang terdapat di dalam bilik tetamu sahaja.
14.   Kemasan lantai:



·        Kerja pemasangan kemasan lantai baru telah dilakukan pada lantai di tingkat bawah Heeren House. Kemasan lantai berupa jubin telah dipasang pada ruang kaki lima di hadapan rumah tamu, ruang galeri dan ruang kafe. Jubin lantai berwarna putih ditambah sedikit jubin lantai berwarna hijau yang tidak terlalu menonjol. Kemasan lantai baru tersebut kelihatan seperti lantai asal bangunan bersejarah itu. Selain daripada itu, kemasan lantai baru juga dipasang pada bilik mandi dan tandas yang baru dibina di dalam bilik tetamu.
·        Kemasan lantai di bahagian kaki lima, ruang galeri dan kafe telah dipasang dengan kemasan lantai baru.
15.   Kemudahan bangunan:


·        Kemudahan bangunan seperti penghawa dingin telah dipasang secara individu di setiap bilik bagi memastikan setiap tetamu selesa menginap di bilik hotel.
·        Bangunan asal hotel ini tidak mempunyai kemudahan bangunan yang perlu dipulihara. Pemasangan kemudahan bangunan seperti sistem pemadam kebakaran telah dipasang bagi memenuhi kehendak pihak Bomba.
16.   Hiasan senibina:


·        Seni bina sedia ada tetap dikekalkan seperti asal.
·        Heeren House tidak mempunyai hiasan seni bina yang keterlaluan yang memerlukan pengubahsuaian dilakukan ke atas hiasan seni bina sedia ada.

Kerja penyesuaigunaan utama yang telah dilakukan adalah menambah elemen dinding dalam atau dinding pembahagi bagi menyediakan bilik mandi/ tandas di setiap bilik tetamu. Kemasan dinding dan lantai juga telah dipasang di dalam bilik mandi/ tandas yang dibina. Selain daripada itu, pemasangan kemudahan moden seperti penghawa dingin, televisyen dan pemanas air di setiap bilik juga telah dilakukan bagi memberi lebih keselesaan kepada tetamu. Kebanyakan pintu dan tingkap rumah tamu ini juga telah diganti dengan yang baru memandangkan kebanyakannya telah rosak dan tidak sesuai digunakan lagi.

5.15     Tarikan yang Terdapat pada Heeren House
Walaupun Heeren House tidak sehebat hotel lain yang ada di Melaka, namun Heeren House masih menjadi pilihan para pelancong terutama sekali dari luar negara untuk menginap di sini. Seperti mana rumah tamu dan hotel lain, Heeren House juga mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik kedatangan tetamu ke sini. Antara tarikan tersebut adalah:
1.     Lokasi Heeren House.
2.     Reka bentuk seni bina Heeren House.
3.     Hiasan dalaman Heeren House.
4.     Ruang bilik di Heeren House.
5.     Harga bilik yang ditawarkan di Heeren House.
6.     Kemudahan yang disediakan di Heeren House.

5.15.1  Lokasi Heeren House
Kedudukan Heeren House di persimpangan Jalan Tun Tan Cheng Lock merupakan satu kelebihan, kerana ia mudah dijumpai oleh sesiapa sahaja yang melalui jalan ini. Heeren House merupakan rumah pertama yang berada di dereten rumah kedai di jalan tersebut. Heeren House adalah pilihan yang sangat ideal bagi pelancong-pelancong yang ingin meneroka tempat-tempat tumpuan utama pelancong kerana kedudukannya berhampiran dengan semua tempat tumpuan pelancong di Melaka terutamanya Jonker Walk dan China Town.


Gambar 5.31: Heeren House yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock antara jalan utama yang sibuk di Banda Hilir, Melaka.

