Back to Front Pages

Friday, May 01, 2009

Masjid 100 Tahun Kampung Tuan, Terengganu, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 12/11/2009.
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI utusanterengganu@utusan.com.my

KEMAMAN 11 Nov. – Siapa sangka dalam suasana hiruk-pikuk dan kepadatan penduduk bandar ini terdapat binaan tinggalan sejarah berusia lebih 100 tahun yang masih tersergam indah. Terselindung di sebalik rumah-rumah moden, sebuah masjid lama yang masih kukuh berdiri sama megah dengan bangunan baru lain di sekelilingnya. Masjid Kampung Tuan, Chukai, yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah surau yang terletak di pinggir Sungai Limbong, Kampung Tuan. Namun disebabkan pertambahan penduduk, ia ditukar menjadi surau apabila banyak masjid baru yang lebih besar dibina bagi menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.
Surau lama yang dibina pada tahun 1830 itu dibina oleh seorang guru agama berasal dari Pattani, Thailand, Syed Abdul Rahman Abdul Samad, yang melarikan diri ke sini akibat peperangan di negaranya. Beliau mula membina surau tersebut bagi memudahkannya mengajar agama kepada penduduk kampung memandangkan kelasnya mendapat sambutan menggalakkan. Selepas kematiannya, tempatnya diambil alih anaknya yang dikenali sebagai Tuan Wok dan ketika itu Abdullah Munshi dikatakan pernah ke surau tersebut untuk bersembahyang.

Struktur binaan yang klasik serta sedikit mengikut tradisi surau lama di Siam membuktikan bahawa ia dibina oleh pendatang tersebut. Bumbungnya yang mempunyai empat lapis dengan menggunakan atap genting yang dibawa dari negara itu memberi suasana yang amat tenang apabila pertama kali melihatnya. Selain itu, di atas bumbung pula diletakkan replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga. Difahamkan, replika buah butung itu dibina untuk diletakkan pada Masjid Keresek di selatan Thai tetapi pembinaan masjid itu tergendala lalu ia dibawa dan diletakkan di atas surau berkenaan. Yang menariknya, menurut cerita penduduk, pembinaan surau berukuran 9.14 meter x 9.14 meter ini diperbuat dengan hanya menggunakan sebatang kayu cengal yang besar yang ditemui di hutan berhampiran. Struktur mihrabnya berbentuk bulat difahamkan ditebuk daripada sebatang kayu cengal juga, sehingga seni dan ukirannya kelihatan sangat halus. Struktur tingkap yang hanya berukuran lebih kurang 60 sentimeter dan dibina tanpa pintu, menyerlahkan lagi keaslian reka bentuknya. Mungkin hanya memerlukan sedikit sahaja cahaya memasuki ruang solat itu bagi membolehkan ibadat dilakukan dengan kusyuk, justeru tingkap dan pintu dibina agak terhad. Sebahagian binaan tradisional pada bahagian tiang masjid. Sebanyak 12 tiangnya pula disambungkan hanya menggunakan pasak dan tiada paku digunakan.

Setelah lebih 100 tahun dibina, Surau Kampung Tuan masih kukuh dan digunakan oleh penduduk sekitar termasuk menunaikan solat terawih pada setiap kali Ramadan walaupun masjid-masjid baru telah dibina. Wartawan Utusan Malaysia sempat menemui cucu Tuan Wok, Wan Jaafar Wan Hassan, 60, namun beliau tidak banyak bercerita. Ini kerana beliau sudah tua dan sukar mengingati tentang datuknya yang menjadikan surau itu sebagai tempat mengajar ilmu agama. Wan Jaafar yang tinggal berdekatan surau itu memberitahu, datuknya pernah menceritakan tentang kesukaran membina surau tersebut. Tambahnya, moyangnya (Syed Abdul Rahman) terpaksa menukarkan hasil garam yang diperoleh kepada bata untuk dijadikan atap. “Apa yang anda lihat sekarang ini sudah cantik, sebenarnya bukan mudah untuk membina surau ini. “Sekarang sudah ada orang jaga, baguslah jika tidak nanti mesti jadi buruk,” katanya.
Difahamkan, kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara telah dilaksanakan pada tahun 2006.

Rumah Kedai Lama Terbiar Usang di Ipoh, Perak, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 13/10/2009.
Oleh HAMIMAH HAMID utusanperak@utusan.com.my

IPOH 12 Okt. – Bangunan-bangunan dengan rekaan seni bina lama memang banyak terdapat di Perak. Ada di antaranya yang sudah berusia lebih 100 tahun dan walaupun sudah lama, reka bentuknya masih kelihatan cantik dan unik. Namun, apa yang menyedihkan, pembangunan pesat dan kewujudan bangunan-bangunan baru menyebabkan ada di antara bangunan seni bina kolonial ini tidak terjaga dan terbiar usang. Antara kawasan yang mempunyai bangunan lama tetapi dibiarkan usang ialah di pekan Sungai Raia, Simpang Pulai dekat sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pekan lama dan bersejarah itu mempunyai 117 buah kedai dengan hanya dua kedai sahaja yang masih beroperasi dan 15 lagi masih dihuni. Bagi yang sering menggunakan laluan antara pekan tersebut untuk ke Gopeng, pasti akan terserempak dengan deretan bangunan lama di kiri dan kanan jalan. Bagi mereka yang baru pertama kali melihatnya, pasti akan terfikir kenapa bangunan itu dibiarkan begitu sahaja kerana kebanyakannya tidak berpenghuni. Lebih memeranjatkan, jika diperhatikan dengan teliti, ada di antara premis tersebut yang sudah roboh dan tidak diperbaiki oleh pemiliknya. Sekiranya bangunan-bangunan seperti itu dipelihara, sudah pasti ia akan mencantikkan lagi pemandangan malah tidak mustahil ia bakal menjadi lokasi unik dan boleh menarik kehadiran pelancong.

Bangunan lama ini begitu hampir dengan jalan raya dan membahayakan ribuan pengguna yang lalu lalang di pekan Sungai Raia. Sebaliknya, jika semua pihak terus memejamkan mata, sudah tentu kewujudan bangunan lama itu yang begitu hampir dengan jalan raya akan membahayakan ribuan pengguna yang lalu lalang di kawasan berkenaan. Sudah pasti juga semua pihak tidak mahu kejadian bangunan lama roboh dan menghempap pengguna jalan raya seperti yang berlaku di Ipoh baru-baru ini berulang.

Tinjauan di pekan Sungai Raia baru-baru ini juga mendapati kebanyakan bangunan di situ sudah retak dan reput dimakan anai-anai. Ada juga yang ‘dihuni’ pokok-pokok besar yang tumbuh menjalar menyebabkan pekan tersebut nampak seolah-olah pekan kosong dan tidak didiami. Kini, terpulang kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemilik bangunan itu sendiri untuk mengambil tindakan sewajarnya demi kebaikan semua pihak.

Robohkan Bangunan Usang, Melaka, Malaysia

Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 21/07/2009
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID utusanmelaka@utusan.com.my
.
MELAKA 20 Julai - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta segera merobohkan rumah atau gerai usang yang terdapat dalam kawasan pentadbiran masing-masing bagi menjaga keindahan persekitaran. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihak terbabit perlu memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa dengan kerjasama pemilik premis. Katanya, usaha itu perlu diambil segera selaras dengan hasrat kerajaan negeri mencapai status negeri maju menjelang tahun 2010. ''Mana-mana rumah usang yang ditinggalkan pemiliknya seperti kedai usang sama ada di kawasan bandar atau kampung perlu dirobohkan kerana ia mencacatkan pemandangan sekitarnya," katanya.
.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bersama Masyarakat dan Hari Japerun Ayer Molek di sini baru-baru ini. Menurut Mohd. Ali, sekiranya perkara itu dilaksanakan secara berterusan oleh PBT berkaitan, masalah premis usang yang masih berlaku di sesetengah tempat dapat diatasi sepenuhnya pada masa ini. ''Jika perkara ini tidak dilaksanakan sepenuhnya, ianya mengundang kepada masalah gejala sosial yang berlaku seperti penyalahgunaan dadah dan kegiatan negatif lain. ''MBMB, Pejabat Daerah dan Jabatan Penggeraian Jabatan Ketua Menteri, misalnya perlu berusaha memastikan masalah ini dapat ditangani secara berkesan pada masa depan," katanya.

Bangunan Usang Cemar Pemandangan, Ipoh, Perak, Malaysia

Salah sebuah bangunan usang di Jalan Sultan Idris Shah (Brewster Road), Ipoh, Perak yang dimaksudkan oleh wartawan Utusan Malaysia. Namun begitu, sekiranya semua bangunan rumah kedai warisan (heritage shophouse) seumpama ini di negara ini dirobohkan, apa lagi yang akan tinggal untuk tatapan generasi yang akan datang.
.
Cadangan untuk merobohkan bangunan warisan seumpama ini hanya kerana ia kelihatan usang bukan suatu cadangan yang baik dan dapat menyelesaikan isu yang telah lama dibangkitkan sejak sekian lama ini. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti menaiktaraf kawasan dan bangunan persekitaran sepertimana yang telah dilakukan di Kuala Lumpur (Heritage Row), George Town (Heritage Row) dan Melaka (Heritage Row) dalam usaha untuk menyelamatkan bangunan-bangunan rumah kedai warisan ini.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 10/04/2009.
.
IPOH 9 April - Bangunan lama bercirikan reka bentuk zaman penjajah yang banyak terdapat di sini menjadikan Ipoh kelihatan unik dan klasik. Sayangnya keunikan itu sedikit tercemar apabila sebuah bangunan lama yang terletak bersebelahan Wisma Maju UMNO dan simpang lampu isyarat Jalan Sultan Idris Shah ditinggalkan usang begitu sahaja. Keadaan bangunan yang dipercayai ditinggalkan akibat satu kebakaran itu menimbulkan tanda tanya sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut.
.
Seorang kakitangan swasta, Mohd. Zabidi Yusof, 32, berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sewajarnya merobohkan sahaja bangunan seperti itu. ''Bangunan ini sudah bertahun lamanya ditinggalkan sehingga menjadi usang kerana tidak diselenggarakan. Keadaan ini mencacatkan pemandangan bandar raya Ipoh yang sering menjadi tumpuan pelancong luar. ''Lagipun serpihan zink atau kayu dari bangunan ini jika diterbangkan angin, boleh membahayakan orang yang lalu lalang," katanya. Sementara itu, M. Kathiraven, 35, juga meminta MBI bertindak dengan merobohkan segera bangunan-bangunan yang tidak digunakan kerana bimbang ia akan menjadi sarang penagih-penagih dadah dan kejadian tidak bermoral lain. ''Kita tak pasti apa yang boleh berlaku selepas ini, kerana orang ramai khususnya pejalan kaki sering menggunakan jalan itu dan sudah pasti mereka bimbang dengan keselamatan masing-masing. ''Saya berharap MBI melihat perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan pengguna jalan serta mengembalikan keceriaan di bandar raya Ipoh," katanya.

Menara Surau Makin Usang, Melaka, Malaysia

Menara Lama Surau Tengkera (1728) - Tiada siapa peduli tentang keadaannya yang usang oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pemuliharaan warisan negara di Melaka walaupun nilai sejarah dan warisannya tinggi. Wajarkah menara ini turut dirobohkan hanya kerana ia kelihatan usang? Sampai bilakah ia akan terus kekal sebegini? Tidak seperti di negara Eropah yang amat menghargai nilai sejarah, warisan dan budaya seni bina mereka. Jika tedapat bangunan / monumen sebegini, sudah pasti ia telah dipulihara dengan sebaik mungkin sejak dahulu lagi. Lihat contoh dan bukti:
.
Kita wajar berasa malu dengan status Melaka dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia jika para pelancong datang dan melihat keadaan bangunan / monumen warisan di negara ini yang telah diabaikan tanpa dihargai. Dengan keadaan strukturnya yang penuh dengan kecacatan ditambah pula dengan papan tanda yang tidak diselenggara dengan baik, sesuatu perlu dilakukan segera agar warisan negara yang tidak ternilai ini terus terpulihara dengan sebaik mungkin.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 07/11/2008.
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

MELAKA 6 Nov. - Melaka yang diiktiraf sebagai bandar raya warisan dunia sememangnya cukup dikenali di peringkat antarabangsa sebagai negeri yang kaya dengan tinggalan warisan lama zaman silam. Salah satu keunikan yang terdapat di negeri ini ialah tinggalan seni bina lama yang berusia ratusan tahun, sama ada seni bina bangunan kediaman atau rumah-rumah ibadat. Binaan lama tersebut termasuklah bangunan menara lama surau Tengkera yang dibina sekitar tahun 1728 yang terletak kurang 100 meter dari Masjid Tengkera yang merupakan masjid asal bagi menara lama tersebut. Kedudukannya yang betul-betul berada di tepi jalan membuatkan sesiapa sahaja yang melalui Jalan Tengkera pasti terpegun melihat seni binaan lama yang terdapat pada bangunan lama tersebut. Bagaimanapun, seiring dengan perubahan masa, menara lama tersebut kian dilupakan dan pudar 'menutup' keunikan sejarah yang terdapat di dalamnya.
.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bangunan lama itu mendapati ia semakin usang dan kelihatan ditumbuhi semak samun di bahagian dalamnya. Salah seorang penduduk, Mohd. Akbar, 58, berkata, bangunan yang memiliki unsur-unsur sejarah itu perlu dipelihara kesan warisannya bagi mengelakkan ia pupus ditelan zaman. Menurutnya, bangunan yang terbiar dan terlampau usang perlu digantikan dengan bangunan yang baru. ''Robohkan atau baik pulih semula bangunan usang yang terletak di ibu kota kerana bangunan memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pelancong," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini. Katanya, pihak berkuasa harus membuat pemantauan agar bangunan usang yang mencacatkan pemandangan tidak lagi wujud sebaliknya digantikan dengan bangunan yang baru. Menurutnya, bangunan terbiar yang diubah suai boleh digunakan sebagai rumah kedai, hostel dan sebagainya.
.
Selain itu, kata Anirah Abu, 23, tidak seperti di negara lain, kebanyakan mereka menjadikan bangunan lama sebagai daya tarikan pelancong di kawasan bandar seperti yang terdapat di London dan Paris. ''Saya hairan kerana masih ada bangunan usang terbiar begitu sahaja terutama kawasan yang menjadi tumpuan pelancong asing misalnya menara lama surau Tengkera ini. ''Kalau binaan lama ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan penjagaan sewajarnya diambil, ia boleh mendatangkan imej buruk pada pendangan pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri ini," katanya. Katanya, bangunan bersejarah merupakan salah satu tarikan pelancong ke negeri ini namun agak malang binaan lama seperti menara lama tersebut dibiarkan terabai tanpa penjagaan sewajarnya oleh agensi kerajaan berkaitan. Menurutnya, bangunan yang ada kaitan dengan sejarah perlu dikekalkan tetapi sekiranya bangunan terbabit sudah terlalu usang perlu diperbaiki agar kelihatan menarik.
.
Sementara itu, Pengurus Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas berkata, pihaknya tiada masalah untuk membantu mengindahkan semula menara lama surau Tengkera yang kini terbiar dan ditumbuhi semak-samun sehingga mencacatkan pemandangan di sekitar kawasan tersebut. Menurutnya, Perzim sedia membaiki dan mengecat semula dinding menara lama itu sekiranya pihak penduduk khususnya jawatankuasa surau di situ mengemukakan permohonan berhubung perkara berkaitan. ''Namun saya harap pihak masjid dan jawatankuasa surau berhampiran kawasan itu dapat mengemukakan permohonan kepada pihak kita bagi membolehkan Perzim melakukan usaha-usaha yang sewajarnya,'' katanya. Tambahnya, Perzim sentiasa mengambil perhatian terhadap mana-mana bangunan lama khususnya yang memiliki kesan tinggalan sejarah bagi memastikan warisan lama yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi bersama generasi baru akan datang.

Bangunan Usang Cacatkan Keindahan Bandar Raya Ipoh, Perak, Malaysia

Bangunan Bekas Pejabat Pos Lama, Ipoh, Perak.
.
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 06/05/2008.
Oleh ANGELINA SINYANG
.
IPOH 5 Mei - Meskipun Ipoh sudah diiktiraf sebagai bandar raya kerana mencapai tahap kemajuan setaraf dengan bandar-bandar lain di Malaysia tetapi masih terdapat banyak bangunan usang yang mencacatkan keindahan bandar yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat perlombongan bijih timah. Berbeza dengan tempat lain di negara ini, Ipoh cukup unik kerana masih mengekalkan banyak bangunan lama yang didirikan oleh penjajah British.
.
Antara bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda di Ipoh ialah Stesen Keretapi Ipoh terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kerana memiliki struktur binaan yang menakjubkan dengan gabungan senibina Moor dari negara Turki dan senibina moden. Dalam pada bangga memiliki bangunan bersejarah ini, ramai warga Ipoh sebenarnya kecewa dengan pihak berkuasa tempatan kerana membiarkan banyak bangunan lama terutama deretan rumah kedai di tengah-tengah bandar raya menjadi usang hingga mencacatkan pemandangan.
.
Selain bangunan kedai, ada juga bangunan bekas pejabat pentabdiran kerajaan yang ditinggalkan kosong hingga menjadi sarang tempat remaja membuat maksiat dan penagih dadah berkumpul melepaskan gian. Salah satu bangunan bersejarah yang ditinggalkan usang ialah bangunan terletak bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh iaitu bekas Pejabat Pos Besar Ipoh yang kemudiannya dijadikan pejabat pentabdiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pusat Penerangan Pelancongan Perak.
.
Seorang penduduk yang ditemui, Fatimah Ismail, 50, berkata, adalah merugikan bangunan unik dan masih kukuh itu dibiarkan kosong hingga mencacatkan pemandangan di samping dijadikan sarang maksiat oleh remaja serta penagih dadah. ''Bangunan ini patut dibaik pulih dan dipelihara kerana ia pernah menyumbangkan bakti kepada rakyat Perak semasa dijadikan pejabat pos, pejabat pentabdiran MBI dan Pusat Penerangan Pelancongan Perak. ''Saya sedih kerana bangunan ini sekarang dibiarkan usang hingga dijadikan tempat remaja melakukan maksiat dan menagih dadah. Apa salahnya jika ia dibaik pulih untuk dijadikan bangunan pejabat atau hotel," katanya. Foong Kun Siew, 60, berkata, bangunan bekas pejabat MBI ini mempunyai seni bina yang cantik dan unik yang mana tidak boleh lagi ditemui pada zaman ini. Justeru, beliau mencadangkan kepada pemilik bangunan tersebut supaya mencantikkan semula bangunan terbabit dan menjadikannya sebagai galeri pameran lukisan kerana ia berpotensi menarik pelancong.
.
Seorang bekas kakitangan Pos Malaysia yang kini berniaga di Medan Selera Dato Sagor terletak bersebelahan dengan bangunan itu, Shamsudin Jalani, 55, pula mencadangkan Pejabat Pos Besar Ipoh mengambil semula bangunan itu untuk dijadikan pusat menguruskan perkhidmatan Pos Laju. ''Saya difahamkan Pejabat Pos Besar Ipoh terpaksa menyewa sebuah bangunan di Tasek, Chemor untuk dijadikan pusat mengurus perkhidmatan Pos Laju sedangkan mereka boleh menggunakan bekas pejabat lama di bangunan ini untuk tujuan tersebut. ''Bangunan ini amat sesuai kerana ia terletak berdepan dengan bangunan Pejabat Pos Besar Ipoh dan mempunyai kawasan yang luas," katanya. Seorang peniaga, Sabariah Mat Alipiah, 46, berkata, perniagaan kedai makan mereka di Medan Dato Sagor terjejas sebaik sahaja pejabat-pejabat di bangunan tersebut dikosongkan beberapa tahun lalu. ''Pendapatan kami merosot 50 peratus sejak bangunan ini tidak digunakan. Jadi, saya merayu pihak berkenaan supaya menyewa atau menjual bangunan ini kepada mana-mana pihak yang berminat untuk dijadikan pejabat bagi menghidupkan semula perniagaan kami," katanya.