5.15.2  Reka Bentuk Seni Bina Heeren House
Reka bentuk Seni Bina Heeren House sangat ringkas. Ini mungkin disebabkan keluasannya yang kecil tidak membenarkannya untuk mempunyai reka bentuk seni bina dan pelan lantai yang rumit. Namun begitu, jika dilihat dari luaran, ia masih cuba menerapkan ‘feng shui’ di dalam rekaannya. Puncak bumbung Heeren House berbentuk separuh bulat yang sering mengaitkan kemewahan emas kepada pemilik bangunannya. Walaupun pelan lantainya tidak menerapkan kepercayaan ‘feng shui’, namun reka bentuk bumbungnya sudah mencukupi untuk menyatakan bahawa pemiliknya dipengaruhi kepercayaan ‘feng shui’ satu ketika dulu.


Gambar 5.32: Pandangan dari sudut penjuru hadapan Heeren House yang menunjukkan reka bentuk seni bina keseluruhan bangunan ini.

5.15.3  Hiasan Dalaman Heeren House
Tidak seperti kebanyakan rumah tamu lain, Heeren House mempunyai pengaruh hiasan dalaman yang tersendiri. Konsep yang diterapkan oleh pemilik Hotel lebih kepada mengikut cita rasa pemiliknya yang mempunyai minat yang mendalam terhadap seni. Hiasan berkonsep campuran Inggeris dan Cina Peranakan ditambah sedikit dengan unsur Nusantara merupakan keunikan tersendiri Heeren House. Pemilik hotel begitu teliti di dalam menata hias rumah tamu miliknya. Setiap genap sudut rumah tersebut diberi sentuhan dengan hiasan seni walaupun di dalam bilik mandi.


Gambar 5.33: Hiasan dalaman yang kemas dengan gabungan konsep Inggeris, Cina Peranakan dan Nusantara antara kelainan yang terdapat di Heeren House.

5.15.4  Ruang Bilik di Heeren House
Bilik tetamu yang disediakan cukup luas untuk keselesaan tetamunya. Ia memberikan ketenangan terutamanya setelah penat berjalan seharian di sekitar ‘Jonker Walk’. Bilik tamu ini muat untuk menempatkan sama ada katil kelamin atau katil bujang secara berkembar. Selain luas, ia juga sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur. Terdapat beberapa pilihan jenis bilik yang mana setiap satunya mempunyai keluasan yang berbeza.


Gambar 5.34: Katil bujang berkembar disediakan dalam salah sebuah bilik dengan ruang yang agak luas di Heeren House.

5.15.5  Harga Bilik yang ditawarkan di Heeren House
Terdapat berbagai pilihan jenis bilik ditawarkan oleh pihak pengurusan hotel ini dan setiap satunya mempunyai keluasan dan jenis katil yang berbeza namun dengan kemudahan yang sama. Tetamu boleh memilih bilik yang bersesuaian dengan bajet dan jenis katil yang mereka inginkan. Bagi mereka yang datang dalam satu keluarga yang besar, bilik keluarga merupakan pilihan terbaik di mana ia boleh menempatkan seramai 4-6 orang di dalam satu bilik pada satu-satu masa. Harga bilik yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Jadual 5.8: Jadual kadar harga bilik di Heeren House.


Jenis dan Kategori Bilik


Kadar Harga untuk Satu Malam

1.     Bilik dengan katil Queen (pemandangan mengadap sungai).
RM 149.00/bilik.
2.     Bilik dengan katil berkembar (pemandangan mengadap sungai).
RM 149.00/bilik.
3.     Bilik dengan katil Queen (pemandangan mengadap separa sungai).
RM 139.00/bilik.
4.     Bilik dengan katil berkembar (tingkat bawah dan pemandangan mengadap separa sungai).
RM 129.00/bilik.
5.     Bilik keluarga dengan katil berkembar dan 2 katil bujang (pemandangan mengadap sungai).
RM 259.00/bilik.



Gambar 5.35: Gambaran bilik dengan katil Queen yang disediakan di Heeren House.

5.15.6  Kemudahan yang disediakan di Heeren House
Kemudahan yang diberikan oleh Heeren House adalah kemudahan asas yang diberikan seperti mana rumah tamu lain. Kemudahan yang disediakan boleh dianggap selesa walaupun tidak setaraf hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di rumah tamu ini ialah:
1.     Katil bersaiz bujang atau kelamin
2.     Bilik mandi peribadi di setiap bilik tamu
3.     Penghawa dingin
4.     Televisyen
5.     Alatan mandian
6.     Kemudahan membuat air minuman panas
7.     Tempat meletak kenderaaan tetamu
8.     Wifi (siang hari sahaja)


Gambar 5.36: Antara kemudahan yang disediakan di Heeren House adalah kemudahan membuat minuman panas.


Heeren House

Gambar 5.37: Kemudahan tempat meletak kenderaan turut disediakan untuk tetamu Heeren House.

Walaupun kemudahan asas yang disediakan mencukupi, namun berbanding dengan harga bilik yang dikenakan ke atas setiap tetamu, kemudahan sedia ada dirasakan boleh diperbaiki dengan lebih baik lagi. Antaranya ialah:
1.     Menyediakan almari atau tempat menyimpan barang tetamu di dalam setiap bilik (tidak semua bilik dilengkapi dengan almari).
2.     Menyediakan kemudahan panggilan telefon IDD dan antarabangsa.
3.     Menyediakan rangkaian televisyen saluran berbayar walaupun terdapat saluran asas.

5.16     Rumusan
Menyesuaiguna dan memulihara bangunan bersejarah terutamanya sebuah rumah kediaman sebagai sebuah hotel bukanlah sesuatu yang sering dilakukan di Malaysia. Usaha pemilik Hotel Puri dan Heeren House di dalam menyesuaiguna dan memulihara bangunan bersejarah milik mereka sebagai hotel dan rumah tamu merupakan satu langkah yang patut dipuji. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihara dan menyelenggara sebuah bangunan yang telah berusia melebihi 150 tahun terus berada dalam keadaan baik seperti mana Hotel Puri dan Heeren House hari ini. Penyesuaigunaan dan pemuliharaan kedua buah bangunan bersejarah ini telah memberi peluang kepada orang luar terutamanya para pelancong untuk menginap dan merasai sendiri pengalaman menginap di bangunan bersejarah ini.

Hotel Puri yang mempunyai reka bentuk seni bina dan hiasan dalaman yang bercirikan Cina Peranakan ditambah dengan landskap tropika di persekitaran hotel menjadikan hotel ini istimewa. Faktor inilah yang menjadikan hotel ini antara hotel yang ingin dikunjungi oleh pengunjung yang mengunjungi bandar Melaka. Kedudukan hotel ini di tengah-tengah deretan rumah kedai langsung tidak mengganggu susun atur hotel ini. Kekurangan ini telah dikaburi oleh tarikan yang lebih kuat iaitu keindahan reka bentuk seni binanya dan keunikan hiasan dalamannya. Usaha pemilik bangunan ini, memulihara dan seterusnya menyesuaiguna semula bangunan bersejarah ini sebagai sebuah hotel adalah sesuatu yang patut dicontohi oleh kebanyakan pemilik bangunan bersejarah lain. Manakala Heeren House, walaupun merupakan sebuah rumah tamu yang kecil, namun berjaya menarik kedatangan tetamu untuk menginap di sini. Rumah tamu yang mempunyai 6 buah bilik ini mempunyai keunikan tersendiri dengan reka bentuk seni bina yang menarik dan hiasan dalaman tersendiri iaitu konsep campuran English, Peranakan dan Nusantara.

Walaupun penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah bukan mudah untuk direalisasikan, namun sekiranya proses ini berjaya, ia membuahkan hasil yang akan membanggakan industri perhotelan dan pelancongan warisan negara. Penyesuaigunaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah sebagai hotel juga perlu dilakukan dengan lebih banyak lagi oleh pemilik-pemilik bangunan bersejarah yang ada di Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka bagi memastikan bangunan bersejarah warisan bangsa ini tidak akan terus dilupai seterusnya berkubur begitu sahaja.

No comments: